Jumaat, 20 April 2012

Cintan Si Cilik - Bab 12


12        Korek Biji Kiat

            Petang itu cuaca agak bagus. Langit mendung dengan angin bayu segar bertiup menjadikan keadaan yang nyaman untuk aktiviti luar. Sewaktu datang mengaji di rumah To’ki Wahid semalam, Imi telah bersepakat dengan Nia dan Fadli untuk memanjat pokok kiat. Pokok kiat yang dimaksudkan itu terletak di pinggir Kampung Batu Hampar, di kaki Bukit Pipit.
            Imi bersama Nia pergi beriringan dengan mengayuh basikal masing-masing. Sebaik tiba, tanpa membuang masa mereka terus memanjat pokok kiat. Mereka memetik buah kiat yang masak ranum berwarna kuning keemasan itu dengan girangnya. Buah kiat kecil sahaja, lebih kurang sebesar hujung jari kelingking. Namun rasanya yang lemak-lemak manis serta baunya yang harum sungguh mengecurkan liur.
Selepas dikupas, buah kiat dikulum dan manisan isinya dikecap. Tak sampai lima minit, mulut kedua-dua orang budak itu sebu dengan buah kiat. Mereka menelan terus bijinya sebelum menyuap lagi biji kiat yang baru. Keseronokan memetik dan memakan buah kiat menyebabkan mereka telah terlupa langsung akan Fadli.
“Hoi! Kau orang tak tunggu aku. Kurang asam,” tiba-tiba kedengaran suara Fadli berteriak. Imi dan Nia memandang ke bawah. Kelihatan Fadli termengah-mengah turun dari basikalnya. Din Bisu pun ada bersama Fadli.
“Itulah kau, lambat sangat. Dah nak habis buah kiat ni kami makan,” laung Imi.
Tanpa berlengah, Fadli berebut-rebut memanjat dengan Din Bisu. Sudah kelazimannya dalam acara apa pun, jika lebih ramai orangnya, susana lebih meriah. Begitulah juga dengan pesta kenduri buah kiat, mereka leka bergayut dan melompat-lompat ke dahan lain macam moyet. Lebih-lebih lagi Din Bisu.
Angin bertiup kencang membuatkan keadaan jadi lebih seronok. Imi, Fadli dan Nia berbuai-buai di dahan pokok sambil sahut menyahut menyanyikan lagu-lagu yang popular masa ini. Dalam pada itu mereka terus makan buah kiat dengan banyaknya.
“Aku rasa macam terbang dengan jet saja,” kata Imi. Dia duduk di satu dahan yang berbuai-buai ditiup angin. Tangannya memegang cabang kecil di dahan itu seperti gaya mengendali jet pejuang.
“Eh, aku pun nak naik jet juga,” kata Fadli sambil melompat ke satu lagi dahan dan duduk bergaya juruterbang seperti Imi.
“Aku pun nak juga,” sahut Nia pula. Dia pun melakukan perkara yang sama. “Wah! Seronoknya…” kata Nia sambil terlentok-lentok mengikut ayunan dahannya.
“Apa kata kita main perang-perang dengan jet,” cadang Imi.
“Okey!” sahut Nia dan Fadli serentak.
“Aku jadi Presiden Amerika, naik Air Force One. Nia jadi tentera Amerika naik pesawat pejuang Tom Cat. Dia escort aku…” kata Imi.
“Aku?” tanya Fadli pantas. Dia sudah tidak sabar lagi.
“Kau dengan Din Bisu jadi tentera perisik Rusia naik pesawat perang MIG29. Nanti kau orang kejar kami sebab tentera Rusia nak culik Presiden Amerika,” kata Imi lagi.
“Okey,” balas Fadli. Fadli memberi isyarat pada Din Bisu supaya duduk sepertinya. Din Bisu nampaknya faham dan menurut sahaja. Sebentar kemudian pokok kiat itu menjadi riuh dengan suara budak-budak yang membuat bunyi jet, bunyi tembakan dan bunyi ledakan bom.
            Tiba-tiba Din Bisu terjun ke tanah.
            “Nampaknya seorang tentera Rusia sudah ditembak jatuh!” jerit Imi.
            “Kita berjaya!” jerit Nia pula.
Din Bisu berlari ke sebalik sebatang pokok kundang. Kemudian dia tergesa-gesa membuka seluarnya dan terus duduk bertinggung di sebalik pokok kundang. Rupa-rupanya Din Bisu mahu buang air besar.
            Din Bisu memastikan yang budak-budak bertiga itu tidak akan dapat melihatnya dari atas pokok kiat. Dia cuba menyorok disebalik batang pokok kundang yang tidak sebesar mana itu. Keseluruhan tubuh Din Bisu terlindung, kecuali punggungnya yang menjunkit keluar. Tidak lama kemudian, ketiga-tiga budak dari atas pokok dapat melihat Din Bisu menuang ‘gula icing’ dari acuannya menjadi kek cawan berbentuk lingkaran pyramid bulat, serta ada puncak tajam yang sungguh cantik.
            “Salah seorang pengganas telah mendarat untuk buang air. Hahaha…” kata Imi.
            “Din Bisu berak! Woooo!... tak malu. Hahaha….” jerit Fadli. Mereka ketawa beramai-ramai.
            Apabila melihat budak-budak bertiga itu mentertawakannya, Din Bisu mendapatkan basikal stereng lorinya lalu pulang.
            “Nampaknya pengganas ada seorang lagi. Mari kita tembak sampai jatuh,” jerit Nia.
            “Okey! Tat tat trat tat trat tat…” sahut Imi dengan membuat aksi menembak.
            “Tentera Russia sedang menghampiri Air Force One. Dan, Eyah… tentera Russia dapat memasuki pesawat Air Force One,” kata Fadli sambil melompat ke dahan yang diduduki oleh Imi.
            “Tentera Rusia sedang mencabut enjin pesawat Air Force One,” kata Fadli.
“Pengganas sudah cabut satu enjin kapal terbang. Tom Cat, bertindak sekarang!” jerit Imi.
“Hahaha… enjin kapal terbang besar, mana larat nak cabut, hahaha…” sahut Nia lalu ketawa.
“Sekarang tentera Rusia mahu menangkap presiden Amerika,” kata Fadli sambil memeluk Imi dari belakang. Imi cuba melepaskan diri. Mereka bergelut di dahan pokok kiat itu.
Melihat situasi itu, Nia melompat ke dahan yang sama untuk membantu Imi. Dahan itu kini melentur ke bawah kerana menanggung beban lebih berat.
“Air Force One mahu terhempas!” kata Imi panik.
Nia menarik Imi menyebabkan dia terlepas dari pegangan Fadli. Namun Imi tidak sempat mencapai dahan untuk dipegang. Akhibatnya dia tidak dapat mengawal diri dan terhumban ke depan. Pegangan Nia pada tangan Imi juga terlucut. Imi terus jatuh ke tanah.
“Air Force One akhirnya jatuh terhempas. Tentera Rusia berjaya!” jerit Fadli bagaikan membalas dendam.
Imi jatuh menjunam. Sedaya upaya dia cuba berpusing, tetapi dia hanya mampu mengangkat kepala sahaja.
Debuk! Imi terhempas dengan dadanya dahulu yang terhenyak ke tanah.
“Aghh!...” Imi menjerit. Dadanya bagaikan mahu pecah. Nafasnya menjadi semput. Dia merengkok-rengkok kesakitan di atas tanah.
            “Presiden Amerika sudah mati, hahahaha… misi berjaya,” jerit Fadli lagi.
            “Fadli, Imi sakit tu. Jom pergi tolong,” teriak Nia.
            Fadli dan Nia berkejar turun.
            “Imi, kau tak apa-apa?” tanya Nia.
Imi meradang. Tak nampakkah orang tengah sakit ini, rungut hatinya.
“Apa kita nak buat ni?” Nia menggelabah.
Imi mendapat satu akal. Dia buat-buat pengsan. Namun setelah beberapa ketika kedua-dua rakannya itu belum bertindak apa-apa, Imi buat-buat menggelupur seperti sedang nazak mahu mati. Nia menjadi panik. Dia mengangkat kepala Imi lalu meribanya.
Seronoknya, sorak hati Imi. Dia sengaja membuat kepalanya terkulai pula. Nia mula menangis. Dia merayu-rayu supaya Imi buka mata.
Hati Imi bagaikan digeletek-geletek, tetapi ditahannya. Kemudian mengeruh kuat seperti mahu menghembus nafas yang terakhir. Nia semakin tak tentu arah.
            “Imi, mengucap Imi,” kata Nia dalam tangisannya terngongoi-ngongoi.
            “Fadli, cepat ajar Imi mengucap,” rayu Nia lagi. Fadli yang sejak tadi hanya membatukan diri.
            “Mengucap?” kata Fadli menggaru-garu kepala.
            “Ok,” Fadli bersetuju lalu tunduk mendekatkan mulut ke telinga Imi.
            “Maarobbuka…” kata Fadli.
            “Hei…” marah Nia lalu menampar bahu Fadli. Imi yang sudah tidak tertahan lagi menghamburkan gelaknya. Dia ketawa berdekah-dekah membuatkan Nia dan Fadli tergamam melihatnya.
            “Kau orang berdua ni lawak betullah, hahahaha…”
            “Nia betul-betul percaya aku nak mati, menangis betul-betul tu. Hahahahaa…”
            “Fadli pula lagi dahsyat, terus tanya macam malaikat. Macamlah aku dah ditanam dalam kubur. Hahahaha…”
            “Oo, kau tipu ya!” marah Nia lalu menolak kepala Imi ke tanah.
            “Adoi! Hahahaha… kau orang terkena, hahahaha…” Imi terus ketawa.
            Puas ketawa berguling di atas tanah, Imi bangkit berdiri. Sakit dadanya masih lagi terasa, tetapi tidaklah sekuat tadi. “Sudahlah, mari kita balik,” ajaknya.
            “Jomlah. Aku dah tak ada selera nak makan buah kiat lagi. Bau tahi Din Bisu makin kuat ni. Naik loya tekak aku,” kata Nia pula.
Budak-budak bertiga itu pun mendapatkan basikal masing-masing dan mula mengayuh perlahan-lahan pulang ke rumah.

