Isnin, 25 Jun 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 15


15.      Pertandingan Teka-teki Perdana
            Keadaan Parti Parang di Parlimen Kangkung Jaya sudah menjadi tidak terkawal lagi. Bermula dengan persaingan peribadi Dato’ Kontot dan YB Sumbing dalam merebut jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya, merebak pula kepada penyokong-penyokong masing-masing. Pertarungan di antara Geng Parang Kontot dan Geng Parang Sumbing lebih hebat dan dahsyat. Mereka saling sabotaj mensabotaj antara satu sama lain sehingga ada tindakan yang dilakukan di luar jangka fikiran.
            Walaupun berada di bawah naungan parti yang sama, mereka bagaikan sudah putus saudara. Geng Parang Sumbing bersembahyang jemaah di masjid, manakala Geng Parang Kontot bersembahyang di surau persendirian. Perkahwinan anak-anak muda, hatta orang tua sekali pun di antara dua puak ini dilarang keras. Jika berdegil juga, maka putuslah hubungan anak dan ayah. Ada kes bapa enggan menjadi wali anaknya gara-gara perbezaan puak ini.
            Inilah gaya permusuhan politik bagi orang-orang kampung yang cetek pemikiran, tetapi tinggi pula egonya. Sikap ketaksuban melampau pada pemimpin ini bagaikan barah yang tidak dapat dirawat lagi. Tahi lembu kering pun, jika dikatakan oleh pemimpin mereka itu adalah pizza keju, akan terus dimakan tanpa dakwa-dakwi lagi. Padahal daripada warna sahaja mereka sudah boleh bezakan, satu hitam dan yang satu lagi kuning.
            Sentimen antara penyokong cukup teruk. Pantang berselisih sahaja, jikalau berlainan puak, menjeling pun tidak. Apa lagi hendak tegur dan bertanya khabar. Sedangkan pemimpin mereka tidaklah seteruk itu. Dalam keghairahan bersaing pun, YB Sumbing dan Dato’ Kontot boleh lagi duduk makan semeja sambil bersembang. Seperti pada suatu petang, di sebuah Coffee House di pusat bandar, dua tokoh setempat itu enak menikmati capucino Colombia.
                “Kita berkempen ini biarlah ibarat menarik rambut dari dalam tempurung, Dato’,” kata YB Sumbing dengan tenang.
            “Dalam tepung, YB,” Dato’ Kontot memperbetulkan.
            “Ah, ya... Tarik rambut dari dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung pun tidak berselerak. Sama-sama selamat, sama-sama dapat untung,” sahut YB Sumbing mengakui kesilapan membuat kata bidalan.
            “Situasi menang menang, maksud YB?” soal Dato’ Kontot.
            YB Sumbing mengangguk.
            Dato’ Kontot tersenyum tawar. “Mana ada sitiuasi menang menang, YB. Yang perlu menangnya hanya seorang sahaja. Kalau dua-dua menang, itu bukan menang namannya. Itu seri. Kalau seri, takkan kedua-dua kita boleh jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya bersama-sama,” ujarnya.
            “Bukan dua-dua jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya. Maksud saya, Dato’ beri laluan pada saya. Selepas itu Dato’ boleh menjadi mentor pada saya untuk memimpin bahagian ini,” terang YB Sumbing.
            Dato’ Kontot tertawa pula bila mendengar saranan itu. “Saya ada cadangan yang lagi bagus,” katanya beberapa ketika kemudian.
            “Apa cadangan Dato’?” soal YB Sumbing segera.    
            “Nampaknya YB macam berminat. Baiklah, pembantu saya akan menerangkan dengan terperinci tawaran saya ini,” kata Dato’ Kontot lalu memanggil Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul datang ke meja mereka.
            “YB berundinglah dengan mereka dulu. Saya mahu ke bilik air sekejap,” ujar Dato’ Kontot lalu bangun dan melangkah pergi.
            “Hmm… apa cadangannya?” tanya YB Sumbing pada penyamun-penyamun itu.
            “Begini… YB tidak perlu susah-susah lagi turun ke segenap ceruk kampung berkempen siang malam. Kami ada cara lagi senang. Tawaran istimewa ini khas untuk YB saja. Sekarang mari kita mulakan rundingan untuk tawaran istimewa ini,” kata Penyamun Kuali.
            YB Sumbing memperbetulkan sandarnya. “Tak perlu. Kalau setakat kamu nak sogok aku dua tiga ringgit supaya tidak bertanding nanti, tak payahlah. Aku tak kebulur duit kamu. Kalau kamu sudah ada banyak sangat duit sampai tidak tahu nak buat apa, beri kepada orang-orang kampung seorang sedikit untuk dibuat modal usaha niaga ataupun belanja anak sekolah,” katanya yang awal-awal lagi menolak untuk menerima umpan berbau rasuah itu.
