Hipnosis Aura Tenaga Pasangan
“Seri Ayu… Argh! Toyol!” jerit Pak Belukang bila melihat seekor makhluk yang hanya nampak dua biji mata sahaja sedang menjunjung kuali. Kerana terkejut yang amat, dia terbangun hingga terduduk dengan sendirinya. Belukang mematikan diri di muka pintu. Hanya matanya sahaja yang berkelip-kelip.
“Hahahaha… inilah toyol kuali… hahahaha…” kata Belukang dengan suara gemersik, cuba membuatkan ayahnya seram.
“Engkau Belukang? Apa ke jadah yang kamu buat ini?” jerkah Pak Belukang kaget.
“Hahahaha… inilah toyol kuali… hahahaha…” Belukang menyakat lagi.
“Ah, sudahlah Belukang. Abah tak hairan sedikit pun toyol kuali. Kalau Toyota Camry bagus juga. Boleh juga abah tunggang keliling kampung,” kata Pak Belukang.
“Hahahaha…” Belukang ketawa lagi.
“Sudah, pergi mandi. Ini mana tempat engkau sudah berkubang ini,” leter Pak Belukang. Belukang meletakkan kuali dan mata cangkul itu di depan ayahnya.
“Eh, kamu hendak buat apa dengan kuali dan mata cangkul ini Belukang? Barang siapa yang kamu ambil ni?” soal Pak Belukang.
“Inilah barang-barang yang penyamun tinggalkan di tepi sungai tadi, abah. Belukang ambillah untuk abah. Nanti abah boleh gunakan kuali ini untuk memasak dan mata cangkul ini pula abah boleh gunakan untuk berkebun. Jadi abah tidak adalah tidur sahaja sepanjang hari lagi,” terang Belukang.
“Kamu sudah gila agaknya Belukang? Kalau tuan punya barang-barang ini datang mencarinya ke rumah kita, teruk abah kena belasah nanti,” marah Pak Belukang. Sebenarnya dia hendak berdalih, disebabkan dia tidak gemar memasak dan berkebun.
“Habis tu, apa kita nak buat dengan kuali dan mata cangkul ini, abah?” tanya Belukang.
“Kamu pergi pulangkan semula barang-barang ini kepada tuan punyanya,” kata Pak Belukang.
“Manalah Belukang tahu siapa tuan empunya barang-barang ini. Tadi pun Belukang ambil daripada penyamun saja,” kata Belukang.
“Ya tak ya juga. Kalau begitu kamu hantar sahaja barang-barang ini kepada Pengerusi JKKK. Pasti ada nanti orang yang kehilangan barang datang mengadu padanya,” kata Pak Belukang.
“Apa kata kalau kita sembunyikan barang-barang ini di mana-mana dulu. Lepas itu, jika ada orang mengadu barang hilang pada Pengerusi JKKK nanti, abah tawarkanlah diri sebagai nujum hendak menilik di mana barang-barang itu berada,” cadang Belukang.
“Apa faedahnya kita buat begitu? Kalau setakat saja-saja tahu tunjuk pandai baik tak usah. Kamu ingat Pengerusi JKKK mahu percayakah? Silap-silap abah pula yang dituduh pencuri nanti,” cemuh Pak Belukang.
“Nanti kalau mereka dapat semula barang-barang mereka itu, sudah pasti mereka akan puji abah. Lepas itu mereka akan hebohkan ke seluruh kampung yang abah ini seorang ahli nujum yang hebat. Nanti lagi ramailah orang kampung datang minta tolong dengan abah. Abah boleh kenakan yuran kepada setiap perkhidmatan menilik barang hilang. Ini sudah boleh dibuat sumber pendapatan. Jadi abah tidak perlulah teruk-teruk pergi kerja menangkap ikan atau berkebun,” terang Belukang.
“Ya, bagus betul idea kamu Belukang. Inilah yang dinamakan bisnes sendiri dari rumah. Boleh jadi jutawan tanpa kerja. Apa yang iklan dalam surat khabar tu cakap? Ah ha… macam ini, menjana pendapatan lima angka seminggu dari rumah tanpa modal, tidak perlu jual barang. Hanya perkenalkan pada lima orang. Sah disisi agama dan undang-undang. Bukan MLM, sistem kutu, skim piramid, labu peram, Pak Man Telo atau Swiss Cash. Duit akan masuk bertimbun-timbun dengan hanya minum kopi sambil goyang kaki sahaja setiap hari,” kata Pak Belukang.
“Ya, kerja macam ini sesuai untuk orang pemalas macam abah,” kata Belukang dengan tersenyum menyindir.
