Talam Dua Muka
Satu pagi yang damai, Liafara terkejut dari tidur bila buzzer jamnya berbunyi. Angka digital pada jam menunjukkan pukul enam pagi. Liafara menenyeh-nenyeh ke dua-dua kelopak matanya dengan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan. Dipicit-picit juga hidungnya.
Liafara menolak selimut lalu bangun dari katil meninggalkan Jamilkhir yang masih berdengkur. Dalam keadaan masih mamai itu, dia melangkah longlai ke bilik air. Dia mencapai berus dan ubat gigi. Dia menguap besar tanpa menutup mulut. Sekilas dia terpandang cermin, dia terperanjat besar. Hampir-hampir dia terjerit, namun sempat dia menekup mulutnya.
Satu makhluk berwajah aneh yang sedang menyiat mulut bagaikan mahu memakannya terpapar di cerminnya tadi. Setelah dia mengamatinya lima enam saat, barulah dia sedar wajah itu adalah wajahnya. Cuma sesuatu yang aneh terjadi pada mata dan hidungnya. Kelopak mata kanan dan hidung sebelah kanannya tercalit sesuatu yang berwarna hitam.
Setelah diperiksa, Liafara mendapati sesuatu benda melekit berwarna hitam tercalit di situ.
“Dari mana pula datangnya benda ini?” Liafara bertanya sendirian.
Liafara membelek lagi mukanya. Maka ternampaklah Liafara akan perut ibu jari kanannya turut dilekati benda melekit bewarna hitam itu. Dia mengagak, dari situlah datangnya benda itu sebelum tersebar ke kelopak mata dan hidungnya. Tentu sekali benda itu berjangkit ke situ sewaktu dia menenyeh-nenyeh mata dan memicit hidung selepas terjaga dari tidur tadi.
Liafara mencium ibu jari kanannya. Tiada apa bau aneh yang dihidu, kecuali sedikit iras-iras bau minyak pelicir enjin yang sudah hitam. Dan tentunya bukan najis cicak juga. Liafara cuba mengelapnya dengan kertas tisu, tetapi kesannya tetap tinggal walaupun disental kuat. Setelah dicuci dengan menggunakan sabun barulah kesan hitam itu tanggal semuanya.
Sambil menggosok gigi, Liafara berfikir-fikir apakah benda berwarna hitam itu dan bagaimana pula ia berada di tangannya. Dia berhasrat akan bertanya pada Jamilkhir nanti. Namun selepas keluar dari bilik air, dia mendapati Jamilkhir sudah tiada di atas katil. Rupa-rupanya suaminya itu sudah bangun dan sedang berada di dalam tandas. Masa Jamilkhir berada di tandas yang terlalu lama itu membuatkan Liafara semakin terlupa akan hasratnya itu.
*****
Menjelang tengah hari itu, semuanya telah selesai. Jamilkhir dan Hasnina telah selamat diijab kabulkan di pejabat kadi daerah. Majlis ringkas itu dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri oleh pengantin, kadi, wali dan saksi-saksi penting sahaja.
Semua ini telah diatur rapi oleh Razi, pembantu Jamilkhir tanpa pengetahuan Liafara. Segala urusan berjalan dengan licin dan cepat kerana Jamilkhir sendiri bekerja di pejabat agama daerah yang memudahkan banyak urusan.
Razi juga telah menempah satu dewan di Ri-Yaz Heritage Hotel untuk majlis meraikan pengantin baru itu malam ini. Turut di tempah ialah satu suit mewah untuk pengantin bermalam pertama nanti.
Pulang sahaja ke rumah petang itu, Jamilkhir terus mempersiapkan diri untuk majlisnya malam nanti. Dia memilih untuk memakai sepasang baju melayu berserta sampin. Dia tercari-cari akan songkoknya.
“Fara! Fara! Mana songkok abang?” laungnya.
Senyap. Tiada sahutan balas kedengaran. Barulah Jamilkhir teringat, petang ini adalah jadual Liafara pergi menari poco-poco dengan rakan-rakannya.
Sekonyong-konyong sahaja Jamilkhir terdengar deruman enjin kereta Liafara memasuki perkarangan rumah. Dia membiarkanLiafara yang baru sahaja sampai itu naik ke bilik dahulu. Liafara terpegun bila melihat suaminya bersiap dengan sepasang baju melayu bersampin.
