1. Cakap Siam Pandang-pandang
Pagi itu Razi telah membawakan seorang lelaki dan wanita muda mengadap Jamilkhir. Kedua-dua mereka nampaknya sudah saling mengenali, tetapi masing-masing macam mengelak untuk bercakap antara satu sama lain. Malah kedua-duanya bermuka masam bagaikan air tuak yang telah setahun diperam baru dibuka. Usahkan dirasa, baunya pun sudah cukup masam.
“Apa hal anda berdua ke mari jumpa saya? Mahu beri kad jemputan kenduri kawin ke?” tanya Jamilkhir secara berlawak.
Si perempuan mencengihkan mukanya. “Kami dah tak ada jodoh. Kami nak bercerai,” katanya.
“Eh, anda berdua sudah kawin? Kenapa sampai nak bercerai pula?” tanya Jamilkhir. Dia hairan kerana daripada rupa dan penampilan kedua-duanya kelihatan bagaikan belum berkawin. Bagi orang yang berpengalaman, sekilas pandang sahaja sudah tahu yang seseorang itu sudah berkawin atau belum. Terdapat banyak tandanya. Walaubagaimana pun, ianya tidak seratus peratus betul.
“Tak baik bergaduh. Carilah jalan penyelesaian secara baik,” Jamilkhir memulakan nasihatnya. Memang pendekatan pertama yang selalu digunakan Unit Undang-undang Keluarga dalam menangani masalah orang ramai adalah nasihat, pujukan, perbincangan dan tolak ansur yang lebih berhikmah.
“Saya sudah buat keputusan, saya tidak akan kawin dengan dia,” ujar si perempuan itu lagi.
Jamilkhir mengerutkan dahi. “Eh, tadi awak kata nak bercerai. Ini awak kata tidak mahu kawin pula. Pening kepala saya. Kamu berdua ini sudah kawin ke belum sebetulnya? Atau kamu berdua ini hanya main kawin pondok-pondok sahaja?” soalnya.
“Sebenarnya begini tuan. Kami sudah bertunang setahun dan sudah merancang hendak kawin lagi dua bulan. Tiba-tiba dia minta putuskan pertunangan,” jelas si lelaki pula.
“Oh, baru bertunang sahaja, belum kawin lagi. Kalau hendak memutuskan pertunangan, kita tidak panggil perkara itu sebagai bercerai, tetapi hanya berpisah,” Jamilkhir memperbetulkan kesalahan ungkapan yang serius itu.
“Tapi, saya sudah banyak berhabis duit padanya. Senang-senang sahaja dia minta putus. Saya tidak kisah kalau dia sudah tidak mahu kawin dengan saya lagi, tetapi bagaimana pula dengan wang saya yang saya ada tolong bayarkan ansuran kereta dia? Saya juga ada hak dengan kereta itu,” ujar si lelaki itu lagi.
“Hal bertunang dengan putus tunang ini tidak perlulah datang ke pejabat agama. Awak berdua boleh selesaikan di luar sahaja kerana awak berdua belum ada ikatan yang sah. Kalau tidak berkawin, tiadalah masalah cerai, masalah talak, masalah edah, masalah tuntutan harta sepencarian dan sebagainya. Pejabat agama tidak akan campur tangan dalam hal-hal yang berbangkit daripada putus tunang. Saya cuma boleh beri saranan. Bawalah keluarga kedua-dua belah pihak bersemuka dan berbincang,” terang Jamilkhir lagi.
“Saya sudah ajak dia berbincang, tetapi dia tidak mahu. Saya sudah pujuk, tetapi dia tetap berdegil,” si lelaki mengeluh.
“Saya tak ingin kawin dengan lelaki curang. Sia-sia sahaja saya cintakan dia selama ini,” bentak si perempuan pula.
“Awak tu yang cemburu sangat,” tingkah si lelaki tidak mahu mengalah.
