Selasa, 4 Oktober 2011

Cintan Si Cilik bab 5


5          Tokaki

Seperti biasa pada malam Jumaat, ramai penduduk Kampung Batu Hampar berkumpul di surau. Mereka mengadakan solat maghrib berjemaah bersama-sama. Sementara menunggu akan masuk waktu isyak, mereka membaca surah Yasin bersama tahlil beramai-ramai. Jusoh tidak terkecuali menyertainya.
            Walaupun Jusoh tidak temasuk dalam golongan yang diwajibkan sembahyang kerana masalah kewarasan, jemaah-jemaah masjid membiarkan dia mengikuti sembahyang di tepi barisan belakang. Dia dapat mengikut rukun amali sembahyang dengan sempurnanya mengikut imam sebagaimana jemaah-jemaah lain. Namun rukun qablinya, iaitu bacaan tidak dapat siapa pastikan sama ada betul atau tidak dibuatnya.
            Itulah untungnya menjadi orang gila, terlepas daripada apa juga tanggungjawab dalam agama. Cuma yang letihnya, tanggungjawab masyarakat sekeliling pada Jusoh. Bukan tidak mahu membimbing Jusoh, tapi orang kampung harus sentiasa berwaspada. Jusoh boleh ‘naik sheikh’ dan bertindak di luar dugaan pada bila-bila masa sahaja.
Hatta semasa membuang air besar pun sudah ada terjadi. Pernah orang kampung mendengar Jusoh mengamuk di dalam jambannya. Berdebum-debum dinding jamban ditumbuk Jusoh. Mulutnya becok mencaci-maki dengan kata-kata kesat. Entah apa ke bendalah yang sedang dimarahinya. Dia sembelit agaknya, marahkan tahi sendiri yang payah nak keluar!
Sesudah solat isyak, tibalah acara moreh. Mereka akan berjamu makan kuih-kuih yang dibawa secara sukarela oleh sebilangan jemaah. Inilah waktu yang paling disukai dan amat ditunggu-tunggu oleh Jusoh. Dialah orang yang pertama duduk bersila menghadap mangkuk tingkat kuih.
Dalam gila-gila Jusoh pun, dia masih mampu mengikut protokol surau. Kalaulah masa sembahyang tadi dia nak melarikan sebiji mangkuk tingkat, boleh sangatlah. Kemudian dia boleh kedarah isinya seorang diri di dalam semak. Senang saja, dan tiada siapa pun yang dapat menghalangnya, meskipun tuan punya mangkuk tingkat itu melihatnya.
Sebenarnya dahulu Jusoh adalah orang normal seperti orang lain juga. Di atas kemahuannya sendiri, dia pergi belajar agama sehingga ke Pattani, Thailand. Tetapi entah kenapa, enam tahun selepas itu dia terpaksa dibawa pulang dalam keadaan kurang waras. Mengikut kata orang, dia sudah gila isim selepas menyertai satu kumpulan tarekat.
            Mangkuk tingkat pun dibuka dan diaturkan ke sekeliling. Para jemaah pun menjamah kuih akok, seri muka dan bahulu yang enak itu. Jusoh ingin mengambil kuih seri muka yang berada agak jauh darinya. Dia tidak pula meminta tolong daripada orang yang duduk hampir dengan bekas kuih seri muka itu. Dia mengangkat punggung dan merangkak sedikit ketengah.
Semasa dalam keadaan tertonggeng itu, tiba-tiba Jusoh telepas kentut. Jemaah lain yang sudah sedia tersenyum dengan lagak Jusoh itu terus tertawa. Yang anehnya, Jusoh juga turut tertawa sama. Dia tidak menyedari bahawa dialah yang sebenarnya sedang diketawakan. Mereka berbalas-balas ketawa tanpa ada rasa prasangka langsung.
Makin lama makin lebat mereka ketawa. Lebih-lebih lagi Jusoh. Galaknya dia ketawa sehinggakan terkeluar hingusnya. Hingusnya meleleh hingga ke dalam mulut dan bercampur dengan kuih seri muka yang sedang dikunyahnya. Jemaah lain ketawa semakin rancak.
