Sabtu, 10 September 2011

Madu Tiga Suku bab 3

(Nota: Novel Pirody ini sedang dalam proses akhir untuk diterbitkan.)

Pencopet Dompet

            Jamilkhir membuka pintu keretanya. Tempat parkir kederaan itu lapang sahaja. Hanya tinggal tiga empat buah petak parkir sahaja yang masih mempunyai kereta. Maklumlah, jam ditangan Jamilkhir sudah menunjukkan pukul enam sepuluh minit petang. Kebanyakan warga kerja di Wisma Dato’ Salladin itu sudah pun pulang.
            Jamilkhir mengatur langkah ke pintu masuk. Dia menyapa pengawal keselamatan yang ada di lobi. Jamilkhir sudah mengenalinya kerana dia sudah beberapa kali ke situ. Kali ini dia datang untuk menjemput Hasnina untuk keluar makan bersama sambil membincangkan rancangan perkahwinan mereka.
            Jamilkhir memanjat tangga untuk ke tingkat satu, di mana letaknya pejabat syarikat Lip Lap Sdn Bhd, tempat Hasnina berkerja. Dia menekan punat buzzer di tepi pintu. Daripada kaca lutsinar itu, dia dapat melihat Hasnina keluar dari biliknya lalu menuju ke pintu utama dengan tersenyum.
            “Assalamualaikum, maaf abang sampai lewat sedikit,” ucap Jamilkhir selepas pintu dikuak Hasnina.
            “Tak apa. Sebenarnya Nina pun belum dapat keluar lagi. Ada sedikit kerja lagi saya perlu selesaikan petang ini juga,” sambut Hasnina.
            Jamilkhir menjenguk ke dalam pejabat. Suasana dalam pejabat itu nampak lengang sahaja. “Orang lain sudah pulangkah?” tanyanya.
            “Semua sudah pulang. Tinggal Nina seorang saja sebab Nina sedang menunggu email pengesahan pesanan barang daripada satu pelanggan penting. Kalau kita berdua sahaja di sini, Nina bimbang nanti kalau-kalau ada penguatkuasa agama datang serbu kita,” kata Hasnina.
            “Jangan bimbang, orang-orang penguatkuasa agama itu semuanya abang kenal,” kata Jamilkhir dengan mengenyitkan sebelah matanya.
            “Kalau begitu, masuklah,” pelawa Hasnina. Jamilkhir pun melangkah masuk.
            “Abang Jamil duduklah dulu di sofa ruang pelawat ini, sementara Nina selesaikan kerja Nina di dalam ya,” kata Hasnina.
            “Berapa lama?” tanya Jamilkhir.
            “Tak lama. Mungkin dalam setengah jam lagi,” jawab Hasnina.
            “Baiklah. Nina pergi siapkan kerja dulu. Abang tunggu di sini,” kata Jamilkhir.
            “Terima kasih abang,” ucap Hasnina lalu berlalu ke biliknya.
            Jamilkhir menanggalkan baju kotnya lalu menyangkut pada satu cangkuk berhampiran dengan lampu dinding. Dia merebahkan badannya ke sofa. Untuk sementara waktu ni, dapatlah dia melepaskan penat seketika. Dengan meletakkan tangannya ke dahi, Jamilkhir merenung siling. Lima minit kemudian matanya mula melayu. Dia terus melayan angan-angan hingga terlelap.
            “Abang, bangun!”
            Jamilkhir tersentak setelah bahunya digoncang.
            “Abang, pegawai agama datang. Tengok CCTV tu,” kata Hasnina sambil menunjuk pada skrin yang terletak di atas pintu masuk.
            “Nasib baik pak gauard di bawah tu telefon beritahu cepat. Apa kita nak buat sekarang ni bang,” gesa Hasnina.
            Melalui kamera litar tertutup di ruang tangga, mereka mendapati sekumpulan pegawai penguatkuasa agama bersama dua orang pegawai polis bergerak naik menuju ke pejabat Lip Lap Sdn Bhd ini. Jamilkhir lantas mengenali pegawai-pegawai penguatkuasa agama itu. Namun dia terperanjat, salah seorang daripada mereka adalah Haji Razali, Ketua Pegawai Agama Daerah.
            “Mengapa pula Tuan Haji Razali ikut buat operasi.,” Jamilkhir bertanya sendirian. Sepengetahuannya, amat jarang sekali Haji Razali turun bersama melakukan operasi kecuali operasi besar-besaran ataupun atas arahan dari Pejabat Agama Negeri.
            Ini sudah tidak boleh jadi, detik hati Jamilkhir. Baru tengah hari tadi, semasa dalam satu mesyuarat, dia bertikam lidah dengan Haji Razali berkenaan dengan proses tuntukan nafkah satu pasangan. Memang salah Haji Razali sendiri kerana melengah-lengahkan urusan itu.
            Apa yang lebih parah lagi, Jamilkhir telah memalukan Haji Razali di depan ketua-ketua unit yang lain. Dia terlepas cakap ‘kepimpinan melalui teladan’ tanpa sengaja kerana fikirannya telah dikuasai emosi. Haji Razali berasa sungguh tersindir. Tentu sekali marah Haji Razali padanya belum benar-benar reda lagi. Jamilkhir tidak sempat berbuat apa-apa untuk menjernihkan hubungannya dengan Haji Razali hari ini. Dia sudah bercadang untuk memujuk bosnya pada esok hari.
            Dan sekarang Haji Razali sendiri yang datang menyerbunya. Dalam keadaan berdua-duaan di tempat yang tertutup begitu dan boleh menimbulkan syak, Jamilkhir dan Hasnina boleh dituduh berkhalwat. Sudah tentu ini peluang keemasan Haji Razali memulangkan paku buah keras padanya.
            Jamilkhir faham benar dengan perangai Haji Razali. Walaupun dia suka mendengar pandangan orang lain, namun jarang sekali orang lain dapat mengubah apa-apa keputusan yang dibuatnya. Akan dibalasnya pula dengan seribu alasan dan sebab.
            Ini sudah tidak boleh jadi. Jamilkhir bingkas bangun lalu berlari ke tingkap. Nasib baiklah pejabat Hasnina itu hanya berada di aras dua, tidaklah tinggi sangat. Tanpa berfikir panjang, Jamilkhir terus memanjat tingkap lalu terjun ke bawah. Dia mendarat dengan kaki dahulu mencecah tanah lalu digulingkan tubuhnya untuk menyerap hentakan. Oleh itu dia tidak mendapat apa-apa kecederaan.
