Ahad, 14 April 2013

Anchor Party

Trvelog Anak Kapal Dagang


Tanggal 30 Disember 1999 adalah tarikh bersejarah dalam hidup aku. Pada hari itu pertama kali aku meninggalkan tanah air tercinta Malaysia. Demi memulakan karier sebagai pelaut, aku gagahkan hati untuk menjejakkan kaki ke atas kapal dagang pertama untuk berkhidmat.

Bagi melengkapkan latihan sebagai kadet pelayaran, aku perlukan ‘sea time’ iaitu tempoh latihan di atas kapal sebenar selama 18 bulan sekurang-kurangnya. Dan aku juga perlu merasai pengalaman berkhidmat di atas tiga jenis kapal iaitu kapal tangki, kapal kontena dan kapal pukal sebelum layak menjadi pegawai kapal.

Aku bersama rakan sekursus, Zul dihantar dengan van ke Pelabuhan Kelang, di mana sebuah kapal tangki kimia sedang menunggu kami. Sebaik memasuki wharf, kami terpesona dengan barisan kapal-kapal yang tertambat. Besar, cantik dan sungguh gah. Ada yang sedang sibuk memunggah kontena dan ada yang diam sahaja tanpa apa-apa operasi.



Van kami berhenti di hadapan sebuah kapal. Kami sungguh terkejut.  Spontan terpancul dari mulutku, “Buruknya!”

Zul pula menambah, “ini kapal ke apa?”

Memang kapal itu teruk sekali rupanya. Cat pada dinding geladaknya pudar sekali dengan terkopek di sana sini. Karat-karat dan tempekan kotoran lain (yang aku ketahui selepas itu adalah sisa kargo) memenuhi segenap ruang. Aku melihat ke atas geladak. Umpama kedai kerata ‘half cut’ yang mempunyai rak-rak bahagian dan komponen kereta berserabut dan kotor.

Aku meminta kepastian daripada pemandu van, “inikah kapal kami?”

“Ya,” dia menjawab ringkas. “Ayuh, angkat beg-beg kamu. Kita naik ke atas kapal sekarang,” tambahnya lagi.

Atas geladak kapal dipenuhi dengan batang paip yang pelbagai saiz berbaris dan bersimpang-siur. Dengan susah payah kami memanjat tangga besi yang sempit dan curam bersama beg besar disandang. Untuk melepasi susnan batang paip yang banyak, kami terpaksa melalui platform laluan berpagar yang sempit.

Bunyi pam kargo yang meraung-raung bingit. Wap-wap stim  merawang ke udara di merata tempat. Dua orang anak kapal yang berpakaian kerja comot kelihatan sibuk memasang selingkar salur getah. Suasana di atas kapal itu agak menakutkan. Jauh meleset sangkaan kami sebelum ini yang membayangkan kapal seperti percutian Star Cruise.

Di bilik kawalan kargo aku dan Zul diperkenalkan pada seorang lelaki berambut panjang melepasi paras bahu. Tubuhnya sangat berisi sehingga coverall yang dipakainya sendat dan berbenjol-benjol.

“Ini Ketua Pegawai di kapal ini,” kata pemandu van. Walaupun agak terkejut, kami menghulurkan tangan untuk berjabat salam lalu memperkenalkan diri.

“Ini Ketua Pegawai? Macam Mat Trash saja,” bisik Zul pada aku. Aku tidak berani memberikan sebarang reaksi.

Kemudian kami dibawa naik ke ruang penginapan dan berjumpa dengan Kapten di pejabatnya. Kapten nampaknya sedang sibuk dengan berlonggok-longgok fail dan kertas kerja di mejanya. Selepas memperkenalkan diri dengan ringkas serta menyerahkan dokumen-dokumen kami, Kapten berkata, “sekarang kamu berdua tukar pakaian, lepas itu lapor diri kepada Ketua Pegawai. Dia akan aturkan tugas untuk kamu berdua. Yang penting mula-mula ini, saya akan pantau disiplin kamu berdua.”

Malam itu kapal bergerak meninggalkan Pelabuhan Kelang menuju ke Singapura. Aku ditugaskan membatu pegawai kedua mengemudi kapal di anjung. Kami bertugas dari pukul dua belas tengah malam hingga pukul empat pagi.

