Jumaat, 25 Mei 2012

Ahmad Alkebab - Bab 13


Bab 13

            Kebiasaannya bagi pasangan lain, di awal-awal perkahwinan adalah masa yang paling indah. Waktu inilah segala kebahagiaan dan kemesraan saling diberi dan dinikmati sepenuhnya.
            Berlainan pula dengan pasangan Murrahan dan Sakurakura. Oleh kerana Murrahan menjalankan rancangan mengikis hartanya sebaik sahaja berkawin, mereka sering bertengkar dan bertikam lidah. Selalunya Sakurakuralah yang mengalah disebabkan perasaan sayangnya pada suami. Dan ia juga biasanya berakhir dengan Sakurakura menyerahkan barang kemasnya kepada Murrahan. Ini disebabkan oleh Sakurakura meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada suaminya itu. Pandai pula Murrahan memujuk dan mereka alasan untuk menampung perbelanjaan perniagaan.
            Keadaan itu banyak kali berlaku sehingga setelah beberapa lama barang-barang kemas Sakurakura dan barang-barang lainnya yang berharga hampir habis digadai Murrahan. Namun Murrahan tetap meminta selagi ada benda yang tinggal. Dicarinya apa sahaja, walaupun sekecil mana sekalipun.
Petang itu Murrahan dan Sakurakura bertengkar lagi.
“Bolehlah sayang. Nanti kalau perniagaan untung, abang gantilah,” Murrahan merayu.
“Sayang tak percaya,” bentak Sakurakura.
“Percayalah sayang. Abang nak buat modal pusingan,” rayu Murrahan lagi.
“Tak nak. Sekarang gelang ini sajalah yang tinggal. Barang-barang lain semua sudah habis abang gadai,” bentak Sakurakura. Dia melarikan gelang itu dari pengelihatan Murrahan dan menggenggamnya kemas-kemas.
“Berilah pada abang. Abang mahu buat beli mesin rantai baru. Mesin-mesin rantai yang ada semua sudah rosak. Rantainya sudah putus. Pokok-pokok balak tempat abang tebang sekarang semuanya keras-keras. Sebab itulah mesin cepat rosak,” Murrahan memberi alasan.
“Bohong! Sayang tak percaya. Dua hari lepas abang buat alasan pengaut jentolak patah, hari ini abang buat alasan rantai mesin putus pula. Dulu masa baru kawin sayang bawa banyak barang-barang mahal. Sekarang semua barang kemas, telefon bimbit, televisyen, peti ais, semua abang dah jual. Sampaikan periuk kuali pun abang jual macam besi buruk. Tengoklah apa lagi yang ada dalam rumah kita ini sekarang. Kosong macam dewan sivik,” bentak Sakurakura lagi.
Murrahan datang melutut di depan Sakurakura pula.
“Kali ini saja sayang. Inilah kali terakhir abang minta. Bolehlah sayang. Abang janji, bila balak sudah dijual nanti, abang akan belikan gelang yang lagi besar. Abang akan hias rumah kita ini lebih cantik dari dulu dan abang akan belikan sayang dengan kereta Mercedes Brabus dua pintu,” sungguh lunak Murrahan menabur janji manis. Hati Sakurakura mula cair.
“Betul abang nak buat modal?”
“Betul sayang. Sumpah,”
Murrahan sujud di kaki Sakurakura. Luruh hati Sakurakura melihat suaminya dalam keadaan tertonggeng begitu. Lantas dia melurutkan gelang kesayangannya itu dari tangan. Suaminya lebih bermakna daripada seurat gelang ini.
“Nah, ambil gelang ni,” kata Sakurakura mengunjukkan gelangnya.
“Terima kasih, sayang,” Murrahan menyambutnya dengan gembira tidak terkata. Lakonannya sungguh menjadi. Hatinya berkata, sekeras mana pun hati perempuan dungu ini, ibarat kerak nasi sahaja. Direndam air sejam dua, lekanglah semuanya!

            Begitulah juga keadaannya di rumah Sifar. Hanya sepasang subang emas sahaja barang berharga Sihuruhara yang masih tinggal. Sifar berusaha sedaya upaya memujuk isterinya.
“Berilah pada abang, sayang. Abang janji, ini kali terakhir abang minta dari sayang. Lepas ini abang tidak akan minta lagi,” rayu Sifar.
“Sayang tak percaya. Lepas dapat subang ini nanti abang berjoli di kelab-kelab malam dengan perempuan muda,” marah Sihuruhara dengan membelakangi suaminya itu. Dia benci dengan sikap suaminya yang selalu meninggalkannya seorang diri di rumah dan mengabaikan hal-hal rumah tangga mereka.
“Sumpah, wallah abang tak buat. Abang tidak pergi berjoli, sayang. Abang keluar uruskan projek perniagaan pasir kita. Tolonglah berikan subang sayang itu. Abang nak buat modal beli penyedut pasir baru,” Sifar terus merayu.
“Ke mana perginya penyedut pasir sebelum ini?” tingkah Sihuruhara.
“Penyedut pasir sebelum ini sudah dihanyutkan banjir,” kata Sifar dengan nada sedih.
“Kenapa abang tidak kejar?” marah Sihuruhara.
“Abang sudah kejar, tetapi penyedut pasir itu sudah hanyut ke laut. Abang sudah dapat tangkap semula penyedut pasir itu, tetapi tidak dapat membawanya pulang sebab ombak laut hari itu sangat kuat. Jadi abang tambatlah penyedut pasir itu pada sebuah kapal yang berlabuh. Esoknya bila abang datang nak ambil semula, penyedut pasir itu sudah dilarikan kapal itu,” canggih sekali cerita rekaan Sifar.
“Bohong! Sayang tak percaya,” kata Sihuruhara. Namun suaranya sudah tidak lagi segarang tadi. Mungkin sedikit sebanyak dia sudah termakan dengan cerita suaminya yang tidak masuk akal itu.
“Tolonglah sayang. Kalau tidak ada penyedut pasir, macam mana abang nak ambil pasir dari dasar sungai itu. Tentu pelanggan-pelanggan abang akan lari nanti. Rakan-rakan niaga abang pun pasti akan saman abang. Nanti matilah perniagaan kita. Kita akan jatuh miskin dan merempat. Nanti orang akan ejek kita berdua. Dan apa pula kita nak cakap pada abah Sihuruhara nanti? Abah juga akan mendapat malu,” rayu Sifar dengan bijak sekali menyertakan ekspresi muka meminta belas kasihan.
Hati Sihuruhara mula diruntun-runtun. Tak sanggup dia membayangkan suaminya akan ditimpa sebegitu malang. Dia mula melembutkan nada suaranya.
“Betul abang tak tipu?”
“Sumpah abang tak tipu. Kalau abang tipu, keluar nanti abang akan digilis lori pasir,” kata Sifar bersungguh-sungguh.
“Nah, ambillah subang ini. Tapi abang kena ingat, bila sudah untung nanti, abang kena ganti subang sayang ini,” kata Sihuruhara dengan menanggalkan subangnya lalu menyerahkan pada Sifar. Sifar mula tersenyum lebar. Hatinya pula ketawa besar!
“Abang janji, abang akan ganti dengan subang yang lagi besar daripada subang ini. Sayang sungguh baik hati, sebab itulah abang sayang sangat pada sayang,” kata Sifar memuji-muji.
“Sayang nak kereta BMW juga,” kata Sihuruhara malu-malu.
“Boleh sayang. Abang akan belikan sayang tiga biji kereta BMW nanti. Satu untuk pergi pasar, Satu untuk balik rumah abah dan satu lagi untuk sayang pergi bersiar-siar,” Sifar terus bersetuju dengan menabur janji sesedap rasa.
“Betul ke abang?”
“Betul…” lunak sungguh suara Sifar mengiakannya.
“Sayang abang….”
Maka tertewaslah sudah si perempuan gedik yang berakal pendek ini.

