Khamis, 5 Julai 2012

Ahmad Alkebab - Bab 15


Bab 15

Sediakawal gelak mengekek-ngekek sambil menunggang seekor burung unta mengelilingi ladang. Seronok sungguh dia duduk terlambung-lambung di atas belakang burung unta itu. Kepalanya juga turun naik seperti gerakan kepala burung unta mengikut rentak larian.
“Sediakawal!” kedengaran satu suara memanggil.
“Sediakawal!” laung suara itu lagi. Sediakawal berpaling. Kelihatan tuan punya ladang burung unta bersama dengan penghulu datang ke ladang. Sediakawal segera membuat ‘corner’ baring burung untanya lalu mengemudinya ke arah mereka.
“Assalamualaikum!” teriak Umar Muhalim, tuan empunya ladang burung unta.
“Waalaikumussalam, waalaikumussalam,” jawab Sediakawal sambil melompat turun dari belakang burung unta.
“Ya Umar Muhalim sama  penghulu, apa hajat datang kemari?” tanya Sediakawal hairan.
“Ya Sediakawal, kami datang untuk melihat-lihat burung-burung unta di ladang,” jawab Umar Muhalim.
“Sekarang burung unta sudah tinggal sedikitlah, ya Umar. Enta jua seekor demi seekor, seekor demi seekor. Lama-lama nanti habislah burung unta. Apa lagi ana mahu jaga?” soal Sediakawal.
“Apa mahu buat, Sediakawal. Pelanggan ana mahukan bekalan burung unta setiap hari. Mereka sediakan daging burung unta untuk dijual di pasar,” jelas Umar Muhalim.
“Jangan khuatir Sediakawal. Enta tetap akan ada burung unta untuk dijaga,” kata penghulu pula.
“Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” Sediakawal mengucap syukur.
“Ana dengar enta sudah berkahwin, betulkah Sediakawal?” tanya Umar Muhalim.
“Betullah ana sudah kawin ya Umar. Ana kawin sama Mergasturalah. Sungguh cantiklah,” kata Sediakawal dengan gembira.
“Alhamdulillah, syukur,” kata Umar Muhalim.
“Sediakawal sudah kawin, jadi Umar kena naikkan gaji Sediakawallah,” saran penghulu.
“Sudah tentulah penghulu. Sekarang ana naikkan gaji Sediakawal kepada enam ratus ringgit sebulan,” kata Umar Muhalim. “Nah, ambil gaji enta bulan ini,” tambahnya lagi.
“MasyaAllah, banyak baguslah, ana dapat banyak untunglah. Syukran, syukran ya Umar. Arigatokozaimas,” kata Sediakawal sambil memeluk Umar Mualim.
“Baiklah Sediakawal. Kami mahu pulang dulu kerana ada urusan lain. Enta jaga burung-burung unta ini baik-baik ya,” pesar Umar Muhalim.
            “Itu sudah tentu penghulu. Ana jaga ini burung-burung unta sama seperti ana jaga adik-adik ana sendiri,” kata Sediakawal.
            Penghulu dan Umar Muhalim pun melangkah pulang.

