6 Kera Goreng Kera Rebus
Petang itu selepas solat asar, Imi bergegas turun dari rumah. Dia sudah berjanji dengan Nia untuk pergi memanjat pokok kiat. Buah kiat yang masak ranum berwarna kuning itu lemak-lemak manis rasanya bila dikulum dalam mulut. Baunya pun harum membuatkan Imi sudah menelan liur membayangkannya.
Sampai di rumah Nia, Imi mendapati hanya Mak Seri yang ada di rumah. Mengikut Mak Seri, Nia telah mengikut ayahnya membawa Maikel Jeksen pergi ke kebun Haji Ali untuk memetik kelapa. Haji Ali ialah bapa kepada Fadli, rakan sekelasnya. Dan Imi tahu akan di mana letaknya kebun kelapa itu. Ianya tidak jauh ke hulu rumah Fadli dan bersebelahan dengan kebun getah tua yang sudah ditinggalkan.
Cuma Imi jarang pergi ke situ kerana kawasan itu sunyi dan jauh dari laluan orang. Memang menggerunkan Imi jika dia pergi seorang diri ke situ, tetapi bila memikirkan Nia dan Pak Kadir ada di sana, dia jadi berani. Lagipun dia sudah berjanji dengan Nia untuk memanjat pokok kiat.
Dari jauh sayup-sayup Imi mendengar suara teriakan Pak Kadir yang memberikan arahan pada Maikel Jeksennya. Suara itu membantu Imi menjejaki kedudukan mereka dengan lebih mudah. Rupa-rupanya Fadli pun ada sekali di situ. Fadli dan Nia sedang menyelak-nyelak semak pokok-pokok renek untuk mencari kelapa yang gugur.
Imi mendapat satu akal untuk menyakat Fadli. Dia pun menyelinap di celah-celah semak itu dan merapati kedudukan Fadli. Di satu kesempatan yang baik, Imi pun mengaum macam harimau. Fadli yang sedang asyik terbongkok-bongkok mencari kelapa itu terperanjat besar dan terus lari litang-pukang. Namun dia menoleh ke belakang semula bila mendengar suara Imi ketawa.
“Kurang ajar kau,” kata Fadli marah.
“Kau lari macam babi hutan lari, hahaha…” Imi terus ketawa.
“Tak apa, kali ni aku kena. Tengoklah nanti giliran kau,” Fadli memberi amaran.
“Ok,” jawab Imi pendek.
“Macam mana kau ada kat sini?” soal Fadli yang agak hairan dengan kemunculan Imi yang tiba-tiba itu.
Imi tidak menjawab, tetapi tersenyum lebar dan menggerak-gerakkan keningnya pada Fadli.
“Hei, Imi. Maaflah aku tak dapat panjat pokok kiat petang ini. Aku kena tolong ayah aku pungut kelapa,” jerit Nia dari jauh, apabila terlihat sahaja Imi ada di situ.
“Tak apa. Aku nak tolong kau sama-sama pungut kelapa, best juga,” sahut Imi.
“Aku dah bosan cari kelapa, aku nak panjat kelapa pula,” kata Fadli lantas berlari ke arah sebatang pokok kelapa. Dia terus melompat tinggi lalu mendakap batang kelapa itu. Kakinya menujal-nujal ke bawah sementara tangannya memaut ke atas, serupa seperti Maikel Jeksen buat.
Baru memanjat kira-kira setinggi orang dewasa, Fadli terhenti. Batang kelapa itu terlalu besar baginya yang baru berusia lapan tahun itu untuk dipeluk. Lagipun pokok kelapa itu masih tinggi. Dia menggelungsur turun semula.
“Payah nak panjat batang kelapa ni. Baik aku panjat pokok cempedak itu, lagi senang,” kata Fadli.
“Baik kau pakai tali ni ke leher, barulah betul-betul jadi macam Maikel Jeksen,” kata Imi bergurau. Dia menghulurkan selengkar tali simpanan Pak Kadir.
“Hahaha… bagus juga tu,” kata Fadli lalu menyarung mata tali itu ke lehernya.
“Biar aku panjat. Kamu pegang tali ni di bawah,” katanya lagi.