                                       *****

            Imi tersentak. Matanya terkebil-kebil seketika. Dia meraup muka dengan tangan sebelum menggeliat melentik-lentik macam cacing. Serta merta perutnya terasa senak menyengat-nyengat. Ada stok lama yang perlu dibuangnya. Sebenarnya rasa senak perut itulah yang membuatkan dia terjaga tadi.
            Lantas Imi bangkit dan mencampakkan selimutnya ke tepi. Dia terjun dari katil lalu mencapai tualanya dan terus berlari ke bilik air.
            Setengah jam berlalu, Mak Hendon mundar mandir di depan bilik air.
            “Ini siapa dalam bilik air lama sangat ni. Imi! Kamukah di dalam?”
“Ya, mak,” sahut Imi.
“Apa yang kamu buat lama sangat kat dalam tu? Kamu tidur dalam bilik airkah?”
Pintu bilik air dibuka. Terpancul Imi dari dalamnya.
“Mak, Imi tak boleh nak buang air. Tahi tak boleh keluar. Buntut sakit,” kata Imi. Matanya merah dan berair, tandanya sudah sekian waktu dia menangis tanpa suara.
“Tak boleh buang air? Kenapa?”
“Tak tahu,”
“Mari mak tengok,”
Imi duduk mencangkung di atas mangkuk tandas dan mula meneran. Sambil meneran dia mengerang sakit. Dia meneran dan mengerang bersilih ganti, namun najisnya tidak mahu keluar juga. Mak Hendon mengurut-ngurut perut dan pinggang Imi. Sambil itu dia mengagah-ngagah memberi semangat pada Imi.
Setelah usahanya itu tidak berhasil, akhirnya Mak Hendon meraba pintu dubur Imi dengan hujung jarinya.
“Keras. Entah-entah buasir ni,” kata Mak Hendon sambil menekan-nekannya.
Mak Hendon bangun dan berlalu mendapatkan Pak Brahim di beranda. Sebentar kemudian Mak Hendon datang semula bersama Pak Brahim.
“Kecik-kecik dah dapat buasir?” sergah Pak Brahim sebaik sahaja melihat Imi berteleku sayu di atas mangkuk tandas. Pak Brahim memeriksa dubur Imi.
“Tak ada buasir pun. Tapi tahi kamu yang keras. Sebab tulah payah nak keluar,” ujar Pak Brahim kemudiannya.
Imi tersedu-sedu. Dia tidak tahu nak cakap apa sekarang. Entah bila seksa ini akan berakhir, tak tertahan lagi azabnya ini.
“Kamu makan apa semalam?” tanya Pak Brahim.
“Makan nasi dengan lauk ikan singgang,”
“Lagi?”
“Petang semalam Imi makan buah kiat,”
“Buah kiat? Bijinya kamu telan?”
Imi mengangguk.
“Patutlah. Banyak mana kamu telan biji kiat,”
“Banyak…”
Pak Brahim menyuruh Imi masuk dalam sebiji besen yang berisi air. Dengan harapan air akan menyerap masuk dan seterusnya melembutkan najisnya, Imi dipaksa terus berendam di dalam besen itu. Sambil berendam Imi menangis tersedu-sedu. Tak disangkanya buah kiat yang sedap dimakan memberikannya azab sebegini rupa akhirnya. Sementara itu Pak Brahim dan Mak Hendon pergi bersembahyang subuh.
Sehinggalah matahari sudah segalah tingginya pagi itu, najis Imi tak dapat keluar-keluar juga. Puas sudah Imi meneran, namun tidak berhasil langsung. Najisnya masih keras macam batu.
“Sudah. Mari sini,” Pak Brahim menarik Imi keluar dari besen.
Punggung Imi ditunggingkan di atas lutut Pak Brahim. Sambil berleter Pak Brahim mengorek dubur Imi. Dengan menggunakan minyak masak sebagai pelicir, sebiji demi sebiji biji kiat dikeluarkannya. Dalam pada itu, kerap kali juga Pak Brahim terbersin hingga merah hidungnya.
“Tau sajalah baunya, hui… macam apa entah!” Pak Brahim merengus sambil mengesat air hidungnya.
            Hampir penuh sebiji bekas tin susu pekat manis diisi dengan biji kiat yang dikeluarkan daripada buntut Imi. Sebaik habis semua biji kiat dikeluarkan, Pak Brahim melepaskan geramnya menepuk punggung Imi dengan kuat.
“Hari ini kalau kamu telan lagi biji kiat, abah tak akan korek buang lagi. Biar biji kiat itu buruk dalam buntut kamu saja,” Pak Brahim memberi amaran.
            Imi terus menangis tersedu-sedu sambil mengesat air mata dan air hidungnya dengan lengan baju.

Ahad, 15 April 2012

Ahmad Alkebab - Bab 11


Bab 11

Hari ini cuaca terang lagi indah. Sekumpulan anak gadis Kampung Tahi Lalat sedang bersukaria mencuci pakaian di anak sungai. Sekumpulan pemuda pula asyik mengerjakan tanah di kebun yang berhampiran. Sambil berkerja, mereka menyanyi beramai-ramai.

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Ana gembira tiada terkata
Pagi petang burung unta dijaga
Daging ada telurnya pun ada
Bila bosan tunggang burung unta
Janji senang hatiku sentiasa
Cantik comel si burung unta

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Tak ada pitis tak menjadi apa
Padang ragut office besar ana
Mat dispatch ana tukang sapu pun ana
CEO buruh ana sapu semua
Pulut manis santan kelapa
Miskin harta jiwa kaya

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si dara turun ke sungai sambil membawa baldi
Riang ria berenang-renang mandi
Juga membasuh dan mencuci

Sang Matahari
Terang di angkasa menyinari bumi
Si pemuda senang hati
Sama-sama berbakti
Tanah dicangkul tanaman disirami
Sentiasa menanam budi

