Ahad, 18 November 2012

Diserang Lanun 2

Travelog Anak Kapal Dagang

Tanpa membuang masa, aku turun ke atas geladak. Ya, memang benar kapal dinaiki lanun, tatapi lanun sudah tiada lagi di situ.

Lanun datang memecah stor cat. Sebelum itu stor itu penuh diisi dengan cat berjenama International, yang baru sahaja dibeli di singapura 3 hari lepas. Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa tin hardener. Sedih betul Bosun (ketua kru) melihatnya.
 
Pintu stor itu memang di kunci dengan padlock besar. Tetapi lanun itu lebih bijak. Mereka tidak mengusik padlock itu tetapi memotong telinga tempat padlock disangkut dengan pemotong hidraulik. Nampaknya operasi mereka tersusun. Ada pasukan mengangkut cat ke luar dari stor. Ada pasukan menghulurkan tong-tong cat ke bawah dengan tali. Dan ada pasukan yang menyambutnya dari dalam bot.

Bagaimana ia boleh berlaku hingga ke tahap itu? Setelah disiasat kemudiannya, didapati pegawai yang bertugas tertidur di anjung semasa kejadian. Kadet bertugas pula leka main solitare di komputer. Sementara kru yang di tugaskan mengawal entah berada di mana-mana pada masa itu. Jadi lanun menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk berpesta dalam stor cat.

“Akulah orang pertama tengok lanun tu. Mulanya aku sangka kru kapal tengah buat kerja, tapi bila aku teropong, aku nampak lain macam saja. Bukan orang kapal. Ada di antara yang pakai seluar dalam saja punggah tong cat. Aku suruh AB (juragan) pergi tengok. Bila AB jerkah mereka, mereka kejar balik AB dengan parang,” kata kadet bertugas.

“Mana ada sempat pergi station (tempat berkumpul ketika kecemasan). Aku turun geladak saja, kapten ajak serbu mereka beramai-amai. Kami bawa batang besi dan spanar-spanar besar acah mereka. Mereka terjun dan terus larilah. Tapi yang aku paling marahnya, mereka sempat lagi jerit ‘TERIMA KASIH, PAK!’ sebelum bot mereka hilang dalam gelap,” cerita Bosun pula.

Sebenarnya, anak-anak kapal sudah terbiasa dengan latihan kecemasan “Pirate Attack”, yang dilakukan 3 bulan sekali. Mengikut prosedur, sebaik sahaja mendapat tahu ada bot-bot yang dicurigai menghampiri kapal, siren kecemasan akan dibunyikan. Anak-anak kapal akan bergegas ke tempat yang telah ditugaskan sama ada dalam pasukan kawalan di anjung, pasukan serang dan pasukan bantuan di geladak, ataupun pasukan teknikal di bilik enjin.

Semua pasukan akan saling berhubung. Semua ahli pasukan diperiksa kehadirannya. Selepas penerangan diberikan, barulah kapten mengarahkan persediaan kelengkapan dilakukan. Kemudian barulah lanun-lanun itu dapat di serang. Serang dengan apa?

Hanya serang dengan pancutan air dan siren sahaja… itupun tindakan untuk lanun-lanun yang masih di bot mereka. Jika lanun-lanun itu sudah memanjat kapal, prosedur itu tidak relevan lagi.

Lagi pun, dalam situasi serangan lanun yang sebenar, prosedur-prosedur ini sangat memakan masa untuk dilakukan. Kurang praktikal. Untuk menunggu semuanya siap sedia sebelum bertindak, dua tiga stor boleh licin dipunggah lanun. Sebab itulah pada malam kejadian itu, kapten sendiri yang mengepalai serbuan seberapa segera, dengan membawa apa sahaja yang dicapai tangan.

Tiada apa lagi yang dapat dilakukan, selain masing-masing hanya mengeluh hampa. Suspek utama kami adalah dua buah bot yang datang memancing pada petang semalam di haluan kapal. Dalam diam rupa-rupanya mereka datang bukan sekadar memancing, malah meninjau keadaan kapal. Tentu mereka buat perancangan teliti dan datang semula sebelah malamnya untuk merompak.

Rentetan kejadian itu, tiadalah kerja-kerja maintenance mengecat kapal selepas itu. Cat baru akan dibekalkan selepas 3 bulan lagi. Okey, tamatlah kisah itu. Mari aku ceritakan kisah ke dua.

Pelabuhan Chittagong di Bangladesh juga tidak sunyi daripada kes-kes lanun. Di sini, lanun lebih dikenali dengan gelaran ‘Ali Baba’. Aku tidak sempat menyelidik mengapa mereka menamakan sedemikian. Bunyinya semacam tidak jahat pula didengar.

Kebiasaannya bila kapal ditambat di wharf pelabuhan Chittagong, kami dibekalkan pengawal tambahan oleh agen syarikat di sini. Seramai 10 orang rakyat Bangladesh ditugaskan mengawal di atas geladak secara bergilir-gilir. Yang lebih terbebannya adalah kami anak-anak kapal.

Anak-anak kapal pula terpaksa memantau pengawal-pengawal Bangla ini bertugas. Tidak mustahil mereka juga adalah dari kalangan ‘Ali Baba’. Ataupun bertindak sebagai mata-mata peninjau bagi kumpulan lanun di luar sana. Bukankah ini dinamakan mendukung biawak hidup?

Dalam pada itu, ada juga pengawal-pengawal ini datang untuk makan sedap dan tidur enak-enak sahaja di atas kapal, bukanlah mahu berkerja sangat. Maklumlah, mereka ini semuanya orang miskin melarat. Sesekali datang juga rasa kasihan, mereka hanya dibayar lebih kurang SERINGGIT sahaja sehari. Itu pun mereka kata sangat patut!

Suatu malam, kira-kira pukul 10, siren dibunyikan dan amaran kecemasan ‘Pirate Onboard’ kedengaran. Aku bergegas keluar. Aku mengikut sahaja beberapa anak-anak kapal yang lain yang menyerbu ke buritan kapal. Di situ suasana kecoh dengan AB bertugas, Bosun dan pengawal-pengawal Bangla.
 

Rupa-rupanya ada ‘Ali Baba’ yang memanjat belakang kapal. Mereka mahu mencuri mooring lines (tali penambat kapal) yang tidak digunakan. Mereka sempat membuka brek dan gear winches di mana tali itu tersimpan. Tali sebesar lengan itu dihulurkan satu hujungnya kepada bot, dan bot itu akan menariknya dengan senang.


Namun belum pun banyak dapat di tarik, kegiatan mereka disedari pengawal dan anak-anak kapal yang bertugas. Jadi, lanun-lanun itu terpaksa melepaskan hujung tali itu dan segera pergi, bila dibaling dengan pelbagai benda oleh anak-anak kapal.

Bosun yang berasal dari Kedah itu datang kepadaku lalu berkata, “Wan, aku mintak maaf no. Aku dah ambik batang stanchion (turus pagar tangga kapal) yang hang dok buat tu, aku baling kat lanun nun.”

Aku ternganga, tidak tahu nak kata apa.

Waktu itu aku masih lagi kadet pelatih. Aku ditugaskan oleh ketua pegawai membuat beberapa batang turus pagar tangga kapal yang baru, bagi menggantikan turus pagar yang sudah bengkok. Selama dua hari sebelum itu aku bersungguh-sungguh aku memotong besi, meminta kru engineer tolong kimpalkan gegelangnya, kemudian mengecat dengan primer (cat lapisan pertama) sebelum aku tinggalkan di atas geladak untuk catnya mengering.

Sedar-sedar malam itu sekelip mata sahaja hasil usahaku itu dibaling ke laut!

