Ahad, 18 November 2012

Diserang Lanun 2

Travelog Anak Kapal Dagang

Tanpa membuang masa, aku turun ke atas geladak. Ya, memang benar kapal dinaiki lanun, tatapi lanun sudah tiada lagi di situ.

Lanun datang memecah stor cat. Sebelum itu stor itu penuh diisi dengan cat berjenama International, yang baru sahaja dibeli di singapura 3 hari lepas. Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa tin hardener. Sedih betul Bosun (ketua kru) melihatnya.
 
Pintu stor itu memang di kunci dengan padlock besar. Tetapi lanun itu lebih bijak. Mereka tidak mengusik padlock itu tetapi memotong telinga tempat padlock disangkut dengan pemotong hidraulik. Nampaknya operasi mereka tersusun. Ada pasukan mengangkut cat ke luar dari stor. Ada pasukan menghulurkan tong-tong cat ke bawah dengan tali. Dan ada pasukan yang menyambutnya dari dalam bot.

Bagaimana ia boleh berlaku hingga ke tahap itu? Setelah disiasat kemudiannya, didapati pegawai yang bertugas tertidur di anjung semasa kejadian. Kadet bertugas pula leka main solitare di komputer. Sementara kru yang di tugaskan mengawal entah berada di mana-mana pada masa itu. Jadi lanun menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk berpesta dalam stor cat.

“Akulah orang pertama tengok lanun tu. Mulanya aku sangka kru kapal tengah buat kerja, tapi bila aku teropong, aku nampak lain macam saja. Bukan orang kapal. Ada di antara yang pakai seluar dalam saja punggah tong cat. Aku suruh AB (juragan) pergi tengok. Bila AB jerkah mereka, mereka kejar balik AB dengan parang,” kata kadet bertugas.

“Mana ada sempat pergi station (tempat berkumpul ketika kecemasan). Aku turun geladak saja, kapten ajak serbu mereka beramai-amai. Kami bawa batang besi dan spanar-spanar besar acah mereka. Mereka terjun dan terus larilah. Tapi yang aku paling marahnya, mereka sempat lagi jerit ‘TERIMA KASIH, PAK!’ sebelum bot mereka hilang dalam gelap,” cerita Bosun pula.

Sebenarnya, anak-anak kapal sudah terbiasa dengan latihan kecemasan “Pirate Attack”, yang dilakukan 3 bulan sekali. Mengikut prosedur, sebaik sahaja mendapat tahu ada bot-bot yang dicurigai menghampiri kapal, siren kecemasan akan dibunyikan. Anak-anak kapal akan bergegas ke tempat yang telah ditugaskan sama ada dalam pasukan kawalan di anjung, pasukan serang dan pasukan bantuan di geladak, ataupun pasukan teknikal di bilik enjin.

Semua pasukan akan saling berhubung. Semua ahli pasukan diperiksa kehadirannya. Selepas penerangan diberikan, barulah kapten mengarahkan persediaan kelengkapan dilakukan. Kemudian barulah lanun-lanun itu dapat di serang. Serang dengan apa?

Hanya serang dengan pancutan air dan siren sahaja… itupun tindakan untuk lanun-lanun yang masih di bot mereka. Jika lanun-lanun itu sudah memanjat kapal, prosedur itu tidak relevan lagi.

Lagi pun, dalam situasi serangan lanun yang sebenar, prosedur-prosedur ini sangat memakan masa untuk dilakukan. Kurang praktikal. Untuk menunggu semuanya siap sedia sebelum bertindak, dua tiga stor boleh licin dipunggah lanun. Sebab itulah pada malam kejadian itu, kapten sendiri yang mengepalai serbuan seberapa segera, dengan membawa apa sahaja yang dicapai tangan.

