Pagi besoknya di pejabat surat khabar Sawan Merapu, seorang pembantu pejabat wanita sedang menghidangkan kopi kepada seorang lelaki separuh umur yang sedang membaca surat khabar di mejanya. Dia adalah ketua pengarang yang juga pemilik kepada syarikat itu.
“Jemput minum bos,” kata pembantu wanita.
“Terima kasih,”
Pintu pejabatnya dibuka dari luar. Kemudian muncul seorang lelaki berserban arab.
“Assalamualaikum ya sahabatku tuan pengurus Ushawan Sawan Sdn Bhd,” kata Sheikh Majnun.
“Waalaikummussalam ya sahabatku Sheikh Majnun Aljerunga,” balas tuan pengurus. Dia bangun lalu datang manyambut Sheikh Majnun dengan pelukan.
“Apa khabar?” tanya Sheikh Majnun.
“Khabar baik. Tuan Sheikh Majnun pula apa khabar?” tanya tuan pengurus pula.
“Khabar baik, lama saya tidak berjumpa dengan tuan pengurus,” balas Sheikh Majnun.
“Sila duduk Tuan Sheikh. Sila duduk. Ambil kopi untuk Tuan Sheikh Majnun,” kata tuan pengurus kepada pembantunya.
“Saya datang ni sebetulnya ada hal yang mustahak,” Sheikh Majnun memulakan cerita.
“Apa dia?” tanya tuan pengurus.
“Saya ingin menempah satu ruang muka penuh untuk iklan di surat khabar tuan pengurus,” kata Sheikh Majnun.
“Wah besar sekali ruang iklan yang tuan mahu. Tuan mahu buat iklan apa itu?” tanya tuan pengurus.
“Saya mahu buat iklan tender yang paling besar,” ujar Sheikh Majnun.
“Tender paling besar? Tender apakah itu? Tender projek stadium bolakah?” soal tuan pengurus.
“Bukan. Bukan. Saya mahu buka iklan tender untuk mengahwinkan anak-anak saya. Saya mahu mencari calon menantu yang paling kaya,” jelas Sheikh Majnun.
“Buka tender untuk cari menantu?” tanya tuan pengurus kaget.
“Ya,” jawab Sheikh Majnun mengangguk-angguk.
“MasyaAllah! Mana ada orang pernah buat macam ini ya Sheikh? Kalau tender untuk mengendalikan majlis perkahwinan itu, adalah,” kata tuan pengurus.
“Orang tak pernah buat. Saya saja yang nak buat,” kata Sheikh Majnun.
“Tuan pengurus tengok, berapa ramai yang berkahwin pakai cara adat lama tu? Semua tak kekal. Semua porak peranda,” sambungnya lagi.
“Ya, ya,” tuan pengurus mengangguk-angguk. Pada hal, hatinya sungguh tidak bersetuju dengan pendapat yang sebarangan itu. Dia tidak boleh membangkang secara terus-terang. Kalau tidak, rezeki besarnya ini akan lari begitu sahaja.
“Sekarang kita nak ubah adat itu. Kita guna cara baru. Kita mesti progresif. Cara biasa yang kita buat sudah kuno,” Sheikh Majnun berhujjah lagi.
“Ooo…” tuan pengurus mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Baik, kalau begitu, ini gambar anak-anak saya dengan biodata mereka. Tuan pengurus buat iklan ini bagus-bagus. Kasi touch up gambar anak-anak saya cantik-cantik. Saya mahu mana-mana lelaki muda yang berminat hendak berkahwin dengan anak saya dikehendaki membeli borang tender. Lepas itu isi dan hantar dengan resume mereka serta proposal projek mega atau urusniaga korporat yang bernilai juta-juta,” kata Sheikh Majnun.
“Baik, baik, baik…” kata tuan pengurus. Namun dalam hatinya berbisik, orang tua ini sudah betul-betul gila.
“Tetapi yuran untuk iklan satu muka surat penuh dangan warna adalah sebanyak dua puluh ribu ringgit sehari,” kata tuan pengurus dengan hati-hati. Risau juga dia kalau-kalau Sheikh Majnun terkejut dan tidak setuju.
“Saya setuju. Murah, cukup murah. Tuan pengurus siar iklan tender saya selama tujuh hari berturut-turut,” kata Sheikh Majnun dengan cepat.
“Payment macam mana? Saya perlukan bayaran tunai sebelum iklan disiarkan,” pinta tuan pengurus.
“Esok orang-orang saya datang bawa duit. Lepas itu, tuan pengurus boleh terus siar iklan,” tegas Sheikh Majnun dengan tersenyum. Lucu juga hatinya bila melihat pengurus syarikat iklan itu masih ragu-ragu padanya.
“Boleh, saya setuju,” kata tuan pengurus.
“Baiklah, saya mahu beredar dahulu. Assalamualaikum,” kata Sheikh Majnun lalu bangun dan menuju keluar sambil menyanyi-nyanyi gembira.
