10. Parti Parang Panjang
Pasukan polis pengiring bermotosikal memasuki perkarangan Dewan Sivik Kangkung Jaya diikuti dengan kereta yang membawa Pengerusi Parang Negeri yang juga Menteri Besar. Kereta limosin itu berhenti tidak jauh dari pintu dewan. Para penyambut sudah sedia berbaris di sepanjang laluan yang dikhaskan menuju ke dewan. Pasukan kompang juga begitu bersemangat memalu kompang.
Pintu belakang kereta limosin dibuka. Pengerusi Parang Negeri keluar dari perut kereta dan terus memijak karpet merah yang sudah sedia terbentang sepanjang laluan. Serentak itu, laungan semangat parti bergema.
“Hidup parang! Hidup parang! Hidup parang! Hidup Parang! Hidup Parang!”
Para penyokong Parti Parang yang hadir begitu bersemangat menjerit tidak kira tua atau muda, termasuk juga kanak-kanak dan para ibu. Selepas Pengerusi Parang Negeri mengangkat tangan barulah mereka berhenti menjerit lalu mereka memberi tepukan yang gemuruh pula.
Pengerusi Parang Negeri diiringi masuk oleh Dato’ Kontot dan YB Sumbing serta pemimpin-pemimpin bahagian yang lain. Seorang budak perempuan mendahului mereka berjalan di depan dengan memegang sebatang bunga manggar. Para penyokong di dalam dewan berdiri sebagai menghormati pemimpin tertinggi negeri itu sehinggalah beliau tiba dan duduk di tempat duduk yang dikhaskan padanya, barulah mereka duduk.
Tempat duduk di barisan hadapan dipenuhi oleh pemimpin-pemimpin parti. Sebagai orang kanan kepada Dato’ Kontot yang baru dilantik, Pak Belukang juga duduk di barisan depan. Semasa hendak duduk itulah Pak Belukang terpandang akan seorang gadis yang rasanya amat dikenalinya. Gadis itu duduk disebelah kiri YB Sumbing. Hendak dikatakan isteri YB Sumbing, bukan sama sekali kerana isterinya ada di sebelah kanannya.
Dalam mimpi-mimpi Pak Belukang sejak kebelakangan ini, YB Sumbing memiliki seorang anak gadis yang sangat ayu. Lantas tidak syak lagi, itulah Seri Ayu, anak gadis YB Sumbing. Pak Belukang yakin sekali dia tidak tersilap. Rupa Seri Ayu saling tak tumpah sebagaimana dalam mimpinya. Apa yang dimimpikannya sebelum ini bukanlah hanya mainan tidur semata-mata, tetapi gambaran jelas daripada yang sebenarnya.
Pengerusi majlis lantas membuat ucapan mengalu-alukan ketibaan Pengerusi Parang Negeri ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat itu. Namun Pak Belukang tidak berminat untuk mengikutinya. Dia asyik terjeling-jeling ke sebelah kiri mengamati Seri Ayu. Jarak kedudukannya dengan gadis itu agak jauh. Jadi sukar baginya untuk melihat dengan jelas. Penat matanya menjeling, Pak Belukang menoleh-noleh pula.
Perbuatan Pak Belukang itu disedari oleh Pengerusi JKKK yang duduk di sebelahnya. Pengerusi JKKK mencuit Pak Belukang. Pak Belukang berdehem-dehem lalu menggosok-gosok belakang tengkuknya.
“Sakit tengkuk,” ujarnya sambil berlagak selamba bagaikan tiada apa-apa berlaku. Pengerusi JKKK hanya membalas dengan mencebik pipi.
Tidak sampai lima minit kemudian, Pak Belukang kembali tertoleh-toleh ke kiri. Entah macam mana, ada seorang isteri salah seorang pemimpin lain terlihat akan gelagat Pak Belukang itu. Dia menyangka Pak Belukang mahu bermain mata dengannya. Dia pun menjegilkan mata kepada Pak Belukang.
“Ah, sudah. Apa hal pula perempuan tua ini? kacau line betullah,” rungut Pak Belukang sendirian.
“Apa?” tanya Pengerusi JKKK di sebelahnya.
“Sakit tengkuk saya sudah merebak ke tempat lain pula dah,” kata Pak Belukang sambil mengurut-ngurut belakang pinggangnya pula.
“Huh, macam-macamlah kamu ini, Pak Belukang,” keluh Pengerusi JKKK dengan menggeleng-gelengkan kepala.