Tiada apa lagi yang dapat dilakukan, selain masing-masing hanya mengeluh hampa. Suspek utama kami adalah dua buah bot yang datang memancing pada petang semalam di haluan kapal. Dalam diam rupa-rupanya mereka datang bukan sekadar memancing, malah meninjau keadaan kapal. Tentu mereka buat perancangan teliti dan datang semula sebelah malamnya untuk merompak.

Rentetan kejadian itu, tiadalah kerja-kerja maintenance mengecat kapal selepas itu. Cat baru akan dibekalkan selepas 3 bulan lagi. Okey, tamatlah kisah itu. Mari aku ceritakan kisah ke dua.

Pelabuhan Chittagong di Bangladesh juga tidak sunyi daripada kes-kes lanun. Di sini, lanun lebih dikenali dengan gelaran ‘Ali Baba’. Aku tidak sempat menyelidik mengapa mereka menamakan sedemikian. Bunyinya semacam tidak jahat pula didengar.

Kebiasaannya bila kapal ditambat di wharf pelabuhan Chittagong, kami dibekalkan pengawal tambahan oleh agen syarikat di sini. Seramai 10 orang rakyat Bangladesh ditugaskan mengawal di atas geladak secara bergilir-gilir. Yang lebih terbebannya adalah kami anak-anak kapal.

Anak-anak kapal pula terpaksa memantau pengawal-pengawal Bangla ini bertugas. Tidak mustahil mereka juga adalah dari kalangan ‘Ali Baba’. Ataupun bertindak sebagai mata-mata peninjau bagi kumpulan lanun di luar sana. Bukankah ini dinamakan mendukung biawak hidup?

Dalam pada itu, ada juga pengawal-pengawal ini datang untuk makan sedap dan tidur enak-enak sahaja di atas kapal, bukanlah mahu berkerja sangat. Maklumlah, mereka ini semuanya orang miskin melarat. Sesekali datang juga rasa kasihan, mereka hanya dibayar lebih kurang SERINGGIT sahaja sehari. Itu pun mereka kata sangat patut!

Suatu malam, kira-kira pukul 10, siren dibunyikan dan amaran kecemasan ‘Pirate Onboard’ kedengaran. Aku bergegas keluar. Aku mengikut sahaja beberapa anak-anak kapal yang lain yang menyerbu ke buritan kapal. Di situ suasana kecoh dengan AB bertugas, Bosun dan pengawal-pengawal Bangla.
 

Rupa-rupanya ada ‘Ali Baba’ yang memanjat belakang kapal. Mereka mahu mencuri mooring lines (tali penambat kapal) yang tidak digunakan. Mereka sempat membuka brek dan gear winches di mana tali itu tersimpan. Tali sebesar lengan itu dihulurkan satu hujungnya kepada bot, dan bot itu akan menariknya dengan senang.


Namun belum pun banyak dapat di tarik, kegiatan mereka disedari pengawal dan anak-anak kapal yang bertugas. Jadi, lanun-lanun itu terpaksa melepaskan hujung tali itu dan segera pergi, bila dibaling dengan pelbagai benda oleh anak-anak kapal.

Bosun yang berasal dari Kedah itu datang kepadaku lalu berkata, “Wan, aku mintak maaf no. Aku dah ambik batang stanchion (turus pagar tangga kapal) yang hang dok buat tu, aku baling kat lanun nun.”

Aku ternganga, tidak tahu nak kata apa.

Waktu itu aku masih lagi kadet pelatih. Aku ditugaskan oleh ketua pegawai membuat beberapa batang turus pagar tangga kapal yang baru, bagi menggantikan turus pagar yang sudah bengkok. Selama dua hari sebelum itu aku bersungguh-sungguh aku memotong besi, meminta kru engineer tolong kimpalkan gegelangnya, kemudian mengecat dengan primer (cat lapisan pertama) sebelum aku tinggalkan di atas geladak untuk catnya mengering.

Sedar-sedar malam itu sekelip mata sahaja hasil usahaku itu dibaling ke laut!

Diserang Lanun

Travelog Anak Kapal Dagang

Sebut saja lanun, apa yang terlintas di fikiran kebanyakan kita?