Diserang Lanun

Travelog Anak Kapal Dagang

Sebut saja lanun, apa yang terlintas di fikiran kebanyakan kita?

Orang bermuka bengis dengan sebelah mata ditutup dengan sekeping benda hitam. Ada parut besar berjahit di pipi dan kening. Ada gigi emas dan banyak gigi lain yang rongak. Sebelah tangan kudung, diganti dengan cangkuk besi tajam berkilat. Naik kapal layar kayu besar yang usang, tapi ada meriam. Ada terkibar bendera gambar tengkorak bersama dua batang tulang bersilang.

Sebetulnya adakah lanun yang ada sekarang seperti ini?

Tidak. Itu hanya lanun dalam filem-filem epik seperti Pirates Of Carribean. Sengaja mereka reka lanun-lanun berkostum begitu supaya mudah penonton mengenalinya. Tapi barangkali ada yang akan berkata, lanun sebegitu wujud di era Christopher Columbus dulu. Boleh jadi.. Mungkin juga Laksamana Cheng Ho pernah terserempak dengan lanun seperti ini sebelum sampai ke Melaka. Mungkin saja, aku tidak tahu.

Baiklah. Jika benar susur-galur asalnya suku-sakat lanun sebegitu, maka profesion ini mengalami evolusi yang hebat, seiring dengan kemajuan dunia. Di zaman millenium ini, mereka tampil serupa sahaja seperti pelaut lain. Cuma mungkin mereka ini lebih cekap dan mahir, kerana sebilangan daripada mereka adalah pesara tentera laut, bekas komando ataupun kumpulan militan-militan pengganas di negara bergolak.

Masih segar dalam ingatan dua buah kapal tangki milik Malaysia ditawan lanun Somalia di Teluk Aden tidak berapa lama dulu. Aku tiada di situ semasa peristiwa itu berlaku. Tetapi aku pernah berkhidmat di atas salah sebuah kapal tersebut beberapa tahun sebelum kejadian.

Kisahnya memang menarik dan dramatik, seperti yang diceritakan oleh seorang rakan baik yang turut menjadi tawanan. Namun begitu, aku tidak mahu menulisnya kerana cerita aku nanti bukan ‘first hand’ lagi. Aku lebih suka bercerita apa yang aku alami sendiri.

Sebelum itu, mari aku terangkan serba sedikit jenis-jenis lanun dulu.

i- Sea Robberies; Lanun jenis ini mencuri senyap-senyap. Target mereka adalah pada alatan-alatan, bekalan makanan di atas kapal dan juga barang-barang dalam kontena. Mereka boleh jadi terdiri daripada pekerja-perkerja di pelabuhan dan penduduk-penduduk di sekitarnya.

ii- Hijacking; Lanun jenis ini agresif dan ganas. Mereka datang dengan senjata api, tanpa berselindung. Target mereka ialah, wang tunai, barang-barang berharga milik anak-anak kapal, kargo berharga seperti minyak diesel dan minyak kapal terbang, ataupun kapal itu sendiri dirampas untuk dijual.

iii- Ransom; Lanun jenis ini paling bahaya. Mereka menawan anak-anak kapal sebagai tebusan dan menuntut duit berjuta-juta daripada syarikat pemilik kapal itu.

Aku hanya berpengalaman berhadapan dengan menghadapi lanun jenis sea robberies saja.

Satu hari kapal kami berlabuh sauh di perairan Belawan, Sumatera. Daerah Belawan ini didiami majoritinya suku kaum Batak, yang mahir dengan laut. Mereka terkenal dengan kegiatan perlanunan di samping membuat pekerjaan nelayan turun temurun.

Kapal menunggu kira-kira 3 batu dari darat kerana giliran untuk masuk ke pelabuhan dijangka dua hari lagi. Banyak sekali bot-bot nelayan di sekeliling kapal sedang menjalankan aktiviti menagkap ikan. Ada juga bot yang datang merapati kapal.
Kami perlu sentiasa mengawasi mereka. Dibimbangi mereka memanjat kapal. Jadi sebelum mereka berbuat begitu, kami beri amaran pada mereka dengan membunyikan hon agar mereka pergi ke jarak yang lebih selamat. Namun ada juga bot yang tidak mengendahkannya.

Lewat petang itu ada dua buah bot menghampiri kapal. Mereka berhenti menangkap ikan di sekitar haluan. Permintaan kami supaya pergi jauh sedikit tidak mereka hiraukan. Jadi, anak-anak kapal yang bertugas terpaksa berkawal dan melakukan ‘round check’ lebih kerap di haluan. Lubang rantai sauh dipastikan tertutup kemas agar tiada yang menyusup naik melaluinya.

Ramai juga orang yang berada di atas setiap bot. Mereka menangkap ikan dengan menggunakan kail jenis perambut. Sambil menghenjut-henjut tali perambut, mereka bersembang riang sambil melihat kapal kami. Mungkin mereka rasa kagum.

Ralit kami melihatnya. Sekali mereka tarik, tiga empat ekor ikan bergantung pada mata perambut. Banyak sekali hasil tangkapan yang mereka perolehi. Merjelang senja, kedua-dua bot itu menhidupkan enjin lalu pergi. Selepas itu kami menjalankan tugas seperti biasa.

Aku bertugas dari pukul 4 hingga pukul 8 pagi, dan juga dari pukul 4 petang hingga pukul 8 malam. Selepas solat isyak dan menonton berita di siaran SCTV, aku masuk tidur awal supaya aku dapat bangun sebelum pukul 4 pagi esoknya.

Namun aku tersedar kira-kira pukul dua pagi kerana siren amaran dibunyikan. Diikuti dengan pengumuman, “Pirate onboard! Pirate onboard! Pirate Onboard” melalui ‘public addressor’. 

Agak lama aku menunggu pengumuman lanjutan, iaitu ke mana harus anak-anak kapal berkumpul. Tiada pula kedengaran arahan itu diberi.

Aku pun naik ke anjung untuk melihat apa yang terjadi. Aku dapati pegawai dan kadet yang bertugas pucat dan kelam kabut. Tiada pula kelihatan kapten di situ yang sepatutnya mengepalai ‘control party’ dan memeberi arahan kepada ‘attack party’ dan ‘support party’ dari anjung.

“Di mana lanun?” aku bertanya.

Kadet bertugas hanya menunjuk ke haluan. Kelihatan anak-anak kapal di atas geladak, dalam keadaan huru-hara.

Bersambung…

Khamis, 8 November 2012

Menyendeng, Menjungkit dan Menjunam.

Travelog Anak Kapal Dagang

Pernah melihat Arwah Micheal Jackson mempersembahkan lagunya, Smooth Criminal?
Jika ya, pasti semua bersetuju bahawa dalam banyak-banyak aksi tarian unik dan lincahnya itu, bahagian yang paling menarik ialah aksi mencondongkan badan 45˚.
Tidak semua orang dapat mencondongkan badan sejauh itu tanpa jatuh. Usahkan 45˚, condongkan badan 10˚ pun senang-senang sahaja boleh jatuh. Ini kerana kedudukan pusat gravity badan tidak lagi berada di titik keseimbangan.

Percayakah jika aku katakan semua anak-anak kapal dapat lakukan aksi condongkan badan ini? Malah lebih hebat lagi.

Micheal Jackson dan penari-penarinya menggunakan kasut khas, di mana tapaknya mempunyai lubang yang dapat dicangkukkan pada kepala paku. Paku besar yang telah dipaku pada lantai pentas ini bertindak menyokong berat badan mereka semasa mereka melakukan aksi ini.