Perasaan aku bercampur baur. Yang pastinya, emosi sayu menguasai diri kerana pertama kali meninggalkan Malaysia. Aku masih ingat radio yang ada di anjung pada malam itu membawakan lagu-lagu yang melayan jiwa. Salah satunya ialah lagu Sejarah Mungkin Berulang oleh kumpulan remaja New Boyz, yang juga sedang pupolar ketika itu. Melodinya yang sayu seperti memperli aku.

Kapal kami bergerak di dalam gelap malam. Tiada lampu menyuluh jalan di hadapan. Kami berpandukan sistem GPS untuk menentukan kedudukan kapal serta mempastikan kapal menuju ke arah yang betul.  Pada paparan radar, banyak sekali kapal yang melalui Selat Melaka. Berpandukan lampu-lampu navigasi yang ditunjukkan oleh kapal-kapal itulah kami dapat mentukan kedudukan serta haluan mereka.

Sememangnya Selat Melaka adalah salah satu laluan kapal tersibuk di dunia yang menghubungkan barat dan timur tengah dengan asia timur. Purata 600 buah kapal melalui selat ini setiap hari. Laluan ini dapat menjimatkan jarak perjalanan sejauh 1600 batu nautika, iaitu kira-kira 3 hari pelayaran barbanding dengan menggunakan laluan Selat Lombok di Indonesia.

Kami perlu sentiasa peka dalam mengawasi sekeliling. Setiap kapal lain di pantau teliti pergerakannya supaya tidak bertembung dengan kapal kami. Kami dibantu oleh jurumudi yang mengawal stereng kapal dengan cekap.

Uniknya, di Selat Melaka ini telah dibahagikan kepada dua lorong laluan, yang dipanggil Traffic Separation Scheme (TSS). Lorong laluan menuju ke selatan terletak disebelah  Semenanjung Malaysia, sementara lorong laluan ke utara terletak di sebelah Sumatera. TSS yang sepanjang 500 batu nautika (805 km) yang bermula dari perairan Perak sehingga ke Laut China Selatan ini mempunyai peraturan serupa seperti jalan raya di darat.

Lorong laluan TSS ini tidak dapat dilihat secara nyata di laut, tetapi ditetapkan dengan jelas di atas peta pelayaran. Hanya titik-titik penting sahaja ditandakan di laut dengan menempatkan boya ataupun rumah api.

Kami tiba di pelabuhan Singapura pagi esoknya. Kapal kami di arahkan berlabuh sauh dahulu di satu kawasan yang dikhaskan untuk kapal tangki, berhampiran dengan terumbu karang Sultan Shoal. Terumbu karang ini telah ditambak menjadi pulau oleh Singapura dan dijadikan pusat kawalan kapal-kapal yang berlabuh di sini.

Kira-kira pukul 9 pagi, aku dipanggil oleh Ketua Pegawai. Dengan serius dia berkata, “Wan, sekejap lagi kamu ikut aku,”

Aku bersetuju dan terus bertanya, “kita mahu ke mana, chief?”

Ketua Pegawai menjawab, “kita pergi anchor parti,”

Aku terkejut besar. “Anchor party?”

Ketua Pegawai mengangguk sambil tersenyum sinis. Mata aku buntang.

Astaghfirullahhalazim.. hati aku mengeluh panjang. Setahu aku, Anchor adalah jenama arak yang terkenal. Mana mungkin aku boleh pergi ke pesta minum arak. Lagi pun waktu itu bulan puasa, dan hari raya pula akan tiba seminggu lagi.

Tergagap-gagap aku hendak mencari helah untuk mengelak. “Saya tidak minum arak, chief. Lagi pun saya puasa,”

Ketua Pegawai tertawa besar dengan sombongnya lalu berkata, “kamu ikut sajalah, jangan banyak cakap!”

Aku cuba merayu, “saya…”

Ketua Pegawai terus memotong, “aku Ketua Pegawai ke, kamu Ketua Pegawai?”
Herdikan itu membuatkan aku terdiam. Aku berkira-kira hendak melaporkan perkara itu kepada Kapten. Ini sudah perkara serius, pencabulan hak beragama seseorang.  Namun waktu itu Kapten sedang sibuk di anjung pula. Mati kutu aku jadinya.

