7 Berak tak basuh
Imi baru sahaja selesai makan. Lantas Fadli mengajaknya meninggalkan kantin. Waktu rehat masih banyak lagi berbaki. Kebiasaannya mereka menghabiskan waktu rehat dengan bermain berkejar-kejaran bersama-sama rakan.
Sewaktu mereka melintasi tandas di blok bangunan yang menempatkan kelas-kelas darjah lima dan enam, mereka terserempak dengan Seng. Waktu itu Seng sedang menahan Anis, kakak kepada Nia yang baru sahaja keluar dari tandas.
“Kalau kau bijak, jawab pantun aku ni. Pulau pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang dua. Hah, apa dia jawapannya?” Seng bertanya pada Anis.
Anis menjengilkan mata dengan marahnya. “Tepilah samseng, aku nak lalu,” kata Anis.
Seng sempat menarik tangan Anis. “Jawablah dulu pantun aku,” kata Seng lalu mengulangi pantunnya tadi sambil buat-buat ketawa.
Anis merentap tangannya. Dia menekup muka lalu berlari dari situ.
Belum pun sampai seminit, Anis datang semula bersama Cikgu Fuad.
“Kamu mari sini,” panggil Cikgu Fuad pada Seng.
“Apa yang kamu cakap pada dia?” tanya Cikgu Fuad sambil menuding pada Anis.
“Tak ada apa cikgu,” dalih Seng.
“Kamu cakap betul-betul, jangan berbohong. Nanti saya patahkan tangan kamu ini,” tekan Cikgu Fuad sambil mencekak tangan kiri Seng. Seng kini tidak dapat lari lagi.
“Saya tanya dia teka-teki, cikgu,”
“Teka-teki apa? Biar saya yang jawab,”
Seng terdiam.
“Cakap!” tengking Cikgu Fuad.
Dengan terketar-ketar Seng pun mengulangi teka-tekinya pada Anis sebentar tadi.
Pang… satu tamparan padat mendarat di pipi Seng.
“Kamu nak jadi apa hah? Kecik-kecik lagi dah pandai cakap benda tak senonoh,” seranah Cikgu Fuad.
Imi dan Fadli cepat-cepat menjauhkan diri. Mereka mengintai dari balik pohon bunga kertas yang rimbun.
“Lain kali jangan memandai-mandai ubah pantun melayu lama. Kamu sudah rosakkan warisan bangsa kamu sendiri,” marah Cikgu Fuad lagi. Selepas itu dia melepaskan Seng. Seng segera berlalu dari situ.
Fadli dan Imi tertanya-tanya sesama sendiri, apa sebenarnya salah Seng. Takkanlah berpantun pun boleh ditampar sebegitu teruk. Dalam fikiran yang masih kehairanan, mereka pun meneruskan perjalanan pulang ke kelas.
Waktu rehat masih banyak berbaki. Kebanyakan murid-murid masih riang berkeliaran di luar kelas.
Dari jauh Imi nampak Harith berada seorang diri di dalam kelas. Dia nampaknya dalam keadaan yang mencurigakan kerana dia sedang terbongkok-bongkok di meja Nia. Imi menarik Fadli berselindung di balik daun pintu. Nasib baiklah Harith membelakangi mereka, dapatlah mereka mengintai dengan lebih mudah. Nampaknya Harith meletakkan sesuatu ke dalam buku Nia. Kemudian dia meninggalkan kelas dalam keadaan tergesa-gesa.
Setelah dipastikan Harith telah berada jauh, Imi dan Fadli segera keluar dari sebalik daun pintu dan menuju meja Nia. Mereka terus memeriksa buku yang dibuka oleh Harith tadi. Di satu muka surat, mereka terjumpa sehelai kertas yang berlipat.
Imi segera membuka kertas itu dan membacanya. Seketika kemudian kedua-dua budak lelaki itu ketawa terbahak-bahak.
“Surat cinta rupanya,” kata Imi.
“Apa kata kalau kita beri pada Cikgu Fuad?” cadang Fadli.
“Tak usah. Nanti Harith kena tampar macam Seng tadi. Aku ada satu cadangan lagi bagus,” kata Imi tersenyum girang. Dan beberapa minit kemudian, mereka pun selesai melaksanakan cadangan yang gempak itu.
Sementara menunggu loceng waktu rehat tamat berbunyi, mereka berbual-bual tentang apa yang mereka telah lakukan sebentar tadi. Sekali-sekali mereka ketawa seronok.
