Minyak Cula Buaya Darat
Pagi itu Jamilkhir diberitahu oleh pembantunya, Razi ada seorang wanita mahu menemuinya. Jamilkhir keluar dari biliknya, didapati ada seorang wanita sedang duduk di sofa ruang menunggu. Usianya dianggarkan antara tiga puluh hingga tiga puluh lima tahun. Daripada penampilannya, Jamilkhir dapat mengagak wanita ini berkarier bagus dan berjawatan tinggi.
“Encik Jamilkhir, ini dia Puan Hasnina,” kata Razi, pembantu Jamilkhir.
“Assalamualaikum, tuan,” tegur wanita itu.
“Waalaikummussalam. Ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Jamilkhir.
“Saya ada sedikit perkara yang saya nak minta tolong dari tuan,” kata Hasnina.
“Mari kita ke bilik tamu. Kita bincang di sana,” ajak Jamilkhir.
Ruang tamu ialah satu bahagian di Unit Undang-undang Keluarga itu yang telah dipisahkan oleh dinding kaca yang lut sinar. Ruang ini kedap bunyi agar para pengadu dan pegawai agama dapat berbincang dengan selesa tanpa rasa bimbang didengari oleh orang yang tidak berkenaan.
“Apa dia perkara yang awak nak kemukakan?” tanya Jamilkhir setelah kedua-duanya mengambil tempat duduk yang bertentangan.
Hasnina menongkatkan siku kirinya ke meja. Dia memegang dahinya sejenak semacam memikirkan sesuatu yang berat nampaknya. Kemudian dia menurunkan kembali tangannya ke bawah.
“Saya ada masalah dengan bekas suami saya,” kata Hasnina pelahan-lahan.
“Oh, masalah dengan bekas suami. Apa yang dia telah lakukan apa pada awak?” tanya Jamilkhir.
“Dia tak buat apa-apa,” kata Hasnina.
“Eh, tak buat apa-apa?” Jamilkhir kaget.
“Hm… susah saya nak cerita,” kata Hasnina lagi..
“Dia ada ganggu awak?” tanya Jamilkhir.
“Tidak. Dia terus lenyap saja,” kata Hasnina. Nadanya masih mendatar seperti jawapan-jawapan sebelum itu. Tiada reaksi marah ataupun dengki yang ditunjukkan sebagaimana kebiasaannya terjadi kepada pasangan-pasangan yang bercerai dan bermasalah.
“Oh, dia tidak tunaikan nafkah untuk anak-anakkah?” Jamilkhir terus mengusul.
“Bukan. Kami berpisah sebelum sempat kami dapat anak lagi,” jawab Hasnina.
Jamilkhir semakin pelik. “Ada apa-apa tuntutan harta sepencarian yang masih belum selesai?” tanyanya.
“Semua harta benda ditinggalkan pada saya. Dia cuma pergi bawa kain baju dan motor kapcainya sahaja,” kata Hasnina.
“Jadi, perkara apa yang masih jadi masalah di antara awak dengan bekas suami awak?” tanya Jamilkhil. Dia sudah kehabisan idea untuk meneka. Wanita ini pun satu hal, ceritalah terus dari A sampai Z. Ini tidak. Sebaris ditanya, sebaris juga dijawab.
“Dia sudah lupakan saya,” kata Hasnina.
Jamilkhir terkedu. Seketika kemudian dia tergelak kecil.
“Dia sudah lupakan awak. Jadi semua masalah selesailah,” ujar Jamilkhir.
“Tapi saya tidak dapat lupakan dia,” luah Hasnina lagi.
“Kenapa? Dia masih ada hutang dengan awak?” Jamilkhir mengangkat kening.
“Tidak. Saya rindu pada dia. Saya rasa nak rujuk balik pada dia. Ini gambar kenangan kami masa bersanding dulu,” kata Hasnina sambil mengunjukkan sekeping kertas kepada Jamikhir. Jamilkhir menyambut kertas itu.
“Pulak dah. Kamu berdua berpisah dulu di atas sebab apa?” tanya Jamilkhir sambil membelek-belek gambar itu. Sama cantik sama padan, desis hatinya.
