Pernah melihat Arwah Micheal Jackson mempersembahkan lagunya, Smooth Criminal?
Jika ya, pasti semua bersetuju bahawa dalam banyak-banyak
aksi tarian unik dan lincahnya itu, bahagian yang paling menarik ialah aksi
mencondongkan badan 45˚.
Tidak semua orang dapat mencondongkan badan sejauh itu tanpa
jatuh. Usahkan 45˚, condongkan badan 10˚ pun senang-senang sahaja
boleh jatuh. Ini kerana kedudukan pusat gravity badan tidak lagi berada di
titik keseimbangan.
Percayakah jika aku katakan semua anak-anak kapal dapat
lakukan aksi condongkan badan ini? Malah lebih hebat lagi.
Micheal Jackson dan penari-penarinya menggunakan kasut khas,
di mana tapaknya mempunyai lubang yang dapat dicangkukkan pada kepala paku.
Paku besar yang telah dipaku pada lantai pentas ini bertindak menyokong berat
badan mereka semasa mereka melakukan aksi ini.
Bagaimanapun anak-anak kapal tidak memerlukan kasut khas.
Mereka dapat melakukannya dengan memakai kasut biasa atau selipar jepun. Malah
jika berkaki ayam pun tiada masalah.
Micheal Jackson dan gengnya hanya melakukan sekali sahaja,iaitu hanya condong ke depan.
Tetapi anak-anak kapal dapat melakukan
berkali-kali, berturut-turut tanpa henti. Bukan hanya condong ke depan, tetapi
juga ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Hebat bukan?
Jadi, apakah rahsia anak-anak kapal dapat menari
condong-condong sehebat itu?
Tiada rahsia. Cuma dengan bantuan kapal sahaja. Kapal yang
bergoyang tanpa henti siang dan malam memberi kami peluang membuat aksi condong
seperti Micheal Jackson sepuas hati.
Kapal bergoyang ke kiri, kami condongkan
badan ke kanan. Kapal bergoyang ke kanan, kami condongkan badan ke kiri. Jika
kapal tersengguk-sengguk, kami turut terhangguk-hangguk.
Yang paling teruk, semasa solat pun kami terpaksa membuat
aksi condongkan badan berkali-kali, walaupun solat dibuat seringkas mungkin.
Sewaktu duduk tasyahud pun boleh terseret ke sana ke mari lagi. Bayangkan jika
semasa duduk di antara dua sujud, diseret pula hingga kepala-kepala lutut rapat
ke dinding. Bagaimana mahu turun sujud semula? Tekap dahi ke dinding sahajalah, jawabnya.
Itulah penangan ‘rolling’ dan ‘pitching’ kapal, yang aku
masih tercari-cari apa maksud yang paling tepat dalam bahasa melayu. Yang
paling hampir, tapi tidak cukup tepat ialah; bergoyang. Juga dapat dikatakan menyendeng.
Rolling bermaksud kapal bergoyang ke kiri dan ke kanan.
Pitching pula bermaksud bahagian hadapan dan belakang kapal menjungkit dan
menjunam bersilih ganti.
Jika kapal rolling lembut yang kurang daripada 15˚
condongnya, kami terasa asyik. Boleh
layan dengan gerakan lemah gemalai. Tidur pula terasa bagaikan dalam buaian. Cuma
tiada lagu mendodoi saja.
Jika mahu bermain jongkang-jongket dengan rakan pun boleh.
Seorang duduk di hujung anjung kanan, dan seorang lagi duduklah di hujung
anjung kiri. Kemudian masing-masing tumpukan pandangan pada garisan horizon di
belakang rakan yang bertentangan dengannya. Fuh.. memang realistik. Tidak perlu
melonjakkan kaki untuk berjongket!
Jika kapal rolling dengan keras walaupun hanya 5˚,
ia cukup mengganggu jiwa dan raga. Lebih besar sudut rolling, lebih seksa hidup
anak-anak kapal. Dan ianya semakin teruk jika pitching bergabung sekali dengan
rolling. Inilah masanya sendi tengkuk, pinggang dan lutut mendapat sengal.
Lebih azab jika mahu tidur. Banyak bantal diperlukan untuk
menyendal badan. Kaki pula terpaksa dikangkang semasa tidur. Namun itu tidak
sepenuhnya menahan badan daripada bergolek. Akhibatnya, leherlah bahagian yang
mengalami sengal paling teruk kerana terpulas ke kiri dan ke kanan tanpa henti.
Apa jua benda di atas kapal terpaksa diikat ataupun disimpan
dalam laci atau ruang kabinet yang kuat. Ini untuk mengelakkan ia bertaburan
dan bergolek ke sana dan ke mari. Kerusi yang tidak ditambat akan terpelanting
dan menghentam apa sahaja yang berada di sekitarnya.
Pernah tong sisa makanan yang terlepas ikatan talinya melantun
dari dinding ke dinding dalam pantry. Dan hasilnya lantai pantri menjadi
seperti kandang itik. Jijik.
Aku mengalami kejadian rolling paling teruk di laut North
Sea (terletak di utara England dan barat daya Sweden). Waktu itu kapal
menjalani kerja-kerja mencuci tangki selepas memunggahkan keluar kargo minyak
sawit di pelabuhan Rotterdam.
Dua minggu diperlukan untuk mencuci kesemua 34 biji tangki.
Dan dua minggu jugalah kapal jalan berpusing-pusing di tempat yang sama yang
berkebetulan pula menempuh ribut force 9 (skala Beaufort untuk kelajuan angin ribut 45 knot)
Alat yang ada untuk mengukur rolling ini (clinometer) hanya
sehingga 45˚
sahaja. Tetapi semasa itu, jarum clinometer kadang-kadang jauh melangkaui
melangkaui angka itu.
Pernah satu malam sewaktu tidur-tidur ayam, badanku
tercampak dari atas katil ke lantai, kemudian melantun di dinding, terhempas ke
lantai lagi dan tercampak ke atas katil semula. Apabila sekali lagi jatuh ke
lantai, aku sempat berpaut di birai katil. Aku hanya mampu mengaduh kesakitan.
Pinggang, bahu dan kepala sakitnya bagaikan dihempuk dan dihenyak oleh gangster mengamuk.
Catering Officer meluru naik ke ruang memandu lalu marah-marah
pada pegawai yang bertugas. Dia menunjukkan lututnya yang berdarah.
“Aku hampir masuk tv, tahu tak?” katanya.
“Masuk tv untuk rancangan apa? Masak-masak?” tanya pegawai.
“Banyaklah kau punya rancangan tv. Aku tersembam, kau tahu? Kepala
aku hampir-hampir menyondol tv. Kalau aku tak sempat elak tadi, kepala aku
sudah berada dalam tv, faham?”
Pegawai itu terdiam. Tidak tahu hendak dijawab apa.
Eh, sudah panjang aku menaip, tapi baru sedikit kisah kapal
rolling aku ceritakan. Cukuplah dulu, ya. Aku sambung lain kali pula.