Khamis, 22 September 2011

Nujum Pak Belukang bab 4

ASB

            Pagi-pagi lagi di hujung minggu ini Belukang sudah berada di tepi sebuah alur dalam belukar di pinggir kampung. Satu lubuk ikan terdapat di tengah alur yang dipenuhi dengan pohon rumbia itu. Pangkal rumpun-rumpun rumbia berselirat tindan-menindan sesama sendiri dan ditambah lagi dengan anak-anak rumbia yang kecil yang tumbuh merata mungkin menyeramkan sesetengah orang, tetapi tidak bagi Belukang walaupun dia baru berumur enam tahun.
            Tempat ini agak tersorok dari pandangan orang ramai. Hanya sebilangan orang sahaja yang tahu akan kewujudan lubuk ikan di situ. Belukang sengaja datang seorang diri pagi itu agar dapat menggagau ikan seorang diri. Hasilnya nanti tidak perlu dikongsikan dengan sesiapa. Kebiasaannya orang lain akan datang menggagau ikan pada waktu petang.
            “Aku akan tangkap ikan-ikan besar sahaja dulu. Ikan-ikan yang kecil akan aku tinggalkan untuk orang lain datang menggagau petang nanti,” kata Belukang sendirian dengan tersenyum. Hatinya dicemari dengan sedikit perasaan tamak. Tanpa berlengah lagi, dia turun ke dalam alur dan berhati-hati meranduk air ke lubuk ikan. Sambil itu dia mula mengagau-gagau di celah-celah pangkal rumpun-rumpun rumbia.
            Belukang berasa pelik, puas dia menggagau-gagau di sekitar tepi lubuk itu. Jangankan ikan besar, anak ikan pun tidak kelihatan. Permukaan lubuk juga kelihatan tenang tanpa riak-riak atau kocakan ikan. Sebelum ini Belukang sentiasa tidak menang tangan menekup ikan-ikan yang berkejaran. Tidak pernah dia tidak mendapat ikan jika dia menggagau di situ selama ini. Hendak dikata lubuk itu sudah digagau dua tiga hari sebelum ini, tiada pula bekasnya.
            “Ke mana pula ikan-ikan pergi hari ini?” rungut Belukang. “Nak kata pergi mesyuarat PIBG, anak-anak engkau orang bukannya pergi sekolah pun,” bebelnya lagi.
            Belukang beranjak ke tengah lubuk. Dia terus menggagau dengan harapan terpegang barang seekor dua ikan haruan atau lampan yang besar. Ada ketikanya dia terpaksa menyelam ke dalam lumpur pekat itu untuk mencapai lubang-lubang tanah yang dalam.
            Hampir seluruh lubuk itu kini bertukar seperti kubang kerbau. Belukang pula bagaikan seekor anak kerbau dengan lumpur memenuhi segenap tubuh, kecuali matanya sahaja. Matahari semakin tinggi walaupun bahang panasnya tidak terasa di lubuk itu dek kerana dilitupi oleh rimbunan rumbia dan pohon-pohon belukar yang lain.
            Di dalam satu lubang tanah yang agak dalam, Belukang terpegang sesuatu yang amat dinanti-nantikannya, iaitu kepala ikan. Namun pegangannya terlucut apabila dia cuba menariknya ke atas. Ikan itu bagaikan tersangkut pada akar-akar sagu. Dia cuba menggagau semula, tetapi ikan itu sudah tiada di situ.
            Belukang menyedut nafas panjang dan memejam mata lalu menyelam ke dalam lumpur untuk menggagau lubang itu lebih dalam. Sayang sungguh kalau ikan tadi terlepas. Kalau dapat sekurang-kurangnya seekor pun, jadilah. Tidaklah nanti dia pulang dengan tangan kosong. Sudah rapat ke lengan lubang itu digagau barulah Belukang terpegang dengan kepala ikan tadi. Kali ini dia mencengkamnya dengan kemas agar tidak terlucut lagi.
            Agak sukar juga Belukang menarik ikan itu ke atas hinggakan dia sendiri hampir lemas. Ikan itu menyangkut-nyangkut ekornya pada benda di sekitarnya. Akhirnya dapat juga Belukang timbul dari lubuk itu dengan memegang ikan tersebut. Sebaik mencelikkan mata, Belukang mendapati ikan yang dipengangnya itu sungguh panjang dan licin. Ia melingkar-lingkar membelit tubuhnya sendiri.
            “Ah, ular!” Belukang terjerit lalu dengan spontan dia membaling ular itu jauh-jauh. Tanpa membuang masa lagi, dia terkocoh-kocoh naik dari lubuk.
            Rasa seram sejuk menjalar ke seluruh tubuhnya. Dia terketar-ketar dengan nafasnya yang turun naik dengan kencang. Semangatnya hendak menggagau ikan mati terus. Melihat ke lubuk itu pun dia sudah terasa seriau yang amat. Terbayang-bayang lagi ular air yang dipegangnya tadi di depan mata. Belukang memutuskan untuk pulang sahaja. Agaknya inilah balasan perasaan tamak halobanya sebelum turun menggagau tadi. Akhibatnya seekor ikan pun tidak dapat, malah dapat ular air pula.
            Untuk menenangkan hatinya yang kecewa, Belukang memanjat sebatang pokok yang ada banyak akarnya berjurai-jurai lalu duduk termenung di atas satu dahannya yang landai.