Tiba-tiba aku terdengar pengumuman dari pembesar suara, “Attention! Anchor party, please stanby forward satation now,”

“Ayuh, mari kita pergi sekarang,” Ketua Pegawai memanggil aku. Aku menggagahi menurut arahan itu walaupun hati aku rasa seperti mahu bertumbuk melawannya.

Aku tidak akan minum arak! Aku bertekad dalam hati.

Kami pergi ke bahagian haluan kapal bersama dua lagi anak kapal iaitu Bosun dan Ordinary Seaman. Sebaik tiba, Ketua Pegawai mengarahkan kami membuka ikatan pada rantai sauh. Penutup lubang serta selak penyendal rantai itu juga dibuka. Kemudian Bosun menghidupkan suis kuasa pada motor hidraulik lalu bersedia di depan tombol pengawal Windlass. Windlass ialah satu jentera yang digunakan untuk menjatuhkan dan mengangkat kembali sauh.

Ketua Pegawai memberi arahan lalu Bosun menolak tombol Windlass ke depan. Sauh bergerak turun dengan perlahan. Kira-kira semester lagi jarak mencecah permukaan air, Ketua Pegawai memberikan arahan berhenti. Maka tergantunglah sauh di situ.

Aku bertanya, “mengapa berhenti, Chief?”

Ketua Pegawai menjawab, “sekarang kapal masih lagi bergerak. Kita meletakkan sauh dalam keadaan bersedia untuk dilepaskan di situ. Apabila kapal sudah berhenti di tempat yang sesuai, Kapten akan memberikan arahan dari anjung. Barulah kita akan lepaskan sauh ini,”

Aku mengangguk faham. 

Sehingga kerja-kerja menjatuhkan sauh selesai, aku berasa pelik. Tidak ada pun pesta minum-minum arak. Kerana ingin tahu, aku pun sengaja gatal mulut bertanya, “Chief, bila Anchor Party hendak mula?”

Ketua Pegawai terpegun memandang aku, sebelum menjawab, “sudah selesailah. Berapa kali kamu mahu Anchor Party?”

Aku menggaru kepala, “Bila? Tidak ada pesta minum-minum arak pun,”
Dengan tiba-tiba Ketua Pegawai ketawa terbahak-bahak. Kemudian dia berkata kepada Bosun, “Bos, kadet kita ini sangka ada pesta minum-minum arak semasa Anchor Party,”
Maka Bosun dan Ordinary Seman juga ketawakan aku dengan hebatnya. Aku termanggu-manggu keliru.

Bosun datang kepada aku lalu memaut bahu. Dia berkata dengan jujur, “kadet, sebenarnya makna Anchor Party itu bukan pesta minum arak, tetapi pasukan sauh. Kita berempatlah pasukan sauh itu,”

Bosun tidak lagi ketawa. Mungkin dia faham yang aku dalam keadaan malu yang amat sangat. Tetapi Ketua Pegawai dan Ordinary Seaman terus menerus mentertawa dan mempersendakan aku.

Aduh.. teruk aku dikenakan. Kurang asam betul!

Tiada apalah yang aku boleh buat, kecuali tersipu-sipu menahan malu bagaikan anak gadis terlepas kentut sewaktu berdepan dengan bakal emak mertua yang datang merisik!

Rabu, 13 Februari 2013

Merentasi Laut Baltik

Travelog Anak Kapal Dagang 

               Satu masa dulu, kapal kerap mengangkut pelbagai jenis kimia cecair dari Kotka, Finland untuk dibawa ke Singapura dan timur jauh. Pelabuhan Kotka terletak di Teluk Finland, iaitu jauh ke dalam benua yang dinamakan Eropah Timur. Di sekitarnya adalah negara-negara bekas jajahan Soviet Union.


                Untuk sampai ke Kotka, kapal perlu merentasi Laut Baltik. Laut ini boleh dikatakan sebuah teluk yang besar. Pintu utamanya terletak di barat laut, yang dipinggiri oleh pantai Norway, Sweden dan Denmark. Laluan kedua masuk ke laut ini adalah melalui Jerman. Negara kelahiran fahaman komunis ini membina Terusan Kiel merentasi negaranya sebagai jalan pintas untuk kapal-kapal kecil dari Laut Utara masuk ke Laut Baltik.