“Kamu yang bagi cadangan, kamu juga yang kenakan abah pula,ya. Sudah, jangan buang masa lagi. Kamu pergi sembunyikan barang-barang ini di mana-mana, lepas itu kamu pergi ke rumah Pengerusi JKKK,” suruh Pak Belukang.
“Kamu tunggu orang-orang kampung datang mengadu. Jikalau betul mereka mengadu barang hilang, beritahu mereka yang abah boleh tolong jejaki barang tersebut dengan ilmu hipnosis aura tenaga pasangan,” tambah Pak Belukang lagi.
“Ilmu hipnosis aura tenaga pasangan? Ilmu apa itu, abah?” tanya Belukang.
“Nanti kamu tengoklah sendiri. Sekarang pergi cepat,” kata Pak Belukang.
“Eh, Belukang kena mandi dulu, abah,” kata Belukang pula.
“Hah, pergilah cepat!” gesa Pak Belukang.
Selepas mandi dan berpakaian baru, Belukang membawa kuali dan mata cangkul itu turun. Sampai di tanah, dia terhenti. Dia menggaru-garukan kepala sambil memandang kuali dan mata cangkul itu bersilih ganti. Di mana dia mahu sembunyikan kuali dan mata cangkul ini?
Kalau dicampak ke dalam sungai, bimbang nanti tidak dijumpai bila dicari semula. Kalaulah barang besi yang berat itu jatuh ke tempat yang dalam, teruklah pula ayahnya nanti kena menyelam hendak mencarinya. Silap-silap nanti yang dicari tak dapat, yang mencarinya turut hilang sama. Nampaknya idea ini kurang praktikal walaupun lokasi ini agak menarik.
Bagaimana kalau disorok ke dalam semak? Bagus juga idea ini. Dan dengan pantasnya Belukang terlihat akan kawasan semak-samun yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Dia segera ke situ, menguak-nguak dahan-dahan senduduk dan menyusup masuk ke bawahnya. Ya, tempat ini sungguh sesuai. Lantas belukang menyandarkan kuali dan mata cangkul itu di pangkal sebatang pohon senduduk besar.
Tugas pertama sudah selesai. Sekarang Belukang perlu melakukan tugas seterusnya iaitu menjadi perisik di rumah Pengerusi JKKK. Tanpa berlengah lagi, dia berjalan pantas ke rumah Pengerusi JKKK yang terletak kira-kira setengah kilometer dari rumahnya. Dia perlu cepat kerana jika dia tidak bertembung dengan tuan punya kuali dan mata cangkul itu yang datang mengadu, pasti lebih sukar untuk mencari dan mempengaruhi mereka semula nanti.
Dalam kelam-kabut melangkah itu, sesuatu melintas difikiran Belukang. Rumahnyalah yang paling hampir dengan tempat barang-barang curian penyamun tadi disembunyikan. Tiada lagi rumah-rumah lain yang berhampiran di sekitarnya. Kemungkinan besar Belukang dan Pak Belukang akan disyaki sebagai saspek utama. Lagi pun tempat barang itu disembunyikan bukanlah tempat laluan orang ramai. Teruklah hendak menjawab nanti jika mereka pula yang dituduh. Tentulah pemilik asal barang-barang tersebut fikir Pak Belukang yang merancang pencurian itu dan kemudian berlakon menjadi nujum untuk mencarinya semula.
Ini tidak boleh jadi. Barang-barang itu mesti dipindahkan ke tempat yang jauh daripada rumahnya. Belukang segera berpatah balik mendapatkan barang curian penyamun tadi. Ada baiknya jika barang-barang itu disembunyikan di sekitar rumah Pengerusi JKKK sahaja. Nanti tidaklah Pak Belukang perlu pergi jauh-jauh untuk meniliknya. Jikalau Pengerusi JKKK pula yang disyakki pencuri barang-barang itu, tentulah beliau lebih cekap untuk menafikannya. Namun Belukang yakin, mereka tidak akan tergamak menuduh Pengerusi JKKK sebegitu.
Sekarang timbul masalah lain pula. Belukang terpaksa melintasi beberapa buah rumah orang kampung sebelum sampai ke rumah Pengerusi JKKK. Untuk membawa kuali dan mata cangkul yang agak besar itu tentulah sukar jika tidak mahu dilihat orang. Bagaimana Belukang mahu menyembunyikan kuali dan mata cangkul itu?