Pengerusi majlis menjemput Dato’ Kontot naik ke pentas untuk memberikan ucapan pembukaan. Sebagai pemimpin tertinggi parti di bahagian itu, dia menerima tepukan yang gemuruh. Sebaliknya, Pak Belukang tidak pula bertepuk pada orang yang telah membawanya ke kedudukan penting dalam parti itu sekarang. Tumpuannya tidak lagi pada acara majlis itu , tetapi beralih kepada Seri Ayu.
Dalam ucapannya, Dato’ Kontot juga menyelitkan cerita tentang kebijaksanaan Pak Belukang dalam mendapatkan kembali motosikalnya yang hilang pada hadirin. Dia juga mengumumkan perlantikan Pak Belukang sebagai orang kanannya di atas jasanya itu. Para hadirin hinggar binggar dan ada yang terjenguk-jenguk ke sana sini mencari yang mana satukah gerangannya Pak Belukang itu.
Pada masa yang sama, Pak Belukang menoleh ke kiri lagi. Didapatinya wanita tua tadi masih lagi mengawasinya dengan menjeling-jeling tajam. Tanpa menghiraukan wanita tua itu, Pak Belukang menjengah-jengah pula mencari Seri Ayu. Namun wanita tua yang masih perasan sendiri menyangka Pak Belukang cuba mengusiknya lantas menjegilkan matanya sekali lagi. Pak Belukang yang berasa amat terganggu dengan wanita tua itu lalu menjelirkan lidahnya panjang-panjang tanda marah.
“Kalau tuan puan semua hendak kenal, itulah dia Ahli Nujum Parlimen Kangkung Jaya, Pak Belukang,” kata Dato’ Kontot sambil menunjukkan Pak Belukang dengan jarinya.
Jurukamera segera menfokuskan kameranya pada Pak Belukang. Di waktu itu Pak Belukang sedang menjelirkan lidahnya pada wanita tua yang mengganggunya. Jadi terpampanglah di layar besar wajah Pak Belukang yang sedang menjelirkan lidah sepanjang-panjangnya sambil memejamkan mata. Kedudukan muka Pak Belukang pula betul-betul mengadap kamera, jadi imejnya di paparan layar besar seolah-olah menjelir pada penonton. Seluruh dewan gamat dengan gelak ketawa pula.
Dato’ Kontot sendiri turut tersentak dengan kelakuan Pak Belukang itu. Idea ucapannya tadi yang membuak-buak di kepalanya terus hilang begitu sahaja. Tutur katanya mula kelam kabut dan hujahnya pula sudah hilang hujung pangkal. Mungkin juga fikirannya berkecamuk dengan rasa marah dan malu akhibat kenakalan Pak Belukang itu.
Imej pada layar besar sudah bertukar kembali dari Pak Belukang kepada Dato’ Kontot. Walaupun begitu, Pak Belukang tidak sedikit pun menyedari apa yang telah terjadi. Dia tidak tahu langsung yang dia menjadi tumpuan seluruh dewan sebentar tadi. Dia terus menghambat wanita tua tadi supaya tidak menghalang pengelihatannya pada Seri Ayu.
Wanita tua itu juga turut berasa marah kerana melihat Pak Belukang terus menerus mengganggunya lalu memberi tahu pada suaminya di sebelah. Melihat sahaja suami wanita tua itu merenungnya dengan renungan yang sungguh kurang enak, Pak Belukang pun beralah. Dia beralih memandang pula pada Dato’ Kontot di atas pentas. Didapati Dato’ Kontot juga sesekali merenung lain macam padanya. Pak Belukang terus memandang ke arah lain.
Dato’ Kontot mengakhiri ucapannya lebih awal daripada tempoh yang diperuntukkan padanya. Dia turun dari pentas dengan matanya tidak lekang daripada merenung Pak Belukang. Pak Belukang yang tidak mengetahui apa-apa itu hanya tersengih macam kerang busuk. Dato’ Kontot tidak dapat menegur ataupun memarahi Pak Belukang kerana ia boleh mengganggu majlis. Di waktu itu, pengerusi majlis sedang mempersilakan YB Sumbing naik ke pentas untuk memberikan ucapan.
Sebagai wakil rakyat yang belum sampai sepenggal tempohnya, pengaruh YB Sumbing tidaklah sekuat ketuanya, Dato’ Kontot. Dia yang juga merupakan Timbalan Pengetua Parang Kangkung Jaya, dipilih oleh jawatankuasa pusat Parti Parang menjadi calon wakil rakyat dan seterusnya menang dalam pilihanraya umum yang lepas. Sebelum itu, jawatan wakil rakyat di parlimen itu disandang oleh Dato’ Kontot. Namun dia tidak berupaya membantahnya kerana ianya adalah keputusan dibuat di peringkat yang lebih tinggi.
