Ahad, 22 Januari 2012

Ahmad Alkebab bab 10


Di sebuah kampung di pinggir kota…
“Murahhan! Murrahan!” teriak seorang tua berserban lilit di kepala. Dia berlari-lari dengan gaya Shaggy (watak dalam kartun Scoby Doo) yang berlari bila dikejar hantu, menuju ke rumahnya.
“Murrahan! Murrahan!” teriaknya lagi. Tindakannya ini boleh dikatakan bodoh kerana sudah pasti anaknya Murrahan tidak mendengar teriakan itu kerana jarak rumahnya kira-kira dua tiga ratus meter lagi di depan.
“Anakku Murrahan! Anakku Murrahan!” orang tua berserban lilit itu berteriak lagi bagaikan orang hilang akal.
Orang kampung yang berselisih melihatnya menjadi kaget. Belum pernah orang tua yang berpangkat Imam Besar di Kampung Kepala Hanyut sekalut itu. Apa tidaknya, dia datang ke kedai kopi tadi dengan motosikal. Namun entah mengapa, tiba-tiba dia berlari pulang sambil terjerit-jerit bagaikan orang gila. Sampaikan dia terlupa akan motosikal yang dibawanya.
“Anakku Murrahan! Anakku Murrahan!” panggil Imam Besar Kepala Hanyut lagi. Sebaik tiba di rumahnya. dia terus melompat ke atas serambi yang mempunyai lima anak tangga itu. Murrahan segera menerpa keluar.
“Ayah! Ada apa ayah?” tanya Murrahan cemas. Dia menjenguk-jenguk jalan masuk ke rumahnya. Pada fikirannya, ayahnya mungkin sedang dikejar penyangak samseng atau pun anjing liar. Namun nampaknya tiada apa pun marabahaya yang datang.
“Ini! Ini!” kata Imam Besar Kepala Hanyut sambil menunjuk-nunjuk senaskah surat khabar di tangannya. Surat khabar itu adalah kepunyaan kedai kopi untuk dibaca oleh pelanggannya yang datang. Namun Imam Besar Kepala Hanyut telah dengan selambanya membawa balik surat kabar itu.
“Ini surat khabar. Kenapa dengan surat kabar ini ayah?” tanya Murrahan hairan.
“Ini akan bikin kamu jadi kaya. Kamu jadi kaya!” kata Imam Besar Kepala Hanyut dengan tersemput-semput nafasnya.
“Jadi kaya?” kata Murrahan yang bertambah hairan. Dia mengambil surat khabar dari tangan ayahnya.
“Cuba kamu tengok iklan ini,” kata Imam Besar Kepala Hanyut sambil menunjukkan pada satu muka surat.
Murrahan pun mula membaca iklan itu, “Kenyataan tawaran tender terbuka. Sheikh Majnun Aljerunga. Tawaran adalah dipelawa kepada pemuda-pemuda tempatan yang kaya dan mempunyai perniagaan atau projek mega kerajaan bagi menyertai tender…”
“Ah, lembab!  Mari sini aku terangkan,” potong Imam Besar Kepala Hanyut sambil merampas surat khabar dari tangan anaknya itu.
“Orang kaya Sheikh Majnun itu mahu cari menantu. Aku mahu kau kawin dengan anak dia ini,” kata Imam Besar Kepala Hanyut sambil menunjukkan salah satu gambar wanita cantik pada iklan itu.
“Oh, ini anak Sheikh Majnun,” kata Murrahan.
“Bila kau kawin dengan salah seorang anak Shekh Majnun ini, kita ada peluang jadi kaya. Waktu itu, kau tarik semua hartanya dan bagi pada ayah. Ayah bagi kamu masa tiga bulan. Pasal belanja kawin, biar ayah tanggung. Yang penting, kau tarik harta-hartanya yang berjuta-juta itu,” kata Imam Besar Kepala Hanyut.
“Boleh. Saya setuju, ayah,” kata Murrahan gembira.
“Bagus, bagus. Itulah anak ayah,” puji Imam Besar Kepala Hanyut.
“Tapi saya tak punya perniagaan besar atau projek mega kerajaan seperti Sheikh Majnun mahu dalam iklan ini, ayah,” kata Murrahan sambil menggaru-garukan kepalanya pula.
“Jangan jadi bodoh. Kita sediakan kertas kerja palsu proposal projek yang besar-besar. Ayah kenal dengan orang yang boleh tolong buatkan. Kemudian kita tujukkan pada Sheikh Majnun. Tentu dia percaya,” kata Imam Besar Kepala Hanyut.
“Kita nak buat proposal projek apa ayah?” tanya Murrahan lagi.
“Hmm… apa kata kita buat projek konsesi tebang balak di hutan,” cadang Imam Besar Kepala Hanyut.
“Wah, bagus sekali. Saya setuju, ayah,” kata Murrahan gembira.
