Selasa, 6 November 2012

Died And Buried Also Here..

Travelog Anak Kapal Dagang

Hantu.
Satu benda yang dipercayai menakutkan. Tetapi ianya satu perkara yang amat seronok pula diceritakan. Percayalah, cerita hantu sangat cepat disebar luas, secepat gossip rumahtangga artis yang terpisah rumah daripada tangganya. Sama ada tangga dicuri oleh rumah lain, ataupun tangga itu sengaja diruntuhkan untuk digantikan dengan eskalator yang lebih moden dan cantik! (kiasan saja ya..)

Eh, mari berbalik pada cerita hantu. Aku percaya, ramai orang sudah bertemu hantu.

Cubalah tanya orang-orang di sekeliling kita, “pernahkah kau lihat hantu?”.

Pasti jawapannya, ya. Dan laju sahaja dia akan menceritakan pengalamannya begitu dan begini, bersekali dengan mimik takut-takut dan aksi lari-lari.

Soal betul atau tidak cerita dakwaannya itu, perkara ke dua. Tidak menjadi hal. Yang penting, para pendengar mahu tahu, sengeri mana hantu itu dapat buat. Dan apakah sebabnya dia jadi hantu.

Ada yang mati dibunuh, keluar merayau-rayau semula mencari orang yang membunuhnya. Ada yang sudah mati kemalangan, kembali merempit semula di jalan raya mencabar mat-mat rempit yang masih hidup. Ada pula yang mati kena santau, gemar masuk ke dalam mimpi penyantaunya, hingga membuatkan penyantaunya kencing terkejut dalam tidur. Dan sebangainya lagilah.

Mahu dengar cerita-cerita hantu di kapal pula?

Boleh, tapi dalam banyak-banyak cerita dalam koleksi, satu dua sahajalah yang muat diceritakan di sini.

Kononnya beberapa steaward (pembantu dapur & housekeeping) mengalami rasa seram melampau apabila masuk ke dalam coldroom (tempat simpanan daging, ayam, ikan dan barang basah yang lain). Bulu romanya berdiri tegak. Tengkuknya seram-seram sejuk, tambahan lagi ruang coldroom memang sejuk, bawah 10 darjah celsius.
Puncanya?

Di rak besi bersama-sama ikan dan ayam itulah dahulunya diletakkan mayat seorang anak kapal yang meninggal. Arwah mengalami kemalangan sewaktu bekerja, sewaktu kapal berada di tengah-tengah laut. Dia terpaksa diletakkan di coldroom untuk mengelakkan mayatnya membusuk. Ini kerana kapal hanya akan mencecah ke darat hampir seminggu lagi lamanya.
Selagi tiada paramedik yang bertauliah mengesahkan dia sudah mati, sesiapa pun atas di atas kapal tidak boleh menyatakan demikian, walaupun si empunya diri itu sudah seminggu keras dalam coldroom.

Tiada pula diceritakan apakah mereka menyimpan mayat itu bersama-sama barang makan basah dalam coldroom. Jika ini berlaku, bagaimanalah keadaan steaward yang setiap hari masuk coldroom untuk mengambil ikan, udang dan sebagainya…

Yang aku tahu, steaward-steward lain selepas kejadian itu mendakwa sentiasa diintai arwah dari sebalik rak-rak dalam coldroom.

Itu cerita orang. Mana cerita aku sendiri?

Hmm… mari aku ceritakan.

Pada tahun 2001, sewaktu aku ditugaskan di sebuah kapal bulk carrier (barang pukal), aku ditempatkan di sebuah kabin bersama seorang rakan. Kami bertugas diwaktu yang berlainan, jadi masa aku turun bertugas, dia akan naik rehat, dan begitulah sebaliknya. Rakanku ini memang nakal sedikit. Kegemarannya ialah mengusik orang.

Satu petang, aku tidur seperti biasa untuk mengecas tenaga sebelum turun bertugas semula pada pukul 4 petang nanti. Sewaktu sedang enak-enak lena itu, tiba-tiba aku terjaga bila mendengar suara ketawa. Semakin lama semakin hampir padaku. Ini tidak lain lagi, pasti kerja nakal teman sebilikku. Mahu saja aku menjerkah marah, tapi berat pula mulut nak dibuka.

Tirai katil dibahagian kepala diselak. Terpancul satu muka. Walaupun di siang hari, ruang kabin ini kelam samar-samar kerana tingkap ditutup langsir gelap. Jadi aku tidak nampak jelas, siapa yang mengusik. Dalam keadaam mamai aku cuba mengangkat tangan untuk menumbuk muka itu, tetapi pantas pula muka itu hilang di sebalik tirai. Namun dia terus ketawa.

Tirai di hujung kaki pula diselak dan muka tadi menjenguk ke dalam. Dia terus ketawa galak membuatkan aku meradang. sebaik sahaja aku mengangkat kaki untuk menerajangnya, dia terus tarik kepala keluar dari tirai. Suara ketawa pun semakin sayup dan hilang akhirnya. Aku sambung tidur kembali.