Orang bermuka bengis dengan sebelah mata ditutup dengan sekeping benda hitam. Ada parut besar berjahit di pipi dan kening. Ada gigi emas dan banyak gigi lain yang rongak. Sebelah tangan kudung, diganti dengan cangkuk besi tajam berkilat. Naik kapal layar kayu besar yang usang, tapi ada meriam. Ada terkibar bendera gambar tengkorak bersama dua batang tulang bersilang.

Sebetulnya adakah lanun yang ada sekarang seperti ini?

Tidak. Itu hanya lanun dalam filem-filem epik seperti Pirates Of Carribean. Sengaja mereka reka lanun-lanun berkostum begitu supaya mudah penonton mengenalinya. Tapi barangkali ada yang akan berkata, lanun sebegitu wujud di era Christopher Columbus dulu. Boleh jadi.. Mungkin juga Laksamana Cheng Ho pernah terserempak dengan lanun seperti ini sebelum sampai ke Melaka. Mungkin saja, aku tidak tahu.

Baiklah. Jika benar susur-galur asalnya suku-sakat lanun sebegitu, maka profesion ini mengalami evolusi yang hebat, seiring dengan kemajuan dunia. Di zaman millenium ini, mereka tampil serupa sahaja seperti pelaut lain. Cuma mungkin mereka ini lebih cekap dan mahir, kerana sebilangan daripada mereka adalah pesara tentera laut, bekas komando ataupun kumpulan militan-militan pengganas di negara bergolak.

Masih segar dalam ingatan dua buah kapal tangki milik Malaysia ditawan lanun Somalia di Teluk Aden tidak berapa lama dulu. Aku tiada di situ semasa peristiwa itu berlaku. Tetapi aku pernah berkhidmat di atas salah sebuah kapal tersebut beberapa tahun sebelum kejadian.

Kisahnya memang menarik dan dramatik, seperti yang diceritakan oleh seorang rakan baik yang turut menjadi tawanan. Namun begitu, aku tidak mahu menulisnya kerana cerita aku nanti bukan ‘first hand’ lagi. Aku lebih suka bercerita apa yang aku alami sendiri.

Sebelum itu, mari aku terangkan serba sedikit jenis-jenis lanun dulu.

i- Sea Robberies; Lanun jenis ini mencuri senyap-senyap. Target mereka adalah pada alatan-alatan, bekalan makanan di atas kapal dan juga barang-barang dalam kontena. Mereka boleh jadi terdiri daripada pekerja-perkerja di pelabuhan dan penduduk-penduduk di sekitarnya.

ii- Hijacking; Lanun jenis ini agresif dan ganas. Mereka datang dengan senjata api, tanpa berselindung. Target mereka ialah, wang tunai, barang-barang berharga milik anak-anak kapal, kargo berharga seperti minyak diesel dan minyak kapal terbang, ataupun kapal itu sendiri dirampas untuk dijual.

iii- Ransom; Lanun jenis ini paling bahaya. Mereka menawan anak-anak kapal sebagai tebusan dan menuntut duit berjuta-juta daripada syarikat pemilik kapal itu.

Aku hanya berpengalaman berhadapan dengan menghadapi lanun jenis sea robberies saja.

Satu hari kapal kami berlabuh sauh di perairan Belawan, Sumatera. Daerah Belawan ini didiami majoritinya suku kaum Batak, yang mahir dengan laut. Mereka terkenal dengan kegiatan perlanunan di samping membuat pekerjaan nelayan turun temurun.

Kapal menunggu kira-kira 3 batu dari darat kerana giliran untuk masuk ke pelabuhan dijangka dua hari lagi. Banyak sekali bot-bot nelayan di sekeliling kapal sedang menjalankan aktiviti menagkap ikan. Ada juga bot yang datang merapati kapal.
Kami perlu sentiasa mengawasi mereka. Dibimbangi mereka memanjat kapal. Jadi sebelum mereka berbuat begitu, kami beri amaran pada mereka dengan membunyikan hon agar mereka pergi ke jarak yang lebih selamat. Namun ada juga bot yang tidak mengendahkannya.

