Ahad, 27 November 2011

Nujum Pak Belukang bab 7

7.      Ditukar Basikal Buruk
            Hipnosis Pak Belukang kali ini nampaknya tepat. Dari jauh mereka nampak Pak Toman sedang mengerjakan kebunnya. Sekali pandang, Pak Belukang kelihatan seperti mencangkul tanah. Namun selepas berkali-kali pandang, Pak Toman nampaknya seperti menari dengan batang cangkul pula. Dia melenggang ke kiri dan ke kanan bersilih ganti, dengan gerakan cangkul yang turun naik di kiri dan kanannya. Pengerusi JKKK tergelak dengan gelagat Pak Toman itu.
            “Apa hal pula dengan Pak Toman ini? Tersampuk agaknya. Kalau tidak pun, dia ‘naik sheikh’ tengah hilang ingatan. Bolehkah Pak Belukang membuat hipnosis mencari semula ingatannya?” Pengerusi JKKK membuat lawak sambil menjeling pada Pak Belukang. Pak Belukang berasa tersindir, tetapi dia tidak menghiraukannya.
            “Ha, itu dia kuali saya!” jerit Kak Ramlah gembira apabila nampak kualinya yang terserkup di kepala Pak Toman. Pengerusi JKKK dan tiga orang pengadu lagi menyerbu dan mengepung Pak Toman. Dengan ini Pak Toman tidak dapat melarikan diri lagi.
            “Nah, ini dia pencuri kuali aku,” segah Kak Ramlah geram. Namun dia tidak berani merampas semula kualinya kerana di tangan Pak Toman ada cangkul. Lagi pun cangkul itu ada dua mata. Pak Toman nampaknya terperanjat dan terpinga-pinga.
            “Cangkul jenis apa ini, Pak Toman?” tanya Pengerusi JKKK. Semua orang di situ memandang cangkul Pak Toman pula.
            “Hei, itu mata cangkul aku!” teriak lelaki tua pemilik mata cangkul pula. Dia kenal benar dengan mata cangkulnya yang sedikit sompek di sebelah kanannya. Dia mengacah-ngacah Pak Toman untuk merebut cangkul dari tangannya.
            “Nanti, bertenang dulu. Jangan berbuat kasar dengan Pak Toman, nanti dia bertindak ganas pula. Mari kita runding baik-baik dengannya,” kata Pengerusi JKKK.
            Maka dengan penjelasan dan pujukan Pengerusi JKKK dan disokong juga oleh yang lain-lainnya di situ, akhirnya Pak Toman menyerahkan kembali kuali dan mata cangkul itu  kepada pemilik asalnya. Pak Belukang pun tersenyum lebar. Kepercayaan padanya yang hampir punah sebentar tadi kini kuat semula. Nampaknya mereka kembali percaya yang Pak Belukang adalah seorang ahli nujum yang hebat.
            “Bagaimana pula dengan meter air saya? Bolehkah Pak Belukang mengesan di mana ia berada? Tapi saya tiada bawa apa-apa benda yang menjadi sahabat pada meter itu,” kata lelaki pemilik meter air. Dia begitu cemburu melihat pengadu lain sudah mendapat kembali barang-barang mereka yang hilang.
            Serta-merta Pak Belukang memejamkan mata seperti bertafakur. Sebenarnya dia hanya berlakon, sambil mencari idea untuk mengakali pemilik meter air ini. Oleh kerana Belukang pun tidak menjumpai meter air yang dikatakan itu bersama barang-barang samun yang lain, tentu sekali Pak Belukang pun tidak tahu di mana meter air itu berada. Apatah lagi kalau hendak buat kerja sia-sia pergi mencarinya. Seketika kemudian muka Pak Belukang kelihatan berkerut sebelum dia memcelik matanya semula.
            “Meter air itu hak milik syarikat air, bukannya hak kamu. Jadi kamu hanya perlu melaporkan kehilangan meter itu kepada syarikat air. Selepas itu mereka akan gantikan dengan meter baru. Selesai cerita,” ujar Pak Belukang.