Sebaik sahaja lagu itu habis dinyanyikan, kelihatan sekumpulan manusia, lelaki dan perempuan yang berpakaian kemas dan cantik berbondong-bondong berjalan ke menuju ke bawah sebatang pokok di mana ada seorang lelaki muda duduk berteduh di situ. Shiekh Majnun mengepalai kumpulan rombongan itu.
            Sebaik sahaja tiba, Sheikh Majnun bertanya, “Hai pemuda si jaga burung unta, siapa nama kau?”
Lelaki muda itu yang sedikit terperanjat dengan rombongan manusia yang datang itu menjawab, “Nama ana Sediakawal bin Dimanosajo”. Dia merasa pelik, belum pernah ada orang datang ke ladang burung untanya sebegini ramai. Apa lagi kalau memakai pakaian cantik-cantik sebegitu. Mahu saja Sediakawal menuduh orang-orang yang tiba-tiba muncul itu adalah sekumpulan orang bunian yang mahu menyakatnya.
“Sedia kawal di mana saja? Macam nama syarikat sekuriti jaga kilang saja,” kata Sheikh Majnun. Dia turut tergelak kecil. Ayatnya itu teselit juga maksud penghinaan, tetapi Sediakawal tiadalah tersentuh hatinya. Ini kerana kerja jaga kilang yang dimaksudkan dianggap lebih tinggi tarafnya daripada kerja jaga ladang burung unta.
“Hmm… tapi kau jaga burung unta. Kena juga dengan nama canggih engkau tu, bagus… bagus… memang tepat,” tambah Sheikh Majnun lagi.
“Ada apa enta ramai-ramai datang ke tempat ana jaga burung unta ini? Mau beli burung untakah? Ana jaga saja burung unta ini. Kalau mahu beli, enta kena pergilah tanya tuan ladang ini sendiri,” kata Sediakawal.
“Aku tak mahu beli burung unta, walaupun aku suka makan kebab burung unta. Tukang masak aku boleh buat sendiri, lagi sedap daripada restoran buat,” ujar Sheikh Majnun dengan nada mengejek.
“Kalau enta tidak mahu beli burung unta tidak apalah. Enta boleh tunggang burung unta, percuma sahaja. Nanti enta berasa seronok macam inilah… macam inilah,” kata Sediakawal sambil melakonkan aksi menunggang burung unta dengan berlari mengelilingi Sheikh Majnun dan orang-orangnya, sambil itu dia melentur-lenturkan tengkuknya juga.
Sheikh Majnun tersenyum mengejek lagi. “Apa kelas tunggang burung unta. Orang kaya macam aku mestilah tunggang kuda. Aku sudah ada sepuluh ekor kuda,” katanya angkuh.
“Kuda ada empat kaki. Susah bila mahu buat balancing. Burung unta ada dua kaki saja. Senang buat U turn ataupun mahu parking,” kata Sediakawal lagi.
“Sudah, jangan merepek. Aku datang kemari sebab aku nak tanya. Mahukah engkau kawin dengan anak aku?” ujar Sheikh Majnun yang mulai bosan dengan lawak dungu Sediakawal itu.
“Kawin? MasyaAllah, mahulah. Siapa yang tak mahu kawin. Bila ana kawin, ana akan dapat isteri, hahaha... Ana tidak cemburu lagilah sama ana punya burung unta. Ana punya burung-burung unta semuanya sudah lama ada isteri. Seekor burung unta jantan ada sepuluh ekor isterilah. Ana saja yang belum punyai isteri walaupun seorang, hahaha… ” kata Sediakawal dengan gembira.
“Bagus… Baik, sekarang juga aku akan kawinkan engkau dengan anak aku ini, Mergastura,” kata Sheikh Majnun dengan menunjukkan anaknya itu kepada Sediakawal. Mergastura hanya tunduk. Wajahnya juga terlindung oleh purdah yang dipakainya.
“MasyaAllah. Ana kena kawin sekarang? Kawin di sini jugakah?” tanya Sediakawal kaget. Ekspres betul perkahwinannya. Belum pun sampai lima minit bertemu, sudah boleh kawin. Lagi cepat daripada orang yang terpaksa kawin kerana ditangkap basah.
“Tak boleh kawin di sini. Nanti orang nampak. Jatuhlah standard aku. Mari kita cari tempat yang terlindung sedikit,” kata Sheikh Majnun. Dia meninjau-ninjau sekeliling.
“Di sini tiada orang lainlah tuan sheikh. Ada burung unta saja. Tuan sheikh tidak perlu malu pada ana punya burung unta,” kata Sediakawal.
“Tidak boleh. Nanti ada paparazzi teropong kita dari jauh. Kalau masuk dalam surat khabar esok, busuk pula nama aku. Aku mahu kamu kawin dengan anak aku di tempat yang tersembunyi. Kamu tahukah ada tempat yang tersembunyi dekat-dekat tempat ini?” tanya Sheikh Majnun.
“MasyaAllah, mahu kawin pun kena bersembunyikah? Baiklah, ana tahu tempat bersembunyi yang paling bagus. Mari enta semua ikut ana,” ajak Sediakawal.
Sediakawal membawa Sheikh Majnun dan orang-orangnya masuk sedikit ke dalam sebuah hutan dara di pinggir ladang itu.
“Di sini bolehkah?” tanya Sediakawal ketika mereka berhenti di bawah sebatang pokok jelutong. Kawasan itu sedikit lapang dan rata.
“Baiklah, di sini nampaknya selamat. Kamu boleh berkahwin di sini sekarang. Tuan kadi, jalankan tugas,” kata Sheikh Majnun.
“Baik tuan sheikh,” sahut kadi.
“Tunggu dulu tuan sheikh. Berapa mas kawinnya? Ana tidak punya wang,” celah Sediakawal.
“Berapa banyak wang yang kamu ada sekarang?” tanya Sheikh Majnun.
Sediakawal menyeluk dan meraba-raba semua poket baju dan seluarnya.
“Ana mana ada banyak wang. Ana ada dua puluh lima sen saja, baki beli tepung gandum semalamlah,” kata Sediakawal sambil menunjukkan di tangannya.
“Dua puluh lima sen saja? Berapa punya miskinlah kamu. Tapi disebabkan anak aku ini mahu kawin dengan orang miskin, aku kena kawinkan dia dengan kamu juga. Mas kawin dua puluh lima sen pun aku terima,” kata Sheikh Majnun.
“Tak boleh tuan sheikh. Dua puluh sen ini, ana punya umi suruh beli garam. Tinggal lagi lima sen, ana boleh buat mas kawinlah,” kata Sediakawal.
“Ya tuhanku… lima sen saja mas kawin kamu nak beri? Apa punya malanglah nasib kamu ini, Mergastura? Padanlah dengan muka kamu. Nak sangat kawin dengan orang miskin,” ujar Sheikh Majnun. Mergastura tidak membalas. Dia hanya berdiam diri dengan muka selamba. Senyum tidak, sedih pun tidak.
“Baiklah. Kamu boleh kawin dengan anak aku dengan mas kawin lima sen. Tuan kadi, jalankan pernikahan sekarang. Aku tak mahu buang masa lama-lama lagi di sini,” arah Sheikh Majnun. Sediakawal nampaknya sungguh gembira dengan persetujuan Sheikh Majnun itu.
“Ah, dengan duit lima sen pun ana boleh kawin. Di dalam hutan ini pun ana boleh kawin. MasyaAllah, banyak senanglah mahu kawin,” kata Sediakawal. Dia pun duduk berhadapan dengan kadi di pangkal pokok jelutong itu.
“Mari kita mulakan,” kata tuan kadi. Dia pun berjabat tangan dengan Sediakawal.
“Wahai Sediakawal ibni Dimanosajo, aku nikahkan akan dikau dengan Mergastura binti Majnun Aljerunga dengan mas kawinnya, lima sen tunai,” kata tuan kadi.
“Ana terima nikahnya Mergastura binti Majnun Aljerunga dengan mas kawinnya lima sen tunai,” jawab Sediakawal lancar.
“Sah?” tanya yuan kadi.
“Sah,” jawab Sheikh Majnun dan beberapa yang lain.
“Alhamdulillah,” ucap tuan kadi
“Mergastura, sekarang kau ikut laki kau itu,” suruh Sheikh Majnun.
Mergastura mengangguk lalu mendapatkan Sediakawal.
“MasyaAllah,” Sediakawal megeluh. Dia pun bangun mendapatkan Mergastura. Mergastura pun menanggalkan purdah yang menutup separuh mukanya.
“MasyaAllah, banyak cantiklah. Enta tidak menyesalkah enta kawin sama ana?” tanya Sediakawal.
“Menyesal? Huh, ana suka kawin dengan enta,” jawab Mergastura sambil menjeling abahnya.
“Sukakah? Syukur, syukur,” ucap Sediakawal dengan menadahkan tangannya ke langit.
“Syukur, syukur,” sahut Tok Kadi pula.
Mergastura menjeling abahnya dengan penuh makna. Sheikh Majnun cepat menangkap maksud jelingan anaknya itu.
“Ooo… kau cabar aku lagi ya? Baik. Mergastura, mulai hari ini buatlah sesuka hati kau dengan laki engkau. Aku nak tengok apa yang akan terjadi nanti,” kata Sheikh Majnun dengan angkuhnya. Kemudian dia dan pengikut-pengikutnya pun beredar dari situ.
“Mergastura, mari kita pulanglah. Ana mahu tunjuk enta sama ana punya umi. Ana mahu cakap sama umi, ana sudah kawinlah,” kata Sediakawal.
“Baiklah,” sahut Mergastura.
Mereka pun berpimpinan tangan keluar dari hutan kecil itu.