“Sekarang kamu pilih, yang mana satu di antara dua orang anak gadis Sheikh Majnun ini kamu suka. Nanti ayah mahu buat preparation,” kata Imam Besar Kepala Hanyut.
“Hmm… yang ini nampaknya lebih manis. Saya mahukan Sakurakura ini, ayah,” kata Murrahan sambil menunjukkan salah satu gambar gadis di akhbar itu.
“Boleh saja. Asalkan kamu setuju. Tapi kamu mesti ingat perjanjian dengan ayah. Lepas kau kawin, bolot harta dia cepat-cepat,” ujar Imam Besar Kepala Hanyut.
“Nanti siapa pula yang mahu berkahwin dengan seorang lagi anak Sheikh Majnun ini ya?” tanya Murrahan.
“Ayah akan cadangkan pada sahabat baik ayah, Pengerusi JKKK Kepala Hanyut. Anak lelakinya, Sifar yang sebaya kamu mesti mengambil peluang ini. Nanti kamu bersama-sama Sifar boleh tolong-menolong dalam membolot harta Sheikh Majnun. Tak lama lagi ayah dengan Pengerusi JKKK Kepala Hanyut sama-sama akan jadi kaya. Hahaha…” kata Imam Besar Kepala Hanyut.

Dan demikianlah juga situasinya di rumah Pengerusi JKKK Kepala Hanyut pada petang itu.
“Sifar, ayah mahu kamu kawin sama ini anak Sheikh Majnun,” kata Pengerusi JKKK Kepala Hanyut sambil menunjukkan satu muka surat khabar yang telah dicarikkan. Dia baru sahaja mendapatnya daripada Imam Besar Kepala Hanyut.
“Apa ini?” kata Sifar sambil meneliti surat khabar itu.
“Hah, kau baca iklan tender kawin ni. Susah mahu jumpa tawaran tender macam ini,” kata Pengerusi JKKK Kepala Hanyut. Sifar mengerutkan dahi. Rasa pelik dan takjub menerpa ke hatinya.
“Haa? Nak cari menantu pun buka tender? Gila ke apa orang ini?” Sifar menggerutu.
“Apa pula gilanya? Ini tawaran baik ni. Mana lagi mahu jumpa tawaran macan ini? Kalau tak kerana Imam Besar, bisnes partner ayah itu bagi tahu, alamat terlepaslah peluang keemasan ini,” kata Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Dah nama pun Majnun. Dalam bahasa melayu majnun itu maknanya gila. Dah sah orang ini gila, ayah,” kata Sifar.
“Gilakah, tidak gilakah, itu perkara tidak penting. Yang penting, dia kaya. Itu perkara utama yang perlu kita nampak,” ujar Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Jadi ayah mahu buat apa dengan iklan ini?” tanya Sifar. Dia masih kabur dengan hasrat ayahnya itu.
“Apa ke lemah sangat otak kamu ni? Ini peluang baik untuk kita jadi kaya tahu tak?” marah Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Kita jadi kaya? Macam mana tu ayah?” soal Sifar lagi, masih tidak faham.
“Kau kawin dengan anak Sheikh Majnun ni, kemudian kamu kikis semua hartanya dan beri pada ayah. Barulah kita jadi kaya. Bodoh!” tempelak Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Kawin? Saya belum cukup duit lagi, macam mana mahu kawin?” soal Murrahan.
“Pasal duit belanja kau nak kawin, jangan risau. Biar ayah uruskan. Ayah anggap itu sebagai modal rancangan kita sebab ayah tahu kita akan mendapat untung berkali-kali ganda nanti,” kata Sheikh Majnun.
“Baiklah ayah. Saya mahu pilih Sakurakura ini buat isteri. Dia lebih cantik,” kata Murrahan.
“Sakurakura sudah ditempah oleh Murrahan, anak Imam Besar Kapala Hanyut. Kamu kena ambil yang seorang lagi, Sihuruhara,” kata Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Nampaknya Sihuruhaha ini kurang cantik,” Murrahan mencebik.
“Cantik atau tidak, itu tidak penting. Yang pentingnya, inilah peluang kamu untuk bolot harta ayahnya,” Pengerusi JKKK Kepala Hanyut terus mendesak anaknya.
“Boleh, ayah. Tapi syarat-syarat dia mahu pula yang susah ini. Dia mahu setiap calon membuat perbentangan proposal perniagaan atau projek besar. Saya mana ada benda-benda ini semua?” Murrahan menolak. Memang dia tiada kriteria seperti yang dikehendaki oleh Sheikh Majnun.
