Isnin, 2 Januari 2012

Madu Tiga Suku bab 9

9.  Senapang, Senang… Pang!
            Melalui intipan selama dua hari, Liafara berjaya juga menjejaki di mana rumah Hasnina. Di satu kawasan yang agak esklusif  di lereng bukit, tersergamya sebuah rumah banglo sederhana mewah milik Hasnina sederet dengan rumah-rumah golongan elit yang lain. Kawasan perumahan ini dinamakan Taman Bukit Ular Senduk.  Penduduk-penduduk di sini disajikan dengan pemandangan bukit-bukau dan kehijauan hutan dara yang mendamaikan.
            Namun kedamaian itu bakal dicabuli Liafara sedikit masa lagi. Dia meninjau-ninjau ruang dan peluang yang ada di situ untuk melunaskan balas dendamnya pada Hasnina. Tidak jauh di sebelah barat deretan rumah Taman Bukit Ular Senduk ini, ada sebuah bukit yang sedang giat ditarah. Mungkin untuk pembinaan perumahan baru.
            Ada laluan kenderaan yang di tarah pada bukit itu menuju ke puncak. Jentolak dan lori-lori hantu pula bertaburan di sekitar bukit itu. Maka terlintaslah sesuatu di fikiran Liafara. Dia mengamati kedudukan bukit itu dan juga kedudukan rumah Hasnina berulang kali. Kemudian dia tersenyum sendiri.
            Liafara memandu kereta mendaki laluan tarahan bukit itu. Sampai di satu tempat, kira-kira dua per tiga daripada tingginya bukit itu, Liafara memberhentikan kereta. Di sini dia dapat melihat dengan jelas akan kedudukan rumah Hasnina dan kawasan kejiranannya tanpa halangan. Di tingkat atas rumah Hasnina, terdapat sebuah balkoni sederhana besar. Liafara mengagak berkemungkinan balkoni itu bersambung dengan bilik tidur utama mereka.
            Petang itu juga Liafara bergegas ke rumah orang tuanya di Merchang. Dia mahu meminjam senapang abahnya bagi melaksanakan misi ini. Abahnya memang gemar berburu. Sewaktu kecil dulu kerap-kali juga Liafara diajak oleh abahnya masuk ke hutan untuk mencari pelanduk liar. Namun Liafara tidak tahan dengan nyamuk dan pacat. Lagipun suasana hutan yang kelam tertutup dengan berbagai-bagai bunyi penghuninya menggerunkan Liafara.
            Sempat jugalah Liafara belajar sedikit sebanyak cara mengendap mangsa buruan, membidik serta mengendalikan senapang. Namun Liafara tidak pernah dibenarkan mencuba senapang itu dengan menggunakan peluru hidup. Walaupun begitu, Liafara yakin dapat mengendalikan senapang itu sendiri. Dia lihat tidaklah sesukar mana abahnya melakukannya.
            Abahnya sendiri pun bukanlah pembidik yang selalu tepat. Pernah abahnya menembak seekor tupai di atas pokok kelapa. Yang jatuhnya bukanlah tupai, tetapi setandan kelapa selepas peluru menembusi tandannya. Ada juga orang kampung yang sedang memakan durian kaget bila biji durian itu sangat keras semasa digigit. Dia terperanjat apabila mendapati ada sebutir peluru besi bersama biji durian itu. Setelah diselidiki, mereka yakin peluru itu adalah dari senapang abah Liafara. Orang kampung tersebut telah mengupah Abah Liafara menembak tupai di kebun duriannya tidak lama sebelum itu.
            “Fara nak buat apa dengan senapang abah?” tanya Pak Hamid sewaktu Liafara menyuarakan hasratnya.
            “Fara nak tembak kera ayah,” jawab Liafara berbohong.
            Pak Hamid mengerutkan dahi. “Tembak kera di mana?”
            “Di kawasan rumah Faralah. Ada seekor kera betina tu jahat sungguh. Dia sudah curi buah pisang yang Fara tanam dulu. Minggu lepas dia datang nak mencuri lagi, tetapi nasib baik dia terpijak paku dekat pintu pagar. Habis kakinya luka dan berdarah-darah. Tapi Fara rasa belum selamat. Fara yakin kera betina itu tidak serik. Pasti kera betina itu datang lagi nanti. Biar Fara tembak saja kera itu, abah,” terang Liafara.