“Eh, eh… Abang nak pergi ke mana dengan pakai baju melayu cantik-cantik ini?” tegur Liafara.
“Abang ada tugas rasmilah malam ini. Songkok abang mana, Fara?” tanya Jamilkhir.
“Tugas rasmi apa dengan pakai baju melayu macam nak naik pelamin saja? Abang nak pergi kawin ya?” usik Liafara.
“Ish, apa kamu merepek ni? Abang nak cepat ni. Songkok abang mana Fara?” ulang Jamilkhir.
“Ada juga tugas rasmi kena pakai baju melayu sepasang ya?” Liafara ketawa tawar.
“Kamu apa tahu, Fara. Abang kena ikut Exco mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri malam nanti. Mestilah kena pakai pakaian yang elok-elok untuk jaga protokol. Songkok abang mana, Fara?” Jamilkhir menggesa lagi.
“Hai, tak pernah-pernah pun abang ikut Exco angkat sumpah? Abang sudah naik pangkatkah?” rasa pelik menyerbu ke otak Liafara.
“Memanglah abang tak pernah ikut Exco angkat sumpah. Dah memang Exco-Exco angkat sumpah lima tahun sekali. Kali iniHaji Razali minta abang ganti tempat dia, sebab dia sedang bercuti sakit. Sebelum ini memang dialah yang pergi. Yang kamu ini banyak sangat tanya apa hal? Dari tadi abang minta songkok, mana songkok abang?” Jamilkhir membebel pula.
“Alah, abang ni, Fara tanya sikit pun sudah marah,” Liafara mula buat-buat merajuk. Dia pun menyelak-nyelak baju di dalam almari. Sebentar kemudian dia mengeluarkan sebiji songkok hitam.
Jamilkhir tersenyum bila melihat songkoknya dijumpai. “Bukan marahlah. Nasihat,” katanya berdalih.
“Mari Fara pakaikan abang dengan songkok ini,” kata Liafara sambil mengenakan songkok itu di kepala suaminya. Jamilkhir membiarkan saja.
“Ha, sudah kacak Encik Jamilkhir sekarang, tentu Yang Berhormat tuan Exco suka melihatnya,” puji Liafara memperbetulkan kedut-kedut baju di badan Jamilkhir pula.
“Oklah sayang, abang pergi dulu ya? Abang sudah lambat ni,” kata Jamilkhir lalu mencium dahi Liafara sebelum meninggalkannya dengan tergesa-gesa.
Liafara tidak sempat untuk memberitahu Jamilkhir yang dia juga akan keluar malam nanti. Rakan seperjuangan tarian poco poco Liafara telah meminta Liafara menemaninya ke majlis kawin seorang kenalan lamanya. Walaupun pada mulanya Liafara menolak, namun akhirnya dia mengalah bila kawannya itu berjanji untuk pulang awal.
Liafara pun lantas mempersiapkan diri juga. Sejam kemudian, kawannya itu tiba untuk menjemputnya. Tanpa Liafara dan kawannya itu sedari yang kedatangan mereka ke majlis kawin itu bakal mencipta satu kejutan yang amat dahsyat. Ia berlaku secara tidak sengaja dan berkebetulan sungguh nampaknya. Baik Liafara mahu pun Jamilkhir, tidak siapa pun yang menjangkakannya.
Sebaik masuk ke dewan majlis, jantung Liafara bagai berhenti berdenyut apabila melihat pengantin lelaki yang sedang meraikan para tetamu di depan itu adalah Jamilkhir. Dia menggosok-gosokkan matanya beberapa kali. Nyata matanya tiada masalah kabur. Dia juga menampar-nampar pipinya sendiri. Dan sekali lagi sahlah yang dia tidak bermimpi.
Rupa-rupanya di sini Liafara bagaikan menemui klu untuk merungkai dua perkara pelik yang dialaminya pada hari ini. Kejadian perut ibu jarinya tercalit dengan benda bewarna hitam subuh tadi dan juga kelakuan pelik Jamilkhir memakai sepasang baju melayu pada petang ini rupa-rupanya mempunyai kaitan secara langsung dengan majlis keramaian yang berlaku di dewan hotel itu sekarang.
