15. Sampel Eksperimen Makhluk Asing
Daerah Marang baru sahaja ditinggalkan oleh Jamilkhir.
Kini dia memasuki Daerah Hulu Terengganu dengan memandu kereta Proton
Perdananya. Pemanduannya kini hanya sekitar kelajuan enam puluh kilometer sejam
sahaja. Ini kerana dia terpaksa mengekori kenderaan berat lain di hadapan.
Jalan empat lorong sudah bertukar kepada dua lorong. Tiada peluang baginya
untuk memotong kerana lorong sebelah kanan pun sama juga keadaan sesaknya.
Tiba di persimpangan di pekan Ajil, dia masuk ke simpang
kiri, iaitu jalan ke arah Dungun dan Kuantan. Jalan ini mempunyai banyak
selekoh dan melalui tanah beralun. Jadi, Jamilkhir tidak dapat juga memecut
dengan lebih laju. Dia terus memandu sehingga ke Kampung Bukit Diman di mana
terdapat satu simpang tiga di situ. Jamilkhir membelokkan keretanya ke kanan.
Sekarang dia boleh menambah sedikit kelajuan keretanya
walaupun jalan sempit, tetapi kenderaan sangat kurang melaluinya. Selepas
melewati kawasan tanah pertanian, Jamilkhir melalui Kampung Macang, Kua,
Pengkalan Ajal, Matang dan Bukit Mengawan. Tiba di simpang Kampung Menerong,
Jamilkhir membelok ke kanan mengikut papan tanda yang menunjukkan itulah jalan
menuju ke Kampung Betong yang sejauh lima kilometer, di mana satu kelompok
masyarakat orang asli di tempatkan.
Selepas melewati Sekolah Rendah Menerong, kereta Jamilkhir
memasuki ladang kelapa sawit. Jalannya bengkang-bengkok yang tajam dengan mendaki
dan menuruni bukit yang curam. Kesukaran ini ditambah lagi dengan ketiadaan
papan tanda jalan penunjuk arah. Banyak simpang yang Jamilkhir temui. Dia
terpaksa meneka sahaja lorong mana yang harus dilaluinya kerana tiada sesiapa
pun yang dijumpainya untuk bertanya.
Jamilkhir tidak menyedari yang dia telah memasuki lorong
yang salah. Lorong yang dilaluinya kini menghala ke arah hutan belantara.
Keadaan jalan ini amat teruk dengan banyak bahagian jalan yang pecah membentuk
lopak-lopak air dan lubang-lubang dalam. Mungkin jalan ini digunakan oleh
jentera berat dan lori-lori pengangkut kayu balak sahaja.
Jamilkhir hilang pedoman. Dia bertawakal sahaja dan
berdoa agar cepat-cepat tiba di Kampung Betong memandangkan senja sudah
menjelang tiba. Tiada lagi pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan jalan
yang dilaluinya kini. Semuanya sudah bertukar menjadi pokok-pokok kayu besar
hutan dara.
Akhirnya Jamilkhir memutuskan untuk berpatah balik
sahaja. Dalam berkira-kira mencari tempat yang luas untuk membuat pusingan U,
tiba-tiba Jamilkhir ternampak tembok batu yang merintangi jalan itu tidak jauh
di depan. Dalam kesamaran senja itu dia tidak pasti apakah binaan itu
sebenarnya, tetapi mengagak itulah penempatan orang asli yang ditujuinya.
Sampai di depan binaan itu, Jamilkhir memberhentikan
keretanya dan keluar. Setelah menggeliat seketika, dia mengamati binaan batu
itu. Rupa-rupanya ia adalah sebuah pintu gerbang yang besar dan bersambung
dengan tembok yang panjang di kiri dan kanannya. Tiada apa pun label atau
tulisan yang menyatakan tempat apakah itu.
“Hebat kampung orang asli ini, siap ada tembok batu yang
tinggi di sekeliling kampung,” kata Jamilkhir sendirian. “Mungkin sebagai langkah
keselamatan. Maklumlah tinggal di dalam hutan ini banyak bahayanya. Binatang
buas banyak,” katanya lagi.
“Tapi, macam mana aku nak masuk ke kampung ini?”
Jamilkhir menggaru-garu kepalanya. Tiada sesiapa pun yang dilihatnya di situ.
“Pukul berapa pula pintu gerbang ini akan di buka?