Seorang ‘wanita’ bertubuh sasa menuangkan minuman jernih kekuningan ke dalam sebiji gelas kaca. Mulut botol itu dirapatkan pada gelas agar buih-buihnya tidak meleleh. Setelah gelas itu satu per empat penuh, seketul ais dimasukkan.
“Minum darling,” kata ‘wanita’ itu dengan suara manja dan menggoda.
Murrahan meneguk air yang berbau kuat menyengat hidung itu.
“Oh… nikmat sungguh air ni. Terasa auranya menjalar ke segenap urat saraf,” kata Murrahan lalu menyandarkan kepalanya ke sofa. Dia mendepangkan tangan dan memejamkan matanya.
“Lepas ni kita pergi tengok wayang ya, darling,” renggek ‘wanita’ yang berhalkum besar itu. Digosok-gosoknya pipi Murrahan dengan hujung jari telunjuknya.
“Okey, baby,” kata Murrahan. Dia meneguk lebihan minuman dalam gelasnya sehingga habis.
“Tapi I penat lagilah. You urut tadi power sangat. Kita lepak kat sini dulu, okey?” kata Murrahan lagi.
“Tak mahulah… kita tengok wayang dululah. Cerita Ngangkung sudah nak mula ni. I belum tengok lagi cerita ni. Kawan-kawan kata best sangat. Nanti lepas menonton wayang kita rehatlah, ya,” kata ‘wanita’ itu dengan melunakkan suaranya. Namun equalizernya tidak dapat dilaraskan sebaiknya menjadikan suaranya seperti bunyi speaker pecah.
“Ngangkung ke, kangkung ke, cangkung ke, nanti kita pergilah,” kata Murrahan lembut.
“Cepatlah darling…” gesa ‘wanita’ itu lagi.
“Oklah, darling punya pasal. I ikut saja. Tapi biarlah air botol ini habis dulu…” kata Murrahan.
‘Wanita’ itu menuang lagi ke gelas Murrahan sehingga titisan terakhir. Murrahan terus meneguknya dengan senang hati. Dalam pada itu tangannya sebelah lagi merangkul ‘wanita’ itu sambil meramas-ramas bahunya. ‘Wanita’ itu pula mengelus-ngelus lehernya.
“Jom kita pergi tengok wayang, darling,” kata Murrahan setelah gelasnya kosong diteguk.
“Jom,” balas ‘wanita’ itu.
Mereka berjalan berpelukan keluar dari pub yang dikhaskan untuk peminat spesis dua alam itu.
            Sewaktu melintasi sebuah gedung pakaian mewah, Murrahan ternampak seorang lelaki yang amat dikenalinya. Lelaki itu sedang begitu asyik melayan seorang remaja lelaki membelek-belek baju.
            “Hai, Sifar. Pilih baju nampak,” tegur Murrahan.
“Oh, Murrahan. Aku nak shopping sakan hari ini. Semalam isteri aku beri subang emas. Jadi, hari ini aku sudah gadai dan dapat banyak duit, hahaha…” sahut Sifar. Dia ketawa gembira.
“Aku pula dapat gelang emas, hahaha…” Murrahan turut ketawa.
“Wah, buah hati engkau solidlah,” usik Sifar setelah memerhatikan ‘wanita’ yang sedang dikepit Murrahan itu sasa tubuhnya. Maklumlah, siang hari ‘wanita’ itu berkerja sebagai buruh kontrak dengan identit lelaki sejati. Hanya di malam hari sahaja dia bersalin kulit untuk berkerja sambilan di pub songsang tadi.
“Kau punya buah hati pun apa kurangnya. ‘Jambu’ betul. Mana kau dapat?” kata Murrahan sambil melirik pada remaja lelaki yang ada bersama Sifar.
“Alah, ada melambak kalau kau nak. Banyak student universiti buat part time kat sini. Nanti aku kenalkan kau dengan ejen dia,” Sifar membuat tawaran.
“Hahaha… lain harilah Sifar. Aku tak minat anak-anak ikan, tak pandai melayan. Aku lebih suka sotong. Layanan dia, fuh… first class aku cakap kau,” kata Murrahan sambil menegakkan ibu jari tangannya.
“Hahaha… walaupun kita sealiran, tapi taste kita tak sama,” kata Sifar pula.
“Oklah Murrahan, kami kena pergi dulu. Buah hati aku ni dah tak sabar-sabar nak tengok wayang,” kata Murrahan.
“Ok, jumpa lagi di lain hari,” kata Sifar. Matanya terus mengekori Murrahan bersama pondannya itu berjalan pergi sehingga hilang di celah-celah orang ramai.
“Siapa itu, bang?” tanya remaja lelaki pada Sifar.
“Itu biras abang. Kami sama-sama kawin dengan anak Sheikh Majnun dulu,” jawab Sifar.
“Ooo…” remaja lelaki itu mengangguk-angguk.
“Adik stay overnight dengan abang malam ni ye?” pinta Sifar.
“Tak bolehlah bang. Esok adik ada kuliah awal pagi. Nanti tak sempat balik rumah,” kata remaja lelaki.
“Oh, kalau gitu malam esok boleh kan?” cadang Sifar.
“Okey, esok malam adik janji stay overnight. Lusa, kuliah petang,” remaja lelaki itu bersetuju.
“Okey kalau gitu. Tapi malam ni awal lagi. Kita boleh enjoy dulu, kan?” Sifar merenung mata jambunya itu.
“Boleh, tapi sampai pukul dua belas saja tau,” kata remaja laleki itu dengan manja.
“Okey, pukul dua belas abang akan hantar adik balik. Tapi sebelum tu kita enjoy dulu puas-puas,” kata Sifar dengan pandangan mata penuh makna.
“Okey… tapi kita habiskan shopping dulu ya, bang,” remaja lelaki itu senyum, juga memberi makna.
“Beres…”