Selasa, 10 April 2012

Madu Tiga Suku - Bab 11


11.  Depositkan Duit Dulu

            Awal-awal pagi lagi sebaik sahaja tiba di pejabat, Jamilkhir mencari Razi. Razi masih belum kelihatan kerana kebiasaannya dia masuk pejabat apabila jam menghampiri pukul lapan. Jamilkhir menyandarkan punggungnya di meja Razi. Dia mengetuk-ngetuk pen dengan perlahan ke dagunya. Dia menunggu Razi dengan sabar.
            Razi muncul di muka pintu pejabat ketika jarum panjang jam di dinding menunjukkan angka sebelas, iaitu lima minit lagi sebelum pukul lapan. Jamilkhir terus menarik tangan Razi masuk ke biliknya. Sebaik kedua-duanya di dalam, Jamilkhir mengunci pintu biliknya. Dia menyuruh Razi duduk di sofa.
            “Apa hal tuan?” tanya Razi yang kehairanan melihat gelagat pelik ketua unitnya pagi itu.
            “Kau mesti tolong aku, Razi. Kali ini kau mesti tolong,” ujar Jamilkhir bersungguh-sungguh.
            “Tolong apa tuan?” tanya Razi kaget.
            “Aku mahu kawin lagi satu,” kata Jamilkhir
            “Ha? Biar betul tuan,” Razi bertambah terkejut.
            “Betul. Aku sudah jatuh hati dengan perempuan yang datang semalam. Dia dan tunangnya memutuskan pertunangan mereka di depan aku. Lepas itu dia ajak aku kawin. Rezeki dah datang bergolek, takkanlah aku nak menolak,” jelas Jamilkhir.
            “Tapi bagaimana dengan Kak Fara dan Kak Nina? Mereka sudah bersetuju?” tanya Razi lagi.
            “Hah, itulah yang aku nak minta tolong engkau ni. Kau sajalah orang yang paling rapat dengan aku. Kau tolong uruskan perkawinan kami di Siam,” pinta Jamilkhir.
            “Apa? Tuan nak kawin di Siam?” Jamilkhir tersentak lagi. Pelbagai kejutan dia terima pada pagi ini.
            “Janganlah bising-bising. Aku tidak mahu Liafara dengan Hasnina tahu. Kamu kena simpan rahsia ini baik-baik. Nanti aku bayarlah upah kamu. Boleh?” desak Jamilkhir.
            Razi menggeleng-gelengkan kepala. “Bahaya tuan. Saya tengok Kak Fara dengan Kak Nina masih macam anjing dengan kucing, belum berdamai lagi,” kata Razi.
            “Itu pasallah aku nak kawin lagi satu. Aku dah bosan tengok mereka asyik bergaduh. Jiwa aku tak tenang. Bila aku pulang dari kerja, aku nak juga layanan isteri yang ramah mesra. Ini tidak, nampak saja aku balik rumah, terus aku kena desak supaya menceraikan yang seorang lagi. Kalau aku diam, mereka akan berleter, sampailah ke tengah malam.,” luah Jamilkhir dengan kesal.
            “Sekarang tuan nak tambah lagi seorang. Nanti perang tiga penjuru pula,” Razi menyuarakan kebimbangan.
            “Usah risau. Hanya aku dengan engkau saja yang tahu perkara ini. Boleh ya?” Jamilkhir menepuk bahu pembantu setianya itu.
            “Tapi saya tak sedap hatilah tuan. Bukan tuan tak tahu, kita sudah banyak kendalikan kes orang-orang yang kawin di Siam ini. Macam-macam masalah mereka hadapi. Ada yang tidak dapat mendaftar semula perkawinan mereka di Malaysia sebab guna jurunikah tidak bertauliah, tiada wali atau wali tidak sah. Kena turun naik mahkamah dan kena bayar denda lagi. Penat tuan nak melayan karenah birokrasi ini,” kata Razi yang cuba mengelak.
            “Ah, itu kamu usah risau. Kita buat betul-betullah, gunakan kadi dan wali yang dilantik Majlis Agama Islam Thailand. Dapatkan sijil nikah dan pengesahan yang tulen. Bila balik ke Malaysia, aku daftarlah semula dan bayar dendanya yang tidak banyak mana pun itu. Lima ratus ringgit seorang sahaja, mudah macam makan kacang! Bukankah kita kerja di pejabat agama? Semua urusan dan prosedur dalam tanganlah,” pujuk Jamilkhir.
            “Pasal kita kerja di pejabat agama inilah yang jadi masalaahnya, tuan. Kalau kita ini kerja tempat lain, saya tidaklah kisah sangat. Bagaimana kalau Tuan Haji Razali tahu nanti? Apa kita nak cakap?” tanya Razi.
            “Dia tak boleh halang. Lagipun aku nak kawin, bukannya nak buat maksiat. Tidak apa, apa-apa hal yang berbangkit dengan Tuan Haji Razali nanti, biar aku  yang selesaikan sendiri,” kata Jamilkhir.
            “Tidak sesenang itu, tuan. Tuan kena fikir juga akhibatnya nanti. Tuan kawin di Siam sedangkan tuan sendiri berkerja dengan pejabat agama, bahagian penguatkuasaan undang-undang keluarga lagi tu. Sudah tentu tuan akan dianggap mempersenda-sendakan agama nanti. Tuan sudah menjatuhkan maruah pejabat agama dan Tuan Haji Razali juga. Pasti Tuan Haji Razali mengambil tindakan. Sekurang-kurangnya tuan akan ditukarkan ke daerah lain. Bonus, kenaikan gaji dan faedah-faedah lain mungkin juga kena beku. Tuan fikirlah baik-baik,” panjang lebar nasihat Razi.
            “Tak apalah, aku bayar upah engkau dua kali ganda daripada gaji engkau. Sekarang aku mahu kau fikir dulu, hendak terima tawaran aku atau tidak,” Jamilkhir tetap tidak mahu berganjak daripada pendiriannya.
            “Saya keluar dululah tuan. Nanti tengah hari saya berikan jawapan,” kata Razi lalu membuka pintu dan keluar.
            “Hmmm…” balas Jamilkhir sepatah.
            Jamilkhir menyeluk saku dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia menaip satu pesanan ringkas untuk Rudjini tentang perkawinan mereka bakal berlangsung di Siam. Sebentar kemudian Jamilkhir menerima mesej balas daripada Rudjini yang mengatakan dia perlu meminta persetujuan daripada keluarga dulu.
            Menjelang waktu rehat tengah hari, Jamilkhir belum lagi dihubungi Rudjini bagi menyatakan persetujuannya. Lantas dia menelefon bakal isterinya yang ke tiga itu.
            “Nenek minta Abang Jamil dengan Rudjini datang berbincang dengannya di kampung dulu,” pendek saja jawapan yang Rudjini beri memandangkan dia sedang sibuk.
            Jamilkhir mengeluh panjang. Banyak sungguh ranjau yang datang merintangi jalannya. Dia pun tersilap langkah tadi. Sepatutnya dia bersemuka dengan Rudjini, bukannya dengan menghantar pesanan ringkas untuk berbincang perkara sesulit itu. Rudjini perlu dipujuk dan dibawa terus ke Siam tanpa melibatkan keluarga atau pun neneknya. Sekarang perkara ini sudah terlanjur sampai ke pengetahuan neneknya pula.
            Hendak tidak hendak, petang itu Jamilkhir terpaksa mengikut Rudjini bersemuka dengan neneknya di kampung. Kampung ini terletak di Pengkalan Berangan, agak jauh dari Bandar Marang. Dari jalan besar ke rumah nenek Rudjini mereka melalui jalan tar anak yang sempit sejauh kira-kira lima kilometer merentasi kebun getah, kebuh kelapa sawit dengan tanah beralun.
            “Nenek tidak menghalang kamu hendak memperisterikan Rudjini, walaupun sebagai isteri ke tiga. Tetapi biarlah kawin di sini. Nenek tidak benarkan kamu membawa Rudjini berkawin ke Siam. Nenek faham perasaan Rudjini. Dia baru saja putus tunang semalam. Untung juga ada kamu ganti tempat bekas tunang dia. Kamu berdua kawinlah cepat-cepat. Teringin sangat nenek nak menimang cicit,” luah nenek Rudjini.
            Menurutnya lagi, dia tinggal di rumah kampung itu hanya berdua dengan Rudjini. Rudjini dipeliharanya sejak berumur setahun selepas anak dan menantunya, iaitu ayah dan ibu kepada Rudjini berpisah. Ayah Rudjini terus meninggalkan mereka tanpa khabar berita semenjak itu. Ibu Rudjini pula berhijrah ke Kuala Lumpur mencari kerja setahun kemudian dan lenyap tidak pulang-pulang hinggalah sekarang. Sejak dari kecil lagi Rudjini menganggap ayah dan ibunya telah meninggal dunia.
            Ibu Rudjini kecewa kerana bekas suaminya tidak bertanggungjawab dengan tidak memberi nafkah kepada anaknya. Ibu dan nenek Rudjini berusaha untuk membuat tuntutan nafkah di mahkamah, namun terpaksa berhenti separuh jalan kerana masalah taraf perkawinan mereka. Mereka tidak memiliki sijil perkahwinan yang diiktiraf kerajaan Malaysia kerana mereka kawin lari ke Siam dahulu. Sijil perkawinan mereka di Siam pun hilang entah kemana. Mungkin telah dihanyutkan banjir tidak lama selepas itu. Mereka tiga beranak hidup teraniaya. Kemiskinan juga menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan prosedur rumit tuntutan itu lagi.
            Untuk mendaftar kelahiran Rudjini juga mereka menghadapi masalah besar kerana ketiadaan sijil pernikahan yang sah. Apabila Rudjini memasuki usia tujuh tahun, dia terpaksa dihantar ke rumah saudara di Siam dan bersekolah di sana. Ini kerana Rudjini gagal didaftarkan di sekolah rendah di Malaysia kerana ketiadaan sijil kelahiran.
            Ketika usia Rudjini dua belas tahun barulah dia berjaya mendapat sijil kelahiran yang telah sekian lama dipohon. Seterusnya dia juga berjaya mendapatkan kad pengenalan. Semua ini adalah dengan bantuan penghulu mukim dan wakil rakyat. Waktu itu Negara akan mengadakan pilihanraya umum. Dan wakil rakyat itu sempat berpesan, “cukup umur dua puluh satu tahun nanti, jangan lupa jumpa saya lagi. Saya akan daftarkan awak sebagai pemilih.”
            “Begitulah kisah kami anak beranak. Susahnya hanya tuhan saja yang tahu. Sebab itulah nenek tidak mahu kamu berdua kawin di Siam. Cukuplah kesusahan yang kami alami dulu. Yang sedapnya hanya orang lelaki, boleh lepaskan tanggungjawab dan larikan diri tanpa bimbang langsung didakwa,” tegas nenek Rudjini.
            “Saya tidak akan berbuat begitu nenek. Saya berjanji akan menjaga Rudjini dengan baik. Saya tidak akan mempersia-siakan dia. Saya tinggal di Bandar Marang dan berkerja tetap di sana. Keluarga dan harta benda saya juga ada di situ. Tidak mungkin saya akan lari ke mana-mana lagi,” pujuk Jamilkhir.
            “Nenek tetap tidak benarkan. Takkanlah kamu berdua mahu menghantar anak-anak bersekolah di Siam nanti,” nenek Rudjini masih berkeras.
            “Saya kerja di pejabat agama, nek. Saya tahu bagaimana nak uruskannya. Saya akan daftar semula pernikahan kami di Malaysia kelak. Perkawinan kami nanti sah dan tiada lagi masalah timbul selepas itu,” jelas Jamilkhir lagi.
            “Nenek tetap tidak setuju dengan cara itu. Ini kata putus nenek,” tegas Nenek Rudjini.
            Akhirnya Jamilkhir terpaksa beralah dan menyatakan persetujuannya mengikut kehendak nenek Rudjini. Walaupun begitu, hatinya masih berbelah bahagi. Namun Jamilkhir bertekad, dia akan tetap membawa Rudjini berkawin di Siam. Nenek Rudjini yang sudah lanjut usia ini tidaklah sesukar mana untuk ditangani. Dia akan meminta maaf semula dengan nenek Rudjini selepas selesai kawin nanti. Akan diberikannya buah tangan apa yang patut, cairlah hatinya nanti.
            Masalah yang ayah dan ibu Rudjini hadapi dulu adalah berpunca daripada perkawinan sindiket yang tidak sah. Mereka tidak tahu apa yang mereka buat, main redah sebarangan saja, kata hati Jamilkhir.
            Selepas melihat nenek Rudjini berpuas hati, Jamilkhir pun meminta diri untuk pulang memandangkan petang sudah pun lewat benar. Nanti bising pula si Liafara di rumah.
            Kesokannya, Jamilkhir menelefon Ayahda untuk menetapkan tarikh pernikahan dan merundingkan harga pakej. Apa yang mengejutkan Jamilkhir ialah Ayahda menyuruhnya mendepositkan dahulu duit sebanyak tiga ribu ringgit ke dalam akaunnya.
            Jamilkhir mula berasa tidak sedap hati. Belum pun buat apa-apa lagi sudah mahu bayaran penuh. Kalau mahu separuh bayaran sebagai deposit, itu boleh lagi diterima akalnya. Dia mengesyakki ada sesuatu yang tidak kena. “Eh, dua hari lepas ayahda cakap lain, hari ini cakap lain pula,” katanya.
            “Hari itu Ayahda ajak Jamil berbual-bual kosong saja. Hari ini Ayahda cakap terus-terang. Kita straight to the point sahajalah ya,” kata Ayahda berdalih.
            Menurut Ayahda lagi, Selepas menerima bayaran itu, dia akan menghantar sijil perkawinan berserta surat pengesahan konsulat Malaysia di Bangkok terus ke tangan. Jamilkhir juga tidak perlu bersusah-susah pergi ke Siam untuk bernikah. Segala-galanya akan selesai dengan cepat tanpa menunggu lagi. Ayahda menekankan bahawa cara ini adalah cara yang paling mudah.
            Apa yang perlu dilakukan oleh Jamilkhir ialah menghantar salinan faks kad pengenalan dirinya dan Rudjini, berserta dengan sedikit maklumat diri yang lain selepas membuat bayaran tersebut. Itu saja.
            Terkedu Jamilkhir mendengarnya. Terdiam dia tanpa mengatakan ya atau tidak. Tiada terduga olehnya, Ayahda yang disangka professional ini juga menjalankan sindiket pernikahan palsu. Sudah tentulah pernikahannya dengan Rudjini nanti tidak sah. Malah tidak boleh dianggap bernikah pun kerana tiada akad yang akan dilaksanakannya.
            Jamilkhir terfikir yang Ayahda mahu mengenakannya. Daripada membiarkan diri menjadi mangsa. Lebih baik dia memerangkap manusia petualang itu pula. Jika tidak, ramai lagilah yang akan menjadi mangsa sindiket durjana ini. Makin banyaklah masalah serupa akan diadukan padanya di pejabat agama nanti. Sindiket ini akan membebankan pegawai-pegawai agama sepertinya. Yang lebih parah sudah tentunya masyarakat yang wujud hasil daripada pernikahan palsu sindiket-sindiket seperti ini.
            Mulanya Jamilkhir terfikir mahu melaporkannya kepada polis, tetapi bila menyedari yang tidakannya itu bakal menjadi heboh dan sensasi, dia membatalkan niatnya. Sudah tentu Liafara dan Hasnina akan mengetahui yang dia terbabit sama dengan nikah lari di Siam. Bersiap sedia sajalah menunggu ledakan ‘bom atom’ kedua-duanya nanti.
            “Baiklah Ayahda, saya akan telefon sejam lagi untuk memberi kata putus. Saya kena pergi mesyuarat ini. Maaflah ya, bos saya sudah panggil itu. Assalamualaikum,” kata Jamilkhir lalu mematikan telefon bimbitnya. Dia terpaksa menipu begitu untuk melengahkan masa baginya merancang sesuatu untuk mengenakan Ayahda dan juak-juaknya pula.