Seseorang memberitahu Jusoh dengan isyarat tangan yang hingusnya sedang meleleh. Jusoh menarik kain pelekatnya ke muka untuk mengesat hingus. Kain pelekatnya terkuak menyebabkan jemaah-jemaah di depannya tergamam!
Cepat-cepat seorang jemaah menarik turun kain pelekat Jusoh semula. “Nanti dia terbang lari, jenuh orang lain nak tolong kejar pulak,” katanya.
Namun Jusoh tidak memahaminya, jauh sekali untuk berkecil hati. Orang-orang kampung pula tidak sesekali mengeji atau memarahi Jusoh. Sebaliknya mereka meraikannya pula. Mereka sedia maklum dan sudah biasa akan keadaan Jusoh. Dia adalah seorang insan istimewa yang terpilih sebenarnya di muka bumi ini.
            Selepas melahap tiga potong kuih seri muka, Jusoh mencekup tiga potong lagi. Dia melonggarkan kilasan kain pelekatnya lalu meletakkan kuih seri muka itu diatasnya. Kemudian kain pelekatnya dikilas semula. Maka dapatlah disimpannya kuih itu di satu tempat yang selamat. Itulah cara Jusoh yang canggih untuk menapau kuih!
            “MasyaAllah…” keluh seorang jemaah. Dia seperti juga jemaah-jemaah lain,  tidak tergamak menegur perlakuan Jusoh itu. Budak-budak muda pula hanya memandangnya sinis.
            Selepas itu Jusoh terus bangun dan tergesa-gesa turun dari surau meninggalkan jemaah-jemaah lain yang rata-ratanya belum pun habis makan seketul kuih. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala kerana kasihan.
            Jusoh terus melangkah pantas pulang ke rumahnya. Sebenarnya ada sesuatu telah mengganggu fikirannya. Namun dia tidak dapat menentukan apakah puncanya. Dadanya pula berdebar-debar cemas.
            Malam itu Jusoh berbaring dalam resah. Puas dia berkalih ke kiri dan ke kanan, tetapi matanya tidak mahu lelap. Apa saja yang dibuatnya menjadi serba tak kena. Dia cuba berguling pula ke sana dan ke mari. Dia juga terlupa nak memakan kuih seri muka yang tapaunya di surau tadi.
Akhirnya Jusoh berjaya mendapat lena setelah kepalanya terkulai keluar dari atas bendul pintu. Dia juga enak memeluk sebiji tempayan yang sebelum ini digunakan untuk mengisi ikan pekasam. Rupa-rupanya dia bermimpi sedang memeluk dan mencium salah seekor daripada lembu-lembunya!
            Selepas tersedar pada besok paginya, Jusoh mendapati dirinya dalam keadaan terjunam di atas tangga. Kepalanya berada di anak tangga paling bawah, manakala kakinya tersangkut pada anak tangga paling atas. Tempayan bekas pekasam masih kemas dipeluknya.
Jusoh terasa mahu mandi. Dia mencapai kain sal mandinya dari alang kayu. Sewaktu dia membuka kilas kain pelekatnya, tiba-tiba Bek… Bek… Bek… kuih seri mukanya semalam jatuh ke lantai satu per satu. Sisa-sisa kuih seri muka yang masih melekat pada kain pelekatnya telah penyek dan basi.
            Namun dek kerana sayangnya pada kuih itu, Jusuh mengambil sudu dan mengaut kuih seri muka itu lalu disuapkan ke mulut. Jika orang lain yang makan kuih yang sudah masam itu, sudah pasti anak tekak akan menjeluaknya semula, termasuk segala isi-isi perut yang lain juga.
            Entah macam mana pula rasanya Jusoh mengecapi kuih seri muka basi itu. Agaknya mungkin rasanya seperti kentang putar KFC ataupun seperti desert pencuci mulut ala Itali yang berkrim mewah di hotel lima bintang. Tak kisahlah… Yang pasti, kuih seri muka basi itu telah membuatkan muka Jusoh berseri-seri pagi itu.
Itulah untungnya bila deria rasa sudah kondem. Boleh makan apa sahaja, tak kiralah kuih basi ataupun buah busuk, rasanya tetap sedap! Tak perlulah penambah perisa Aji No Moto ataupun Thousand Island. Tapi yang musykilnya, bila ada lauk budu atau ikan pekasam, selera Jusoh bertambah pula. Tau pula lidahnya mengenali rasa budu dan ikan pekasam itu. Setelah habis menjilat baki sisa-sisa kuih seri muka yang bertempek pada kain pelekatnya, maka selesailah sarapan pagi yang ringkas bagi Jusoh hari itu.
