6. Cangkul Dua Mata
Seperti biasa, petang itu apabila segar kembali selepas berehat, Pak Toman turun dari rumah untuk kembali ke kebunnya. Dia singgah di bangsalnya untuk mengambil terendak dan cangkul. Dia yang mengalami rabun dekat itu terus mengambil kuali yang disangkutkan Belukang lalu memakainya dikepala seperti memakai terendak. Bagaimanapun dia merasa hairan kerana terendaknya itu tiada tali dagu pula.
Menyangkakan tali dagunya telah tercabut, Pak Toman cuba mencarinya di lantai, tetapi tiadalah dia berjumpa. Daripada dia membuang masa mencari-cari, lebih baik dia membuat tali dagu yang baru. Dia memotong seutas tali raffia sepanjang tiga jengkal lalu setiap satu hujungnya diikat pada telinga kuali itu. Akhirnya Pak Toman dapat memakai terendak kuali itu dengan tali dagu baru dengan penuh bergaya.
Ketika Pak Toman mengangkat cangkulnya, dia terpegun. Dia membelek cangkul itu dari hujung ke hujung. Dia sungguh keliru bagaimana kedua-dua hujung cangkulnya mempunyai mata. Macam alat senaman angkat berat pun ada rupanya. Dia mengangkat-angkat dan menjulangnya ke atas kepala beberapa kali seperti aksi peserta sukan angkat berat. Namun batang cangkul dua mata itu tidaklah seberat mana untuk dijadikan alat senaman.
Pak Toman kembali termenung memikirkan bagaimana dia mahu menggunakannya cangkul dua mata itu nanti. Walaupun begitu, timbul sekelumit rasa gembira di hatinya kerana mungkin kemunculan mata cangkul ke dua ini adalah anugerah tuhan padanya. Dan kebuntuan Pak Toman pecah apabila satu idea melintas di kepalanya. Dia tersenyum lebar. Nampaknya ada sesuatu yang mengembirakan melonjak-lonjak di sanubarinya. Tanpa membuang masa Pak Toman memikul cangkul itu lalu terus lari pecut bagaikan Usain Bolt ke kebunnya.
Sementara itu di pinggir sebuah semak belukar, Penyamun Mata Cangkul dan Penyamun Kuali bertengkar dan saling menyalahkan antara satu sama lain.
“Tengok! Kita sudah rugi. Penat kita mencuri, senang-senang sahaja engkau tinggalkan,” bebel Penyamun Mata Cangkul.
“Eh, kenapa aku pula yang salah? Yang engkau pula, kenapa tinggalkan besi engkau?” Penyamun Kuali menyangkal tuduhan sesedap hati itu.
“Aku tengok engkau cabut lari, aku pun ikut cabut larilah. Apa pasal engkau cabut lari?” Penyamun Mata Cangkul tidak mahu mengalah.
“Aku mahu cabut lari, aku punya sukalah. Apa pasal engkau ikut aku cabut lari?” marah Penyamun Kuali.
“Aku takut. Nanti toyol itu baham aku. Kau cakap kau tidak takut toyol. Kenapa kau tidak tangkap toyol itu?” Penyamun Mata Cangkul menyingga.
“Aku terkejut sebab kau lari. Kalau kau tidak lari tadi sudah tentu aku sudah tangkap toyol itu,” kata Penyamun Kuali.
“Eleh, cakap besar! Nak tangkap toyol konon. Nak suruh toyol jadi khadam curi duit, konon. Toyol datang sahaja, kau lari tak cukup tanah,” tempelak Penyamun Mata Cangkul.
“Eh, aku tak takut toyollah. Kalau betul itu toyol, mari kita pergi tangkap sekarang,” Penyamun Kuali mempertahankan egonya.
“Mahu tangkap di mana?” soal Penyamun Mata Cangkul.
“Di tempat tadilah. Alang-alang sudah pergi ke sana, kita ambil balik besi-besi kita,” ujar Penyamun Kuali.
“Mari,” sambut Penyamun Mata Cangkul.