Lewat petang itu ada dua buah bot menghampiri kapal. Mereka berhenti menangkap ikan di sekitar haluan. Permintaan kami supaya pergi jauh sedikit tidak mereka hiraukan. Jadi, anak-anak kapal yang bertugas terpaksa berkawal dan melakukan ‘round check’ lebih kerap di haluan. Lubang rantai sauh dipastikan tertutup kemas agar tiada yang menyusup naik melaluinya.

Ramai juga orang yang berada di atas setiap bot. Mereka menangkap ikan dengan menggunakan kail jenis perambut. Sambil menghenjut-henjut tali perambut, mereka bersembang riang sambil melihat kapal kami. Mungkin mereka rasa kagum.

Ralit kami melihatnya. Sekali mereka tarik, tiga empat ekor ikan bergantung pada mata perambut. Banyak sekali hasil tangkapan yang mereka perolehi. Merjelang senja, kedua-dua bot itu menhidupkan enjin lalu pergi. Selepas itu kami menjalankan tugas seperti biasa.

Aku bertugas dari pukul 4 hingga pukul 8 pagi, dan juga dari pukul 4 petang hingga pukul 8 malam. Selepas solat isyak dan menonton berita di siaran SCTV, aku masuk tidur awal supaya aku dapat bangun sebelum pukul 4 pagi esoknya.

Namun aku tersedar kira-kira pukul dua pagi kerana siren amaran dibunyikan. Diikuti dengan pengumuman, “Pirate onboard! Pirate onboard! Pirate Onboard” melalui ‘public addressor’. 

Agak lama aku menunggu pengumuman lanjutan, iaitu ke mana harus anak-anak kapal berkumpul. Tiada pula kedengaran arahan itu diberi.

Aku pun naik ke anjung untuk melihat apa yang terjadi. Aku dapati pegawai dan kadet yang bertugas pucat dan kelam kabut. Tiada pula kelihatan kapten di situ yang sepatutnya mengepalai ‘control party’ dan memeberi arahan kepada ‘attack party’ dan ‘support party’ dari anjung.

“Di mana lanun?” aku bertanya.

Kadet bertugas hanya menunjuk ke haluan. Kelihatan anak-anak kapal di atas geladak, dalam keadaan huru-hara.

Bersambung…

Khamis, 8 November 2012

Menyendeng, Menjungkit dan Menjunam.

Travelog Anak Kapal Dagang

Pernah melihat Arwah Micheal Jackson mempersembahkan lagunya, Smooth Criminal?
Jika ya, pasti semua bersetuju bahawa dalam banyak-banyak aksi tarian unik dan lincahnya itu, bahagian yang paling menarik ialah aksi mencondongkan badan 45˚.
Tidak semua orang dapat mencondongkan badan sejauh itu tanpa jatuh. Usahkan 45˚, condongkan badan 10˚ pun senang-senang sahaja boleh jatuh. Ini kerana kedudukan pusat gravity badan tidak lagi berada di titik keseimbangan.

Percayakah jika aku katakan semua anak-anak kapal dapat lakukan aksi condongkan badan ini? Malah lebih hebat lagi.

Micheal Jackson dan penari-penarinya menggunakan kasut khas, di mana tapaknya mempunyai lubang yang dapat dicangkukkan pada kepala paku. Paku besar yang telah dipaku pada lantai pentas ini bertindak menyokong berat badan mereka semasa mereka melakukan aksi ini.

Bagaimanapun anak-anak kapal tidak memerlukan kasut khas. Mereka dapat melakukannya dengan memakai kasut biasa atau selipar jepun. Malah jika berkaki ayam pun tiada masalah.