Seperti orang lain juga, Jusoh mengamalkan gosok gigi. Dia mengikut petua orang-orang tua dulu, yang mana arang digunakan. Arang itu ditumbuk halus menjadi serbuk, dan kemudiannya disental pada gigi. Tapi malangnya, ada juga ketikanya Jusoh terlupa berkumur semula selepas itu! Maka senyuman Jusoh hari tersebut akan menjadi lebih mengancam bila giginya di’tinted’ gelap.
Selesai gosok gigi, Jusoh terus mandi. Walaupun dianggap gila, paling kurang Jusoh mandi tiga kali dalam sehari. Biasanya sambil mandi Jusoh mencuci pakaiannya juga. Pada Jusoh, jadi orang gila tak semestinya berwajah buruk dan berpakaian selekeh. Kebersihan diri dan pakaian perlu sentiasa dijaga. Oleh itu, Jusoh boleh dikelaskan sebagai orang gila moden.
Pakaian yang mahu dicuci dilonggokkan Jusoh ke dalam sebiji besen besar. Selepas diisi air dan sebuk sabun secukupnya, dia akan masuk ke dalam besen itu dan menginjak-injak dan membolak-balikkan pakaiannya dengan kaki. Pakaiannya itu akan sebati dengan larutan sabun dan seterusnya menyingkirkan kotoran dan bau. Sambil itu Jusoh bergayut pada sebatang alang kayu dengan tangannya bagi mengimbangi badan.
Kaedah mencuci pakaian cara Jusoh ini cukup mudah, murah dan ringkas. Dengan hanya menggunakan kudrat kaki, tenaga elektrik dapat dijimatkan. Dia menamakan kaedahnya itu sebagai Tokaki. Ianya sebagai ganti kepada mesin basuh Toshiba, yang amat diidamkannya, tetapi tidak mampu untuk dibeli.
            Sesudah dibasuh dan disental lebih kurang, Jusoh akan menjemur pakaiannya di pagar dawai mata punai di depan rumahnya. Pakaian itu akan kering di bawah sinaran terik matahari. Namun biasanya pakaian itu tidak diangkat semula apabila hari petang. Ianya akan dibiarkan berembun di malam hari dan akan kering semula jika hari panas pada keesokannya.
            Begitu juga halnya jika hujan turun. Pakaian itu akan basah kuyup di dawai mata punai. Dan ia akan kering semula bila hari panas. Proses ini akan berlaku berulang-ulang kali sehinggalah Jusoh mengambil pakaiannya semula untuk dipakai. Yang kelakarnya, ada pakaian yang disarungkannya masih lagi basah, walaupun sudah lebih seminggu dijemurnya di pagar dawai mata punai itu!
            Seperti mana orang lain juga di pagi hari yang kelam-kabut mempersiapkan diri untuk ke pejabat, Jusoh juga tidak terkecuali. Jusoh menyarung seluar yang kancingnya sudah lama tanggal. Namun ianya bukan satu masalah kerana dia sentiasa mengenakan tali pinggang, iaitu tali raffia yang dililitkan sebanyak dua kali ke pinggangnya sebelum disimpulkan seperti riben di hujungnya.
Kemudian Jusoh memakai kemeja pula. Hampir separuh butangnya juga sudah hilang. Apa nak dihairankan? Fesyen sekarang memang orang berlumba-lumba mendedahkan dada dan tak perlu mengenakan butang baju. Satu yang menariknya, Jusoh tergelak apabila melihat orang memakai tali leher. Macam lembu kena jerat, katanya. Nanti orang boleh menariknya ke sana dan ke mari. Ataupun boleh juga ditambat pada pancang. Sebagai ganti kepada fesyen tali leher, Jusoh melilit semutar lusuh di kepalanya.