“Tapi kau jalan depanlah,” kata Penyamun Kuali.
“Penakut! Mulut cakap besar,” cemuh Penyamun Mata Cangkul.
Mereka berharap supaya dapat mengekori toyol itu pergi ke sarang mereka. Manalah tahu kalau bernasib baik dapat bertemu dengan lebih ramai lagi toyol di perkampungan toyol sana. Pasti mereka ada berkeluarga dan hidup bermasyarakat. Namun kedua-dua penyamun itu kecewa apabila mendapati toyol yang menyergah mereka tadi sudah tiada lagi di situ. Puas mereka menggeledah semak di sekitarnya, tetapi bayang toyol itu pun tidak nampak. Malah jejak ke mana toyol itu pergi pun tidak dapat dikesan.
Akhirnya mereka mengeluh hampa. Sudahlah toyol itu tidak dapat dicari, barang-barang besi curian yang ditinggalkan mereka pun turut lesap.
Penyamun Kuali menumbuk batang pokok melepaskan geram. “Ini mesti kerja toyol bedebah itu. Habis besi-besi kita diambilnya,” seranahnya.
“Kau cakap toyol hanya ambil duit sahaja. Bagaimana pula dia boleh mencuri besi buruk kita sekarang?” Penyamun Mata Cangkul juga melepaskan rasa tidak puas hatinya.
“Entahlah, aku tidak tahu. Mungkin ini toyol jenis second hand. Dia tidak curi duit, tetapi dia curi besi buruk saja,” kata Penyamun Kuali acuh tak acuh.
“Ah, engkau merepek sahaja lebih. Toyollah, second handlah, curi besi buruk sahajalah dan entah-entah apa lagilah. Cuba fikirkan nasib kita pula. Apa yang kita patut buat lepas ini?” Penyamun Mata Cangkul mengomel.
“Kita kejar toyol itulah,” kata Penyamun Kuali.
“Kejar ke mana?” tanya Penyamun Mata Cangkul sambil mengangkat kening.
“Ya tak ya juga. Kita pun tidak tahu ke mana toyol itu pergi,” Penyamun Kuali menggaru-garukan kepalanya.
“Kita curi besi lain sajalah,” cadang Penyamun Mata Cangkul.
“Habis, macam mana dengan rancangan kita nak curi banyak duit? Macam mana dengan rancangan kita nak pakai toyol?” bantah Penyamun Kuali.
“Kita batalkan sahaja. Buang masa. Kalau penakut sangat tidak payah berangan nak pakai toyol. Kita cari besi buruk macam asal, lagi bagus,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
“Kalau begitu, mari kita bergerak. Kita cari lebih banyak besi lagi kali ini,” ajak Penyamun Kuali.
Penyamun-penyamun itu kembali merayau-rayau ke pelusuk kampung. Tiba di satu tempat, Penyamun Kuali ternampak sesuatu dari jauh. Dia berhenti berjalan lalu mengamatinya dengan bersungguh-sungguh. Penyamun Mata Cangkul yang sudah meninggalkannya jauh ke depan berpatah balik menghampirinya dengan penuh tanda tanya.
*****
Sementara itu di perkarangan rumah Pengerusi JKKK, Pak Belukang sedang berunding dengan pemilik-pemilik barang yang dicuri.
“Saya boleh bantu tuan puan semua menjejaki barang-barang yang hilang itu, tetapi dengan satu syarat. Tuan puan mesti berjanji untuk memaafkan pencurinya dan juga tidak akan mengambil apa-apa tindakan balas padanya,” ujar Pak Belukang.
“Saya tidak puas hati kalau tidak dapat pencuri kuali saya. Saya mahu hempuk-hempuk buntut kuali itu pada kepalanya. Biar dia tahu yang dia sudah banyak menyusahkan saya,” bantah Kak Ramlah.
“Oh, minta maaf. Lupa saya hendak beritahu. Hipnosis saya ini tidak dapat mencari si pencurinya, tetapi hanya boleh mengesan di mana barang curi itu berada,” kata Pak Belukang.