Bagaimanapun anak-anak kapal tidak memerlukan kasut khas. Mereka dapat melakukannya dengan memakai kasut biasa atau selipar jepun. Malah jika berkaki ayam pun tiada masalah.

Micheal Jackson dan gengnya hanya melakukan sekali sahaja,iaitu hanya condong ke depan. 
Tetapi anak-anak kapal dapat melakukan berkali-kali, berturut-turut tanpa henti. Bukan hanya condong ke depan, tetapi juga ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Hebat bukan?

Jadi, apakah rahsia anak-anak kapal dapat menari condong-condong sehebat itu?
Tiada rahsia. Cuma dengan bantuan kapal sahaja. Kapal yang bergoyang tanpa henti siang dan malam memberi kami peluang membuat aksi condong seperti Micheal Jackson sepuas hati.

Kapal bergoyang ke kiri, kami condongkan badan ke kanan. Kapal bergoyang ke kanan, kami condongkan badan ke kiri. Jika kapal tersengguk-sengguk, kami turut terhangguk-hangguk.

Yang paling teruk, semasa solat pun kami terpaksa membuat aksi condongkan badan berkali-kali, walaupun solat dibuat seringkas mungkin. Sewaktu duduk tasyahud pun boleh terseret ke sana ke mari lagi. Bayangkan jika semasa duduk di antara dua sujud, diseret pula hingga kepala-kepala lutut rapat ke dinding. Bagaimana mahu turun sujud semula? Tekap dahi ke dinding sahajalah, jawabnya.

Itulah penangan ‘rolling’ dan ‘pitching’ kapal, yang aku masih tercari-cari apa maksud yang paling tepat dalam bahasa melayu. Yang paling hampir, tapi tidak cukup tepat ialah; bergoyang. Juga dapat dikatakan menyendeng.

Rolling bermaksud kapal bergoyang ke kiri dan ke kanan. Pitching pula bermaksud bahagian hadapan dan belakang kapal menjungkit dan menjunam bersilih ganti.
Jika kapal rolling lembut yang kurang daripada 15˚ condongnya, kami  terasa asyik. Boleh layan dengan gerakan lemah gemalai. Tidur pula terasa bagaikan dalam buaian. Cuma tiada lagu mendodoi saja.

Jika mahu bermain jongkang-jongket dengan rakan pun boleh. Seorang duduk di hujung anjung kanan, dan seorang lagi duduklah di hujung anjung kiri. Kemudian masing-masing tumpukan pandangan pada garisan horizon di belakang rakan yang bertentangan dengannya. Fuh.. memang realistik. Tidak perlu melonjakkan kaki untuk berjongket!

Jika kapal rolling dengan keras walaupun hanya 5˚, ia cukup mengganggu jiwa dan raga. Lebih besar sudut rolling, lebih seksa hidup anak-anak kapal. Dan ianya semakin teruk jika pitching bergabung sekali dengan rolling. Inilah masanya sendi tengkuk, pinggang dan lutut mendapat sengal.

Lebih azab jika mahu tidur. Banyak bantal diperlukan untuk menyendal badan. Kaki pula terpaksa dikangkang semasa tidur. Namun itu tidak sepenuhnya menahan badan daripada bergolek. Akhibatnya, leherlah bahagian yang mengalami sengal paling teruk kerana terpulas ke kiri dan ke kanan tanpa henti.

Apa jua benda di atas kapal terpaksa diikat ataupun disimpan dalam laci atau ruang kabinet yang kuat. Ini untuk mengelakkan ia bertaburan dan bergolek ke sana dan ke mari. Kerusi yang tidak ditambat akan terpelanting dan menghentam apa sahaja yang berada di sekitarnya.

Pernah tong sisa makanan yang terlepas ikatan talinya melantun dari dinding ke dinding dalam pantry. Dan hasilnya lantai pantri menjadi seperti kandang itik. Jijik.

Aku mengalami kejadian rolling paling teruk di laut North Sea (terletak di utara England dan barat daya Sweden). Waktu itu kapal menjalani kerja-kerja mencuci tangki selepas memunggahkan keluar kargo minyak sawit di pelabuhan Rotterdam.

Dua minggu diperlukan untuk mencuci kesemua 34 biji tangki. Dan dua minggu jugalah kapal jalan berpusing-pusing di tempat yang sama yang berkebetulan pula menempuh ribut force 9 (skala Beaufort untuk kelajuan angin ribut 45 knot)

Alat yang ada untuk mengukur rolling ini (clinometer) hanya sehingga 45˚ sahaja. Tetapi semasa itu, jarum clinometer kadang-kadang jauh melangkaui melangkaui angka itu.

Pernah satu malam sewaktu tidur-tidur ayam, badanku tercampak dari atas katil ke lantai, kemudian melantun di dinding, terhempas ke lantai lagi dan tercampak ke atas katil semula. Apabila sekali lagi jatuh ke lantai, aku sempat berpaut di birai katil. Aku hanya mampu mengaduh kesakitan. Pinggang, bahu dan kepala sakitnya bagaikan dihempuk dan dihenyak oleh gangster mengamuk.

Catering Officer meluru naik ke ruang memandu lalu marah-marah pada pegawai yang bertugas. Dia menunjukkan lututnya yang berdarah.

“Aku hampir masuk tv, tahu tak?” katanya.

“Masuk tv untuk rancangan apa? Masak-masak?” tanya pegawai.

“Banyaklah kau punya rancangan tv. Aku tersembam, kau tahu? Kepala aku hampir-hampir menyondol tv. Kalau aku tak sempat elak tadi, kepala aku sudah berada dalam tv, faham?”
Pegawai itu terdiam. Tidak tahu hendak dijawab apa.

Eh, sudah panjang aku menaip, tapi baru sedikit kisah kapal rolling aku ceritakan. Cukuplah dulu, ya. Aku sambung lain kali pula.

Selasa, 6 November 2012

Died And Buried Also Here..

Travelog Anak Kapal Dagang

Hantu.
Satu benda yang dipercayai menakutkan. Tetapi ianya satu perkara yang amat seronok pula diceritakan. Percayalah, cerita hantu sangat cepat disebar luas, secepat gossip rumahtangga artis yang terpisah rumah daripada tangganya. Sama ada tangga dicuri oleh rumah lain, ataupun tangga itu sengaja diruntuhkan untuk digantikan dengan eskalator yang lebih moden dan cantik! (kiasan saja ya..)

Eh, mari berbalik pada cerita hantu. Aku percaya, ramai orang sudah bertemu hantu.

Cubalah tanya orang-orang di sekeliling kita, “pernahkah kau lihat hantu?”.

Pasti jawapannya, ya. Dan laju sahaja dia akan menceritakan pengalamannya begitu dan begini, bersekali dengan mimik takut-takut dan aksi lari-lari.

Soal betul atau tidak cerita dakwaannya itu, perkara ke dua. Tidak menjadi hal. Yang penting, para pendengar mahu tahu, sengeri mana hantu itu dapat buat. Dan apakah sebabnya dia jadi hantu.

Ada yang mati dibunuh, keluar merayau-rayau semula mencari orang yang membunuhnya. Ada yang sudah mati kemalangan, kembali merempit semula di jalan raya mencabar mat-mat rempit yang masih hidup. Ada pula yang mati kena santau, gemar masuk ke dalam mimpi penyantaunya, hingga membuatkan penyantaunya kencing terkejut dalam tidur. Dan sebangainya lagilah.

Mahu dengar cerita-cerita hantu di kapal pula?

Boleh, tapi dalam banyak-banyak cerita dalam koleksi, satu dua sahajalah yang muat diceritakan di sini.