Orang lain akan bergaya dengan handphone berjenama yang mempunyai beg khasnya sendiri. Beg khas handphone yang diperbuat daripada kulit itu akan diselitkan pada tali pinggang, berhampiran dengan poket kanan seluar. Beg handphone itu juga akan mempamerkan jenama dan logo handphone yang akan menambahkan lagi prestij si pemiliknya. Jusoh juga terpengaruh dengan trend sebegitu, cuma dia mengubah suai sedikit. Sebagai ganti handphone, Jusoh menyelitkan sebilah sabit pada tali raffia di pinggangnya.
Selesai berdressing sakan, Jusoh turun ke tanah mencari briefcasenya yang diselitkan di celah-celah kayu alang lantai rumah. Briefcasenya ialah sebiji beg kanvas besar, bekas kampit makanan ayam ternak seberat lima puluh kilogram. Briefcasenya itu akan digunakan untuk mengisi rumput yang akan disabitnya nanti.
Sambil mengepit briefcasenya di celah ketiak, Jusoh memulakan langkah menuju ke pejabatnya. Ya, dia juga perlu sampai di pejabat sebelum waktu kerja bermula, iaitu sebelum bosnya mendapat modal untuk bising berleter jika dia terlewat. Maksudnya, Jusoh perlu tiba di kandang lembunya sebelum lembu-lembunya membuat bising kerana lapar.
            Padang ragut lembu Jusoh tidaklah jauh sangat dari rumahnya. Dia hanya perlu menyusuri ban tali air sejauh kira-kira setengah kilometer sahaja. Padang ragutnya terletak di atas tanah rezab kerajaan, di bawah laluan kabel talian penghantaran elektrik bervotan tinggi. Agak terpinggir sedikit ke tepi semak-samun di padang ragut itu, terdapat sebuah pondok yang sederhana besarnya.
Pondok kayu beratap zink ini Jusoh bina sebagai banglo kediaman lembu-lembunya. Satu pangkin khas dibuat di pondok itu untuk dirinya sendiri berehat melepaskan penat selepas menguruskan lembu-lembunya. Sekali-sekala dia juga turut menginap bermalam terus di situ. Ini bolehlah diumpamakan sebagai percutian rehat hujung minggu Jusoh di homestay ala-ala kampung. Untuk lebih tepat lagi, ala-ala kandang lembu.
Bagaikan tahu tuan mereka akan tiba, dari jauh lembu-lembu dalam kandang tercangak-cangak memandang Jusoh yang pantas bejalan menuju ke ke arah mereka.
“Wuuoooohh!……” jerit Jusoh.
“Moooo… buooh… a’oooh… woooo…” hingar-bingar lembu-lembu Jusoh menyahut.
“Wuuooooooohh!……” jerit Jusoh lagi.
“Buooooh… huooooh… waooo… mooooaaaahh…” semakin galak lembu-lembu Jusoh menyahut.
            Jusoh membuka pintu kandangnya. Berebut-rebut lembu-lembunya mahu keluar melalui pintu sempit itu yang hanya mampu dilepasi seekor sahaja untuk setiap kali. Ini akan memudahkan Jusoh untuk mengira lembu-lembunya. Itulah rutin awal-awal pagi Jusoh sebelum menbuat kerja-kerja lain.
            Selesai semua lembu-lembunya keluar, Jusoh mendapati bilangannya kurang seekor. Dia menjenguk-jenguk ke dalam kandang. Mungkin ada lagi lembunya yang masih tidur, sakit atau cedera, ataupun tersepit di celah-celah turus pagar kandang. Manalah tahu ada di kalangan mereka yang lebih kecil telah diragging oleh para senior. Nampaknya kandang itu kosong. Semua lembunya sudah pun keluar. Jusoh membilang semula lembu-lembunya yang bertaburan di padang ragut.
Walaupun sudah diulang kira sehingga empat lima kali, Jusoh tetap mendapati jumlah lembunya kurang seekor. Setelah diselidik dan ditilik-tilik, Jusoh dapat mengenal pasti lembunya yang tiada itu. Dia kenal benar dengan setiap ekor lembunya yang mempunyai rupa, warna, saiz dan kerektor sendiri. Lembu itulah yang hadir dalam mimpinya semalam. Adakah itu tanda yang lembunya…
Fahamlah kini Jusoh bahawa keresahan yang menyelubunginya semalam ada sebabnya. Begitulah juga dengan mimpinya bersama lembu itu. Jusoh bergegas mencari lembunya yang hilang itu di sekitar padang ragutnya. Dia mengharapkan lembunya itu selamat. Harap-harap lembu itu hanya mengigau saja semalam, yang boleh membuatnya berjalan dalam tidur. Dan kemudiannya hanya tersesat dekat-dekat semak-samun di tepi padang rumput itu sahaja.