“Macam mana ini Pak Belukang? Tadi Belukang kata, Pak Belukang dapat menjejaki benda-benda yang hilang, termasuklah juga orang-orang yang hilang,” lelaki pemilik mata cangkul memotong segera.
“Ya, saya hanya mampu mengesan barang atau orang yang hilang sahaja, tetapi bukan pencuri atau penculiknya. Kalau tuan puan bernasib baik, tuan puan dapat melihat dan menangkap sendiri pencuri itu jika dia ada bersama barang-barang curi itu. Pencuri itu perlu dibebaskan setelah tuan puan mengambil barang tuan puan. Pencuri itu tidak boleh diapa-apakan. Jika saya berjaya, tuan puan hanya perlu membuat bayaran sebanyak lima puluh ringgit sahaja untuk setiap barang,” terang Pak Belukang.
“Mahalnya! Itu sudah hendak sama dengan harga kuali saya. Saya akan bayar, tetapi saya mahu Pak Belukang cari juga pencuri itu,” Kak Ramlah berkeras.
“Saya nampak dua orang penyamun yang melarikan mata cangkul saya ini. Saya hampir menangkap mereka. Tetapi mereka belari sungguh pantas dan hilang dalam semak belukar. Saya masih cam lagi bentuk tubuh mereka. Kalau dapat saya mahu ajar mereka cukup-cukup. Biar mereka dihukum mencangkul bendang saya selama sebulan,” lelaki pemilik mata cangkul menyokong.
“Tidak boleh. Itu sudah syaratnya. Jikalau tuan puan mahu tangkap pencuri itu, tuan puan boleh minta tolong dengan ahli nujum lain. Saya mahu pulang sekarang,” tegas Pak Belukang. Dia mula melangkah mahu meninggalkan mereka.
“Nanti dulu Pak Belukang, kami bukannya hendak buat apa-apa pada pencuri itu. Kami hanya mahu menyerahkannya pada polis,” kata lelaki pemilik meter air pula cuba memujuk.
Pak Belukang menggelengkan kepala. “Minta maaf. Saya mahu pulang dulu,” katanya lalu meninggalkan Pengerusi JKKK dan tiga orang pengadu itu.
Kira-kira dua puluh langkah berjalan, Pak Belukang mendengar namanya dipanggil semula. “Pak Belukang! Pak Belukang! Tunggu! Baiklah kami setuju untuk mencari barang yang hilang sahaja. Pencuri itu tidak penting,” panggil lelaki pemilik mata cangkul.
“Sekarang harganya dua kali ganda. Mahu?” tanya Pak Belukang.
“Tak boleh. Tadi janji lima puluh ringgit sahaja,” kata lelaki pemilik mata cangkul.
“Tak boleh, tidak apa. Saya pulang sahaja,” kata Pak Belukang lalu menyambung langkahnya.
“Eh, Pak Belukang! Baiklah, kami bayar dua kali ganda,” pujuk lelaki pemilik mata cangkul lagi.
Pak Belukang berhenti. “Bagus!” ujarnya. “Mari kita mulakan jejaknya sekarang. Jangan buang masa lagi,” kata Pak Belukang setelah mendapatkan kembali Pengerusi JKKK dan pengadu-pengadu itu.
“Untuk menjejaki barang yang hilang itu , saya perlukan barang atau benda yang sangat rapat dengan barang itu, sebelum ia hilang,” pinta Pak Belukang.
Kak Ramlah kurang jelas dengan syarat itu. “Untuk kuali saya, bagaimana? Barang apa yang Pak Belukang perlukan?” tanyanya dengan pantas.
“Saya nampak awak pegang sudip itu. Adakah sudip itu biasa awak gunakan bersama kuali yang hilang itu untuk memasak?” tanya Pak Belukang.
“Ya, sudip inilah yang saya gunakan untuk menggoreng pisang dalam kuali itu,” jawab Kak Ramlah.