Kejadian langkah bendul ini juga menyebabkan Dato’ Kontot dan YB Sumbing menjadi tidak sebulu lagi. Bagaimana pun, untuk majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri oleh Pengerusi Parang Negeri ini, mereka berdua terpaksa duduk bersama walaupun tidak mesra. Sesiapa pun boleh melihat kedua-dua pemimpin ini berlakon dengan memaniskan muka untuk tidak menegangkan keadaan.
Walhal, penyokong-penyokong setiap pemimpin ini duduk dalam kumpulan yang berasingan di majlis itu. Penyokong Dato’ Kontot duduk di sebelah kanan sementara penyokong-penyokong YB Sumbing duduk di sebelah kiri dewan sivik itu.
Untuk menandingi dan seterusnya mengatasi pengaruh Dato’ Kontot, YB Sumbing berucap bersungguh-sungguh bagi menampakkan dirinya lebih hebat daripada Dato’ Kontot. Ini adalah untuk menarik lebih banyak sokongan padanya sebagai persiapan menghadapi pemilihan pimpinan parti di Kangkung Jaya tidak lama lagi.
Sedang YB Sumbing rancak berucap berapi-api, tiba-tiba dia melihat tempat duduknya di bawah diduduki oleh Pak Belukang. Entah bila masa pula Pak Belukang beralih tempat ke situ. Pak Belukang ketika itu sedang menjeling sambil mengenyit mata pada Seri Ayu. YB Sumbing berasa cukup terganggu. Apa yang terjadi kepada Dato’ Kontot sebentar tadi juga berlaku pada YB Sumbing sekarang. Dek kerana rasa bengangnya pada Pak Belukang, ucapan YB Sumbing juga menjadi bercelaru macam bunyi mesen rumput kehabisan minyak. Sekejap menderu deras, sekejap lagi tersemput-semput pula.
Sebaik habis berucap, YB Sumbing turun dari pentas dan kembali ke tempat duduknya. Namun Pak Belukang tidak tersedar yang YB Sumbing sudah tercegat di depannya. Mata Pak Belukang tidak lekang dari memandang Seri Ayu. YB Sumbing terpaksa berdehem beberapa kali sehingga menarik perhatian Dato’ Kontot. Akhirnya Dato’ Kontot terpaksa bangun menarik tangan Pak Belukang yang sudah mabuk cinta itu pergi dari situ.
Walaupun Pak Belukang ditarik ke kerusi asalnya, dia tidak mahu duduk di situ. Sebaliknya dia pergi mendapatkan satu tempat duduk kosong di bahagian belakang Seri Ayu, iaitu di dalam kumpulan penyokong YB Sumbing. Tindakannya itu membuatkan Dato’ Kontot terasa semakin marah. Tetapi memikirkan Pak Belukang belum lagi mengenali kumpulan penyokong lawannya itu, Dato’ Kontot terpaksa menyabarkan diri.
Sekarang tibalah masa yang ditunggu-tunggu, iaitu ucapan daripada Pengerusi Parang Negeri. Pengerusi majlis mempersilakan beliau naik ke pentas. Semua orang berdiri sambil bertepuk tangan apabila beliau berjalan ke tempat berucap dengan beberapa buah mikrofon tersusun di atasnya. Sebaik tiba, dengan menjulang sebilah parang panjang di tangan, beliau terus menjerit laungan semangat yang disambut pula oleh ribuan penyokong parti.
Pengerusi Parang Negeri : Parang Parang!
Penyokong Parti Parang : Parang Parang!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Tajam!
Penyokong Parti Parang : Parang Tajam!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Panjang!
Penyokong Parti Parang : Parang Panjang!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Garang!
Penyokong Parti Parang : Parang Garang!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Cincang!
Penyokong Parti Parang : Parang Cincang!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Terbang!
Penyokong Parti Parang : Parang Terbang!
Pengerusi Parang Negeri : Parang Tak Hilang!
Penyokong Parti Parang : Parang Tak Hilang!
Selepas laungan semangat itu, barulah Pengerusi Parang Negeri memberi salam. Entah kenapa salam itu diberi kemudian, mungkin beliau baru teringat. Salam itu juga dijawab oleh hadirin secara mendatar sahaja, tidak segegak-gempita laungan semangat sebentar tadi. Pengerusi Parang Negeri pun memulakan ucapannya dan seterusnya merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat hari itu.