Kononnya beberapa steaward (pembantu dapur & housekeeping) mengalami rasa seram melampau apabila masuk ke dalam coldroom (tempat simpanan daging, ayam, ikan dan barang basah yang lain). Bulu romanya berdiri tegak. Tengkuknya seram-seram sejuk, tambahan lagi ruang coldroom memang sejuk, bawah 10 darjah celsius.
Puncanya?

Di rak besi bersama-sama ikan dan ayam itulah dahulunya diletakkan mayat seorang anak kapal yang meninggal. Arwah mengalami kemalangan sewaktu bekerja, sewaktu kapal berada di tengah-tengah laut. Dia terpaksa diletakkan di coldroom untuk mengelakkan mayatnya membusuk. Ini kerana kapal hanya akan mencecah ke darat hampir seminggu lagi lamanya.
Selagi tiada paramedik yang bertauliah mengesahkan dia sudah mati, sesiapa pun atas di atas kapal tidak boleh menyatakan demikian, walaupun si empunya diri itu sudah seminggu keras dalam coldroom.

Tiada pula diceritakan apakah mereka menyimpan mayat itu bersama-sama barang makan basah dalam coldroom. Jika ini berlaku, bagaimanalah keadaan steaward yang setiap hari masuk coldroom untuk mengambil ikan, udang dan sebagainya…

Yang aku tahu, steaward-steward lain selepas kejadian itu mendakwa sentiasa diintai arwah dari sebalik rak-rak dalam coldroom.

Itu cerita orang. Mana cerita aku sendiri?

Hmm… mari aku ceritakan.

Pada tahun 2001, sewaktu aku ditugaskan di sebuah kapal bulk carrier (barang pukal), aku ditempatkan di sebuah kabin bersama seorang rakan. Kami bertugas diwaktu yang berlainan, jadi masa aku turun bertugas, dia akan naik rehat, dan begitulah sebaliknya. Rakanku ini memang nakal sedikit. Kegemarannya ialah mengusik orang.

Satu petang, aku tidur seperti biasa untuk mengecas tenaga sebelum turun bertugas semula pada pukul 4 petang nanti. Sewaktu sedang enak-enak lena itu, tiba-tiba aku terjaga bila mendengar suara ketawa. Semakin lama semakin hampir padaku. Ini tidak lain lagi, pasti kerja nakal teman sebilikku. Mahu saja aku menjerkah marah, tapi berat pula mulut nak dibuka.

Tirai katil dibahagian kepala diselak. Terpancul satu muka. Walaupun di siang hari, ruang kabin ini kelam samar-samar kerana tingkap ditutup langsir gelap. Jadi aku tidak nampak jelas, siapa yang mengusik. Dalam keadaam mamai aku cuba mengangkat tangan untuk menumbuk muka itu, tetapi pantas pula muka itu hilang di sebalik tirai. Namun dia terus ketawa.

Tirai di hujung kaki pula diselak dan muka tadi menjenguk ke dalam. Dia terus ketawa galak membuatkan aku meradang. sebaik sahaja aku mengangkat kaki untuk menerajangnya, dia terus tarik kepala keluar dari tirai. Suara ketawa pun semakin sayup dan hilang akhirnya. Aku sambung tidur kembali.

Aku meluahkan rasa geramku pada petang itu kepada teman sebilik, kerana mengganggu tidurku. Tetapi dia terpinga-pinga dan menafikan sekerasnya dia berbuat begitu. Dia menuduhku penakut dan hanya bermimpi. Tapi waktu kejadian adalah di siang hari. Aku tidak berasa takut sedikit pun pada masa kejadian itu. Lagi pun aku tidak terfikir benda yang bukan-bukan, kecuali anak-anak kapal mengusik saja. Dan aku sangat yakin, aku tidak bermimpi.

Bila aku ingati kembali, wajah yang muncul itu berkulit kasar dan tiada rambut. Jauh sekali daripada rupa teman sebilikku ini. Lagi pun tune suara ketawanya sangat berbeza daripada ketawa temanku ini. Dan tiada pula anak-anak kapal yang lain memiliki ciri yang serupa dengan wajah yang muncul itu. Apa bendakah itu?

Aku tak tahu sampai sekarang... Jom, aku mahu bercerita kisah ke dua pula.

Sewaktu aku mula-mula menjalani latihan praktikal sebaik pada tahun kedua belajar dulu, aku di hantar ke sebuah kapal tangki kimia. Kapal ini berusia hampir 20 tahun. Keadaannya memang teruk. Jika tidak keterlaluan, boleh dikatakan ianya seketul ‘besi buruk besar’ yang terapung di atas air.

Memang parah kerja atas kapal ini. Turun bergelumang dengan kerja, naik pada petangnya nampak dua biji mata saja. Teruk… tapi akan aku ceritakan pasal kerja itu di masa yang lain nanti.

Dek kerana buruknya alat di kapal ini, valve (pili) untuk paip balas (air laut) tangki paling depan terpaksa di buka dan tutup secara betul-betul ‘manual’. Ini kerana sistem kawalan dari ‘control room’ sudah dipotong kerana kebocoran minyak hidrauliknya.

Maka untuk membuka atau menutup valve ini, pipe wrence (perengkoh paip) terpaksa digunakan. Valve ini terletak di bilik pam depan. Dari atas geladak, perlu turun ke bawah setinggi bangunan 5 tingkat untuk sampai ke bilik kecil itu di dasar kapal.

Satu waktu di tengah malam, ketika operasi mengisi kargo rancak berjalan, ketua pegawai mahu mengepam keluar air laut daripada tangki balas itu bagi mengimbangi kestabilan kapal. Jadi akulah yang disuruhnya pergi membuka valve paip balas itu.

Setelah diterangkan kedudukan valve tersebut, aku pun pergilah seorang diri dengan berani yang dibuat-buat. Perumpamaannya samalah seperti turun 5 tingkat di bawah basement bangunan seorang diri pada waktu malam. Tak banyak pun, sedikit mesti ada rasa takut.

Aku mula terbayang hantu-hantu yang ada di kapal itu sebagaimana yang diceritakan oleh anak-anak kapal yang lain. Mudah sungguh aku mendapat visual rupa hantu-hantu tersebut, walaupun sebenarnya tiada. Ada hantu kapten kapal, ada juga hantu anak kapal yang memegang tukul. Entah hantu manalah yang bakal aku temui nanti.

Bilik pam itu berbau tengik dengan bilges (sisa kotoran cecair), dengan batang-batang paip yang berserabut dengan alat-alat pelbagai bentuk. Aku turun ke bawah platfom besi, lalu merangkak dicelah-celah alat-alat besi yang entah apa namanya itu mencari valve yang dimaksudkan. Habis badanku dilumur dengan kotoran bilges. Batang shaf pili itu hanya cukup-cukup sahaja dicapai dengan tangan.

Selesai sahaja membuka valve balas, aku segera naik ke atas platfom besi. Dalam samar-samar itu tiba-tiba aku tersuluh sesuatu di dinding. Ianya dua baris ayat tulisan tangan menggunakan marker pen. Baris pertama ayat itu berbunyi;

PUMPMAN MAIZAM WAS HERE ON 11.08.1998

(Maksudnya; Tukang Pam Maizam berada di sini pada 11.08.1998)

Baris kedua pula berbeza bentuk tulisannya, berkemungkinan ditulis oleh orang yang berlainan kemudiannya. Ayat itu berbunyi;

DIED AND BURIED ALSO HERE

(Maksudnya; Mati dan ditanam juga di sini)

Berderau darahku. Seram sejuk serta-merta sehingga nafas aku hampir semput!