Mungkin dibuka pada office hour sahaja tak?” Jamilkhir meneka.
“Tapi, takkanlah aku kena tunggu di sini sampai pagi
esok,” keluhnya lagi.
“Assalamualaikum!” Jamilkhir melaung. Suaranya dituruti
dengan gema pantulan daripada pokok-pokok hutan yang sahut-menyahut, semakin
lama semakin perlahan.
“Assalamualaikum! Ada sesiapakah di sini?” laung
Jamilkhir lagi. Tiada sebarang sahutan balas yang didengarinya. Hanya bunyi
cengkerik dan unggas-unggas hutan yang lain kedengaran.
Nampaknya Jamilkhir tiada pilihan lain lagi. Dia terpaksa
berpatah balik keluar dari hutan itu sebelum malam gelap pekat. Dia harus
mencari tempat penginapan di pekan yang berhampiran malam ini. Dia bercadang
akan datang semula ke sini esok pagi.
Semasa Jamilkhir memulas kunci untuk menghidupkan enjin
keretanya, tiba-tiba bumi terasa bergegar. Jamilkhir sungguh terperanjat.
Cepat-cepat dia mematikan enjin kereta. Gegaran bumi berhenti serta-merta. Rasa
pelik memenuhi fikiran Jamilkhir. Mengapa begitu dahsyat enjin kereta ini
hinggakan mampu menggegarkan bumi? Jamilkhir meninjau-ninjau keadaan dalam
kereta. Tiada apa-apa yang luar biasa dilihatnya. Begitu juga dengan keadaan
luar sekeliling kereta. Juga sama seperti tadi. Hanya suasana semakin kelam.
Tiba-tiba Jamilkhir berasa seram. Bulu tengkuknya
meremang. Dia mengesyaki ada sesuatu yang sedang mengganggunya. Apa yang dia
patut buat sekarang? Ya, keluar dari tempat itu secepat yang boleh.
Jamilkhir membaca doa-doa yang terlintas di kepalanya.
Kemudian dia menarik nafas panjang sebelum memulas kunci keretanya sekali lagi.
Enjin kereta hidup serentak dengan gegaran bumi, seperti yang dijangkakan.
Selepas memasukkan gear maju, Jamilkhir baru ternampak yang pintu gerbang batu
besar itu bergerak. Rupa-rupanya pintu gerbang itulah yang membuatkan bumi
bergegar, bukannya enjin kereta!
Rasa takut Jamilkhir mengendur. Timbul pula rasa ingin
tahunya. Pintu gerbang itu terbuka semakin lama semakin luas, sehingga
Jamilkhir dapat melihat kawasan di dalamnya. Alang-alang enjin keretanya sudah
hidup dan gear pun sudah di posisi ‘D’. Jamilkhir terus memandu keretanya
memasuki pintu gerbang itu.
Ruang dalam pintu gebang itu amat besar tetapi mempunyai
bumbung, bagaikan sebuah hangar kapal terbang. Ditengah-tengah kawasan itu
terdapat satu objek berbentuk cakera gergasi yang mempunyai kaki menongkat ke
tanah untuk menstabilkan kedudukannya.
“Kampung orang asli daripada suku kaum apa ini?”
Jamilkhir bertanya sendirian.
Jamilkhir memberhentikan keretanya berhampiran dengan
cakera gergasi tersebut. Tiba-tiba satu sisi bahagian bawah cakera tersebut
terbuka. Serentak itu cahaya yang menyilaukan mata terpancar dari dalamnya.
Kemudian satu objek panjang menjulur keluar dari dalamnya membentuk tangga.
Kelihatan tiga lembaga menyerupai manusia keluar dari
lubang itu dan berjalan beriringan menuruni tangga. Mereka berjalan menuju ke
arah kereta Jamilkhir. Jamilkhir menekan pedal minyak untuk melarikan diri.
Keretanya menderam kuat, tetapi tidak bergerak. Lembaga-lembaga itu semakin
hampir padanya.
Bila ketiga tiga lembaga itu berdiri di tepi kereta,
dapatlah Jamilkhir melihat dengan lebih jelas wajah mereka. Mereka mempunyai
anggota tubuh yang lengkap seperti manusia. Ada tangan, kaki, telinga, mata,
hidung dan lain-lain lagi. Namun saiz dan bentuk anggota-anggota mereka agak
ganjil.