            “Abah bimbang nak beri. Fara bukannya pandai pakai senapang,” bantah Pak Hamid. Mana mungkin orang yang tiada permit polis dibenarkan menggunakan senapangnya. Kalau terjadi apa-apa, sudah tentu dia akan menanggung akhibatya. Apalagi kalau tersilap yang melibatkan kehilangan nyawa. Meringkuk dalam penjara sampai matilah jawabnya.
            “Alah abah ni, Fara tahulah guna senapang ni,” pujuk Liafara.
            Pak Hamid menggeleng-gelengkan kepala. “Fara halau dengan cara lainlah.”
            “Tembak pakai senapanglah paling bagus, abah. Senapang, senang… Pang!” ujar Liafara sambil menggayakan orang yang sedang  menembak.
            Pak Hamid berfikir sebentar. “Ayah tidak akan benarkan kamu menembak sendiri. Biar ayah yang tembak nanti,” dia memberikan kata putus.
            “Tapi kera betina ini datang tidak tentu masanya, abah. Nanti abah kena tunggu lama. Terganggu pula urusan perniagaan abah,” ujar Liafara. Mana mungkin abahnya mahu menembak ‘kera betina’ tersebut. Kalaulah abahnya tahu rancangan sebenarnya, sudah tentu dia pula akan teruk ‘ditembak’ mulut Pak Hamid yang tegas itu.
            “Tidak apa. Bila kera itu datang saja, kamu telefon abah. Abah akan datang segera untuk tembak,” cadang Pak Hamid pula, bagaikan tidak mahu bagi peluang langsung Liafara menggunakan sendiri senapang patah itu. Liafara terdiam. Dia kehabisan hujah.
            Liafara tahu di mana senapang patah abahnya disimpan. Begitu juga dengan pelurunya, yang di letakkan dalam sebuah almari di bilik tidur abahnya. Sewaktu abahnya ke surau di waktu maghrib, tanpa membuang masa Lafara terus mengambil senapang patah itu bersama dengan tiga biji peluru lalu meninggalkan rumah abahnya dengan segera. Dia berdoa agar abahnya tidak perasan akan tidakannya itu. Liafara berjanji pada dirinya sendiri untuk memulangkan semula senapang itu sebaik sahaja misinya selesai besok.
            Petang keesokannya Liafara memandu kereta memanjat bukit di sebelah kawasan perumahan Hasnina semula. Dia memberhentikan kereta dan menunggu di tempat yang sama dengan semalam. Waktu pejabat telah pun tamat dan Hasnina di jangka tiba di rumahnya tidak lama lagi.
            Benar seperti jangkaan Liafara. Belum pun setengah jam menunggu, kelihatan kereta Hasnina menjalar masuk ke laman rumahnya. Liafara harus melaksanakan misinya dengan cepat sebelum Jamilkhir pulang. Dia tahu kebiasaannya Jamilkhir akan pulang kira-kira sejam lebih lewat daripada waktu pejabat berakhir.
            Hasnina memanjat kepala sebuah lori hantu dan sabar menunggu saat yang paling sesuai. Di sini posisinya lebih baik. Senapang patah yang telah berisikan peluru telah pun sedia di tangannya. Dia cuba-cuba membidik ke arah rumah Hasnina bagaikan seorang sniper yang hebat.
            Kelihatan Hasnina keluar ke balkoni biliknya. Ya, inilah saat yang dinantikan! Jerit hati Liafara.
            “Mampuslah engkau wahai betina bedebah!” ujar Hasnina dengan senyum bangga. Dia membidik Hasnina setepat mungkin. Hasnina pula kelihatan bagaikan menyerah diri dengan berteleku di pagar balkoninya. Entah apa yang dimenungkannya.
            Tangan kiri Liafara memegang bahagian tengah senapang, manakala tangan kanannya bersedia untuk memetik picu. Hujung belakang senapang pula disendalkan pada bahu kanannya, seperti yang biasa dilihat Pak Hamid melakukannya.
            Pang!...