            “Tidak pun, syarikat air sudah potong bekalan air ke rumah kamu dan mencabut meternya. Cuba periksa balik, sudah berapa bulan kamu tidak bayar bil air?” tambah Pengerusi JKKK.
            “Err… bil air ya?... ya tak ya juga…” kata lelaki pemilik meter air itu tergagap-gagap.
            “Pergilah ke syarikat air. Tanya dengan mereka masalah kamu,” gesa Pengerusi JKKK.
            Nun di luar pagar sana, dua orang penyamun masih terjenguk-jenguk di sebalik semak.      
            “Eh, ramainya orang datang ke kebun Pak Toman. Pengerusi JKKK pun ada.  Eh, itu… orang tua yang kejar kita dengan basikal selepas kita ambil mata cangkul pagi tadikah? Nampak macam sama. Basikalnya pun serupa,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            Lelaki tua pemilik asal cangkul itu meninggalkan basikalnya di luar pagar kerana untuk masuk ke kebun Pak Toman, mereka terpaksa melompat pagar kawat berduri.
            “Betullah orang tua itu yang kejar kita tadi. Aku rasa dia sudah cam kita,” Penyamun Kuali mengiakannya.
            “Kalau begitu, kita berada dalam bahaya ini. Kita tidak boleh tangkap Pak Toman sekarang. Nanti kalau mereka nampak kita, kita pula yang kena tangkap,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Kita tangkap Pak Toman dengan toyolnya hari lainlah,” cadang Penyamun Kuali.
            Penyamun Mata Cangkul bersetuju. “Ya, untuk hari ini, apa kata kita curi basikal orang tua itu. Nampaknya dia tinggalkan di luar pagar kebun Pak Toman. Basikal buruk itu pun besi juga,” ujarnya.
            “Lepas itu kita juallah. Besi basikal itu sudah tentu lebih banyak daripada besi kuali dan mata cangkul yang hilang itu. Hahaha…” sambut Penyamun Kuali lalu ketawa gembira.
            Penyamun Mata Cangkul meletakkan jari telunjuknya ke bibir. “Syh… jangan ketawa kuat-kuat. Nanti mereka dengar,” dia memberi amaran. “Mari kita pergi ikut sebelah luar pagar sebelah sini supaya tidak bertembung dengan mereka,” ajaknya lagi.
            “Mari,” Penyamun Kuali bersetuju.
            Kedua-dua penyamun itu pun terhendap-hendap menyusup semak senduduk menuju basikal pemilik mata cangkul tadi. Sebaik diyakini selamat, mereka terus menolak basikal itu pergi dari situ dengan segera. Penyamun Mata Cangkul mengawal handle sementara Penyamun Kuali menolak basikal itu dari belakang.
            “Penatlah berlari. Apa gunanya ada basikal kalau asyik ditolak sahaja. Bukankah lebih bagus kalau kita tunggang?” kata Penyamun Kuali dengan termengah-mengah.
            Lantas Penyamun Mata Cangkul melompat naik lalu mengayuh pedal. Penyamun Kuali juga melompat naik membonceng di belakang. Basikal buruk itu berkeriut di sana sini kerana menanggung beban berlebihan dua penyamun itu. Kayuhannya terasa berat disebabkan tayar-tayarnya kurang angin. Basikal itu bergoyang-goyang sehingga Penyamun Mata Cangkul tidak dapat mengawalnya dengan selesa. Mungkin ball ring basikal itu sudah tiada ataupun lidi rodanya sudah longgar.
            “Berapa punya buruklah basikal ini. Sedikit lagi nak merelai. Ini macam punya basikal masih ada orang pakaikah?” keluh Penyamun Mata Cangkul.
            “Basikal buruk pun, basikal buruklah. Janji besi. Bila dijual dapat duit,” balas Penyamun Kuali.
            Tiba di kaki sebuah bukit, mereka terjumpa dengan sebuah motosikal besar yang bertongkat di tepi jalan. Anehnya, tiada sesiapa pun kelihatan di situ. Yang lebih menghairankan mereka, kunci motosikal itu ada di tempatnya.