                                                                        *****
            Sementara itu, di sebuah gerai kosong di tepi simpang. Dua orang lelaki sedang terhendap-hendap mengintai ke dalam kabinet kayu bahagian bawah gerai itu.  Gerai pisang goreng itu hanya di buka pada waktu petang, jadi semua alatan memasak disimpan dalam kabinet tersebut.
            Mereka mengumpil selak pintu yang bermangga itu dengan tukul. Setelah pintu dibuka, mereka hampa kerana tidak banyak barang besi yang didapati. Hanya tong gas dan kuali sahaja barang besi besar yang ada, selain hanya sudu, senduk dan sebilah pisau.
            “Ingat, kita ambil besi sahaja. Benda lain jangan ambil,” pesan salah seorang penyamun.
            “Okey,” balas seorang penyamun lagi.
            Tong gas terlalu berat untuk mereka bawa. Jadi mereka hanya ambil sebiji kuali sahaja dan beredar.
            “Sebiji kuali mana cukup? Kita kena cari banyak lagi besi, barulah kita jual dan dapat duit banyak,” kata seorang penyamun.
            “Mari kita ke situ. Mungkin ada banyak besi di dalamnya,” cadang penyamun seorang lagi sambil menunjukkan sebuah bangsal di tepi bendang.
            Mereka sekali lagi hampa bila mendapati bangsal itu kosong, kecuali kain-kain buruk dan sampah yang menimbun.
            “Hah, itu dia besi,” kata seorang penyamun bila terlihat sebatang cangkul terbiar di pangkal tiang bangsal.  Dia segera mendapatkannya.
            “Ambil besi dahaja. Yang lain tinggalkan,” penyamun yang memegang kuali mengingatkan.
            Batang cangkul itu diperbuat daripada kayu. Oleh itu ia tidak berharga dan tidak patut diambil. Lalu batang cangkul itu pun dicabut daripada matanya. Mata besi cangkul itu pasti dapat dijual mahal memandangkan ianya agak berat.
            Sekarang setiap penyamun itu ada barang besi masing-masing untuk dijual.
            “Hoi!” tiba-tiba mereka mendengar suara jeritan. Mereka menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki tua mengayuh basikal dengan laju ke arah mereka.
            “Lari!” penyamun yang memegang mata cangkul menjerit. Maka bertempiaranlah kedua-dua penyamun itu melarikan diri menuju semak belukar nun jauh di pinggir bendang. Mereka menyelinap ke dalam semak-samun dan hilang dari pandangan lelaki tua berbasikal tadi. Setelah memastikan lelaki tua tadi tidak lagi mengejar mereka, penyamun-penyamun itu merebahkan badan ke atas tanah untuk melepaskan penat.
            “Kita selalu saja dapat barang besi. Sudahlah besi ini berat, kalau kita selalu kena kejar macam ini, boleh mati kita. Mana terdaya kita nak lari sambil pikul besi,” luah penyamun yang memegang kuali dengan termengah-mengah.
            “Aku rasa, lagi bagus kita curi duitlah. Duit tidak berat macam besi. Lagipun, besi ini kita bawa berat-berat, bila jual dapat duit tidak banyak sangat,” kata Penyamun Mata Cangkul pula.
            “Macam mana kita nak curi duit ya? Di mana orang-orang kampung simpan duit?” tanya Penyamun Kuali.
            “Aku dengar ada orang cakap, ramai orang kampung simpan duit dalam ASB,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “ASB itu apa?” soal Penyamun Kuali.
            “Entah, aku pun tak tahu. Mungkin Atas Sarang Burung?” teka Penyamun Mata Cangkul.
            “Bodoh. Mana ada orang simpan duit atas sarang burung?” sanggah Penyamun Kuali. “Kalau burung itu curi, habislah duit itu. Aku rasa ASB ini maknanya Atas Sayup Bumbung,” dia meneka pula.
            “Kalau atas bumbung, macam mana kita hendak ambil? Aku tidak pandai memanjat. Engkaulah yang kena panjat,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
            “Aku pun tidak pandai memanjat,” balas Penyamun Kuali.
            “Habis, macam mana kita hendak ambil duit itu?” Penyamun Mata Cangkul mengerutkan kening.
            “Apa kata kita pakai toyol. Toyol memang handal dengan kerja-kerja mencuri duit ini,” cadang Penyamun Kuali.
            “Di mana kita nak dapatkan toyol?” soal Penyamun Mata Cangkul.
            “Kita tangkaplah,” balas Penyamun Kuali pendek.
            “Pandaikah engkau menangkap toyol? Aku tidak pandai,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Ya tak ya juga. Kita beli sajalah,” cadang Penyamun Kuali.
            “Di mana kita nak beli toyol?” soal Penyamun Mata Cangkul.
            “Pasti ada orang jual toyol. Mungkin kita dapat beli di ladang ternak,” ujar Penyamun Kuali.
            “Ladang ternak toyol? Tak pernah aku dengar ada orang ternak toyol. Ladang ternak kambing adalah tepi bukit di hulu kampung sana. Kita pakai kambing boleh?” cadang Penyamun Mata Cangkul.
            “Kambing nak buat apa? Kambing tidak reti mencuri duit. Curi pucuk ubi, tahulah dia,” bantah Penyamun Kuali.
