Untuk kali terakhir sebelum Baiduri melahirkan anak, dia menggagahkan diri datang ke penjara untuk bertemu dengan Dimanosajo. Dia mahu bercakap dengan suami dan meminta keredaannya jika berlaku apa-apa pada dirinya dan juga anak mereka sewaktu melahirkannya nanti. Dan kalau boleh dia mahu merayu kepada pegawai penjara agar suaminya diberi kelepasan sementara sewaktu dia mahu melahirkan anak nanti.
Namun pegawai tinggi penjara itu dengan angkuhnya telah memberitahu bahawa Dimanosajo telah dihukum bunuh dan mayatnya sudah dihantar ke kampung asalnya di Siam. Tanpa memikirkan yang Baiduri sedang sarat mengandung, pegawai penjara itu terus mencaci Baiduri suami isteri. Paling menyayat hati, Baiduri dituduh bersekedudukan dengan pendatang haram itu.
Hancur luluh hati Baiduri mendengar ayat-ayat kurang ajar Pegawai Penjara itu. Nafasnya tiba-tiba semput dan dunianya menjadi gelap. Dia rebah dan pitam di situ juga. Apabila tersedar, dia mendapati dirinya berada di rumah sakit. Dia terus bermurung diri. Kerap kali juga dia menangis dan merintih. Kadang-kala dia meracau-racau menyebut nama suaminya.
Selepas dua hari dirawat, semangat Baiduri pulih sedikit. Dia pun dibenarkan keluar. Namun Baiduri memohon untuk terus tinggal di rumah sakit itu sehingga dia melahirkan anak. Dia sudah tiada tempat hendak dituju lagi jika keluar dari rumah sakit itu. Kandungannya kini sudah cukup bulan. Bila-bila masa sahaja dari sekarang dia pasti akan melahirkan anak. Namun Baiduri diminta keluar dahulu dan datang semula apabila mengalami tanda-tanda mahu bersalin.
Rupa-rupanya masalah Baiduri tidak habis di situ. Apabila dia diminta membayar bil rawatan, dia hanya mampu menangis. Manalah dia ada duit lagi. Kesemuanya duit suaminya telah dirampas. Hajatnya untuk datang lagi ke rumah sakit itu untuk melahirkan anak nanti nampaknya tidak kesampaian selagi dia tidak melunaskan bil itu.
Dengan hati yang cukup pilu, sekali lagi Baiduri pulang dengan bercucuran air mata. Bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Dengan segera, dia mengemaskan barang dan pakaiannya serba sedikit. Dia memutuskan untuk pulang ke Kampung Tahi Lalat, kampung asalnya yang terletak agak jauh dari bandar Permaisuri untuk melahirkan bayinya. Dia perlu bertolak segera kerana jangka waktunya kian hampir.
Dengan memberikan cincin perkawinannya, satu-satunya barang berharga yang masih tinggal padanya kepada pemandu teksi sebagai bayaran tambang, dapatlah Baiduri pulang ke kampung asalnya dengan selamat. Dia masih mengenali seorang bidan di kampungnya yang juga kawan kepada arwah ibunya dahulu.
Nasib baiklah mak bidan itu sudi memberikan pertolongan dengan membenarkan Baiduri menumpang tinggal di rumahnya untuk sementara waktu. Baiduri yang keletihan dirawat secara tradisional dan disuruh berehat sahaja. Tiba waktunya, Baiduri selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Bidan tua itu jugalah yang menolong menguruskan Baiduri dan bayinya sehingga habis pantang.
Baiduri mahu menamakan bayi lelakinya itu dengan nama Sudirkamal. Nama ini adalah gabungan daripada nama artis terkenal iaitu Sudirman dan Mustafa Kamal yang amat diminati Baiduri. Namun kerana kekurangannya yang tidak pernah bersekolah, dia tersilap mengeja nama anaknya itu menjadi Sediakawal sewaktu pendaftaran. Dan lebih malang lagi, dia terlupa langsung nama sebenar suaminya. Sudahnya, terteralah nama Sediakawal bin Dimanosajo pada sijil kelahiran anaknya.
Setelah habis pantang, dengan bantuan penghulu Kampung Tahi Lalat, Baiduri dapat menetap di sebuah rumah kosong yang telah lama ditinggalkan oleh pemiliknya. Rumah itu diperbaiki oleh orang kampung akan kerosakannya sehingga Baiduri dua beranak dapatlah berteduh dengan selamat.
Sejak itu Baiduri hidup dengan mengerjakan kebun sayur untuk menyara diri dan anaknya. Hasil kebun sayurnya itu dijual kepada peraih yang datang memborongnya saban minggu. Sedikit demi sedikit Baiduri dapat melupakan kehidupannya di kota Permaisuri dahulu yang menyimpan banyak kenangan manis bersama Dimanosajo.
Amat jarang sekali dia bertandang ke kota permaisuri sejak dia meninggalkannya dahulu. Dia ke kota Permaisuri hanya jika ada perkara yang sangat penting sahaja. Dia juga tidak pernah menjenguk rumah lamanya kerana tidak sanggup lagi mengenang kembali kisah sedihnya dahulu. Dia juga tidak mengetahui apa yang sudah terjadi kepada Pak Balaichand sekarang.
Walaupun begitu, ingatan Baiduri pada suaminya dulu tidak pernah padam. Ada juga terlintas di hatinya mahu mencari kubur arwah suaminya serta bertemu dengan keluarga suaminya yang lain di Siam. Namun Baiduri tidak berani untuk pergi ke sana. Adalah sangat bahaya jika dia masuk ke Siam sebagai pendatang haram. Untuk pergi secara sah, Baiduri tidak pula tahu akan caranya. Lagi pun dengan membawa bayinya yang masih kecil pasti akan menyukarkan dirinya juga.
Keadaan dirinya yang miskin juga tidak memungkinkannya pergi. Lagipun dia tidak pernah memasuki Siam dan tidak kenal sesiapa pun di sana. Daripada teraba-raba pergi ke sana yang belum tentu akan berjaya menemui kubur suaminya, labih baik dia hanya berdoa sahaja dari jauh. Belum tentu juga keluarga suaminya akan menerima dirinya yang serba daif itu jikalau berjaya bertemu dengan mereka sekali pun.
Lama kelamaan kesedihan Baiduri pun lenyaplah. Kesibukannya mengerjakan kebun sayur mengalihkan tumpuan hatinya untuk tidak lagi mengenangkan peristiwa-peristiwa pahit yang telah dilaluinya. Tambahan lagi, dengan kehadiran Sediakawal yang semakin membesar itu di dalam hidupnya, jiwanya sudah tidak terasa kosong lagi.