            Jamilkhir mendapatkan keretanya. Ketika mahu membuka pintu kereta, barulah dia tersedar yang kunci keretanya berada di dalam poket baju kot. Baju kotnya pula tertinggal di pejabat Hasnina. Dalam kelam-kabut menyelamatkan diri tadi, dia terlupa langsung akan baju kotnya itu. Turut ada bersama baju kotnya ialah dompet dan telefon bimbitnya. Jamilkhir melepaskan keluhan berat.
            Jika dia terus melarikan diri sekarang pun tidak berguna juga. Sudah tentu Haji Razali mengetahui yang dia telah berada di situ sebelum itu bepandukan dokumen-dokumen pengenalan diri yang ada di dalam dompetnya. Jamilkhir memerah otak mencari jalan untuk merungkai masalah yang terdesak ini.
            Maka terlintaslah di otak Jamilkhir akan satu idea yang agak kurang senonoh. Dia bertenang untuk mengumpul kekuatan diri. Dia juga menunggu masa yang terbaik untuk bertidak. Selepas benar-benar yakin dan bersedia, Jamilkhir pun masuk semula ke dalam Wisma Dato’ Salladin. Dia memberikan isyarat jari telunjuk ke bibir kepada pengawal keselamatan agar tidak memaklumkan akan kedatangannya kepada Hasnina. Jamilkhir memanjat tangga dengan penuh waspada.
            Dari luar pejabat, Jamilkhir melihat pegawai polis sedang memegang baju kotnya. Dengan segera dia menerjah masuk.
            “Ini baju kot lelaki. Di mana tuan empunya baju kot ini?” kedengaran pegawai polis itu bertanya pada Hasnina.
            “Oh, ini dia penyamun baju kot saya ya!” sergah Jamilkhir dengan segera, sebelum sempat Hasnina membuka mulut. Semua orang berpaling pada Jamilkhir. Masing-masing terpinga-pinga. Lebih-lebih lagi Haji Razali dan pegawai-pegawainya yang lain. Seorang pegawai polis lagi memegang pistolnya di pinggang sebagai langkah berjaga-jaga.
            “Abang Jamil?” terpancul dari mulut Hasnina. Dia kelihatan kaget.
            “Kamu kenal dia?” tanya Haji Razali.
            “Dia…” kata-kata Hasnina terputus.
            “Dialah yang meragut saya semasa saya makan di restoren tadi,” jerkah Jamilkhir segera memotong Hasnina. Hasnina terpinga-pinga. Lidahnya menjadi kelu. Dia sungguh keliru. Pakatan konspirasi apa pula ini? Hatinya bertanya-tanya.
            “Kamu siapa?” tanya Pegawai polis yang mamagang baju kot Jamilkhir.
            “Sayalah pemilik baju kot itu. Kalau tuan tidak percaya, periksalah dompet dan telefon bimbit yang ada di dalam poket sebelah dalam baju kot itu,” kata Jamilkhir dengan berani.
            Pegawai polis itu mengeluarkan telefon bimbit dan dompet daripada bajukot itu. Dia mengeluarkan beberapa keping kad dan menelitinya.
            “Apa nama kamu?”
            “Nama saya Jamilkhir bin Bedroom,”
            “Nombor kad pengenalan?”
            “730524-11-5573”
            “Alamat pada kad pengalan?”
            “435-T Jalan Mesra 5, Taman Mesra Jaya, 21600 Marang, Terengganu.
            “Apa jenis telefon bimbit kamu pakai?”
            “Sony Ericsson W910i warna emas. Ada pelekat nama saya di bahagian belakang telefon bimbit itu,” kata Jamilkhir dengan lancarnya.
            “Ya, semua maklumat kamu bagi sungguh tepat. Tetapi nanti dulu. Sekejap tadi perempuan ini menyebut nama kamu. Adakah kamu mengenali dia dan sebaliknya?” tanya pegawai polis itu lagi.
            “Sudah tentu dia tahu nama saya sebab dia sudah lihat kad pengenalan di dalam dompet saya itu, tapi saya tidak mengenali dia,” Jamilkhir mengenyit mata pada Hasnina sebagai isyarat jangan berkata apa-apa, sewaktu orang lain tertumpu pada dompet yang dipegang oleh pegawai polis.
            “Jika benar dia meragut baju kot ini daripada kamu, ceritakan bagaimana dia melakukannya. Bukannya senang orang lain nak cabut baju kot ini daripada badan kamu. Apa lagi kalau seorang perempuan yang melakukannya,” kata seorang lagi anggota polis.
            “Selepas makan tengah hari tadi, tubuh saya berasa panas. Saya pun menanggalkan baju kot ini dan mengepitnya dengan tangan. Tiba-tiba ada seorang wanita datang terus merentap baju kot saya,” terang Jamilkhir.
            Anggota polis itu merenung mata Jamilkhir. “Dan bagaimana pula kamu tahu baju kot kamu berada di sini?”
            Jamilkhir terpana. Apa pula jawapan munasabah yang harus diberikannya? Sungguh bijak pegawai polis ini menyelidik. Satu persatu maklumat dikoreknya, walaupun perkara kecil yang tidak sempat dijangka oleh Jamilkhir.
            Nasib baiklah dalam keadaan genting itu melintaslah satu idea di otak Jamilkhir. “Telefon bimbit saya itu ada fungsi GPS. Saya menghubungi syarikat operator rangkaian yang saya pakai pada telefon bimbit itu. Mereka dapat mengesan telefon saya ada di sini kerana telefon saya itu tidak dimatikan. Sudah tentu akhirnya saya dapatlah menjejakinya hingga ke sini,” katanya dengan berani.
            Pegawai polis itu mengangguk-angguk. “Betulkah, begitu?” dia bertanya pada Hasnina. Jamilkhir segera memberikan isyarat mata dan menyerigai gigi pada Hasnina membuatkan dia teragak-agak untuk bercakap. Hasnina yang baru sahaja mahu membuka mulut terdiam kembali.