                Bagaimanapun, disebabkan saiz kapal yang lebih besar daripada yang dibenarkan, kapal kami tidak dapat melalui Terusan Kiel. Lagi pun yuran melauinya juga pasti mahal dengan pelbagai prosedur rumit dan memenatkan perlu dilalui. Kami memilih laluan utama dengan mengelilingi semenanjung Denmark.

                Sebaik melepasi sempadan dekat Tanjung Skagen, kapal perlu menurut peraturan Laut Baltik. Laluan sudah ditetapkan seperti jalan raya. Jadi, kapal-kapal tidak boleh dikemudi sesuka hati. Semua kapal yang bergerak di laut ini diawasi oleh pusat-pusat kawalan laut yang didirikan sepanjang pantai. Maklumat seperti identiti kapal, kargo dan anak-anak kapal perlu dilaporkan pada pusat kawalan ini apabila tiba di tempat-tempat yang sudah ditentukan.

                Laporan ini perlu dibuat melalui radio VHF. Pernah kapal dimarahi oleh satu pusat kawalan kerana tidak membuat laporan. Setelah diperiksa passage plan, memang pusat kawalan itu tiada dalam senarai untuk dihantar laporan. Rupa-rupanya itu adalah pusat kawalan tentera. Maklumat operasi tentera tidak selalu kamu perolehi dengan cekap. Oleh itu kami tidak mengetahui kewujudan mereka di situ. Akhibatnya, mereka memberi amaran keras. Apa mahu buat, memang kami tidak sengaja.

                Di Laut Baltik ini terdapat banyak pulau dan dasar yang cetek. Dari Skagen, kapal berlayar ke arah selatan.  Kami melalui satu selat sempit yang bernama Storbelt, yang terletak di antara Pulau Funen dan Pulau Zealand. Kapal juga terpaksa menyusup di bawah sebuah jambatan tinggi yang menghubungkan kedua-dua pulau ini.


                Tiba di perairan Jerman, kapal membelok ke timur. Di sini keadaan laut lebih lapang dan luas. Kapal dapat dipandu dengan tenang. Anak-anak kapal yang bertugas di anjung tidak kelam-kabut lagi.

                Air laut Baltik jernih membiru, tenang dan tiada gelombang besar. Udara di sini sejuk dan nyaman. Walaupun matahari terik, kita tidak akan rasa panas perit walaupun berjemur sepagi.

                Pemandangan cantik garisan pantai dengan tebing-tebing batu tinggi memukau pandangan. Ia di serikan lagi dengan deretan kincir-kincir angin dengan kipasnya berpusing perlahan. Jikalaulah dapat tinggal di sini, alangkah damainya.

                Kincir angin asalnya digunakan sabagai pam pengairan ke kawasan pertanian. Namun di zaman moden ini ia digunakan sebagai penjana kuasa elektrik. Walaupun dari jauh nampak kecil, kincir angin ini sangat besar sebenarnya. Kebiasaannya setiap kincir mempunyai tiga bilah kipas. Panjang setiap bilah kipas ini hampir menyamai panjang tiga biji lori trailer.


                Kincir-kincir angin bukan sahaja dibina di atas daratan, bahkan juga di laut. Kapal melintasi satu tempat yang mempunyai  beratus-ratus kincir angin yang dipanggil ladang kincir angin (windmill farm). Penjana kuasa mesra alam ini tidak menghasilkan pencemaran bunyi, udara dan air sama sekali.

                (Bersambung…)

Selasa, 8 Januari 2013

Ribut & Sushi

Travelog Anak Kapal Dagang


Heboh satu Malaysia ribut Sonamu akan melanda. Lebih-lebih lagi Terengganu dan negeri-negeri pantai timur semenanjung. Walaupun ribut ini tidaklah sekuat Katerina atau Sandy, warga-warga pesisir pantai bersiap siaga. Pengalaman rakyat Sabah menghadapi ribut Greg pada tahun 1996 dahulu jadi pengajaran. Juga ribut Vamei yang melanda Johor pada 2001 yang meragut 5 nyawa sungguh mengerikan.