Hasnina menarik nafas panjang. “Salah saya. Saya yang tekan dia supaya ceraikan saya,” jelasnya.
Jamilkhir terperanjat. “Pasal apa?” tanyanya pantas.
“Saya telah ditipu,” kata Hasnina.
“Dia tipu awak macam mana?” soal Jamilkhir lagi.
Hasnina melarikan pandangannya daripada Jamilkhir. “Bukan bekas suami, tetapi ada seorang bomoh jawa tu, bomoh yang saya pernah minta tolong,” gumamnya lagi dengan membiarkan cerita itu tergantung.
“Bomoh itu sudah lakukan apa-apa pada awakkah? Dia porak-perandakan rumah awak?” soal Jamilkhir lagi.
“Ya,” jawab Hasnina sepatah.
“Mengapalah awak percayakan bomoh-bomoh ni? Awak orang berpelajaran tinggi, takkanlah awak tidak boleh membezakan perkara yang baik atau buruk. Awak tidak baca surat khabarkah? Banyak berita bomoh-bomoh penipu yang menjadikan wanita-wanita yang datang berubat dengannya sebagai mangsa. Sekarang awak sudah dirosakkannya pula,” Jamilkhir meninggikan suara. Lagaknya seperti orang berleter pula. Mungkin dia sudah bosan dengan jawapan Hasnina yang pendek-pendek itu.
“Eh, bukan begitu tuan. Tuan jangan salah sangka pula. Bomoh itu tidaklah sampai merosakkan saya. Saya pun tidaklah selemah itu nak serah diri pada bomoh itu,” cepat-cepat pula Hasnina menyangkal.
“Jadi, apa yang dia sudah lakukan?” tanya Jamilkhir. Dia mendongak ke siling lalu menggosok-gosok tengkuknya, sebagai reaksi menutup malu akhibat tuduhan melulunya tadi.
“Dia beri saya ubat yang salah,” jawab Hasnina.
Jamilkhir mengerutkan dahi. “Ubat apa itu?” tanyanya lagi.
“Bekas suami saya dulu kurang sikit kemampuannya. Jadi saya mintalah bantuan bomoh jawa ini selepas diperkenalkan oleh seorang kawan. Bomoh itu pun berilah saya sejenis ubat yang paling istimewa. Minyak cula buaya darat, katanya. Saya pun berilah minyak itu pada bekas suami,” terang Hasnina.
“Apa yang berlaku pada bekas suami puan selepas itu? Dia jadi buaya daratkah?” pintas Jamilkhir bagaikan tidak sabar-sabar lagi ingin mengetahui kejadian yang berlaku selanjutnya.
“Bekas suami pun gunalah minyak itu. Sampai habis sebotol pun, tiada apa-apa perubahan pada dia. Masa belum kawin dulu, bekas suami saya ini jenis buaya darat jugalah. Dia banyak kali bertukar teman wanita, tetapi akhirnya kekal dengan saya sehinggalah kami kawin. Lepas kawin baru saya tahu akan dirinya yang sebenar. Lama-lama saya jadi bosan. Saya pun mula tekan dia supaya tinggalkan saya. Masa itu saya fikir keadaan dia sudah teruk dan tak dapat dipulihkan lagi walaupun sudah diubat dengan minyak cula buaya darat, iaitu ubat yang paling mujarab sekali pun,” terang Hasnina lagi dengan panjang lebar.
Jamilkhir menggeleng-gelengkan kepala. “Siapa kata minyak cula buaya paling mujarab?” duganya.
“Bomoh itulah. Dia kata minyak cula buayalah paling mujarab. Apa lagi kalau diambil daripada jenis buaya darat. Tetapi buaya darat ini sukar untuk ditemui, tak macam buaya-buaya biasa. Hanya orang-orang tertentu yang ada kelebihan luar biasa sahaja dapat menjumpainya,” tambah Hasnina lagi.
“Apa bezanya buaya darat dengan buaya biasa?” tanya Jamilkhir.
“Saya tidak tahu. Tapi bomoh jawa itu kata, buaya darat ini kuat dan ganas, punyai daya ransangan dan tenaga yang hebat. Buaya darat juga sangat pandai memikat. Sebab itulah harga minyak cula buaya darat ini sangat mahal. Saya berhabis seribu ringgit lebih untuk beli sebotol,” jelas Hasnina.