Tanpa membuang masa, aku berlari memanjat tangga naik ke atas geladak.

Aku tahu tiada hantu di situ. Tetapi hatiku menyumpah-nyumpah pada orang yang gatal tangan menulis ayat itu di situ. Menyeramkan sungguh!

Sebaik tiba di atas geladak, aku mendapati badanku amat kotor dan busuk. Hisss….. Hantunya tiada, tetapi aku pula yang menyerupai hantu akibat terpalit dengan kotoran bilges.

Isnin, 29 Oktober 2012

Sign Off - Perayaan Paling Dinanti

Travelog Anak Kapal Dagang

Apakah perkara yang paling gembira buat anak-anak kapal?

A.      Dapat melancong ke Paris
B.      Dapat bemain salji
C.      Belayar melalui pulau-pulau cantik di Koh Samui
D.      Bila gaji masuk
E.       Melawat Nou Camp di Barcelona

Tidak. Semuanya tidak tepat. Perkara yang maha mengembirakan kami ialah 'sign off', iaitu balik rumah. Kontrak kerja di atas kapal adalah selama empat bulan, sebelum cuti diberikan dua bulan. Sebelum revision term & condition dahulu, kontrak perkidmatan lebih panjang iaitu enam bulan dengan cuti diberikan tiga bulan.

Namun, itu hanyalah ‘on paper’. Realitinya tidak begitu. Selalunya tempoh perkhidmatan dilajakkan atas sebab-sebab tertentu. Aku pernah berkhidmat di sebuah kapal terus menerus sehingga sebelas bulan. Ada rakanku yang berkhidmat sehingga tiga belas bulan, dengan dua kali beraya di atas kapal yang sama.
Adakah belayar mengikut kapal yang lama-lama itu menyeronokkan? Jawapan aku ialah; ya, jikalau aku belayar di atas kapal Starcruise Superstar Leo sambil enak-enak berjemur di atas dek kolam renang, sambil memerhatikan pemandangan pulau-pulau yang cantik.

Tetapi belayar sebagai operator kapal kargo, kami dihidangkan dengan pelbagai tekanan. Pengendalian kargo, pelbagai kertas kerja/log/laporan, cuaca tidak menentu, kerosakan sistem/alatan, latihan-latihan keselamatan, perubahan perjalanan yang mendadak dan seribu satu macam hal lagi yang bertalu-talu memberikan kami stress dan fatigue (kepenatan melampau).

Berita balik rumah ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh sesiapa sahaja. Setiap hari ada sahaja kru-kru kapal yang bertanyakan pada pengawai, “adakah nama saya sudah naik?” yang memberi maksud – adakah ibu pejabat sudah menghantar arahan pulang bercuti kepadanya.

Satu lagi ayat pertanyaan yang lazim ditanya ialah, “telex dah sampai?” yang juga memberikan maksud serupa. Sebelum kewujudan email, telexlah yang menjadi alat perhubungan kapal dengan ibu pejabat, serta pihak-pihak lain. Namun walaupun sudah bertahun sistem email diguna pakai, ayat “telex dah sampai?” masih digunakan. Walhal mesin telex sudah berhabuk, lama tidak digunakan.

Dan sebaik sahaja arahan balik tiba daripada ibu pejabat, maka hebohlah satu kapal dengan sorak-sorai gembira oleh mereka yang telah disenaraikan. Yang tidak terpilih pula hampa, bermuram durjana. Malah ada yang mendesak kapten agar dirinya dibenarkan pulang juga.

Bagi anak-anak kapal yang dapat pulang, mereka merayakannya bagaikan sesuatu parti memenangi pilihanraya lagaknya. Sengaja menghebohkan ke sana dan ke sini.

Seorang kru yang meminati lagu-lagu rock dengan selambanya menyanyi dengan kuat lagu Kumpulan Amuk; Aku Mahu Pulang ketika orang lain sedang makan.

“Yeyeaaahhh!!…. Aku mahu pulang!”  jeritnya di penghujung lagu.

Lebih melucukan, ada yang pura-pura berlakon sedih sambil menyanyikan lagu Aisyah – Pulanglah. Dia datang perlahan-lahan lalu duduk di kerusi sebelah rakannya yang sedang makan. Sambil mengalunkan nada suara yang sayu, dia membelai-belai rambut dan memicit-micit tengkuk rakannya itu. Terpaksalah rakannya itu melayannya dengan muka ‘toya’ sahajalah.

Pada sebelah malam, sewaktu orang lain hampir tidur, mereka berkumpul di lorong depan kabin. Dengan menggunakan gitar dan buntut baldi sebagai drum, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu Gelang Si Paku Gelang.

Gelang si paku gelang
Gelang si rama rama

Pulang

Marilah pulang

Marilah pulang


Bersama-sama


Pulang
Marilah pulang
Marilah pulang
Bersama-sama


Di selang seli pula dengan lagu Syonara.

Sayonara sayonara
Sampai berjumpa pulang

Sayonara sayonara
Sampai berjumpa pulang

Buat apa susah Buat apa susah
Susah itu tak ada gunanya

Sengaja mereka berkugiran begitu untuk mengusik rakan-rakan yang belum sampai masa untuk balik. Apabila ada yang ‘sound,’ mereka membalas balik dengan sorakan. Keadaan menjadi gamat apabila ada yang berlawan-lawan ‘sound’.

Namun tidaklah sampai perkara buruk terjadi. Rakan-rakan yang tidak dapat balik pun faham, mereka patut gembira. Biarlah mereka melalak sepuas hati. Buat sementara waktu pendam sajalah perasaan. Tidak lama lagi, akan tibalah giliran sendiri pula!

Pada satu ketika, dua hari sebelum kapal memasuki pelabuhan Bintulu, dapatlah email arahan pulang bercuti untuk aku dan lapan anak kapal yang lain. Maka gegak gempitalah kapal kami kecohkan.

Sebaik kapal ditambat, anak-anak kapal baru yang datang untuk menggantikan kami segera naiklah. Seorang demi seorang melaporkan pada Kapten. Tetapi aku tercari-cari pengganti aku. Tidak ada. Lantas aku mendapatkan Kapten.

Bagaikan gempa bumi berskala ritcher 10 melanda hatiku bila Kapten memaklumkan, aku terpaksa menunda tarikh pulang. Pengganti yang sepatutnya datang mengambil alih tugasku tidak dapat datang. Dia tersangkut pada ‘medical check up’ kerana disahkan mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Lalu apa lagi, aku pula menjadi sasaran bahan ketawa! Aduh… dunia yang indah sekelip mata musnah. Lemah longlai tubuh dibuatnya. Maka berangkat pulanglah mereka yang sudah menyerah tugas pada pengganti. Tinggallah aku terkulat-kulat menyambung tugas dalam keadaan rela terpaksa.

Semasa aku sibuk bertugas di atas dek malam itu, masuklah satu SMS yang membakar. Mereka sengaja memaklumkan yang mereka sedang mengadakan makan besar-besaran di sebuah restoran di bandar Bintulu dengan penuh gembira!

Ahad, 28 Oktober 2012

Jom Shopping Di Luar Negara...

Travelog Anak Kapal Dagang

Tanggapan rakan-rakan, bahkan mungkin orang lain juga; 
-Barang-barang di luar negara harganya murah.
-Membeli pakaian jeans atau denim di US murah dan origional.
-Membeli barangan elektrik di singapura murah dan berkualiti. 
-Membeli pakaian dan perhiasan di eropah lebih eksklusif dan 'high class'.

Tanggapan ini ada yang betul dan ada bahagian yang tidak betulnya...
  