Mata mereka terlalu besar bagaikan bola tenis dan hanya
berwarna hitam, tiada warna putih. Telinga mereka capang dan menggelembir macam
telinga gajah. Tiada bentuk hidung, tetapi terdapat dua lubang kecil di atas
mulut. Mulut mereka juga lebih kecil berbanding saiz mulut manusia. Kepala
mereka besar dengan leher yang kecil dan panjang. Begitu juga dengan tubuh,
tangan, kaki dan jari mereka. Semuanya kecil-kecil dan panjang-panjang.
“Ini bukannya orang asli spesis manusia. Ini makhluk
asing punya orang asli!” jerit Jamilkhir cemas.
Salah seorang daripada mereka menyentuh kereta Jamilkhir.
Enjin kereta berhenti tiba-tiba. Kemudian dia menarik pemegang pintu, dan pintu
itu terbuka. Aneh sungguh! Semua pintu kereta Jamilkhir menggunakan sistem
central lock, di mana semua pintu tidak boleh dibuka dari luar mahupun dari
dalam sekiranya pemandu mengunci central lock.
Jamilkhir menggeletar bila pintu di tepinya terkuak luas.
Dua lembaga itu memegang bahu dan tangan Jamilkhir. Jamilkhir rasa tubuhnya
menjadi lemah lembik tiba-tiba. Mereka menarik Jamilkhir keluar dari kereta dan
terus mengheretnya menaiki cakera gergasi itu. Jamilkhir terpaksa menurut
kerana tidak berdaya langsung melawan.
Dalam pada itu, Jamilkhir mendengar lembaga-lembaga tu
bercakap sesama mereka dalam bahasa yang sungguh aneh. Macam-macam bunyi
keluar. Ada bunyi macam kerbau dan ada bunyi macam ayam belanda. Bunyi macam
hon penjaja ikan pun ada. Kombinasi bunyi-bunyi itu membentuk bunyi yang
sungguh melucukan.
Ruang di dalam cakera gergasi itu kelihatan seperti
kokpit pesawat, penuh dengan papan panel dan skrin monitor dengan pelbagai
warna dan paparan. Jamilkhir dibawa ke sebuah bilik kaca. Dia dibaringkan di
atas satu meja khas. Tangan, kaki, perut dan kepalanya segera dilingkari dengan
pemegang besi dan dikunci.
Tiba-tiba Jamilkhir berasa satu aliran elektrik mengalir
dari pemegang-pemegang besi itu ke tubuhnya. Aliran arus elektrik itu cuma
kira-kira dua saat, tetapi ia membuatkan tubuh Jamilkhir terenjat. Tenaga tubuh
Jamilkhir datang semula seperti biasa. Namun dia sudah tidak boleh berbuat
apa-apa kerana seluruh tubuhnya dibelenggu dengan pemegang besi yang sangat
kukuh.
“Woi! Lepaskan aku!” jerit Jamilkhir.
“Lepaskan aku binatang! Lepaskan aku!” jerit Jamilkhir
lagi.
Jamilkhir terus menjerit sehingga serak suaranya, namun
tidak langsung dihiraukan oleh lembaga-lembaga asing itu. Akhirnya Jamilkhir
keletihan dan tertidur.
Apabila terjaga semula, Jamilkhir mendapati dirinya sudah
dibogelkan. Tiada satu pun pakaiannya yang tinggal, tetapi pemegang-pemegang
besi tetap mengikat anggota tubuhnya. Ketiga-tiga lembaga asing itu berada di
sekelilingnya. Mereka memotong beberapa helai rambut Jamilkhir dan
memasukkannya ke dalam bekas kaca dan ditutup. Bekas kaca yang kelihatan
seperti tabung uji itu di letakkan pada raknya bersama-sama tabung-tabung uji
yang lain.
Kuku pada jari tangan dan kaki Jamilkhir juga dipotong
dan dimasukkan ke dalam tabung uji. Entah apa yang mereka hendak lakukan dengan
cebisan kuku dan rambutnya itu. Mungkin mahu dibuat sampel ujikaji makmal
agaknya, fikir Jamilkhir. Radas-radas yang mereka gunakan kelihatan sungguh
hebat dan canggih.