            Kedua-duanya pun termenung mencari idea bagaimana hendak mendapatkan toyol.
            “Masalah betul. Di mana ada orang ternak  toyol ya?” kata Penyamun Mata Cangkul sambil menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
            “Orang tidak ternak toyol beratus-ratus ekor, tetapi orang bela toyol seekor dua sahaja,” kata Penyamun Kuali.
            “Siapa yang bela toyol? Engkau kenalkah?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Payah nak kenal orang bela toyol ni. Kalau ada pun mereka tidak akan mengaku,” kata Penyamun Kuali.
            “Kalau aku tahu siapa ada toyol, aku akan culik toyol dia,” Penyamun Mata Cangkul bertekad lalu menumbuk tanah.
            “Warghh… Ini dia toyol! Hahahaha…” sergah Belukang yang tiba-tiba terjun dari dahan tempatnya termenung dan jatuh betul-betul di depan kedua-dua penyamun itu. Sejak dari tadi lagi dia memerhatikan gelagat dan mendengar perbualan kedua-dua penyamun itu dari atas. Dia yang masih diselaputi lumpur kelihatan betul-betul macam toyol.
            “Eh, toyol!” jerit penyamun yang memegang kuali.
            “Lari! Lari!” jerit penyamun yang memegang mata cangkul pula. Mereka terus lari litang pukang meninggalkan barang-barang curian mereka di situ. Belukang tertawa besar setelah mereka hilang di celah-celah semak.
            Belukang memungut barang-barang curian penyamun-penyamun itu dan membawanya pulang ke rumah. Sebelah tangannya memegang kuali yang dijunjung, Sementara sebelah lagi tangannya membimbit mata cangkul.
                                                                        *****
            Di bawah sinaran bulan purnama di sebuah taman bunga yang indah, sepasang dua sejoli sedang leka memadu kasih. Si dara riang duduk di buai yang digantung pada pohon beringin rendang, manakala si uda menghayun buai itu dengan perlahan dari belakang. Itulah pasangan kekasih yang paling bahagia di dunia, iaitu Pak Belukang dan Seri Ayu.
            “Udara malam ini sungguh nyaman ya, kanda?” Seri Ayu memecah kesunyian.
            “Ya, dinda. Udara nyaman, uda dan daranya pun aman. Suasana indah sekali,” balas Pak Belukang.
            Seri Ayu ketawa manja. Kemudian dia menjual pantun dengan malu-malu.
                        Gulai masin sekawah hangit,
                                    Ramai berebut mencecah roti,
                        Kasihnya dinda setinggi langit,
                                    Sudikah kanda sehidup semati?
            Pak Belukang tersenyum dengan mata menyorot jauh ke depan. Kemudian dia menjawab.
                        Kerbau bergusti hidung melecur
                                    Itik berlaga patah sendi
                        Biar pun mati jasad hancur
                                    Kita ke syurga cinta abadi
            Sebelum sempat Seri Ayu membuka mulut untuk menjual pantun lagi, sebuah pantun lain dijual oleh orang ke tiga tanpa diduga.
                        Kambing rebah masuk guni,
                                    Tungau sesat celah bulu,
                        Cis! bedebah kalau berani,
                                    Mari langkah mayat aku dulu.
            Pak Belukang dan Seri Ayu berpaling ke samping, didapati ada seorang pemuda sedang menuding jari kepadanya dengan lagak yang kurang ajar. Bersama pemuda itu adalah lelaki yang amat dikenali Pak Belukang, iaitu YB Sumbing. Dengan berangnya Pak Belukang membalas,
                        Panggang kambing dengan lembing,
                                    Anak pepijat dalam mi,
                        Pemuda asing YB Sumbing
                                    Apakah hajat mengganggu kami?
            YB Sumbing kelihatan mahu menjawab tetapi ditegah oleh pemuda itu. Pemuda itu mara untuk berdepan dengan Pak Belukang sehingga jarak diantara mereka kira-kira dua langkah sahaja.
                        Mata  kuyu tiga suku,
                                    Sudah lama mabuk pinang,
                        Seri Ayu milik aku,
                                    Cukup purnama kami bertunang.
            Kesabaran Pak Belukang sudah sampai kemuncaknya. Dia mencabut keris dari sarung yang tersisip dipinggangnya. Serta-merta pemuda itu mencabut kerisnya juga. Dengan lantangnya Pak Belukang membalas,
                        Dua tiga lebai berlari,
                                    Mana nak sama si lebai malang,
                        Wahai durjana tak sedar diri,
                                    Sekejap lagi nyawa kau hilang.
            Pak Belukang dan pemuda itu pun membuka langkah silat dan bertarung dengan sengitnya. Namun Pak Belukang kelihatan lebih pantas menyerang serta menangkis serangan pemuda itu. Dalam satu serangan balas, Pak Belukang berjaya menikam rusuk kiri pemuda itu. Pemuda itu menjerit kesakitan lalu rebah ke tanah.