Loceng pun berdering panjang. Murid-murid kelas Dua Cemerlang kembali memenuhi kelas. Sebentar kemudian, guru kelas yang juga guru mata pelajaran Bahasa Melayu mereka, Cikgu Zubaidah yang sedang sarat mengandung melangkah perlahan-lahan memasuki kelas.
“Hari ini sepatutnya cikgu dah cuti, tapi cikgu datang juga ke sekolah sebab ada hal sikit. Sementara ada waktu terluang, cikgu masuk juga kelas kamu. Guru ganti kamu untuk matapelajaran bahasa melayu belum dapat hadir hari ini. Mungkin lusa baru dia datang lapor diri ke sekolah,” ujar Cikgu Zubaidah.
“Cikgu tak nak mengajar hari ini. Kamu boleh buat aktiviti bebas, cuma jangan buat bising. Lagi bagus kamu buat kerja rumah ataupun membaca apa-apa buku,” tambah Cikgu Zubaidah lagi.
“Apa kata kita belajar berpantun, cikgu?” cadang Imi spontan. Dia masih memikirkan pantun Seng kepada Anis pada waktu rehat tadi. Kalau ada peluang, dia mahu bertanya pada Cikgu Zubaidah tentang maksud pantun Seng itu.
“Berpantun? Bagus juga. Kamu semua pandaikah berpantun?”
“Cikgu ajarlah,” sambut seorang budak perempuan.
“Baiklah, cikgu akan berpantun separuh, lepas itu kamu sambung ya?”
“Baik, cikgu,” Imi dan beberapa orang yang lain menjawab.
“Ok, pecah kaca pecah gelas, sambung,”
“Pecah pinggan emak marah,” sambung Suhardi.
“Salah,” ujar Cikgu Zubaidah.
“Sudah baca harap balas,” jawab yang lain.
“Betul. Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan,”
Imi bangun dan terus menjawab, “saya budak baru belajar…”
“Kalau salah tolong jolokkan, hahaha…” dengan pantas Fadli memotong sebelum sempat Imi menghabiskannya. Rakan-rakan yang lain ikut tertawa.
“Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan,” kata Imi akhirnya. Dia mengacah untuk mengetuk kepala Fadli kerana mengganggunya menjawab pantun.
“Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti,” kata Cikgu Zubaidah.
Fadli mengangkat tangan dan segera bangun menjawab, “Kera Pak Kadir ikut belayar, makan pisang di atas peti,” katanya. Kelas gamat lagi. Nia menjelir ke arah Fadli.
Cikgu Zubaidah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Murid-muridnya ini memang nakal-nakal. Calang-calang guru tidak akan tahan dengan pelbagai karenah mereka. Namun hatinya cukup terhibur dengan keletah anak-anak kecil yang masih hijau ini. Kurang sedikit rasa beban membawa kandungannya.
“Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati,” jawab seorang murid perempuan.
“Betul tu. Dua tiga kucing berlari…” kata Cikgu Zubaidah.
“Habis semua dilanggar lori,” jerit satu suara dari belakang kelas. Satu kelas berderai ketawa.
“Tunggu. Cikgu belum habis lagi,” kata Cikgu Zubaidah. “Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang,” sambungnya.
“Saya tahu cikgu,” Harith segera mengangkat tangan.
“Dua tiga bolehku cari, mana nak sama… si Dania seorang,” kata Harith sambil menunjuk Nia. Budak-budak lain bersorak-sorakan. Harith hanya tersengih, manakala muka Nia merah padam.
“Amboi, kamu ni Harith. Kamu dah bersunat ke belum?” tanya Cikgu Zubaidah.
“Belum, cikgu,” kata Harith tersipu-sipu. Budak-budak lain pun bersorak lagi.
“Tapi saya suka Nia, cikgu. Bila besar nanti saya nak kawin dengan dia,” kata Harith tanpa segan silu. Kelas menjadi semakin gamat.
Terpegun Nia. Malunya dia usah dikata lagi. Dia tunduk ke meja. Air matanya hampir menitik. Mahu sahaja dia berlari pulang ke rumah. Nia mengetapkan gigi menahan geram. Kenapakah anak orang kaya ini seorang sungguh celupar mulutnya. Tak tahu malu langsung! Bagus ditempeleng saja, desis hatinya.
