Heboh satu
Malaysia ribut Sonamu akan melanda. Lebih-lebih lagi Terengganu dan
negeri-negeri pantai timur semenanjung. Walaupun ribut ini tidaklah sekuat
Katerina atau Sandy, warga-warga pesisir pantai bersiap siaga. Pengalaman
rakyat Sabah menghadapi ribut Greg pada tahun 1996 dahulu jadi pengajaran. Juga
ribut Vamei yang melanda Johor pada 2001 yang meragut 5 nyawa sungguh
mengerikan.
Tidak
mahukah anda bertanya, mengapa ribut-ribut ini ada pelbagai nama? Ada nama
perempuan, nama buah dan juga ada namanya yang entah apa-apa. Sebenarnya nama
ini diberi oleh pentadbir pusat pemerhatian cuaca (meteorologi centre) untuk
memudahkan proses pemantauan, merekod dan laporan. Biasanya nama-nama ini
disusun mengikut turutan abjad ABC ataupun diberikan nombor siri.
Ini adalah
nama-nama ribut di kawasan barat laut Pasifik pada tahun 2012.
- AMBO
- BUTCHOY
- COSME
- DINDO
- ENTENG
- FRANK
- GENER
- HELEN
- IGME
- JULIAN
- KAREN
- LAWIN
- MARCE
- NINA
- OFEL
- PABLO
- QUINTA
- ROLLY
- SIONY
- TONYO
- ULYSSES
- VICKY
- WARREN
- YOYONG
- ZOSIMO
Maklumlah,
dalam setahun berpuluh-puluh kali ribut terjadi. Jika ada orang bertanya, ribut
yang mana menerbangkan bumbung dapur kamu? Bukankah senang jika dijawab, ribut Ambo.
Maka dengan senangnya ia dikenal pasti.
(Pada hal
bumbung rumah dicabut untuk membebaskan jembalang yang merasuk orang. Proses mistik
oleh Tok Dukun ini juga menyebabkan ribut petir berlaku, hahaha… Ini lagi satu
kerja kelakar. Bukankah lebih mudah kalau bawa pesakit itu dirawat di padang
yang sedia ada dengan langit terbuka, daripada susah-susah membuka bumbung
rumah?)
Ehemm!...
Apa itu
ribut? Ribut adalah angin yang bergerak dengan kelajuan melebihi 62 kilometer
sejam. Laju minimum ribut adalah setaraf dengan kelajuan maksimum motosikal
Honda Cup lampu bulat. Bermakna jika motosikal itu ditunggang dengan kelajuan
top speed, kemudian datang pula ribut ini dari depan, nescaya motosikal itu
tidak bergerak walaupun penunggangnya meniarap ala superman, dengan
kepalanya tunduk masuk dalam raga sekalipun!
Mengapa
ribut terjadi?
….kerana
kewujudan kawasan yang mempunyai tekanan atmosphere yang rendah. Maka
udara-udara dari kawasan bertekanan tinggi di sekeliling menyerbu datang ke
kawasan ini. Tak payahlah aku terangkan lebih lanjut, sebab ianya penuh dengan
terma-terma saintifik dan geografi. Nanti ada yang pening kepala lalu tidak
mahu baca terus.
Namanya pun sudah pelbagai.
Typhoon,
hurricane, storm dan cyclone adalah benda yang sama. Dalam bahasa melayunya
ialah taufan, hurikan, ribut dan siklon. Ribut adalah nama general. Untuk
kategori ribut yang dahsyat, ia dipanggil typhoon di Asia, manakala di Amerika
pula ia di sebut hurricane. Cyclone pula digunakan di sekitar Australia dan
Lautan Hindi.
Bagaimana
pula dengan puting beliung (twister)? Puting beliung juga sejenis ribut. Bentuk
ribut ini juga menarik, berpusar bagaikan gerudi gergasi menari-nari yang mahu
menebuk bumi. Ia cukup kuat untuk menyedut manusia ataupun kuda ke angkasa.
Sebelum melihat gambar puting beliung, aku sangkakan bentuknya seperti
parang. Ini kerana bunyi sebutannya seakan-akan gabungan nama senjata;
Parang
puting = parang yang kehilangan hulunya, terpaksa pegang puting besinya jika
mahu guna. Ada juga orang menamakan parang togel.
Beliung =
sejenis kapak yang besar, digunakan untuk menebang balak.
Alih-alih
rupanya macam gerudi pula. Tapi mujur sangkaan aku itu tidaklah jauh tersasar.