Sekarang Jamilkhir tersenyum pula. Hatinya berbisik, dalam cerdik-cerdik perempuan ini pun, ada banyak juga bodohnya.
“Jadi, apa yang membuatkan awak mahu berbalik semula dengan bekas suami awak?” duga Jamilkhir lagi.
“Saya rasa menyesal kerana membuat tindakan melulu dulu. Dia tidak bersalah. Mungkin dia letih dan tertekan sebab terpaksa kerja lebih masa untuk bayar hutang perbelanjaan kawin kami dulu. Bomoh jawa itulah yang salah. Dia bukannya bagi minyak cula buaya darat seperti yang didakwanya,” luah Hasnina dengan kesal.
“Habis tu dia beri awak minyak apa?” soal Jamilkhir. Hai, meleret entah ke mana-mana pula ceritanya, desis hati Jamilkhir.
“Dia beri saya sebotol minyak, minyak bekas goreng ikan masin. Dalam minyak itu ada seketul benda macam daging salai. Saya ingatkan itulah cula buaya darat, rupa-rupanya itu CULA BIAWAK KOMODO. Bedebah sungguh bomoh itu! Huhuhu…” Hasnina tidak dapat menahan emosinya lalu menangis terngongoi-ngongoi.
Jamilkhir menekup mulutnya kuat-kuat. Bimbang pula akan terlepas akan ketawanya. Perasaan pelanggannya ini mesti dihormati, tidak boleh diketawakan. Bimbang nanti dia dituduh pegawai agama yang tidak bertanggungjawab pula. Namun hatinya sedang ketawa besar! Bagaikan mahu pecah sahaja dadanya.
Jamilkhir berpaling ke arah lain untuk meredakan rasa gelihatinya. “Kesian betul. Biawak yang tak bersalah itu pun jadi mangsa tuduhan!” katanya sendirian.
“Apa tuan cakap?” tanya Hasnina keras. Dia terasa dipersenda-sendakan.
“Er… bukan. Maksud saya, bagaimana awak tahu itu cula biawak komodo?” Jamilkhir mengubah hala pertanyaan Hasnina. Cepat-cepat dia mengawal ekspresi mukanya supaya dapat menampilkan wajah simpati.
“Apabila saya tunjukkan botol minyak itu pada adik perempuan saya, dia kata itu bukan cula buaya. Dia bawa botol minyak itu ke makmal di tempat kerjanya dan kaji. Adik saya tu seorang zoolgis di Jabatan Hidupan Liar Negeri,” kata Hasnina.
Jamilkhir hanya mengangguk-angguk.
“Berdasarkan saiz dan tekstur tisu organ tersebut, adik saya kata itu adalah cula biawak komodo. Bila dibuat ujian DNA juga, sahlah keputusannya tetap sama, biawak komodo,” ujar Hasnina lagi.
Jamilkhir terdiam. Dia mencari-cari modal untuk meneruskan perbualan.
“Awak kata tadi bomoh itu orang jawa. Mungkin di tanah Jawa sana mereka memanggil biawak komodo itu sebagai buaya darat, sebab ia besar dan hampir serupa dengan buaya, tetapi tinggal di atas darat. Sekali-sekala adalah ia berenang di dalam air. Itu pun jika ia nak menyeberang alur atau sungai. Mungkin awak sudah salah faham maksud bomoh itu,” Jamilkhir memberikan pandangan. Dia tahu pandangannya itu juga kurang tepat.
“Mungkin juga,” sahut Hasnina lambat-lambat. “Tapi, begitulah ceritanya tuan, saya sangat menyesal sekarang,” keluh Hasnina lagi.
“Peliklah cerita awak ni, tapi menarik sungguh. Inilah kali pertama saya dengar orang pakai minyak cula biawak. Yang pernah saya dengar orang guna cula buaya, cula harimau, cula badak dan cula kuda. Cula tupai pun ada. Awak rupanya lagi canggih, pakai cula biawak,” kata Jamilkhir. Hasnina hanya tunduk mendiamkan diri.