            Melihatkan Pak Belukang begitu handal bertarung dan dalam masa yang singkat sahaja dapat menewaskan pemuda itu, YB Sumbing mula berubah fikiran. Dengan takut-takut dia berpantun,
                        Jangan gagap jawab periksa,
                                    Makan puyu kuat memori,
                        Pak Belukang wira gagah perkasa,
                                    Ambillah Seri Ayu buat isteri
            Pak Belukang ketawa bangga. Kemudian dia memandang buah hatinya, Seri Ayu. Seri Ayu pula tersenyum gembira melihat ‘prince charming’nya adalah seorang pahlawan yang hebat bertarung. Pak Belukang membalasnya dengan senyuman yang lebar sekali. Hatinya puas sungguh.
            “Abah…” Seri Ayu memanggil. Hati Pak Belukang berbunga kembang. Belum pun dia berkahwin dan menjadi bapa kepada anak Seri Ayu, buah hatinya itu sudah memanggilnya dengan nama timangan yang sungguh manja iaitu, ‘abah’.
            Belukang terus memanjat tangga setibanya di rumah. Dia melihat ayahnya masih bergulung dalam selimut, asyik amat melagukan irama dengkur. Kebetulan Pak Belukang tidur mengiring dan menghadap muka pintu. Jadi Belukang dapat melihat muka ayahnya tersenyum lebar itu. Tidur dalam imankah? Tanya Belukang dalam hati. Tetapi berdengkur sambil senyum ini satu keadaan yang menarik juga.
            “Abah,” panggil Belukang dengan lembut.
            Pak Belukang tersengih menampakkan gigi pula, tetapi matanya tetap terkatup.
            “Itu tengah mimpi apa-apalah tu,” rungut Belukang sendirian. “Hm… biar aku kenakan si pemalas ini,” katanya lagi.
            “Hahahaha…” Belukang buat-buat ketawa seram sambil mencakar-cakar pintu rumah.
            Muka Pak Belukang yang sedang senyum itu tiba-tiba bertukar menjadi keruh.
            “Hahahaha…” Belukang ketawa bertambah kuat.
            Pak Belukang membuka mata. Matanya berkelip-kelip seketika sebelum menjadi luas terbelalak bila melihat sesuatu yang sungguh menyeramkan.

Ahad, 18 September 2011

Cintan Si Cilik bab 4


4          Polis Main Ping Pong

Di rumah, Imi merahsiakan kejadian yang menimpanya daripada pengetahuan ibu dan abahnya serta ahli keluarga yang lain. Walaupun dihatinya ada sekelumit rasa bersalah, Imi lebih suka Jusoh jatuh ke dalam perun sampah itu. Memang patut Jusoh menerima balasan sebegitu selepas berbuat bahaya padanya, yang boleh dikatakan cubaan bunuh juga. Imi tidak mengetahui apa nasib Jusoh selepas itu sehinggalah dia ke sekolah keesokkan harinya.
            Guru subjek pertama di awal pagi itu tidak dapat masuk ke kelas kerana ada mesyuarat tergempar yang melibatkan semua guru. Lazimnya keadaan ini amat digemari oleh murid-murid. Mereka tidak perlu melangut dengan mengadap guru berceloteh di depan kelas. Sebaliknya mereka berpeluang bermain dan membuat bising di dalam kelas pula.
            Sekumpulan budak-budak berkerumun di meja Fadli. Nampaknya Fadli ada cerita menarik hari ini. Dia memaklumkan yang ibunya telah terjumpa Jusoh di dalam lubang perun sampahnya sebelum waktu maghrib semalam.
“Ibu aku dengar ada suara orang menjerit marah apabila dia curahkan satu bakul besar sampah ke dalam lubang tu. Manalah ibu aku tahu ada orang duduk dalam lubang sampah tu,” cerita Fadli.
“Ibu aku pun apa lagi, terperanjat besarlah dia. Ibu aku menjerit ‘hantu!’. Bakul yang dipegang ibu aku terlepas jatuh menimpa Jusoh. Sebijik macam adegan Aziz Satar dalam filem Pendekar Bujang Lapok, sewaktu dia seru jembalang di dalam perigi buta. Habis kepala Jusoh berlumuran dengan sisa-sisa makanan dan perut ikan,”
“Selepas ibu aku perasan orang di dalam lubang itu adalah Jusoh, ibu aku pun memberitahu ayah. Kemudian ayah aku ajak orang kampung tolong menarik Jusoh keluar. Dia mendapat banyak luka di kaki dan badannya sebab terkena kaca. Nasib baik semalam emak aku tak ada bakar sampah dalam perun tu. Kalau tidak, dah tentu Jusoh sudah hangus rentung. Lepas tu ayah aku hantar Jusoh ke klinik,”
“Jusoh tak mengamuk ke?” tanya Imi tiba-tiba.
“Masa itu, Jusoh sudah lemah tak bermaya. Tapi mulut dia masih meracau-racau dan mencarut-carut,” kata Fadli.
 “Kenapa tak dibiarkan Jusoh mati sahaja dalam lubang sampah tu?” celah Sulaiman pula.
“Jahatnya engkau ni, Sulaiman. Jusoh pun manusia macam kita juga,” ujah Imi. Dia kini mula merasa bersalah. Namun dia masih belum berani membuka cerita bahawa dialah yang menyebabkan Jusoh jatuh ke dalam perun sampah itu. Mungkin juga Imi tidak tergamak untuk menghebohkan cerita pasal anunya yang dimasuki pacat, yang menjurus kepada kejadian itu.
