Apakah perkara yang paling gembira buat anak-anak kapal?
A.
Dapat melancong ke Paris
B.
Dapat bemain salji
C.
Belayar melalui pulau-pulau cantik di Koh Samui
D.
Bila gaji masuk
E.
Melawat Nou Camp di Barcelona
Tidak. Semuanya tidak tepat. Perkara yang maha mengembirakan
kami ialah 'sign off', iaitu balik rumah. Kontrak kerja di atas kapal adalah selama empat bulan,
sebelum cuti diberikan dua bulan. Sebelum revision term & condition dahulu,
kontrak perkidmatan lebih panjang iaitu enam bulan dengan cuti diberikan tiga
bulan.
Namun, itu hanyalah ‘on paper’. Realitinya tidak begitu.
Selalunya tempoh perkhidmatan dilajakkan atas sebab-sebab tertentu. Aku pernah
berkhidmat di sebuah kapal terus menerus sehingga sebelas bulan. Ada rakanku
yang berkhidmat sehingga tiga belas bulan, dengan dua kali beraya di atas kapal
yang sama.
Adakah belayar mengikut kapal yang lama-lama itu
menyeronokkan? Jawapan aku ialah; ya, jikalau aku belayar di atas kapal Starcruise
Superstar Leo sambil enak-enak berjemur di atas dek kolam renang, sambil
memerhatikan pemandangan pulau-pulau yang cantik.
Tetapi belayar sebagai operator kapal kargo, kami
dihidangkan dengan pelbagai tekanan. Pengendalian kargo, pelbagai kertas
kerja/log/laporan, cuaca tidak menentu, kerosakan sistem/alatan, latihan-latihan
keselamatan, perubahan perjalanan yang mendadak dan seribu satu macam hal lagi
yang bertalu-talu memberikan kami stress dan fatigue (kepenatan melampau).
Berita balik rumah ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh sesiapa
sahaja. Setiap hari ada sahaja kru-kru kapal yang bertanyakan pada pengawai, “adakah
nama saya sudah naik?” yang memberi maksud – adakah ibu pejabat sudah
menghantar arahan pulang bercuti kepadanya.
Satu lagi ayat pertanyaan yang lazim ditanya ialah, “telex
dah sampai?” yang juga memberikan maksud serupa. Sebelum kewujudan email,
telexlah yang menjadi alat perhubungan kapal dengan ibu pejabat, serta
pihak-pihak lain. Namun walaupun sudah bertahun sistem email diguna pakai, ayat
“telex dah sampai?” masih digunakan. Walhal mesin telex sudah berhabuk, lama
tidak digunakan.
Dan sebaik sahaja arahan balik tiba daripada ibu pejabat,
maka hebohlah satu kapal dengan sorak-sorai gembira oleh mereka yang telah
disenaraikan. Yang tidak terpilih pula hampa, bermuram durjana. Malah ada yang
mendesak kapten agar dirinya dibenarkan pulang juga.
Bagi anak-anak kapal yang dapat pulang, mereka merayakannya
bagaikan sesuatu parti memenangi pilihanraya lagaknya. Sengaja menghebohkan ke
sana dan ke sini.
Seorang kru yang meminati lagu-lagu rock dengan selambanya
menyanyi dengan kuat lagu Kumpulan Amuk; Aku Mahu Pulang ketika orang lain
sedang makan.
“Yeyeaaahhh!!…. Aku mahu pulang!” jeritnya di penghujung lagu.
Lebih melucukan, ada yang pura-pura berlakon sedih sambil
menyanyikan lagu Aisyah – Pulanglah. Dia datang perlahan-lahan lalu duduk di kerusi
sebelah rakannya yang sedang makan. Sambil mengalunkan nada suara yang sayu,
dia membelai-belai rambut dan memicit-micit tengkuk rakannya itu. Terpaksalah rakannya
itu melayannya dengan muka ‘toya’ sahajalah.
Pada sebelah malam, sewaktu orang lain hampir tidur, mereka
berkumpul di lorong depan kabin. Dengan menggunakan gitar dan buntut baldi
sebagai drum, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu Gelang Si Paku Gelang.
Gelang si paku gelang
Gelang si rama rama
Pulang
Gelang si rama rama
Pulang
Marilah pulang
Pulang
Marilah pulang
Marilah pulang
Bersama-sama
Marilah pulang
Bersama-sama
Pulang
Marilah pulang
Marilah pulang
Bersama-sama
Di selang seli pula dengan lagu Syonara.
Sayonara sayonara
Sampai berjumpa pulang
Sayonara sayonara
Sampai berjumpa pulang
Buat apa susah Buat apa susah
Susah itu tak ada gunanya
Sampai berjumpa pulang
Sayonara sayonara
Sampai berjumpa pulang
Buat apa susah Buat apa susah
Susah itu tak ada gunanya
Sengaja mereka berkugiran begitu untuk mengusik rakan-rakan yang belum sampai masa untuk balik. Apabila ada yang ‘sound,’ mereka membalas balik dengan sorakan. Keadaan menjadi gamat apabila ada yang berlawan-lawan ‘sound’.
Namun tidaklah sampai perkara buruk terjadi. Rakan-rakan yang tidak dapat balik pun faham, mereka patut gembira. Biarlah mereka melalak sepuas hati. Buat sementara waktu pendam sajalah perasaan. Tidak lama lagi, akan tibalah giliran sendiri pula!
Pada satu ketika, dua hari sebelum kapal memasuki pelabuhan Bintulu, dapatlah email arahan pulang bercuti untuk aku dan lapan anak kapal yang lain. Maka gegak gempitalah kapal kami kecohkan.
Sebaik kapal ditambat, anak-anak kapal baru yang datang untuk menggantikan kami segera naiklah. Seorang demi seorang melaporkan pada Kapten. Tetapi aku tercari-cari pengganti aku. Tidak ada. Lantas aku mendapatkan Kapten.
Bagaikan gempa bumi berskala ritcher 10 melanda hatiku bila Kapten memaklumkan, aku terpaksa menunda tarikh pulang. Pengganti yang sepatutnya datang mengambil alih tugasku tidak dapat datang. Dia tersangkut pada ‘medical check up’ kerana disahkan mengalami masalah tekanan darah tinggi.
Lalu apa lagi, aku pula menjadi sasaran bahan ketawa! Aduh… dunia yang indah sekelip mata musnah. Lemah longlai tubuh dibuatnya. Maka berangkat pulanglah mereka yang sudah menyerah tugas pada pengganti. Tinggallah aku terkulat-kulat menyambung tugas dalam keadaan rela terpaksa.
Semasa aku sibuk bertugas di atas dek malam itu, masuklah satu SMS yang membakar. Mereka sengaja memaklumkan yang mereka sedang mengadakan makan besar-besaran di sebuah restoran di bandar Bintulu dengan penuh gembira!