Finland - negara kelahiran telefon Nokia. Hajatku sewaktu mula-mula sampai di sini adalah mahu mencari telefon bimbit murah. Waktu itu Nokia masih mendominasi pasaran telefon bimbit dunia. Dan model terbaru yang sedang hangat di pasaran waktu itu adalah Nokia 8250, atau lebih dikenali dengan gelaran Nokia Butterfly.

Tentu sekali telefon Nokia 8250 di Finland dijual dalam mata wang euro. Jika dilihat pada angka harganya, sungguh kelihatan tersangat murah. Namun ia hanyalah pesona ilusi semata. Jika nilai dalam mata wang euro itu ditukarkan kepada nilai ringgit, pasti mampu membulatkan biji mata.

Banyak juga kedai di Bandar Kotka yang menjual telefon model itu ditinjau. Setelah di congak-congak, memang tidak berbaloi. Hajatku terbantut. Baik beli di negara sendiri, jauh lebih murah. Apalagi kalau hanya diberikan waranti kedai. Jika rosak dalam tempoh jaminannya nanti, adakah aku sanggup datang kembali ke Finland hanya mahu membaiki telefon semata-mata?

Satu kegilaan orang-orang muda sedikit waktu dulu adalah jenama ‘Planet Hollywood’. Banyak outletnya dibuka di bandar-bandar besar ataupun tempat tumpuan pelancong. Kerana ia ditunjangi oleh ikon-ikon hero filem antarabangsa yang terkenal, tidaklah sukar menarik pengunjung datang berbondong-bondong. Anak-anak kapal tidak terkecuali. Boleh dikatakan setiap kali naik ke darat di mana-mana negara, kedai Planet Hollywoodlah antara yang dicari.

Harga sehelai T-shirt di sini menyamai harga 5 atau 6 helai T-shirt di kedai biasa. Seorang krew kapal membeli sehelai T-shirt Planet Hollywood di Cape Town. T-shirt itu bewarna putih dan mempunyai gambar yang cantik di depannya. Balik sahaja ke kapal, dia memakainya dan ke sana ke mari menayangkan kepada sesiapa sahaja. Dia  bercerita dengan megahnya, bagaikan dia setara dengan Sylvester StalloneBruce Willis ataupun Arnold Schwarzenegger yang memiliki Planet Hollywood tersebut.


Tiga hari selepas itu, dia tidak lagi memakainya. Barangkali dibasuh, fikirku. Hari-hari seterusnya juga tidak kelihatan dia pakai. Apabila ditanya, dengan muramnya dia memberi tahu, dia kecewa apabila gambar pada baju itu luntur setelah dicuci.

Dia menunjukkan baju tersebut. Aku lihat gambarnya terkopek-kopek, bagaikan baju ‘bundle’ yang dijual lelong di pasar malam saja. Dia mengeluh rugi. Kualiti baju itu tidak setanding dengan jenamanya yang gah. Baju Planet Hollywood ciplak yang berharga belasan ringgit pun lebih tahan lasak, katanya.

Begitulah juga keadaannya bila anak-anak kapal membeli seluar jeans Levi’s di Bourbon Street, New Orleans. Tidak semua jeans Levi's di situ origional buatan USA. Kebanyakannya punyai tag ‘Made in Honduras’ ataupun ‘Made in Nicaragua’. Dan apa yang lebih mengecewakan, semuanya adalah ‘American size’. Tiada yang fit untuk orang Asia. Seluarnya terlebih panjang. Apabila kaki seluar itu dipotong, ‘cutting’nya akan lari. Nampak jelik bila dipakai (kata peminat jeans tegar).

Seorang rakan rapat membeli jam tangan Casio Baby-G di Houston, Texas. Waktu itu, model jam itu dikatakan cun dipakai oleh muda-mudi. Apalagi kalau jam tersebut diimport ataupun dibeli di luar negara. Bolehlah dijadikan modal untuk bergaya sakan dan menunjuk-nunjuk.
Tiga bulan selepas membelinya, sewaktu sahabatku itu bercuti di rumah, dia membelek-belek jam tangan kesayangannya itu. Tiba-tiba dia terkejut lalu terkedu. Bersama-sama dengan logo Casio terukir pada bahagian bawah jam itu, terdapat satu ayat mengandungi tiga patah perkataan yang benar-benar membuatkan hati sahabatku itu terluka;
‘MADE IN MALAYSIA’

Warrrrrghhh!!..............  %$#@!!!!

Ahad, 21 Oktober 2012

Sup Kopi

Travelog Anak Kapal Dagang

Tidak selera pada makanan baru dikenali adalah perkara biasa. Alah pada makanan baru pun, ramai yang mengalaminya. Aku tidak terkecuali.

Aku datang dari kampung. Tetapi tidaklah terpencil sangat ataupun terletak di ceruk hutan. Hanya kampung di pinggir bandar sahaja.

Walaupun begitu, makanan barat seperti beef staek, chicken chop, spaghetti dan makaroni tidak pernah aku rasa sebelum memasuki dunia pelayaran.

Mula-mula aku dihidangkan steaward dengan beef steak, aku terkial-kial memakannya. Aku cuba meniru cara pegawai-pegawai senior memotong daging dalam pinggan sebelum dicicah dengan sos lada hitam.

Dalam hati aku merungut-rungut, siapalah yang memandai-mandai mereka cara makan yang payah ini. Sudahlah pisaunya tumpul hingga berkeriut-keriut pinggan aku kerjakan, menyuap pula dengan tangan kiri. Janggal sungguh!


Masa berlalu dan aku terbiasa makan dengan cara western. Walaupun begitu, setelah aku menjadi pegawai senior kemudiannya, aku jarang mengikut protokol bila menikmati hidangan western ini.

Sebelum makan, aku terlebih dahulu membawa daging steak itu ke pantry. Aku dapatkan gunting kepunyaan tukang masak lalu memotong daging itu kecil-kecil. Tidak perlu bersusah payah memotong dengan pisau tumpul lagi.

Jika aku makan berseorangan, lagi seronok. Aku terus sahaja menggigit sekeping steak itu terus, umpama makan burger. Senang dan cepat. Tidak perlu pisau tumpul dan garpu lagi.

Selera bukan hanya tumpul pada masakan barat sahaja, tapi juga pada cara memasaknya. Jika tukang masak dari negeri sebelah utara, masakannya pasti gunakan resepi utara. Sambal nasi lemak yang menggunakan cili kering berbeza rasanya dengan sambal yang menggunakan cili boh.

Begitu juga dengan kari yang menggunakan susu cair, aneh rasanya berbanding kari yang menggunakan santan kelapa. Keadaan ini menyebabkan aku hanya makan ala kadar sahaja.

Satu hari, ketua pegawaiku bertukar kerana sudah sampai masanya untuk pulang. Ketua pegawai yang baru ini datang dari Filipina. Kulitnya putih kemerahan, tidak sawo matang seperti filipino lain kebiasaannya. (beliau menceritakan kemudiannya, datuknya berbangsa Russia).

Sebelum ini, dia berkhidmat di kapal Greek dan belayar hanya sekitar Eropah dan Amerika. Inilah pertama kali dia belayar dengan kapal Malaysia. Sudah tentulah dia mengalami kejutan budaya.

Dia merungut kerana kapal Malaysia tiada bar dan arak. Malah alkohol tidak dibenarkan dibawa naik ke atas kapal sama sekali. Dia juga hidup tersiksa dengan menu masakan Malaysia.

“What kind of food is this?” dia mengeluh sambil menguis-nguis lauk sambal dan kari yang dihidangkan.