“Tak baik kau cakap macam tu,” tiba-tiba terdengar suara Nia menyokong Imi. Dia yang tiba-tiba muncul tanpa disedari itu memberi isyarat kenyitan mata pada Imi. Dan Imi pula hanya tersenyum tersipu-sipu. Dia masih malu dengan peristiwa semalam.
“Macam mana kalau kau pula yang jatuh dalam lubang sampah tu, lepas tu orang biarkan kau mati dalam lubang itu,” Imi buat-buat menekan suara pada Sulaiman untuk menutup gabranya.
“Aku lainlah, aku tak gila. Jusoh tu orang gila. Dia jahat. Dulu dia nak bunuh aku,” tegas Sulaiman.
“Hah? Jusoh nak bunuh engkau?” tanya Imi dengan Nia serentak.
“Dulu ada sekali anak lembu dia datang merayau dalam laman rumah aku, makan pokok bunga. Aku pun halaulah anak lembu tu. Aku kejar hingga ke padang ragut Jusoh. Bila Jusoh tengok aku kejar lembu dia, dia pun kejar aku balik dengan sabitnya,” Sulaiman membuka ceritanya pula.
“Jusoh kejar kau dengan sabit?” soal Imi cemas.
“Nasib baik aku sempat lari ke kedai kopi Pak Yunus. Pak Yunus dengan orang kampunglah yang tolong halang Jusoh. Kalau tidak sudah tentu aku kena sembelih dengan sabitnya,” luah Sulaiman dengan nada kesal.
“Hah?” Imi ternganga. Rupa-rupanya ada orang lain yang terlebih dulu mengalami kejadian sepertinya.
“Sebab itulah bila besar nanti aku nak jadi polis. Aku nak tangkap Jusoh dan masukkan dia ke dalam penjara. Lepas tu kita tak perlu takut lagi,” ujar Sulaiman bersemangat.
“Eh, aku pun nak jadi polis juga bila besar nanti,” celah seorang murid lain.
“Mana boleh! Pasal apa kau nak jadi polis juga?” bentak Sulaiman. Dia jadi bengang kerana ada orang lain mahu menirunya. Padanya, dia mahu dia seorang sahaja yang menjadi polis. Budak-budak lain tidak akan dibenarkannya.
“Sebab bila jadi polis nanti aku boleh main ping pong,” kata murid itu.
“Polis tak main ping pong. Polis main tembak-tembaklah,” kata Sulaiman sinis. Dia menggayakan jari telunjuknya ke atas dan membengkok-bengkokkan ibu jarinya, bagaikan pistol. “Bang! Bang!” katanya sambil mengacah pada murid itu.
“Adalah. Engkau yang tak tahu. Bila polis nak kejar orang jahat, kereta polis akan bunyi ping-pong piing-poong piiing-pooong piiiing-poooong…” murid itu menggayakan bunyi siren polis, yang menyebabkan budak-budak lain terlopong.
“Lepas tu semua kereta lain ke tepi beri laluan. Lepas tu, kereta polis kejar orang jahat dengan lajulah. Seronok tau,” sambungnya lagi.
            “Ping-pong ping-pong? Siren polis bukan bunyi ping-pong ping-ponglah. Hahahahaha…” Sulaiman ketawa terdekah-dekah, dan ia dituruti oleh budak-budak lain. Riuh rendah jadinya kelas itu. Ada juga yang turut bersorak-sorak mengajuk bunyi siren murid itu.
            “Ping-pong ping-pong bunyi hon motor Mat Kilat jaja ikanlah, hahahaha…” kata Sulaiman lagi.
Bam! Bam! Bam! Tiba-tiba bunyi meja diketuk tiba-tiba. Kumpulan budak-budak yang sedang seronok bercerita itu terperanjat lalu berpaling.
            “Diam! Oleh kerana kamu semua telah membuat bising, kamu telah dijatuhi hukuman berdiri di atas kerusi,” kata Suhardi lalu memukul meja dengan sebatang tukul kuku kambing.
Bam! Bam! Bam!
Entah dari mana Suhardi mendapat tukul itu. Di kepalanya pula ada ropol-ropol perca kain putih.
“Apa dah jadi pada kamu Suhardi? Nak jadi orang gila macam Jusoh ke?” tanya Imi.
“Aku nak jadi hakim. Kamu semua telah membuat salah. Kamu semua mesti kena hukum,” kata Suhardi tegas.
Bam! Bam! Bam!
“Apa kelas nak jadi hakim. Aku nak jadi polis. Aku akan tangkap kamu dan masukkan dalam penjara,” kata Sulaiman.
“Aku hakim. Aku lagi power. Polis tak boleh lawan aku,” tingkah Suhardi pula.
Bam! Bam! Bam! Dia memukul lagi meja dengan tukul.
“Siapa main ketuk-ketuk tu?” satu suara garau orang dewasa menjerkah. Serentak budak-budak menoleh. Cikgu Fuad!
“Siapa yang mengetuk tadi?” ulang cikgu Fuad.
“Suhardi, cikgu,” jawab Fatihah sambil menunding ke arah Suhardi.
Terpegun juga cikgu Fuad melihat Suhardi dengan tukul dan kepala beropol itu.
            “Apa yang kamu ketuk, Suhardi?” soal Cikgu Fuad.