“Fara, kau nak tahu tak? Kenalan lama aku ni kawin betul-betul ekspress. Lebih cepat dari Bas Cepat Ekspress. Hari ini isi borang kawin, hari ini juga dapat nikah. Malam ini buat majlis kemaian dan malam ini juga mereka honeymoon di hotel ini. Hebat kan?” kata kawan Liafara.
Liafara tidak menjawab. Apa yang kabur semakin jelas padanya sekarang. Ya, tidak syak lagi. Benda hitam di ibu jarinya subuh tadi adalah angkara suaminya sendiri, Jamilkhir. Benda hitam itu adalah bahan karbon yang digunakan untuk membuat cap jari. Untuk melengkapkan borang permohonan perkawinan ke duanya, Jamilkhir telah curi-curi mengambil cap jarinya!
“Kecil betul dunia ini,” ujar Liafara penuh geram.
Jamilkhir naik ke pentas dan memberikan sedikit kata-kata aluan. “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, terima kasih kerana sudi hadir ke majlis meraikan perkahwinan saya ini. Sebagaimana yang tuan puan sudah sedia maklum, ini adalah perkahwinan ke dua saya. Saya perlu berkahwin kali ke dua ini untuk mendapatkan zuriat kerana isteri pertama saya tidak boleh beranak. Ini kerana… ehem, saya rasa mungkin dia telah dikembirikan sejak kecil lagi,” ucap Jamilkhir yang sedikit fobia untuk menyebut perkataan mandul dan digantinya dengan ayat lain.
Hahahaha…para tetamu ketawa terburai.
Liafara berasa semakin terbakar apabila Jamilkhir secara terang-terang telah menghinanya di depan orang ramai. Tanpa membuang masa, dia terus meluru ke depan.
Jamilkhir tidak jadi untuk meneruskan ucapannya apabila ternampak sahaja akan Liafara. Dengan segera dia mencapai sebiji dulang di atas meja yang terletak berhampirannya lalu menutup muka dengan dulang itu. Jamilkhir mula membuka langkah untuk melarikan diri.
Namun Liafara segera mengejarnya dan terus merampas dulang yang dipegang oleh Jamilkhir.
“Hah, mana nak lari?” tempik Liafara.
“Bertenang Fara, jangan kecoh-kecoh,” kata Jamilkhir terketar-ketar.
“Ooo… kata nak ke majlis angkat sumpah Exco. Di sini rupanya Exco awak angkat sumpah ya?” Liafara menengking.
“Exconya sudah cancelkan angkat sumpah, jadi abang datanglah ke majlis kawin ini, ehehe… tak salah, kan?” kata Jamilkhir dengan gugup.
“Ooo… pandai betul abang buat muslihat. Abang ingat Fara bodoh? Ini, bila masa abang kawin dengan perempuan ini? Di mana abang dapat perempuan tak sedar diri ini?” tanya Liafara sambil menuding jari telunjuknya pada Hasnina.
“Abang tidak sengaja kawin dengan dia, sayang. Eh bukan…” kata-kata Jamilkhir terhenti. Mukanya kelihatan sungguh cuak.
“Tidak sengaja? Abang mari sini,” kata Liafara lalu menarik tangan Jamilkhir mendekatinya.
“Sebenarnya dia ini nak kawin dengan YB Exco itu dulu, tapi masa majlis akad nikah hari tu, YB Exco itu tidak dapat datang. Jadi abang gantilah tempat dia,” kata Jamilkhir dengan pembohongan bodoh yang direka-reka.
“Ooo… ganti tempat ya? Abang kenal tak benda yang saya pegang ni?” Liafara menggoyang-goyangkan talam di tangannya.
“Kenal, itu talam. Kenapa? Hehe…” Jamilkhir mulai takut bila melihat mata Liafara berapi-api.
“Asalnya talam ini ada satu sahaja mukanya sekarang. Mukanya sebelah sini, abang tahu?” ujar Liafara sambil menenyeh-nenyehkan jari telunjuknya pada muka talam itu.
“Tahu, hehehe…” jawab Jamilkhir. Sedaya upaya dia cuba mengawal gabranya..
“Ada juga orang cakap, ada talam yang ada dua muka. Abang tahu macam mana talam itu jadi dua muka?” soal Liafara lagi dengan geram.