“Berikan sudip itu kepada saya,” Pak Belukang mengambil sudip yang dihulurkan. “Oleh kerana sering digunakan bersama, sudip ini bersahabat rapat dengan kuali itu sebelum ini. Oleh itu auranya serasi dan harmoni dengan aura kuali itu. Jadi, tenaga aura sudip ini akan dapat mengesan aura sahabat baiknya itu,” katanya lagi.
Pak Belukang memegang kemas sudip itu dengan kedua-dua tangannya lurus ke depan. Lagaknya seperti kadet askar yang menghulurkan tangan untuk menerima sijil tauliah daripada jeneral. Pak Belukang memejamkan mata dan mulutnya kelihatan terkumat-kamit. Kemudian dia berpusing-pusing setempat dengan keadaan tangannya masih lurus ke depan. Jika dilihat dari atas, gerakan Pak Belukang ini serupa seperti jarum kompas yang sedang berpusing-pusing mencari arah.
Tiba ke satu arah, Pak Belukang berhenti berpusing. Arah tangannya menunjuk ke seberang jalan, iaitu tepat kepada bangsal Pak Toman. Dia kelihatan seperti bertafakur dan sengaja membuat tangannya sedikit menggeletar bagi meyakinkan Pengerusi JKKK dan yang lainnya.
“Kuali itu berada di arah ini dan tidak jauh dari sini,” kata Pak Belukang. Dia mula melangkah ke arah itu . Yang lain-lain mengikutinya dari belakang dengan penuh waspada, tetapi tidak sabar lagi hendak melihat apa yang akan terjadi seterusnya.
“Ia semakin dekat. Tenaga auranya sangat kuat sekarang,” kata Pak Belukang ketika mereka hanya beberapa langkah sahaja lagi dari bangsal Pak Toman.
“Kuali itu ada di sekitar bangsal ini. Carilah sekarang,” kata Pak Belukang akhirnya. Tanpa membuang masa Pengerusi JKKK bersama-sama tiga pengadu itu memeriksa kawasan di sekitar bangsal. Namun mereka gagal menjumpainya. Mereka mula menyelongkar timbunan barang yang ada di bangsal Pak Toman itu.
Pak Belukang mula resah. Sedang asyik tiga orang pemilik barang yang hilang itu menggeledah bangsal Pak Toman, dia menarik Belukang ke satu sudut yang terlindung.
“Di mana kamu letakkan barang-barang penyamun itu, Belukang,” bisik Pak Belukang cemas.
“Di sana,” kata Belukang dengan menunjukkan tempat dia menyangkut kuali itu .
Belukang juga turut diserang kebimbangan. Mata cangkul dan kuali sudah tiada lagi di situ. Boleh jadi Pak Toman sudah mengambilnya, fikir Belukang. Dengan pantas Belukang pergi ke rumah Pak Toman, tetapi dia mendapati pintunya sudah berkunci mangga dari luar. Dia segera mendapatkan ayahnya semula.
“Mungkin Pak Toman sudah bawa kuali dan mata cangkul itu ke kebun,” kata Belukang. Kebun Pak Toman terletak hanya serantai daripada bangsal itu, namun terlindung oleh pokok-pokok buah merendang yang ditanam oleh Pak Toman.
“Betulkah tilikan kamu ini Pak Belukang? Tidak jumpa pun barang mereka yang hilang itu,” tanya Pengerusi JKKK yang tiba-tiba muncul. Memang sejak awal lagi dia meragui kebolehan Pak Belukang itu itu walaupun dia sendiri yang membenarkan Pak Belukang melakukannya.
Pak Belukang sudah menggelabah. “Barangkali kuali itu belum mahu muncul menunjukkan dirinya. Petunjuk yang saya terima memang kuali itu ada dekat-dekat sini. Tetapi jangan bimbang, mungkin ia mengambil masa sedikit untuk muncul. Mari kita cuba mengesan mata cangkul pula,” dia membuat helah.
Pak Belukang meminta batang cangkul daripada lelaki pemilik mata cangkul. Batang cangkul ini adalah sahabat yang paling rapat dengan mata cangkul. Ini kerana dua benda ini bergabung membentuk sebatang cangkul.
