Ahad, 18 November 2012

Diserang Lanun 2

Travelog Anak Kapal Dagang

Tanpa membuang masa, aku turun ke atas geladak. Ya, memang benar kapal dinaiki lanun, tatapi lanun sudah tiada lagi di situ.

Lanun datang memecah stor cat. Sebelum itu stor itu penuh diisi dengan cat berjenama International, yang baru sahaja dibeli di singapura 3 hari lepas. Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa tin hardener. Sedih betul Bosun (ketua kru) melihatnya.
 
Pintu stor itu memang di kunci dengan padlock besar. Tetapi lanun itu lebih bijak. Mereka tidak mengusik padlock itu tetapi memotong telinga tempat padlock disangkut dengan pemotong hidraulik. Nampaknya operasi mereka tersusun. Ada pasukan mengangkut cat ke luar dari stor. Ada pasukan menghulurkan tong-tong cat ke bawah dengan tali. Dan ada pasukan yang menyambutnya dari dalam bot.

Bagaimana ia boleh berlaku hingga ke tahap itu? Setelah disiasat kemudiannya, didapati pegawai yang bertugas tertidur di anjung semasa kejadian. Kadet bertugas pula leka main solitare di komputer. Sementara kru yang di tugaskan mengawal entah berada di mana-mana pada masa itu. Jadi lanun menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk berpesta dalam stor cat.

“Akulah orang pertama tengok lanun tu. Mulanya aku sangka kru kapal tengah buat kerja, tapi bila aku teropong, aku nampak lain macam saja. Bukan orang kapal. Ada di antara yang pakai seluar dalam saja punggah tong cat. Aku suruh AB (juragan) pergi tengok. Bila AB jerkah mereka, mereka kejar balik AB dengan parang,” kata kadet bertugas.

“Mana ada sempat pergi station (tempat berkumpul ketika kecemasan). Aku turun geladak saja, kapten ajak serbu mereka beramai-amai. Kami bawa batang besi dan spanar-spanar besar acah mereka. Mereka terjun dan terus larilah. Tapi yang aku paling marahnya, mereka sempat lagi jerit ‘TERIMA KASIH, PAK!’ sebelum bot mereka hilang dalam gelap,” cerita Bosun pula.

Sebenarnya, anak-anak kapal sudah terbiasa dengan latihan kecemasan “Pirate Attack”, yang dilakukan 3 bulan sekali. Mengikut prosedur, sebaik sahaja mendapat tahu ada bot-bot yang dicurigai menghampiri kapal, siren kecemasan akan dibunyikan. Anak-anak kapal akan bergegas ke tempat yang telah ditugaskan sama ada dalam pasukan kawalan di anjung, pasukan serang dan pasukan bantuan di geladak, ataupun pasukan teknikal di bilik enjin.

Semua pasukan akan saling berhubung. Semua ahli pasukan diperiksa kehadirannya. Selepas penerangan diberikan, barulah kapten mengarahkan persediaan kelengkapan dilakukan. Kemudian barulah lanun-lanun itu dapat di serang. Serang dengan apa?

Hanya serang dengan pancutan air dan siren sahaja… itupun tindakan untuk lanun-lanun yang masih di bot mereka. Jika lanun-lanun itu sudah memanjat kapal, prosedur itu tidak relevan lagi.

Lagi pun, dalam situasi serangan lanun yang sebenar, prosedur-prosedur ini sangat memakan masa untuk dilakukan. Kurang praktikal. Untuk menunggu semuanya siap sedia sebelum bertindak, dua tiga stor boleh licin dipunggah lanun. Sebab itulah pada malam kejadian itu, kapten sendiri yang mengepalai serbuan seberapa segera, dengan membawa apa sahaja yang dicapai tangan.