Fadli pun memanjat pokok cempedak yang batangnya lebih kecil itu. Imi di bawah menghulurkan tali dan menjerit-jerit memberi arahan pada Fadli, seperti mana Pak Kadir memberi arahan pada Maikel Jeksennya.
Sambil itu Imi ketawa terkikih-kikih melihat Fadli meniru gaya Maikel Jeksen bertenggek dan bergayut dahan ke dahan. Nia pun turut tertawa sama melihat gelagat lucu dua orang rakannya itu.
“Hoi! Apa kamu buat tu?” laung Pak Kadir tiba-tiba. “Turun!”
Fadli segera terjun turun.
“Dibuatnya kamu tersilap jatuh dan tali tu terjerut di leher kamu sendiri, mati tergantung kamu,” kata Pak Kadir.
“Seronok jadi beruk, Pak Kadir. Boleh panjat-panjat,” kata Fadli tersengih-sengih.
“Jadi Beruk? Apa kena dengan kamu ni? Dah jadi orang elok-elok, kamu nak jadi beruk pula,” marah Pak Kadir. “Jangan jadi macam beruk. Tiru perangai beruk pun jangan,” sambungnya lagi.
Fadli terkedu, manakala Imi dan Nia menahan gelak dengan mulut berkerepot dan mengembung-ngembung pipi mereka.
“Kamu sekolah elok-elok, jadi orang berjaya, bukan jadi beruk. Pak Cik tak mahu kamu jadi beruk,” kata Pak Kadir lembut apabila melihat mata Fadli sudah mula berkaca.
Secara kebetulan, tiba-tiba muncul Riduan bersama seorang lagi lelaki sebayanya dari dalam semak. Kedua-dua pemuda itu sama-sama selekeh dan kurus cengkung. Namun rambut mereka diwarnakan putih mengikut trend masa kini. Konon-kononnya nak ikut western stylelah. Kalaulah ada mat saleh yang tengok, silap-silap mereka kena kutuk pula mahunya.
“Hallo brader!” kata Riduan menyapa Pak Kadir.
“Kapak ni kau nak?” kata Pak Kadir sambil mengangkat kapak kecilnya. Riduan hanya ketawa dan terus berlalu pergi.
“Kalau dia tu, tak apalah kalau nak jadi beruk,” kata Pak Kadir sambil menunjuk pada Riduan.
“Kenapa Pak Kadir?” tanya Imi.
“Dia tu dah jadi hantu dadah, satu sen pun dah tak guna lagi. Kalaulah dia bertukar jadi beruk, ada juga faedahnya. Bolehlah aku suruh panjat kelapa,” luah Pak Kadir dengan kesal.
“Kalau jadi beruk betina lagi bagus. Dapat juga Maikel Jeksen aku ni buat bini,” tambah Pak Kadir lagi dengan sinis.
Agak melampau juga Pak Kadir menyumpah anak sulungnya itu. Dia tidak sedar akan setiap lisan itu adalah doa. Apa lagi dari seorang ayah kepada anaknya sendiri. Kalaulah masin mulut Pak Kadir, dengan kehendak yang Maha Kuasa, Riduan boleh jadi beruk di situ juga. Mau taknya menyesal Pak Kadir seumur hidup.
“Kenapa rambut abang Riduan warna putih, Pak Kadir?” tanya Imi.
“Hah, rambut putih? Dia pakai Clorox buat syampu rambut,” kata Pak Kadir acuh tak acuh. Serentak budak-budak bertiga itu tertawa lucu.
“Bersyampu pakai Clorox? Takkan abang Riduan buat macam itu,” kata Nia.
“Itulah yang ayah cakap tadi. Dia satu sen pun dah tak guna lagi. Otak dia dah tak boleh fikir betul dah. Bila dah mabuk dadah, masa mandi pun dia tak sedar guna Clorox buat syampu rambut. Pasal itulah rambut dia jadi putih,” kata Pak Kadir. Nasib baiklah di depannya ini semua budak-budak kecil. Taklah dia dipersoalkan logik atau tidak kata-katanya itu.
“Tapi rambut guru besar kita pun putih juga kan? Takkanlah guru besar bersyampu pakai Clorox juga,” kata Imi. Nia dan Fadli mengangguk-angguk.