            “Eh, YB sudah salah faham. Tawaran kami tiada kaitan dengan wang. Itu semua rasuah. Kami mahu tawarkan pada YB untuk berlawan dengan Dato’ Kontot dalam pertandingan teka-teki perdana. Di tempat-tempat lain, mereka mengadakan debat perdana. Tetapi kami fikir cara itu tidak berfaedah dan buang masa. Lebih baik dibuat pertandingan teka-teki yang lebih mudah dan seronok,” terang Penyamun Mata Cangkul pula.
            YB Sumbing mendengar tawaran itu dengan penuh teliti dan waspada. Pasti ada perangkap yang menantinya dipasang di mana-mana.
            “Pertandingan teka-teki macam mana itu?” YB Sumbing terus bertanya.
            “Kalau YB bersama Geng Parang Sumbing dapat menjawab soalan teka-teki yang akan kami kemukakan nanti, jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan Dato’ Kontot serahkah pada YB serta-merta tanpa syarat. Pemilihan Parti pun tidak perlu dibuat nanti,” giliran Penyamun Kuali pula menerangkan.
            “Wah! Benarkah begitu?” tanya YB Sumbing yang nampaknya teruja.
            “Benar. Jika YB bersetuju, kita akan buat MOU. YB dan Dato’ Kontot perlu turunkan tandatangan,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Nanti dulu. Itu kalau saya menang. Jikalau saya kalah, macam mana pula?” YB Sumbing menahan.
            “Kalau Dato’ Kontot yang menang, beliau akan terus menyandang jawatan ini untuk penggal depan tanpa perlu bertanding juga,” jelas Penyamun Kuali.
            YB Sumbing mengerutkan dahinya. Wajahnya berubah serius kembali. Dia merenung Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul di depannya itu bersilih ganti.
            “Jangan bimbang, Bila YB pulang nanti, YB fikirlah dulu. Berikan keputusan sama ada YB setuju atau tidak pada esok hari,” kata Penyamun Mata Cangkul akhirnya.
            Malam itu YB Sumbing memikirkan kembali tawaran Dato’ Kontot. Setakat berteka-teki apalah sangat susahnya berbanding berkempen ke sana sini. Masa dan tenaga tidak terbuang dan duit dapat dijimatkan dengan banyak. Lebih baik duit itu dibuat melancong nanti daripada ditabur kepada orang kampung yang belum tentu akan menyokongnya. Lagipun dia tidak berseorangan dalam pertandingan teka-teki ini. Anggota-anggota Geng Parang Sumbing yang bijak pandai pasti akan membantunya.
            Tiba-tiba YB Sumbing teringat akan Pak Belukang. Ya, Pak Belukang adalah seorang ahli nujum yang hebat. Dengan kuasa hipnosisnya, Seri Ayu yang hilang dapat ditemui. Sudah tentu Pak Belukang juga boleh membuat hipnosis mencari jawapan teka-teki nanti. Dia sudah berkira-kira untuk menggunakan Pak Belukang untuk menghadapi Dato’ Kontot dan dua orang penyamun itu dalam pertandingan teka-teki itu nanti.
            Keesokannya, YB Sumbing terus menyatakan persetujuannya untuk menyahut cabaran bertanding teka-teki pada Dato’ Kontot. Bagaimanapun YB Sumbing tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada Pak Belukang. Sepatutnya mereka berdua perlu berbincang dahulu tentang kemampuan mereka sebelum persetujuan diberikan.
            Dato’ Kontot pula tersenyum lebar mendengar kesediaan timbalannya itu. Perangkap yang dipasangnya mula menghidu mangsa. Masing-masing menurunkan tandatangan pada sekeping kertas perjanjian. Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul bertindak menjadi saksi.
            “Bagus YB, bagus... Terima kasih kerana sudi menyahut cabaran saya,” puji Dato’ Kontot.
            “Bila mahu dibuat pertandingan teka teki itu dan di mana?” tanya YB Sumbing.
            “Kami akan memberi soalan teka-teki itu sekarang. YB ada masa tiga hari untuk mencari jawapannya. Selepas tiga hari nanti, YB perlu menjawab teka-teki ini di balairaya Kampung Kangkung Kering dengan disaksikan oleh orang ramai,” kata Penyamun Kuali.