Micheal Jackson dan gengnya hanya melakukan sekali sahaja,iaitu hanya condong ke depan. 
Tetapi anak-anak kapal dapat melakukan berkali-kali, berturut-turut tanpa henti. Bukan hanya condong ke depan, tetapi juga ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Hebat bukan?

Jadi, apakah rahsia anak-anak kapal dapat menari condong-condong sehebat itu?
Tiada rahsia. Cuma dengan bantuan kapal sahaja. Kapal yang bergoyang tanpa henti siang dan malam memberi kami peluang membuat aksi condong seperti Micheal Jackson sepuas hati.

Kapal bergoyang ke kiri, kami condongkan badan ke kanan. Kapal bergoyang ke kanan, kami condongkan badan ke kiri. Jika kapal tersengguk-sengguk, kami turut terhangguk-hangguk.

Yang paling teruk, semasa solat pun kami terpaksa membuat aksi condongkan badan berkali-kali, walaupun solat dibuat seringkas mungkin. Sewaktu duduk tasyahud pun boleh terseret ke sana ke mari lagi. Bayangkan jika semasa duduk di antara dua sujud, diseret pula hingga kepala-kepala lutut rapat ke dinding. Bagaimana mahu turun sujud semula? Tekap dahi ke dinding sahajalah, jawabnya.

Itulah penangan ‘rolling’ dan ‘pitching’ kapal, yang aku masih tercari-cari apa maksud yang paling tepat dalam bahasa melayu. Yang paling hampir, tapi tidak cukup tepat ialah; bergoyang. Juga dapat dikatakan menyendeng.

Rolling bermaksud kapal bergoyang ke kiri dan ke kanan. Pitching pula bermaksud bahagian hadapan dan belakang kapal menjungkit dan menjunam bersilih ganti.
Jika kapal rolling lembut yang kurang daripada 15˚ condongnya, kami  terasa asyik. Boleh layan dengan gerakan lemah gemalai. Tidur pula terasa bagaikan dalam buaian. Cuma tiada lagu mendodoi saja.

Jika mahu bermain jongkang-jongket dengan rakan pun boleh. Seorang duduk di hujung anjung kanan, dan seorang lagi duduklah di hujung anjung kiri. Kemudian masing-masing tumpukan pandangan pada garisan horizon di belakang rakan yang bertentangan dengannya. Fuh.. memang realistik. Tidak perlu melonjakkan kaki untuk berjongket!

Jika kapal rolling dengan keras walaupun hanya 5˚, ia cukup mengganggu jiwa dan raga. Lebih besar sudut rolling, lebih seksa hidup anak-anak kapal. Dan ianya semakin teruk jika pitching bergabung sekali dengan rolling. Inilah masanya sendi tengkuk, pinggang dan lutut mendapat sengal.

Lebih azab jika mahu tidur. Banyak bantal diperlukan untuk menyendal badan. Kaki pula terpaksa dikangkang semasa tidur. Namun itu tidak sepenuhnya menahan badan daripada bergolek. Akhibatnya, leherlah bahagian yang mengalami sengal paling teruk kerana terpulas ke kiri dan ke kanan tanpa henti.

Apa jua benda di atas kapal terpaksa diikat ataupun disimpan dalam laci atau ruang kabinet yang kuat. Ini untuk mengelakkan ia bertaburan dan bergolek ke sana dan ke mari. Kerusi yang tidak ditambat akan terpelanting dan menghentam apa sahaja yang berada di sekitarnya.

Pernah tong sisa makanan yang terlepas ikatan talinya melantun dari dinding ke dinding dalam pantry. Dan hasilnya lantai pantri menjadi seperti kandang itik. Jijik.

Aku mengalami kejadian rolling paling teruk di laut North Sea (terletak di utara England dan barat daya Sweden). Waktu itu kapal menjalani kerja-kerja mencuci tangki selepas memunggahkan keluar kargo minyak sawit di pelabuhan Rotterdam.