“Siapa yang tidak cemburu kalau tunangnya asyik bergayut telefon dengan perempuan lain. Saya ini tunggul pokok getah matikah?” si perempuan mempertahankan diri.
“Telefon kawan pun salah ke? Tuan tengoklah, baru bertunang pun sudah nak mengongkong itu ini. Macam ini kalau kawin nanti, sah jadi queen control,” si lelaki membuat provokasi dengan harapan Jamilkhir menyokongnya.
“Tuan dengar tu, cara dia bercakap saja dah macam menganggap saya ini orang jahat, bukannya tunang dia,” bantah si perempuan sebelum sempat Jamilkhir bercakap.
“Awak sebagai lelaki kenalah bertindak sebagai pembimbing. Nanti kalau kawin, awak akan jadi ketua keluarga. Dia ini wanita. Tunjuklah teladan yang baik pada dia, bukannya menyakiti hati dia dengan buat hubungan rapat dengan wanita lain. Awak kena ubah sikap, ya?” ujar Jamilkhir pada si lelaki.
Si lelaki nampaknya kurang senang dengan teguran Jamilkhir itu. “Tuan menyebelahi perempuan ni? Baik tuan saja yang kawin dengan dia,” ujar si lelaki dengan angkuh. Ia sungguh mengejutkan si perempuan walaupun tujuan sebenarnya hanyalah untuk menjaga air mukanya sahaja.
Jamilkhir turut tersentak. Hampir jatuh cermin matanya. “Eh, begitu pula. Kamu jangan cakap main-main. Saya kawin betul-betul dengan tunang awak nanti, baru awak tahu,” katanya memberi amaran.
“Tuan kawinlah, biar padan muka dia,” ujar si lelaki yang sudah berpatah arang berkerat rotan. Inilah akhibatnya terlepas cakap.
“Jadi kamu tidak mahu kawin dengan tunang kamu ini? Jangan menyesal pula nanti. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” Jamilkhir menduga. Lelaki ini tidak matang fikirannya, desis hati Jamilkhir.
“Tak adanya saya nak menyesal. Hilang seorang apa nak kisah sangat. Saya masih ada tiga orang awek lagi yang menunggu… opss, alamak! Terlepas cakap pula,” si lelaki menutup mulutnya. Dia menjeling si perempuan.
“Hah, bukankah dia sudah mengaku itu, di depan-depan tuan lagi. Tuan masih ragu-ragu lagikah nak percaya yang dia ini tidak setia. Lelaki macam inikah layak untuk dibuat suami?” luah si perempuan dengan geramnya.
Si lelaki tiba-tiba bangun dari kerusinya. “Tuan ambillah perempuan yang tak kenang budi ini buat isteri. Nikah sekarang juga lagi bagus,” katanya pada Jamilkhir lalu segera keluar dari pejabat Jamilkhir. Jamilkhir terpinga-pinga tanpa sempat berkata apa-apa. Dia berasa kesal kerana gagal memujuk dan menenangkan si lelaki itu. Biarlah, semoga dia bahagia dengan keputusannya, desis hati Jamilkhir.
“Terima kasih banyak, tuan,” kata si perempuan menyedarkan Jamilkhir dari lamuanan.
“Te… terima kasih untuk apa?” tanya Jamilkhir tergagap-gagap.
“Tuan sudah tolong saya halau lelaki itu dari hidup saya,” jawab si perempuan itu. “Kalau tuan sudah sudi, saya tak kisah,” tambahnya lagi sambil menghulurkan kad nama dengan senyuman malu-malu.
“Sudi apa?” Jamilkhir kurang mengerti akan maksud si perempuan itu. Dia mengambil kad nama tersebut dan mengamatinya. “Rudjini Binti Rashid,” katanya perlahan.
“Tadi tuan macam bersetuju saja bila bekas tunang saya itu minta tuan kawin dengan saya,” ujar Rudjini tanpa berselindung lagi.
Terteleng kepala Jamilkhir mendengarnya. “Hmm… Tapi saya sudah kawin.”
