Menjadi budak suruhan di gerai kebab, Dimanosajo menimba banyak ilmu dan pengalaman seelok-belok berniaga. Dimanosajo cepat belajar. Dalam masa sebulan lebih sahaja dia sudah boleh mengendalikan perniagaan kebab di gerai tanpa kehadiran taukenya. Dia sememangnya seorang yang rajin dan jujur. Inilah yang membuatkannya disayangi oleh tauke Benggali itu.
Merasakan telah tiba masa yang sesuai, Pak Balaichand memutuskan untuk membuka cawangan di tempat lain yang strategik bagi mengembangkan perniagaannya. Dia meminta Dimanosajo mengendalikan cawangan gerai baru itu. Dimanosajo menerima tugas itu dengan gembira, bagaikan mendapat pangkat baru. Di gerai baru ini Dimanosajo mendapat ramai pelanggan baru dalam masa yang singkat sahaja. Jualannya meningkat mendadak dan menyumbangkan keuntangan yang banyak.
Dimanosajo mula terfikir, gajinya tidak dinaikkan selaras dengan kemajuannya. Adalah lebih wajar jika dia dibayar komisyen berdasarkan peningkatan jualan. Atau setidak-tidaknya pun, dia patut diberi bonus yang setimpal. Dimanosajo mula menyuarakan hal itu pada Pak Balaichand, namun taukenya itu kurang senang untuk membincangkannya. Selepas didesak-desak oleh Dimanosajo, Pak Balaichand hanya memberikan janji untuk menaikkan gajinya bila tempoh kerjanya mencapai setahun.
Walaupun merasa sungguh tidak puas hati, Dimanosajo terpaksa akur sahaja. Dia mengalah apabila Pak Balaichand mengungkit-ngungkit dengan mengatakan yang dia sudah berjasa besar padanya.
Dengan sinisnya juga Pak Balaichand berkata, “Kalau tidak aku yang mengutip kamu dulu, sudah tentu kamu sekarag hidup merempat dan tidak sesenang ini.”
Dimanosajo merasa terhina. Hatinya terguris dengan kelancangan mulut bosnya itu. Dalam diam-diam, Dimanosajo merancang sesuatu. Setelah berpakat dengan Baiduri yang kini telah menjadi kekasih hatinya, Dimanosajo memutuskan untuk berhenti kerja. Dia mahu berdikari dengan berniaga sendiri.
Tindakan drastiknya ini mencetuskan kemarahan Pak Balaichand. Tambahan pula Dimanosajo juga berniaga kebab. Sudah tentulah ia akan menjadi saingan pada Pak Balaichand. Dan apa yang menyakitkan lagi hati Pak Balaichand, jenis dan resepi kebab yang dijual oleh Dimanosajo adalah seratus peratus sama dengan kebabnya!
Satu pertengkaran yang berlaku di antara seorang bekas majikan dengan bekas pekerjanya suatu petang tidak dapat dielakkan lagi. Dimanosajo dimarahi dan dimaki hamun di hadapan pelanggan-pelanggannya sendiri. Kerana sedar akan statusnya pendatang asing dan sebagai menghormati orang tua yang dianggap gurunya juga itu, sekali lagi Dimanosajo terpaksa beralah. Dia menutup gerainya di tengah kota itu.
Dimanosajo tidak putus akal. Dia harus tampil dengan konsep yang berlainan walaupun tidak boleh bertukar kepada perniagaan lain kerana kemahirannya hanya pada perniagaan kebab. Kali ini dia mahu menjual kebab dengan menggunakan gerai bergerak. Dengan lebihan wang simpanannya dan ditampung juga sedikit oleh Baiduri, Dimanosajo berjaya membeli sebuah basikal beroda tiga terpakai untuk menjaja sebagai permulaan. Dia berhasrat mengembangkan perniagaannya itu menjadi lebih besar. Dia juga memasang impian untuk menjadi kaya suatu hari nanti.
Mungkin sudah hikmah daripada kejadian itu, kini Dimanosajo mendapat berkali-kali ganda lebih ramai pelanggan dengan menjual kebab dari basikal beroda tiganya. Dia dapat menjelajah ke seluruh pelusuk kota, kawasan-kawasan perumahan dan kawasan kampung. Dia juga semakin dikenali ramai. Dia mula menyedari sesungguhnya berniaga dengan basikal beroda tiga ini punyai banyak kelebihan daripada berniaga di gerai statik seperti Pak Balaichand.
Dalam masa yang sama, jualan kebab di gerai Pak Balaichand merosot pula. Sudahlah dia kehilangan pembantu yang cekap, penyakit lelah yang sekian lama dihidapi Pak Balaichand juga bertambah teruk. Ini membuatkan dia kerap tidak membuka gerainya. Semakin lama semakin jarang Pak Balaichand berniaga sehinggakan ada kalanya seminggu hanya sehari dua sahaja dia membuka gerainya.
Keadaan ini membuatkan pelanggan-pelanggan Pak Balaichand hampa. Sedikit-demi sedikit pelanggan tetapnya beralih kepada kebab Dimanosajo. Kini perniagaan kebab Dimanosajo lebih maju daripada gerai kebab bekas tauke Benggalinya dahulu yang boleh dikatakan sudah hidup segan mati tak mahu itu.
Akhirnya pemuda pendatang Siam itu membeli perniagaan bekas taukenya setelah ia tinggal nyawa-nyawa ikan. Pak Balaichand juga hampir muflis. Tanpa menghiraukan perasaan berkecil hatinya selama ini, Dimanosajo meminta bekas majikannya itu berehat sahaja dan bersetuju untuk menanggung perbelanjaan hidupnya. Dimanosajo menganggap tindakannya ini adalah untuk membalas budi Pak Balaichand.