            “Wah, kita jumpa dengan rezeki besar,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Apa lagi, mari kita rembat!” sahut Penyamun Kuali lalu terjun mendapatkan motosikal itu. Dia membelek-beleknya dengan takjub. Penyamun Mata Cangkul berhenti dan menongkat basikal di sebelah motosikal itu.
            “Kau ambillah basikal itu, aku hendak ambil motosikal ini,” kata Penyamun Kuali yang sudah bersedia duduk di atas motosikal dengan gaya hendak menunggang.
            “Mana boleh, tidak adil! Aku yang nampak dulu motosikal ini. Jadi motosikal ini milik aku dan engkau pula kena ambil basikal itu,” bantah Penyamun Mata Cangkul pula.
            “Tak boleh. Tak adil. Aku dulu yang pegang motosikal ini. Jadi Motosikal ini aku punya,” Penyamun Kuali berkeras.
            “Ini sudah tidak boleh jadi. Tidak ada sudahnya kalau kita terus berebut. Aku ada idea yang lebih adil. Kita jumpa motosikal ini sama-sama. Jadi kita sama-sama miliki motosikal ini. Kita ambil dulu motosikal ini dan bawa pulang, nanti kita bahagi motosikal ini sama rata, setuju?” cadang Penyamun Mata Cangkul.
            “Ok, setuju,” Penyamun Kuali mengangguk.
            “Mari cepat kita pergi. Biar aku tolak Motosikal ini sebelum tuan dia nampak,” gesa Penyamun Mata Cangkul.
                                                                        *****
            “Celaka!” hamun Dato’ Kontot. Dia menghempaskan pintu kereta dengan kuat. Dia dijemput oleh isterinya bersama pemandu di hujung Kampung Kangkung Kering.
            “Itu padahnya abang buang air di tempat keras, tidak minta izin dulu,” Datin Montel menyakat.
            “Minta izin dari siapa?” Dato’ Kontot menyingga.
            “Dari penunggu di situlah,” ujar Datin Montel.
            “Kenapa pula abang yang kena minta izin? Abang Pengetua Parang Kangkung Jaya di sini. Dialah yang patut minta izin daripada abang kalau nak tinggal di situ. Kalau dia mahu sokong abang, abang bagi dia tinggal free sahaja di situ. Kalau mahu rumah, abang boleh bagi rumah PPRT. Dia boleh duduk diam-diam dalam rumah itu dan buat apa dia suka. Janji dia undi abang,” Dato’ Kontot berleter.
            “Abang ini balik-balik cakap pasal undi. Tak ada perkara lain agaknya abang nak fikir? Motosikal kena curi pun hendak dibabitkan dengan mengundi juga,” Datin Montel buat-buat merungut. Sengaja dia mengusik begitu.
            “Awak tu tidak sedarkah yang selama ini awak hidup senang kerana saya jadi Pengetua Parang Kangkung Jayalah. Macam mana saya dapat jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya? Sebab ramai orang undi saya. Jadi undi itulah yang manentukan hidup mati saya, dan awak juga,” seperti dijangka Dato’ Kontot memulangkan paku buah keras.
            “Iya, saya tahu. Tidak perlulah diungkit-ungkit. Yang saya hairankan, buat apa abang hendak bagi rumah pada hantu? Tidak masuk akal langsung. Lagi bagus duit itu kita buat pergi shopping,” kata Datin Montel.
            “Abang tidak kira siapa. Hantukah, polongkah, mambangkah, kalau dia sokong abang, abang akan berikan apa saja. Yang awak tu tidak habis-habis nak shopping. Awak tinggal sajalah di shopping complex tu, tak payah duduk kat rumah lagi,” cemuh Dato’ Kontot.
            “Eh, boleh ke hantu mengundi? Abang jangan nak mengarut. Dibuatnya hantu tu minta balasan darah atau benda yang pelik-pelik, teruk abang nanti,” usik Datin Montel lagi.