Dua minggu diperlukan untuk mencuci kesemua 34 biji tangki. Dan dua minggu jugalah kapal jalan berpusing-pusing di tempat yang sama yang berkebetulan pula menempuh ribut force 9 (skala Beaufort untuk kelajuan angin ribut 45 knot)

Alat yang ada untuk mengukur rolling ini (clinometer) hanya sehingga 45˚ sahaja. Tetapi semasa itu, jarum clinometer kadang-kadang jauh melangkaui melangkaui angka itu.

Pernah satu malam sewaktu tidur-tidur ayam, badanku tercampak dari atas katil ke lantai, kemudian melantun di dinding, terhempas ke lantai lagi dan tercampak ke atas katil semula. Apabila sekali lagi jatuh ke lantai, aku sempat berpaut di birai katil. Aku hanya mampu mengaduh kesakitan. Pinggang, bahu dan kepala sakitnya bagaikan dihempuk dan dihenyak oleh gangster mengamuk.

Catering Officer meluru naik ke ruang memandu lalu marah-marah pada pegawai yang bertugas. Dia menunjukkan lututnya yang berdarah.

“Aku hampir masuk tv, tahu tak?” katanya.

“Masuk tv untuk rancangan apa? Masak-masak?” tanya pegawai.

“Banyaklah kau punya rancangan tv. Aku tersembam, kau tahu? Kepala aku hampir-hampir menyondol tv. Kalau aku tak sempat elak tadi, kepala aku sudah berada dalam tv, faham?”
Pegawai itu terdiam. Tidak tahu hendak dijawab apa.

Eh, sudah panjang aku menaip, tapi baru sedikit kisah kapal rolling aku ceritakan. Cukuplah dulu, ya. Aku sambung lain kali pula.

Selasa, 6 November 2012

Died And Buried Also Here..

Travelog Anak Kapal Dagang

Hantu.
Satu benda yang dipercayai menakutkan. Tetapi ianya satu perkara yang amat seronok pula diceritakan. Percayalah, cerita hantu sangat cepat disebar luas, secepat gossip rumahtangga artis yang terpisah rumah daripada tangganya. Sama ada tangga dicuri oleh rumah lain, ataupun tangga itu sengaja diruntuhkan untuk digantikan dengan eskalator yang lebih moden dan cantik! (kiasan saja ya..)

Eh, mari berbalik pada cerita hantu. Aku percaya, ramai orang sudah bertemu hantu.

Cubalah tanya orang-orang di sekeliling kita, “pernahkah kau lihat hantu?”.

Pasti jawapannya, ya. Dan laju sahaja dia akan menceritakan pengalamannya begitu dan begini, bersekali dengan mimik takut-takut dan aksi lari-lari.

Soal betul atau tidak cerita dakwaannya itu, perkara ke dua. Tidak menjadi hal. Yang penting, para pendengar mahu tahu, sengeri mana hantu itu dapat buat. Dan apakah sebabnya dia jadi hantu.

Ada yang mati dibunuh, keluar merayau-rayau semula mencari orang yang membunuhnya. Ada yang sudah mati kemalangan, kembali merempit semula di jalan raya mencabar mat-mat rempit yang masih hidup. Ada pula yang mati kena santau, gemar masuk ke dalam mimpi penyantaunya, hingga membuatkan penyantaunya kencing terkejut dalam tidur. Dan sebangainya lagilah.

Mahu dengar cerita-cerita hantu di kapal pula?

Boleh, tapi dalam banyak-banyak cerita dalam koleksi, satu dua sahajalah yang muat diceritakan di sini.

Kononnya beberapa steaward (pembantu dapur & housekeeping) mengalami rasa seram melampau apabila masuk ke dalam coldroom (tempat simpanan daging, ayam, ikan dan barang basah yang lain). Bulu romanya berdiri tegak. Tengkuknya seram-seram sejuk, tambahan lagi ruang coldroom memang sejuk, bawah 10 darjah celsius.
Puncanya?