Nia buat-buat tidak peduli dengan jeritan dan ketawa rakan-rakan sekelas di sekeliling. Dia menyelak-nyelak buku teksnya di atas meja. Tiba-tiba Nia terjumpa satu kertas berlipat dicelah-celah salah salah satu muka surat itu. Dengan penuh kehairanan dia pun segera membukanya.
“Eh, surat apa ni?” detak hatinya hairan.
Mata Nia pantas meneliti ayat-ayat pada surat itu. Tiba-tiba dia menekup mukanya dengan surat itu lalu tertawa mengilai dengan kuatnya. Harith merasa gembira apabila mendapati Nia kelihatan riang sungguh setelah membaca suratnya. Sangkaannya, tentulah Nia juga sukakan padanya.
Reaksi pelik Nia itu menarik perhatian rakan-rakan di sebelahnya. Lantas mereka menyerbu Nia dan membaca sama surat itu. Dan seperti juga Nia, mereka tertawa besar. Ada yang terjerit-jerit, ada pula yang melompat-lompat. Suasana menjadi riuh rendah dan hampir tak terkawal.
Cikgu Zubaidah terpaksa memukul meja dengan rotan kerana suaranya sudah tenggelam sama sekali oleh suara anak-anak muridnya.
Setelah suasana reda, Cikgu Zubaidah bertanya, “ada apa Dania?”
Nia bangun lalu membawa surat itu kepada Cikgu Zubaidah. Setelah membaca surat itu, Cikgu Zubaidah pula terkikih-kikih ketawa.
“Surat ini untuk kamukah Nia?” Cikgu Zubaidah meminta kepastian.
“Saya tak tahu, cikgu,”
“Siapa yang hantar pada kamu?”
“Itu pun saya tak tahu, cikgu,”
“Harith yang tulis cikgu!” jerit Fadli dari belakang. Masing-masing memandang Fadli. Imi cuba menahan Fadli dengan memberi isyarat jari telunjuk pada bibirnya, namun sudah terlambat.
“Saya dengan Suhaimi nampak Harith yang masukkan surat itu ke dalam buku Dania, cikgu,” tambah Fadli lagi.
Imi segera meluru pergi menekup mulut Fadli lalu membisikkan ketelinganya, “jangan bagi tahu dulu,”. Dia tidak mahu Fadli memberitahu yang mereka telah membuat sesuatu pada surat itu.
“Kenapa Suhaimi?” tanya Cikgu Zubaidah hairan.
“Tak ada apa-apa, cikgu. Memang benar saya dengan Fadli nampak Harith masukkan surat itu ke dalam buku Nia waktu rehat tadi,” kata Imi bijak mengawal rahsia dengan membuat-buat mimik muka bersalah.
Harith pula kelihatan menggelabah. Daripada rupa air mukanya yang cemas itu, sudah terang lagi bersuluh, dialah orangnya yang empunya diri penulis surat tersebut.
“Harith,” panggil Cikgu Zubaidah dengan lunak pula. “Datang depan,”
Harith pun mendapatkan Cikgu Zubaidah dengan rasa serba-salah.
“Kamukah yang tulis surat ini?” tanya Cikgu Zubaidah.
“Ya, cikgu,” kata Harith malu-malu.
“Sekarang kamu ambil surat kamu ini. Pergi depan kelas, kemudian bacakan kuat-kuat. Kawan-kawan kamu yang lain juga mahu tahu,” kata Cikgu Zubaidah.
Harith tergamam. Mana tergamak dia nak membaca surat cinta yang ditulisnya sendiri pada orang lain.
“Malulah Cikgu,” kata Harith.
“Kalau kamu tak nak baca depan kelas, cikgu akan beri surat ini pada Cikgu Fuad, nak?” Cikgu Zubaidah menggertak.
Imi menahan gelak dari belakang. Dia sudah dapat membayangkan apa yang berlaku sebentar nanti.
“Tolonglah Cikgu, jangan beri surat itu pada Cikgu Fuad,” rayu Harith.
“Tahu pun kamu takut. Jadi kamu terpaksalah kena baca surat kamu ini di depan kelas. Ini saja denda dari cikgu untuk kamu, jauh lebih ringan daripada denda Cikgu Fuad. Cikgu kira sampai tiga, kalau kamu tak nak juga, cikgu terpaksa beri pada Cikgu Fuadlah,” ugut Cikgu Zubaidah lagi.
“Satu,” Cikgu Zubaidah mula menghitung.
Harith mengambil suratnya dari tangan Cikgu Zubaidah dengan hati yang berat. Dia hampir menitiskan air mata.