Tiada apa lagi yang dapat dilakukan, selain masing-masing hanya mengeluh hampa. Suspek utama kami adalah dua buah bot yang datang memancing pada petang semalam di haluan kapal. Dalam diam rupa-rupanya mereka datang bukan sekadar memancing, malah meninjau keadaan kapal. Tentu mereka buat perancangan teliti dan datang semula sebelah malamnya untuk merompak.

Rentetan kejadian itu, tiadalah kerja-kerja maintenance mengecat kapal selepas itu. Cat baru akan dibekalkan selepas 3 bulan lagi. Okey, tamatlah kisah itu. Mari aku ceritakan kisah ke dua.

Pelabuhan Chittagong di Bangladesh juga tidak sunyi daripada kes-kes lanun. Di sini, lanun lebih dikenali dengan gelaran ‘Ali Baba’. Aku tidak sempat menyelidik mengapa mereka menamakan sedemikian. Bunyinya semacam tidak jahat pula didengar.

Kebiasaannya bila kapal ditambat di wharf pelabuhan Chittagong, kami dibekalkan pengawal tambahan oleh agen syarikat di sini. Seramai 10 orang rakyat Bangladesh ditugaskan mengawal di atas geladak secara bergilir-gilir. Yang lebih terbebannya adalah kami anak-anak kapal.

Anak-anak kapal pula terpaksa memantau pengawal-pengawal Bangla ini bertugas. Tidak mustahil mereka juga adalah dari kalangan ‘Ali Baba’. Ataupun bertindak sebagai mata-mata peninjau bagi kumpulan lanun di luar sana. Bukankah ini dinamakan mendukung biawak hidup?

Dalam pada itu, ada juga pengawal-pengawal ini datang untuk makan sedap dan tidur enak-enak sahaja di atas kapal, bukanlah mahu berkerja sangat. Maklumlah, mereka ini semuanya orang miskin melarat. Sesekali datang juga rasa kasihan, mereka hanya dibayar lebih kurang SERINGGIT sahaja sehari. Itu pun mereka kata sangat patut!

Suatu malam, kira-kira pukul 10, siren dibunyikan dan amaran kecemasan ‘Pirate Onboard’ kedengaran. Aku bergegas keluar. Aku mengikut sahaja beberapa anak-anak kapal yang lain yang menyerbu ke buritan kapal. Di situ suasana kecoh dengan AB bertugas, Bosun dan pengawal-pengawal Bangla.
 

Rupa-rupanya ada ‘Ali Baba’ yang memanjat belakang kapal. Mereka mahu mencuri mooring lines (tali penambat kapal) yang tidak digunakan. Mereka sempat membuka brek dan gear winches di mana tali itu tersimpan. Tali sebesar lengan itu dihulurkan satu hujungnya kepada bot, dan bot itu akan menariknya dengan senang.


Namun belum pun banyak dapat di tarik, kegiatan mereka disedari pengawal dan anak-anak kapal yang bertugas. Jadi, lanun-lanun itu terpaksa melepaskan hujung tali itu dan segera pergi, bila dibaling dengan pelbagai benda oleh anak-anak kapal.

Bosun yang berasal dari Kedah itu datang kepadaku lalu berkata, “Wan, aku mintak maaf no. Aku dah ambik batang stanchion (turus pagar tangga kapal) yang hang dok buat tu, aku baling kat lanun nun.”

Aku ternganga, tidak tahu nak kata apa.

Waktu itu aku masih lagi kadet pelatih. Aku ditugaskan oleh ketua pegawai membuat beberapa batang turus pagar tangga kapal yang baru, bagi menggantikan turus pagar yang sudah bengkok. Selama dua hari sebelum itu aku bersungguh-sungguh aku memotong besi, meminta kru engineer tolong kimpalkan gegelangnya, kemudian mengecat dengan primer (cat lapisan pertama) sebelum aku tinggalkan di atas geladak untuk catnya mengering.

Sedar-sedar malam itu sekelip mata sahaja hasil usahaku itu dibaling ke laut!