Ahad, 20 Mei 2012

Madu Tiga Suku - Bab 13


13.  Spa Bersepai

            Sepoi Sepoi Spa, sebuah pusat rawatan kecantikan yang terletak dipinggir Bandar Marang dan menghadap Laut China Selatan. Spa ini terkenal kerana banyak wanita dari golongan elit membuat penjagaan badan dan rawatan kecantikan di sini. Spa besar ini menawarkan hampir semua perkhidmatan penjagaan badan. Di sini, bahagian untuk rambut, kulit dan urutan badan mempunyai bahagian sendiri setiap satunya.
            Mandi sauna, mandi susu, urutan aroma terapi dan suntikan botox adalah di antara perkhidmatan yang paling popular. Layanan dan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja-pekerja mahir di sini bagaikan layanan dayang-dayang istana pada puteri raja di zaman melayu lama. Spa eksklusif ini hanya menerima pelanggan yang telah berdaftar sebagai ahlinya sahaja.
            Liafara sudah menjadi ahli Sepoi Sepoi Spa ini semenjak lima tahun dahulu lagi. Saban minggu Liafara tidak ketinggalan mengunjungi Spa ini. Kecantikan seluruh tubuhnya dijaga dan dipantau oleh program penjagaan kecantikan yang telah direka khas oleh Sepoi Sepoi Spa. Rutin kehadirannya juga adalah mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh spa.
            Minggu ini, dengan ketiadaan Jamilkhir di rumah kerana outstation, yang mana sebenarnya pergi bernikah dengan bini ke tiga di ceruk sebuah kampung, Liafara mempunyai amat banyak masa terluang. Bosan duduk di rumah dengan tiada apa yang perlu dibuat, Liafara mengunjungi Sepoi Sepoi Spa, walaupun jadual rawatan badannya untuk minggu ini sudah pun dibuatnya dua hari yang lalu.
            Hari ini dia mahu membuat rawatan tambahan pada mukanya pula. Biarlah apabila suaminya pulang ke rumah hujung minggu nanti wajahnya berseri-seri sedikit. Semenjak mendapat madu, Liafara berasa tercabar dek kecantikan rupa paras si Hasnina ini. Dia harus melakukan sesuatu untuk menaikkan kembali seri wajahnya sendiri agar suaminya tidak tertumpu pada Hasnina sahaja.
            Selepas mendaftarkan diri di kaunter, Liafara pun berjalan menuju ke bilik rawatan muka. Sewaktu dia melintasi bahagian pendandanan rambut, dia terlihat akan seorang wanita yang amat dikenalinya, iaitu Hasnina madunya. Hasnina nampaknya sedang membuat hair steaming. Kehadiran Liafara ke situ tidak disedarinya kerana dia sedang begitu asyik menatap sebuah majalah. Liafara pun segera merapatinya.
            “Eh-eh… Cik Nina pun ada di sini. Cik Nina buat rambut ya?” tegur Liafara dengan mesra. Maklumlah, spa itu adalah tempat orang ramai. Jadi, tidak eloklah dia berkasar dengan madunya ini walaupun dalam hatinya ada rasa benci yang amat sangat. Perangkap kayu berpaku tajam yang dibuat oleh Hasnina dulu akan diingatinya sampai bila-bila.
            Mulanya air muka Hasnina nampak terkejut dengan munculnya Liafara secara tiba-tiba di situ. Sangkaannya mungkin Liafara akan menyerangnya untuk membalas dendam. Namun senyuman manis yang ditunjukkan Liafara meredakan debaran hatinya.
            “Eh… Cik Fara ya. Saya buat rawatan rambut sikit. Maklumlah sudah seminggu suami saya lihat fesyen yang sama saja. Bila dia pulang minggu depan ini, tentu dia gembira melihat gaya rambut baru saya ini. Nanti suami saya akan bertambah sayanglah pada saya,” jawab Hasnina dengan nada mengada-ngada. Sengaja dia membuat provokasi untuk menyakitkan hati Liafara.
            Liafara buat-buat ketawa mesra. “Oh, begitu. Sudah lamakah Cik Nina membuat rawatan rambut di spa ini? Tidak pernah pun kita bertembung sebelum ini,” katanya.
            “Oh, saya baru sahaja mendaftar sebagai ahli minggu ini. Menurut kata orang, Sepoi Sepoi Spa ini sangat bagus. Eh, Cik Fara mahu buat rawatan rambut jugakah?” tanya Hasnina.
            “Tidak. Saya mahu buat rawatan muka hari ini. Saya pun nak sambut kepulangan suami dengan rupa yang cantik dan anggun juga. Kalau kulit saya sudah licin dan gebu nanti, suami saya juga akan bertambah sayang pada saya,” balas Liafara memulangkan paku buah keras.
            “A-a’lah Cik Fara. Muka Cik Fara pun nampaknya sudah kusam dan berkedut itu. Baik Cik Fara buat rawatan cepat-cepat. Nanti kalau bertambah teruk, bimbang nanti suami Cik Fara lari tidak pulang-pulang pula,” kata Hasnina dengan selamba.
            Terbakar hati Liafara mendengarnya. Namun dikawal riak mukanya sebaik mungkin. ‘Kurang ajarnya betina bermulut longkang ini. Sekejap lagi kau rasalah balasannya,’ ujar Liafara dalam hati. Tangan Liafara mencapai tombol regulator hair steamer yang sedang digunakan mengewap rambut Hasnina. Dia memulas tombol itu ke tahap maksimum tanpa disedari oleh Hasnina.
            “Baiklah kalau begitu. Saya masuk ke dalam dululah ya, Cik Nina,” kata Liafara lalu beredar dengan segera.
            “Jangan lupa buat rawatan rambut juga nanti. Rambut Cik Fara itu dah macam besi kawat sental periuk!” provok Hasnina lagi. Namun Liafara tidak menoleh pun.
            “Tengoklah nanti, rambut siapa yang jadi macam besi kawat sental periuk,” kata Liafara sendirian dengan tersenyum mengejek.
            Pekerja spa yang akan merawat Liafara sudah bersiap sedia menunggu dengan segala bahan dan alatan yang diperlukan. Liafara dipakaikan kain penutup kepala untuk melindungi rambutnya mengurai ke muka sewaktu proses rawatan nanti. Cleanser pati buah, susu pembersih, ampoule kolagen, toner, krim pencerah dengan SPF 15, krim serum, scrub dan bahan-bahan untuk masker disusun teratur di atas troli. Begitulah juga dengan span, berus, black head remover tools, kapas dan kertas tisu.
            Liafara berbaring di atas katil yang dikhaskan untuk rawatan badan dan muka. Dia merehatkan semua anggota tubuhnya dalam keadaan relaks, memejamkan mata dan meletakkan fikiran dalam keadaan tenang. Muzik sentimental yang dimainkan sekadar hawa-hawa telinga sungguh mendamaikan jiwa. Lilin wangi yang dinyalakan menghasilkan aroma lavender semerbak membawa minda Liafara terbang melayang di taman bunga yang luas terbentang.
            Pekerja spa mulai membasahkan muka Liafara dengan span basah lembut. Cecair cleanser pati buah titikkan ke muka Liafara dan dioleskan untuk mencuci kekotoran, sisa-sisa solekan, debu, keringat, minyak dan mungkin juga bakteria ataupun virus. Buih-buih pencuci itu diratakan ke seluruh muka kecuali sekitar mata dan mulut. Kemudian buih-buih pencuci itu dilapkan semula dengan span basah.
            Langkah ke dua ialah exfoliate iaitu proses untuk menanggalkan sel-sel kulit mati dan juga kotoran degil yang menempel dalam pori-pori pada kulit wajah Liafara. Ianya tidak dapat ditanggalkan secara sempurna sewaktu menggunakan buih pembersih tadi. Salah satu bahan popular yang biasa digunakan untuk proses exfoliate ialah pembersih ber-scrub. Bahagian hidung dan kening diberikan lebih tumpuan kerana di sini terdapat lebih banyak kotoran. Setelah itu muka Liafara bilas dengan air bersih, menggunakan span basah.