            “Dah kamu yang buka cerita hantu, tahu pula awak takut,” tempelak Dato’ Kontot.
            “Saya bergurau saja, abang. Abang pula cakap tidak ada berlapik langsung. Kalau hantu itu datang menyakat abang, saya juga yang susah. Nanti orang kata Dato’ Pengetua Parang Kangkung Jaya disampuk hantu. Abang akan diketawakan orang. Abang juga yang malu,” kata Datin Montel lalu menjuih bibir.
            “Sudah! Sudah! Awak jangan nak merepek-repek. Abang tengah panas hati ini. Sekarang kalau awak tahu macam mana nak dapatkan balik motosikal Vulcan abang, kemukakan cadangan awak. Kalau tidak, sila diam. Faham?” Dato’ Kontot melepaskan marahnya. Kepalanya semakin serabut.
            “Faham. Abang repot polis dan tuntut insuran. Kemudian beli baru. Habis cerita,” cebik Datin Montel. Kemudian dia mengalih pandangan ke luar tingkap.
            Dato’ Kontot hanya mendegus. Hatinya amat kesal. Bagaimana perkara yang amat tidak disangka-sangkanya ini boleh berlaku. Pengetua Parang Kangkung Jaya adalah seorang pemimpin yang patut dihormati, tetapi entah apa pula yang tak kena hingga motosikal pun kena curi. Motosikal itu adalah hadiah pemberian orang kuatnya, seorang ahli perniagaan terkemuka sebulan yang lalu. Belum lagi puas dia melaram ke seluruh kampung di Parlimen Kangkung Jaya ini, motosikal itu hilang pula.
            Petang tadi pun Dato’ Kontot sedang mencuba kehebatan motosikal itu sambil meronda-ronda beberapa buah kampung. Sebaik memasuki sempadan Kampung Kangkung Kering, pundi kencingnya terasa senak. Takungannya perlu dialirkan keluar dengan segera. Untuk mencari tandas surau atau masjid memang tidak sempat lagi. Akhirnya dia bertemu dengan tempat yang sesuai, satu kawasan semak di lurah bukit.
            Dato’ Kontot segera memberhentikan motosikal. Setelah ditongkat, enjin dimatikan tanpa mencabut kuncinya. Tergesa-gesa dia menyusup ke dalam semak kerana dia merasakan pili takungannya akan bocor bila-bila masa sahaja. Entah macam mana, sebaik selesai melepaskan hajat, dia tersalah jalan. Dia bukannya berpatah balik ke arah motosikalnya, tetapi pergi lebih jauh ke dalam semak. Dia baru tersedar yang dia tersalah arah apabila menemui satu lata air. Serta-merta dia berasa seram sejuk seperti ada sesuatu yang sedang mengawasinya dalam semak belukar itu.
            Dato’ Kontot berlari sepantas yang mampu menuju kembali ke arah jalan. Namun dia tergamam bila mendapati motosikalnya sudah tiada, sebaliknya sebuah basikal buruk berada di tempat itu. Serasanya dia tidak salah tempat lagi. Setelah diamati keadaan di sekeliling memang benar di situlah dia meletakkan motosikalnya tadi.
            “Takkanlah motosikal besar aku bertukar jadi basikal buruk pula. Kena sumpah penunggu hutan barangkali,” kata Dato’ Kontot sambil membelek-belek basikal itu untuk memastikannya benar-benar sebuah basikal buruk, dan bukan sekadar ilusinya sahaja.
            “Ini bukannya kena sumpah, tapi kena tukar. Siapa yang sungguh bedebah berani menukarkan motosikal aku dengan basikal buruk ini?” ujarnya penuh geram.
            “Hiyah!...” jerit Dato’ Kontot sambil menendang basikal itu. Basikal itu terbalik. Kaki Dato’ Kontot pun terasa sakit. Dia mula berjalan meninggalkan tempat itu dengan penuh marah. Namun baru beberapa langkah, dia perasan yang rumah-rumah orang kampung masih jauh. Lantas dia berpatah balik mendapatkan basikal buruk yang ditendangnya tadi.