“Saya nak jadi hakim, cikgu. Hakim boleh ketuk-ketuk,”
“Hah? Hakim apa? Hakim ketuk-ketuk?”
“Saya nak bela keadilan,”
“Sebut betul-betul, bÄ•la keadilan. Bukan bela keadilan. Bela dipakai kalau nak buat ayat orang bela ayam,”
Suhardi mengangguk-angguk sambil tersenyum bangga.
“Di mana kamu dapat tukul dengan topi hakim tu?”
“Ini tukul bapa saya punya. Topi ni saya buat dari perca kain emak saya,”
“Oh, pandainya kamu. Sungguh kreatif. Sekarang Cikgu nak kamu pergi ke pondok di tepi pagar sana. Bawa tukul dan topi kamu tu sekali. Lepas tu kamu ketuk lantai pondok itu sampai masa saya habis. Faham?”
“Faham cikgu,” kata Suhardi lambat-lambat. Mukanya merah.
“Ok, kamu bergerak sekarang. Yang lain-lain balik ke tempat masing-masing,” arah Cikgu Fuad. Semua murid-murid akur.
            “Hari ini kita masuk tajuk baru, makanan seimbang. Buka muka surat 26. Cikgu beri kamu masa lima minit untuk baca dahulu, sebelum kita bincang,” kata Cikgu Fuad lalu keluar kelas.
            “Apa yang kamu buat tu? Ketuklah” laung Cikgu Fuad bila melihat Suhardi hanya duduk termenung di pondok tepi pagar.
            Kung! Kung! Kung! Suhardi mula mengetuk.
“Kuat lagi, saya tak dengar!” laung Cikgu Fuad.
            Kung! Kung! Kung! Suhardi mengetuk lagi.
“Kuat lagi!” laung Cikgu Fuad lagi.
            Kung! Kung! Kung! bunyi ketukan makin kuat
“Ketuk terus. Jangan berhenti!”
Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Kung! Pagi itu Suhardi dapat menjadi hakim mahkamah majistret sepuas hatinya.
“Ok kelas, sudah habis membaca? Mari kita bincang sekarang,” kata Cikgu Fuad selepas beberapa ketika duduk di kerusinya.
“Tengok pada rajah piramid pada buku masing-masing. Piramid ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian paling besar berada di tapaknya dan bahagian paling kecil di puncaknya,”
“Perhatikan gambar di dalam bahagian paling bawah pyramid ini. Cuba sebutkan makanan apa yang kita perlu ambil paling banyak?”
“Nasi!”
“Roti!”
“Gandum!”  kata Rini.
“Engkau banyak makan gandumkah Rini?” tanya Fadli.
“Fadli, kamu cakap apa? Sila ulang, cikgu nak dengar,” suruh Cikgu Fuad.
“Rini suka makan jemput-jemput gandum cikgu. Sebab itulah dia gemuk gedempol,” kata Fadli. Seluruh kelas tergelak. Rini mengerlingnya dengan tajam.
“Fadli, kamu mari sini,” kata Cikgu Fuad dengan serius. Fadli datang menghampiri Cikgu Fuad dengan senyum sumbing.
“Kamu main-main haa…” kata Cikgu Fuad sambil menarik telinga kiri Fadli ke atas. Fadli menjinjit kakinya setinggi mungkin. Mulutnya menyerigai menahan sakit. Telinga Fadli menjadi merah.
“Pergi duduk. Lepas ni jangan main-main lagi. Kalau tidak cikgu akan sangkut telinga kamu pada kipas,” ujar Cikgu Fuad lalu melepaskan telinga Fadli.
“Baiklah murid-murid, gandum dan beras adalah daripada kategori makanan yang sama. Kedua-duanya kaya dengan karbohidrat yang amat perlu pada badan. Cuma di negara kita kurang menggunakan gandum, tidak seperti negara di barat, di mana gandum adalah makanan utama mereka,”
“Ok, tengok apa yang ada dalam bahagian kedua piramid ini,”
“Sawi,”
“Tomato,”
“Betik,”
“Lobak,”
“Ya, makanan yang kedua banyaknya kita perlu ambil ialah dari kumpulan buah dan sayur. Buah dan sayur akan membekalkan tubuh kita dengan vitamin dan serat,”
Seorang murid mengangkat tangan.
“Cikgu, rumput dalam kumpulan ke dua jugakah? Dalam rumput ada zat apa?”
“Rumput? Siapa pula yang makan rumput? Dalam rumput mana ada zat?” soal Cikgu Fuad kaget.
“Kalau tak ada zat, kenapa lembu makan rumput saja? Dia tak perlu ikut piramid makanan pun?” tanya Sulaiman lagi.
“Kamu cakap apa ni, Sulaiman?” marah Cikgu Fuad. Hatinya menyingga dengan soalan bodoh anak muridnya itu.
“Kalau rumput tak ada zat, macam mana pula lembu jadi lebih besar dari kita? Lembu pun jauh lebih kuat dari kita,” ujar Sulaiman.
Cikgu Fuad mengerutkan dahi pula.
“Mengapa orang tak makan rumput saja, cikgu? Tak payah beli. Tak perlu masak lauk,” Sulaiman terus berhujah, yang membuatkan kepala Cikgu Fuad menjadi pening.
“Kamu buat loyar buruk pula ya? Mahukah kamu makan rumput?” marah Cikgu Fuad.