Tiba-tiba hidungnya terhidu sesuatu yang berbau hamis. Ya, dia kenal akan bau itu. Punca bau itu pasti tidak jauh dari situ. Serta-merta terbayang di fikirannya sesuatu yang buruk telah berlaku pada lembunya. Jusoh mula melilau-lilau mencari dari mana datangnya bau hamis itu. Dia menjenguk-jenguk terus ke dalam semak-samun renek yang tidak jauh dari kandang lembunya.
Sayup-sayup Jusoh mendengar bunyi bising seperti langau. Dia menjadi semakin yakin kerana bau hamis dan bunyi langau ini saling berkaitan. Lantas dia menjejakinya. Di waktu bau hamis semakin kuat menusuk hidung, Jusoh dapat melihat sekumpulan langau hijau yang besar menghurungi sesuatu tidak jauh di depannya. Dia segera meluru ke situ.
            Tempat itu sungguh kacau-bilau nampaknya. Pokok-pokok renek terhenyak ke tanah. Selonggok perut lembu yang setengahnya telah terburai dengan tahi masamnya ada di situ. Tidak jauh darinya ada takungan darah beku di atas tanah. Kesan-kesan darah juga terpercik mengotori ke segenap kawasan.
            Di sebelah hulu sedikit terhampar sebidang kulit lembu. Lantas Jusoh membeleknya. Sah, itu adalah kulit lembu kepunyaanya. Dia kenal benar akan warna setiap lembunya. Dan apa yang menaikkan lagi darahnya ialah setelah dia melihat sebiji kepala lembu yang disangkut pada dahan sebatang pokok. Itulah lembu yang dipeluk dan diciumnya di dalam mimpinya semalam!
            Entah siapalah punya angkara ini. Jusoh menjerit sekuat hati. Dia menghamburkan marahnya dan menyumpah-nyumpah dengan kata-kata kesat. Matanya meligas ke kiri dan ke kanan. Mungkin orang yang membuat kerja terkutuk ini ada bersembunyi di sekitarnya. Dia mahu menangkapnya hidup-hidup. Kalaulah dia dapat orang itu, akan disembelih dan dilapahnya di situ juga, seperti mana yang telah diperlakukan terhadap lembunya.
            Setelah tiada sesiapa pun di sekitar kawasan itu dijumpai Jusoh, dia memutuskan untuk menunggu di situ. Namun Jusoh hampa. Tiada sesiapa jua yang datang ke situ sehingga menjelang tengah hari. Mungkin mereka telah membawa daging lembunya itu ke pasar. Dan mungkin juga sekarang mereka sedang bergembira menikmati hasil jualan lembu curi itu.
            Dengan satu keluhan yang berat, Jusoh menurunkan kepala lembunya dari celah dahan. Dengan sebelah tangan membimbit tanduk di kepala lembu dan sebelah tangan lagi mengheret kulitnya, Jusoh berjalan perlahan-lahan keluar dari semak.
Dia menghamparkan kulit lembu itu menutupi sebuah busut besar yang terletak berhampiran dengan kandang lembunya. Kemudian kepala lembu itu pula dicacakkan pada sebatang tunggul di hujung busut tersebut. Jika dilihat sekali imbas dari jauh, pasti orang akan menyangka busut itu adalah seekor lembu yang sebenar.
Jusoh mula bercakap-cakap sedih dengan lembu busutnya itu seperti mana ketika lembu itu masih hidup dulu. Cuma kini lembu busut itu tidak dapat membalasnya lagi. Jusoh juga menggosok-gosok kepala dan hidung lembu kesayangannya itu.
Juga disabitnya rumput lalu diletakkan di bawah kepala lembu di busut itu. Dia mengharapkan agar lembu busutnya itu makan. Sudahnya rumput-rumput itu layu dan mengering setelah beberapa hari gagal dimakan oleh lembu busutnya.