            Setelah muka Liafara dilap kering, pekerja spa memasang alat stim dan menghalakan semburan stim ke mukanya. Proses ini adalah penting untuk menenangkan otot-otot muka dan menyediakan kulit muka menjadi lebih mudah untuk menyerap bahan-bahan rawatan pada langkah-langkah seterusnya nanti.
            Ketika itulah, kedamaian Sepoi Sepoi Spa itu dipecahkan oleh satu jeritan wanita yang nyaring. Sudah tentu itu suara jeritan Hasnina! Ia dituruti pula oleh bunyi kelam-kabut pembantu-pembantu spa berkejar mendapatkannya. Kepala Hasnina berasap-asap disebabkan oleh stim yang terlampau panas. Suasana menjadi kecoh. Masing-masing tertanya-tanya bagaimana ia boleh berlaku. Dalam adegan saling salah-menyalahi antara satu sama lain itu, suara Hasninalah yang paling lantang memarahi pembantu-pembantu spa. Manakala Liafara hanya tersenyum puas di bilik rawatan muka.
            Hasnina menyerbu bilik rawatan Liafara. Dia tahu, perempuan itulah yang mensabotaj proses dandanan rambutnya tadi. Ya, Liafara juga sedang menggunakan stim yang dihembuskan ke mukanya. Cepat-cepat dia memulas regulator alat stim itu ke aras maksimum. Namun ianya disedari oleh pembantu spa dan aras kepanasan stim itu diturunkan kembali. Pekerja spa itu menjegilkan mata kepada Hasnina. Hasnina terpaksa keluar dengan menahan geram.
            “Tidak apa. Akan ada peluang untuk engkau terima balasannya,” kata Hasnina sendirian. Dia tidak lagi berminat untuk meneruskan dandanan rambutnya lagi. Sebaliknya dia mencari-cari jalan bagaimana hendak membalas dendam pada madu tuanya itu.
            Selepas kira-kira sepuluh minit, stim dimatikan. Muka Liafara dilapkan sehingga kering. Pekerja spa mengambil sebiji ampoule yang mengandungi kolagen. Kepala ampoule itu dipatahkan menggunakan tisu dengan berhati-hati. Cecair ampoule itu dititiskan ke muka Liafara dan diratakan ke seluruh bahagian muka dengan urutan hujung jari. Urutan ini dijalankan selama lima minit untuknya benar-benar meresap. Ampoule ini bertujuan untuk meneutralkan kulit.
            Pekerja spa mengambil hirisan timun dan menutup kedua-dua mata Liafara. Hirisan timun itu pula dilitupi dengan kepingan kapas. Selepas itu, pekerja spa menuangkan beberapa bahan ke dalam satu mangkuk khas dan dikacau untuk sebatikannya. Bahan yang berbentuk pes putih ini disapu pada muka Liafara dengan menggunakan berus lembut, dipanggil masker. Seluruh muka Liafara diratakan dengan ketebalan yang sama kecuali bahagian mata dan mulut.
            Masker ini akan dibiarkan selama setengah jam untuknya bertindak balas memulihkan dan memperbaiki kerosakan kulit muka Liafara. Sementara itu, pekerja spa yang menguruskan Liafara keluar dari bilik rawatan untuk berehat seketika. Maka tinggallah Liafara seorang. Dia mengambil masa ini untuk melelapkan mata.
            Di kala inilah Hasnina mengambil peluang masuk ke bilik rawatan Liafara. Baguslah mata Liafara sedang ditutup, makin mudahlah kerjanya. Matanya melilau-lilau ke segenap penjuru bilik mencari kalau-kalau ada benda yang berguna untuk tujuannya itu. Maka ternampaklah dia akan sebotol cecair pencuci mangkuk tandas berjenama ‘Hapic’ di atas satu rak di tepi pintu masuk bilik air.
            Hasnina mengambil botol Hapic itu lalu memicit isinya ke dalam mangkuk bancuhan masker Liafara. Dia mengacau cecair Hapic itu dengan lebihan masker yang ada. Masker asal dimuka Liafara dikautnya dengan menggunakan span. Kemudian Hasnina menyapu semula masker yang bercampur cecair Hapic yang dibancuhnya ke muka Liafara. Liafara tidak mengesyaki apa-apa. Dia hanya menyangka pekerja spa yang melakukannya. Dia terus melayan mimpi separa lenanya…
            Sebaik licin mangkuk bancuhan masker diceduk, Hasnina meninggalkan bilik itu dengan segera. Namun dia tidak pergi jauh, hanya duduk di sofa berhampiran dan buat-buat membaca majalah. Dia mahu menyaksikan sendiri bagaimana reaksi madu tuanya itu merasa penangan ramuan masker ajaib ciptaannya tadi.
            Dan dalam selang masa setengah jam, pengunjung-pengunjung spa yang lain bersama pekerja-pekerja spa dapat mendengar satu lagi jeritan yang nyaring. Tetapi kali ini tunenya berbeza kerana dialunkan oleh orang yang berlainan. Maka berkejaranlah pekerja-pekerja spa ke bilik rawatan di mana Liafara berada pula. Hasnina sempat menjenguknya sebentar. Suasana menjadi kecoh dan kelam-kabut serupalah dengan apa yang dialaminya sebentar tadi.
            “Rasakan!” kata Hasnina. Dia pun bergegas meninggalkan salun itu dengan hati yang puas.
                                                                        *****
            Sementara itu pada waktu yang sama, nun jauh di Kampung Pengkalan Berangan, suasananya berbeza sama sekali. Jamilkhir sedang membawa isteri barunya, Rudjini bersiar-siar keliling kampung dengan kereta dengan aman dan bahagia sekali. Mereka bergurau senda dan bergelak ketawa dengan penuh mesra.
            “Abang, apa khabar dengan isteri-isteri abang yang lain?” Rudjini mengalih perbualan kepada tajuk baru.
            “Kenapa Jini tanya?” soal Jamilkhir kembali. Dia agak terganggu dengan soalan itu.
            “Ye lah, nak juga Jini bertanya khabar. Bukan orang lain pun, madu-madu Jini juga,” kata Rudjini.
            “Biarkanlah mereka. Buatlah apa yang mereka nak buat. Sekarang adalah masa untuk kita berdua, usah fikirkan pasal mereka,” kata Jamilkhir acuh tak acuh.
            Rudjini perasan yang suaminya kelihatan tidak selesa bercakap soal itu. “Tentu kedua-dua mereka baik amat baik hati, ya bang. Kalau orang lain, belum tentu benarkan suami berkawin kali ke tiga,” katanya lagi.
            “Itulah pentingnya berlaku adil dan saksama. Semua isteri abang hidup gembira kerana abang layan sama rata. Kak Faridah dan Kak Halimah kamu memang baik sekali orangnya,” balas Jamilkhir. Dia mengharapkan agar Rudjini tidak memperpanjangkan bercakap pasal isteri-isterinya yang lain itu lagi.
            “Untunglah abang dapat isteri-isteri macam mereka. Jini pun rasa bertuah sebab bermadu dengan mereka. Bilalah dapat Jini bertemu mereka. Terigin sungguh nak kenal-kenal,” luah Rudjini.
            Jamilkhir terbatuk tanpa sebab dengan tiba-tiba. “Jom, kita dengar lagu,” katanya. Dia menekan butang on pada pemain radio keretanya. Untuk memulihkan suasana romantik yang telah menjadi tawar itu, Jamilkhir membuat tuning mencari siaran radio Kasik Nasional.
            “Lagu ini ditujukan khas untuk lelaki-lelaki yang berpoligami. Terimalah lagu Madu Tiga Suku yang dinyanyikan oleh seorang artis serba boleh, Bee Lam Lee…” umum seorang deejay lelaki di siaran Klasik Nasional itu lalu dituruti oleh muzik intro lagu tersebut.
            Tepat benar tujunya lagu itu. Jamilkhir pun turut serta menyanyi, tetapi dengan liriknya yang tersendiri.
                        Susahnya dalam hati
                        Kalau berbini dua
                        Neraka dunia ini
                        Akulah yang naya