Selepas itu salah seorang lembaga membuka mulut Jamilkhir
lalu seorang lagi menghulurkan hujung sebuah pipettes ke anak tekaknya. Badan
pipette itu dipicit dan dilepaskan semula dengan air liur Jamilkhir disedut
masuk ke dalamnya. Sampel air liur itu juga kemudiannya diisi ke dalam tabung
uji juga.
Dengan menggunakan sebatang spatula, salah seorang
lembaga asing itu mengikis bahagian dalam lubang hidung Jamilkhir. Kemudian dia
mengutip sampel tahi hidung itu dengan menggunakan forcep untuk dikumpulkan ke
dalam tabung uji. Cara yang sama digunakan oleh lembaga asing itu untuk mendapatkan
sampel tahi telinga Jamilkhir. Perit sungguh lubang telinganya apabila
dirodok-rodok.
Dengan suara yang serak, Jamilkhir merayu-rayu agar tidak
diperlakukan begitu dan dia dilepaskan. Namun tidak diendahkan. Barangkali
mereka tidak memahami bahasa percakapan manusia, detik hati Jamilkhir.
Ajal mula terbayang di mata Jamilkhir apabila lembaga itu
mencucuk lengannya dengan picagari untuk diambil sampel darah. Apalagi bila dia
dipaksa mengangakan mulut dan sebatang gigi gerahamnya di cabut. Meraung-raunglah
dia menahan kesakitan. Jamilkhir mula terfikir, nanti entah apa lagi yang akan
dicabut dan entah di mana lagi bahagian badannya akan dicucuk oleh lembaga
asing durjana itu untuk dibuat sampel. Kalau dicungkil matanya nanti, tidakkah
naya? Jamilkhir hanya mampu berdoa dihalam hati.
Di sebabkan Jamilkhir tidak memakai apa-apa pun, angin dengan mudah
memasuki perutnya. Tiba di satu ketika, Jamilkhir tidak dapat menahan beban
tekanan dalam ‘ekzos’nya lagi. Dia pun melepaskan sebiji kentut dengan kuat.
Ketiga-tiga lembaga itu terkejut dan terjerit kecil. Air muka mereka
menggambarkan perasaan yang sungguh cemas. Kenapa pula mereka takut bila aku
kentut? Jamilkhir bertanya dalam hati. Tiba-tiba Jamilkhir mendapat satu akal.
“Tolonglah, aku nak buang air ni. Dari semalam lagi aku
belum buang air. Tolonglah, aku sudah tak tahan ni….” Jamilkhir merayu.
Yang menakjubkan Jamilkhir, lembaga-lembaga asing itu
berhenti membuat kerja masing-masing dan berbincang sesama sendiri dengan
serius. Sebentar kemudian mereka membuka pemegang-pemegang besi yang
membelenggu tubuh Jamilkhir. Eh, mereka faham pula maksud aku, kata hati
Jamilkhir.
Sebaik sahaja Jamilkhir turun daripada tempatnya
berbaring, salah seorang lembaga asing itu memberikannya dua buah bikar
berisipadu lima ratus mililiter. Lembaga itu menjelaskan tujuan dua biji bikar
berpenutup kedap udara itu diberikan dengan menggunakan isyarat tangan yang
digerakkan di sekitar abdomennya. Fahamlah Jamilkhir bahawa lembaga itu mahukan
dia memberi sampel najis dan air kencingnya pula.
Jamilkhir pun dibawa keluar daripada cakera gergasi itu dan
seterusnya keluar melepasi pintu gerbang batu. Jamilkhir dilepaskan dan
dibiarkan menyelinap ke celah-celah semak hutan untuk melepaskan hajatnya.
Apabila kedudukannya sudah terlindung daripada pengelihatan lembaga-lembaga
asing itu, Jamilkhir melangkah semakin cepat. Akhirnya dia berlari sepantas
yang terdaya menjauhi kawasan itu.
Hajatnya untuk membuang air ditangguhkan dahulu walaupun
perutnya semakin senak. Akhirnya dia tidak berdaya lagi menahan isi perutnya
yang menyentap-nyentap mahu keluar itu lalu terbaraiah ia keluar dalam masa
Jamilkhir berlari, bertaburan di sepanjang laluannya.
Jamilkhir terus berlari sehingga tiba di satu tempat di
mana dia tidak menyedari di depannya ada tebing sungai yang tinggi. Dia
langsung terjatuh dari tebing itu dan terhempas ke atas sebiji batu besar, yang
menyebabkan lengan kirinya patah. Dia akhirnya diselamatkan oleh seorang lelaki
orang asli yang kebetulan ada menjala ikan di sungai itu.
