Ahad, 16 Oktober 2011

Ahmad Alkebab bab 5


Dalam kesibukan berniaga kebab, hubungan Dimanosajo dengan Baiduri semakin erat. Mereka sudah berjanji akan sehidup semati. Bila mendapat waktu yang sesuai, mereka pun melangsungkan perkahwinan. Majlis perkahwinan mereka amat ringkas kerana memandangkan Dimanosajo hanyalah seorang pendatang dan Baiduri pula hidup sebatang kara setelah ibunya meninggal beberapa tahun dahulu.
Mereka menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri dengan penuh bahagia. Mereka juga saling kuat bekerja dan bercita-cita untuk mengubah taraf kehidupan kepada yang lebih baik. Dimanosajo menyimpan azam untuk berjaya sebagai saudagar besar dan kaya-raya suatu hari nanti. Baiduri tidak lagi bekerja dengan tauke daging di pasar. Sebaliknya dia menolong Dimanosajo memproses daging kebab di rumah.
Mereka menyewa rumah kecil di satu kawasan perumahan sederhana di pinggir kota Permaisuri, tempat tinggal Baiduri semasa bujang. Dimanosajo terpaksa membina ruang tambahan pada rumah itu untuk menempatkan kilang kecil pemprosesan daging kebabnya. Dia kini tidak lagi perlu ke pasar untuk mendapatkan bahan-bahan mentah, sebaliknya pemborong-pemborong pula datang menghantarnya ke rumah. Bahan-bahan ini dibeli dengan harga pukal yang dapat meningkatkan lagi margin keuntungan perniagaannya.
Sejak beristeri, rezeki Dimanosajo semakin murah. Perniagaan kebabnya kini semakin maju. Dia menggajikan beberapa orang pekerja untuk mengendalikan beberapa buah gerai kebab di sekitar kota. Walaupun begitu, dia sendiri lebih suka menjaja kebab dengan basikal beroda tiganya. Dia merasakan dengan cara itu dia lebih rapat dengan pelanggan-pelanggannya.
Kini Dimanosajo sedang berdebar-debar menunggukan kelahiran anak sulungnya. Dia tidak lagi membenarkan Baiduri melakukan kerja-kerja berat. Dia sendiri pun tidak pergi menjaja terlalu jauh dari rumah. Dia juga tidak lagi pulang ke rumah lewat malam seperti selalu. Sebelum matahari terbenam, dia sudah pun berada di rumah menemani isteri dan membantunya membuat kerja rumah.
Dalam pada itu, sesuatu yang merunsingkan Dimanosajo ialah statusnya di negara Malaysia ini. Dia masih lagi bergelar pendatang haram walaupun sudah tinggal di sini lebih daripada tiga tahun. Dia pernah memohon untuk mendapatkan taraf penduduk tetap sejak setahun lalu, tetapi sehingga kini dia belum menerima apa-apa jawapan.
            Ketakutan Dimanosajo mencapai kemuncaknya pada satu petang. Dia ditahan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran ketika sedang berniaga di sekitar kawasan perumahan mewah golongan elit. Basikal beroda tiganya bersama barangan niaga yang lain disita. Dia pula ditangkap dan di hantar kepada pihak imigresen. Semuanya berlaku dengan pantas dan tidak dapat dijangka langsung oleh Dimanosajo. Malah dia tidak sempat memaklumkan penahanannya itu kepada isteri mahupun pekerjanya.
Dimanosajo mengesyaki, pasti ada penghuni di perumahan elit itu tidak senang dengannya yang menjaja di situ. Dia tahu kehadirannya ke hulu ke hilir menjaja di situ mencacatkan pemandangan status kehidupan kelas tinggi di situ. Sebelum ini pun ada penduduk di situ yang menegurnya supaya tidak melaung-laungkan nyanyian jualan kebabnya yang dianggap mereka bising seperti pasar lambak.
