6. Cerita Encik Jamalkhan
Dari keadaan duduk di birai katil, Liafara bangun. Dia berjalan mundar-mandir keliling katil, dari dinding ke dinding. Bila penat dia duduk semula, yang entah ke berapa kali. Dia melakukan perbuatan yang sama berulang-ulang. Kalaulah nak dibandingkan dengan orang yang buat umrah, mungkin sudah selesai satu rukun tawaf.
Sesekali Liafara menjenguk ke tingkap. Diintainya ke pintu pagar rumah. Manalah tahu kalau-kalau Jamilkhir sudah tiba. Disorotnya lorong masuk ke rumah jauh-jauh, selagi yang ternampak oleh matanya. Tiada langsung kelibat batang hidung si Jamilkhir mahu pun keretanya didapati. Lorong itu suram dan lengang, tiada satu pun kenderaan yang lalu. Malah rumah-rumah di sekitarnya juga turut sunyi sepi. Almaklumlah, waktu itu sudah pun pukul tiga pagi.
Liafara sudah sedia tahu yang suaminya tidak akan pulang pada malam itu. Sudah tentulah Jamilkhir akan menghabiskan malam pertama dengan isteri barunya ini di mana-mana tempat yang lebih istimewa. Tetapi entah kenapa, Liafara tetap mahu menunggu juga. Hatinya masih berapi-rapi. Sejak ianya dibakar di majlis perkawinan Jamilkhir di hotel tadi, maraknya api itu tidak reda-reda.
Sebenarnya Liafara sudah bersiap sedia untuk mengajar suami yang dianggapnya pengkhianat itu. Lelaki itu tidak tahu diuntung. Segala makan pakainya, hatta hingga ke seluar dalamnya Liafara yang tanggung. Gajinya sebagai penjawat awam tidak terusik langsung. Kemewahan dan pengorbanan yang dicurahkan Liafara selama ini tidak dihargai Jamilkhir. Malah dihancurkan hatinya pula. Bedebah engkau, Jamilkhir! Akan aku kerjakan kau cukup-cukup! Jerit hati Liafara meluap-luap.
Malam itu terasa panjang benar. Lambat pula nak jadi siangnya. Liafara berasa bagaikan mahu menarik keluar sahaja matahari supaya timbul segera. Kalaulah boleh dia berbuat begitu, alangkah baiknya. Jamilkhir harus dicari dengan segera. Liafara tahu, tidaklah ke mana sangat Jamilkhir akan pergi. Sampai waktunya Jamilkhir akan pulang juga. Lagipun Liafara tahu akan tempat yang Jamilkhir biasa pergi. Akan dijejakinya juga walaupun sehingga ke lubang tenggiling sekali pun!
Liafara tersedar apabila terdengar azan subuh dilaungkan. Entah macam mana dia telah terlelap jua akhirnya. Bila masa dia rebah ke tilam pun dia tidak tahu. Sempat juga dia bermimpi melihat Jamilkhir sedang berseronok bersama isteri barunya. Lantas Liafara bangun ke bilik air menyucikan diri dan mengambil wuduk.
Liafara tiba di perkarangan Pejabat Agama Daerah Marang sewaktu pagi masih awal lagi. Kakitangan pejabat agama masih belum ramai yang datang. Petak parkirnya masih kosong. Liafara meletakkan keretanya di petak parkir yang agak tersorok di satu sudut, tetapi dapat melihat jelas tempat parkir yang selalu digunakan oleh Jamilkhir.
Liafara mematikan enjin kereta, tetapi terus membiarkan siaran radio Hut FM terpasang. Pagi itu pengacara radio Faisal Ismaun bersama Farra Frozena membicarakan topik bengang. Mereka membuka talian kepada para pendengar untuk mengutarakan perasaan bengang masing-masing.
Liafara hanya termenung melayan perasaan. Deretan kereta-kereta masuk mula memenuhi ruang parkir. Liafara meninjau-nijau pada setiap kereta yang tiba. Hatinya tidak sabar untuk menyambut kedatangan kereta Jamilkhir. Sehinggalah jam di dashboard keretanya menunjukkan pukul 8 pagi, kereta Jamilkhir yang ditunggui Liafara tidak juga muncul-muncul.
Tiada lagi kelihatan kereta lain yang masuk. Waktu bekerja sudahpun bermula. Liafara mengeluh berat. Adakah Jamilkhir tidak datang berkerja hari ini? Hatinya tertanya-tanya. Ruang parkir yang biasanya Jamilkhir meletakkan kereta telahpun diisi oleh kereta lain.
Liafara mula berasa bosan. Tunggu dan tunggu dari semalam bagaikan menunggu buah durian yang tak gugur-gugur. Bunyi ketawa Faisal Ismaun dan Farra Frozena yang rancak di radio menarik perhatian Liafara untuk mengikutinya.