“Sebenarnya memang ada orang arab gunakan biawak untuk berubat tenaga mereka, tapi bukan di Malaysia. Mereka gunakan biawak padang pasir atau dhab nama arabnya. Itu pun saya dapat tahu daripada cerita orang-orang yang datang jumpa saya sahaja. Saya sendiri pun tidak pernah tengok macam mana rupanya biawak padang pasir itu, apa lagi nak mencuba ubatnya,” tambah Jamilkhir lagi
“Pada pandangan saya, saya tidak galakkan pakai minyak cula buaya ni. Walaupun harus dipakai untuk keharmonian rumahtangga, kita harus berhati-hati. Jangan sampai memakannya pula. Kita ada banyak pilihan ubat-ubatan yang di perbuat daripada tumbuhan. Jadi elakkanlah ubat yang dibuat daripada haiwan yang meragukan ini. Sedangkan hukum memakan biawak padang pasir, dhab itu pun ada pertikaian dikalangan para ilmuan islam. Seboleh-bolehnya jauhkanlah,” Jamilkhir menyambung hujahnya.
“Tak payahlah pakai cula-cula buaya ni. Mengarut saja. Saya sudah sepuluh tahun kawin, tak pakai apa-apa cula pun, saya sihat walafiat saja saja,” kata Jamilkhir apabila melihat Hasnina membatu shaja.
Hasnina mengesat air matanya dengan tisu. “Sayalah menjadi sebab kami berpisah. Semuanya silap saya,” keluhnya.
“Yang lepas tu lepaslah. Perkara yang terjadi tidak mungkin boleh diubah lagi. Awak mulakanlah hidup baru,” Jamilkhir memberikan semangat.
“Saya rindukan bekas suami saya. Saya rasa manyesal,” luah Hasnina lagi dengan sepenuh hati.
“Awak rujuklah semula pada suami awak,” kata Jamilkhir.
“Tak boleh. Sebab dia sudah jatuhkan talak tiga,” kata Hasnina. Air matanya kembali berlinangan.
Jamilkhir terperanjat. “MasyaAllah! Sampai tiga sekali jatuh. Sikit punya hal pun cerai talak tiga? Pasal biawak saja!” gerutunya.
“Tuan tolonglah,” Hasnina merayu pula.
“Bagaimana saya nak tolong. Adakah kamu faham akhibat jatuh talak tiga?” soal Jamilkhir dengan tegas.
“Faham, tapi…” kata-kata Hasnina terputus.
“Kalau sudah faham, tak perlulah saya terang panjang-panjang. Jawapan saya mudah saja. Awak tak boleh balik pada bekas suami awak,” potong Jamilkhir dengan segera.
Hasnina tunduk.
“Melainkan awak berkahwin dengan saya dulu,” seloroh Jamilkhir dengan maksud hanya bergurau. Hasnina tersentak. Dia mengangkat muka dengan cahaya dari matanya bersinar-sinar.
“Boleh juga,” sahut Hasnina selamba. Giliran Jamilkhir pula tersentak seluruh tubuh. Pen di tangannya tertonyoh pada gambar kawin Hasnina. Satu bentuk pangkah tercoreng pada muka bekas suami Hasnina.
Mata Jamilkhir bertembung tepat dengan anak mata Hasnina. Kedua-duanya terpaku. Jamilkhir merasa satu getaran di hatinya.
“Betul ni?” duga Jamilkhir. Kini dia tidak merasa pelik lagi, malah takjub pula.
“Betul…” sambut Hasnina dengan senyum simpul yang penuh makna…
Jamilkhir terpegun. Ini bagaikan bulan sudah jatuh ke riba. Siapalah yang waras fikirannya menolak rezeki yang tanpa disangka muncul di dapan mata!
Sesungguhnya dalam diam-diam, sudah lama Jamilkhir jemu dengan keadaan hidupnya yang masih belum mendapat anak. Ditambah lagi dengan Liafara yang sentiasa tidak lekat duduk di rumah. Sekurang-kurangnya Hasnina dapat mengisi di bahagian hidupnya yang masih kurang sempurna itu. Lagipun syariat membenarkan!