Selasa, 10 Januari 2012

Cintan Si Cilik bab 10

10      Superman Berang

          Waktu yang ditunggu-tunggu oleh budak-budak Sekolah Kebangsaan Pulau Bahagia tiba jua. Cuti persekolahan akhir tahun bermula hari ini. Selama enam minggu ini mereka tidak perlu lagi memikirkan tentang buku dan kerja sekolah. Mereka juga tidak perlu terkejar-kejar ke sekolah di awal-awal pagi. Mereka bebas bermain semahu-mahunya, dari pagi sampailah ke remang senja.
          Aktiviti pada musim cuti begini cukup meriah. Di sana sini banyak kenduri kahwin diadakan. Kanak-kanak lelaki yang cukup umur pula ramai-ramai berkhatan. Yang tinggal di kota mengambil peluang untuk balik bercuti di kampung. Manakala yang di kampung pula sibuk membuat rombongan melawat kota dan tempat-tempat peranginan.
          Tak kurang juga yang tidak bercuti ke mana-mana dan tidak membuat apa-apa aktiviti istimewa. Mereka hanya meneruskan rutin harian seperti biasa untuk meneruskan kelangsungan hidup. Begitulah juga bagi keluarga Pak Brahim, Pak Kadir dan kebanyakan keluarga lain di Kampung Batu Hampar.
          Awal-awal pagi lagi Nia bertandang ke rumah Imi. Mereka telah berjanji untuk bermain bersama hari itu. Dari jauh Nia nampak Mak Hendon bersama Imi ada di beranda. Dua beranak itu sedang asyik bersarapan pagi hingga tidak tersedar akan kedatangan Nia. Rupa-rupanya mereka makan sepinggan. Dan yang lebih melucukan Nia, Mak Hendon yang menyuapkan makanan pada Imi. Anak jantan apa macam ni, manja betul! Hatinya mengutuk.
          Imi yang masih berkelubung dengan sarung pelekat nampaknya belum lagi mandi dengan wajahnya yang kusut masai. Sengaja Nia menunggu sewaktu tangan Mak Hendon sedang menyuap ke mulut Imi untuk memberi salam. Seperti yang dijangka oleh Nia, mereka kelam-kabut cuba menyembunyikannya. Mak Hendon menjawab salam, manakala Imi tersipu-sipu sambil mengunyah bihun goreng.
          “Tengoklah Imi ni Nia, dah besar panjang pun masih minta emak yang suapkan,” kata Mak Hendon. Nia hanya ketawa bersahaja.
          “Biasalah,” kata Imi.
          “Naiklah Nia. Mari makan bihun ni sama-sama,”
          “Tapi kena suap sendiri tau,” kata Imi berseloroh.
          “Nia sudah sarapan mak cik,” kata Nia selepas naik ke atas beranda.
          “Tak apalah, jamahlah sikit. Rezeki jangan ditolak,” kata Mak Hendon sambil menyendukkan sedikit bihun ke dalam piring untuk Nia.
          “Mak, nak suap lagi,” pinta Imi manja sambil ekor matanya menjeling pada Nia. Sengaja dia mahu menunjuk-nunjuk. Nia hanya menjuih bibir.
          “Jangan nak mengada lagi. Imi suap sendiri. Imi kan ada tangan. Malulah sikit pada Nia,” kata Mak Hendon. Imi memuncung bibir pula. Dia melihat Nia tersenyum lebar padanya sambil menggeleng-gelengkan kepada. Lantas Imi menjelirkan lidah pada Nia. Nia terus tertawa pula.
          “Kamu berdua makanlah dulu. Makcik nak masuk ke dalam,” kata Mak Hendon lalu bangun.
          “Makcik, Nia nak minta izin, nak ajak Imi bermain,” Nia memberanikan diri membuka mulut.
          “Kamu nak bermain di mana?” tanya Mak Hendon.
          “Kami nak main kawin-kawin kat bangsal tepi bendang tu,” jawab Nia.
          Terbeliak mata Mak Hendon dibuatnya. Dia merasa sungguh takjub. Mak Hendon memandang Imi. Imi tersipu-sipu malu. Tak sanggup dia menentang mata ibunya.
          “Main kawin-kawin?” tanya Mak Hendon.
“Bukan main kawin-kawinlah, main pondok-pondok,” Imi membetulkan. Mak Hendon tertawa bersahaja.
“Apa-apa ajelah kau orang ni,” kata Mak Hendon sebelum berlalu.
          Beberapa ketika kemudian, kelihatan sepasang ‘suami isteri’ sedang sibuk melayan ‘anak-anak’ mereka di sebuah bangsal di pinggir sawah. Tiga ekor ‘anak’ mereka bernama Congok, Conteng dan Ceding.
          Anak-anak mereka leka bergomol sesama sendiri dan sesekali mengiau bila ada yang tertewas.
          “Pak Imi, bawa ‘anak-anak’ kita makan. Asyik bergurau saja sampai lupa nak makan,” kata Nia sambil mengacau-ngacau bekas plastik yang berisi air dan daun-daun yang dikoyakkan.
          “Mak Nia masak apa?” tanya Imi.