Tidak mahukah anda bertanya, mengapa ribut-ribut ini ada pelbagai nama? Ada nama perempuan, nama buah dan juga ada namanya yang entah apa-apa. Sebenarnya nama ini diberi oleh pentadbir pusat pemerhatian cuaca (meteorologi centre) untuk memudahkan proses pemantauan, merekod dan laporan. Biasanya nama-nama ini disusun mengikut turutan abjad ABC ataupun diberikan nombor siri.

Ini adalah nama-nama ribut di kawasan barat laut Pasifik pada tahun 2012.
  1. AMBO
  2. BUTCHOY
  3. COSME
  4. DINDO
  5. ENTENG
  6. FRANK
  7. GENER
  8. HELEN
  9. IGME
  10. JULIAN
  11. KAREN
  12. LAWIN
  13. MARCE
  14. NINA
  15. OFEL
  16. PABLO
  17. QUINTA
  18. ROLLY
  19. SIONY
  20. TONYO
  21. ULYSSES
  22. VICKY
  23. WARREN
  24. YOYONG
  25. ZOSIMO
Maklumlah, dalam setahun berpuluh-puluh kali ribut terjadi. Jika ada orang bertanya, ribut yang mana menerbangkan bumbung dapur kamu? Bukankah senang jika dijawab, ribut Ambo. Maka dengan senangnya ia dikenal pasti.

(Pada hal bumbung rumah dicabut untuk membebaskan jembalang yang merasuk orang. Proses mistik oleh Tok Dukun ini juga menyebabkan ribut petir berlaku, hahaha… Ini lagi satu kerja kelakar. Bukankah lebih mudah kalau bawa pesakit itu dirawat di padang yang sedia ada dengan langit terbuka, daripada susah-susah membuka bumbung rumah?)

Ehemm!...

Apa itu ribut? Ribut adalah angin yang bergerak dengan kelajuan melebihi 62 kilometer sejam. Laju minimum ribut adalah setaraf dengan kelajuan maksimum motosikal Honda Cup lampu bulat. Bermakna jika motosikal itu ditunggang dengan kelajuan top speed, kemudian datang pula ribut ini dari depan, nescaya motosikal itu tidak bergerak walaupun penunggangnya meniarap ala superman, dengan kepalanya tunduk masuk dalam raga sekalipun!

Mengapa ribut terjadi?

….kerana kewujudan kawasan yang mempunyai tekanan atmosphere yang rendah. Maka udara-udara dari kawasan bertekanan tinggi di sekeliling menyerbu datang ke kawasan ini. Tak payahlah aku terangkan lebih lanjut, sebab ianya penuh dengan terma-terma saintifik dan geografi. Nanti ada yang pening kepala lalu tidak mahu baca terus.

Namanya pun sudah pelbagai.

Typhoon, hurricane, storm dan cyclone adalah benda yang sama. Dalam bahasa melayunya ialah taufan, hurikan, ribut dan siklon. Ribut adalah nama general. Untuk kategori ribut yang dahsyat, ia dipanggil typhoon di Asia, manakala di Amerika pula ia di sebut hurricane. Cyclone pula digunakan di sekitar Australia dan Lautan Hindi.

Bagaimana pula dengan puting beliung (twister)? Puting beliung juga sejenis ribut. Bentuk ribut ini juga menarik, berpusar bagaikan gerudi gergasi menari-nari yang mahu menebuk bumi. Ia cukup kuat untuk menyedut manusia ataupun kuda ke angkasa.

Sebelum melihat gambar puting beliung, aku sangkakan bentuknya seperti parang. Ini kerana bunyi sebutannya seakan-akan gabungan nama senjata;

Parang puting = parang yang kehilangan hulunya, terpaksa pegang puting besinya jika mahu guna. Ada juga orang menamakan parang togel.

Beliung = sejenis kapak yang besar, digunakan untuk menebang balak.

Alih-alih rupanya macam gerudi pula. Tapi mujur sangkaan aku itu tidaklah jauh tersasar. Sesetengah gerudi juga digunakan sebagai senjata bukan? Lihatlah filem Transformer Revenge of The Fallen. Besar sungguh gerudi robot jahat itu!