“Rambut guru besar kamu tu jadi putih sebab dia selalu pakai kopiah yang direndam Clorox,” kata Pak Kadir, pintar pula mencipta alasan lain.
“Ya tak ya juga kan. Kepala guru besar pun dah botak kat atas. Agaknya dah lama dia pakai kopiah direndam Clorox,” kata Fadli pula.
“Hahaha… betul tu,” Pak Kadir ikut tertawa. “Mari habiskan kerja pungut kelapa. Kumpul semua kelapa di situ. Besok senang ayah kamu datang nak kopek,” kata Pak Kadir pada Fadli. Budak-budak bertiga itu pun akur.
Tak sampai setengah jam kemudian, semua kelapa-kelapa yang gugur siap di longgokkan setempat.
“Anak-anak semua, mari sini,” panggil Pak Kadir. “Pak Kadir ada bawa kuih dengan air ni, marilah makan,”
“Pak Kadir bawa kuih apa?” tanya Fadli.
“Ha… ini dia kera goreng,” kata Pak Kadir sambil menyuakan satu bekas plastik.
“Kera goreng?” ketiga-tiga budak itu terperanjat.
“Bukalah tupperware tu,” suruh Pak Kadir.
“Ini bukan kera goreng. Ini kuih keria,” kata Nia lalu menghela nafas lega. “Ayah bergurau saja rupanya,” katanya lagi.
“Hahaha… makan, makan,” suruh Pak Kadir sambil ketawa. “Kalau rasa nak tercekik nanti, minum air pepsi pakcik ni,” tambahnya lagi sambil menghulurkan sebotol air.
“Air pepsi apa ni pakcik? Jernih aje. Imi biasa tengok air pepsi warna hitam,” kata Imi.
“Hahaha… inilah air pepsi pakcik. Nama pendek untuk air paip besi, hahaha…” kata Pak Kadir. Mereka pun ketawa lagi.
“Air paip besi pun boleh jadi air pepsi,” keluh Fadli.
“Hah, apa lagi. Makanlah kera goreng yang Mak Cik Seri kamu buat tu,” kata Pak Kadir berlawak lagi bila melihat budak-budak itu masih asyik ketawa sahaja.
Sambil menjamah kuih keria itu, Pak Kadir bercerita tentang angan-angannya yang mahu menjadi kaya. Sebenarnya angan-angan itu sudah berbelas tahun diangankannya, namun masih jauh dari menjadi kenyataan.
“Mula-mula Pak Kadir gunakan seekor beruk aje. Dengan beruk ini Pak Kadir mengambil upah petik kelapa. Setiap lima biji kelapa yang dipetik, Pak Kadir diberi upah sebiji kelapa atau seringgit. Kalau sehari Pak Kadir dapat petik seratus biji kelapa, sudah berapa banyak Pak Kadir dapat upah? Kalau sebulan? Setahun?”
“Lama-lama Pak Kadir dapat kumpul banyak duit. Lepas tu Pak Kadir beli lagi beruk sampai lima ekor. Selepas itu, Pak Kadir dapat petik kelapa lima kali ganda banyaknya, iaitu lima ratus biji sehari. Sudah tentu Pak Kadir dapat upah banyak juga,”
“Bila dah banyak untung, Pak Kadir buat modal untuk upah orang lain bawa beruk-beruk tadi petik kelapa. Kemudian Pak Kadir beli lori untuk jadi peraih kelapa pula. Lama-kelamaan pendapatan Pak Kadir pun bertambah banyak. Pak Kadir akan buka ladang menternak kambing pula…”
“Kenapa Pak Kadir tak buka ladang menternak beruk saja?” Fadli tiba-tiba mencelah.
“Hish, kamu ni. Mana ada orang ternak beruk? Beruk orang tangkap sahaja dari hutan. Lagi pun dia tinggal atas pokok, susah mahu ternak,” ujar Pak Kadir.
“Kita sambung lagi cerita tadi. Selepas ladang ternak kambing maju, Pak Kadir akan buka ladang ternak lembu pula. Masa itu sudah pasti Pak Kadir sudah kaya raya,” kata Pak Kadir dengan bangganya.
“Lepas tu Pak Kadir nak buat apa lagi?” tanya Imi.