“…jadi apa yang membuatkan awak bengang?” kedengaran suara Faisal Ismaun bertanya.
“Saya rasa bengang tahap dewalah hari ni, Faisal, Farra. Masa saya sampai ke ofis pagi tadi saya rasa kasut saya ketat sangat. Saya pun bukalah kasut. Bila raba ke dalam kasut tu, saya rasa ada satu benda lembut, sejuk-sejuk aje,” seorang pemanggil bersungguh-sungguh menceritakan pengalamannya.
“Saspens… saspens… apakah yang lembut dan sejuk itu…” Faisal Ismaun menyampuk dengan membuat suara seram.
“Saya pun tuntunglah kasut itu ke lantai. Masa tu saya tak sedar yang bos saya lalu. Tiba-tiba terjatuhlah seekor katak yang dah penyek ke lantai, betul-betul depan bos saya. Aduh… saya tak tahu nak buat apa,” cerita pemanggil itu lagi.
“Hahaha… habis tu, apa bos awak buat?” tanya Farra Frozena.
“Bos saya kata, goreng pun sodap! Satu ofis riuh lepas tu. Malunya saya tak usah nak ceritalah. Rasa nak lipat saja muka saya ni masuk dalam poket,” kata pemanggil itu.
“Hahaha… apa lagi? Awak ambillah katak tu buat katak goreng celup tepung, hahaha…” Faisal Ismaun terus berseloroh membuatkan semua orang ketawa. Talian pemanggil itu pun diputuskan.
“Baiklah, kita ada pemanggil seterusnya di talian. Ya Encik Jamalkhan, anda dari mana?” tanya Faisal Ismaun.
“Ya, saya Jamalkhan, dari Marang Terengganu,” jawab si pemanggil itu. Hmm… Jamalkhan dari Marang? Hati Liafara bertanya. Dia memulas tombol pembesar suara agar dapat mendengar perbualan mereka dengan lebih jelas.
“Ya, Encik Jamalkhan, apakah perkara yang membuatkan anda bengang?” tanya Farra Frozena.
“Saya tak bengang, Farra. Saya cuma nak minta maaf,” kata pemanggil yang mendakwa dirinya sebagai Jamalkhan itu.
“Nak minta maaf? Anda sudah silap segmen nampaknya, Encik Jamalkhan,” balas Farra Frozena.
“Kita tak membicarakan pasal permintaan maaf pagi ini Encik Jamalkhan ya. Kita hanya membicarakan pasal bengang sahaja. Tolong ceritakan apa-apa yang membengangkan anda sahaja, ya. Yang bengong pun bukan,” tambah Faisal Ismaun pula.
“Saya memang tidak ada apa yang nak dibengangkan, tapi saya nak menceritakan perihal macam mana bengangnya isteri saya,” kata Jamalkhan lagi.
“Hah, isteri anda pula bengang? Bukan anda sendiri yang bengang? Macam-macam hal, hahaha…” Faisal Ismaun tergelak lucu. Nak cerita pasal bengang pun boleh wakilkan pada orang lain pula.
“Kenapa tu Encik Jamalkhan? Apa yang telah berlaku?” tanya Farra Frozena pula.
“Dia telah makan kek dengan banyaknya!” teriak pemanggil itu.
“Kek apa yang telah dia makan?” celah Faisal Ismaun pula.
“Dia makan kek tingkat kawin semalam, banyak sungguh. Sampai habis muka dan badan dia bergelumang dengan kek,” jelas Jamalkhan.
“Kenapa boleh jadi sampai macam itu, Encik Jamalkhan? Isteri Encik Jamalkhan itu masih sihat lagikah?” tanya Faisal Ismaun lagi.
“Semalam dia ada datang ke satu majlis kenduri kawin. Tapi sebaik saja dia melihat pengantin yang kawin tu, dia terus naik bengang. Mungkin terlalu maksimum sangat bengangnya punya pasal, dia mengkedarah kek tingkat pengantin itu semuanya,” cerita Jamalkhan lagi.
“Hihihihi… ada ke buat macam tu. Boleh saya tahu berapa tingkat kek itu?” Farra Frozena bertanya.
“Kalau tak silap saya kek itu ada lima tingkat,” kata Jamalkhan.
“Hahahaha…jadi, sempat ke tidak pasangan pengantin itu membelah kek itu?” tanya Faisal Ismaun pula.
“Tak sempatlah Encik Faisal,” kata Jamalkhan.
“Pasal apa dia buat macam itu? Dia jealous ke? Atau pengantin lelaki itu pak we lama diakah” tanya Faisal Ismaun lagi.
“Encik Jamalkhan ada bersama isterikah pada waktu itu?” tanya Farra Frozena pula.
“Memanglah isteri saya jealous. Dia jealous sangat. Saya pun ada di situ malam tadi. Faisal dengan Farra nak tahu kenapa?” soal Jamalkhan balik.
“Kenapa?” tanya Farra Frozena pantas.