Di rak besi bersama-sama ikan dan ayam itulah dahulunya diletakkan mayat seorang anak kapal yang meninggal. Arwah mengalami kemalangan sewaktu bekerja, sewaktu kapal berada di tengah-tengah laut. Dia terpaksa diletakkan di coldroom untuk mengelakkan mayatnya membusuk. Ini kerana kapal hanya akan mencecah ke darat hampir seminggu lagi lamanya.
Selagi tiada paramedik yang bertauliah mengesahkan dia sudah mati, sesiapa pun atas di atas kapal tidak boleh menyatakan demikian, walaupun si empunya diri itu sudah seminggu keras dalam coldroom.

Tiada pula diceritakan apakah mereka menyimpan mayat itu bersama-sama barang makan basah dalam coldroom. Jika ini berlaku, bagaimanalah keadaan steaward yang setiap hari masuk coldroom untuk mengambil ikan, udang dan sebagainya…

Yang aku tahu, steaward-steward lain selepas kejadian itu mendakwa sentiasa diintai arwah dari sebalik rak-rak dalam coldroom.

Itu cerita orang. Mana cerita aku sendiri?

Hmm… mari aku ceritakan.

Pada tahun 2001, sewaktu aku ditugaskan di sebuah kapal bulk carrier (barang pukal), aku ditempatkan di sebuah kabin bersama seorang rakan. Kami bertugas diwaktu yang berlainan, jadi masa aku turun bertugas, dia akan naik rehat, dan begitulah sebaliknya. Rakanku ini memang nakal sedikit. Kegemarannya ialah mengusik orang.

Satu petang, aku tidur seperti biasa untuk mengecas tenaga sebelum turun bertugas semula pada pukul 4 petang nanti. Sewaktu sedang enak-enak lena itu, tiba-tiba aku terjaga bila mendengar suara ketawa. Semakin lama semakin hampir padaku. Ini tidak lain lagi, pasti kerja nakal teman sebilikku. Mahu saja aku menjerkah marah, tapi berat pula mulut nak dibuka.

Tirai katil dibahagian kepala diselak. Terpancul satu muka. Walaupun di siang hari, ruang kabin ini kelam samar-samar kerana tingkap ditutup langsir gelap. Jadi aku tidak nampak jelas, siapa yang mengusik. Dalam keadaam mamai aku cuba mengangkat tangan untuk menumbuk muka itu, tetapi pantas pula muka itu hilang di sebalik tirai. Namun dia terus ketawa.

Tirai di hujung kaki pula diselak dan muka tadi menjenguk ke dalam. Dia terus ketawa galak membuatkan aku meradang. sebaik sahaja aku mengangkat kaki untuk menerajangnya, dia terus tarik kepala keluar dari tirai. Suara ketawa pun semakin sayup dan hilang akhirnya. Aku sambung tidur kembali.

Aku meluahkan rasa geramku pada petang itu kepada teman sebilik, kerana mengganggu tidurku. Tetapi dia terpinga-pinga dan menafikan sekerasnya dia berbuat begitu. Dia menuduhku penakut dan hanya bermimpi. Tapi waktu kejadian adalah di siang hari. Aku tidak berasa takut sedikit pun pada masa kejadian itu. Lagi pun aku tidak terfikir benda yang bukan-bukan, kecuali anak-anak kapal mengusik saja. Dan aku sangat yakin, aku tidak bermimpi.

Bila aku ingati kembali, wajah yang muncul itu berkulit kasar dan tiada rambut. Jauh sekali daripada rupa teman sebilikku ini. Lagi pun tune suara ketawanya sangat berbeza daripada ketawa temanku ini. Dan tiada pula anak-anak kapal yang lain memiliki ciri yang serupa dengan wajah yang muncul itu. Apa bendakah itu?

Aku tak tahu sampai sekarang... Jom, aku mahu bercerita kisah ke dua pula.