“Waalaikummussalam,” jawab tuan pengurus yang hanya mampu memerhatikannya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Memang padanlah namanya Majnun. Suka buat kerja gila. Nak kahwinkan anak pun buka tender. Kenapa tidak dilelongkan terus saja?” tuan pengurus bercakap sendirian.
Sejam kemudian, di sebuah kedai iklan pula…
“Assalamualaikum ya Syahibul Banner,” kata Sheikh Majnun yang tiba-tiba terpancul di pintu.
“Waalaikummussalam ya Sheikh Majnun Al-Jerunga,” sahut empunya kedai iklan itu.
“Apa khabar?” tanya Sheikh Majnun.
“Baik, baik,” jawab Syahibul Banner.
“Lama kita tak jumpa ya,” kata Sheikh Majnun.
“Ya, ya, ya. sila duduk,” Syahibul Banner mempelawa.
“Terima kasih,” balas Sheikh Majnun.
“Ada hajat apa tuan Sheikh datang ke mari?” tanya Syahibul Banner.
“Yang sebetulnya ada hal mustahak,” jawab Sheikh Majnun.
“Hal mustahak apa itu, tuan Sheikh?” tanya Syahibul Banner lagi.
“Saya datang ini sebenarnya mahu menempah satu papan tanda dari kedai Encik Syahibul,” kata Sheikh Majnun.
“Papan tanda untuk apa itu tuan Sheikh Majnun?” tanya Syahibul Banner.
“Papan tanda majlis perkahwinan anak-anak saya,” jelas Sheikh Majnun.
“Oh, untuk majlis perkahwinan anak tuan Sheikh rupanya. Tetapi jikalau untuk majlis perkahwinan, saya biasa buat banner sahaja, bukannya papan tanda,” jelas Shahibul Banner.
“Tak apa, tak apa. Saya mahu buat papan tanda. Banner itu cara lama. Nampak murah dan tidak meriah,” kata Sheikh Majnun dengan sombong.
“Tak boleh tuan Sheikh, saya tak pernah buat. Biar saya buat banner yang paling cantik untuk Tuan Sheikh. Sebesar mana banner yang Tuan Sheikh mahu?” tanya Syahibul Banner.
“Tidak,” tegas Sheikh Majnun.
“Saya mahu papan tanda juga. Saya mahu Encik Shahibul buat seperti papan tanda JKR di tepi projek jambatan sungai sana,” kata Sheikh Majnun sambil menunjuk ke satu arah.
Shahibul Banner mengerutkan dahi. Kemudian dia mengangguk kepala lambat-lambat.
“Kalau boleh saya mahu lagi besar. Tetapi saya mahu warnanya sama dengan papan tanda JKR. Putih dan kuning. Nanti bila orang tengok, mereka berasa teruja,” tegas Sheikh Majnun.
“Bahagian paling atas papan tanda itu kasi tulis besar-besar, SATU LAGI PROJEK SHEIKH MAJNUN ALJERUNGA,” tambahnya lagi.
Dengan mulut terlopong, Shahibul Banner hanya mampu mengangguk-angguk.
“Saya mahu orang-orang di kota ini kagum dengan majlis perkahwinan anak saya sebagaimana mereka kagum melihat projek-projek besar,” tambah Sheikh Majnun lagi.
“Kenapa Encik Shahibul diam? Ada masalah?” tanya Sheikh Majnun apabila melihat Shahibul Banner hanya terus melopong, tanpa menyahut sepatah pun.
Shahibul Banner teragak-agak mahu bercakap. Suaranya seperti tersekat di halkum. Tentu sekali dia ingin menyatakan kos yang terlibat adalah tinggi, tetapi zahir tak terucap. Walaupun begitu, daripada ekspresi air mukanya sahaja Sheikh Majnun dapat memahami maksud Shahibul Banner itu.
“Jangan bimbang. Saya akan bayar berapa sahaja harganya,” kata Sheikh Majnun sambil menepuk-nepuk bahu Syahibul Banner.
“Tetapi di manakah Tuan Sheikh Majnun mahu saya pacakkan papan tanda itu?” tanya Shahibul Banner.
“Encik Syahibul pacakkan betul-betul di hadapan rumah saya. Di sebelah pintu pagar,” ujar Sheikh Majnun.
“Baiklah, saya setuju. Saya setuju.” kata Shahibul Banner.
“Bagus. Bagus…” Sheikh Majnun ketawa.
“Bila majlis perkahwinan itu?” tanya Shahibul Banner lagi
“Cukup bulan,” tegas Sheikh Majnun.
“Oh, banyak masa lagi. Saya mesti buat papan tanda yang paling cantik untuk perkahwinan anak-anak Sheikh ini,” ujar Shahibul Banner.
“Bagus. Bagus. Macam inilah rakan bisnes yang saya mahu,” puji Sheikh Majnun.