Sejak hari itu, Pak Belukang semakin menjauhi Dato’ Kontot. Dia tidak mempedulikan sangat gelaran Ahli Nujum Parlimen Kangkung Jaya yang dianugerahkan padanya. Apa lagi nak menolong Dato’ Kontot mengempen untuknya sempena pemilihan pimpinan nanti. Pak Belukang tidak tahu sangat berpolitik dan kurang berminat pula hendak mempelajarinya.
Ajakan Dato’ Kontot mengikutnya pergi berkempen tidak diendahkan oleh Pak Belukang. Sebaliknya dia berusaha mendekati YB Sumbing pula dengan mengikuti di mana sahaja program YB Sumbing diadakan. Pak Belukang mula bergaul rapat dengan kumpulan penyokong YB Sumbing. Semua ini dilakukan Pak Belukang hanyalah demi memburu cinta idaman hatinya, Seri Ayu.
Ada usaha yang dilakukan oleh Dato’ Kontot memujuk Pak Belukang kembali dengan menawarkan gaji tetap yang lumayan, tetapi gagal menarik minatnya. Pak Belukang sudah betul-betul gila bayang dan tidak membuat pertimbangan waras. Dia menolak ganjaran duit demi mengejar cinta seorang perempuan. Dato’ Kontot sungguh kecewa. Dia putus asa dan bertindak berpatah arang berkerat rotan dengan Pak Belukang.
Begitulah senario politik yang berlaku dalam parti Parang sekarang. Persaingan di antara dua individu ini merebut jawatan tertinggi parti di Kangkung Jaya tidak dapat dielakkan lagi. Masing-masing mempunyai kumpulan penyokong sendiri. Masing-masing dengan taktik sendiri. Mereka saling bermusuhan dalam diam, tidak ketara sangat secara fizikalnya. Jika dilihat pada kedudukan jawatan mereka iaitu ketua dan timbalannya, memanglah nampak kedua-duanya sangat rapat. Tetapi hakikatnya tidak begitu.
Dalam politik apa sahaja boleh jadi. Hari ini berkawan, besok boleh jadi bermusuh. Di mulut berikrar taat setia, di hati belum tentu begitu. Bersungguh-sungguh menolong dan menyokong, susah hendak dijangka sama ada itu ikhlas atau pun mengampu. Bertungkus-lumus mengejar kedudukan, besar kemungkinan hanya mahu mendapat peluang berkuasa untuk disalah guna, bukannya mahu berkhidmat sangat. Belajar di sekolah rendah tidak habis pun tidak apa, asalkan berpolitik otaknya geliga. Ada Ijazah PhD dua tiga keping pun belum tentu boleh jadi ahli politik yang berjaya.
Asam garam dunia politik ini hanya bagi manusia yang keras hati sahaja dapat survival. Satu lagi istilah yang dicipta ialah hati kering, yang membawa maksud tidak kisah bila dicemuh, dikritik, dikutuk atau dituduh bersalah. Apa yang lebih penting ialah kebijaksanaan bertindak balas dengan memanipulasi keadaan dan memusingkan cerita sebenar untuk mengalih tumpuan orang ramai. Dengan kuasa yang ada, walaupun diri sendiri yang berbuat salah, hukumannya boleh dipindahkan kepada pihak yang menuduh. Sesetengah orang berkata, jangan masuk bidang politik jika tidak berani ‘bunuh’ kawan baik sendiri.
Parti Parang ditubuhkan pada tahun 1960. Ia diasaskan oleh sekumpulan pejuang tanah air yang menentang komunis pada masa itu. Kumpulan pejuang ini diketuai oleh seorang ulama yang berpengaruh, iaitu Kiai Solih. Kiai Solih juga amat mahir dalam ilmu Silat Parang Panjang. Di samping berdakwah, dia juga mengajar silat kepada anak-anak muda kampung. Kebanyakan pengikut-pengikutnya adalah terdiri daripada anak-anak muridnya sendiri. Anak-anak muridnya menggelarkan Kiai Solih dengan gelaran Tok Parang Panjang.
Waktu itu, satu kumpulan askar komunis berkubu di Bukit Kepom-kepom, tidak jauh dari perkampungan tempat Tok Parang Panjang tinggal. Bukit ini dinamakan Kepom-kepom kerana penduduk di sekitarnya selalu kecut perut bila mendengar bunyi tembakan dari arah bukit ini. Bunyi tembakan kuat Kepom!... Kepom!... ini dipercayai angkara askar-askar komunis itu .
Banyak kali askar-askar komunis memasuki kampung merampas beras dan bekalan-bekalan makanan yang lain. Sasarannya ialah kedai-kedai runcit kampung. Dek kerana kedainya selalu kena pecah, seorang tauke cina merajuk dan tidak mahu berniaga lagi. Habis barang kedai dilelongnya segera.