            Terkial-kial Dato’ Kontot mahu mulakan kayuhan. Maklumlah, sudah berapa puluh tahun dia tidak menunggang basikal. Dia hanya naik kenderaan berenjin sahaja. Itu pun amat jarang sekali dia memandu sendiri. Orang berkedudukan sepertinya mesti mempunyai pemandu peribadi untuk dilihat hebat.
            Melilau-lilau Dato’ Kontot menunggang basikal buruk itu. Sudahlah banyak bahagian yang bergesel di sana-sini dan mengeluarkan bermacam-macam bunyi, banyak pula bahagian yang longgar termasuklah lidi pada rodanya. Ini menyebabkan basikal itu bergoyang-goyang yang membuatkan Dato’ Kontot berasa seperti sedang menari samba.
            Semasa menuruni cerun yang tidaklah curam ataupun tinggi sangat, Dato’ Kontot tidak dapat mengawal basikal itu lagi. Brek yang ada terlalu ketat dan gagal berfungsi. Sudahnya dia terbabas ke tepi jalan. Basikal yang sedang laju bila tayar depannya disekat oleh batu, momentumnya akan menyebabkan bahagian belakang basikal terjungkit . Dato’ Kontot terjerumus jatuh tertonggeng dengan kedua-dua kakinya tersiat mengangkang. Sekelip mata sahaja celah kelangkangnya dihentak basikal yang terpusing jatuh terbalik, dengan kedua-dua rodanya ke atas.
            Dato’ Kontot mengerang sendirian. Tiada siapa yang lalu di situ untuk diminta tolong. Dia tidak boleh lama-lama di situ. Ngeri hatinya bila terfikir ada kemungkinan binatang buas pula yang lalu. Tanpa memikirkan kesakitan yang dialaminya, Dato’ Kontot mengangkat basikal buruk itu dan menunggangnya semula. Keadaan basikal itu bertambah teruk dengan sebelah pedal pengayuhnya sudah bengkok ke dalam. Kayuhan tidak dapat dibuat satu pusingan lengkap kerana pedal itu akan tersekat pada rangka basikal. Jadi Dato’ Kontot hanya dapat mengayuh separuh pusingan sahaja sebelum pedal itu  terpaksa dipusing ke belakang.
            Kayuhan cara ini sungguh memenatkan, apatah lagi kepada orang yang tidak mesra basikal seperti Dato’ Kontot. Tayar depan pula bengkok sedikit, juga bergesel dengan rangka. Namun dia mengerahkan segala tenaganya melawan seksaan yang datang bertimpa-timpa itu. Satu ketika, terpandanglah Dato’ Kontot akan poket seluarnya yang kembung. Baru dia teringat yang di dalamnya ada telefon bimbit. Mengapalah dia terlupa akan telefonnya itu sejak dari tadi. Kalau dia sudah menelefon pemandunya untuk datang menjemput, pasti dia tidak akan mendapat sakit seperti ini.
            Dato’ Kontot juga terfikir, takkanlah dia hendak mengayuh basikal buruk sampai ke rumah. Nanti jika dilihat orang, apa pula kata mereka. Pasti menjadi cerita lawak ke seantero daerah Kangkung Jaya ini. Lantas Dato’ Kontot memberhentikan basikal dan menongkatnya di tepi jalan, tidak jauh dari sebuah rumah batu usang. Dia terus menelefon pemandunya.
            Tanpa disedari oleh Dato’ Kontot, motosikal Vulcannya berada kira-kira hanya sepuluh meter sahaja daripada tempat dia meninggalkan basikal, iaitu di dalam rumah batu usang itu . Kedua-dua penyamun juga ada di situ. Mereka sedang berusaha meleraikan bahagian-bahagian motosikal besar Dato’ Kontot untuk dibahagikan di antara mereka berdua.
            Pada ketika itu kedua-dua penyamun itu hanya baru berjaya mencabut handle motosikal Kawasaki Vulcan itu.