Belukang cuba memasukkan kuali itu ke dalam belakang bajunya. Kemudian dia menyelitkan mata cangkul itu ke dalam seluar di depan perutnya. Belukang mula berjalan, tetapi tergelak sendirian bila mendapati dirinya seperti Ninja Turtle. Lagipun mata cangkul yang tajam itu menikam-nikam sesuatu dalam seluarnya bila kakinya melangkah. Bimbang mata cangkul itu akan mencederakannya, Belukang segera mencabutnya. Kuali juga dikeluarkan dari dalam bajunya. Barang-barang curian itu terpaksa dibimbit juga.
Akhirnya Belukang memutuskan untuk tidak melalui jalan biasa, sebaliknya menyusuri pinggir semak yang lebih terlindung. Dia dapat menghampiri destinasi dengan selamat dengan laluan alternatif ini. Namun kira-kira lima puluh meter lagi untuk sampai, Belukang terpaksa melintas jalan. Dari sebalik semak, Belukang mengkaji akan tahap keselamatan laluan akhir itu. Kelihatan Pengerusi JKKK ada bersantai di lamannya.
Mustahil Belukang boleh membawa barang-barang curian itu maju ke depan lagi. Jika diteruskan, sudah pasti Pengerusi JKKK dapat melihatnya dengan senang. Dia harus meninggalkan barang-barang curian di situ. Belukang melilau-lilau mencari tempat yang sesuai.
Tidak jauh dari tempat Belukang mengendap, ada sebuah rumah yang agak usang, tetapi lebih elok daripada rumah tempat Pak Belukang dua beranak tinggal. Belukang tahu, rumah itu adalah kepunyaan Pak Toman, seorang lelaki tua yang separuh waras akal fikirannya. Pak Toman tinggal seorang diri. Di tepi rumahnya ada sebuah bangsal tempat Pak Toman menyimpan perkakasan dan hasil kebun yang diusahakannya. Belukang mendapati bangsal itu lengang sahaja tiada orang.
“Kalau barang curian ini diletakkan di bangsal itu pun bagus juga. Tentu orang kampung tidak akan memarahi Pak Toman kerana dia kurang waras,” kata Belukang sendirian lalu melangkah berhati-hati ke situ. Dua ekor cicak di dinding bangsal mencicit-cicit lari bila melihat belukang datang.
Belukang menurunkan terendak yang tersangkut pada sebatang paku di dinding bangsal. Kemudian dia menyangkutkan kuali pula di paku itu. Pak Belukang ternampak cangkul Pak Toman tersandar di tepi tangga bangsal. Dia mengambil cangkul itu dan memasukkan mata cangkul yang dibawanya ke belakang hulunya. Sekarang cangkul Pak Toman mempunyai dua mata. Belukang mengetatkan batang cangkul itu dengan menyelitkan ranting kayu sebagai pasak yang mudah. Selepas itu cangkul tersebut diletakkan di tempat asal.
Belukang tersenyum puas melihat keunikan inovasi cangkul rekaannya. Selepas memastikan semuanya selamat, Belukang cepat-cepat beredar dari situ. Dia tahu, tengah-tengah hari begini Pak Toman sedang melelapkan mata sebentar sementara menunggu hari petang sedikit untuk turun ke kebun semula. Itulah yang bagusnya Pak Toman ini. Walaupun sudah dikategorikan sebagai orang gila, tetapi dia rajin mengusahakan kebun dan hidup berdikari. Jauh panggang dari api kalau hendak dibandingkan seperti Pak Belukang yang sihat fizikal dan mental, tetapi berat tulang.
Belukang melintas jalan menuju ke pintu pagar rumah Pengerusi JKKK. Pengerusi JKKK yang sudah biasa dengan kedatangan Belukang hanya tersenyum melihatnya dari jauh.
“Ha, Belukang,” tegur Pengerusi JKKK.
“Assalamualaikum,” ucap Belukang dengan sopan.
“Waalaikummussalam, Belukang. Ada pada datang kemari tengah-tengah hari panas begini?” tanya Pengerusi JKKK.
“Saya datang ini nak minta kerja. Ada apa-apa kerjakah yang boleh saya buat di rumah Pak Husin?” tanya Belukang dengan sopan.
“Rajin sungguh kamu mencari duit, Belukang. Kalau kamu hendakkan kerja, pergilah cuci kereta pak cik itu. Nanti selesai, pak cik akan berilah upahnya,” kata Pengerusi JKKK. Hatinya gembira melihat budak sekecil ini sungguh rajin berkerja, tidak padan dengan usianya.
“Baiklah Pak Husin,” kata Belukang. Dia segera mendapatkan kereta Proton Saga lama itu. Dia tahu apa yang harus dilakukannya kerana ini bukanlah kali pertama dia mencuci kereta Pengerusi JKKK tersebut. Belukang memasang salur getah pada kepala paip dan membancuh sabun pencuci dalam sebiji baldi. Kemudian dia menyemburkan air pada badan kereta untuk membasahkannya dahulu sebelum disental dengan air sabun tadi.