            “Tidak perlulah cerita panjang lagi, tuan. Bawa saja dia ke balai,” Jamilkhir menekan. Dia mahu situasi konflik di depan Haji Razali itu cepat-cepat berakhir. Lagi lama dia berada di situ, lagi bahaya akan kedudukannya.
            “Baiklah, kamu juga perlu ikut ke balai untuk di ambil kenyataan,” kata Pegawai Polis itu.
            Sebelum bergerak pergi, Pegawai polis itu berpaling pada Haji Razali. “Tuan Haji, kes khalwat sudah bertukar kepada kes jenayah ragut pula sekarang. Saya kira Tuan Haji dan pegawai-pegawai tuan tidak terbabit lagi. Terima kasihlah pada usaha Tuan Haji setakat ini. Biarlah pihak polis sahaja mengendalikan kes ini seterusnya,” katanya.
            “Eh, Tuan Haji Razali. Tuan Haji buat operasikah?” Jamilkhir pura-pura baru menyedari yang Haji Razali ada di situ. Sapaan Jamilkhir itu disambut degusan sinis oleh Haji Razali.
            Sekali lagi Jamilkhir mengenyit matanya pada Hasnina. Hasnina masih tidak faham benar apakah maknanya, namun dia beranggapan yang Jamilkhir sedang berusaha melakukan sesuatu. Oleh itu, Hasnina bertindak menurutnya dahulu dan mahu melihat sejauh mana akan lakonan Jamilkhir itu.
            Haji Razali berdehem sekali. “Saya…”
            Kata-kata Haji Razali terputus apabila Jamilkhir terus memotongnya, “Terima kasih banyaklah Tuan Haji. Berkebetulan sungguh pula operasi Tuan Haji bertembung dengan usaha saya mendapatkan kembali baju kot, dompet dan telefon bimbit saya ini.”
            “Nasib baiklah Tuan Haji membawa pegawai polis bersama. Kalau tidak mungkin perempuan ini melarikannya lagi ataupun dia memanggil kawan-kawannya untuk membelasah saya. Jasa tuan ini akan saya kenang sampai mati. Terima kasih sekali lagi tuan Tuan Haji,” Jamilkhir mencapai tangan Haji Razali lalu menggenggamnya.
            “Tuan pegawai polis, mari kita ke balai sekarang,” gesa Jamilkhir.
            Tangan Hasnina pun digari ke belakang. “Kamu diminta supaya ikut sahaja arahan kami. Jangan cuba melawan,” ujar pegawai polis memberi amaran pada Hasnina.

Selasa, 6 September 2011

Nujum Pak Belukang bab 3

Milo Shake Special

            Belukang hanya mampu menggeleng-geleng kepala bila melihat ayahnya masih di atas katil, sebagaimana sewaktu dia meninggalkan rumah awal pagi tadi. Bezanya cuma pagi tadi ayahnya masih berlingkar dalam selimut, tetapi sekarang ada sedikit kemajuan, sudah bangkit dan berteleku di muka jendela.    
            “Abah masih atas katil?” tegur Belukang.
            “Apa yang kau nak hairankan, Belukang? Biasalah. Ibu ayam pun kalau mengeram telur, tiga empat hari tak turun dari sangkak, kamu tahu tak?” ujar Pak Belukang sambil menguap.
            “Itu ibu ayam mengeram telur. Abah mengeram apa?” tanya Belukang.
            “Abah mengeram… Ah, sudahlah Belukang. Jangan banyak soal. Kamu pergi ke dapur dan buatkan abah segelas milo panas,” suruh Pak Belukang.
            “Rumah kita mana ada milo, abah. Sudah berapa tahun abah tidak beli milo,” kata Belukang.
            “Ah, pandai-pandai engkaulah buat. Asalkan ada rupa macam milo, sudah,” ujar Pak Belukang. Belukang berlalu sahaja ke dapur kerana malas hendak berdebat lagi dengan ayahnya itu. Berlawan debat sampai subuh esok pun dia pasti tidak akan menang.
            “Macam mana nak buat air milo kalau milo pun tak ada? Sudah nyanyuk abah ini agaknya,” Belukang merungut sendirian. Dia bersandar di bingkai pintu bilik air. Sedang dia termanggu-manggu itu, dia terlihat yang tangannya masih ada lumpur. Begitu juga dengan pakaiannya dan anggota badan yang lain. Ya, Belukang mendapat satu akal yang bernas.
            “Ah, pandai-pandai engkaulah buat. Asalkan ada rupa macam milo sudah,” Belukang mengajuk kata-kata ayahnya tadi sendirian.
            Belukang menanggalkan pakaiannya lalu diletakkan ke dalam sebiji besen. Segayung air dicurahkan ke dalam besen itu dan pakaiannya tadi dikecah-kecahkan. Air lumpur pekat berwarna kelabu pun terhasil. Belukang tersenyum sendirian.
            Tiba-tiba Belukang teringat sesuatu. “Abah! Air panas tak ada. Belukang buat air milo shake, boleh tak?” laung Belukang.
            “Apa-apa sajalah, Belukang,” kedengaran suara malas Pak Belukang menyahut.
            Belukang menambahkan sedikit serbuk sabun ke dalam besen dan dikecah-kecahnya lagi sehingga berbuih. Kemudian dia mengambil sebiji bekas air Tupperware dan menceduk air lumpur tadi. Dapat sahaja isi setengah bekas, Belukang terus mengetatkan penutupnya. Belukang menggoncang bekas air itu sekuat hati. Maka buih-buih halus terhasil dengan banyaknya bersama air lumpur pekat itu.
            Belukang menuangkan ‘milo shake’ itu ke dalam sebiji gelas. Buih-buihnya yang halus kelihatan sungguh menyelerakan kepada sesiapa sahaja yang tidak tahu. Terus sahaja Belukang membawa segelas ‘milo shake’ itu kepada ayahnya.
            “Abah, milo shake special untuk abah,” kata Belukang dengan manghulurkan gelas itu.
            “Ha… ada pun milo untuk abah,” ujar Pak Belukang gembira.
            Setelah seteguk ‘milo shake’ itu melepasi kerongkongnya, Pak Belukang terbersin serta merta. Buih-buih ‘milo shake’ itu bersembur keluar dari mulut dan hidungnya.