“Mergastura! Mergastura!” panggil Sediakawal sambil meluru ke dalam rumah.
“Mana Mergastura? Mana Mergastura?” Sediakawal mencari-cari isterinya.
“Umi, mana Mergastura? Dia sembunyikah?” tanya Sediakawal.
Baiduri muncul dari ruang dapur.
“Eh, bukankah Mergastura ada di depan tu dekat lombong. Kamu tak nampakkah?” tanya Baiduri.
“Oh, itu Mergasturakah? Ana ingat orang lainlah. Ana ada bawa pulang satu baranglah umi. Ana mahu kasi sama Mergasturalah,”
“Mergastura! Mergastura!” teriak Sediakawal sambil berlari keluar rumah pula.
“Alamak! Apalah enta bikin dalam lombong? Ini ada hadiahlah untuk enta,” Sediakawal berkata sendirian. Dia mendapatkan isterinya itu dengan segera.
“Mergastura, apalah enta bikin ini sama ini jala?” tanya Sediakawal.
“Ana tangkap ikanlah. Daripada tengok saja ikan berenang-renang dalam lombong ini, lebih baik kita tangkap seekor dua. Bolehlah juga dibuat lauk,” jelas Mergastura.
“Ikan apa yang enta mahu tangkap?” tanya Sediakawal.
“Kita boleh tangkap ikan haruan, keli, selat, puyu dan macam-macam lagi. Kalau dapat lebih, bolehlah kita jual juga. Dapatlah juga kita tambah pendapatan,” kata Mergastura.
“MasyaAllah, enta banyak pandailah Mergastura. Enta banyak pandailah,” puji Sediakawal.
“Mergastura, umi ada cakap dulu ana punya bapak suka makan itu budu. Ana pun suka makan budulah. Enta boleh tangkap itu berudukah? Nanti itu berudu kita buat budulah,” cadang Sediakawal.
“Heh, merepek saja. Budu itu dibuat daripada ikan bilis, bukannya daripada berudu. Berudu itu anak katak. Mana orang islam boleh makan katak?” kata Mergastura.
“Ooo… itu macamkah? Jadi enta tangkaplah itu ikan bilis,” pinta Sediakawal lagi.
“Ikan bilis tidak ada di dalam lombong ini. Ikan bilis hidup dalam lautan,” Mergastura memperbetulkan tanggapan Sediakawal.
“Oh, ikan bilis hidup di lautankah? Ana baru tahulah Mergastura,” keluh Sediakawal.
“Betul tu, ikan bilis ialah jenis ikan air masin. Di lombong ini hanya ikan-ikan air tawar yang hidup,” jelas Mergastura lagi.
“Tapi tak apalah Mergastura, ini ana ada bawa hadiah untuk enta,” kata Sediakawal lalu mengeluarkan sesuatu dari dalam poket bajunya.
“Ini hadiah banyak cantik punya. Banyak mahallah,” kata Sediakawal sambil menyerahkan satu kotak kecil kepada Mergastura. Mergastura mengambilnya lalu membuka kotak itu.
“Eh, rantai,” kata Mergastura terpegun. Bukan kerana dia tidak biasa dengan barang kemas sebegitu, tetapi setahunya, ia adalah di luar kemampuan Sediakawal untuk membelikan kepadanya.
“Ya, rantai. Enta pakailah, mesti cantik,” kata Sediakawal.
“Eh, pendeknya rantai ini. Ada subang lagi. Ana rasa ini rantai hidung. Bukan rantai leher,” kata Mergastura sambil membelek-belek rantai itu.
“Rantai hidung? Macam mana hidung mahu pakai ini rantai?” tanya Sediakawal.
“Hujung rantai yang ada subang ini cucuk pada hidung. Hujung yang satu lagi ini sangkut pada rambut macam ini,” kata Mergastura sambil menunjukkannya.
“Mana ada orang pakai rantai di hidung? Ana tak pernah tengoklah,” kata Sediakawal.
“Memang enta tak pernah tengok. Rantai hidung ini perempuan india saja yang pakai sewaktu mereka nak bersanding,” terang Mergastura.
“Oh, itu macamkah? Enta tidak mahu pakaikah?” tanya Sediakawal lagi.
“Tidak tergamak ana nak memakai rantai hidung ini. Nanti apa pula orang kampung kata,” kata Mergastura sambil tergelak kecil.
“Ana sudah silaplah, ya Mergastura. Ana mahu beli pada enta rantai leher supaya leher enta jadi cantik. Tapi sekarang ana sudah beli rantai hidunglah. Tauke emas itu sudah tipu sama analah,” keluh Sediakawal hampa. Dia berasa sangat kesal.
“Tak apalah Sediakawal. Kita simpan sajalah rantai hidung emas ini. Nanti nilai emas makin hari makin naik. Bila harga sudah tinggi, kita juallah. Lepas itu kita dapat untung,” kata Mergastura.
“MasyaAllah, macam itukah? Enta sungguh bijaklah Mergastura. Ana sukalah. Ana sukalah,” kata Sedialkawal yang kembali gembira.

Di sebatang lorong di sebuah kawasan yang menempatkan beberapa buah kilang keadaan sunyi sepi. Kilang-kilang di sini hanya beroperasi pada siang hari. Selapas jam enam petang, keadaan di sini lengang. Tempat ini akan hidup semula menjelang matahari terbit pada hari seterusnya. Sementara waktu malam, tempat ini hanya didatangi oleh anjing-anjing liar yang berkeliaran mencari makan sahaja..
Sebuah lori kren seberat sepuluh tan berhenti betul-betul di tepi sebuah pondok kecil di tepi jalan. Pondok batu yang terletak berhampiran dengan pintu pagar kilang roti itu menempatkan sebuah mesin ATM Mambank. Kebanyakan pekerja kilang di kawasan ini menggunakan mesin ATM ini untuk mengeluarkan duit gaji masing-masing. Walaupun terdapat pondok pengawal berhampiran dengan pintu masuk kilang roti itu, tiada pengawal yang kelihatan berkawal di sekitar tempat itu.
Waktu itu jam di papan dashboard lori itu menunjukkan pukul tiga pagi. Dua lelaki bertopeng turun dari lori. Mereka mengambil seutas rantai besi yang besar daripada kotak peralatan di bawah badan lori. Dengan berhati-hati mereka melilitnya pada pondok mesin ATM itu. Kemudian kedua-dua hujung rantai besi itu disangkutkan pada cangkuk penunda di belakang lori. Sebaik selesai, salah seorang daripada lelaki bertopeng itu menaiki semula lori.
            Lori pun digerakkan kehadapan. Pondok mesin ATM itu terpungkas apabila ditarik oleh rantai besi. Bunyi berdentum memecah kesunyian malam. Percikan api memancar pada kabel-kabel elektrik yang terputus. Siren keselamatan pun berbunyi.
Dengan segera, seorang lagi lelaki bertopeng mengikat mesin ATM itu dengan kabel kren pada lori. Tanpa membuang masa, mesin ATM itu terus diangkat ke atas lori. Dan selepas itu lori kren itu terus berdesup pergi meninggalkan tempat itu.
Beberapa minit kemudian barulah seorang pengawal keselamatan tiba sambil terpisat-pisat menenyeh matanya yang mengantuk. Dia memandang-mandang keliling dalam keadaan separuh sedar itu. Tiada apa yang aneh didapatinya. Beberapa ketika kemudian, dia kembali ke pondok untuk menyambung tidurnya semula.