“Tak mahu. Tapi saya pernah tengok Jusoh makan rumput,” kata Sulaiman. Murid-murid lain tertawa.
“Sebab lembu makan rumputlah dia jadi bodoh, tak pergi sekolah, beri makan rumput cukup-cukup biar gemuk. Dah besar boleh dijual dan disembelih. Kamu nak jadi bodoh macam lembukah? Kalau gitu tak payah datang sekolah lagi. Besok kamu pergi makan rumput bersama-sama Jusoh dan lembunya,” ujar Cikgu Fuad.
“Cikgu,” satu suara memanggil. Semua mata tertumpu pada pintu kelas.
“Tangan saya sudah kebas,” kata Suhardi sambil menangis tersedu-sedu. Buruk betul wajahnya yang bergigi rongak itu apabila menangis, tak padan dengan topi beropol-ropol putih yang dipakainya. Teman-teman sekelasnya tertawa lagi, lebih-lebih lagi budak-budak perempuan, sampai terjerit-jerit. Macam mana seorang hakim yang menjatuhkan hukuman pada orang boleh menangis pula?

Rabu, 14 September 2011

Ahmad Alkebab bab 3

           
Esoknya, Dimanosajo memberanikan diri untuk bekenalan dengan lebih lanjut dengan gadis gerai daging burung unta itu.
            “Mahukan enta berkenalan dengan ana?” tanya Dimanosajo berhati-hati. Hampir semalaman malam tadi dia menghafal supaya dia tidak tersasul menyebut unta lagi.
            “Nama ana Dimanosajo. Siapakah nama enta?” tanya Dimanosajo lagi.
            “Nama ana Duri,” jawab gadis itu pendek sambil merenung mata Dimanosajo.
            “Duri? Bahaya sungguh nama enta. Tajam, tetapi sangat sesuai dengan anak mata enta yang tajam ini,” Dimanosajo cuba mengusik.
            “Ya, ana memang bahaya. Jadi, enta tidak boleh main-main dengan ana. Nanti ana akan cangkuk dengan duri ana,” kata gadis itu.
            “Ana rela dicangkuk duri enta, asalkan ana dapat datang membeli daging burung unta di sini selalu,” Dimanosajo memberikan ayat ‘power’.
            “Rela kena cangkuk duri konon. Gatal!” ujar gadis  itu.
            “Ana memang rasa gatal. Kalau enta boleh tolong garukan, tentu ana rasa lega,” Dimanosajo terus mengusik.
            “Tolong garukan enta? Enta memang biadap. Kalau enta berani sangat, mari ana cangkukkan enta pada cangkuk daging burung unta ini. Bolehlah ana gantung enta dan lapah kulit enta yang gatal itu,” kata gadis itu sambil mengacu-acukan cangkuk daging dan pisau pelapah daging pada Dimanosajo.
            Dimanosajo tidak bertidak balas ataupun menunjukkan reaksi takut. Dia seronok melihat gadis gerai daging burung unta itu melenting dengan usikannya. Boleh tahan juga garangnya budak ini, desis hati Dimanosajo. Namun dia menyukainya. Walau apa pun yang dilakukan oleh gadis itu, Dimanosajo hanya tersenyum bagai kerang busuk. Akhirnya gadis itu diam dengan sendirinya apabila kehabisan akal hendak mengajar Dimanosajo lagi.
            “Esok kita jumpa lagi ya?” kata Dimanosajo sewaktu mengangkat kaki setelah hatinya puas dan terhibur dengan keletah gadis pujaannya. Itulah yang menceriakan permulaan harinya dan membangkitkan semangat kerja padanya pada hari itu. Gadis gerai daging burung unta itu bagaikan tonik hatinya. Dimanosajo tidak sanggup untuk tidak menatapnya walau sehari. Ini jelas kelihatan pada hari-hari dia tidak ke pasar, dia akan merasa seperti kehilangan sesuatu yang penting. Tubuhnya pun jadi lesu tanpa sebab.
            Begitulah keadaannya dari hari ke hari. Walaupun sentiasa dimarahi gadis penjual daging burung unta itu, Dimanosajo tetap mengunjungi gerainya setiap kali ke pasar. Walaupun kadangkala dia tidak perlu membeli daging burung unta kerana stok masih banyak, dia tetap datang ke gerai itu. Dapat bersua muka pun jadilah. Namun dia masih lagi belum berjaya memikat hatinya.
            Dimanosajo terpaksa mencari pendekatan baru untuk memikatnya. Kaedah berbual-bual dengan gadis itu tidak praktikal kerana ia pasti berakhir dengan acara cabar-mencabar, dengan masing-masing tetap mahu mempertahankan ego diri sendiri. Lalu akhirnya Dimanosajo gagal meluahkan isi hati dengan sepenuhnya. Tiada peluang langsung untuknya beromantik.
Dimanosajo mendapat idea untuk menulis surat. Mungkin dengan cara itu dia dapat menyatakan hasrat cintanya tanpa gangguan. Malam itu dia meluahkan seluruh isi hatinya dengan bait-bait perkataan nan indah di atas sekeping kertas putih. Hatinya berasa amat lega sebaik sahaja selesai menulis, bagaikan segala beban berat yang bergayut di hatinya sebelum ini sudah terlucut jatuh.