“Begitulah kisahnya bagaimana tangan abang ini patah,
Nina. Sedihkan?” kata Jamilkhir pada Hasnina yang kelihatan tekun mendengar
ceritanya.
Hari ini Jamilkhir pulang ke rumah Hasnina dengan
ditemani oleh Razi juga. . Kali ini seluruh tangan kirinya pula yang berbalut,
bukan lagi kepalanya seperti di rumah Liafara semalam.
“Sedih tak Razi?” Jamilkhir menghala pertanyaan pada Razi
pula apabila melihat Hasnina hanya terpaku tanpa sebarang reaksi balas.
“Ohh kasihan, ohh
kasihan, aduh kasihan…” nyanyi Razi seperti biasa.
“Ha, tengok. Razi pun kasihan pada abang,” kata
Jamilkhir.
“Tapi kalau abang berlari pulang dan diselamatkan oleh
orang asli, bila masanya dan bagaimana abang pergi mengambil semula kereta
abang di tempat makhluk asing tu?” tanya Hasnina.
Jamilkhir terdiam buntu. Tidak disangkanya, cerita yang
begitu rapi sekali direka olehnya bersama Razi itu ada juga lopong yang
meragukan. Mereka sudah merancang bersungguh-sungguh setelah Jamilkhir kantoi
juga dengan Liafara semalam.
Cerdik sungguh si Hasnina ini menilai kebenaran cerita
Jamilkhir. Walaupun dia amat sayang dan rindukan Jamilkhir, rasa simpatinya
terhadap cerita kemalangan Jamilkhir itu tidaklah nampak ketara sangat.
“Er… keesokannya, abang buat laporan ke balai polis dan
ajak mereka pergi ke tempat makhluk asing itu untuk mengambil semula kereta
abang,” jelas Jamilkhir.
“Tidak apalah sayang. Sekarang sayang lupakan cerita itu.
Abang nak pergi mandi ini. Razi, kamu boleh pulang sekarang,” kata Jamilkhir
akhirnya.
“Ohh kasihan, ohh kasihan,
aduh kasihan…” nyanyi Razi lalu beredar pergi.
Sewaktu Hasnina masuk ke bilik air selepas penat memasak
maghrib itu, dia terjumpa sarung tangan simen yang digunakan oleh Jamilkhir
membalut lengannya di atas meja sinki. Dia segera membawa sarung tangan simen
itu untuk dipakaikan kepada suaminya.
Namun Hasnina terkejut apabila dari belakang dia melihat
tangan Jamilkhir elok sahaja, tiada kecederaan apa-apa. Malah Jamilkhir boleh menyarung
baju dan kain pelikatnya sendiri tanpa masalah apabila diperhatikan oleh
Hasnina secara tersembunyi di sebalik langsir. Jamilkhir juga menyikat
rambutnya sambil menyanyi-nyanyi riang, bagaikan tiada langsung rasa sakit yang
dialaminya.
“Alamak, terlupa nak pakai sarung lengan,” kata Jamilkhir
tiba-tiba dengan menepuk dahi. Dia terus bergegas ke bilik air untuk
mendapatkan sarung lengan simennya.
Namun dia terpernjat besar apabila langsir pintu bilik
air di selak. Tidak termampu berkata apa-apa Jamilkhir apabila melihat Hasnina
tercegat di situ sambil memegang sarung tangan simennya. Dia tidak dapat
menyelamatkan diri lagi!
“Abang jangan tipu Nina. Dari tadi lagi Nina meragui
cerita abang ditangkap makhluk asing. Sekarang baik abang cakap, kemana abang
menghilangkan diri,” tekan Hasnina. Matanya membulat-bulat berapi bagaikan mata
naga.
“Er… abang pergi rumah Kak Fara,
Nina. Abang terpaksa berbohong pada Nina, di atas permintaan Kak Fara juga.
Maafkanlah abang. Abang terpaksa buat begini sebab Kak Fara kamu tidak berapa
sihat tiga empat hari lepas. Abang terpaksa berikan dia lebih perhatian sikit,”
Jamilkhir tepaksa membuat pengakuan bohong dengan menjual nama Liafara untuk
mengelakkan rahsia yang lebih besar terbongkar.