            “Milo apa yang kamu buat ini belukang? Milo sudah expiredkah? Atau milo yang sudah dimakan anai-anai?” tanya Pak Belukang.
            “Pandai-pandailah Belukang buat... Asalkan ada rupa macam milo, sudahlah abah,” kata Belukang mengajuk lagi kata-kata abahnya sebentar tadi.
            “Aik, kamu tiru abah ya, Belukang?” Pak Belukang mengerut kening.
            Belukang hanya menjuih bibir serta mengangkat bahunya.
            “Huhh… Hentam sajalah Belukang,” keluh Pak Belukang lalu meneguk lagi ‘milo shake’ itu. Kali ini dia menyumbat lubang hidungnya dengan dua jari.
            Milo shake yang sebenar ialah campuran milo, susu dan ais krim yang diputarkan dalam mesin pengisar lebih kurang tiga minit. Tetapi resepi milo shake Belukang ini lebih canggih, mudah dan murah. Hanya rasanya sahaja yang parah.
            “Assalamualaikum!” satu jeritan tiba-tiba kedengaran dari luar.
            Kerana terkejut, Pak Belukang tertuang dengan banyaknya milo shake yang sedang dihirupnya ke dalam mulut. Akhibatnya dia terbelahak kuat.
            “Assalamualaikum!” suara yang lain pula menjerit.
            Sambil terbatuk mengokol-ngokol, Pak Belukang menjenguk keluar.
            “Oh, Sarip… Kudin… Waalaikummussalam. Apa hal datang? Naiklah,” tanya Pak Belukang termengah-mengah. Dia kemudiannya keluar lalu melabuhkan punggung di atas beranda.
            “Kami datang ini, ada hajat besar Pak Belukang,” kata Sarip selepas mereka bersalaman.
            “Macam datang nak meminang saja bunyinya. Saya tiada anak perempuan. Kalau nak pinang saya sendiri boleh sangatlah,” kata Pak Belukang berlawak bodoh.
            Kudin mendegus kecil. “Kami datang ini bukannya nak meminang, tetapi nak mengajak Pak Belukang menyertai orang kampung buat projek ternakan ikan sangkar baru,” jelasnya.
            “Iyalah Pak Belukang. Ada seorang tauke cina besar yang melabur buat sangkar ternakan ikan baru. Dia menjemput orang-orang kampung berkerja di sangkar ternakan ikannya. Marilah bersama kami menyertai projek itu, Pak Belukang,” tambah Sarip pula.
            Pak Belukang tidak segera menjawab, sebaliknya dia berpaling ke dalam rumah lalu menjerit, “Belukang! Buat lagi dua gelas milo shake special untuk Pak Sarip dan Pak Kudin ini!”
            “Bukan apa Pak Belukang. Kami kasihan melihat Belukang tu kerja teruk-teruk pagi dan petang seorang diri untuk menanggung Pak Belukang. Dia itu masih kecil lagi,” kata Kudin.
            “Sepatutnya Pak Belukanglah yang bekerja menanggung anak. Ini terbalik pula,” sokong Sarip.
            Belukang keluar membawa dua gelas ‘milo shake’ lagi untuk tetamu-tetamu mereka itu.
            “Ha, sebelum kita teruskan bersembang, minumlah dulu milo shake special saya ini Sarip, Kudin,” pelawa Pak Belukang.
            Sarip dan Kudin mengambil gelas ‘milo shake’ masing-masing dan meneguknya serentak. Dan serentak jugalah mereka terbersin sejurus selepas itu.
            “Air milo apa ini Pak Belukang? Pelik sangat rasanya!” marah Sarip. Dia meludah-ludah ke tanah baki air ‘milo shake’ yang masih ada dalam mulutnya.
            “Inilah ‘milo shake’ special, campuran tongkat ali dengan susu kuda liar dan telur puyuh. Formula barulah katakan. Ada ekstrak ramuan herba khas untuk meningkatkan tenaga lelaki. Milo ini juga dihasilkan di kilang yang bertaraf GMP. Memang sudah menjadi amalan tradisi turun-temurun daripada nenek moyang kita lagi. Rasanya juga enak. Sekali cuba pasti hendak lagi,” kata Pak Belukang bagaikan promoter jualan langsung.
            “Iyalah tu Pak Belukang. Kalau milo ini sudah menguatkan tenaga Pak Belukang, marilah bersama kami kerjakan sangkar ikan baru itu sekuat-kuatnya,” kata Kudin yang mulai bosan.
            “Saya ini bukan tidak mahu kerja, Kudin. Tetapi cuti sakit saya belum habis lagi,” kata Pak Belukang.
            “Cuti sakit? Pak Belukang sakit apa?” tanya Kudin.
            “Penyakit saya ini sangat bahaya. Tidak boleh berkerja. Apa lagi kalau kerja-kerja berat. Doktor cakap tiada ubatnya,” jelas Pak Belukang.
            “Ah, saya tahu sangat dengan penyakit Pak Belukang ini. Memang tiada ubatnya,” kata Sarip.
            “Penyakit apakah itu, Sarip?” soal Kudin.
            “Itulah penyakit salam terbalik namanya,” jelas Sarip.
            “Salam terbalik? Penyakit jenis apa itu? Macam jantung terbalikkah?” tanya Kudin lagi.
            “Penyakit ini lebih teruk daripada jantung terbalik. Bukankah begitu Pak Belukang?” tanya Sarip bersungguh-sungguh.
            Pak Belukang kelihatan keliru, namun dia mengangguk-angguk. “Ya, betul. Betul tu,” katanya walaupun dia tidak faham apa yang Sarip katakan.
            “Er… berapa lama lagi saya boleh hidup, Sarip?” tanya Pak Belukang cemas.
            “Mengikut perkiraan saya, Pak Belukang ini tidak akan sempat sampai hujung tahun ini. Kecualilah Pak Belukang menjalani terapi untuk melawan penyakit tersebut,”
            “Terapi macam mana itu, Sarip,” tanya Pak Belukang penuh bimbang. Selalunya terapi melawan penyakit ini pasti kena buat perkara yang pelik-pelik. Misalnya ditanam seluruh badan kecuali kepala dalam pasir ataupun membiarkan tubuh dilingkari ular-ular berbisa.
