Orang lain biasanya menceritakan keseronokan melancong di
tempat-tempat terkenal dan menarik. Semestinya Taj Mahal, Effiel Tower, Statue
Of Liberty, Great Wall dan Opera House memberikan pengalaman menakjubkan pada
para pelawatnya. Taiplah di Google, pasti ada beribu-ribu kisah seumpamanya di
blog, facebook dan sebagainya.
Tidak apalah. Walaupun aku juga ada pengalaman sebegitu,
tapi aku malas nak ceritakan. Sekurang-kurangnya pada post kali ini. Sebabnya?
Lebih kurang sama sajalah cerita aku dengan mereka, cuma waktu dan orangnya
sahaja yang berbeza.
Aku mahu ceritakan pula tempat yang sangat jarang orang
kisahkan. Sekurang-kurangnya cerita aku ini berbeza daripada mereka. Tempat ini
tidaklah mendatangkan keseronokan, tetapi menarik sekali…
Chittagong.
Sebuah bandar pelabuhan di muara sungai Chittagong,
Bangladesh. Padat penduduknya. Tentunya kita di Malaysia ini sangat familiar
dengan orang-orang Bangla dan sifat-sifat mereka. Samalah keadaan mereka di
sana.
Pertama kali tiba, sewaktu kapal hendak alongside (tambat ke
pelantar), ramai sekali orang-orang selain pekerja pelabuhan menunggu di atas
pelantar. Makcik-makcik tua, perempuan-perempuan muda yang mendukung anak kecil
serta kanak-kanak manunggu seperti mengharapkan sesuatu.
Apabila kami memandang mereka, segera mereka menadah tangan
tinggi-tinggi. Tahulah kami bahawa mereka itu adalah peminta sedekah. Agen
syarikat kami di situ awal-awal lagi berpesan supaya yangan melayan mereka,
apalagi membenarkan mereka naik ke atas kapal.
Pada aku yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini,
pastinya datang rasa simpati. Manakan tidak, mereka kelihatan begitu tidak
terurus dengan pakaian lusuh dan kotor. Kebanyakan mereka berkaki ayam.
Anak-anak kecil pula bertelanjang bulat. Sudahlah begitu, dibiarkan bayi itu merangkak
di atas pelantar yang kotor dengan minyak hitam dan sisa kargo.
Aku lantas masuk ke galley dan mengambil beberapa kotak
biskut Danone dan Anlene Low Fat, yang sudah lama terperuk dalam kabinet. Anak-anak kapal
sudah tidak minat lagi hendak memakannya. Aku buka kotak-kotak biskut dan campakkan paket-paket plastik kecilnya ke atas pelantar. Bagaikan ayam ditabur
beras mereka menyerbu dan berebut mengutipnya.
Aku kira, setiap seorang akan dapat lebih dari satu peket. Namun nampaknya mereka tidak berpuas hati dan meminta lagi. Aku menggeleng. Sudahnya, mereka menjerit-jerit memarahi aku!
Aku tinggalkan mereka dan menyambung tugas aku..
Untuk menyalurkan kargo munyak sawit dari kapal ke tangki
darat, flexi hose (tiub penyambung) perlu gunakan untuk menyambung pili di
kapal dengan pili di pelantar. Flexi hose yang berdiameter enam inci dan
sepanjang 20 kaki sangat berat. Di pelabuhan lain, kren dan troli digunakan
untuk membawa flexi hose ini ke pelantar. Di sini, empat orang lelaki memikulnya
dari pelantar sebelah sejauh hampir setengah kilometer. Kuat sungguh mereka!
Di pelabuhan lain, pekerja-pekerjanya memakai
coverall, helmet, sarung tangan tebal dan safety boot. Di sini mereka hanya
memakai baju tradisi mereka dan kain pelekat separas lutut. Risau juga aku
kalau-kalau sedang mereka tunduk-tunduk mengerah tenaga mengetatkan nut, datang
pula angin mengerbangkan kain pelekat itu!
Seorang anak kapal asyik pula bersembang dengan seorang
gadis di pelantar. Walaupun kedua-duanya menggunakan bahasa inggeris yang lintang-pukang,
mereka nampaknya sangat gembira. Gadis muda itu datang bertongkat kerana
sebelah kakinya kudung. Walaupun rakanku itu ada menceritakan, tetapi aku sudah
lupa apa sebabnya kaki gadis hilang separuh.