                        Ganasnya bini tua
                        Letupkan senapangmu
                        Samsengnya bini muda
                        Pacak paku pada kayu

                        Bini tua mengamuk
                        Tembak ke rumah bini muda
                        Bila dua-dua mengamuk
                        Aku berbini tiga

                        Dua-dua kena kelentong
                        Dua-duanya akal kurang
                        Tetapi kalau kantoi
                        Mampus aku tak pulang
            Jamilkhir juga mengetuk-ngetuk jarinya pada stereng mengikut irama lagi itu…

Selasa, 15 Mei 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 13


13.      Geng Parang Kontot
            Nampaknya pertembungan dua kumpulan dalam Parti Parang di kawasan Parlimen Kangkung Jaya ini tidak dapat dielakkan lagi. Dato’ Kontot yang merupakan penyandang Pengerusi Parti di kawasan ini berasa tergugat. Dia yakin YB Sumbing tidak akan mampu mencabarnya kerana dia mempunyai sebuah pasukan yang kuat. Pasukan Dato’ Kontot ini digelar sebagai Geng Parang Kontot oleh YB Sumbing dan pasukannya.
            Geng Parang Kontot ini dianggotai oleh otai-otai parti yang setia pada Dato’ Kontot. Mereka ini dipilih daripada setiap cawangan dalam kawasan Kangkung Jaya ini sebagai penggerak kempen di cawangan masing masing. Kini Dato’ Kontot menerima dua anggota Geng Parang Kontot yang baru, iaitu Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Kedua-dua penyamun ini akan ditugaskan di Cawangan Kampung Kangkung Kering.
            Malam sudah larut, tetapi pejabat Dato’ Kontot masih terang benderang. Dato’ Kontot bersama dua pembantu barunya sedang rancak berbincang sambil minum kopi.
            “Walaupun sokongan pada saya masih kukuh di Kampung Kangkung Kering, saya mahu Penyamun Mata Cangkul dan Penyamun Kuali berdua bergerak di sana untuk menarik orang-orang atas pagar. Tarik semua supaya jadi pengikut kita, jangan tinggal walau seorang pun,” kata Dato’ Kontot.
            “Ya, tiada masalah. Kami akan culik mereka dan bawa ke rumah Dato’. Kami akan tolong Dato’ berunding dengan mereka. Kita tawarkan mereka duit. Kalau mereka menolak juga, kita ugut sahaja,” sambut Penyamun Mata Cangkul bersemangat.
            “Tidak boleh. Mana saya mahu letak mereka ramai-ramai? Kalau anak ayam, bolehlah isi dalam kotak biskut, tapi ini manusia. Untuk seorang dua bolehlah, tapi ini berpuluh orang. Idea kamu bagus, tetapi tidak praktikal,” tegah Dato’ Kontot.
            “Jadi apa yang perlu kami buat?” soal Penyamun Mata Cangkul.
            “Pergi jumpa mereka seorang demi seorang dan pujuk mereka. Berikan mereka sedikit ole-ole juga,” kata Dato’ Kontot.
            “Bukankah Pengerusi JKKK dan orang-orang kuat lain di kampung itu boleh lakukan sendiri? Mereka lagi dikenali oleh orang-orang kampung,” Penyamun Kuali mengeluarkan pendapatnya pula.
            “Mereka sudah lakukan, tetapi kurang berjaya. Ini kerana golongan di atas pagar ini terdiri daripada orang-orang yang tidak menyukai Pengerusi JKKK dan pemimpin-pemimpin cawangan yang lain,” jelas Dato’ Kontot.
            “Apa pasal pula mereka tidak sukakan Pengerusi JKKK?” soal Penyamun Kuali.
            “ Ada diantaranya yang pernah merajuk kerana tidak dapat bantuan. Contohnya… yalah, kalau setiap cawangan diberi peruntukan bantuan dua puluh kampit beras, mestilah hanya dua puluh keluarga sahaja yang dapat, sekampit beras satu kelurga. Kalau dalam cawangan itu ada seratus keluarga, pasti yang lapan puluh keluarga lagi tidak akan dapat. Takkanlah beras sebanyak itu hendak dibahagikan pada semua orang. Nanti setiap orang dapat segenggam sahaja,” kata Dato’ Kontot lalu tergelak kecil.
            “Takkanlah pasal beras pun nak merajuk. Bukankah orang-orang kaya boleh beli beras sendiri?” Penyamun Mata Cangkul kurang setuju.
            Dato’ Kontot menghirup kopinya. “Apa nak buat. Orang kita ini tidak kira kaya atau miskin, semuanya mahu bantuan. Tidak tahu malu langsung. Dulu ada seorang perempuan tua datang ke pejabat saya ini merayu minta diberikan wang insan. Yang peliknya, dia dihantar oleh anaknya dengan menaiki kereta Mercedes,” luahnya dengan kesal.
            “Dato’ berikah?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Terpaksa berilah. Kalau tidak perempuan itu tidak mahu menyokong saya lagi,” jawab Dato’ Kontot pantas.
            “Jadi, macam mana kami hendak menarik orang-orang atas pagar yang kaya-raya? Berapa banyak bantuan yang Dato’ nak beri pada mereka?” tanya Penyamun Kuali pula.
            Dato’ Kontot menarik nafas panjang. Dia menyandarkan belakangnya ke sofa. “Kita tumpukan sasaran kita pada orang-orang yang miskin dulu. Orang-orang yang kaya ini biasanya ada pelajaran tinggi dan susah untuk ditarik. Kalau orang-orang miskin, apa lagi yang bodoh dan lemah, amat senang. Macam budak-budak yang ditaburkan dengan gula-gula, tidak perlu dipanggil pun mereka akan serbu. Mana mereka nak tolak, malah sanggup berebut-rebut pula,” kata Dato’ Kontot.
            “Apa yang Dato’ hendak beri pada mereka?” soal Penyamun Kuali.
            “Apa cadangan kamu berdua?” Dato’ Kontot menyoal kembali.
            “Hmm… apa kata kalau kita beri mereka buah tangan yang lebih eksklusif. Benda yang mereka tidak pernah terima sebelum ini,” cadang Penyamun Kuali bersungguh-sungguh.
            “Apa bendanya?” Dato’ Kontot semakin berminat.
            “Kita beri kuali pada mereka,” kata Penyamun Kuali.
            “Bagus itu, tetapi kuali hanya sesuai diberikan pada orang perempuan. Bagaimana pula dengan orang lelaki?” Dato’ Kontot mengurut-ngurut misainya.
            “Kita berikanlah orang lelaki dengan hadiah mata cangkul. Pasti mereka suka,” celah Penyamun Mata Cangkul.
            “Ha, bagus… itu cadangan yang bagus,” kata Dato’ Kontot lalu ketawa. “Kamu berdua memang berotak geliga. Tidak sia-sia saya mengambil kamu berdua jadi pembantu.”
            Kedua-dua penyamun itu tersenyum bangga.
            “Tapi sayang sedikit, Nujum Pak Belukang sudah berpaling tadah pada YB Sumbing. Jika tidak, kamu sudah bertiga sekarang. Lagi kuatlah geng kita di Cawangan Kampung Kangkung Kering,” ujar Dato’ Kontot sedikit kesal.
            “Apa yang Dato’ hendak hairankan sangat dengan Nujum Pak Belukang itu? Kami berdua ini lebih handal daripadanya,” kata Panyamun Kuali.
            “Ya, benar tu Dato’. Nujum Pak Belukang itu ilmunya hanya sejengkal panjangnya. Ibarat macam budak-budak belum bersunat sahaja. Kami lagi banyak ilmu dari Nujum Pak Belukang,” tambah Penyamun Mata Cangkul pula.
            “Ya, betul, betul. Kita lupakan sahaja dia. Mari kita fikirkan pasal gerak kerja kita. Kita tidak perlu buang masa lagi. Besok saya akan dapatkan barang-barang itu dan akan beri terus kepada kamu berdua untuk diagihkan,” ujar Dato’ Kontot.
            “Ya, dapat sahaja barang-barang itu besok, besok juga kami akan agihkan terus,” kata Penyamun Kuali.
            “Bagus, tapi jangan hanya beri hadiah sahaja. Ajaklah mereka berbual dengan mesra. Tanya apa masalah mereka. Bila nampak mereka sudah senang dengan kita, mulalah masukkan jarum. Beritahu mereka, saya akan terus berikan apa sahaja bantuan selepas menang pemilihan nanti. Minta mereka sedikit pertolongan yang sungguh mudah, iaitu sokonglah saya. Itu sahaja,” ujar Dato’ Kontot.
            “Beres!” ujar kedua-dua penyamun itu.
                                                                        *****
            Satu petang seminggu selepas itu, di atas bumbung balairaya, dua orang penyamun sedang terjengket-jengket meniti di atas atap genting.
            “Engkau kena langkah baik-baik. Silap langkah karang, boleh runtuh bumbung ini,” pesan Penyamun Kuali.
            “Aku bukan berat sangat pun. Tidaklah sampai boleh runtuh bumbung balairaya ini. Engkau ni mengarutlah,” sanggah Penyamun Mata Cangkul.
            Penyamun Kuali berhenti melangkah lalu berpaling pada rakan karibnya itu.
            “Mengarut apanya? Engkau tidak tengok ke bumbung stadium bola yang berpuluh kali besar lagi daripada balairaya ini yang runtuh itu? Tidak ada sesiapa pun yang panjat bumbung itu, tapi runtuh juga,” ujar Penyamun Kuali.
            “Mereka silap buat bumbung stadium itu pakai besi. Bumbung itu jadi sangat berat, sebab itulah ia runtuh. Cuba pakai bumbung daun nipah, pasti tidak runtuh,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Apa kau ingat stadium itu macam bangsal dalam dusun duriankah mahu pakai atap daun nipah? Low class…” Penyamun Kuali mencengihkan mukanya.
            “Tidak guna high class pun kalau sudah runtuh. Kontraktor yang bina stadium itu dulu kurang cerdik,” Penyamun Mata Cangkul menempelak pula.
            Penyamun Kuali bercekak pinggang. “Habis tu, kalau engkau cerdik, kenapa tidak engkau sahaja yang bina? Tidak pun, sekurang-kurangnya engkau ambil subkontrak bahagian bumbungnya sahaja sudah cukup,” ujarnya.
            “JKR tidak mahu bagi aku tender projek stadium itu sebab aku belum ada lesen kelas A,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Habis tu, lesen apa yang engkau ada?” soal Penyamun Kuali dengan mengangkat keningnya.