            “Terapinya mudah sahaja. Pak Belukang kena menghayun cangkul di kebun, atau menebar jala di sungai, ataupun memanjat pokok kelapa dan memetik buahnya,” kata Sarip. Dahi Pak Belukang berkerut. Sungguh dia tidak faham apa kaitan terapi-terapi itu dengan penyakitnya. Malah dia tidak tahu menahu langsung penyakit yang dikatakan oleh si Sarip itu.
            “Apa sebenarnya penyakit salam terbalik ini, Pak Belukang?” tanya Kudin pada Pak Belukang. Dia juga turut terkeliru.
            Pak Belukang terpinga-pinga. Dia tidak tahu mahu menjawab apa.
            “Syhh…” Sarip memberi isyarat dengan jari telunjuk di bibir. “Pasal penyakit ini amat merbahaya, ia tidak boleh diberitahu secara terbuka. Nanti tidak pasal-pasal berjangkit pada kita pula,” Sarip berbisik pada Kudin.
            “Oh…” Kudin serta-merta menjadi cemas.
            “Kalau kamu hendak tahu, aku kena beri tahu engkau secara tertutup,” bisik Sarip lagi.
            “Cara tertutup macam mana?” tanya Kudin dengan berbisik juga.
            Mata Sarip melilau-lilau ke sekeliling seperti berwaspada agar tiada orang lain selain mereka bertiga di situ. Kemudian dia menarik sehelai kain pelekat sarung Pak Belukang yang tersidai di tali ampaian. Sarip merapatkan mukanya pada muka Kudin lalu mengelubung kepala mereka berdua dengan kain pelekat sarung tadi.
            Di bawah kelubung kain itu Sarip berbisik, “ kamu hendak tahu apakah penyakit salam terbalik itu?”
            “Ya, penyakit macam mana salam terbalik itu?” Kudin berbisik juga.
            “Cuba kamu eja perkataan ‘salam’ secara terbalik,” kata Sarip.
            “Eja ‘salam’ secara terbalik?” Kudin meminta kepastian. Sarip mengangguk.
            “M… A… L… A… S… malas?” tanya Kudin. Sarip mengangguk lagi. Kudin mahu tergelak, tetapi segera mulutnya ditekup oleh Sarip.
            “Jangan cakap pada Pak Belukang. Nanti dia melenting,” pinta Sarip. Giliran Kudin pula mengangguk. Dia ingatkan penyakit berbahaya seperti AIDS atau JE tadi. Rupa-rupanya penyakit sikap malas! Memanglah doktor yang sepakar mana pun tidak mempunyai ubatnya.
            Sarip pun membuka kain sarung yang mengelubungi mereka. Dia mendapati muka Pak Belukang masih kelihatan keliru dan bimbang.
            “Ehem… bila cuti sakit Pak Belukang habis?” tanya Sarip.
            “Entahlah. Kata doktor, paling awal pun mungkin sebulan lagi,” kata Pak Belukang, mereka cerita palsu.
            “Kalau begitu, cuti sakit setahun pun tidak apalah, Pak Belukang. Kalau paksakan diri berkerja juga, rebah pengsan pula Pak Belukang nanti,” kata Kudin dengan sinis.
            “Itulah yang saya bimbangkan. Lebih baik saya berehat di rumah saja daripada menyeksa diri pergi berkerja. Kalaulah saya mati di tempat kerja nanti, jadi yatimlah anak saya si Belukang itu,” kata Pak Belukang tanpa merasa apa-apa tersindir atau bersalah.
            “Kalau sudah begitu kata Pak Belukang, kami sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Jadi kami mahu meminta diri dululah,” kata Sarip. Mereka berdua pun terjun dari beranda rumah Pak Belukang.
            Namun Pak Belukang segera menahan mereka. “Sabarlah dulu, takkan baru duduk sekejap sudah mahu balik. Buat penat kamu berdua datang saja. Aku boleh turut serta dalam projek ternakan ikan baru itu, tetapi dengan satu sayarat.”
            “Syarat apa pula Pak Belukang?” soal Sarip.
            “Syaratnya aku mahu jadi pengurus, bukan jadi kuli,” kata Pak Belukang dengan tersengih.
            “Sudahlah Pak Belukang. Melampau-lampau pula mahunya. Pak Belukang bukannya ada ijazah university pun. Sekolah rendah pun Pak Belukang tidak habis. Pak Belukang jangan mimpilah nak pegang jawatan pengurus. Dapat jadi kuli pun sudah cukup bagus,” ujar Sarip.
            “Eh, kau jangan tak tahu, aku ni ilmu penuh di dada. Bab-bab ternak ikan ini aku mahir semua. Setakat jadi kuli macam kamu, apa yang kamu dapat?” Pak Belukang mencemuh sesedap rasa.
            “Mengata dulang paku serpih. Mengata orang dia yang lebih. Jadi kuli lagi bagus daripada Pak Belukang yang membuta sepanjang hari. Dapatlah kami sedikit upah di atas usaha tenaga kami, tetapi Pak Belukang hanya dapat buat air liur basi pada bantal sahaja sepanjang hari,” Kudin memulangkan paku buah keras.
            “Itulah yang kamu tidak tahu. Aku duduk di rumah sehari-hari untuk melakar pelan, mengatur strategi dan membuat persiapan projek ternakan ikan sangkar aku sendiri kelak. Aku juga bakal tauke besar sangkar ikan nanti. Tunggulah tahun depan, aku akan mulakan projek aku itu selepas mendapat peruntukan lima juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. YB Sumbing sudah berjanji mahu membantu aku dapatkan peruntukan itu jika dia berjaya menjadi Pengetua Parang Kangkung Jaya nanti,” kata Pak Belukang lagi. Nampaknya dia masih terpengaruh dengan mimpinya semalam.
            “Lima juta? Jangan temberanglah Pak Belukang. Siapa yang senang-senang nak berikan duit lima juta? Pak Belukang ini bermimpi di siang hari agaknya. Itulah akhibatnya asyik tidur saja,” Kudin menempelak.
            “Bukan itu saja, aku juga akan kawin dengan Seri Ayu, anak YB Sumbing yang cantik jelita itu,” tambah Pak Belukang lagi tanpa menghiraukan Kudin dan Sarip yang langsung tidak mempercayainya.