“Jangan jadi bodoh. Ada otak, pakai. Kau tak perlu buat projek-projek tu semua. Yang penting kertas kerja ataupun kertas laporannya. Kita buatlah kertas kerja palsu. Pasal itu kamu tak usah bimbang, serahkan sahaja pada ayah,” ujar Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Tapi nanti kalau Sheikh Majnun sudah tahu rancangan kita ini, pasti dia akan ceraikan saya daripada anaknya,” kata Murrahan lagi. Dia kurang yakin dengan rancangan ayahnya itu. Besar risikonya. Walaupun dia tahu ayahnya sudah biasa dengan urusan cilok mencilok seperti itu, tetapi dia tidak pernah terbabit.
“Jangan takut. Kalau dia ceraikan kamu dengan anak dia nanti, tidak mengapa. Waktu itu kita sudah kaya. Kamu boleh kawin lain perempuan yang lagi cantik daripada anak dia,” pujuk Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
Sifar hanya mengangguk-angguk.
“Nanti ayah buat kertas kerja yang kamu telah mendapat projek mengorek pasir sungai yang besar, setuju?” usul Pengerusi JKKK Kepala Hanyut lagi.
“Bagaimana kalau Sheikh Majnun saman kita lepas itu?” tanya Murrahan yang masih ragu-ragu.
“Ah, itu kacang saja. Bila kita sudah punya banyak wang, kita upahlah peguam yang bagus-bagus, pasti kita menang. Masa itu Sheikh Majnun sudah miskin, mana dia mampu lagi nak upah peguam,” kata Pengerusi JKKK Kepala Hanyut
“Oh, ayah memang bijak,” keluh Sifar.
“Sudah tentulah aku bijak. Kalau tidak macam mana aku nak menang jadi Pengerusi JKKK Kepala Hanyut ini? Kamu ingat dengan hanya sijil SRP yang ayah ada, senang-senang saja ayah dapat jawatan ini? Politik mesti pintar, taktik mesti licik. Kalau tidak jangan harap orang kerja pungut sampah macam ayah ini jadi Pengerusi JKKK, hahaha…” Pengerusi JKKK Kepala Hanyut ketawa bangga.

Maka semua rancangan yang diatur itu pun berjalan dengan lancarlah adanya. Pada hujung bulan itu, terserlahlah dua pasang mempelai di atas pentas persandingan bak dua biji kelapa dibelah dua, hampir-hampir sama cantik dan nyaris-nyaris tak sama padan. Majlis itu berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran golongan-golongan elit, setaraf dengan kedudukan Sheikh Majnun Al-Jerunga di kota itu.
            Sebagai saudara kandung, Mergastura memberikan restu dengan merenjis air mawar dan menepung tawar. Dia turut mencium pipi dan mengucapkan tahniah kepada kakak dan adiknya itu. Sebaik selesai, Mergastura terus sahaja meninggalkan majlis itu.
            Belum sempat Mergastura membuka pintu, dia mendengar namanya dipanggil oleh abahnya.
“Nanti, Mergastura. Nanti dulu,” panggil Sheikh Majnun. Mergastura menoleh. Dia tidak jadi pergi.
“Huh, agaknya tentu tuan-tuan dan puan-puan bertanya dan hairan di dalam hati. Mengapa anak saya Mergastura ini saya tak kasi kawin. Saya kasi kawin adik-adik dia dulu,” Sheikh Majnun bersuara lantang supaya semua tetamu dapat mendengarnya.
“Sebab budak ni degil. Membantah cakap orang tua,” ujar Sheikh Majnun keras.
“Sampai hati abah memalukan saya depan orang ramai,” kata Mergastura.
“Memang patut kau mendapat malu, sebab tindakan kau membantah untuk berkahwin telah memalukan aku. Aku dah kata berkali-kali. Kekayaan dan kebahagian bukan terletak di tangan tuhan. Betul tak?” tanya Sheikh Majnun pada para tamu.
“Betul. Betul. Betul,” sahut orang ramai.
“Kau dengar tu. Kebahagiaan rumah tangga terletak ditangan bapak, betul tak?” teriak Sheikh Majnun lagi.
“Betul. Betul. Betul,” sahut orang ramai lagi.
“Dengar tu, semua orang sokong aku. Cuma kau saja yang degil!” ujar Sheikh Majnun dengan angkuhnya.
“Saya cabar abah. Saya rela kawin dengan orang miskin. Saya akan buktikan bahawa tuhanlah yang menetapkan segala-galanya. Bukan abah,” dengan berani Mergastura mempertahankan diri. Dia tidak sanggup lagi diperlekeh-lekehkan oleh bapa sendiri.
“Boleh, kalau itu kau mahu. Tapi kau jangan menyesal. Besok aku akan carikan kau jodoh. Aku akan cari bakal suami kau yang miskin dan hidup melarat. Biar kamu rasa hidup dengan makan roti keras, tidur di atas lantai papan dan mandi air perigi. Nanti aku nak tengok, selama mana kau boleh tahan sebelum datang balik melutut pada aku,” Sheikh Majnun memberi amaran. Namun Mergastura tidak sedikit pun terkesan dengan amaran itu.