Sesetengah gerudi juga digunakan sebagai senjata bukan? Lihatlah filem
Transformer Revenge of The Fallen. Besar sungguh gerudi robot jahat itu!
Eh, ke mana
sudah aku melalut... Baiklah,
kita balik pada kisah ribut tadi.
Filipina dan
Taiwan adalah negara asia yang paling kerap dilanda ribut taufan kerana kedudukannya
yang hampir dengan garisan khatulistiwa dan mengadap lautan Pasifik tanpa
apa-apa lindungan. Setiap tahun pasti beberapa kali kita dapat melihat di
televisyen negara-negara ini mengalami kemusnahan teruk akibat ribut taufan.
Ibaratnya, ribut adalah
kontraktor utama. Hujan, guruh petir, banjir dan tanah runtuh adalah
sub-kontraktornya. Kesemua 'suku-sakatnya' ini adalah berbahaya. Mereka boleh membuatkan manusia mati lemas. Boleh menimbus mati manusia dengan tanah. Juga boleh menambar mati manusia dengan petir. Malah banyak manusia dilesapkan entah ke mana dan dianggap
mati. Yang tinggal pula mati akal melihat rumah dan
ahli keluarga hilang.
Aku sendiri
banyak kali terpaksa berhadapan dengan ribut di laut. Mungkin anda mahu tanya,
kenapa tidak lari? Ehem, mahu lari ke mana? Pusat ribut (storm centre) sahaja sudah seluas 100
batu nautika diameternya. Kawasan yang menerima kesan langsung ribut ini sekitar
lingkungan 500 batu nautika lagi. Mahu atau tidak, redah saja. Elaklah setakat
mana yang termampu.
Ribut dengan
hujan lebat menyukarkan pemanduan kapal. Jarak pengelihatan boleh memendek
hingga beberapa meter sahaja. Paparan pada radar pula dipenuhi dengan imej
titisan hujan. Angin ribut juga menghasilkan bunyi menyeramkam. Bunyi angin
bersiul berterus-terusan bisa meremangkan bulu roma.
Salah satu
pengalaman aku menempuh ribut ialah di perairan selatan Jepun. Malang sedikit,
aku sudah lupa nama ribut itu. Waktu itu kapal dalam perjalanan dari Yeosu,
Korea Selatan ke Chiba, Jepun. Oleh kerana kapal ringan tanpa muatan kargo,
kapal timbul lebih tinggi. Maka bahagian kapal yang terdedah kepada ribut lebih
besar.
Dalam
situasi ini, propeller (kipas kapal) bukan hanya menolak badan kapal, malah
terpaksa melawan asakan angin ribut. Maka enjin kapal menerima beban berganda.
Oleh kerana kapal yang aku naiki itu sudah tua, kemampuannya juga amat terhad. Jadi
untuk mengelakkan kerosakan enjin, kelajuan terpaksa diturunkan ke tahap
minimum.
Asalnya
kapal ini direka untuk belayar di sungai dan pesisir pantai sahaja. Enjin yang
dipasang hanyalah sepadan dengan pelayaran dekat-dekat. Namun disebabkan
tekanan komersial, syarikat mengarahkan kapal ini berlayar jauh melalui lautan
luas. Perbandingan mudahnya, motosikal Honda Cup C70 dikerah membawa sekarung
beras 50kg dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru. Memang akan sampai, tetapi
pemandunya boleh jadi gila!
Selepas 24
jam merempuh ribut, kedudukan kapal diperiksa. Didapati kapal berada 16 batu di
belakang kedudukan semalam!
Bermakna, sehari
semalam kipas berpusing bukannya untuk menggerakkan kapal maju, tetapi untuk
menahan tolakan ribut. Itupun masih tidak termampu, hinggakan angin ribut yang
menang. Kapal berjaya ditolaknya 16 batu ke belakang!
Bagaimanapun,
kapten memutuskan untuk membuat laporan harian dengan dengan mengatakan kedudukan
kapal 24 batu di hadapan, iaitu kapal berkelajuan 1 knot sahaja.
Aku hanya menjawab, "yes, sir!"
Daripada
mendapat lebih kecederaan emosi bila dibackfired, lebih baik mengelat sedikit.
Kecederaan emosi akhibat menghadapi
ribut ini pun sudah tidak tertanggung!
Tiba di
Chiba, kami melepaskan penat dan pening dengan membaham sushi sepuas hati…