            “Sudahlah, Pak Belukang. Ukurlah baju di badan sendiri dulu. Baju yang besar atau yang ketat, jangan dipakai. Nanti diketawakan orang. Tidak ingin pun YB Sumbing itu ambil Pak Belukang buat menantu. Tiada untungnya,” kata Sarip lalu ketawa berdekah-dekah.
            “Aku akan buktikan yang aku akan berjaya memperisterikan Seri Ayu satu hari nanti. Waktu itu baru terkeluar biji mata kamu tengok,” balas Pak Belukang.
            “Iyalah Pak Belukang. Hari Pak Belukang kawin nanti, kami akan datang bawakan hadiah besar-besar. Sekarang kami hendak pulang dulu, ya,” kata Kudin.
            “Eh, tunggu dulu. Mahukah kamu berdua mendengar satu cerita?” tanya Pak Belukang.
            “Cerita apa pula Pak Belukang,” tanya Kudin mematikan langkah.
            “Cerita asal usul air milo yang kamu berdua minum tadi itu,” kata Pak Belukang.
            “Bagaimana milo itu dicipta, Pak Belukang? Siapa yang menciptanya?” tanya Sarip, nampak berminat pula.
            Dengan senyum lebar, Pak Belukang pun memulakan ceritanya, “Pada zaman dulu, dalam sebuah hutan, tinggal seorang janda tua dengan anak daranya. Satu hari, ada seorang pelancong mat saleh tersesat dalam hutan itu datang meminta air. Si anak dara menghidangkan secawan air. Sedang pelancong itu minum, si ibu keluar dan menyuruh anaknya masuk. Si ibu terpikat dengan ketampanan pelancong mat saleh tadi dan berkira-kira mahu menguratnya,”
            “Selepas habis secawan diminum, pelancong mat saleh itu berkata, very good. What kind of drink is this?”
            “Menyangkakan mat saleh itu bertanyakan namanya, si ibu menjawab, Mek Long,”
            “Melo! Very good, kata mat saleh itu dengan menunjukkan tanda bagus. Si ibu menyangka mat saleh itu memuji akan kecantikannya lalu pengsan kerana gembira tidak terkata,”
            “Lepas itu apa yang terjadi?” tanya Kudin tidak sabar.
            “Selepas itu, mat saleh itu pun pulanglah ke negaranya. Dia membuat air minuman yang serupa dengan anak dara hutan itu dan menamakannya milo,” jelas Pak Belukang.
            “Apa punya ceritalah yang Pak Belukang cakap ini. Mengarut betul,” cemuh Sarip.
            “Buang masa saja kita dengar. Mari kita pulang, Sarip,” ajak Kudin.
            “Mari,” kata Sarip. Mereka pun mula mengangkat kaki.
            “Nanti,” panggil Pak Belukang. Kedua-dua pemuda itu menoleh lagi.
            “Lain kali kalau mahu minum milo shake special Pak Belukang lagi, datanglah ke sini. Jangan segan-segan,” kata Pak Belukang.
            “Terima kasih sajalah, Pak Belukang. Pak Belukang minumlah seorang,” kata Kudin dan Sarip serentak. Mereka pun terus meninggalkan rumah Pak Belukang.

Jumaat, 2 September 2011

Cintan Si Cilik bab 3



3          Sabit Jusoh

Petang keesokkannya, Imi keluar bermain seperti biasa. Sengal di tangannya sudah tidak terasa lagi. Sejak waktu di sekolah tadi lagi dia dan Nia sudah berpakat untuk mandi-manda di tali air. Tali air yang terletak di sepanjang pinggir sawah di Kampung Batu Hampar itu dipenuhi air setelah dipam masuk dari sungai sejak semalam.
Mungkin ianya lebih sesuai dikatakan berkubang kerana air di tali air itu menjadi keruh pekat apabila dikerjakan mereka. Namun mereka tidak pernah ambil kisah tentangnya. Mereka seronok membuat terjun tiruk dari atas jambatan kayu. Kemudian mereka berenang dan menyelam dengan pelbagai gaya.
Jambatan ini juga menyimpan banyak sejarah. Sewaktu ia baru-baru siap dibina dulu, pernah sekali Pak Kadir membuat luncur air. Namun bukannya dengan menggunakan papan luncur yang ditarik oleh bot, tetapi dengan menggunakan lajak yang terhasil daripada momentum kelajuan kapcainya.
Menurut cerita Pak Kadir sendiri, dia terkejut kerana melihat jambatan yang berubah rupa daripada jambatan batang kelapa suatu masa dulu kepada jambatan kayu. Yang sebenarnya, dia sedang mengelamun jauh ke zaman kecilnya semasa merempitkan kapcainya sejurus sebelum sempai ke jambatan itu.
Entah macam mana, akhibat gerunkan jambatan kayu yang baru itu, Pak Kadir mengelak ke tepi. Dan dalam kepanikan, Pak Kadir terlupa brek kaki motornya berada di sebelah kanan. Pak Kadir secara tidak sedar telah menekan pendikit gear yang berada di bawah kaki sebelah kirinya yang disangkakannya brek. Hasilnya, secara automatik gear kapcainya menjadi ‘free’ dan kapcainya meluncur dengan lebih lancar sekali.
Jusoh yang sedang menyabit rumput tidak jauh dari situ menjadi sungguh terpesona apabila terlihat akan sebuah ‘jet ski’ julung-julung kalinya meluncur di tali air di kampung yang terpencil ini. Namun aksi dramatik itu berlaku tidak sampai pun tiga saat, sebelum ‘jet ski’ itu lenyap ke dalam air. Rasa bangga Jusoh bertukar menjadi hairan serta-merta.
Dia terus berkejar ke situ apabila nampak pemandunya timbul semula terkapai-kapai. Pak Kadir pula apabila melihat sahaja Jusoh terjun dengan sabitnya, terus tidak jadi lemas. Serta merta dia mendapat kekuatan baru, walhal dia sudah pun tertelan air. Akhibat takutkan sabit si Jusoh, Pak Kadir terberenang macam mengkarung berjalan di atas air. Cebur! Cebur! Cebur! Sekelip mata sahaja Pak Kadir sudah berada di atas ban. Itulah secebis cerita lama, kisah benar yang masih menggeletek hati sesiapa sahaja yang mendengarnya hingga kini.