            Dato’ Kontot hanya tersengih. Tunggulah, engkau akan dimalukan di hadapan orang ramai itu, ujarnya dalam hati.
            “Baiklah, apakah soalan teka-teki itu?” tanya YB Sumbing dengan penuh yakin. Dia tidak mahu membuang banyak masa lagi.
            “Soalan pertama. Dalam kelam malam jumaat lagi sunyi, kalau YB terlihat sebungkus lembaga yang melompat-lompat, itulah pocong. Kalau terjumpa lembaga yang setinggi pokok kelapa, itulah hantu galah. Kalau benda berpakaian putih melintas laju di depan mata tanpa kakinya jejak ke tanah, itu apa dia?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            YB Sumbing hanya mengangguk sambil tersenyum. “Soalan ke dua?” tanyanya.
            “Soalan ke dua... Matanya di dinding, mulutnya di dinding  dan hidungnya di dinding. Apa itu?” tanya Penyamun Kuali pula.
            “Baiklah. Soalan ke tiga?” tanya YB Sumbing dengan tersenyum lagi.
            “Soalan ke tiga… Ada sebuah keretapi yang panjang berhenti. Kedua-dua hujungnya tidak nampak. Hujung yang sebelah mana kepalanya? Dan hujung yang sebelah mana ekornya pula?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Hmm… Soalan ke empat?” tanya YB Sumbing bagaikan mengejek pula.
            “Soalan ke empat... Satu, panjang. Dua, pendek-pendek. Tiga, ketot-ketot. Empat, kecut-kecut. Apakah itu?” tanya Penyamun Kuali.
            “Beres… Soalan ke lima?” tanya YB Sumbing lagi yang nampaknya yakin sungguh.
            “Itulah sahaja empat soalan teka-teki yang perlu YB jawab. Pastikan semua jawapan YB betul untuk memenangi kerusi Pengetua Parang Kangkung Jaya ini,” ujar Dato’ Kontot yang sejak tadi membatu. Dia jelik dengan lagak wakil rakyat yang seperti memperkecil-kecilkan cabaran teka-tekinya. Sekarang engkau bolehlah tunjuk sombong, tiga hari lagi aku hendak tengok rupa muka engkau macam mana, cemuh Dato’ Kontot dalam hati.
            “Baiklah, saya akan berikan jawapan yang tepat tiga hari lagi. Dan pada hari itu juga nanti jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan jatuh ke tangan saya,” kata YB Sumbing sebelum pergi.
                                                                        *****
            Pak Belukang terkejut beruk bila YB Sumbing memberitahunya perihal pertandingan teka-teki perdana itu. Dia sungguh kesal kerana YB Sumbing bertidak menyetujuinya tanpa berbincang dengan Geng Parang Sumbing terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi padanya, yang mana telah ditugaskan untuk mencari jawapan pada teka-teki mengarut itu. Parah!
            Begitulah kebanyakan sikap ahli-ahli politik yang berotak sengal. Sengaja mencari masalah yang tidak patut. Selepas itu dikerahkan pula orang-orang bawahan menyelesaikan masalah itu untuk kepentingan dirinya sendiri. Akhirnya dia yang dapat nama.
            “Kita ada masa tiga hari lagi. Saya harap itu sudah cukup untuk Pak Belukang buat hipnosis mencari jawapannya,” kata YB Sumbing.
            “Tiga hari…” kata-kata Pak Belukang terputus. Dia serba salah.
            “Kenapa Pak Belukang? Ada apa-apa masalah?” tanya YB Sumbing.
            “Eh, Err… tiada. Tiada masalah,” kata Pak Belukang tergagap-gagap.
            Apa hendak dibuat ini? keluh hati Pak Belukang. Fikrannya buntu. Kalau dia berterus-terang, sudah tentu nahas menanti. Kalau diusahakan mencari jawapannya, dia tidak yakin. Siapa yang tahu jawapan itu selain daripada Dato’ Kontot dan dua penyamunnya? Sempatkah dia mencarinya dalam masa tiga hari? Hendak ditanya pada siapa? Pergi bertanya pada orang kampung seorang demi seorangkah? Mustahil. Haprak sangat nampaknya kalau Ahli Nujum tersohor berbuat begitu.
            “Kalau begitu, saya serahkan sepenuhnya pada Pak Belukang. Kalau kita menang pertandingan teka-teki ini, saya terus dapat jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya secara automatik. Pak Belukang juga saya akan lantik menjadi timbalan saya kalau Pak Belukang mahu,” kata YB Sumbing sambil menepuk-nepuk bahu Pak Belukang.