Sewaktu aku mula-mula menjalani latihan praktikal sebaik pada tahun kedua belajar dulu, aku di hantar ke sebuah kapal tangki kimia. Kapal ini berusia hampir 20 tahun. Keadaannya memang teruk. Jika tidak keterlaluan, boleh dikatakan ianya seketul ‘besi buruk besar’ yang terapung di atas air.

Memang parah kerja atas kapal ini. Turun bergelumang dengan kerja, naik pada petangnya nampak dua biji mata saja. Teruk… tapi akan aku ceritakan pasal kerja itu di masa yang lain nanti.

Dek kerana buruknya alat di kapal ini, valve (pili) untuk paip balas (air laut) tangki paling depan terpaksa di buka dan tutup secara betul-betul ‘manual’. Ini kerana sistem kawalan dari ‘control room’ sudah dipotong kerana kebocoran minyak hidrauliknya.

Maka untuk membuka atau menutup valve ini, pipe wrence (perengkoh paip) terpaksa digunakan. Valve ini terletak di bilik pam depan. Dari atas geladak, perlu turun ke bawah setinggi bangunan 5 tingkat untuk sampai ke bilik kecil itu di dasar kapal.

Satu waktu di tengah malam, ketika operasi mengisi kargo rancak berjalan, ketua pegawai mahu mengepam keluar air laut daripada tangki balas itu bagi mengimbangi kestabilan kapal. Jadi akulah yang disuruhnya pergi membuka valve paip balas itu.

Setelah diterangkan kedudukan valve tersebut, aku pun pergilah seorang diri dengan berani yang dibuat-buat. Perumpamaannya samalah seperti turun 5 tingkat di bawah basement bangunan seorang diri pada waktu malam. Tak banyak pun, sedikit mesti ada rasa takut.

Aku mula terbayang hantu-hantu yang ada di kapal itu sebagaimana yang diceritakan oleh anak-anak kapal yang lain. Mudah sungguh aku mendapat visual rupa hantu-hantu tersebut, walaupun sebenarnya tiada. Ada hantu kapten kapal, ada juga hantu anak kapal yang memegang tukul. Entah hantu manalah yang bakal aku temui nanti.

Bilik pam itu berbau tengik dengan bilges (sisa kotoran cecair), dengan batang-batang paip yang berserabut dengan alat-alat pelbagai bentuk. Aku turun ke bawah platfom besi, lalu merangkak dicelah-celah alat-alat besi yang entah apa namanya itu mencari valve yang dimaksudkan. Habis badanku dilumur dengan kotoran bilges. Batang shaf pili itu hanya cukup-cukup sahaja dicapai dengan tangan.

Selesai sahaja membuka valve balas, aku segera naik ke atas platfom besi. Dalam samar-samar itu tiba-tiba aku tersuluh sesuatu di dinding. Ianya dua baris ayat tulisan tangan menggunakan marker pen. Baris pertama ayat itu berbunyi;

PUMPMAN MAIZAM WAS HERE ON 11.08.1998

(Maksudnya; Tukang Pam Maizam berada di sini pada 11.08.1998)

Baris kedua pula berbeza bentuk tulisannya, berkemungkinan ditulis oleh orang yang berlainan kemudiannya. Ayat itu berbunyi;

DIED AND BURIED ALSO HERE

(Maksudnya; Mati dan ditanam juga di sini)

Berderau darahku. Seram sejuk serta-merta sehingga nafas aku hampir semput!

Tanpa membuang masa, aku berlari memanjat tangga naik ke atas geladak.

Aku tahu tiada hantu di situ. Tetapi hatiku menyumpah-nyumpah pada orang yang gatal tangan menulis ayat itu di situ. Menyeramkan sungguh!

Sebaik tiba di atas geladak, aku mendapati badanku amat kotor dan busuk. Hisss….. Hantunya tiada, tetapi aku pula yang menyerupai hantu akibat terpalit dengan kotoran bilges.