Aku meluahkan rasa geramku pada petang itu kepada teman sebilik, kerana mengganggu tidurku. Tetapi dia terpinga-pinga dan menafikan sekerasnya dia berbuat begitu. Dia menuduhku penakut dan hanya bermimpi. Tapi waktu kejadian adalah di siang hari. Aku tidak berasa takut sedikit pun pada masa kejadian itu. Lagi pun aku tidak terfikir benda yang bukan-bukan, kecuali anak-anak kapal mengusik saja. Dan aku sangat yakin, aku tidak bermimpi.

Bila aku ingati kembali, wajah yang muncul itu berkulit kasar dan tiada rambut. Jauh sekali daripada rupa teman sebilikku ini. Lagi pun tune suara ketawanya sangat berbeza daripada ketawa temanku ini. Dan tiada pula anak-anak kapal yang lain memiliki ciri yang serupa dengan wajah yang muncul itu. Apa bendakah itu?

Aku tak tahu sampai sekarang... Jom, aku mahu bercerita kisah ke dua pula.

Sewaktu aku mula-mula menjalani latihan praktikal sebaik pada tahun kedua belajar dulu, aku di hantar ke sebuah kapal tangki kimia. Kapal ini berusia hampir 20 tahun. Keadaannya memang teruk. Jika tidak keterlaluan, boleh dikatakan ianya seketul ‘besi buruk besar’ yang terapung di atas air.

Memang parah kerja atas kapal ini. Turun bergelumang dengan kerja, naik pada petangnya nampak dua biji mata saja. Teruk… tapi akan aku ceritakan pasal kerja itu di masa yang lain nanti.

Dek kerana buruknya alat di kapal ini, valve (pili) untuk paip balas (air laut) tangki paling depan terpaksa di buka dan tutup secara betul-betul ‘manual’. Ini kerana sistem kawalan dari ‘control room’ sudah dipotong kerana kebocoran minyak hidrauliknya.

Maka untuk membuka atau menutup valve ini, pipe wrence (perengkoh paip) terpaksa digunakan. Valve ini terletak di bilik pam depan. Dari atas geladak, perlu turun ke bawah setinggi bangunan 5 tingkat untuk sampai ke bilik kecil itu di dasar kapal.

Satu waktu di tengah malam, ketika operasi mengisi kargo rancak berjalan, ketua pegawai mahu mengepam keluar air laut daripada tangki balas itu bagi mengimbangi kestabilan kapal. Jadi akulah yang disuruhnya pergi membuka valve paip balas itu.

Setelah diterangkan kedudukan valve tersebut, aku pun pergilah seorang diri dengan berani yang dibuat-buat. Perumpamaannya samalah seperti turun 5 tingkat di bawah basement bangunan seorang diri pada waktu malam. Tak banyak pun, sedikit mesti ada rasa takut.

Aku mula terbayang hantu-hantu yang ada di kapal itu sebagaimana yang diceritakan oleh anak-anak kapal yang lain. Mudah sungguh aku mendapat visual rupa hantu-hantu tersebut, walaupun sebenarnya tiada. Ada hantu kapten kapal, ada juga hantu anak kapal yang memegang tukul. Entah hantu manalah yang bakal aku temui nanti.

Bilik pam itu berbau tengik dengan bilges (sisa kotoran cecair), dengan batang-batang paip yang berserabut dengan alat-alat pelbagai bentuk. Aku turun ke bawah platfom besi, lalu merangkak dicelah-celah alat-alat besi yang entah apa namanya itu mencari valve yang dimaksudkan. Habis badanku dilumur dengan kotoran bilges. Batang shaf pili itu hanya cukup-cukup sahaja dicapai dengan tangan.

Selesai sahaja membuka valve balas, aku segera naik ke atas platfom besi. Dalam samar-samar itu tiba-tiba aku tersuluh sesuatu di dinding. Ianya dua baris ayat tulisan tangan menggunakan marker pen. Baris pertama ayat itu berbunyi;

PUMPMAN MAIZAM WAS HERE ON 11.08.1998

(Maksudnya; Tukang Pam Maizam berada di sini pada 11.08.1998)

Baris kedua pula berbeza bentuk tulisannya, berkemungkinan ditulis oleh orang yang berlainan kemudiannya. Ayat itu berbunyi;

DIED AND BURIED ALSO HERE

(Maksudnya; Mati dan ditanam juga di sini)

Berderau darahku. Seram sejuk serta-merta sehingga nafas aku hampir semput!

Tanpa membuang masa, aku berlari memanjat tangga naik ke atas geladak.

Aku tahu tiada hantu di situ. Tetapi hatiku menyumpah-nyumpah pada orang yang gatal tangan menulis ayat itu di situ. Menyeramkan sungguh!

Sebaik tiba di atas geladak, aku mendapati badanku amat kotor dan busuk. Hisss….. Hantunya tiada, tetapi aku pula yang menyerupai hantu akibat terpalit dengan kotoran bilges.