Nun tak berapa jauh di sana, seorang lelaki separuh usia sedang berjalan pantas menuju jambatan kayu. Lelaki itu kelihatan berserebeh dan kurang terurus. Di kepalanya diikat satu kain. Sebilah sabit terselit di belakang kilasan kainnya.
“Nia, Jusoh datang. Cepat sembunyi,” panggil Imi separuh berbisik.
Mereka pun segera membatukan diri di bawah jambatan kayu. Dengan penuh debaran, mereka menunggu Jusoh yang dianggap gila oleh kebanyakan orang-orang kampung melewati jambatan kayu itu.
Jusoh adalah seorang penternak lembu. Dia sentiasa membawa sabit bersamanya kemana-mana untuk menyabit rumput. Rumput-rumput yang telah disabit akan diisi ke dalam beg guni besar, yang turut dibawanya bersama, untuk dibawa pulang kepada lembu-lembunya. Sungguhpun Jusoh kurang waras akalnya, dia pandai hidup berdikari. Dia berkebun dan menternak binatang untuk menyara diri.
Cuma yang merisaukan penduduk kampung hanyalah jika Jusoh bertindak luar kawalan, walaupun jarang-jarang sekali dia berbuat begitu. Biasanya Jusoh amat peramah dan suka bercakap apabila berjumpa dengan sesiapa sahaja, walaupun percakapannya banyak merepek-repek tidak tentu hala. Namun bagi kebanyakan orang, mereka cukup terhibur bila bercakap dengan Jusoh.
            Dan sudah tidak menjadi perkara pelik lagi pada penduduk Kampung Batu Hampar jika terserempak Jusoh berbual-bual dengan lembu-lembunya di sekitar padang ragut. Mereka hanya mampu tersenyum, malah ada juga yang tak ambil kisah langsung. Sudah biasa sangat.
Mungkin itulah keistimewaan Jusoh. Walaupun dianggap gila, tetapi kemampuan luar biasanya boleh berinteraksi dengan lembu tiada siapa yang dapat tandingi. Buktinya? Setiap kali lembunya mengeboh, dia akan cepat-cepat menjawab dengan petah sekali.
Jadi, hampir setiap waktu padang ragut itu meriah dengan acara berdialog di antara dua jenis makhluk yang berbeza dari segi spesis, habitat, bahasa pertuturan dan warna kulit. Cuma mereka mungkin saling memerlukan antara satu sama lain di dalam satu ekosistem yang sama.
Bunyi berdetak-detak lantai kayu jambatan yang semakin lama semakin kuat menandakan Jusoh sudah tiba. Kedua-dua orang budak itu dapat melihat Jusoh melewati jambatan kayu itu dengan langkah yang pantas.
“Jusoh gila!” jerit Nia mengejek tiba-tiba. Dia menganggarkan yang Jusoh tidak dapat mencari kedudukan mereka.
Imi membeliakkan mata dengan muka yang cuak pada Nia. Tapi Nia menutup mulutnya menahan ketawa. Imi mengetapkan bibirnya dengan geram. Dia mengacah-ngacah tangannya seperti mahu memukul Nia. Namun Nia ketawa makin kuat pula.
“Hoi! *$&%#^$&*! Jaga kamu!” Jusoh menyergah dengan marah. Dia mengendap dari celah-celah lantai jambatan kayu. Tangan kanannya memegang sebilah sabit!
Jusoh terjun ke dalam parit. Bercebur air jadinya macam tahi bintang jatuh ke bumi. Imi dan Nia pun apalagi, terus bertempiaran berenang menyelamatkan diri. Mereka dengan mudah memanjat tebing tali air dengan memaut pada pokok-pokok senduduk yang banyak di situ.
Jusoh mengejar mereka dengan memekik-mekik marah. Dia berenang bagaikan seekor biawak geriang yang membuat gaya bebas. Nasib baik pokok senduduk yang dicapainya tercabut umbi. Dia tergelincir semula dan jatuh dari tebing. Ini dapat melengahkan masa. Imi dengan Nia di waktu itu sudah hilang dari pandangannya.
Imi dan Nia lari litang pukang tanpa sempat memungut pakaian mereka. Mereka akhirnya bersembunyi di dalam semak, meniarap di bawah rumpun resam. Sedaya upaya mereka menahan nafas yang mendesah, akhibat penat berlari laju tadi.
“Kau memang tak gunalah. Apa pasal kau ejek Jusoh tadi?” bisik Imi dengan keras.
“Aku ingat dia tak nampak kita,” balas Nia.
“Kau nampak tak sabit di tangan Jusoh? Kalau dia sauk pada tengkuk engkau, terus putus, tau tak?” ujar Imi.
“Syyyh! Jusoh datang,” kata Nia.
Jusoh datang melewati tempat mereka bersembunyi dengan membebel geram. Walaupun apa yang disebutnya litang pukang sekali, telinga Imi dan Nia dapat menangkap perkataan ‘budak sial’, ‘celaka’, ‘bunuh’ dan ‘sembelih’ disebut-sebut Jusoh. Jelas sekali dia dalam keadaan sangat marah. Paling menggerunkan, sabit ditangannya diacah-acahkan kehadapan bagaikan mahu menyerang sesiapa sahaja yang melintas di depannya.
Jikalaulah Jusoh melihat ke kirinya dengan teliti, sudah pasti dia akan dapat melihat dua orang budak itu sedang mengecilkan tubuh masing-masing. Setelah Jusoh berlalu agak jauh, Imi mengurut nafas lega. Tiba-tiba Imi terlihat seekor pacat besar sedang bertenggek di peha Nia. Kerana terkejut, Nia hampir menjerit, namun segera mulutnya ditekup Imi. Imi menjentik pacat yang mula menjangkau-jangkau laju itu.
“Mari cepat kita keluar,” gesa Imi.
“Aku tak takut pun pacat,” kata Nia.
“Jangan cakap besar, nanti pacat tadi masuk balik dalam seluar engkau, baru tahu,” kata Imi lalu menarik tangan Nia untuk bangun.
Tiba-tiba Nia menyentap balik tangan Imi.
“Nanti! Jusoh datang balik tu,” bisik Nia.
Mereka segera meniarap di atas tanah yang penuh dengan tahi cacing yang lembik. Tahi-tahi cacing yang sebenarnya gumpalan-gumpalan kecil tanah itu melekat-lekat pada badan mereka.