            Sedas ledakan senapang memecah keheningan petang kawasan perumahan elit Bukit Ular Senduk. Sekawan burung gempar dan bertempiaran terbang dari sebatang pokok berhampiran Liafara.
            Hasnina pun terkejut, namun belum pun sempat dia mencari apa yang meletup itu, dia terlihat satu objek leper berpusing ligat melayang di udara, yang menuju ke arah balkoninya.
            “UFO menyerang bumi!” jerit Hasnina.
            Objek itu seperti menghala ke balkoni Hasnina membuatkannya terkocoh-kocoh lari menyelamatkan diri ke dalam bilik air. Sejurus kemudian dia mendengar sesuatu merempuh pintu gelungsur balkoninya dan jatuh berdenting. Selepas itu suasana kedengaran senyap sahaja.
            Hasnina memberanikan diri mengintai di balik pintu. Tiada apa-apa yang ganjil dilihatnya. Dia pun berjalan terjengket-jengket ke balkoni. Diadapatinya objek tadi sedang berputar lemah di lantai balkoni. Sebaik objek itu berhenti, Hasnina membaca sepatah perkataan yang terdapat pada objek itu.
            “Astropong?” Hasnina kaget. Rupa-rupanya objek itu adalah cakera penerima siaran televisyen satelit.
            Di sebuah rumah mewah yang terletak selang sebuah daripada rumah Hasnina, penghuninya, seorang lelaki sedang mengamuk sakan dengan membaling majalah-majalah dan bantal kusyen ke arah televisyen LCDnya. Dia menyumpah-seranah dengan geramnya.
            Manakan tidak, sedang sedap-sedap dia menonton perlawanan akhir Liga Juara-juara di antara pasukan Manchester United dengan Barcelona, walaupun siaran ulangan, tiba-tiba skrin televisyennya hilang gambar. Waktu itu Lionel Messi sedang merembat bola ke pintu gol Manchester United. Dalam keadaan bola yang sudah melepasi jangkauan tangan Edvin Van Der Sar, penjaga gol Manchester United, dan kelihatan akan melepasi bawah palang gol, siaran terputus pula.
            Hujan tidak, ribut pun tidak. Tiba-tiba sahaja Astropongnya tiada signal. Puas dicari sebabnya, akhirnya telihatlah dia akan cakera penerima signal televisyen satelitnya yang sudah lesap dari tempatnya.
            “Woi! Siapa yang curi cakera Astropong aku?” jerit lelaki itu. “Siapalah yang bedebah sungguh ini, sampaikan cakera Astropong pun mahu dicurinya. Kalau ya pun mahu curi, tunggulah aku habis tengok bola dulu,” dia terus membebel marah.
            “Apa yang engkau boleh buat dengan cakera itu sahaja? Mahu buat kualikah? Ada juga jenis pencuri sengal yang mengarut macam ini, ptuih!...” Lelaki itu meludah geram.
            Keadaan Liafara juga turut melucukan, tetapi lebih parah. Dia tergantung di sisi kepala lori hantu dengan kepala menjunam ke bawah. Sebatang besi di mana cermin sisi lori hantu itu diletakkan telah menusuk punggung kiri Liafara sehingga ke pahanya. Batang besi itu telah berkarat serta tajam di mana cermin sisinya sudah hilang.
            Liafara terpelanting ke belakang sewaktu tembakan dilepaskannya tadi. Tenaga terhasil oleh pengaktifan peluru menolak senapang ke belakang juga sekuat tenaga kinetik peluru tersebut. Oleh itu, pangkal senapang menghentak pula bahu Liafara hingga terkehel. Liafara sendiri pun tercampak ke belakang disebabkan oleh momentum senapang itu. Tindak balas lantunan itu juga menyebabkan tembakan Liafara tersasar mengenai cakera televisyen satelit jiran Hasnina.
            Liafara jatuh menimpa pula besi pemegang cermin sisi lori hantu menyebabkan dia tersangkut di situ. Mujurlah kaki kirinya tersepit di antara batang besi dan rangka kepala lori. Jika tidak, sudah tentu daging punggung dan paha Liafara rabak terburai kerana tidak mampu menahan beban berat badannya. Dia juga pasti jatuh ke tanah yang tingginya lebih dari dua meter itu.