Sudahnya hanya nasi kosong sahaja yang luak di pinggannya. Perutnya tidak dapat menerima sama sekali lauk pauk melayu yang pedas dan berempah itu.

Dia pernah paksa diri mencuba makan. Padahnya dia mengalami cirit-birit yang teruk sehingga tergendala tugasnya. Badan panas sepanjang malam menggaggu tidurnya. Tubuhnya lemah dan wajahnya muram kerana terpaksa makan roti dan mentega sahaja sepanjang hari.

Pada satu tengah hari, sedang orang lain enak menikmati nasi dan lauk-pauk yang pelbagai, ketua pegawai ini hanya mengambil semangkuk nasi dan secawan besar kopi. Dia duduk di meja makan bersama-samaku dan pegawai kapal yang lain.

“Only rice and coffee, chief?” tegurku.

“Yea… only this things I can eat,” balasnya.

Aku tergamam bila melihat dia mencurahkan air kopi ke dalam mangkuk nasinya. Aku berhenti menyuap lalu memerhatikannya dengan jengkel. Pegawai-pegawai dan jurutera-jurutera lain yang ada di meja itu turut terhairan-hairan.

Dia mengacau-ngacau dengan sudu, lalu menghirupnya. Kemudian dia memandangku dengan tersenyum lebar. Sedap amat agaknya.

“What are you doing, chief” tanyaku cuak.

“I’m making soup,” katanya.


“Soup? That is coffee, not soup,” balasku pantas.

“Yea, this is coffee soup. My new recipe. Wanna try some?” dia menyuakan mangkuknya.

Hah, sup kopi?

Maka terletuslah ketawa satu meja makan itu!


Sabtu, 20 Oktober 2012

Merdeka & Doa Balak Setasik

Travelog Anak Kapal Dagang

Sebelum syarikat kapal terbesar di Malaysia ini menghentikan operasi pengangkutan kontena tidak lama dulu, aku sempat berkhidmat di salah satu kapal jenis ini pada tahun 2002 dahulu. Kapal berkapasiti 1800 TEU (unit untuk bilangan kontena) mengangkut kontena di antara lima  pelabuhan sahaja iaitu Pelabuhan Kelang, Singapura, Sydney, Tasmania dan Perth. Satu pusingan lengkap laluan ini mengambil masa kurang daripada sebulan sahaja.

Satu hari ketika kapal singgah di Sydney, aku mengambil peluang untuk turun ke bandar bersiar-siar sambil berhajat membeli sedikit barang. Rakan-rakan yang lain sudah keluar lebih awal sebaik sahaja habis tugas, manakala aku terpaksa melanjutkan sedikit masa kerja disebabkan perlu menyiapkan laporan operasi kargo.
Pelabuhan kontena ini terletak di Teluk Botany, bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney. Lapangan terbang ini sangat sibuk. Dari atas kapal aku dapati kapal terbang tidak putus-putus mendarat dan berlepas. Kadang-kadang ada dua atau tiga biji sekali kapal terbang mendarat atau berlepas serentak. 

Dari Teluk Botany, aku perlu menaiki kenderaan sejauh kira-kira 15 kilometer untuk ke pusat Bandaraya Sydney. Mujurlah Kelab Pelaut di Sydney ada menyediakan van pengangkutan percuma untuk pelaut. Aku sanggup menunggu van ini yang datangnya dua jam sekali, daripada mengambil teksi yang tambangnya sangat mahal.

Entah kenapa hari itu hanya aku seorang sahaja menaiki van ini. Selalunya ramai pelaut-pelaut dari kapal lain juga turun ke bandar. Aku mengambil peluang ini duduk di kerusi hadapan di sebelah pemandu. Rupa-rupanya pemandu ini berketurunan Filipina, dan bukannya Mat Salleh Australia seperti sebelum ini.

Aku berbual-bual dengan pemandu van untuk menghabiskan masa di sepanjang jalan. Dia berubah ceria dan bersemangat setelah mengetahui aku datang dari Malaysia. Dia bercerita macam-macam mengenai Malaysia termasuklah Bangunan KLCC dan Litar Formula 1 di Sepang. Aku mengangguk mengiakannya.

Akhirnya dia memberi tahu, dia pernah tinggal di Malaysia dengan bekerja sebagai pemandu. Waktu itu dia berkhidmat dengan sebuah pertubuhan kristian di Malaysia. Dia selalu memandu jauh dari Kota Bharu ke Johor Bahru, merentasi negeri-negeri pantai timur semenanjung. Aku tergelak bila dia menceritakan banyak kali dia hampir merempuh lembu atau babi sewaktu memandu melalui kampung dan hutan.

Dalam hati, terdetik rasa malu kerana jalan raya di negara sendiri masih berkeliaran dengan haiwan-haiwan itu.

Katanya, dia berkhidmat di Malaysia kira-kira tiga tahun sebelum berpindah ke Australia. Ada di antara anak-anaknya lahir di Malaysia.

Suatu lagi perkara yang membuatkan aku kembali bangga ialah apabila beliau memuji-muji Malaysia punyai sangat banyak perayaan. Dan setiap perayaan itu pasti ada majlis makan-makan beramai-ramai, yang mana kita di Malaysia menamakannya sebagai rumah terbuka. Dia menyebut beberapa nama makanan Malaysia yang masih diingatinya, walaupun sebutannya kedengaran melucukan.

Dan antara perayaan yang paling disukainya ialah sambutan hari kemerdekaan.
Aku berasa pelik pula, kenapa hari merdeka? Jika perayaan lain, bolehlah dikatakan banyak perkara budaya dan makanan baru yang ditemui olehnya. Tetapi sambutan hari merdeka lebih kurang sama sahaja di mana-mana negara pun. Pastinya Filipina juga mempunyai sambutan hari kemerdekaannya sendiri.

Aku tergelak dalam hati bila dengan bangganya dia memberitahu anak lelakinya lahir pada tarikh Malaysia menyambut hari merdeka. Apa kaitannya tarikh kemerdekaan Malaysia dengan anaknya? Anaknya itu bukan warga negara Malaysia pun. Kalau lahir pada tarikh Filipina merdeka, munasabahlah juga.

Terletus gelakku, dan terkejut juga bila pemandu ini berkata dia menamakan anak lelakinya itu 'Merdeka'. Bikin kelakar tidak bertempat dia ini. Mana ada orang menamakan anak dengan nama Merdeka? Lagipun Merdeka adalah perkataan melayu. Orang melayu sendiri pun tidak guna perkataan Merdeka untuk menamakan anak. Mungkin orang Filipina ini suka beri nama anak dengan nama pelik-pelik, fikirku.

Bagaikan dia tahu gelakku itu mempersendakannya. Dia bertanya, "You know why I named my son 'Merdeka'?"

"May be its sound fantastic?" tekaku. Aku akui, akalku ketika itu masih nakal keanak-anakan.

"Yes, you are right. But not only its sound nice. I like the meaning. Merdeka mean FREEDOM. I like freedom. Thats why I am here," ujarnya.

Aku terdiam. Riak senyum sinisku juga tiba-tiba hilang.

Dia tahu makna merdeka, iaitu kebebasan. Dia mencari kebebasan.
Tapi aku hanya tahu merdeka itu hanya hari merdeka, dan diraya-rayakan sahaja. Tiada bezanya pasal kebebasan hari merdeka berbanding hari-hari lain.

Terkena aku!

Lantas aku teringat kata-kata seseorang; nama anak itu satu usaha ibu bapa kepada anaknya supaya menjadi baik. Setiap orang yang memangggil nama tersebut nanti, seolah-olah mendoakan anak itu menjadi baik.

