Rio De La Plata. Dalam bahasa inggeris maknanya River Plate. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa melayu pula maksudnya Sungai Perak.
Rio De La Plata adalah sebuah sungai penting, juga yang terpanjang di Argentina. Sungai inilah yang menggerakkan ekonomi para petani dan peladang di benua Amerika Selatan ini. kacang soya, kacang tanah, jagung dan biji bunga matahari di eksport ke luar melalui sungai ini.
Kami di arahkan membawa kapal ke San Lorenzo, sebuah bandar kecil yang terletak jauh ke dalam tanah besar. Untuk sampai ke sana, kami perlukan masa selama 36 jam memudiki Rio De La Plata ini.
Dari Lautan Atlantik, kami meminggir hingga ke muara 'Sungai Perak' ini. Muaranya sangat besar bagaikan teluk dengan daratan sebelah timurnya adalah kepunyaan Negara Uruguay. Menyusuri muara ini, kapal melewati dua buah bandaraya besar, Montivedio di sebelah kanan dan Buenos Aires di sebelah kiri.
Walaupun bermuara lebar, 'Sungai Perak' ini tidaklah sebesar mana kerana terlalu banyak pecahan sungainya yang bersimpang siur dan berselirat bagaikan akar pokok, jika di lihat dari udara.
Seperti lazimnya peraturan di mana-mana 'inland waterways', kapal kami mesti menggunakan jurupandu tempatan. Jurupandu berbangsa Argentina ini lebih mahir mengemudi kapal kargo besar di sungai yang tempat ceteknya tidak dapat dijangka oleh orang luar.
Lagipun, mungkin kami tersilap masuk cabang-cabang sungai jika mengemudi sendiri. Itu belum lagi dikira risiko arus sungai yang tidak menentu disebabkan banyak selekoh-selekoh tajam dan beting-beting pasir yang bertaburan di sepanjang laluan.
Saat-saat mengemudi kapal melalui sungai inilah yang aku selalu tunggu-tunggu. Manakan tidak, selepas berminggu-minggu melalui lautan luas yang mana hanya air sahaja dapat dilihat sekeliling, kini mata dapat dijamu dengan pemandangan tanah daratan di kiri dan kanan.
Pemandangan hijau pokok-pokok kayu dan ladang sungguh mengasyikkan. Budaya orang latin ini unik. Mereka gemar bersantai di tepi-tepi sungai. Yang dewasa berbaring malas di kerusi panjang sementara kanak-kanak seronok bermain air.
Bila kapal melintasi kawasan kampung, dapat dilihat hampir kesemua rumah di sini diperbuat daripada kayu, tidak jauh beza dengan rumah kampung di Malaysia. Ada yang buruk dan usang.
Di sebuah rumah yang hampir dengan tebing sungai, dari jauh aku melihat sekumpulan kanak-kanak berkejaran seperti menghambat sesuatu. Lantas aku meneropong.
Rupa-rupanya mereka mengejar seekor binatang ke bawah rumah. Binatang itu keluar semula dan mereka berkejar-kejaran lagi dalam kawasan rumah yang berpagar itu. Seronok sungguh mereka nampaknya.
Apabila kapal semakin hampir, aku dapat melihat mereka dengan lebih jelas. Awalnya, aku sangkakan mereka bermain-main dengan kambing. Paling tidak pun dengan anjing. Bagaimanapun, binatang yang menghambur lari ke sana ke mari di kejar mereka itu rupa-rupanya seekor babi! Mungkin babi peliharaan keluarga mereka.
Aku ketawa berdekah-dekah. Belum pernah aku melihat orang bermain kejar-kejar dengan babi seperti ini. Yang selalu aku dengar, orang dikejar babi hutan. Selalu dialami oleh penoreh getah yang kebunnya terletak di pinggir-pinggir hutan. Penoreh-penoreh getah Malaysia sepatutnya mengejar babi yang menceroboh kebun mereka, bukannya lari litang pukang bila bersua dengan 'kerbau pendek' ini!
bersambung...