“Itu lagi saya tak kisah. Orang yang sudah kawin tentu banyak pengalaman, tak terhegeh-hegeh, tidak terkial-kial,” Rudjini melarikan pandangan ke arah tingkap.
“Tapi saya sudah kawin dua,” ujar Jamilkhir berterus-terang.
“Itu pun saya tak kisah,” kata Rudjini dengan tersenyum. Dia tidak menolak, cuma buat-buat jual mahal sedikit, kata hati Rudjini.
“Yakah? Yahoo!!” jerit Jamilkhir tiba-tiba. Rudjini tersenyum semakin lebar.
“Er… tapi nanti dulu. Saya naik hairan pula. Tadi awak cakap awak tidak suka tunang awak ada tiga lagi perempuan lain. Sekarang bila saya cakap saya sudah kawin dua, awak tidak kisah pula. Kenapa?” soal Jamilkhir.
“Mereka tu hanya teman wanita dia sahaja, bukannya isteri,” kata Rudjini.
“Yalah, tapi kalau sudah kawin nanti, awak berempat akan bermadu. Tak ada bezanya kalau awak kawin dengan saya, awak juga akan bermadu dengan isteri-isteri saya yang ada sekarang,” tegas Jamilkhir untuk menguji pendirian Rudjini.
“Dia tidak ada kerja tetap. Sekejap-sekejap tukar kerja. Sekejap-sekejap tukar rumah sewa. Menganggur pun pekara biasa. Macam mana dia nak tanggung empat isteri kalau makam minum sendiri pun kacau bilau. Harta lagilah dia tak ada. Kapcai buruknya itu pun belum habis hutang lagi,” ujar Rudjini.
Jamilkhir pula hanya tersenyum meleret-leret. Hidungnya turut kembang sama…
*****
Malam itu Jamilkhir mundar-mandir di depan meja bacaannya. Dia sedang memeras otak mencari jalan bagaimana nak berkahwin dengan Rudjini. Untuk dia memohon izin daripada Liafara dan Hasnina, tidak mungkin sekali-kali. Pasti perang dunia ke tiga akan meletus. Dia kawin dua ini pun sudah macam-macam hal terjadi.
Tetapi Jamilkhir berasa dia mesti berkawin juga dengan Rudjini walau apa pun terjadi. Rasa cintanya pada Rudjini tidak dapat dipadamkan lagi, malah makin marak setiap detik yang berjalan, walaupun mereka hanya baru kenal tengah hari tadi. Kehadiran Rudjini itu bagaikan bulan jatuh ke riba. Rahmat yang datang patut disyukuri, bukannya ditolak!
Buntu dengan idea dan petunjuk yang belum lagi datang-datang, Jamilkhir duduk mengadap televisyen. Waktu itu siaran berita utama dipancarkan.
“Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 36 tan metrik beras Siam wangi bernilai lebih RM100,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand, malam tadi. Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota UPP di ketuai oleh Komander Kawasan UPP, Syed Maznan Omar menahan sebuah lori treler dipandu seorang lelaki tempatan sarat dengan muatan 720 kampit beras Siam wangi di stesen minyak Petronas Jitra, dekat sini, pada jam 7.30 malam…” pembaca berita lelaki melaporkan.
“Beras siam wangi?” terpancul dari mulut Jamilkhir.
Perkataan Siam itu mengingatkan Jamilkhir akan sesuatu. Baru dia teringat, banyak aduan pasangan-pasangan bermasalah yang dibuat kepadanya adalah daripada mereka yang melangsungkan pernikahan di Siam, ataupun nama barunya negara Thailand. Ada baiknya dia tiru kaedah ini. Walaupun jauh, tetapi selamat daripada pengetahuan Liafara dan Hasnina. Namun dia tidak punya banyak maklumat bagaimana untuk melakukannya.