Selepas berfikir seketika, Pak Kadir pun menjawab, “Lepas itu Pak Kadir akan bina sebuah bangunan yang sangat tinggi. Kemudian Pak Kadir akan letak nama ‘Wisma Pak Kadir’ pada bangunan itu. Setiap orang yang melihat bangunan tinggi Pak Kadir ini mesti rasa kagum,”
“Pak Kadir nak buat apa dengan bangunan tinggi-tinggi. Buat gayat aje. Nanti jatuh ke tanah, boleh mati,” kata Fadli pula.
“Bila ada bangunan tinggi, senang Pak Kadir nak naik kapal terbang,”
“Macam mana tu?” soal Imi pantas.
“Bila Pak Kadir nak naik kapal terbang, Pak Kadir tunggu aje kat puncak bangunan. Bila kapal terbang lalu, Pak Kadir pun tahanlah,”
“Eh, betul ke macam itu? Ayah pernah naik kapal terbang ke?” tanya Nia pula.
“Pernah. Dulu ada sekali ayah panjat gunung di hulu nun untuk tunggu kapal terbang. Bila kapal terbang lalu, ayah pun tahanlah. Ayah pun naik kapal terbang tu pergi bandar,” melampau-lampau Pak Kadir menjual temberang. Nia mengherotkan mulutnya. Dia tahu ayahnya hanya membuat lawak.
“Wow, seronoknya. Berapa tambang kapal terbang, Pak Kadir? Mesti mahal kan?” tanya Fadli.
“Mestilah mahal. Kalau tambang bas mini tujuh puluh sen, tambang kapal terbang seringgit setengah,” kata Pak Kadir.
“Imi ada lima ringgit. Nanti bolehlah Imi naik kapal terbang sama Pak Kadir. Imi nak ajak Nia pergi jalan-jalan,” kata Imi sambil menjeling Nia.
“Tak boleh. Kalau budak-budak, driver kapal terbang tu tak kasi naik,” kata Pak Kadir. Imi mula faham akan Pak Kadir hanyalah berbohong semata-mata. Sebab itulah dia mengelak.
“Eh, seronok sangat bercerita, tak sedar dah habis pun kera goreng ni. Tak apa nanti pulang kita makan kera rebus pula. Pak Kadir dah minta Mak Cik Seri rebus kera yang kawan Pak Kadir tangkap semalam,” kata Pak Kadir tersenyum.
“Ayah berbohong lagilah tu. Mana ada mak nak rebus kera pula,” kata Nia.
“Kalau tak percaya, sampai rumah nanti tengok sendiri. Sekarang, kamu kemaskan bekas-bekas tu, Nia. Mari kita pulang,” ajak Pak Kadir.
Mereka berempat pun berjalan pulang. Pak Kadir berjalan di depan dengan mengheret Maikel Jeksen. Fadli di belakangnya cuba meniru gaya beruk itu berjalan dengan merangkak dan tertonggeng-tonggeng. Imi dan Nia hanya tertawa melihat telatah kawan sekelas mereka itu.
“Sudah siap ke kera rebus, Mak Serinya?” tanya Pak Kadir setibanya di rumah.
“Dah lama pun masak kera kamu tu Pak Kadirnya,” balas Mak Seri sambil tertawa. Dia pun masuk ke dalam. Tidak berapa lama kemudian dia keluar semula membawa sebiji mangkuk besar yang bertudung dan sebiji lagi mangkuk kecil berisi kuah pencicah sos cili.
“Ha… Mari makan kera rebus ni,” kata Mak Seri sambil tersenyum. Matanya menjeling sekilas ke arah Pak Kadir yang juga turut tersenyum.
“Ha? Betul ke kera rebus?” tanya Fadli kaget.
Nia membuka tudung mangkuk besar. Maka terserlahlah isinya yang masih panas berasap.
“Ini keranglah mak,” kata Nia
“La… kerang rebus rupanya. Pak Kadir tipu kita lagi,” kata Imi lalu ketawa.
“Hahaha… inilah kera rebus Pak Kadir. Makanlah, kita makan sama-sama,” kata Pak Kadir sambil mencungkil isi sebiji kerang dan mencelupnya ke kuah cili. Dan sekali lagi pada petang itu mereka menjamu selera dengan gembiranya.