Eh, ke mana sudah aku melalut...  Baiklah, kita balik pada kisah ribut tadi.

Filipina dan Taiwan adalah negara asia yang paling kerap dilanda ribut taufan kerana kedudukannya yang hampir dengan garisan khatulistiwa dan mengadap lautan Pasifik tanpa apa-apa lindungan. Setiap tahun pasti beberapa kali kita dapat melihat di televisyen negara-negara ini mengalami kemusnahan teruk akibat ribut taufan.

Ibaratnya, ribut adalah kontraktor utama. Hujan, guruh petir, banjir dan tanah runtuh adalah sub-kontraktornya. Kesemua 'suku-sakatnya' ini adalah berbahaya. Mereka boleh membuatkan manusia mati lemas. Boleh menimbus mati manusia dengan tanah. Juga boleh menambar mati manusia dengan petir. Malah banyak manusia dilesapkan entah ke mana dan dianggap mati. Yang tinggal pula mati akal melihat rumah dan ahli keluarga hilang.

Aku sendiri banyak kali terpaksa berhadapan dengan ribut di laut. Mungkin anda mahu tanya, kenapa tidak lari? Ehem, mahu lari ke mana? Pusat ribut (storm centre) sahaja sudah seluas 100 batu nautika diameternya. Kawasan yang menerima kesan langsung ribut ini sekitar lingkungan 500 batu nautika lagi. Mahu atau tidak, redah saja. Elaklah setakat mana yang termampu.

Ribut dengan hujan lebat menyukarkan pemanduan kapal. Jarak pengelihatan boleh memendek hingga beberapa meter sahaja. Paparan pada radar pula dipenuhi dengan imej titisan hujan. Angin ribut juga menghasilkan bunyi menyeramkam. Bunyi angin bersiul berterus-terusan bisa meremangkan bulu roma.

Salah satu pengalaman aku menempuh ribut ialah di perairan selatan Jepun. Malang sedikit, aku sudah lupa nama ribut itu. Waktu itu kapal dalam perjalanan dari Yeosu, Korea Selatan ke Chiba, Jepun. Oleh kerana kapal ringan tanpa muatan kargo, kapal timbul lebih tinggi. Maka bahagian kapal yang terdedah kepada ribut lebih besar.

Dalam situasi ini, propeller (kipas kapal) bukan hanya menolak badan kapal, malah terpaksa melawan asakan angin ribut. Maka enjin kapal menerima beban berganda. Oleh kerana kapal yang aku naiki itu sudah tua, kemampuannya juga amat terhad. Jadi untuk mengelakkan kerosakan enjin, kelajuan terpaksa diturunkan ke tahap minimum.

Asalnya kapal ini direka untuk belayar di sungai dan pesisir pantai sahaja. Enjin yang dipasang hanyalah sepadan dengan pelayaran dekat-dekat. Namun disebabkan tekanan komersial, syarikat mengarahkan kapal ini berlayar jauh melalui lautan luas. Perbandingan mudahnya, motosikal Honda Cup C70 dikerah membawa sekarung beras 50kg dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru. Memang akan sampai, tetapi pemandunya boleh jadi gila!

Selepas 24 jam merempuh ribut, kedudukan kapal diperiksa. Didapati kapal berada 16 batu di belakang kedudukan semalam!

Bermakna, sehari semalam kipas berpusing bukannya untuk menggerakkan kapal maju, tetapi untuk menahan tolakan ribut. Itupun masih tidak termampu, hinggakan angin ribut yang menang. Kapal berjaya ditolaknya 16 batu ke belakang!

Bagaimanapun, kapten memutuskan untuk membuat laporan harian dengan dengan mengatakan kedudukan kapal 24 batu di hadapan, iaitu kapal berkelajuan 1 knot sahaja.

Aku hanya menjawab, "yes, sir!"

Daripada mendapat lebih kecederaan emosi bila dibackfired, lebih baik mengelat sedikit. Kecederaan emosi akhibat  menghadapi ribut ini pun sudah tidak tertanggung!