Jamilkhir lantas bangun dan mendapatkan komputernya. Dia melayari internet untuk mencari maklumat bagaimana mereka berkahwin di Thailand. Dia menjumpai satu laporan berita lama daripada satu pautan pada enjin carian internet.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, antara 2001 dan tahun lepas, lebih 11,170 pasangan berkahwin di wilayah-wilayah selatan Thailand dengan angka terbesar pada tahun lalu membabitkan 3,260 pasangan.
Bercakap kepada pemberita selepas dikunjungi ahli Kelab Media Perlis di sini semalam, beliau berkata, jumlah pasangan yang berkahwin sepanjang tahun lepas jauh lebih besar berbanding tahun 2009 membabitkan 2,173 pasangan manakala pada 2001 hanya 73 kes didaftarkan.
Berdasarkan statistik tahun lepas, sebahagian besar yang berkahwin di selatan Thailand ialah pasangan rakyat Malaysia membabitkan 2,478 pasangan.
Jumlah rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Thailand adalah 419 kes manakala rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Indonesia sebanyak 228 kes.
Terdapat juga pernikahan membabitkan rakyat Malaysia dengan warga Pakistan, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Afrika Selatan, Arau Saudi, India, Nepal dan Iran.
Mohd Aini berkata, sebahagian besar perkahwinan berlaku di wilayah Songkhla.
Antara alasan yang diberikan oleh pasangan yang berkahwin di selatan Thailand ialah mereka tidak mendapat restu keluarga, kos yang tinggi jika berkahwin di tanah air, peraturan ketat majlis-majlis agama Islam dan berkahwin dengan warga asing. – Berumur
Bercakap kepada pemberita selepas dikunjungi ahli Kelab Media Perlis di sini semalam, beliau berkata, jumlah pasangan yang berkahwin sepanjang tahun lepas jauh lebih besar berbanding tahun 2009 membabitkan 2,173 pasangan manakala pada 2001 hanya 73 kes didaftarkan.
Berdasarkan statistik tahun lepas, sebahagian besar yang berkahwin di selatan Thailand ialah pasangan rakyat Malaysia membabitkan 2,478 pasangan.
Jumlah rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Thailand adalah 419 kes manakala rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Indonesia sebanyak 228 kes.
Terdapat juga pernikahan membabitkan rakyat Malaysia dengan warga Pakistan, Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Afrika Selatan, Arau Saudi, India, Nepal dan Iran.
Mohd Aini berkata, sebahagian besar perkahwinan berlaku di wilayah Songkhla.
Antara alasan yang diberikan oleh pasangan yang berkahwin di selatan Thailand ialah mereka tidak mendapat restu keluarga, kos yang tinggi jika berkahwin di tanah air, peraturan ketat majlis-majlis agama Islam dan berkahwin dengan warga asing. – Berumur
Kemudian satu persatu laman web dan forum Jamilkhir masuk. Akhirnya dia berjumpa dengan iklan yang menawarkan pakej perkawinan di Thailand di forum CariGalah.com:
Pakej Istimewa Nikah di Thailand
Nikah kahwin dalam masa 1 jam sahaja yang dibuat di Pejabat Agama Wilayah Yala Cawangan Betong. Nikah tidak dibuat di rumah perseorangan, kadi, kedai makan ataupun masjid untuk mengelakkan nikah yang tidak sah dari segi syarak (Nikah Sindiket). Kos RM3,000 termasuk pengangkutan, makan, minyak, insuran kereta Thailand, roadtax Thailand dan sebagainya. Pasangan hanya perlu membawa passport, mas kahwin dan wang saku sahaja.
Hanya 5 minit perjalanan dari pintu sempadan Malaysia. Kawasan ini aman dan tenteram, tiada pergaduhan, peperangan atau pengeboman. Dalam 14 wilayah di selatan Thailand, hanya daerah Betong sahaja yang tiada langsung peristiwa yang tidak diingini. Kita masih boleh mendengar pembunuhan dan pengeboman di Songhkla, Narathiwat dan juga Pattani.