            “Lesen P motosikal aku adalah…” jawab Penyamun Mata Cangkul lalu tergelak kecil.
            “Aku dengar orang kata lesen P ini Lesen Pinjam. Betulkah?” Penyamun Kuali menyoal lagi.
            “Entahlah. Takkan nak buat stadium pun pakai lesen pinjam. Tapi, kalaulah aku yang buat, aku buat dengan atap nipah sahaja sebab dapat jimat lagi banyak kos. Aku akan dapat lagi banyak untung daripada kontraktor yang buat bumbung itu. Kontraktor itu tidak cerdik pasal dia hendak jimat kos, tapi guna besi murah. Besi murah ini sudahlah berat, lembut pula. Manalah bumbung itu tidak mahu runtuh,” terang Penyamun Mata Cangkul dengan loyar buruknya.
            Penyamun Kuali menggaru-garu belakang tengkuknya yang tidak gatal. Hendak disokong kata-kata kawannya itu, nampak sangatlah bangangnya. Kalau hendak dibangkang pula, lagi panjanglah perdebatan itu jadinya.
            “Hmm… bumbung stadium, bumbung stadium juga. Kerja kita ini bila nak bergerak kalau asyik sembang sahaja?” tanya Penyamun Kuali akhirnya mengalih tajuk.
            Sebenarnya tujuan mereka memanjat bumbung balairaya pada petang itu adalah untuk menggantungkan satu banner besar. Banner ini dibuat khas untuk memberi tahu pada orang ramai tentang sumbangan yang dijalankan oleh mereka pada orang-orang kampung sepanjang minggu yang lalu. Banner itu dapat dilihat dengan jelas dari jauh oleh pengguna-pengguna jalan raya.
            Paparan gambar muka Dato’ Kontot yang tersenyum mesra pada banner bagaikan mengalu-alukan orang kampung melihatnya. Di sebelah kiri banner itu, turut dipaparkan ialah gambar Penyamun Kuali sedang menyampaikan sebiji kuali besar kepada seorang nenek tua. Manakala di sebelah kanan pula terdapat gambar Penyamun Mata Cangkul sedang menyumbangkan sebilah mata cangkul pada seorang lelaki tua. Barangkali nenek dan lelaki tua ini adalah pasangan suami isteri. Kedua-dua gambar penyamun itu juga turut tersenyum lebar.
            Di bahagian bawah banner itu pula dicetak dengan ayat ‘Sokonglah Dato’ Kontot, Pemimpin Yang Pemurah”. Banyak lagi banner dan poster sebegini dipaparkan di simpang-simpang jalan, di pasar, di perhentian bas dan di masjid. Namun banner yang digantung pada balairaya inilah yang paling besar sekali.
            Namun disebalik banner yang nampak amat perihatin itu, ada suatu perkara yang telah dilakukan oleh kedua-dua penyamun ini tidak diketahui oleh orang lain, waima Dato’ Kontot sendiri pun. Sebenarnya, lebih daripada separuh kuali dan mata cangkul yang dibekalkan tidak sampai kepada penerima-penerima sasaran. Hanya belasan unit sahaja disampaikan oleh penyamun-penyamun itu. Selebihnya dibawa ke kedai besi buruk untuk dijual.
            Penyamun-penyamun ini tidak mempedulikan sangat sama ada penerima sumbangannya itu berubah sokongan kepada Dato’ Kontot atau tidak. Apa mereka hendak kisahkan, bukan mereka pun yang akan bertanding nanti. Yang penting, habuan upah untuk mereka mesti lumayan. Dan hasil jualan kuali dan mata cangkul ini berjaya meningkatkan lagi aras katung duit mereka. Penyamun semestinya licik bertindak, walaupun pada bos sendiri.
            Sebaik selesai memasang banner, mereka memaklumkannya pada Dato’ Kontot. Dalam masa tidak sampai setengah jam kemudian, Dato’ Kontot pun tiba untuk melihatnya. Kembang hidung Dato’ Kontot dengan hasil kerja dua orang pembantunya itu.
            “Bagus! Bagus! Biar penyokong-penyokong YB Sumbing tengok. Lepas ini mereka tentu akan menyokong saya pula kerana cemburu pada yang dapat kuali dan mata cangkul itu,” puji Dato’ Kontot dengan megahnya.
            “Jikalau mereka cemburu, pasti lebih ramai lagi nanti orang kampung datang minta kuali dan mata cangkul. Bagaimana kami hendak beri lagi? Semuanya sudah habis,” kata Penyamun Kuali.
            “Jangan bimbang. Sebut sahaja berapa biji kuali dan mata cangkul yang diperlukan lagi. Saya akan hantar walaupun seratus biji. Itu masalah kecil,” kata Dato’ Kontot sambil menepuk-nepuk bahu kedua-dua orang penyamun itu.
            Maka semakin lebarlah senyuman Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Di depan mata mereka sudah terbayang berapa banyak habuan yang akan mereka gelapkan nanti…
                                                                        *****
.           Petang esoknya ketika melintasi balairaya, Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul terperanjat. Mereka mendapati banner yang mereka pasang semalam telah diconteng. Perkataan ‘Sokonglah’ dan ‘Pemurah’ telah disembur dengan cat putih. Perkataan lain pula ditulis di atasnya menjadikan ayat asal berubah kepada ‘Tumbanglah Dato’ Kontot, Pemimpin Yang Rasuah’.
            Mereka menangguhkan tujuan mereka untuk berjumpa dengan prospek-prospek kempen. Mereka terpaksa mengikis semula cat pada banner itu sebelum dilihat oleh Dato’ Kontot. Nasib baiklah tidak banyak bahagian yang diconteng kerana bahagian bawah banner itu sahajalah yang mampu dicapai oleh orang dari atas tanah. Mereka mengikisnya bersungguh-sungguh sehinggalah banner itu langsung tembus.
            Tidak semena-mena Dato’ Kontot terpancul di situ dengan kereta Babusnya. “Apa sudah jadi dengan banner kita?” tanyanya.
            “Entahlah Dato’. Ada orang rosakkan banner ini,” kata Penyamun Kuali. Nasib baiklah perkataan yang tidak elok tadi telah ditanggalkan walaupun masih belum sempurna. Bagaimanapun Dato’ Kontot tiba-tiba melenting selepas membelek banner itu.
            “Dato’ Kontot Pemimpin Murai? Kurang ajar siapa yang buat khianat ini,” marah Dato’ Kontot. Sungguh kedua-dua penyamun itu tidak menyangka, ayat yang belum siap dibaiki itu sudah pun membentuk ayat baru. Ayat baru itu tidak kurang juga tajam maknanya.
            “Dato’ jangan bimbang. Kami akan menampal tempat yang rosak ini,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Baiklah, saya serahkan pada kamu berdua sahaja untuk selesaikan,” ujar Dato’ Kontot sebelum berlalu pergi.
            “Fuh, nasib baik dia tidak mengamuk. Selamat periuk nasi kita,” Penyamun Mata Cangkul mengeluh lega.
            Mereka berhenti seketika untuk melepaskan penat. Bunyi ketawa kedengaran mengganggu lamunan mereka. Rupa-rupanya ada sekumpulan budak-budak sekolah yang berhenti di tepi balairaya.
            “Apa yang kamu semua buat di sini? Pergi! Pergi!” Penyamun Kuali menjerkah. Bagaimanapun budak-budak itu nampaknya tidak takut. Mereka hanya tersengih-sengih.
            “Pergi! Pergi!” jerit Penyamun Kuali lagi sambil meluru dengan sebatang kayu. Barulah budak-budak itu kelam-kabut mengayuh pergi basikal masing-masing.
            “Dato’ Kontot Pemimpin Murai!” jerit salah seorang daripadanya setelah agak jauh. Penyamun Kuali membaling kayunya dengan geram, tetapi balingannya menyimpang daripada sasaran. Dia cepat-cepat lari bersembunyi apabila melihat kayu itu  melayang berputar-putar masuk ke dalam sebuah kedai runcit.
                                                                        *****
            Hari berikutnya, penyamun-penyamun datang lagi ke balairaya untuk memeriksa banner. Mereka lega kerana banner yang baru mereka perbaiki semalam itu tidak disabotaj lagi. Mereka pun terus berlalu untuk meneruskan tugas mengempen orang-orang kampung.
            Dek kerana sibuk, mereka tidak sempat datang memeriksa pada hari yang seterusnya. Mereka mengandaikan banner itu tidak akan diconteng lagi. Bagaimanapun, tengah hari itu mereka menerima panggilan mengejut daripada Dato’ Kontot. Dato’ Kontot meminta mereka datang segera ke balairaya dengan nada yang sangat marah.
            Sebaik tiba, kedua-dua penyamun itu tergamam bila melihat banner yang tergantung di dinding balairaya. Banner itu jika dilihat sekali imbas memang nampak serupa macam banner yang dibuat oleh mereka dulu. Setelah diperiksa, sahlah itu adalah banner lain yang baru diletakkan menggantikan banner mereka.
            Tanda tanya tentang kemarahan mendadak Dato’ Kontot terjawab bila mereka melihat wajah Dato’ Kontot itu telah diedit. Kedua-dua matanya ditukar kepada mata anaconda. Telinganya pula diubah menjadi bentuk kuali. Manakala giginya ditukar dengan mata cangkul. Patutlah ramai orang kampung yang berkerumun menjadi riuh rendah! Banner itu pun diturunkan dengan segera dan terus dibakar.
            Beberapa hari kemudian, sewaktu Dato’ Kontot singgah di gerai pisang goreng Kak Ramlah, darahnya tiba-tiba menyirap. Banner asal kempen sumbangan kuali dan mata cangkulnya dulu sudah dibuat kanopi gerai itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Dato’ Kontot mengamuk. Namun bila mengenangkan Kak Ramlah itu  seorang janda beranak empat, hati Dato’ Kontot melembut pula.
            Setelah diselidiki, rupa-rupanya Kak Ramlah telah memungut banner itu  di tempat pembuangan sampah. Daripada terbuang begitu sahaja, lebih baik dia ambil buat kanopi warung, katanya. Nyatalah Kak Ramlah tidak bersalah dalam hal ini. Dan tidak rasionallah pula jika Dato’ Kontot memarahinya.
            Apabila Dato’ Kontot meminta kembali banner itu , Kak Ramlah dengan relanya bersetuju, tetapi dengan syarat dia mesti diberikan kanopi yang baru!