“Tak tahu, hehe…”
“Abang nak tahu?” asak Liafara. Kembang kempis pula hidungnya menahan marah dengan sikap Jamilkhir yang menjawab main-main itu.
“Nak juga, hehe…”
Liafara melangkah rapat kepada Jamilkhir. “Mari saya beritahu. Untuk tambah satu lagi muka pada talam ini, saya akan hempuk muka abang dengan talam ni.”
Pang!... buntut talam itu menampar muka Jamilkhir sebelum sempat dia berbuat apa-apa.
“Nah, sekarang muka abang sudah lekat pada belakang talam ini. Sekarang talam ini sudah ada dua muka. Abang nak lagi?” Liafara menggertak.
“Adoi… tak mahu dah. Tak mahu dah,” Jamilkhir mengusap-ngusap pipinya yang pijar itu. Dia melompat terjun dari pentas. Dengan pantas juga Hasnina mengejarnya. Jamilkhir berlari mengelilingi meja bulat yang menempatkan kek tingkat perkawinannya. Namun Liafara telah memintasnya dari depan. Nyaris-nyaris Jamilkhir ditangkapnya.
Jamilkhir dapat menyelamatkan diri untuk sementara waktu di sebalik meja kek itu. Namun dia tidak dapat lari jauh kerana Liafara mengacah-ngacahnya dari sebelah kiri dan kanan. Mereka saling bertukar arah mengelilingi meja kek sehingga Liafara tertolak meja itu. Kek tingkat yang tinggi itu bergoyang lalu terbalik menimpanya. Dia jatuh terlentang dan dihempap pula oleh kek tingkat itu di sepanjang-panjang tubuhnya. Kek yang paling atas jatuh betul-betul menyerkup muka Liafara.
Liafara cuba menjerit marah, tetapi krimmer kek itu telah merobos masuk ke mulutnya membuatkan dia tersedak. Dan dia tertelan juga sedikit sebanyak kek perkawinan suaminya itu secara tidak sengaja.
Orang ramai datang membantu Liafara bangun. Dalam terkial-kial menyapu krimer kek yang bertempek di muka dan seluruh tubuhnya itu, Liafara mendapati Jamilkhir sudah tiada di situ. Isteri baru si Jamilkhir juga turut hilang sama.
Liafara menepis tangan-tangan tetamu lain yang sedang membantunya lalu berhambat keluar dari dewan itu. Liafara menyerbu pula kaunter perkhidmatan pelanggan hotel.
“Berikan aku kunci bilik Jamilkhir, Cepat!” jerkah Liafara.
Budak perempuan penjaga kaunter itu tergamam melihat seorang wanita yang berlumuran dengan kek menyerang kaunternya.
“Apa lagi terhegeh-hegeh? Berikan aku kunci bilik Jamilkhir, Cepat!” jerit Hasnina lagi.
“Awak siapa?” tanya budak perempuan itu.
“Saya isterinya!” jerit Liafara lagi. Cepat-cepat budak perempuan itu menyerahkan kunci bilik yang ditempah oleh Jamilkhir.
Masuk sahaja ke bilik pengantin baru yang bakal bermalam pertama itu, Liafara terus mengamuk. Disentapnya semua ropol-ropol perhiasan dan kain lace yang telah dipasang. Dibalingnya ke lantai segala barang yang ada di meja solek. Diselongkarnya cadar dan tilam pengantin. Habis bersepah semua benda dikerjakan oleh Liafara.
Namun Liafara masih tidak puas hati kerana belum menjumpai Jamilkhir dan isteri barunya. Dia terus mengamuk sehinggalah sekumpulan pengawal keselamatan datang menangkap dan mengheretnya keluar dari hotel itu. Mulut Liafara tidak henti-henti menjerit memaki-hamun Jamilkhir dan isteri barunya.
Rupa-rupanya Jamilkhir dan Hasnina telah dibawa lari oleh Razi keluar dari hotel itu sewaktu Liafara dihempap kek tadi. Dan mereka terpaksa melayari bahtera malam pertama di hotel bajet rendah kerana sudah kekurangan wang tunai. Itupun Razi yang bermurah hati tolong meminjamkan duitnya dahulu. Hasnina pula tertinggal tas tangannya di dewan semasa kelam-kabut lari tadi.