Ketika Belukang asyik bergelumang dengan buih sabun, dia melihat beberapa orang kampung datang tergesa-gesa datang ke rumah Pengerusi JKKK. Lagak mereka seperti ada sesuatu yang mencemaskan. Riuh rendah mereka memanggil Pengerusi JKKK. Belukang berhenti menyental kereta lalu memasang telinga.
“Macam mana saya tidak marah, Pak Husin. Saya belum selesai cebok di bilik air tiba-tiba air terhenti. Bila saya periksa, bukan saja pili utama ditutup, meter air pun hilang. Huh, kalau saya dapat pencuri itu, saya akan suruh dia cebokkan saya. Biar dia rasa,” marah seorang lelaki. Geli-geleman Belukang mendengarnya.
‘Tidak ada pula aku jumpa meter air. Bagaimana pula sekarang ini? Apa yang aku harus buat?’ tanya Belukang dalam hati. Dia tidak menjangka ada masalah begini pula datang.
“Macam mana saya nak berniaga kalau kuali saya hilang, Pak Husin? Saya nak goreng pisang dalam apa?” tanya seorang wanita dengan sebatang sudip terkial-kial di tangannya. Belukang kenal akan wanita itu, Kak Ramlah. Dia berniaga pisang goreng di tepi simpang jalan besar.
“Sabar. Sabar. Bertenang dulu,” Pak Husin, Pengerusi JKKK cuba mententeramkan keadaan.
“Saya dah tidak boleh sabar ini, Pak Husin. Macam mana pencuri gila itu mencuri mata cangkul saya? Saya kena buat batas kebun dengan segera. Kalau batas lambat siap, lambatlah boleh tanam benih keledek saya. Nanti mati kecutlah keratan batang keledek itu,” ujar seorang lagi lelaki.
“Tuan puan bertiga bertenang dulu. Saya akan teliti dahulu masalah tuan puan dan akan menjalankan siasatan dengan segera,” kata Pengerusi JKKK memberi jaminan.
“Bila siasatan akan selesai, Pak Husin?” tanya Kak Ramlah.
“Bergantung keadaanlah. Kita perlu mengumpul bukti-bukti dahulu dan mencari saksi-saksi kejadian. Kamu ada bukti atau saksi ataupun mengesyaki sesiapa?” soal Pengerusi JKKK.
“Kami sudah cuba siasat sendiri. Kami tidak berjumpa dengan apa-apa bukti sebagai petunjuk untuk menuduh sesiapa. Kami juga tidak mempunyai saksi kejadian. Yang saya dapat hanya batang hulu cangkul ini sahaja. Apa yang batang cangkul ini boleh buat. Kalau dibuat balun pencuri itu, sesuai juga,” kata lelaki pemilik mata cangkul berapi-api menjulang-julang batang cangkul tanpa matanya.
“Jikalau tiada saksi dan bukti, kita tutup sajalah kes ini. Kalau disimpan akan jadi kes lapuk saja,” Pengerusi JKKK memberi kata putus.
“Pak Husin ada cara lainkah?” tanya lelaki pemilik meter air.
“Tidak. Kalau mahu, tuan puan boleh buat laporan polis,” tegas Pengerusi JKKK.
“Takkan kecurian mata cangkul dan kuali pun nak dilaporkan pada polis. Saya yakin kes ini akan ditutup juga. Kami amat berharap agar Pak Husin sebagai Pengerusi JKKK selesaikan sahaja di sini sekarang,” bantah lelaki pemilik meter air.
“Hendak selesaikan macam mana yang tuan puan mahukan?” soal Pengerusi JKKK.
“Sekurang-kurangnya, berilah kami pampasan ganti rugi. Atau Pak Husin lancarkan kutipan derma kilat untuk ringankan beban kami,” kata lelaki pemilik mata cangkul.
Muka Pengerusi JKKK berkerut. Hati kecilnya mula mengomel. Nak dimarah salah, tidak dimarah pun salah. Susah betul hendak bercakap dengan manusia mentaliti subsisdi macam ini. Suruh bergerak maju sedikit, minta dibantu. Jumpa masalah kecil yang remeh-temeh pun mengadu macam budak-budak kecil merengekkan ais krim. Bila gagal sekali, terus putus asa atau merajuk tidak mahu teruskan lagi.
“Nantilah saya usahakan apa yang patut. Sekarang tuan-puan pulanglah dahulu,” ujar Pengerusi JKKK akhirnya.