Petang itu aku turun jalan-jalan ke pekan Chittagong. Kami
berempat menaiki teksi beroda tiga. Jalannya sesak bukan main. Kenderaan
berasak-asak dari segenap arah dan tidak tentu hala. Aku tidak tahu sama ada di
sini tiada sistem aliran trafik, ataupun memang itu budaya di sini. Pemandu
teksi ini pula kelihatan mahir dengan situasi ini. beberapa kali dia membuat
pusingan U lipat (patah balik dengan handle teksi dipusing rapat).
Aku melihat sebuah lori dengan muatan pisang yang diisi
lebih tinggi daripada aras kepala lori. Seorang lelaki dengan selambanya
berbaring di atas pisang-pisang itu!
Dengan pertolongan seorang penunjuk arah, kami merayau-rayau di pekan koboi itu berlenggang sahaja. Tiada apa yang menarik untuk dibeli.
Seorang lelaki menyapa kami dalam bahasa melayu dan membawa kami ke kedai barangan kulitnya. Walaupun kami tidak membeli, kami sempat bersembang dengannya. Menurutnya, dia pernah beberapa tahun kerja di Malaysia sebagai buruh binaan KLCC. Ya, dia sangat bangga kerana telah membina bangunan tertinggi di dunia!
Tiba masa untuk mencari tempat makan kami menaiki sebuah
beca. Kami berlima termasuk penunjuk arah naik sebuah beca! Maka, anda
bayangkanlah sendiri bagaimana pengayuh beca itu mengerahkan tenaga untuk
menggerakkan becanya. Bergegar-gegar beca bila dia menghenyak-henyakkan pedal
beca dengan menggunakan berat badannya. Walaupun kami rasa kasihan, penunjuk
arah kami beberapa kali mengatakan “nevermind!”.
Pagi esoknya, sewaktu aku mahu memulakan tugas, aku terlihat
banyak objek panjang-panjang berbungkus
kain bergelimpangan di atas tebing sungai. Aku bertanya kepada pekerja
tempatan, apakah itu. Rupa-rupanya itulah orang-orang homeless sedang tidur.
Mereka bergelandangan di mana sahaja.
Selepas sebahagian kargo disalurkan ke darat, kapal jadi
ringan dan timbul lebih tinggi dari permukaan air. Semasa pemeriksaan rutin
dijalankan, anak kapal yang bertugas mendapati beberapa ketul zink anod (bahan
yang melindungi badan kapal daripada berkarat) hilang. Zink anod yang sebesar
bongkah bata yang dilekatkan di ekor kapal telah dicabut pencuri.
Ada jurutera mendakwa petang semalam, dia mendengar bunyi
ketukan dari ruang enjin. Selepas memeriksanya, dia tidak menemui sesiapa pun
yang sedang bekerja. Namun bila dia naik ke buritan kapal, dia nampak seorang
bangla sedang berenang ke tebing. Dia tidak terfikir pula bahawa itulah
pencurinya!
Minyak sawit sangat berharga di Bangladesh. Selesai operasi
menyalurkan minyak ke darat, flexi hose dibuka semula. Aku terkedu melihat
mereka mengelap sisa-sisa minyak yang tumpah di atas pelantar dengan span, kemudian
diperah ke dalam baldi. Kemudian, span tadi di cucuk pula pada hujung ranting
kayu panjang untuk dihulurkan ke dalam salur fexi hose bagi mengutip sisa-sisa
minyak di dalamnya. Aku bertanya pada mereka, untuk dibuat apa dengan sisa
minyak kotor itu? Untuk dijual, jawab mereka. Jawapan yang meruntun hati.
Eh, panjang sudah aku menaip. Maaf, tulisan ini pasti banyak
typing error kerana aku belum mengeditnya. Mahu berhenti dululah. Ini pun hanya
apa yang aku teringat sekarang. Nanti aku akan tokok-tambah tulisan ini
bila-bila aku teringat semula apa-apa lagi kenangan aku di Chittagong.
Aku pun tidak terlarat mahu cerita detail semua perkara! Oh…