Esoknya, Dimanosajo datang ke gerai daging burung unta itu dengan ceria seperti biasa, tetapi tidak banyak bercakap melainkan hal urusan pembelian daging sahaja. Hal ini menimbulkan kehairanan yang amat sangat di hati gadis itu, hinggakan terlintas di fikirannya yang Dimanosajo sudah tidak lagi berminat kepadanya dan mungkin juga sudah mempunyai buah hati yang lain.
Sewaktu menghulurkan duit bayaran harga daging yang dibeli, Dimanosajo menyelitkan surat cintanya di antara kepingan-kepingan wang kertas itu. Namun dia hampa kerana gadis itu tidak mengendahkannya. Bahkan dia tidak mengira pun duit yang di terimanya.
“Mengapa enta tidak periksa duit itu cukup atau tidaknya?” tanya Dimanosajo.
“Nanti ana kiralah,” kata gadis itu acuh tak acuh.
“Kalau tidak cukup bagaimana?” tanya Dimanosajo lagi.
“Ana tuntutlah bakinya semula. Esok atau lusa enta pasti datang lagi,” jelas gadis itu. Sebenarnya dia cuba menyembunyikan perasaan runsingnya akhibat perubahan mendadak sikap Dimanosajo pada hari itu.
Betul juga, detik hati Dimanosajo. Dia masih tercegat di depan gerai itu sambil mencari-cari kata-kata terbaik untuk terus mempengaruhi gadis itu agar berbuat sesuatu bagi menjumpai suratnya. Dicubanya menjuihkan bibirnya pada duit tadi, tetapi dibalas pula oleh gadis itu dengan muka cengih.
            “Apa lagi yang enta tunggu? Pergilah cepat pulang. Nanti Pak Balaichand tertunggu-tunggu pula dagingnya,” sergah gadis itu.
            “Eh, baiklah. Baiklah,” kata Dimanosajo gugup. Dia pun melangkah pergi. Mungkin budak itu akan membaca suratnya sedikit masa lagi, hatinya memujuk diri sendiri.
            Dua hari berselang, Dimanosajo datang lagi ke gerai daging burung unta itu seperti biasa. Hari ini dia disambut oleh tauke gerai itu sendiri dengan senyuman yang besar. Dimanosajo kaget.
            “Jaga sendirikah gerai hari ini, bos?” tegur Dimanosajo.
            “Baiduri cuti,” jawab tauke gerai itu pendek.
            “Oh, perempuan yang jaga gerai ini bernama Baiduri rupanya. Kenapa dia cuti?” soal Dimanosajo.
            “Dia cuti sebab dia dapat surat ini,” kata tauke itu dengan menunjukkan satu kertas yang berlipat. Dimanosajo segera mengenali kertas itu, surat cintanya yang telah diberikan kepada Baiduri dua hari lalu. Merah padam muka Dimanosajo. Kalau sudah surat itu berada di tangan tauke gerai daging burung unta sekarang, bermakna sudah tentulah dia telah membacanya.
Aduh…bocor sudah rahsia ana. Sampainya hati enta berikan surat ana pada tauke enta, Baiduri, hati Dimanosajo mengeluh.
            “A… Ana… Ana…” suara Dimanosajo bagaikan tersangkut di kerongkongnya. Tauke gerai itu ketawa melihat Dimanosajo yang tiba-tiba sahaja menjadi gagap.
            “Tersentuh hati ana membaca surat yang enta tulis ini. Ana tidak sangka, enta seorang romeo yang hebat,” puji tauke gerai. Namun Dimanosajo berasa tersindir.
            “Jangan bimbang, ana sudah tanya Baiduri. Dia setuju menerima cinta enta itu. Dia cuti hari ini pun sebab dia tidak sanggup bersemuka dengan enta. Dia malu. Malu tapi mahu, hahaha…” kata tauke gerai lagi.
            Malunya Dimanosajo usah dikata lagi. Kalau boleh, waktu itu juga dia mahu menempekkan kepingan-kepingan daging burung unta itu ke mukanya. Namun hatinya melonjak gembira sebaik mengetahui Baiduri telah menerima cintanya. Sekian lama dia cuba bertepuk, hari ini tepukannya disambut dan berbunyi.
            “Betulkah? Enta tidak tipukah?” tanya Dimanosajo untuk mengawal malu. Sebenarnya dia tidak perlukan sangat jawapan soalannya itu.
            “Betullah. Nanti enta tanya sendiri,” balas tauke gerai daging burung unta.
            Menurut tauke daging burung unta itu lagi, dialah yang menjumpai surat itu sewaktu mengira duit hasil jualan. Baiduri pula terpinga-pinga bila dia menunjukkan surat itu. Setelah dia membaca sendiri, anehnya Baiduri tidak marah walaupun terkejut. Mukanya terus kemerah-marahan. Dia juga tidak mengiakan ataupun menidakkan apabila ditanya adakah dia menerima Dimanosajo. Dia hanya tersenyum dan tersipu-sipu malu!
            Dimanosajo tersenyum lebar mengingati kisah itu. Hidungnya pun terkembang-kempis juga. Dia terus mengayuh basikal beroda tiganya.

Kebab kambing kebab bebiri,
            Kebab unta dan burung unta,
            Kebab Dimanosajo kebab dicari,
            Sekali rasa terus jatuh cinta.