Khamis, 10 Mei 2012

Cintan Si Cilik - Bab 13


13        Cik Tun Gerudi

Riuh dan sibuk. Itulah gambaran keadaan Pasar Pekan Manir pada suatu pagi Sabtu. Tidak berbeza dengan kelazimannya pada pagi-pagi sabtu lain sebelumnya. Segala jenis orang datang dari segenap ceruk mukim Manir dan mukim-mukim berhampiran memeriahkan acara jual beli di pasar yang wujud sejak awal zaman merdeka lagi itu.
Maimun dan Rahman menyertai orang ramai berpusu-pusu menjenguk dari gerai ke gerai. Di pasar ini mereka mudah mendapatkan barang-barang basah yang segar pada harga yang murah, di samping barang-barang keperluan lain. Itulah rutin mingguan keluarga Maimun untuk mendapatkan bekalan keperluan dapur, bagi stok yang boleh bertahan antara tiga hari hingga seminggu.
Cik Tun juga turut mengikut mereka pada pagi itu. Kebiasaanya Cik Tun hanya pergi ke pasar menaiki bas, namun kerap kali juga dia menumpang Maimun dan Rahman. Rahman bukannya gemar sangat membawa Cik Tun bersama kerana Cik Tun gemar membeli terlalu banyak barang sehinggakan penuh but keretanya. Malah ruang tempat duduk pun sendat dengan barang-barangnya juga.
Lagipun Cik Tun tidak mempedulikan sangat untuk membungkus barang-barang basahnya elok-elok. Akhibatnya, ruang barang kereta Rahman sering dikotori dengan cecair lelehan dari ikan dan daging, yang mana turut memberikan aroma yang kurang menyenangkan juga. Namun untuk mengatakan tidak bila Cik Tun datang merengek untuk menumpang keretanya, juga kurang bijak. Nanti tak pasal-pasal percuma sahaja mereka jadi bahan umpatan Cik Tun pada jiran-jiran yang lain.
Cik Tun berjalan laju mendahului Maimun dan Rahman. Tiba di sebuah gerai menjual pakaian, dia berhenti dan membelek-belek baju-baju yang tergantung. Pelbagai jenis dan ukuran baju dipamerkan termasuklah pakaian-pakaian dalam wanita. Cik Tun nampaknya begitu berminat dengan sehelai coli yang berwarna coklat. Ianya diperbuat daripada fabric yang agak jarang dan ada hiasan renda-renda pula.
“Cantik kan, Maimun?” Cik Tun meminta pendapat Maimun.
“Cantik,” kata Maimun mengangguk. Dia berasa kurang selesa berdiri lama-lama di situ. Cik Tun pula belum puas-puas membelek coli itu. Segenap bucu ditiliknya. Sekejap-sekejap ditariknya bahagian coli itu di sana sini. Setiap orang yang melintas pasti memandang Cik Tun dengan perasaan jengkel. Rahman pula sudah menghilang entah ke mana.
“Boleh cuba ke dik?” tanya Cik Tun pada penjual. Mata Maimun terbeliak, sementara mulutnya melopong. Lidahnya menjadi kelu.
“Boleh kak. Apa salahnya,” jawab si penjual dengan tersenyum. Pada fikirannya Cik Tun hanya bergurau.
Namun tanpa diduga, Cik Tun menyarung coli itu dan mengenakan cangkuknya.
“Cik Tun!” jerit Maimun. Dia terkejut sakan dengan tindakan jirannya itu.
“Buka balik! Buka balik,” gesa Maimun.
“Kenapa?”
“Buka balik cepat,”
“Tak cantik ke?”
“Eeee!…” Maimun melepaskan geramnya. Kemudian dia menyusup ke celah-celah gantungan pakaian lalu menjauhkan diri daripada Cik Tun. Dia rela mengaku tak kenal akan Cik Tun daripada menjatuhkan air mukanya pada orang ramai yang lalu di situ. Cik Tun masih berpusing-pusing menggayakan coli yang diminatinya itu.
“Kalau dah berkenan tu, beli sajalah. Ini dicubanya pula,” Maimun menggerutu sendirian. Menyesal pula mengajak Cik Tun bersama tadi. Tak apa, masa balik nanti aku akan sound dia cukup-cukup, tekad hati Maimun.
“Maimun, nampak mantap tak body aku dengan coli ni? Eh, mana kau?” tanya Cik Tun dengan meninjau-ninjau sekeliling.
 “Mantap! Mantap! Akak sungguh cantik. Nampak seksi sekali. Hahaha…” sampuk tauke gerai. Rupa-rupanya dia memerhatikan gelagat Cik Tun sejak tadi lagi.
“Cubalah seluar dalam itu juga. Manalah tahu ada yang padan,” celah satu suara garau. Cik Tun berpaling. Seorang lelaki separuh umur tersengih padanya.
“Tak hingin!” Cik Tun mencebik bibir. Lantas dia membuka coli yang dicubanya.
“Dik, Akak mahu yang ini. Berapa harganya?” tanya Cik Tun.
“Barang baik mestilah mahal,” lelaki bersuara garau tadi menyampuk lagi.
“Lima belas ringgit saja kak, tapi boleh kurang lagi,” kata si penjual.
“Tak perlu kurang. Akak bayar lima belas ringgit terus,” tegas Cik Tun lalu membuka tas tangannya. Rupa-rupanya di dalam tas itu hanya ada tiga ringgit. Dia baru teringat sesuatu. Berderau darahnya. Macam mana ni? getus hatinya. Takkan nak batalkan pula pembelian itu. Lagipun lelaki bersuara garau tadi masih ada lagi di situ.
“Kenapa cik adik? Tak cukup duit ke? Saya boleh tolong belanja,” kata lelaki bersuara garau itu sinis.
Cik Tun rasa sungguh tercabar. Dia tiada pilihan lagi. Lantas dia menyeluk ke dalam baju kebayanya melalui lubang kolar, lalu menarik segumpal duit kertas.
“Wow! Simpan duit dalam baju kecik juga. Hehehe…” lelaki bersuara garau itu ketawa. Cik Tun tidak menghiraukannya. Dia menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit pada si penjual.
“Wangi duit akak. Akak bubuh bedak Johnson & Johnson ya?” tanya si penjual.
“Cepatlah,” gesa Cik Tun dengan menyerigaikan giginya.
“Eh, jangan marah kak, saya minta maaf,” kata si penjual dengan tergesa-gesa memulangkan wang baki bersama bungkusan coli tadi.
Selepas itu Cik Tun cepat-cepat meninggalkan gerai itu.

                                                                        *****

Petang itu Imi bersama Nia merayau-rayau di pinggir semak sekitar kawasan rumahnya. Dia meninjau-ninjau jikalau ada pokok kiat yang berbuah di situ. Kalau ada tak perlulah mereka pergi jauh-jauh ke kaki Bukit Pipit lagi. Namun mereka hampa. Usahkan nak jumpa buah kiat yang masak ranum, pokoknya pun tiada walau sebatang di situ.
            “Nanti kalau aku dah dewasa, aku nak tanam pokok kiat banyak-banyak. Barulah senang nak makan buah kiat,” Imi merungut. Dia menghempaskan belakangnya pada sebatang pokok melepaskan penat. Sedar tak sedar mereka telah berada hampir dengan kawasan belakang rumah Cik Tun.
            “Ada ke orang tanam pokok kiat? Pokok durian dengan rambutan adalah,” balas Nia.
            “Habis tu, macam mana ni? Nak kena pergi kaki Bukit Pipit juga ni. Tempat lain mana ada pokok kiat lagi,”
            “Aku tak kisah,”
            “Jomlah,” ajak Imi.
            “Nanti,”
            “Kenapa?”
            “Cuba dengar tu,”
            “Dengar apa?”
            “Tu, suara Cik Tun nyanyi, hehehe…” Nia tergelak kecil.
            “Eh, yelah. Jom kita pergi tengok,” Imi mengiakan. Suara Cik Tun yang unik itu mendayu-dayu dari jauh.
            “Jom. Mungkin Cik Tun tengah berkaraoke,” sambut Nia.
            Kedua-dua budak itu berjalan terhendap-hendap menghampiri dapur rumah Cik Tun. Suara nyanyian Cik Tun semakin jelas kedengaran. Bunyinya sungguh riang dan gembira.
            Dari celah tingkap naco, mereka dapat melihat Cik Tun menari-nari sambil menyanyi dengan hanya memakai coli dan kain batik sarung. Memang benar Cik Tun sedang berkaraoke, tetapi bukannya dengan mikrofon. Cik Tun menggunakan senduk sebagai ganti, yang mana bahagian pencedok yang dihalakan ke mulutnya jauh lebih besar daripada kepala mikrofon!