Contohnya, jika si anak itu bernama Justin Timberlake, maka ramailah orang yang berdoa supaya kelak dia akan punyai sebuah tasik yang dipenuhi kayu-kayu balak yang terapung di permukaannya!

Jumaat, 19 Oktober 2012

Sabun Mandi Sebagai Tukaran

Travelog Anak Kapal Dagang

Ketika ini sahabat penulis saya, Tuan Abdul Latip sedang berada di bumi Mesir untuk mengumpul bahan bagi karya beliau seterusnya, iaitu As-syahid Imam Hasan Al-Banna. Paparan status-status terkini di facebook beliau yang disertakan gambar-gambar menarik menyebabkan ingatan lama membuak-buak kembali dalam fikiran.

Ya, bumi Mesir juga tidaklah terlalu asing pada saya. Pelabuhan Adabiyah, Pelabuhan Suez, Terusan Suez dan Pelabuhan Said adalah tempat rutin kapal tangki lawati. Pelabuhan Adabiyah adalah pintu masuk utama minyak sawit pelbagai gred ke Mesir dan negara-negara sekitarnya seperti Tunisia, Algeria, Maghribi dan Sudan. Dalam seminggu, sekurang-kurangnya dua biji kapal tangki memunggahkan muatan minyak sawit yang diangkut dari Asia Tenggara di sini.

Minyak sawit ini apabila tiba di Mesir, sudah tentulah harganya lebih mahal disebabkan kos pengangkutan. Di sini, minyak sawit diproses menjadi produk-produk konsumer seperti mana juga di Malaysia. Salah satu produknya ialah sabun mandi. Tapi apa yang saya fahami, sabun mandi yang dibuat daripada minyak sawit agak mahal.

Bagi kami anak-anak kapal pula, boleh dikatakan mewah dengan sabun mandi. Manakan tidak, setiap dua minggu kami dibekalkan dengan empat ketul sabun mandi. Ini sangat berlebihan kerana kebiasaannya saya dan anak-anak kapal yang lain cuma menggunakan seketul atau dua sahaja sabun mandi dalam sebulan.

Keadaan ini menyebabkan laci di kabin-kabin anak kapal dipenuhi dengan sabun mandi. Hendak dibuang, sayang. Hendak diguna, sudah tidak terguna. Jadi satu-satunya cara paling ekonomi untuk 'melupuskan' sabun mandi ini adalah sewaktu melalui Terusan Suez.

Ada anak-anak kapal yang sengaja mengumpul sabun-sabun mandi dan menunggu sehingga kapal melalui Terusan Suez ini untuk dibuat sebagai tukaran sistem barter.

Semasa kapal melalui terusan ini, banyak penjaja-penjaja arab menaiki kapal untuk berniaga. Kebanyakan barang yang dibawanya adalah kraftangan seperti daun papyrus yang ditulis ayat-ayat Al-Quran, piramid kristal, tasbih, jam loceng, lampu suluh kecil dan sebagainya. Namun yang paling mendapat perhatian anak-anak kapal ialah minyak wangi.

Ada minyak wangi berjenama antara bangsa. Tidak kurang juga berjenama arab. Semuanya wangi-wangi! Dan yang paling bagusnya, peniaga-peniaga arab ini menerima bayaran pembelian minyak wangi ini dengan sabun mandi. Sebotol minyak wangi boleh di'barter'kan antara lapan hingga lima belas ketul sabun mandi, bergantung pada mahal atau murahnya harga minyak wangi itu.



Saya sendiri membeli empat botol minyak wangi dengan berpuluh ketul sabun mandi sebagai tukaran. Ringan mulut saya bertanya pada peniaga-peniaga arab apa yang mahu dibuatnya dengan sabun-sabun mandi yang banyak itu. Kata mereka, selain daripada menjualnya kembali, dia juga akan menghadiahkan sebahagiannya kepada anak-anak gadis mereka!

Oh...

Ahad, 14 Oktober 2012

Kapal Timbul Di Puncak Pokok

Travelog Anak Kapal Dagang

Melalui sungai Rio De La Plata ini sungguh mencabar. Kapal perlu dikemudi secara manual, iaitu seorang jurumudi perlu mengendalikan stereng. Jurumudi ini akan menerima arahan daripada Kapten ataupun Jurupandu berapa darjah stereng perlu dipusing, sama ada dipusing ke kiri ataupun ke kanan dalam menentukan haluan kapal.

Selekoh-selekoh sungai yang tajam memerlukan pengendalian strereng yang cekap dan tepat. Lebih-lebih lagi ruang untuk kapal berpusing hanya muat-muat sahaja alurnya. Silap sedikit boleh menyebabkan kapal terkandas di tempat cetek. Keadaan ini serupalah dengan permainan ‘drift’ kereta.

Jurumudi perlu meletakkan sepenuh perhatiannya kepada arah haluan kapal serta sentiasa ‘alert’ dengan arahan Jurupandu. Aku sebagai pegawai navigasi memantau semua operasi di ruang pemanduan itu. Aku perlu memerhati jurumudi agar tidak membuat kesilapan. Akulah orang yang memeriksa posisi kapal di atas peta selang lima minit sekali. Dan akulah juga memastikan jurupandu memberikan arahan yang betul. Dalam kesibukan itu juga aku perlu menulis log setiap apa yang berlaku!



Di sebalik selekoh sungai, kami tidak nampak sama ada terdapat kapal yang menghala bertentangan arah dengan kapal kami. Dalam hal ini, radar dapat membantu. Hon juga dibunyikan sebagai amaran kami menghampiri selekoh berkenaan.

Di satu tempat, kami melihat sebuah kapal timbul dari puncak pokok-pokok hutan di sebelah kanan selekoh. Aku merasa pelik, kenapa kapal ini berada atas darat? Dan lebih pelik lagi, mengapa pula dalam hutan?

Aku bertanya pada Jurupandu, “What was that ship doing over there?”

Jurupandu membalas, “she is coming down,”

Aku tidak dapat bertanya lanjut kerana waktu itu Jurupandu sedang memberikan arahan-arahan pusingan stereng kepada jurumudi. Kapal kami melalui dua selekoh zig zag.

Sebaik sahaja selesai mengambil selekoh ke dua, aku dapati kapal yang berada atas darat tadi di hadapan kami sekarang. Rupa-rupanya selekoh sungai itulah yang menyebabkan kapal itu kelihatan seperti berada di atas darat.

Kapal kami merapat ke tebing kanan agar kapal itu dapat melepasi kami di sebelah kiri. Kami dapati kapal itu sarat dengan muatan dengan 2/3 badannya tenggelam dalam air. Pasti itu hasil dari ladang Argentina untuk pasaran dunia luar.

Kini kapal tiba di daerah San Lorenzo. Kami melewati pekannya untuk ke pelabuhan di satu tempat bernama San Martin. Kapal akan ditambat pada sebuah ‘wharf’ di situ.

Tali-tali kapal di hulurkan kepada ‘mooring boat’ yang akan membawa tali itu ke ‘mooring buoy’ (pelampung besi) di hadapan dan di belakang kapal untuk di tambat. Setelah hujung tali itu ditambat, tali itu di tarik untuk menegangkannya.



Tali-tali itu pun terangkat dari air. Kami terperanjat besar bila melihat ‘mooring buoy’ pun terangkat sama. Rupa-rupanya ‘mooring buoy’ itu pula ditambat dengan rantai yang direntangkan dari darat, bukannya ditambat pada dasar sungai seperti di tempat-tempat lain sebelum ini.

Maka pelampung besi itu tergantung berayun-ayun di antara tali kapal dan rantai ke darat.

Kami mengurut dada…
Lega!