Hanya 5 minit perjalanan dari pintu sempadan Malaysia. Kawasan ini aman dan tenteram, tiada pergaduhan, peperangan atau pengeboman. Dalam 14 wilayah di selatan Thailand, hanya daerah Betong sahaja yang tiada langsung peristiwa yang tidak diingini. Kita masih boleh mendengar pembunuhan dan pengeboman di Songhkla, Narathiwat dan juga Pattani.
Surat Nikah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Wilayah Yala. Perkahwinan ini adalah sah di sisi Agama dan diterima untuk diperakui di Malaysia. Semua urusan dibuat dalam Pejabat Agama dan semua maklumat penting akan disertakan. Pasangan juga boleh membawa ahli keluarga dan rakan bersama. Pasangan disarankan supaya merakam gambar di Pejabat Agama bersama Kadi dan Saksi.
Saya telah menguruskan lebih dari 1000 pasangan tanpa ada masalah untuk mendaftarkan pernikahan di Malaysia. Wilayah Yala amat kurang Nikah Sindiket. 60%-70% nikah yg dibuat di dalam wilayah Songhkla, Pattani dan Narathiwat tidak sah dari segi syarak. Kadi di wilayah Yala terdiri daripada tokoh-tokoh terkenal seperti Doktor, Pengetua Sekolah, Tuan Guru, Dato, Senator dan Saksi nikah adalah Pegawai Majlis Agama.
Kenderaan akan disediakan dari susur keluar tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Kuala Kangsar/Pulau Pinang/Pengkalan Hulu. Sijil nikah akan terus diserahkan sejurus selesai upacara akad nikah dan surat pengesahan oleh Konsulat Malaysia di Thailand akan dikirim dengan kurier dalam masa 7 hari. Jika bertolak 8am, 11am semua urusan telah pun selesai. Ini akan memudahkan pasangan yang mempunyai masa yang terhad.
Saya akan menguruskan segala urusan dari mula hingga selesai, bukan melalui pihak ketiga atau agen. Tidak ada kos tersembunyi. Nasihat saya jangan terpedaya dengan sindiket yang anda tidak kenal kerana anda terpaksa ke Thailand 2 atau 3 kali kerana urusan tarikh kahwin, akad nikah, sijil nikah, pengesahan nikah, pengesahan konsul dan macam-macam lagi.
Diharap tawaran ini dapat menyelesaikan masalah tuan/puan.
Maklumat lanjut sila email kawindisiam@gmail.com.
Urusan & Pertanyaan, hubungi nombor: 010-5678963
Tanpa berlengah, Jamilkhir terus menghubungi nombor telefon yang dinyatakan di hujung iklan tersebut dengan telefon bimbitnya.
“Hello, assalamualaikum,” kedengaran suara lelaki dari corong telefon.
“Assalamualaikum, eh, waalaikummussalam,” kelam-kabut Jamilkhir menjawab. Gementar juga hatinya.
“Ya, ayahda di sini. Ada apa-apa yang boleh ayahda bantu?” tanya suara itu.
“Err… saya mahu…” Jamilkhir teragak-agak nak menyatakan tujuannya. Kalau tersalah orang, bimbang akan diketawakan pula nanti.
“Ya? Mahu apa?” lelaki itu mengusul.
“Err… betulkah encik ini agen untuk orang berkahwin di Thailand?” tanya Jamilkhir gugup. Tenggelam saja suaranya di dalam halkum.
“Ya, betul. Panggil saja saya Ayahda,” sahut suara lelaki itu lalu ketawa mesra. “Awak mahu berkahwin di Thailandkah? Saya boleh uruskan,” tambahnya lagi.
“Ya. Encik ini… err, ayahda ni sudah banyak uruskan orang berkahwin di Thailand?” tanya Jamilkhir.