            Pak Belukang meneguk liur. “Er… Saya tidak mahu jawatan parti sebab saya tidak pandai politik. Kalau boleh…” dia teragak-agak meneruskan kata-katanya.
            “Kalau boleh apa?” potong YB Sumbing.
            “Kalau boleh saya ingin sekali berkawin dengan Seri Ayu,” kata Pak Belukang tersipu-sipu malu.
            YB Sumbing nampaknya terperanjat. Namun dia segera tersenyum. “Boleh… Boleh. Saya akan kawinkan Pak Belukang dengan Seri Ayu dengan majlis besar-besaran. Semuanya percuma, saya tanggung semua belanja,” kata YB Sumbing. Seperti biasa janji-janji manis yang dilafazkannya laju sahaja bagaikan budak-budak pintar menghafal sifir.
            Sebelum pulang, Pak Belukang menyatakan yang dia tidak mahu diganggu dalam masa tiga hari itu. Mahu bersuluk dalam bilik khas di rumah, katanya. Dia berjanji akan mendapatkan jawapan yang paling tepat untuk teka-teki itu . Jawapan-jawapan itu pula akan disemak lagi berulang kali nanti bagi memastikan kesahihannya.
            Di rumah, sehari-harian Pak Belukang termenung dan memerah otak memikirkan jawapannya. Macam-macam cara dia lakukan. Berguling di lantai, bergayut di kayu alang, bertenggek di jendela, waima buat senamrobik sekalipun, tiada klu atau ilham yang datang. Yang sipi-sipi pun tiada. Tiada pilihan A, B, C, dan D macam soalan objektif peperiksaan. Tiada nota ‘toyol’ untuk ditiru. Juga tiada talian hayat untuk diminta tolong.
             Pada hari ke dua Pak Belukang masih lagi tidak mendapat jawapannya. Dia yakin dia tidak akan bertemu jawapannya meskipun dia menunggu sehingga hari terakhir, besoknya. Lebih baik dia bertindak sesuatu sekarang. Lantas Pak Belukang mengemaskan pakaian dan bekalan makanan ke dalam beg besar. Belukang terpinga-pinga dengan tindakan ayahnya yang tergesa-gesa itu.
            “Abah mahu pergi ke mana?” tanya Belukang.
            “Belukang, kamu dengar sini. YB Sumbing itu sudah gila. Dia mahu bertanding teka-teki dengan Dato’ Kontot, tetapi dia mahu abah carikan jawapannya. Matilah abah kali ini, Belukang. Manalah abah tahu jawapannya. Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik abah pergi bersembunyi dulu. Abah akan turun dari rumah waktu malam nanti,” kata Pak Belukang.
            “Abah mahu bersembunyi di mana?” soal Belukang lagi.
            “Abah mahu bersembunyi dalam gua di tepi sungai itulah. Sementara itu, besok kamu pergi cari sampan dan bawa ke situ. Malam besok kita lari dengan sampan ke kuala. Selepas itu kita pergi lapangan terbang. Kita naik kapal terbang dan pergi melancong ke luar negara,” jelas Pak Belukang.
            “Baiklah, abah,” kata Belukang bersetuju.
            Maka Pak Belukang pun turun dari rumahnya menuju ke hutan secara senyap-senyap pada malam itu, meninggalkan Belukang seorang diri di rumah. Keesokkannya, seperti yang diminta ayahnya, Belukang pergi mencari sampan untuk mereka berangkat pergi dari kampung bila malam nanti. Belukang bernasib baik. Dia menemui dua biji sampan yang tertambat pada kayu pancang di tepi sungai. Dia berkira-kira akan mengambil salah satu daripadanya selepas senja nanti.
            Pada malam terakhir sebelum hari pertandingan, Belukang sudah bersedia dengan begnya tersandang di bahu. Dia menuju ke tempat sampan yang tertambat itu dengan berhati-hati supaya tiada sesiapa pun yang melihatnya. Dari jauh dia melihat cahaya api seperti lilin ada dalam sebuah daripada sampan itu . Terdapat dua lembaga manusia yang menghadap lilin itu. Belukang merapatinya perlahan-lahan.
            Setelah hampir kira-kira tiga meter, belukang berselindung di sebalik rimbunan pohon senduduk. Apabila diamatinya betul-betul, kenallah Belukang itu adalah Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Mereka sedang asyik bermain daun terup dalam sampan itu. Sambil itu mereka rancak berbual dan sesekali ketawa besar sehingga sampan itu  teroleng-oleng.