“Baca kuat-kuat,” suruh Cikgu Zubaidah.
Sambil mengangkat surat itu di depan mukanya agar dapat melindungi dari pandangan rakan-rakan, Harith pun mula membaca,
Kepada Dania,
Saya sangat suka pada awak,
Saya selalu ingat pada awak hingga saya
Tidur tak lena,
Makan tak kenyang,
Mandi tak basah…
Harith berhenti membaca suratnya. Dia berasa keliru. Kemudian dia menoleh ke arah Cikgu Zubaidah dengan penuh tanda tanya.
“Teruskan, belum habis lagi tu,” kata Cikgu Zubaidah.
Harith menambah lagi,
“Gigi tak gosok…”
Kelas makin gamat. Harith memejam mata sambil menelan liur.
“Lagi?” desak Cikgu Zubaidah.
“Berak tak basuh…”
Kali ini Imi sudah tak tertahan lagi, lalu jatuh dengan menggelupur di lantai kelas. Dia ketawa bagaikan terkena histeria! Ini kerana Harith telah mendapat padah surat itu lebih daripada apa yang dijangkakannya.
Dan satu ketika kelas jadi hening pula. Bukan kerana mereka berhenti ketawa, tetapi volumenya sudah melebihi limit. Bunyi ketawa sudah tidak keluar lagi sedangkan mulut mereka masih terlalak-lalak. Betapa hebatnya penangan surat cinta Harith.
“Berak tak basuh Harith? Sungguh? Dahsyatnya angau kamu!” tanya Cikgu Zubaidah dalam tersemput-semput ketawa. “Betul sampai macam tu sekali?” tanyanya lagi.
“Eh, bukan. Saya tak tulis yang ini…” dalih Harith dengan muka merah padam. Namun tiada siapa yang menghiraukannya.
Cikgu Zubaidah sudah terlentang dikerusinya. Kerusi itu terhingguk-hingguk mengikut alunan ketawanya.
“Aduh!” tiba-tiba Cikgu Zubaidah menjerit. Bunyinya cemas, semacam menahan kesakitan. Dia memegang perutnya yang membusung itu.
Cikgu Zubaidah cuba untuk bangun, tetapi nampaknya dia tidak mampu. Dia mencuba lagi dengan menongkat tangannya pada sisi kerusi. Namun nasibnya tidak baik. Kerusi itu terbalik dan Cikgu Zubaidah jatuh ke belakang, menimpa kaki kerusi.
“Aduh… Tolong…” rintih Cikgu Zubaidah.
“Tolong angkat cikgu!” ajak Imi.
Beberapa murid ke depan untuk membantu Cikgu Zubaidah bangun, tetapi tidak berjaya. Apalah sangat kudrat budak-budak yang baru berumur lapan tahun itu. Akhirnya Amran, ketua kelas berlari keluar meminta tolong daripada guru-guru lain. Tanpa menunggu lama, Cikgu Zubaidah terus dikejarkan ke hospital oleh beberapa orang guru lain kerana sudah ada tanda-tanda dia mahu bersalin.
Harith bernasib baik hari itu kerana semasa orang lain kelam-kabut menguruskan Cikgu Zubaidah, dia sempat mengoyakkan surat cintanya pada Nia. Lega hatinya kerana surat itu tidak akan terlepas ke tangan orang lain pula, lebih-lebih lagi Cikgu Fuad!
Beberapa hari selepas itu, pihak sekolah telah membuat rombongan untuk murid-murid kelas Dua Cemerlang bersama beberapa orang guru lagi ke hospital. Mereka melawat guru kelas kesayangan mereka, Cikgu Zubaidah yang telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang comel.
Cikgu Zubaidah terpaksa melahirkan anaknya hampir dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan, akhibat daripada komplikasi kejadian jatuh dari kerusi.
Sewaktu Harith bersalam dengan Cikgu Zubaidah, Cikgu Zubaidah tersenyum besar.
“Anak saya dalam perut pun turut tergelak bila dengar kamu baca surat tu,” kata Cikgu Zubaidah membuatkan anak-anak muridnya yang lain tertawa.
“Sebab itulah dia tidak sabar-sabar nak keluar untuk baca sendiri,” tambah Cikgu Zubaidah lagi. Harith hanya tersipu-sipu. Manakala Nia melindungkan diri di belakang kawan-kawannya. Malu…
“Saya sudah koyakkan surat tu,” kata Harith akhirnya. Mereka tertawa lagi.