“Sudah, banyak sekali. Sudah lebih dari seribu pasangan Ayahda tolong uruskan. Ayahda buat kerja ini sudah lebih dari lima belas tahun. Pelanggan Ayahda tidak kira pangkat datangnya. Dari budak-budak remaja sampailah yang berpangkat menteri. Semuanya tiada masalah,” terang Ayahda.
“Oh, begitu,” sahut Jamilkhir.
“Kawin di Thailand ini mudah sangat. Tidak perlu pergi kursus kawin, tidak perlu temuduga, tidak perlu bawa wali, tidak perlu wang hantaran dan tidak perlu buat kenduri. Pendek kata, tidak perlu pakai duit sampai berbelas-belas ribu. Mas kawin pun hanya lima puluh ringgit sahaja,” terang Ayahda lagi.
“Oo…” Jamilkhir menyahut. Dalam hatinya berkata, mudah sangat cara nikah di Siam ini.
“Prosesnya sekejap saja. Kita pergi pagi, tengah hari sudah dapat sijil nikah, surat pengesahan konsulat Malaysia akan saya poskan dalam masa tujuh hari. Selepas nikah saya boleh bawa awak jalan-jalan di Bandar Songkla. Kalau mahu, awak boleh berbulan madu terus di sana. Saya boleh uruskan perjalanan dan penginapan di Phuket atau pun Koh Samui,” tambah Ayahda lagi.
“Wow, menarik sungguh,” kata Jamilkhir teruja. “Berapa bayarannya, Ayahda?” tanyanya.
“Harganya mengikut pakej. Pakej asas pergi untuk berkahwin sahaja hanya tiga ribu ringgit. Ia termasuk kos pengangkutan, bayaran saksi, urusan akad nikah dan dokumen serta makan minum. Kalau awak mahu jalan-jalan atau berbulan madu, bayarannya kena tambah lagilah. Tetapi saya jamin, harganya berpatutan dan awak pasti akan puas hati,” terang Ayahda lebih lanjut.
“Cuma bila pulang ke Malaysia nanti, daftar terus perkahwinan, jangan tangguh-tangguh. Bayar saja denda seribu ringgit, semuanya selesai. Jangan tunggu beranak pinak baru nak daftar. Masalah lain pula akan timbul nanti. Jangan lupa pula bawa kamera. Ambil gambar bersama kadi dan saksi sebagai bukti sokongan juga. Boleh saya tahu sebab awak nak kawin di Thailand ini?” Ayahda memberi peringatan juga.
“Hm… malu pula nak cakap. Saya nak kawin yang nombor tiga,” balas Jamilkhir. Ayahda menyambutnya dengan ketawa bersahaja.
“Apa yang nak dimalukan? Biasalah tu. Hampir semua orang yang nak berkahwin di Thailand sebab nak berpoligami. Prosedur kawin lebih dari satu di Malaysia sungguh leceh, sebab itulah mereka kawin di Thailand. Yang lainnya kawin lari kerana aib mengandung anak luar nikah. Ada kes pula bapa yang tidak mahu jadi wali sebab tidak berkenan akan bakal menantunya. Ada juga yang nak lari dari berbelanja besar. Biasalah, di Malaysia kalau nak kawin, sekurang-kurangnya kena ada duit lima belas ribu ringgit. Daripada bersekedudukan membuat dosa, lebih baik kawin di Thailand,” Ayahda dengan petahnya terus cuba memikat Jamilkhir untuk menerima pakej yang ditawarkannya.
“Tapi Ayahda, saya tidak mahu pernikahan saya ini diheboh-hebohkan. Janganlah hendaknya sampai ke telinga isteri pertama dan kedua saya pula. Ini rahsia besar saya. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengarlah, Ayahda. Malang tak berbau nanti,” kata Jamilkhir.
“Cakap Siam pandang-pandang, Cakap malang dengar-dengar,” usik Ayahda.
Mereka pun ketawa bersama. Maka berterusanlah usaha runding-merunding itu sehingga Jamilkhir bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan Ayahda baginya berkahwin dengan Rudjini di Thailand.