…Hangat-hangatnya mentari
Tak sehangatnya cintaku ini
Kepadamu yang aku kasihi
Sampai ke akhir hayat ku nanti
Bunga-bunga bunganya asmara
Harumnya mekar di dalam dada…

Begitulah lagu Amelina ‘Semakin Rindu Semakin Asyik’ yang didendangkan semula dengan sumbangnya oleh Cik Tun. Sambil melenggang dengan lemah gemalai, dia mengacau gulai dalam periuknya di atas dapur. Kemudian dia menghala semula kepala senduk itu ke mulutnya dan digoyang-goyangkan bagaikan mikrofon, sambil dia menyanyi. Selepas itu dia mengacau gulainya semula dan seterusnya dimikrofonkannya semula. Dia melakukannya berulang-ulang kali.
Dengan tak semena-mena Cik Tun melangkah setapak ke belakang dan membuat satu gelek gerudi. Wow, gaya maut!
Imi dan Nia tidak dapat lagi menahan geli di hati. Lantas mereka berlari meninggalkan dapur Cik Tun sambil menekup mulut. Setelah agak jauh, mereka berhenti di bawah sepohon jambu mawar. Dalam termengah-mengah, mereka melepaskan ketawa semahu-mahunya di situ. Imi cuba meniru gaya Cik Tun buat gelek gerudi. Namun dia jatuh terjelepok ke tanah. Mereka ketawa lagi.
            “Jom kita intai Cik Tun lagi,” ajak Nia selepas puas ketawa.
“Jom,” sahut Imi.
Sekali lagi kelihatan dua budak terhendap-hendap menghampiri tingkap dapur Cik Tun. Cik Tun tidak lagi menari riang seperti tadi. Sebaliknya dia duduk bersimpuh di lantai sambil memotong timun. Sambil itu Cik Tun mendendangkan irama sayu. Bunyinya seperti muzik latar dalam adegan sedih sebuah drama melayu di televisyen.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…” begitu asyik Cik Tun mengalunkan dengan sepenuh hati. Dia sebenarnya sedang membayangkan seorang lelaki kacak sebagai suaminya pulang ke rumah. Suaminya datang menghampirinya senyap-senyap dari belakang untuk membuat surprise. Pastinya suaminya akan terpesona bila melihat dia bergaya dengan coli baru itu.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…”
Sesekali kepala Cik Tun melentok-lentok perlahan, mengikut panjangnya alunan bait-bait melodi lagu sendunya. Dia merasakan suaminya sedang memeluk pinggangnya. Dan selepas ini sudah tentulah suaminya akan membelai rambut dan mencium pipinya pula.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…”
Sementara itu, Imi dan Nia tiba-tiba tergamam bila nampak seekor anak lembu memasuki pintu dapur Cik Tun yang terbuka. Entah anak lembu siapa yang tersesat itu. Anak lembu itu perlahan-lahan menghampiri Cik Tun dari belakang.
Nia mahu menjerit memberitahu pada Cik Tun. Tetapi Imi segera menekup mulut Nia. Imi berbisik pada Nia, “Biar saja. Kita tengok macam mana Cik Tun melatah nanti. Tak mungkin seekor anak lembu boleh mengapa-apakan Cik Tun. Tanduknya pun belum tumbuh”.
Nia pun membatalkan hasratnya. Kelihatan anak lembu itu menghidu-hidu kepala Cik Tun. Kemudian ia menjelirkan lidah dengan panjangnya lalu menjilat pipi Cik Tun.
Cik Tun yang masih lagi berkhayal, merasa sungguh gembira. Tak sangka angan-angannya menjadi nyata. Dia pun berpaling dengan riangnya untuk membalas ciuman ‘suaminya’ itu. Namun sedetik kemudian Cik Tun terjerit-jerit bagaikan terkena histeria! Tunggang-langgang habis besen yang berisi timun di depannya.
            Serentak itu Imi dan Nia menghambur ketawa dengan kuatnya. Sudah sekian lama perut mereka senak menahan tawa. Keadaan yang tiba-tiba riuh rendah itu menyebabkan anak lembu sungguh terkejut lalu menghambur lari keluar.
            Sebaik sahaja melihat Imi dan Nia ketawa berdekah-dekah di luar tingkap dapurnya, Cik Tun beralih menjerit dan memaki hamun mereka pula. Tanpa membuang masa, Imi dan Nia juga menghambur lari seperti anak lembu tadi. Walaupun Cik Tun tak mungkin akan mengejar mereka, bimbang juga jikalau Cik Tun membaling dengan pisau ataupun batu lesung!
            Belum sempat mereka naik ke atas jalan tar, mereka melihat Riduan sedang berjalan pantas ke arah mereka. Cepat-cepat Nia menarik tangan Imi. Mereka berselindung di sebalik perdu pokok-pokok pisang. Berdebar-debar mereka melihat Riduan melewati mereka dengan berjalan tergesa-gesa. Nampaknya Riduan tidak menghiraukan langsung akan kehadiran dua orang budak itu. Mungkin dia ada urusan lain yang lebih penting.
             Setelah kelibat Riduan hilang ke kawasan rumah Cik Tun, Imi dan Nia keluar dari tempat persembunyian. Imi berlari mendapatkan basikalnya di rumah. Setelah Imi datang semula, Nia terus mengejar dan melompat ke atas karia. Imi mengayuh basikal dengan diboncengi oleh Nia ke arah Bukit Pipit.
.           Sebaik tiba, tanpa membuang masa mereka terus memanjat dan memetik buah-buah kiat yang masak ranum itu.
            “Eh, kau jangan telan biji kiat tu Nia. Lepas pulun isi, luah balik bijinya,” kata Imi.
            “Kenapa?” tanya Nia. Dia tersenyum.
            “Nanti kamu tak boleh buang air besar,”
            “Hehehe… tak usah nak tipu. Aku tak percaya,”
            “Betul. Nanti kau tak boleh buang air besar sebab biji-biji kiat yang kau telan akan buat dubur kau tersumbat,”
            “Mana kau tahu?”
            “Aku…” Imi terhenti. Dia memandang Nia. Nia tersenyum kerepot.
            “Ooo… sebab kau dah kena ya. Hahaha…” Nia tergelak.
            “Tak adalah,” kata Imi. Dia buat-buat tak tahu dengan memilih-milih buah kiat.
            “Eleh, nak soroklah tu,” kata Nia lalu gelak mengekek. “Macam mana kamu buang air semalam?” tanya Nia lagi.
            “Abah tolong korekkan,” kata Imi perlahan.
            “Abah kau yang tolong korekkan? Hahahaha…” Nia tertawa besar sehingga menyebabkan dahan yang didudukinya terhingguk-hingguk.
            “Eleh, gelakkan orang lebih-lebih. Habis tu kau pula macam mana? Mesti Pak Kadir tolong korek juga kan?” Imi teresa disenda-sendakan.
            “Mana ada. Aku buang air macam biasalah. Mana ada tersumbat-sumbat macam kau,” kata Nia.
            “Tak usah nak tipu. Kau pun telan juga biji kiat hari tu,”
            “Memang aku telan biji kiat. Tapi buang air ok je, tak ada masalah pun…”
            “Eh, ye ke kau buang air tak ada masalah? Luasnya kau punya lu…”
            Belum sempat Imi menghabiskan ayatnya, Nia telah menampar bahunya.
            “Jahatnya mulut kau. Eee… tak nak kawan dengan kau lagi,” Nia memuncungkan mulutnya.
            “Dah tu, biji kiat tu kau kunyah sampai hancur ke?”
            “Ayah bawa aku pergi kliniklah. Doktor beri minum air ubat. Selepas pulang ke rumah, aku pun boleh buang airlah,” jelas Nia.
            “Oh, kau pergi klinik. Kalaulah abah bawa aku pergi klinik juga kan bagus. Ini tak, disuruhnya aku berendam dalam besen dari subuh hingga nak tengah hari. Akhirnya kena korek juga. Sakitnya tak usah cakaplah,” Imi merungut-rungut.
            “Aku pun kena berendam juga pada malam tu, tapi tak lama macam kau. Ayah bercadang nak membawa berubat dengan Bomoh Pak Mail Kubur, tetapi mak bantah. Mak kata lebih elok kalau pergi ke klinik,”
            “Kau mesti nangis kan?” teka Imi.
            “Nangislah. Sakit tau,”
            “Masa di klinik, doktor cakap jangan telan biji kiat lagi. Kalau tak, doktor nak sedut pakai mesin vakum jika tak boleh buang air besar sekali lagi,” kata Nia.
            “Sedut pakai mesin vakum? Hahaha…” Imi ketawa.
            “Lagi baik dari kena korek, hahaha…” Nia pula yang ketawa.
            “Eh, macam mana pula dengan Fadli?” tanya Imi.
            “Petang semalam aku ada pergi ke rumah Fadli, tapi Fadli tak nak keluar dari bilik. Dia malu sebab ayah dia cakap, duburnya berdarah,”
            “Sampai berdarah?”
            “Iye. Dia teran juga walaupun keras. Dia malu nak cakap pada ayah dan emaknya. Akhirnya dia dapat keluarkan juga biji-biji kiat yang dia telan. Itupun selepas berjam meneran, sampai duburnya koyak,”
            “Dubur Fadli koyak? Hahaha…”
            “Pada mulanya Fadli nak merahsiaknnya, tapi bila emaknya nampak ada tompokan-tompokan darah pada kain tualanya, Fadli terpaksa beritahu juga,”
.           “Ayah Fadli kata, itulah akhibat menyorak dan mentertawakan Din Bisu yang sedang buang air,” kata Nia lagi.
Mungkin juga... Balasan yang tuhan berikan sungguh aib sekali. Bahana sekodeng Din Bisu berak, budak-budak bertiga itu tidak boleh berak pula. Wallahualam. Hahaha…