Khamis, 5 April 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 11


11.      Pengetua Parang Kangkung Jaya

            Dato’ Kontot. Itulah gelaran yang diberikan kepada seorang lelaki yang berumur 56 tahun. Nama sebenar yang tertera dalam kad pengenalannya ialah Kamaruddin bin Othman. Sepatutnya dia perlu dipanggil Dato’ Kamaruddin Othman sebagai menghormati kedudukannya. Namun gelaran Dato’ Kontot lebih sinonim dengannya. Nama itulah yang mempopularkannya sejak mula menyertai bidang politik. Nama itu senang disebut dan diingati oleh semua orang. Terdapat unsur lelucon pada nama ini yang juga sering menjadi persendaan dan bahan gurauan.
            Yang bagusnya Dato’ Kontot tidak kisah pun, malah bangga bila nama gelarannya itu sentiasa menjadi sebutan. Keadaan fizikalnya yang agak rendah dengan rangka badan yang besar menyumbang kepada terciptanya gelaran ini. Dia tidak merasakan satu kekurangan kerana bertubuh pendek, malahan dia kelihatan sentiasa lincah bergerak ke sana ke mari. Itulah kelebihan Dato’ Kontot yang dieksploitasi sepenuhnya, disamping memiliki suara yang lantang dan nyaring.
            Pada usia emas begini sepatutnya beliau sudah boleh bersara. Boleh tumpukan pada ibadat dan menghabiskan masa dengan cucu. Tiada apa sangatlah lagi hal keduniaan yang perlu dikejarnya. Duit pencen yang akan diterimanya nanti pun tidak termakan. Itu belum lagi duit dan harta yang dimilikinya yang boleh menanggung hidupnya sehingga ke anak cucu. Dia juga mampu pergi menunaikan fardu haji di Mekah setiap tahun, kalau dia mahu.
            Namun manusia yang empunya gelaran Dato’ Kontot ini tidak pernah rasa cukup. Dia tidak kenal erti puas. Mungkin juga tidak pernah bersyukur dengan segala apa yang telah dicapai selama ini. Yang jelasnya, dia selalu mengeluh dan merungut sejak akhir-akhir ini. Dia amat kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon wakil rakyat di Parlimen Kangkung Jaya dalam pilihan raya umum yang lepas. Pada hal, dia telah menyandang jawatan itu selama tiga penggal sebelum ini. Entah macam mana, dia tidak lagi dikehendaki mempertahankannya pada penggal ini. Sebagai orang yang paling senior dalam barisan kepimpinan, dia merasakan dialah yang sepatutnya diberi jawatan itu.
            Dato’ Kontot sedar, ini adalah usaha-usaha untuk menyingkirkannya dari arena politik. Ada di kalangan pimpinan atasan tidak menyenanginya. Mereka menggantikannya dengan YB Sumbing sebagai calon wakil rakyat. Sudah tentu YB Sumbing berjaya dalam pilihanraya itu memandangkan parti lawan bukanlah tandingan Parti Parang di Kangkung Jaya. Dato’ Kontot kehilangan kuasa dan sumber peruntukan. Yang lebih dikesalinya, dia turut kehilangan sebahagian penyokongnya juga.
            Sekarang, jawatan yang tinggal pada Dato’ Kontot hanyalah Pengetua Parang Kangkung Jaya sahaja. Jawatan ini juga dijangka akan turut dirampas sedikit masa lagi. Untuk pemilihan pimpinan parti di peringkat bahagian nanti, YB Sumbing awal-awal lagi sudah menyatakan perdirian untuk mencabar kedudukan Dato’ Kontot dalam jawatan pengerusi. Dato’ Kontot mengesyaki ada orang atasan yang mendorong YB Sumbing berbuat begitu. Kalau tidak, masakan YB Sumbing yang begitu setia padanya selama ini tiba-tiba berpatah arang berkerat rotan dengannya.
            Sebelum ini, jawatan pengerusi dan timbalannya tidak pernah dipertandingkan. Proses pemilihan pemegang jawatan ini hanyalah melalui muafakat. Semua ahli Parti Parang di Kangkung Jaya bersatu waktu itu, tidak seperti sekarang yang sudah berpecah kepada dua pasukan. Satu pasukan yang menyokong Dato’ Kontot digelar Geng Parang Kontot, manakala satu pasukan lagi yang menyokong YB Sumbing digelar Geng Parang Sumbing. Pertembungan dua geng parang ini sudah tidak dapat dielak lagi.
            Keadaan ini tidak akan pulih selagi jawatan Wakil Rakyat Parlimen Kangkung Jaya dan Pengetua Parang Kangkung Jaya pegang oleh orang yang berlainan. Dan nampaknya ia akan terus berlarutan memandangkan tiada seorang pun daripada dua pemimpin ini mahu mengalah. Masing-masing berusaha memperluaskan pengaruh untuk meraih lebih sokongan. Kedudukan Dato’ Kontot semakin genting ekoran program-program kerajaan untuk turun padang bersama rakyat telah dikendalikan oleh YB Sumbing sepenuhnya. Dato’ Kontot terpaksa bergerak dengan inisiatif sendiri tanpa sokongan kerajaan lagi.
            Bulan Ogos ini adalah bulan kemerdekaan. Di sana sini bendera Malaysia yang dijenamakan semula sebagai Jalur Gemilang banyak kelihatan. Ada yang ditampal pada dinding-dinding dan tembok. Ada pula yang digantung pada tiang-tiang lampu dan pokok. Tidak kurang juga yang lebih kreatif menghiaskan kenderaan masing-masing dengan bendera Malaysia. Dalam satu kejadian, akhibat dihiasi dengan terlalu banyak bendera, sebuah beca dengan tiang bendera yang penuh berceracak padanya, kelihatan seperti seekor landak yang sedang merayap di atas jalan raya.
            Bagi menghidupkan lagi bulan kemerdekaan ini dengan semangat patriotik, banyak program yang berkaitan dengan bendera Malaysia diadakan di merata tempat. Sekolah-sekolah menganjurkan murid-muridnya berarak membawa bendera dengan berbasikal mengelilingi kampung. Ada persatuan yang melukis bendera terpanjang. Ada pula yang membina bendera Malaysia dengan menggunakan botol plastik terbuang yang diwarnakan. Ada juga yang membuat kek hari jadi yang bercorak bendera Malaysia.
            Namun dalam banyak-banyak orang, ada juga yang berfikiran sengal menjadikan bendera Malaysia yang dikutipnya di tepi jalan sebagai kain basahan. Orang-orang yang biadab sebegini patut digantung kewarganegaraannya!
            Petang itu, belia-belia Kampung Kangkung Kering akan mengadakan perarakan bendera Malaysia dengan bermotosikal. Acara ini akan dirasmikan oleh Dato’ Kontot, yang seterusnya juga akan mengepalai perarakan itu. Beberapa orang polis trafik akan mengiringi perarakan ini untuk memantau aspek keselamatan hampir seratus orang belia yang terlibat. Sebelum bertolak, semua peserta berkumpul dalam balairaya untuk diberi taklimat tentang tujuan tersirat dalam perarakan itu, di samping perkara-perkara yang melibatkan keselamatan jalan raya.
            Sedang seorang pegawai trafik bercakap, kedengaran bunyi enjin motosikal dihidupkan di luar balairaya. Menderam-deram bising sebelum bergerak pergi dengan bunyinya semakin menjauh dan akhirnya lenyap. Gangguan sekejap itu mengalihkan tumpuan mereka sejenak, tetapi tiada siapa pun yang berminat hendak keluar melihat. Mungkin ada anggota polis trafik yang mahu ke mana-mana dahulu sementara menunggu perarakan bermula. Maka sesi taklimat itu diteruskan sehinggalah selesai.
            Sewaktu para peserta keluar mendapatkan motosikal masing-masing untuk memulakan konvoi, Dato’ Kontot mendapati motosikal Kawasaki Vucannya tiada lagi di tempat ia ditongkat tadi. Ketua polis pengiring yang memberi taklimat tadi juga memberitahu motosikal perondanya juga turut lesap.
            “Siapa pula yang ambil motosikal saya?” soal Dato’ Kontot bengang. “Kenapa motosikal saya selalu sangat hilang?” luahnya lagi dengan kesal. Peserta-peserta konvoi tertanya-tanya sesama sendiri. Dengan segera mereka cuba membantu. Bagaimanapun, puas mereka meninjau-ninjau di sekitar balairaya, tetapi tiada apa yang dijumpai. Hanya andaian-andaian bagaimana motosikal-motosikal itu hilang sahaja mereka mampu sumbangkan.
            “Mencuri motosikal polis adalah satu kesalahan besar,” ujar ketua polis pengiring. Satu-satunya motosikal polis trafik yang berkuasa besar itu hilang mennyebabkan dia dan pasukannya terpaksa menggunakan tiga buah lagi motosikal biasa yang tinggal.
            Dato’ Kontot termanggu-manggu. Untuk memanggil Pak Belukang bagi menilik di mana motosikalnya, pasti sudah tidak sempat lagi. Lagipun belum tentu Pak Belukang mahu membantunya kerana dia sudah terikat dengan YB Sumbing sekarang. Jika Dato’ Kontot meneruskan pencarian motosikalnya, program perarakan bendera petang itu terpaksa ditinggalkannya. Ini sudah tentu satu kerugian besar baginya. Semangat anak-anak  muda yang berkobar-kobar hendak berarak itu tidak patut dirosakkan. Nanti Dato’ Kontot juga yang dicemuh pula. Usahanya hendak menarik sokongan akan menjadi sebaliknya.
            Dato’ Kontot perlu menangguhkan dulu usaha mencari motosikalnya ke satu waktu yang lain. Sebagai langkah penyelesaian yang sementara waktu, dua orang anak muda dengan rela hati tampil untuk meminjamkan motosikal masing-masing, bagi digunakan oleh Dato’ Kontot dan ketua polis pengiring itu berkonvoi. Dua anak muda itu pula membonceng motosikal lain. Akhirnya program perarakan bendera Malaysia itu pun dapat dimulakan seperti yang dijadualkan walaupun keghairahannya sedikit terganggu.
            Anak-anak muda yang berarak tetap bersemangat melaungkan merdeka. Yang membonceng pula sibuk mengibarkan bendera ke kiri dan kanan. Namun mereka tetap berhati-hati supaya tidak terkena pada peserta lain. Hampir setengah kilometer juga panjangnya deretan motosikal yang berarak ini menguasai jalan raya. Suara laungan mereka tenggelam timbul di antara bunyi deruan enjin-enjin motosikal mereka.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi bersemangat.
            Orang-orang kampung tertarik dengan laungan semangat itu berpusu-pusu keluar ke tepi jalan. Yang sedang memasak keluar dengan senduk dan botol kicap di tangan. Yang sedang mencuci kereta pula datang dengan buih sabun penuh di badan. Yang sedang menghambat kambing juga datang berpusu-pusu dengan kambing-kambingnya sekali. Semuanya teruja untuk melihat perarakan yang setahun sekali dibuat itu.