          “Ikan kembung singgang,” Nia menjawab.
          Mereka terkekeh-kekeh ketawa apabila ‘anak-anak’ mereka meronta-ronta mereka cuba menyuapkan campuran air dan daun-daun itu.
          “Mereka tak nak makanlah Pak Imi. Mungkin mereka nak tidur pula. Mari kita dodoikan mereka,” kata Nia.
          “Lantas ketiga-tiga ekor ‘anak’ itu dimasukkan ke dalam buaian yang diperbuat daripada kain sarung yang digantungkan pada kayu alang dengan tali raffia.
          “Dududu… dududu… mmmm… mmmm…” Nia mendodoikan ‘anak-anak’ mereka.
          “Dududu… dududu… mmmm… mmmm…”
          “Dududu… dududu… mmmm… mmmm…”
          “Ngapa degil sangat ni? Tidurlah!” marah Nia sambil menepuk mereka dari tepi buaian apabila ‘anak-anak’nya masih lagi bergerak-gerak. Memanglah, anak kucing mana boleh tidur dalam buai. Salah seekor daripadanya tiba-tiba melompat keluar dari buaian lalu berlari.
          “Ha, mana nak pergi tu? Mari tidur ni,” kata Nia. “Tolong kejar dia Pak Imi,” pintanya.
          Imi mengejar anak kucing itu ke tepi jalan. Namun tiba-tiba sahaja dia berhenti. Dia mendapati Seng dengan dua orang kawannya ada di situ. Rupa-rupanya mereka telah lama mengintai gelagat Imi dan Nia dari balik sebatang pokok mangga.
          “Tolong kejar dia Pak Imi,” Seng mengajuk suara Nia. Mereka ketawa terbahak-bahak.
          “Main kawin-kawin ke?” ejek Seng lagi.
“Eh… kecik-kecik dah nak gatal kahwin,” tambah seorang kawannya.
          “Kena tangkap basah baru tahu,” seorang lagi mencelah.
          “Mari kita pergi. Tak baik kacau orang dah kawin,” kata Seng. Mereka pun berlalu dengan ketawa yang berderai-derai.
          “Apa dia orang tu nak?” tanya Nia tiba-tiba muncul dari belakang.
          “Entah,” balas Imi pendek.
          Apabila mereka kembali ke bangsal, didapati ‘anak-anak’ mereka sudah tiada. Mungkin sudah lari pulang.
          “Seng dengan kawan-kawannya mengendap kita tadi. Mereka kata kita kena tangkap basah, apa maksud mereka ha?” tanya Imi memandang Nia.
          “Mereka bertiga merancang nak simbah kita dengan air kot?” teka Nia.
          “Kemudian mereka tangkap dan ikat kita,” tambah Imi pula.
          “Jahat sungguh mereka tu. Patutlah Kak Anis benci sangat,” Nia menyumpah-nyupah.
          “Lantaklah dia orang,” kata Imi lalu membaringkan belakangnya. Kedua-dua kakinya yang terjuntai ke bawah diayun-ayunkannya.
          “Suka sangat ganggu orang. Kalaulah mereka tu ganggu Jusoh, mesti Jusoh kejar mereka,” kata Nia lalu tertawa. Dia pun turut berbaring di sebelah Imi.
          “Kalau Jusoh kejar dengan sabitnya macam dia kejar kita itu hari, mesti mereka bertempiaran lari,” kata Imi.
          Nia mengiring dan menongkat kepala dengan tangan kanannya. “Boboy engkau yang kena gigit pacat hari tu dah sembuh ke?” tanya Nia.
          “Dah lama dah sembuh,” jawab Imi.
“Mak engkau tak marah ke?”
“Tak. Tapi mak cakap pada abah. Teruk aku kena gelak,”
“Abah cakap, nanti nak bawak aku pergi jumpa Tok Mudim,”
“Nak bersunat ke? Bila?”
“Entahlah. Abah cakap aku tak pandai jaga boboy. Abah nak suruh Tok Mudim potong saja,”
“Ei, mesti sakit. Kau pernah jumpa Tok Mudim ke?”
“Tak,”
“Kau tak takut ke?”
“Takut le... Kalau boleh aku tak nak bersunat,”
“Hehehe... ngeri betul, mesti kau nangis masa bersunat nanti,”
Imi menjuih bibir. “Tak adalah,” katanya.
“Aku dah bersunat. Tapi tak sakit pun,” ujar Nia.
“Mengejek oranglah tu,” Imi mengecilkan matanya pada Nia.
“Betul, aku bersunat masa kecil dulu,”
“Macam mana Tok Mudim sunatkan engkau?”
“Bukan Tok Mudim, Mak Bidanlah,”
“Mana boleh, Mak Bidan tolong orang nak beranak. Mana ada dia sunatkan orang pula?”
“Boleh, untuk orang perempuan sahaja. Orang lelaki Tok Mudim sunatkan,”
“Habis tu, Mak Bidan tu buat apa pada engkau?”
“Dia potonglah,”
“Potong apa?”
“Entah, Mak tak cakap”
“Kau tak tengok ke?”