            Semalaman Liafara terlekat pada tiang cermin sisi lori hantu itu kerana tidak berupaya bergerak. Ini kerana bahu kanannya telah terkehel sementara kedua-dua kakinya telah kejang. Dia begitu lemah kerana kehilangan banyak darah. Nasib baiklah kedudukan punggungnya yang luka itu terletak lebih tinggi daripada jantung. Jika tidak sudah pasti darah keluar membuak-buak, yang mana boleh mengakhibatkan maut.
                                                            *****
            Seorang pekerja kontrak berbangsa Bangladesh menyanyi-nyanyi riang berjalan ke tempat kerja di awal pagi itu. Dia yang baru lima bulan berada di Malaysia itu begitu bersungguh-sungguh mempelajari bahasa melayu. Setakat ini kemajuan yang boleh dibanggakannya ialah berjaya menghafal lagu Faizal Tahir, Gemuruh. Dengan penuh semangat dia mengalunkan lagu tersebut dengan bermikrofonkan sebatang adjustable spanner.
                        Bila bertalu rentak dikalbu
                        Hasrat yang tersirat semakin ku buru
                        Bila bergema laungan gempita
                        Harapan menyala nadiku berganda

                        Gemuruh jiwa semangat membara
            Sebelah lagi tangannya dikepal dan diangkat tinggi-tinggi penuh bersemangat. Namun ketika itu terpandanglah dia akan satu lembaga di sisi kepala lori hantu yang akan di pandunya nanti. Lalu tergagap-gagaplah dia menyanyi jadinya.
                        Gemuruh jiwa… semangat membara…
                        Gemuruh jiwa… semangat membara…
                        Gemuruh jiwa… semangat membara…
                        Gemuruh jiwa… semangat membara…
            Memang jiwanya tiba-tiba bergemuruh, tetapi bukannya dengan semangat membara. Sebaliknya, semangatnya hilang terus! Apa tidaknya, sesiapa pun jikalau melihat seekor hantu yang sedang bertenggek tidur dengan posisi terbalik di tepi kepala lori hantu itu sudah tentu terkejut beruk. Apalagi kalau dengan darah yang meleleh-leleh dari tubuh hingga ke rambutnya yang terjuntai itu. Sungguh menyeramkan!
            “Hantu… hantu… hantu…” kata pemuda banglar itu terketar-ketar.
            “Hantu lori hantu!... Hantu lori hantu!... Hantu lori hantu!” jerit pemuda banglar itu kemudiannya. Bagaikan tidak cukup tanah dia lari menyelamatkan diri.
            Liafara bernasib baik akhirnya kerana dapat ditemui oleh pekerja-pekerja syarikat pembinaan di tapak projek perumahan itu. Namun keadaannya sungguh kritikal. Dia sangat lemah sehinggakan tidak mampu bergerak dan bercakap. Besi pemegang cermin sisi yang menusuk punggung Liafara juga tidak dapat dicabut kerana bahagian hujungnya tersangkut pada daging paha.
            Bomba terpaksa dipanggil untuk menurunkan Liafara. Batang besi pemegang cermin sisi lori hantu itu terpaksa dipotong dan dibawa bersama-sama Liafara ke Hospital. Ia tidak dipaksa cabut daripada tubuh Liafara kerana dibimbangi akan menyebabkan cedera lebih parah. Biarlah paramedik sahaja yang melakukannya.
            Pihak polis juga terpaksa dipanggil kerana orang ramai menjumpai selaras senapang patah bersama dua biji peluru hidup serta sebiji kelongsong peluru yang telah digunakan bertaburan di tempat Liafara ditemui. Andaian awal yang dibuat adalah Liafara mungkin terlibat dengan jenayah. Namun keadaan pelik Liafara semasa ditemui dengan tersangkut di sisi kepala lori hantu itu memeningkan pegawai penyiasat polis pula.
            Dan kali ini Liafara pula yang dikejarkan ke hospital selepas hampir dua minggu dulu Hasnina menerima nasib yang serupa. Nampaknya kedudukan semasa bagi pertarungan di antara madu-madu si Jamilkhir ini setakat ini adalah seri. Kedua-duanya bukan sahaja tidak berjaya menyempurnakan misi masing-masing, malah sama-sama mengalami senjata makan tuan.