            Pasukan konvoi bendera Malaysia berarak mengelilingi Kampung Kangkung Kering satu pusingan lengkap. Sekarang mereka berarak lagi untuk pusingan kedua. Mereka mendapati, orang-orang kampung memenuhi tepi-tepi jalan di sepanjang laluan perarakan. Kali ini mereka nampaknya tertunggu-tunggu akan ketibaan konvoi motosikal itu melintasi tempat mereka. Apabila pasukan konvoi berteriak, mereka juga turut menjerit semangat bersama.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Tiba-tiba kedengaran deruman kuat dari belakang. Ada dua buah motosikal besar yang mahu memotong konvoi itu dengan lajunya. Motosikal-motosikal itu juga mempunyai bendera Malaysia. Sewaktu motosikal-motosikal besar itu sampai di depan konvoi, Dato’ Kontot mendapati salah sebuah motosikal itu adalah motosikal Kawasaki Vulcannya. Manakala sebuah lagi adalah motosikal peronda polis trafik. Kedua-duanya ditunggang oleh orang yang tidak dikenali.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Sebenarnya motosikal besar Dato’ Kontot itu sedang ditunggang oleh Penyamun Kuali, sementara rakan seperjuangannya, Penyamun Mata Cangkul pula menunggang motosikal peronda polis. Mereka berjumpa semula dengan motosikal Kawasaki Vulcan yang belum sempat mereka jual dahulu itu di tepi balairaya itu sewaktu merayau mencari besi tadi. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, mereka terus menyambar motosikal itu. Dan untuk pembahagian komponen yang lebih adil pada kali ini, mereka turut melarikan sebuah lagi motosikal besar, iaitu motosikal peronda polis dan bukannya basikal buruk lagi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung.
            Entah macam mana penyamun-penyamun ini terserempak dengan perarakan bendera ini. Yang peliknya, mereka juga terliur hendak berkonvoi, bagaikan terlupa yang mereka sedang menunggang motosikal curi. Boleh jadi laungan merdeka yang bergema turut menyemarakkan semangat patriotik di jiwa mereka lalu mereka memecut dan turut melaung sama.
            Boleh jadi juga mereka menyangkakan gerombolan anak muda bermotosikal itu sedang merempit beramai-ramai lantas mereka tampil untuk menunjukkan skil mereka pula. Ya, skil merempit mereka nampak macam hebat. Sekejap sahaja mereka sudah mendahului kepala konvoi itu. Pada hal, memang motosikal yang mereka tunggang itu lebih berkuasa.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung peserta-peserta konvoi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung. Nampaknya peserta-peserta konvoi dan orang-orang kampung belum menyedari apa yang berlaku. Mereka terus melaung-laung dengan bersemangat.
            “Hoi! Itu motosikal aku!” jerit Dato’ Kontot sambil menunjuk-nunjuk ke depan.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” kedua-dua penyamun itu menjerit balas.
            “Berhenti! Bagi balik motosikal aku!” jerit Dato’ Kontot lagi.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” mereka menjerit balas lagi.
            “Tak guna! Kejar mereka! Kejar mereka!” teriak Dato’ Kontot pada peserta konvoi.
            Sekarang perarakan itu memasuki pusingan ke tiga. Perserta-peserta konvoi sudah melajukan motosikal mereka, tetapi penyamun-penyamun itu memecut dengan lebih laju. Orang-orang kampung yang menonton tidak menyangka itu adalah adegan kejar-mengejar. Mereka fikir dua biji motosikal besar yang mendahului perarakan itu adalah pemimpin perarakan. Ini kerana kedua-dua motosikal peronda polis dan motosikal Dato’ Kontot mempunyai bendera Malaysia yang besar. Pada hal kedua-duanya adalah penyamun.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” penyamun-penyamun itu melaung ke arah orang kampung.
            “Kejar mereka! Kejar mereka! Kejar mereka!” laung peserta-peserta konvoi pula. Namun suara-suara mereka sudah tidak serentak lagi, berterabur bagaikan pasar lelong.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sahut orang-orang kampung, tetap menyangka peserta-peserta konvoi melaungkan merdeka.
            Entah bagaimana pula penyamun-penyamun yang mengepalai perarakan bendera Malaysia hari itu. Sungguh melucukan lagi pelik. Sepatutnya perarakan ini dikepalai oleh para pemimpin yang disegani dan dihormati lagi disayangi rakyat, bukannya penyamun musuh negara. Walaupun peserta-peserta konvoi cuba mengejar mereka, apalah daya motosikal biasa berkuasa 120 cc itu berbanding dengan motosikal yang berkuasa 500 cc. Namun orang-orang kampung yang lambat menangkap pemikirannya tetap memberikan laungan sokongan pada kedua-dua pihak, penyamun dan juga peserta konvoi itu .
            Masuk pusingan ke empat, ada di antara orang-orang kampung yang perasan kedua-dua buah motosikal besar yang mengepalai perarakan itu ditunggang oleh orang asing yang mencurigakan.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” penyamun-penyamun itu melaung ke arah orang kampung.
            “Kejar penyamun! Kejar Penyamun! Kejar Penyamun!” teriak peserta-peserta konvoi. Sudah ada suara yang berbunyi parau, dek kerana berteriak terus-menerus.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” orang-orang kampung masih berteriak balas walaupun sesetengahnya sudah keliru dengan keadaan perarakan yang kelam kabut itu. Ada di antara mereka sudah tahu yang peserta-peserta konvoi sedang mengejar penyamun, tetapi mereka jadi kelu dan kaku, takut untuk mengambil apa-apa tindakan. 
            Pada pusingan kelima, sebahagian peserta konvoi memutuskan untuk berhenti dan menunggu di tengah jalan sementara sebahagian lagi terus menghambat penyamun-penyamun itu. Sekatan dibuat oleh pasukan yang menunggu dengan menyusun motosikal-motosikal merentangi jalan. Mereka turut dibantu oleh orang-orang kampung. Mereka juga bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan termasuk dirempuh.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” laung penyamun-penyamun.
            “Tangkap penyamun! Tangkap penyamun! Tangkap penyamun!” jerit peserta konvoi yang menghambatnya.
            “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” orang-orang kampung tetap tidak berganjak. Menjerit sahaja yang mereka tahu. Apakah makna merdeka, langsung mereka tidak tahu dan tidak mahu tahu.
            Sekatan jalan raya yang mendadak selepas satu selekoh menyebabkan kedua-dua penyamun menekan brek kecemasan. Kedua-dua motosikal itu terseret dan berpusing ke arah bertentangan, satu langkah yang tepat untuk megelakkan diri daripada anak-anak muda yang sudah bersedia dengan batang-batang kayu di tangan. Namun penyamun–penyamun itu tidak dapat bergerak jauh kerana pasukan motosikal yang menghambatnya semakin hampir.
            Penyamun-penyamun tiada pilihan lain lagi kecuali memasuki simpang jalan anak yang ada di situ. Jalan kecil itu adalah jalan mati yang berakhir pada sebuah kawasan perkuburan. Mereka menyedari yang mereka terperangkap setelah berada dalam kawasan yang berpagar konkrit sekelilingnya itu. Anak-anak muda yang mengejar mereka segera menutup pintu pagar dan mengepung tanah perkuburan itu. Nampaknya penyamun-penyamun itu tidak dapat melarikan diri lagi.
            Anggota polis menyerbu ke dalam dengan pantas dengan mengacukan pistol.
            “Jangan bergerak! Kamu sudah dikepung! Tinggalkan motosikal, berdiri tegak dan angkat tangan ke atas!” arah ketua polis pengiring. Penyamun-penyamun itu akur. Maka kedua-duanya dapat ditangkap dengan mudah.
            “Bukankah senang kalau kamu menyerah diri begini dari tadi? Tidaklah kami perlu penat-penat mengejar kamu,” herdik ketua polis pengiring.
            “Apa lagi tunggu, tuan. Alang-alang kita ada di kawasan kubur, apa kata kalau kita gali satu lubang kubur untuk mereka, lepas itu kita tanam terus manusia yang menyusahkan orang macam ini,” hambur seorang anak muda yang agak celupar.
            Memanglah, siapa yang tidak geram dengan penyamun. Apa lagi kalau berjaya di tangkap. Kalaulah tiada anggota polis di situ waktu itu, sudah pasti dua orang penyamun itu lunyai dikerjakan anak-anak muda beramai-ramai.
            Dato’ Kontot menghampiri penyamun-penyamun itu. “Apa pasal kamu berdua mencuri motosikal saya? Tentu kamu berdualah juga yang mencuri motosikal saya sebelum ini, bukan?” tanyanya keras.
            “Kami bukannya mahu mencuri motosikal Dato’. Kami hanya hendak pinjam sebentar untuk menyertai konvoi bendera Malaysia tadi,” kata Penyamun Kuali.
            “Jangan buat loyar buruk. Kami tiada masa hendak ketawa,” herdik ketua polis pengiring. “Mari kita bawa mereka ke balai,” katanya lagi.
            “Tunggu!” kata Dato’ Kontot. Semua orang memandang Dato’ Kontot dengan hairan.
            “Kita selesaikan di sini sahaja. Tidak perlu dibawa ke balai,” kata Dato’ Kontot lagi.
            “Selesaikan di sini? Apa maksud Dato’?” tanya ketua polis pengiring.
            “Saya maafkan mereka,” kata Dato’ Kontot selamba.
            “Apa?” beberapa orang bertanya serentak.
            “Ya, saya maafkan mereka, tetapi saya akan beri nasihat dan merundingkan sedikit perkara dengan mereka secara tertutup nanti. Saya akan selesaikan dengan cara baik, jangan bimbang,” jelas Dato’ Kontot. Suasana senyap seketika dengan masing-masing saling memandang antara satu sama lain.
            “Baiklah, kalau Dato’ sudah kata begitu,” ketua polis pengiring akhirnya bersuara. “Tetapi bagaimana pula dengan kecurian motosikal peronda polis? Itu kesalahan besar, mencuri harta kerajaan,” tegasnya pula.
            “Kita sudah mendapat semula motosikal yang diambil mereka, jadi selesailah hal ini. Tidak perlulah diperpanjang-panjangkan lagi. Saya rasa motosikal peronda itu tidak rosak apa-apa, cuma minyak sahaja yang kurang. Kalau ada pun, saya akan tanggung ganti ruginya,” pujuk Dato’ Kontot.
            Akhirnya setelah rundingan dijalakan, penyamun-penyamun itu pun selamatlah daripada sebarang tindakan undang-undang. Begitulah kuasa dan pengaruh yang ada pada Dato’ Kontot. Yang bersalah boleh dinafikan hukumannya. Sebenarnya Dato’ Kontot berakal panjang. Jika dia menghukum penyamun-penyamun itu, dia tidak akan dapat apa-apa. Tetapi jika dia mengeksploitasi kelebihan mereka, ada juga hasilnya nanti. Sebenarnya Dato’ Kontot merancang sesuatu untuk kedua-dua penyamun itu. Mereka ada kebolehan dalam memutar belit cakap  dan pandai meraih simpati.
            Tindakan Dato’ Kontot itu membuatkan kebanyakan peserta-peserta konvoi dan orang-orang kampung geram. Walaupun mereka jelik dengan tindakan pemimpin mereka itu membela penjenayah, mereka tidak berani menentangnya. Yang lebih tidak wajar, Dato’ Kontot nampaknya membuat penyamun-penyamun itu seperti kawannya pula.
            “Eh, penyamun pun boleh jadi kawan rapat Dato’ Kontot? Apa sudah jadi? Dunia mahu terbalikkah?” tanya seorang anak muda.
            “Apa yang peliknya? Zaman sekarang apa saja boleh jadi. Bukan setakat berkawan, malah ada penyamun yang berebut-rebut nak jadi menteri. Yang terbaliknya pula, alim ulama yang hebat-hebat belum tentu sanggup menjadi mufti,” jawab seorang kawannya.