Tiba-tiba Imi rasa gatal dan perit pada anunya. Dia mengaduh perlahan.
“Mengapa?” tanya Nia berbisik. Imi tak menjawab.
Imi sudah tidak tertahan lagi. Anunya semakin perit. Dia pun bangkit lalu duduk membelakangi Nia. Dia menarik getah seluar lalu memeriksa anunya. Sangkaannya tepat apabila mendapati ada seekor pacat berada di dalam mulut anunya. Dia cuba mengepit pacat itu dengan kukunya untuk ditarik keluar. Namun terlepas kerana badan pacat itu amat licin dan lembik. Lagipun badan pacat yang timbul keluar sedikit benar.
Imi menjeguk ke luar dari celah-celah daun. Didapati Jusoh semakin hampir. Mustahil dia dapat keluar, nahas nanti dikerjakan Jusoh dengan sabitnya. Imi mula menangis dengan bunyi yang tenggelam timbul. Dia terus cuba menarik keluar pacat itu.
Rasa bimbangnya bukan kepalang lagi. Entah apa akan jadi kalau pacat itu masuk ke dalam perutnya. Pasti ia membuat sarang dan beranak-pinak di situ. Huh, ngeri sungguh! Keluh hati Imi. Imi pernah mengalami kecacingan semasa kecil-kecil dulu. Hampir setengah pengsan dia meraung apabila melihat cacing kerawit menguit-nguit keluar bersama-sama najisnya.
Tanpa Imi sedari, Nia menjenguk melihatnya sedang bertarung dengan pacat itu. Nia menutup mulutnya kerana terkejut.
“Mari aku tolong,” kata Nia.
“Eh, mana boleh!” kata Imi lalu menekup anunya. Namun peritnya pacat itu menghisap darah membuatkan Imi terketar-ketar. Esakannya pun bertambah kuat.
Nia cuba menarik tangan Imi. Pada mulanya Imi enggan. Malulah jika Nia melihat anunya. Namun akhirnya dia mengalah bila anunya semakin perit. Dia sudah terlalu panik dan tidak berdaya membuat apa-apa. Dia hanya duduk terlunjur dengan bertongkatkan tangan di belakang, menyerah sahaja pada Nia untuk melakukannya. Dadanya terus berdegup-degup kencang.
Nia dengan sabar menunggu waktu yang tepat untuk bertindak. Apabila nampak sahaja ekor pacat itu terjulur keluar, dia cuba menyepitnya dengan kuku, tapi terlucut juga. Sudahlah kecil, badan pacat itu lembik dan licin pula. Imi sudah mati akal. Dia mula terngongoi-ngongoi menangis. Tiba-tiba Nia mendapat satu idea.
“Kau pejam mata,” suruh Nia. Imi menurut sahaja, bagaikan redha sahaja dengan apa yang bakal berlaku. Sebentar kemudian dia rasa sesuatu benda keras menyentuh anunya. Selepas itu dia merasakan pacat itu direntap. Imi pun membuka mata.
Kelihatan Nia tersengih lebar di depannya. Ada darah di sekitar mulut dan giginya. Seekor pacat menguit-nguit digigitnya. Berderau darah Imi. Seriau seluruh tubuhnya. Bagaimana seorang budak perempuan di depannya ini begitu berani mencabut pacat dengan giginya? Dia sendiri pun tak akan buat begitu, walaupun diupah sepuluh ringgit!
“Kau…” kata-kata Imi terputus apabila mendengar bunyi semak di belakang mereka dirempuh. Jusoh datang!
“Lari!” jerit Imi.
Mereka terus bangun dan belari litang pukang. Tidak sukar untuk Jusoh mengejar kerana langkahnya sudah tentu lebih panjang daripada langkah budak-budak itu. Lagipun pohon-pohon senduduk yang merintangi tidak mendatangkan masalah padanya. Tubuh Jusoh sememangnya lasak, sebab itulah dia boleh merempuh semak samun bagaikan badak sumbu.
Di waktu Jusoh hampir menangkapnya, Imi tersadung kakinya sendiri. Dia sempat memaut dahan seduduk sebelum jatuh berguling. Apabila dahan senduduk itu terlepas dari tangannya, ia terus membidas muka Jusoh. Jusoh tidak sempat memejam matanya menyebabkan matanya senak dan berpinar dilibas daun senduduk yang miang itu.
Imi mengambil kesempatan ini untuk bangun semula. Jusoh terus mengejarnya, namun dia sudah tidak dapat melihat dengan betul lagi apa yang ada di depannya. Dalam menyerbu laju itu, bahunya terlanggar sebatang pokok bacang. Tubuh Jusoh menjadi mereng ke kiri menyebabkan dia terbabas dan jatuh ke dalam lubang perun sampah sebesar telaga. Lubang perun sampah ini adalah kepunyaan rumah keluarga Fadli.
Imi yang sempat menoleh dan melihat Jusoh terjerumus ke dalam lubang itu terus berhenti berlari. Dia ketawa berdekah-dekah pula dalam keadaan termengah-mengah itu. Kedengaran suara Jusoh menengking-nengking marah. Imi tidak berani mengampiri lubang perun sampah itu untuk menjenguk.
Nia pula sudah hilang entah ke mana. Pasti dia sudah pulang ke rumahnya. Kali terakhir dia melihat Nia tadi ialah semasa darah dan pacat berada di mulutnya, sebelum diserbu Jusoh. Imi tidak tahu sama ada Nia sempat meludah kembali pacat itu atau tidak. Jangan-jangan Nia tertelan pula dalam masa kelam kabut tadi, naya!
Tiba-tiba Imi terasa gatal kembali pada anunya. Setelah diperiksa, anunya cuma berdarah sedikit, tetapi tiada lagi pacat.
Akhirnya Imi memutuskan untuk pulang juga. Dia kembali sebentar ke jambatan kayu untuk mengambil bajunya. Dia terus ketawa sendirian dalam kelegaan setelah terselamat daripada serangan Jusoh. Nyaris-nyaris dia menjadi mangsa sabit si Jusoh tadi.
Rasa gatal-gatal pada anunya berlarutan hingga ke malam hari. Namun Imi merahsiakan kejadian itu dari pengetahuan sesiapa.