Sejak dari masuk waktu maghrib lagi Baiduri dan pekerjanya telah berusaha menjejaki Dimanosajo. Mereka menyusuri ke setiap jalan dan lorong yang biasa Dimanosajo pergi. Tidak seorang pun yang mereka temui tahu di mana Dimanosajo. Baiduri mendapat tahu Dimanosajo ditahan apabila hari sudah lewat malam. Itupun setelah pekerjanya pergi ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan Dimanosajo.
Akhirnya Dimanosajo dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh mahkamah majistret. Oleh kerana kebetulan pada waktu itu Baiduri tidak mempunyai duit yang banyak di tangan kerana baru sahaja membeli stok barang yang banyak, dia tidak dapat membayar denda untuk suaminya. Dia juga tidak tahu bagaimana cara hendak membela suaminya kerana dia tidak berpelajaran tinggi. Tambahan pula dia sedang sarat mengandung. Jadi pergerakannya dan keupayaannya untuk bertindak amat terbatas.
 Di hari Dimanosajo dibawa ke penjara, Baiduri merayu kepada pegawai penjara supaya membebaskan suaminya dengan alasan dia akan melahirkan anak sedikit masa lagi.
“Tolonglah tuan, bebaskanlah suami saya,” kata Baiduri dengan linangan air mata.
“Saya tiada kuasa untuk membebaskan suami kamu. Kamu boleh kemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan,” tegas ketua pegawai penjara itu.
“Kami orang miskin, tuan. Manalah kami mampu untuk mengupah peguam buat rayuan. Saya hanya mampu mohon belas ehsan tuan sahaja,” rayu Baiduri lagi.
“Saya tidak boleh buat apa-apa untuk menolong kamu. Jika saya bebaskan suami kamu tanpa arahan mahkamah, saya pula akan didakwa kelak,” ujar ketua pegawai penjara itu lagi.
“Kami akan menyambut kelahiran anak tidak lama lagi, tuan. Bagaimanalah saya akan menghadapi seorang diri nanti tanpa suami. Tolonglah kami tuan,” kata Baiduri lalu menangis mengogoi-ngogoi. Tersentuh juga hati ketua pegawai penjara itu.
“Beginilah, saya tidak dapat hendak tolong. Ini adalah luar kemampuan saya. Saya hanya berkerja mengikut arahan. Pergilah minta tolong dengan saudara-mara kamu,” kata ketua pegawai penjara itu dengan lembut.
“Saya hidup sebatang kara tuan, hanya suamilah satu-satunya yang saya ada. Saya tidak ada tempat pergantungan lain lagi,” Baiduri merayu lagi.
“Kamu boleh minta pertolongan daripada rumah kebajikan. Minta maaf, saya terpaksa masuk dahulu kerana ada urusan lain dan kamu kena pergi sekarang,” kata ketua pegawai penjara itu lalu masuk ke dalam pejabatnya.
Maka pulanglah Baiduri dengan berjuraian air mata. Fikirannya kusut memikirkan nasib dirinya. Berhari-hari dia berkurung di rumah sahaja meratapi kedukaan seorang diri. Dia tidak lalu makan sehingga tubuhnya menjadi lemah lesu. Dia tidak tahu ke mana hendak mengadu lagi.
Sejak Dimanosajo dipenjarakan, Baiduri tidak lalu lagi mengusahakan perniagaan kebabnya. Semuanya diserahkannya bulat-bulat kepada pekerjanya. Kesempatan ini di ambil oleh pekerja-pekerjanya melarikan diri dengan stok bahan mentah  dan peralatan perniagaan kebab. Baiduri tidak mampu berbuat apa-apa.
Menambahkan lagi penderitaan Baiduri, beberapa hari kemudian, sekumpulan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran datang ke rumahnya dan merampas harta benda Dimanosajo yang tinggal. Segala rayuannya tidak diendahkan. Dia hanya mampu melihat sahaja harta benda sepencarian mereka berdua diangkut pergi.