Ahad, 1 April 2012

Cintan Si Cilik - Bab 11


11        Stereng Lori

            Nia mengayuh basikalnya perlahan-lahan. Perutnya masih sebu dengan makanan tengah hari. Sebiji beg kain yang berisi senaskah kitab suci al-Quran diletakkan di dalam raga basikalnya. Dia menyusuri di tepi jalan kampung berturap tar itu supaya dapat dinaungi bayang pokok-pokok besar daripada pancaran terik matahari.
            Tidak jauh dari belakang Nia, seorang budak lelaki comot sedang kelam-kabut mengayuh basikal. Basikalnya mengeluarkan bunyi berkeriut-keriut seiring dengan kelajuan kayuhannya dan sesekali berdentam dentum pula bila menerjah lubang ataupun terlanggar batu. Nampaknya budak lelaki ini sedang mengejar Nia.
            Nia menoleh ke belakang. Tanpa melihat pun Nia sudah dapat mengagak siapa yang berada di belakangnya. Budak lelaki comot ini seorang sahaja di kampung ini yang menaiki basikal yang bunyinya dapat didengari dari sejauh tiga tiang elektrik lagi. Nia menjuihkan bibirnya.
            Budak lelaki comot ini akhirnya berjaya berada seiring dengan Nia.
            “Aaa! Ah aa aa!” tegur budak lelaki comot itu pada Nia. Tangannya menunjuk-nunjuk arah depan. Nia hanya mengangguk.
            Budak lelaki comot ini tidak tahu bercakap dengan betul. Orang-orang kampung memanggilnya dengan nama Din Bisu. Entah mengapa orang menganggapnya bisu, tidaklah diketahui. Sebenarnya dia bukan bisu. Lagipun sewaktu kecil-kecil dahulu, raungannya cukup kuat setiap kali menangis. Dia boleh bersuara, cuma orang lain yang tidak faham akan bahasanya.
Tentu sekali Din Bisu tidak bertutur dalam bahasa melayu. Malah orang Cina, Punjabi atapun Burma sekali pun tidak akan faham bahasa percakapannya. Din Bisu sebenarnya pekak. Ini kerana apa juga yang orang lain cakap tidak dapat difahaminya, walau bahasa sastera peringkat tinggi sekali pun digunakan. Sesiapa yang mahu berkomunikasi dengan Din Bisu harus menggunakan bahasa isyarat.
Din Bisu adalah seorang budak yang istimewa, yang mana dikategorikan oleh kerajaan sebagai orang kelainan upaya. Umurnya sudah melewati lima belas tahun. Namun saiz tubuhnya yang kecil serta akalnya yang belum boleh dianggap mumayyiz, membuatkan dia kelihatan sebaya dengan Imi dan rakan-rakannya di darjah dua.
            Din Bisu ini sangat nakal. Sifatnya membuatkan semua orang pening kepala, termasuklah ibu dan bapanya sendiri. Dia adalah jenis budak yang tidak mahu mendengar kata, mengikut ibunya. Memanglah, sudah pekak. Larang macam mana pun dia tidak akan dengar. Marah macam mana pun dia tidak akan faham. Dia hanya akan betul-betul faham bila emaknya mengangkat penyapu lidi. Dan biasanya dia akan bertidak melarikan diri.
            Namun begitu, di sebalik segala kekurangan yang ada, Din Bisu sebenarnya seorang budak yang kreatif. Hasil tangannya selalu membuatkan orang kampung terpegun. Salah satu inovasi ciptaannya yang selalu mendapat pujian ialah basikalnya. Rasanya, Din Bisulah orang yang pertama di dunia menggunakan stereng lori sebagai ganti kepada ‘handle’ pada basikalnya. Stereng itu diambilnya daripada sebuah bangkai lori buruk yang telah lama ditinggalkan mereput di tebing sungai.
Satu lagi aksesori tambahan yang tidak kurang juga dahsyatnya ialah sebiji botol Clorox diikat pada batang rangka hadapan basikalnya. Ia kelihatan seperti botol air minuman yang ada pada mountainbike para pelumba profesional. Tidak dapat dipastikan sama ada Din Bisu telah mencuci botol Clorox itu sebersih-bersihnya atau tidak. Dan tiada siapa pula pernah melihatnya meminum air dari botol Clorox itu. Entah-entah botol itu masih lagi berisi dengan cecair peluntur Clorox, siapa tahu…
            “Aiaaa.. aa haa aa..” kata Din Bisu lagi. Nia hanya membalasnya dengan senyuman.
Din Bisu pun turut tersengih pada Nia. Terserlahlah akan giginya yang rongak. Kebanyakannya sudah tinggal tunggul, tak kurang juga yang hilang langsung. Gigi hadapannya cuma tinggal sebatang di atas, dan dua batang di bawah. Itu pun barisannya sudah tidak lagi selari, condong ke sana dan ke mari. Warnanya pula, kalau tidak keterlaluanlah, hampir menyamai warna gigi emas, cuma tak berkilat saja.
            Giginya Din Bisu rosak kerana tidak dijaga. Ada yang reput dan patah sendiri walaupun baru tumbuh dua tiga tahun. Ada juga yang terpaksa dicabut selepas akar sarafnya dijangkiti kuman. Ini kerana Din Bisu tidak tertahan menanggung deritanya. Walaupun hanya sebatang gigi yang bemasalah, kesannya menyebabkan hampir sebelah muka Din Bisu kembang membengkak.
            Itulah kisah yang berlaku lima tahun lepas. Selepas Ibunya tidak sanggup lagi melihatnya asyik menjerit dan melolong sepanjang hari, Din Bisu dibawa ke klinik gigi. Pada hal Din Bisu tidak tahu ke mana dia akan dibawa pergi. Dia telah dipakaikan dengan baju dan seluar yang cantik-cantik. Mukanya dibedak dan rambutnya disisir rapi. Jadi Din Bisu menyangka dia akan dibawa berjalan-jalan di kompleks membeli-belah seperti selalu. Keseronokan jelas tergambar di wajahnya dan tidak sabar-sabar lagi untuk meninjau pelbagai barang dari kedai ke kedai.
            Namun apabila tiba, Din Bisu merasa tempat itu adalah asing baginya. Tiada kedai yang berwarna-warni. Ramai orang yang berpakaian putih di situ lalu-lalang dan ramai pula orang yang hanya duduk menunggu. Suasana ini sungguh tidak menyeronokkan Din Bisu. Dia mula gelisah dan merengek. Malah sakit gigi yang dilupainya kerana kegirangan sejak bertolak dari rumah tiba-tiba menyerangnya kembali. Apa lagi, Din Bisu terus melolong.
            Sampai waktu gilirannya, Din Bisu dibawa masuk berjumpa doktor. Dia dibaringkan di atas kerusi khas dan ada lampu di atas kepala yang menyilaukan matanya. Di tepinya ada sebekas dulang yang berisi jarum suntikan dan alat-alat perkakas lain. Situasi ini menggerunkan Din Bisu. Dia mula merasa terancam, mungkin akan diapa-apakan. Dia cuba bangun tapi ditahan oleh bapanya.
Din Bisu meronta-ronta. Dia terpaksa di pegang oleh ibu dan bapanya dengan dibantu oleh tiga orang kakitangan klinik. Untuk membuka mulutnya doktor terpaksa menekan kuat kiri dan kanan pipinya. Kemudian satu alat besi khas digunakan sebagai penyendal di antara rahang atas dan rahang bawah Din Bisu. Sekarang, sekuat mana pun Din Bisu cuba menggigit, mulutnya menjadi kaku.
Kerja-kerja seterusnya pun menjadi lebih senang. Satu tiub plastik dihulur ke dasar tekak Din Bisu untuk menyedut air liurnya. Kemudian ubat pelali disuntik pada gusi di bawah gigi yang sakit. Din Bisu tidak menghiraukan semua itu. Dia terus melolong dalam serba kepayahan. Selepas dua minit, doktor menyepit gigi Din Bisu yang sakit dan menggoyang-goyangkannya ke kiri dan ke kanan.