            “Handle ini, aku yang punya,” kata Penyamun Kuali dengan tersengih.
            “Eh… jadi, aku tak dapat handlelah? Mana boleh! Tidak adil. Handle ini aku punya,” kata Penyamun Mata Cangkul lalu merebut handle itu  daripada Penyamun Kuali.
            “Engkau ambil barang lainlah. Handle ini aku hendak,” bantah Penyamun Kuali. Dia Cuba menarik handle itu semula, tetapi tidak dilepaskan oleh Penyamun Mata Cangkul. Mereka berlawan tarik menarik.
            Kerana masing-masing memegang sarung handle, kedua-duanya jatuh berdebuk ke belakang apabila kedua-dua sarung itu terlucut daripada batang handle. Batang handle itu jatuh melenting di lantai, di antara kedua-dua penyamun itu.
            “Ini tidak boleh jadi. Kita kena cari satu lagi handle. Barulah adil,” kata Penyamun Kuali. Dia bangun lalu menyapu-nyapu pasir yang melekat pada bajunya.
            “Di mana kita hendak cari? Mahu curi sebiji lagi motosikalkah?” soal Penyamun Mata Cangkul. Dia menjegilkan mata pada rakannya itu sebelum beralih merenung batang handle di depannya
            Selepas diam berfikir seketika, Penyamun Kuali berkata, “Hmm… nampaknya kita kena cari lagi sebiji motosikal.”
            “Engkau pergilah cari motosikal baru. Biar aku tunggu motosikal ini di sini,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            Penyamun Kuali mengangkat keningnya. “Oh, kau nak mengakali aku, ya? Jawapannya, tidak boleh. Kita pergi cari sama-samalah,” tegasnya.
            “Takkan nak tinggalkan motosikal ini, nanti kena curi pula,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
            “Ya tak ya juga. Hmm… macam mana ya?” kata Penyamun Kuali. Dia berjalan mundar mandir mencari jalan penyelesaian. Kemudian dia bersandar di muka pintu.
            Sebaik sahaja Penyamun Kuali memandang keluar, maka terpandanglah dia akan sebuah basikal buruk bertongkat di tepi jalan tidak jauh dari situ. Serta-merta hatinya melonjak gembira. Tidak lupa untuknya memastikan kalau-kalau ada sesiapa di sekitar itu. Setelah yakin basikal itu  tidak bertuan, dia memetik jari gembira.
            “Yahoo…! Rezeki datang lagi!” jerit Penyamun Kuali. Dia meluru keluar mangambil basikal itu lalu membawa masuk ke dalam rumah usang itu. “Tengok, apa yang aku dapat,” ujarnya.
            “Eh, ini macam basikal yang kita mula-mula curi dekat kebun Pak Toman tadi. Di mana engkau jumpa?” kata Penyamun Mata Cangkul lalu datang menelitinya.
            “Di luar sana, di tepi jalan,” jawab Penyamun Kuali pendek.
            “Siapa pula yang membawanya ke sini?” soal Penyamun Mata Cangkul.
            “Jangan-jangan basikal ini berhantu. Dia ikut kita datang ke sini,” Penyamun Kuali membuat andaian.
            “Ah, engkau jangan nak merepek. Lebih logik kalau engkau cakap ada orang ikut kita datang ke sini dengan basikal ini. Mungkin orang itu sedang mengintip kita sekarang,” bantah Penyamun Mata Cangkul.
            Mereka segera mengawasi sekeliling. Tidak puas dengan itu mereka meninjau ke luar sekeliling rumah itu.
            “Tidak ada apa-apalah. Baik kita jangan buang masa lagi. Mari kita sambung kerja kita,” kata Penyamun Kuali.
            Penyamun Mata Cangkul mengangguk setuju. “Sekarang kita ada dua buah kenderaan, kita leraikan kedua-duanya dan selepas itu kita bahagikan bahagian-bahagiannya sama rata. Lebih adil bukan?” katanya.
            “Ya, sungguh adil,” sahut Penyamun Kuali.