Tiba di Chiba, kami melepaskan penat dan pening dengan membaham sushi sepuas hati…

Jumaat, 4 Januari 2013

Bangla & Chittagong

Travelog Anak Kapal Dagang

Orang lain biasanya menceritakan keseronokan melancong di tempat-tempat terkenal dan menarik. Semestinya Taj Mahal, Effiel Tower, Statue Of Liberty, Great Wall dan Opera House memberikan pengalaman menakjubkan pada para pelawatnya. Taiplah di Google, pasti ada beribu-ribu kisah seumpamanya di blog, facebook dan sebagainya.

Tidak apalah. Walaupun aku juga ada pengalaman sebegitu, tapi aku malas nak ceritakan. Sekurang-kurangnya pada post kali ini. Sebabnya? Lebih kurang sama sajalah cerita aku dengan mereka, cuma waktu dan orangnya sahaja yang berbeza.

Aku mahu ceritakan pula tempat yang sangat jarang orang kisahkan. Sekurang-kurangnya cerita aku ini berbeza daripada mereka. Tempat ini tidaklah mendatangkan keseronokan, tetapi menarik sekali…

Chittagong.

Sebuah bandar pelabuhan di muara sungai Chittagong, Bangladesh. Padat penduduknya. Tentunya kita di Malaysia ini sangat familiar dengan orang-orang Bangla dan sifat-sifat mereka. Samalah keadaan mereka di sana.

Pertama kali tiba, sewaktu kapal hendak alongside (tambat ke pelantar), ramai sekali orang-orang selain pekerja pelabuhan menunggu di atas pelantar. Makcik-makcik tua, perempuan-perempuan muda yang mendukung anak kecil serta kanak-kanak manunggu seperti mengharapkan sesuatu.

Apabila kami memandang mereka, segera mereka menadah tangan tinggi-tinggi. Tahulah kami bahawa mereka itu adalah peminta sedekah. Agen syarikat kami di situ awal-awal lagi berpesan supaya yangan melayan mereka, apalagi membenarkan mereka naik ke atas kapal.

Pada aku yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini, pastinya datang rasa simpati. Manakan tidak, mereka kelihatan begitu tidak terurus dengan pakaian lusuh dan kotor. Kebanyakan mereka berkaki ayam. Anak-anak kecil pula bertelanjang bulat. Sudahlah begitu, dibiarkan bayi itu merangkak di atas pelantar yang kotor dengan minyak hitam dan sisa kargo.

Aku lantas masuk ke galley dan mengambil beberapa kotak biskut Danone dan Anlene Low Fat, yang sudah lama terperuk dalam kabinet. Anak-anak kapal sudah tidak minat lagi hendak memakannya. Aku buka kotak-kotak biskut dan campakkan paket-paket plastik kecilnya ke atas pelantar. Bagaikan ayam ditabur beras mereka menyerbu dan berebut mengutipnya.

Aku kira, setiap seorang akan dapat lebih dari satu peket. Namun nampaknya mereka tidak berpuas hati dan meminta lagi. Aku menggeleng. Sudahnya, mereka menjerit-jerit memarahi aku!

Aku tinggalkan mereka dan menyambung tugas aku..

Untuk menyalurkan kargo munyak sawit dari kapal ke tangki darat, flexi hose (tiub penyambung) perlu gunakan untuk menyambung pili di kapal dengan pili di pelantar. Flexi hose yang berdiameter enam inci dan sepanjang 20 kaki sangat berat. Di pelabuhan lain, kren dan troli digunakan untuk membawa flexi hose ini ke pelantar. Di sini, empat orang lelaki memikulnya dari pelantar sebelah sejauh hampir setengah kilometer. Kuat sungguh mereka!

Di pelabuhan lain, pekerja-pekerjanya memakai coverall, helmet, sarung tangan tebal dan safety boot. Di sini mereka hanya memakai baju tradisi mereka dan kain pelekat separas lutut. Risau juga aku kalau-kalau sedang mereka tunduk-tunduk mengerah tenaga mengetatkan nut, datang pula angin mengerbangkan kain pelekat itu!