“Masa tu aku kecil lagi, mana pandai tengok”
“Boleh tengok? Hehehe…”
“Mana boleh, mak aku cakap tak boleh bagi orang lain tengok, mak saja yang boleh tengok,” marah Nia.
“Tak tengok pun tak apa. Aku dah tahulah. Engkau punya dulu pun macam laki-laki juga. Bila Mak Bidan dah potong boboy, kau pun jadi perempuanlah,”
“Bukan. Masa aku lahir, aku memang dah jadi perempuanlah,”
“Salah tu. Semua orang lahir macam laki-laki. Bila mak dia suka anak perempuan, dia pun suruhlah Mak Bidan atau Tok Mudim potongkan,”
“Kau bohong, aku tak suka jadi laki-lakilah,” Nia menjuihkan bibirnya.
“Memang Tok mudim dah potong habis kau punya, percayalah,”
“Engkau ni mengarutlah. Mana boleh tukar-tukar orang perempuan jadi laki-laki,”
“Boleh. Abah cakap boleh,”
“Aku tak percayalah,”
“Tak nak percaya, sudah. Huh,”
“Nanti balik, aku nak tanya mak,”
“Tanyalah. Mesti mak engkau cakap serupa macam aku cakap juga,” kata Imi. Kemudian dia merenung bumbung bangsal. Mereka terdiam untuk beberapa ketika.
          “Kalau kita tak nak bersunat boleh ke?” tanya Imi tiba-tiba.
“Tak boleh, sebab semua orang kena bersunat sebelum aqil baligh,”
“Aqil baligh? Apa tu?”
“Aqil baligh tu sampai umur,”
“Sampai umur? Umur apa?”
“Tak tahulah. Tapi mak aku cakap bila dah sampai umur, ada keluar darah,”
“Eh, ada keluar darah pulak? Keluar kat mana?”
“Entah,” Nia menjuihkan bibir.
“Susah betul nak jadi orang dewasa ni. Kena bersunatlah, keluar darahlah,” keluh Imi.
“Tapi aku tengok orang lain macam tak ada apa-apa pun,” kata Nia.
“Engkau ada keluar darah ke?” tanya Imi.
“Tak,”
“Nanti kalau keluar darah, teruklah kau nak balut. Nak bubuh ubat lagi,”
“Tapi aku tengok mak tak pernah balut apa-apa pun,”
“Mungkin luka kecil saja kot. Tak payah balut. Dia baik sendiri,”
“Mungkin juga,” kata Nia mengangguk-angguk.
“A’a lah. Dulu aku pun ada keluar darah. Masa mak cabutkan gigi. Tak pakai ubat pun. Lama-lama ia baik sendirilah,”
“Oh, kalau gitu kau dah sampai umurlah,”
“Entah, mak tak ada cakap pun,”
“Tapi mak aku cakap, orang lelaki sampai umur bukan keluar darah,”
“Habis tu keluar apa?”
“Mak aku kata orang lelaki sampai umur bila dia mimpi,”
“Mimpi? Mimpi apa?”
“Entahlah!”
“Kalau macam tu dah lamalah aku sampai umur. Dulu masa kecil aku ada mimpi,”
“Kau mimpi apa?”
“Mimpi jumpa Superman. Dia ajak aku terbang. Aku pun naiklah atas belakang dia. Lepas tu Superman terbang ke angkasa. Sayup tinggi dekat dengan awan. Aku rasa gayat sangat sampai nak terkencing. Lagi pun awan tu sejuk sungguh,”
“Lepas tu apa jadi?”
“Nak terjun takut. Aku pun kencinglah perlahan-lahan. Aku ingatkan Superman tu tak tahu, rupa dia tahu jugak. Superman tu marah, dia berpusing ke belakang dan terus tolak aku. Aku pun jatuh ke lantai,”
“Lepas tu kau terjagalah kan? Dan kau betul-betul terkencing kat tempat tidur. Betul tak?” teka Nia.
Imi tersenyum malu. “Iye, betul. Abah pun naik berang. Dia kata aku kencing atas perut dia,” kata Imi dan terus tertawa. Nia pun turut tertawa sama.
          “Kalau dah sampai umur, mak aku cakap orang tu tak boleh tinggal sembahyang lagi,” kata Nia apabila ketawanya reda.
“Kau ada tinggal sembahyang tak?” tanya Imi.
“Ada juga, tapi aku tak sampai umur lagi. Kau pulak yang dah sampai umur, ada tinggal sembahyang ke?” tanya Nia semula.
“Kadang-kadang ada juga. Selalunya waktu isyak sebab aku tertidur awal. Tapi abah paksa juga. Subuh pun macam tu. Mengantuk sangat. Tak larat nak bangun. Abah usung aku ke bilik air dan letak atas lantai. Lantai tu sejuk sangat. Abah paksa aku ambil wuduk. Kalau aku tak nak, abah nak jirus aku dengan air,” kata Imi.
          “Imi! Dah tengah hari ni. Balik mandi, makan. Nanti nak pergi mengaji,” kedengaran suara Mak Hendon berteriak dari jendela dapur.
          Imi bingkas bangun. “Eh, jom balik,” katanya.