Prap! Tiba-tiba Din Bisu terasa seperti direnjat elektrik. Kemudian doktor menunjukkan padanya gigi yang telah dicabut. Jururawat terus mencuci mulut Din Bisu dengan memancutkan air antikuman ke dalamnya, sebelum disedut keluar semula oleh tiub plastik. Akhirnya segumpal kain kasa disumbat ke tempat gigi yang dicabut untuk menyerap darah yang keluar.
Selepas penyendal rahang dibuka, Din Bisu meraung sekuat kuat hati. Dia segera dibawa keluar dan terus dimasukkan ke dalam kereta. Raungannya menarik perhatian setiap orang yang berada di klinik itu. Bertungkus-lumus ibu Din Bisu merangkulnya daripada terus meronta-ronta. Din Bisu terus meraung dengan menyiat mulut dengan seluas-luasnya.
Satu ketika, Din Bisu terus ternganga. Mulutnya tidak dapat dikatup lagi. Dia kelihatan seperti kekejangan, namun terus menangis dalam keadaan ternganga itu. Darah keluar dari tempat gigi yang dicabut memenuhi mulut Din Bisu. Bimbang sesuatu yang buruk terjadi, entah-entah mungkin Din Bisu akan mati terlalak jika terus dibiarkan, bapanya berpatah balik ke klinik. Nasib baik klinik belum lagi jauh ditinggalkan.
Din Bisu terus diberi rawatan kecemasan. Rupa-rupanya Din Bisu telah mengalami ‘jaw dislocation’, ataupun sendi rahang telah terlucut daripada tempat asalnya. Menurut doktor, keadaan boleh ini terjadi jika seseorang itu menganga mulut terlalu luas. Dan itulah yang terjadi pada Din Bisu akhibat menyiat mulut terlalu luas semasa melalak tadi.
Untuk mengembalikan kedudukan sendi rahang kepada asal, hanya orang-orang yang mahir sahaja dapat melakukannya. Nasib baik di klinik itu ada seorang pembantu perubatan senior yang berpengalaman dapat melakukannya. Dia menekan hujung rahang Din Bisu dengan cermat sebelum menolaknya masuk ke tempat asal. Selepas itu rahang dan pipi Din Bisu diurut-urut seketika.
Akhirnya rahang Din Bisu dapat dipulihkan. Dia pun sudah tidak meraung lagi. Tempat giginya yang dicabut masih mengeluarkan darah telah disumbat lagi dengan kain kasa. Ibunya diberi bekal beberapa ketul kain kasa lagi untuk menggantikan kain kasa yang sedia ada bila sudah lenjum dengan darah.
            Sampai sahaja di rumah, ketika ibu Din Bisu mahu menukar kain kasa digusinya, kain kasa asal didapati telah tiada. Selepas ditanya, Din Bisu menunjukkan isyarat yang dia telah menelan kain kasa itu. Dia juga memberi isyarat bagus, tanda sedap. Ibunya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil meletakkan kain kasa yang baru. Begitulah juga terjadi kepada kain kasa itu dan yang seterusnya, semuanya telah ditelan oleh Din Bisu! Sama ada kain-kain kasa itu dapat keluar semula dari perut Din Bisu atau tidak, tidaklah diketahui sehingga kini.
Tiba di Rumah To’ki Wahid, suara budak-budak mengaji kedengaran riuh rendah. Sudah ramai rakan-rakan sepengajian Nia telah tiba dahulu. Ketika Nia menongkat basikalnya, Din Bisu cuba berkata sesuatu. Dia kelihatan seperti tergesa-gesa. Nia yang tidak dapat memahaminya hanya mengangguk dan senyum.
Kemudian Din Bisu terus berlalu. Dia mengayuh basikalnya dengan pantas ke arah jalan yang menuju ke rumahnya. Nia memandangnya dengan rasa hairan hingga lenyap di selekoh. Malas untuk memikirkan sangat tentang Din Bisu, Nia terus memanjat tangga rumah To’ki Wahid untuk menyertai rakan-rakan mengaji al-Quran.
            Din Bisu datang semula kira-kira sepuluh minit kemudian. Kali ini dia membawa sesuatu yang baru lagi istimewa. Dia mahu menunjukkannya pada Nia. Namun begitu, waktu itu Nia sedang mengaji al-Quran. Kenalah dia menunggu pula. Dia mundar-mandir di halaman rumah To’ki Wahid tanpa menghiraukan terik matahari petang yang membakar kulitnya.
Selama hampir satu jam Din Bisu menunggu dengan sabar, akhirnya Nia dan rakan-rakannya selesai mengaji. Sebaik sahaja melihat Nia di muka tangga, Din Bisu terus melaung padanya. Terperanjat Nia dan rakan-rakan melihat Din Bisu. Ada sesuatu yang aneh dipakai di kepalanya.
“Patutlah kelam-kabut balik tadi. Ada benda yang istimewa rupanya mahu ditunjukkan,” kata Nia.
Imi dan Fadli yang ada bersama dalam kumpulan budak-budak itu turut tercengang-cengang. Mereka segera mengerumuni Din Bisu.
“Wow, cantiknya topi keledar!” tegur Fadli, disamput pula gelakkan kawan-kawan. Din Bisu tidak menghiraukannya. Dia terus memberikan topi keledarnya pada Nia.
Nia yang turut tertawa mengambilnya dengan senang hati. Sebenarnya, topi keledar itu diperbuat daripada sebiji kelapa. Buah kelapa yang tidak dikupas sabutnya telah dipotong cantik sehingga menyerupai topi keledar. Bahagian dalam tempurung telah dibersihkan daripada isinya. Topi keledar itu dilengkapi dengan tali pengikat dagu juga. Sekeping plastik lutsinar yang dipotong daripada botol air mineral besar telah dipaku rapi dibahagian muka sebagai visor. Kreatif sungguh topi keledar ciptaan Din Bisu ini.
Setelah diamati, Nia tahu yang kelapa itulah yang dipungutnya semasa mengikut bapanya memetik kelapa tiga hari lalu. Buah kelapa itu sangat besar. Tetapi sayang, ianya telah berlubang ditebuk tupai. Din Bisu yang kebetulan lalu di situ terus meminta kelapa itu. Kerana kasihan, Pak Kadir telah menawarkan sebiji kelapa yang masih elok sebagai ganti. Namun Din Bisu tetap berkeras mahukan kelapa yang telah berlubang itu.
Pak Kadir merasa pelik. Apa yang boleh dibuat lagi dengan kelapa yang telah ditebuk tupai itu, tetapi dia tidak pula mahu mengecewakan Din Bisu. Din Bisu terus berlalu dengan gembiranya setelah mendapat kelapa itu. Rupa-rupanya hari ini dia datang dengan ciptaan baru daripada kelapa itu. Bagus juga, benda-benda yang terbuang telah dikitar semua menjadi sesuatu yang lebih canggih!
Fadli mengambil topi keledar kelapa itu lalu menyarungkan di kepalanya. Padan sungguh dengan saiz kepalanya. Wajah Fadli kelihatan amat melucukan. Dia mendapatkan basikalnya lalu menunggang di atas jalan. Fadli menggayakan seperti mat rempit yang sedang berlumba dengan membongkokkan badannya. Mulutnya pula sibuk membunyikan seperti enjin motosikal. Aksinya ini membuatkan rakan-rakannya pecah perut ketawa.
            Bimbang Fadli akan membawa lari topi keledarnya, Din Bisu pun mengejar Fadli dan merebut semula topi keledarnya. Setelah memakainya, Din Bisu pun berlalu pergi dengan menunggang basikal berstereng lorinya itu meninggalkan Nia dan rakan-rakannya yang terus ketawa kelucuan.
Sememangnya topi keledar kelapa itu lebih tebal daripada topi-topi keledar biasa kepunyaan orang lain. Ketebalan kulit bersabut yang bersifat anjal di bahagian luar itu akan memberikan penyerapan hentakan yang efektif jika berlaku kemalangan. Sementara tempurung di bahagian dalam pula mengukuhkan struktur topi keledar.
Sesungguhnya topi keledar ini memberikan perlindungan maksimum kepada kepala Mat Bisu. Inilah faedah kelapa untuk kepala yang belum diketahui oleh masyarakat umum. Tambah menarik, penemuan ini bukannya dipelopori oleh para saintis atau pakar teknologi, tetapi oleh seorang budak OKU kampung!