Satu
masa dulu, kapal kerap mengangkut pelbagai jenis kimia cecair dari Kotka,
Finland untuk dibawa ke Singapura dan timur jauh. Pelabuhan Kotka terletak di
Teluk Finland, iaitu jauh ke dalam benua yang dinamakan Eropah Timur. Di sekitarnya
adalah negara-negara bekas jajahan Soviet Union.
Untuk
sampai ke Kotka, kapal perlu merentasi Laut Baltik. Laut ini boleh dikatakan
sebuah teluk yang besar. Pintu utamanya terletak di barat laut, yang dipinggiri
oleh pantai Norway, Sweden dan Denmark. Laluan kedua masuk ke laut ini adalah
melalui Jerman. Negara kelahiran fahaman komunis ini membina Terusan Kiel
merentasi negaranya sebagai jalan pintas untuk kapal-kapal kecil dari Laut
Utara masuk ke Laut Baltik.
Bagaimanapun,
disebabkan saiz kapal yang lebih besar daripada yang dibenarkan, kapal kami
tidak dapat melalui Terusan Kiel. Lagi pun yuran melauinya juga pasti mahal
dengan pelbagai prosedur rumit dan memenatkan perlu dilalui. Kami memilih
laluan utama dengan mengelilingi semenanjung Denmark.
Sebaik
melepasi sempadan dekat Tanjung Skagen, kapal perlu menurut peraturan Laut
Baltik. Laluan sudah ditetapkan seperti jalan raya. Jadi, kapal-kapal tidak
boleh dikemudi sesuka hati. Semua kapal yang bergerak di laut ini diawasi oleh
pusat-pusat kawalan laut yang didirikan sepanjang pantai. Maklumat seperti
identiti kapal, kargo dan anak-anak kapal perlu dilaporkan pada pusat kawalan
ini apabila tiba di tempat-tempat yang sudah ditentukan.
Laporan
ini perlu dibuat melalui radio VHF. Pernah kapal dimarahi oleh satu pusat
kawalan kerana tidak membuat laporan. Setelah diperiksa passage plan, memang pusat kawalan itu tiada dalam senarai untuk
dihantar laporan. Rupa-rupanya itu adalah pusat kawalan tentera. Maklumat
operasi tentera tidak selalu kamu perolehi dengan cekap. Oleh itu kami tidak
mengetahui kewujudan mereka di situ. Akhibatnya, mereka memberi amaran keras.
Apa mahu buat, memang kami tidak sengaja.
Di Laut
Baltik ini terdapat banyak pulau dan dasar yang cetek. Dari Skagen, kapal
berlayar ke arah selatan. Kami melalui
satu selat sempit yang bernama Storbelt, yang terletak di antara Pulau Funen
dan Pulau Zealand. Kapal juga terpaksa menyusup di bawah sebuah jambatan tinggi
yang menghubungkan kedua-dua pulau ini.
Tiba di
perairan Jerman, kapal membelok ke timur. Di sini keadaan laut lebih lapang dan
luas. Kapal dapat dipandu dengan tenang. Anak-anak kapal yang bertugas di
anjung tidak kelam-kabut lagi.
Air
laut Baltik jernih membiru, tenang dan tiada gelombang besar. Udara di sini
sejuk dan nyaman. Walaupun matahari terik, kita tidak akan rasa panas perit
walaupun berjemur sepagi.
Pemandangan
cantik garisan pantai dengan tebing-tebing batu tinggi memukau pandangan. Ia di
serikan lagi dengan deretan kincir-kincir angin dengan kipasnya berpusing
perlahan. Jikalaulah dapat tinggal di sini, alangkah damainya.
Kincir
angin asalnya digunakan sabagai pam pengairan ke kawasan pertanian. Namun di
zaman moden ini ia digunakan sebagai penjana kuasa elektrik. Walaupun dari jauh
nampak kecil, kincir angin ini sangat besar sebenarnya. Kebiasaannya setiap
kincir mempunyai tiga bilah kipas. Panjang setiap bilah kipas ini hampir
menyamai panjang tiga biji lori trailer.
Kincir-kincir
angin bukan sahaja dibina di atas daratan, bahkan juga di laut. Kapal melintasi
satu tempat yang mempunyai beratus-ratus
kincir angin yang dipanggil ladang kincir angin (windmill farm). Penjana kuasa
mesra alam ini tidak menghasilkan pencemaran bunyi, udara dan air sama sekali.
(Bersambung…)