“Oleh kerana mata cangkul dan batangnya ini bersatu dalam masa yang lama, keserasian tenaga mereka lebih utuh. Oleh itu, tenaga aura mata cangkul dapat dikesan oleh batangnya lebih kuat. Maka kerja kita akan jadi lebih mudah,” ujar Pak Belukang untuk meyakinkan yang lainnya setelah kredibilitinya tercalar oleh kegagalannya menemui kuali tadi.
Sebagaimana yang dilakukannya pada sudip tadi, Pak Belukang memgang batang cangkul itu lurus ke depan dan berpusing-pusing mencari arah. Akhirnya dia berhenti apabila batang cangkul itu menunjukkan ke arah kebun Pak Toman.
“Di sana,” kata Pak Belukang lalu memulakan langkah menuju ke arah kebun Pak Toman. Sambil itu dia sungguh berharap supaya barang-barang curi itu ada di situ. Jika tidak, tembelangnya ini akan pecah!
Di kebunnya, Pak Toman bersedia dengan berdiri memegang di tengah-tengah batang cangkulnya, secara memanjang. Salah satu mata cangkul berada di depan dan satu lagi di belakangnya. Dia menghayun mata cangkul depan ke tanah. Sebaik mata cangkul itu separuh terbenam dalam tanah, dia menarik batang cangkul dan tanah itu terpongkaslah. Dalam masa yang sama dia mengangkat mata cangkul depan, mata cangkul belakang pula menghayun ke bawah dan mencacak tanah. Batang cangkul itu ditarik ke depan dan mata cangkul belakangnya memongkas tanah itu .
Nampaknya idea mencangkul tanah dua arah sekali gus Pak Toman ini menjadi. Dia ketawa gembira. Dengan adanya cangkul dua mata ini, pasti dia dapat membuat dua baris batas dalam sekali lalu, dan seterusnya dapat menjimatkan masa. Pak Toman terus mencangkul dengan teknik itu sambil bersiul riang. Namun tidak sampai lima minit kemudian, lehernya terasa sakit akhibat daripada kepalanya terlalu kerap berpaling ke belakang dan pusing ke depan semula dalam masa yang singkat. Maka kelajuan gerak kerjanya mula berkurangan.
Tiba di satu ketika, Pak Toman lambat berpaling ke belakang kerana lehernya terasa amat sengal. Oleh itu, dia tidak dapat melihat di mana mata cangkul belakang jatuh memacak. Malangnya, mata cangkul itu menerjah ke keting kakinya sendiri. Meraung Pak Toman kesakitan. Nasib baik dia memakai kasut but tinggi. Jika tidak, boleh jadi ketingnya putus. Dia mengoyakkan baju yang di pakaianya lalu membalut luka di ketingnya itu.
Pak Toman sedar, cara itu berbahaya. Dia perlu menukar kepada teknik yang lebih selamat. Tanpa mempedulikan ketingnya yang masih sakit, dia mengubah posisi. Pak Toman memegang batang cangkul secara melintang pula dengan setiap satu mata cangkul di kiri dan kanannya. Dia mencagkul tanah di kiri dan kanannya pula secara berselang-seli. Kini dia hanya perlu berpaling ke kiri dan ke kanan sahaja untuk mengawasi gerakan setiap mata cangkulnya. Ya, cara ini lebih mudah daripada cara tadi.
Batas-batas kecil tanah ini dibina untuk memudahkan kawalan pengairan tanaman nanti. Jika belaku hujan lebat, air tidak akan berkumpul di pangkal tanaman. Sebaliknya air akan turun ke lurah antara batas dan seterusnya dapat dialirkan keluar dari kebun. Di samping itu juga, batas dapat menyusun tanaman secara teratur dan seragam. Kerja-kerja penjagaan tanaman seperti pemindahan anak benih, penyemburan racun serangga, kawalan rumpai dan juga pemungutan hasil dapat dilakukan dengan mudah.
