Selasa, 25 Oktober 2011

Novel Humor Legakan Penderitaan Puan Suraiya Omar


Ini Puan Suraiya Omar. Beliau tinggal di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Beliau dikurniakan 5 orang anak. Anak sulungnya sedang menuntut di UIA, sementara anak ke dua dan ke tiga sedang belajar di Pusat Matrikulasi.

Beliau kini tidak lagi dapat bekerja seperti dahulu kerana keterbatasan upaya. Buah pinggang dan tulang beliau diserang tumor.


Sebahagian daripada tulang Puan Suraiya terpaksa dibuang. 32 keping besi telah diletakkan pada tulang belakang beliau sebagai ganti. Setakat ini beliau telah menjalani 15 sesi kemoterapi. Pergerakan beliau kini sangat terhad dan masih perlu berulang kali mengunjungi hospital untuk rawatan susulan.



Puan Suraiya kini mengalami kesukaran untuk duduk kerana terpaksa memakai braise di badan.

Melihat penderitaan yang dihadapi, seorang teman rapat beliau menghadiahkan senaskah novel Gelak Tergolek sedikit masa dulu. Ternyata novel humor ini dapat menghiburkan beliau, seterusnya meredakan penderitaan penyakit yang dihadapi. Beliau sudah pun mengkatamkannya sekurang-kurangnya empat kali.

Selepas itu beliau berusaha mencari penulis novel itu di laman sosial Facebook. Sebaik berjaya berhubung dengan saya, beliau terus mendapatkan novel humor ke dua saya iaitu Ahmad Alkebab. Beliau sungguh gembira apabila novel ini tiba padanya beberapa hari lalu.

Saya cukup terharu apabila beliau mengatakan novel-novel humor saya ini telah menceriakan hari-harinya. Saya juga bersyukur kerana dapat berbakti pada beliau melalui karya-karya saya, walaupun tidaklah sebesar mana.

Mari kita doakan supaya Puan Suraiya segera sembuh. Amin.