“Pak Husin pohonlah peruntukan daripada wakil rakyat. Waktu beginilah wakil rakyat perlu membalas budi penyokongnya. Kami sudah berusaha menaikkan dia menjadi wakil rakyat dulu,” lelaki pemilik mata cangkul menambah lagi.
“Pak Husin, bagaimana kalau Pak Husin minta tolong dengan abah Belukang carikan barang-barang yang hilang itu?” tiba-tiba Belukang mencelah. Sedari tadi dia hanya tercegat berdiri di belakang pengadu-pengadu itu.
“Apa Belukang? Minta tolong dengan abah kamu?” Pengerusi JKKK meninta kepastian. Serasanya, mungkin dia tersalah dengar.
“Ya, abah Belukang boleh bantu orang-orang kampung ini mengesan barang-barang mereka yang hilang,” kata Belukang dengan jelas.
“Sejak bila pula abah kamu boleh cari barang-barang hilang. Bukankah abah kamu yang pemalas itu hanya tidur sahaja kerjanya?” tanya Pak Husin. Ketiga-tiga pengadu mengiakannya.
“Itulah yang Pak Husin dan orang-orang kampung tidak tahu. Abah Belukang itu sebenarnya adalah seorang ahli nujum. Dia dapat menilik orang ataupun barang yang hilang dengan ilmu hipnosis aura tenaga pasangan yang dia ada,” kata Belukang bersungguh-sungguh.
“Ilmu apa? Tidak pernah aku dengar pun ilmu yang berbunyi pelik macam itu. Jangan-jangan budak Belukang ini hanya cakap main-main sahaja agaknya,” lelaki pemilik meter air menimbulkan kemusykilan.
“Ya, aku pun tidak percaya Pak Belukang boleh mencari barang-barang kita yang hilang. Mustahil dia ada ilmu nujum. Bilakah masanya dia menuntut ilmu tersebut?” sokong lelaki pemilik mata cangkul pula.
“Tapi, daripada tiada tindakan langsung hari ini, tiada ruginya jika kita beri peluang pada Pak Belukang menunjukkan kebolehannya. Sekurang-kurangnya inilah ikhtiar pertama kita untuk mencari jalan penyelesaian masalah tuan puan semua,” Pengerusi JKKK menyokong Belukang pula.
“Betul juga kata-kata Pak Husin itu. Lebih baik kita bawa Pak Belukang ke sini sekarang,” kata lelaki pemilik mata cangkul.
“Hah Belukang, pergilah panggil abah kamu datang ke sini dengan segera,” suruh Pengerusi JKKK.
“Baiklah Pak Husin,” kata Belukang lalu segera berlari pulang.
Pak Belukang segera bersiap sebaik sahaja Belukang memberitahunya yang Pengerusi JKKK memintanya ke sana dengan segera.
“Di mana kamu sembunyikan barang-barang tadi, Belukang?” tanya Pak Belukang.
“Belukang letakkan kedua-duanya di bangsal Pak Toman, abah,” kata Belukang.
“Bagus. Senang kerja abah nanti,” puji Pak Belukang.
“Tapi kita ada sedikit masalah, abah?” Belukang menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“Hah, apa masalahnya pula?” soal Pak Belukang pelik.
“Tadi bukannya dua orang yang mengadu hilang barang, tetapi tiga orang,” jelas Belukang.
“Barang apa yang mereka hilang?” soal Pak Belukang lagi.
“Seorang hilang mata cangkul. Kak Ramlah pula hilang kuali. Yang ini dapat kita selesaikan. Tetapi lelaki yang ke tiga pula kehilangan meter air. Belukang tidak jumpa pun meter air daripada penyamun-penyamun pagi tadi,” Belukang menyuarakan kebimbangan.
“Betul kamu tidak jumpa meter air itu?” tanya Pak Belukang dengan serius.
“Betul, abah,” jawab Belukang.
“Kenapa kamu tidak pergi cari sekali lagi?” tekan Pak Belukang lagi.
“Masa sudah suntuk, abah. Tidak sempat lagi nak pergi cari sekali lagi. Pengerusi JKKK sedang menunggu kita di rumahnya bersama pengadu-pengadu itu,” jelas Belukang.
Pak Belukang terdiam. Dia berfikir sebentar. Kemudian dia berkata, “Tidak apalah. Itu masalah kecil sahaja. Jangan bimbang, abah ada cara hendak membereskannya,” kata Pak Belukang.
“Kalau begitu, marilah kita segera ke rumah Pengerusi JKKK, abah,” gesa Belukang.
“Mari,” sahut Pak Belukang pula.