*****
Tidak jauh dari kebun Pak Toman, dua orang lelaki sedang tercangak-cangar dari sebalik semak.
“Apa yang menarik sangat Pak Toman gila itu sampai engkau tengok tidak berkelip mata?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
“Itu dia kuali aku!” kata Penyamun Kuali dengan menuding jari telunjuknya pada terendak kuali yang sedang dipakai oleh Pak Toman. Pada waktu itu Pak Toman sedang asyik mencangkul tanah dengan gaya yang aneh.
“Bagaimana kuali engkau ada dengan Pak Toman? Bukankah toyol kecil tadi yang mengambilnya?” Penyamun Mata Cangkul mula membangkitkan soalan.
“Boleh jadi toyol itu sudah berikan kuali itu pada Pak Toman. Mungkin juga toyol tadi milik Pak Toman,” kata Penyamun Kuali.
“Maksud kau, Pak Toman gila itu ada bela toyol?” soal Panyamun Mata Cangkul.
Penyamun Kuali tidak menjawab, mahupun mengangguk. Namun dia menarik senyum besar yang penuh makna. Dan Penyamun Mata Cangkul pun turut ikut senyum.
“Engkau tahu apa yang sedang aku fikirkan, ha?” tanya Penyamun Kuali.
“Ya, ya… aku tahu. Kita ambil balik engkau punya kuali,” kata Penyamun Mata Cangkul.
“Bukan setakat kuali, kita ambil toyol Pak Toman itu sekali,” kata Penyamun Kuali pula.
Penyamun Mata Cangkul mengerutkan muka. “Bagamana kita hendak mengambil toyolnya? Kita tidak tahu di mana Pak Toman menyimpan toyolnya itu,” katanya.
“Itu bukan masalah besar. Kita tangkap sahaja Pak Toman gila itu dahulu. Lepas itu kita paksa dia serahkan toyolnya pada kita,” cadang Penyamun Kuali.
Namun Pemyamun Mata Cangkul masih ragu-ragu. “Bagaimana jikalau toyol itu tidak mahu tunduk pada kita dan dia hanya setia berkhidmat pada Pak Toman sahaja? Kita tidak pandai mengendalikan toyol,” katanya.
Penyamun Kuali mengangguk-angguk. “Betul juga kata engkau. Macam mana ya?”
“Apa kata kalau kita tawan Pak Toman bersama kita. Kita minta kerjasama Pak Toman untuk mengarahkan toyolnya mencari duit untuk kita,” Penyamun Mata Cangkul meluahkan ideanya pula.
Mata Penyamun Kuali bersinar-sinar gembira. Dia takjub dengan cadangan itu. “Bijak! Bijak… kepala otak engkau memang pintar. Aku setuju. Aku jadi pengerusi, engkau jadi pengarah, Pak Toman jadi pegawai operasi dan toyolnya menjadi pekerja,” katanya girang.
Hahaha… mereka berdua ketawa gembira.
“Mari kita tangkap Pak Toman sekarang,” ajak Penyamun Mata Cangkul.
“Mari lekas, sebelum ada orang lain nampak,” sahut Penyamun Kuali pula.
“Eh, kenapa kau berhenti?” tanya Penyamun Mata Cangkul bila melihat rakannya itu berhenti setelah dua tiga langkah keluar dari dalam semak.
“Kau mahu mati? Cuba kau tengok di sana itu,” Penyamun Kuali menunjukkan ke arah tepi pagar sebelah kiri kebun Pak Toman.
Kelihatan Pak Belukang memasuki kebun Pak Toman dengan memegang sebatang kayu menghala ke depan seperti gaya hendak menyumpit. Sementara Pengrusi JKKK, Belukang dan tiga orang lagi mengekorinya dari belakang. Sepantas kilat Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul kembali menyelinap di sebalik semak.
“Itu Pak Belukang. Mengapa dia bawa kayu macam itu? Dia mahu pukul Pak Tomankah?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
“Kita tengok sajalah,” balas Penyamun Kuali.