“Sebab sayalah yang jadi pengantin lelakinya,” jawab Jamalkhan lalu ketawa. Liafara tersentak. Berderau darahnya.
“Encik Jamalkhan yang berkawin? Maknanya perempuan yang makan kek itu adalah isteri pertama Encik Jamalkhan? Dan Encik Jamakhan berkawin kali ke dua di depan isteri pertama Encik Jamalkhankah?” Faisal Ismaun meminta kepastian.
“Ya, tepat sekali. Saya kawin dengan isteri ke dua saya semalam, hahaha….” Jamalkhan itu ketawa besar. Daripada tune nada ketawanya, sahlah itu adalah Jamilkhir! Liafara menghempaskan kedua-dua tangannya ke stering.
“Kurang ajar!” marah Liafara menghambur. Dia menonyoh butang off pada unit radio keretanya itu dengan kasar. Suhu hatinya naik semula, mendidih-didih serta-merta.
Jam di dashboard kereta sudah menunjukkan angka sembilan setengah pagi. Takkanlah Jamilkhir tidak datang kerja hari ini, kata Liafara dalam hati. Mungkin juga isteri barunya yang hantar dengan kereta lain barangkali. Aku juga yang jadi tunggul di sini. Ini sudah tak boleh jadi, hati Liafara membebel-bebel. Dia mencapai beg tangannya dan membuka pintu.
Liafara memasuki pejabat agama daerah itu dan langsung ke pejabat Unit Undang-undang Keluarga.
“Assalamualaikum. Boleh saya berjumpa dengan Tuan Jamilkhir?” tegur Liafara pada Razi, pembantu Jamilkhir.
“Oh, Kak Fara. Waalaikummussalam. Tuan Jamilkhir tiada. Dia cuti hari ini,” balas Razi.
“Awak tahu dia bercuti kemana?” soal Liafara.
“Kami pun tidak tahu ke mana Tuan Jamilkhir bercuti,” jawab Razi berbohong. Padahal dialah yang menghantar Jamilkhir dan Hasnina menginap di hotel murah yang terletak tidak jauh dari pejabat agama itu semalam.
Jangkaan Jamilkhir semalam tepat. Dia berpesan pada Razi agar tidak memberitahu Liafara di mana dia berada apabila Liafara datang mencarinya di pejabat agama nanti. Dan sekarang Liafara betul-betul datang.
“Kak Fara tidak menghubungi Tuan Jamilkhir dengan telefon bimbit?” tanya Razi dengan menunjukkan rasa perihatin.
“Sudah, tapi tak dapat. Dari semalam lagi dia offkan telefon bimbitnya,” balas Liafara sambil menjenguk-jenguk ke bilik Jamilkhir.
“Boleh saya masuk ke bilik Tuan Jamilkhir?” tanya Liafara.
“Err… saya tak dapat bagi kebenaran,” kata Razi teragak-agak. Dia perlu memberitahu Jamilkhir dahulu untuk meminta keizinan. Namun, takkanlah dia hendak menelefon Jamilkhir sekarang. Bocorlah rahsia nanti.
“Tak apa. Dia suami saya,” kata Liafara lalu melangkah ke bilik Jamilkhir dengan pantas.
“Tapi puan…” Razi mengejar dan cuba menahan, tetapi sudah terlambat. Liafara sudah pun membuka pintu bilik Jamilkhir.
Mata Liafara melilau-lilau ke sekeliling bilik. Dia menyelak-nyelak fail-fail yang ada di rak dan juga di atas meja. Dia mencari sesuatu yang boleh memberikannya petunjuk di mana Jamilkhir berada.
“Puan cari apa?” tanya Razi.
“Awak tolong diam boleh tak?” balas Liafara keras.
“Jangan usik apa-apa dalam bilik ini, Kak Fara. Nanti Tuan Jamilkhir akan marah saya,”
“Kalau dia marah, cakap saja pada lelaki bedebah itu aku yang buat,” bentak Liafara.
Dia menarik laci meja pula. Sekonyong-konyong terpandanglah dia sekeping gambar foto di dalamnya. Dia mengambil foto itu lalu mengamatinya. Foto itu memaparkan gambar seorang wanita berdiri di tepi sebiji batu besar di tepi laut. Ya, rupa wanita itu memang sama dengan isteri baru Jamilkhir yang sempat dilihatnya di majlis perkahwinan semalam.
Razi menepuk dahinya. Namun gelagatnya telah di sedari oleh Liafara.
“Kenapa?” tanya Liafara.
“Tak ada apa-apa,” balas Razi.
“Aku tahu engkau menyembunyikan sesuatu daripada aku. Tapi tak apa. Kau orang tengoklah nanti, selama mana kau orang berdua dapat melarikan diri daripada aku. Ingat, kamu berdua akan terima akhibatnya nanti,” Liafara memberi amaran sebelum berlalu pergi.