            Belukang mengeluh dalam hati. Bagaimana dia mahu mengambil sebuah lagi sampan itu? Kalau dibuat helah hendak pergi memancing, dia tidak membawa joran pula. Lagipun mereka tentu mengesyaki sesuatu bila melihat beg besar yang disandangnya. Belukang terus termanggu-manggu sambil mengharapkan penyamun-penyamun itu pergi.
            Bagaimana pula kalau Belukang menakut-nakutkan mereka? Balingkan mereka dengan anak batu atau batang kayu contohnya. Tentu mereka akan lari ketakutan. Tetapi bagaimana pula jika mereka tidak takut dan datang mengejar lalu menangkapnya. Nahas! Lagipun mereka dua orang, orang dewasa pula tu. Manalah Belukang terlawan.
            Tiba-tiba telinga Belukang menangkap tutur kata perbualan mereka. Dia tertarik bila mendengar salah seorangnya menyebut perkataan ‘teka teki’.
            “Teka teki semudah itu tidak mudah bagi mereka. Sampai mati pun mereka tidak akan dapat cari jawapannya,” ujar Penyamun Kuali.
            “Kau tahu semua jawapannya?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Mestilah tahu. Engkau mahu aku jawab?” balas Penyamun Mata Cangkul.
            “Eh, jangan! Nanti bocor rahsia,” Penyamun Kuali menahan.
            “Apa yang nak ditakutkan? Tiada siapa dalam belukar dan sungai ini melainkan cengkerik dan burung hantu. Kalau mereka bocorkan rahsia, kita bunuh mereka seekor demi seekor,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
            “Kalau begitu, engkau laungkan kuat-kuat jawapannya,” cabar Penyamun Kuali selamba.
            Penyamun Mata Cangkul pun menjerit sekuat hati teka teki itu  berserta jawapannya sekali. Sangkaan mereka tiada orang lain mendengarnya meleset sama sekali. Di sebalik semak berhampiran, Belukang mendengar dengan amat jelas dan terus menghafalnya. Bodoh sekali mereka ini, hanya sebab tidak mahu mengalah dalam cabar-mencabar, rahsia sulit sudah terbongkar.
            Belukang terjerit kuat dan melompat ke belakang apabila melihat seekor ular senduk merayap di tepinya. Berderau darahnya bagaikan guruh merudum. Tubuhnya serta-merta berasa seram sejuk. Bagaimanapun, ular itu terus menjalar pergi tanpa menghiraukan Belukang. Aneh, takkan ia tidak nampak Belukang di situ. Namun apa yang lagi aneh, kedua-dua penyamun itu juga langsung tidak menghiraukan jeritan Belukang tadi. Sungguh mustahil jika mereka tidak mendengarnya. Mereka terus bermain daun terup tanpa merasa terganggu.
            Ular senduk itu memanjat naik sampan lalu melingkar pada tin yang menempatkan lilin di tengah-tengah ke dua-dua penyamun itu. Bagaimanapun, kedua-dua penyamun itu terus bermain daun terup bagaikan tidak nampak akan ular itu . Boleh jadi penyamun-penyamun itu dalam keadaan khayal atau mabuk. Sebab itulah mereka tidak menghiraukan benda apa pun di sekeliling mereka, walaupun ular senduk!
            Belukang mula terfikir, jikalau ular senduk itu pun mereka tidak hiraukan, pasti mereka juga tidak akan menghiraukan Belukang jika dia keluar dari sebalik rimbunan senduduk itu. Maka dengan penuh yakin Belukang pun keluar lalu menghampiri sebuah lagi sampan di sebelah sampan yang diduduki oleh penyamun-penyamun itu.
            Belukang berasa pelik, penyamun-penyamun itu bersembang elok sahaja, tidak pula merepek-repek seperti orang mabuk pun. Lagi menghairankan Belukang, kedua-dua penyamun itu berbual dengan mata masing-masing tertutup rapat. Setelah memerhati sejenak, barulah Belukang tahu yang mereka berdua sebenarnya sedang mengigau. Patutlah mereka tidak nampak ular di hadapan mereka, mahupun kehadiran Belukang di situ.
            Belukang sengaja melepaskan ikatan kedua-dua buah sampan itu  daripada kayu pancangnya. Dia melompat naik ke atas sampan yang kosong dan terus mendayung menuju ke gua tempat ayahnya sedang menunggu. Dia mahu menghalang niat ayahnya untuk melarikan diri. Ayahnya mesti hadir ke balairaya esok bersama jawapan teka teki yang baru dipeolehinya itu.
            Sampan yang diduduki oleh penyamun-penyamun mulai hanyut ke tengah mengikut arus sungai. Bersama-sama penyamun-penyamun itu, ada satu lagi penumpang, iaitu seekor ular senduk!