Seorang anak kapal asyik pula bersembang dengan seorang gadis di pelantar. Walaupun kedua-duanya menggunakan bahasa inggeris yang lintang-pukang, mereka nampaknya sangat gembira. Gadis muda itu datang bertongkat kerana sebelah kakinya kudung. Walaupun rakanku itu ada menceritakan, tetapi aku sudah lupa apa sebabnya kaki gadis hilang separuh.

Petang itu aku turun jalan-jalan ke pekan Chittagong. Kami berempat menaiki teksi beroda tiga. Jalannya sesak bukan main. Kenderaan berasak-asak dari segenap arah dan tidak tentu hala. Aku tidak tahu sama ada di sini tiada sistem aliran trafik, ataupun memang itu budaya di sini. Pemandu teksi ini pula kelihatan mahir dengan situasi ini. beberapa kali dia membuat pusingan U lipat (patah balik dengan handle teksi dipusing rapat).

Aku melihat sebuah lori dengan muatan pisang yang diisi lebih tinggi daripada aras kepala lori. Seorang lelaki dengan selambanya berbaring di atas pisang-pisang itu!

Dengan pertolongan seorang penunjuk arah, kami merayau-rayau di pekan koboi itu berlenggang sahaja. Tiada apa yang menarik untuk dibeli.

Seorang lelaki menyapa kami dalam bahasa melayu dan membawa kami ke kedai barangan kulitnya. Walaupun kami tidak membeli, kami sempat bersembang dengannya. Menurutnya, dia pernah beberapa tahun kerja di Malaysia sebagai buruh binaan KLCC. Ya, dia sangat bangga kerana telah membina bangunan tertinggi di dunia!

Tiba masa untuk mencari tempat makan kami menaiki sebuah beca. Kami berlima termasuk penunjuk arah naik sebuah beca! Maka, anda bayangkanlah sendiri bagaimana pengayuh beca itu mengerahkan tenaga untuk menggerakkan becanya. Bergegar-gegar beca bila dia menghenyak-henyakkan pedal beca dengan menggunakan berat badannya. Walaupun kami rasa kasihan, penunjuk arah kami beberapa kali mengatakan “nevermind!”.

Pagi esoknya, sewaktu aku mahu memulakan tugas, aku terlihat banyak objek panjang-panjang  berbungkus kain bergelimpangan di atas tebing sungai. Aku bertanya kepada pekerja tempatan, apakah itu. Rupa-rupanya itulah orang-orang homeless sedang tidur. Mereka bergelandangan di mana sahaja.

Selepas sebahagian kargo disalurkan ke darat, kapal jadi ringan dan timbul lebih tinggi dari permukaan air. Semasa pemeriksaan rutin dijalankan, anak kapal yang bertugas mendapati beberapa ketul zink anod (bahan yang melindungi badan kapal daripada berkarat) hilang. Zink anod yang sebesar bongkah bata yang dilekatkan di ekor kapal telah dicabut pencuri.

Ada jurutera mendakwa petang semalam, dia mendengar bunyi ketukan dari ruang enjin. Selepas memeriksanya, dia tidak menemui sesiapa pun yang sedang bekerja. Namun bila dia naik ke buritan kapal, dia nampak seorang bangla sedang berenang ke tebing. Dia tidak terfikir pula bahawa itulah pencurinya!

Minyak sawit sangat berharga di Bangladesh. Selesai operasi menyalurkan minyak ke darat, flexi hose dibuka semula. Aku terkedu melihat mereka mengelap sisa-sisa minyak yang tumpah di atas pelantar dengan span, kemudian diperah ke dalam baldi. Kemudian, span tadi di cucuk pula pada hujung ranting kayu panjang untuk dihulurkan ke dalam salur fexi hose bagi mengutip sisa-sisa minyak di dalamnya. Aku bertanya pada mereka, untuk dibuat apa dengan sisa minyak kotor itu? Untuk dijual, jawab mereka. Jawapan yang meruntun hati.

Eh, panjang sudah aku menaip. Maaf, tulisan ini pasti banyak typing error kerana aku belum mengeditnya. Mahu berhenti dululah. Ini pun hanya apa yang aku teringat sekarang. Nanti aku akan tokok-tambah tulisan ini bila-bila aku teringat semula apa-apa lagi kenangan aku di Chittagong.

Aku pun tidak terlarat mahu cerita detail semua perkara! Oh…