Seminggu selepas itu, askar komunis memecah masuk lagi. Mereka marah apabila mendapati kedai runcit itu kosong. Mereka bertambah marah apabila tauke kedai itu menawarkan semangkuk mee segera yang sedang dimakannya. Merasa mereka dipermain-mainkan, askar-askar komunis itu memasung tauke itu di tiang anjung kedainya dengan hanya berseluar dalam sahaja. Tauke itu diselamatkan orang kampung pada siang keesokkannya.
Angkara kejahatan askar komunis itu membuatkan kesabaran orang-orang kampung sampai ke kemuncaknya. Tok Parang Panjang mengumpul anak-anak muda kampung untuk berbincang apa tindakan sesuai patut mereka lakukan. Selepas berbincang dengan panjang lebar, mereka memutuskan untuk menghapuskan sarang komunis di Bukit Kepom-kepom dengan cara tipu muslihat. Mereka tidak memilih untuk membuat serangan secara berdepan kerana agak mustahil parang-parang mereka dapat melawan senapang komunis.
Tok Parang Panjang menjemput pemimpin-pemimpin komunis dari bukit itu datang membuat rundingan secara tertutup. Semasa rundingan sedang berjalan, seorang utusan dihantar ke markas komunis itu untuk memberi maklumat palsu yang mengatakan pemimpin-pemimpin mereka telah dilarikan dengan tongkang ke sebuah pulau di tengah laut. Utusan itu juga menghasut mereka supaya mengejarnya dengan segera dan menunjukkan beberapa buah tongkang yang sedia tertambat di tepi sungai.
Tanpa membuang masa, askar-askar komunis itu menyerbu pulau itu dengan sepenuh kekuatan dan senjata yang ada. Mereka tidak menyedari yang enjin-enjin tongkang itu tidak mempunyai minyak yang cukup. Setelah meninggalkan jauh muara dan pantai, enjin tongkang-tongkang itu mati kehabisan minyak. Pulau yang dituju juga masih amat jauh. Maka tongkang-tongkang itu pun hanyut bersama askar-askar komunis ke laut luas.
Sepasukan pemuda bertindak menyerang hendap markas komunis di atas Bukit Kepom-kepom dan berjaya memberkas saki baki askar komunis yang tinggal. Bekalan makanan dan senjata mereka juga dirampas. Para pemimpin komunis mengetahui kejadian ini selepas pulang dari majlis rundingan. Mereka panik kerana kini mereka hanya tinggal sepuluh orang sahaja. Mereka tidak dapat melarikan diri lagi kerana sudah dikepung oleh Tok Parang Panjang dan orang-orangnya.
Dengan menggunakan senapang yang dirampas, Tok Parang Panjang melepaskan satu tembakan sebagai umpan. Kemudian ketua-ketua komunis itu dibiarkan menembak balas sehingga kehabisan peluru. Selepas itu barulah Tok Parang Panjang dan pengikut-pengikutnya menyerbu beramai-ramai. Walaupun mereka cuba melawan, tetapi dengan mudah sahaja kesemua pemimpin komunis itu diberkas.
Ada juga cerita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya, Tok Parang Panjang melibaskan parang panjangnya sehingga senapang-senapang komunis itu terputus dua. Akhirnya kesemua mereka ditawan dan diserahkan kepada polis dan dibawa ke pusat tahanan.
Walaupun Tok Parang Panjang menang dan berjaya mempertahankan kedaulatan tanah airnya daripada ancaman komunis, usahanya itu seperti tidak diiktiraf oleh kerajaan. Tiada siapa pun pemimpin ataupun wakil kerajaan datang mengucapkan terima kasih padanya, apa lagi hendak memberi apa-apa ganjaran atau pingat. Ada desas-desus mengatakan yang beliau diperlakukan begitu disebabkan beliau berasal daripada adalah kaum pendatang. Ibu dan bapanya berasal dari Banjar dan berhijrah ke Tanah Melayu sebelum kelahirannya dahulu.
Kecewa dengan layanan sebegitu, Tok Parang Panjang menubuhkan sebuah parti untuk memperjuangkan nasib mereka yang dianak tirikan oleh parti pemerintah. Parti itu dinamakan Parti Parang Panjang. Dalam masa yang singkat, Parti Parang Panjang menerima sokongan meluas secara mendadak. Sebagai langkah menyekat pengaruhnya daripada merebak keseluruh negara, kerajaan mula menjalankan propaganda memburuk-burukkan parti ini. Tok Parang Panjang diwar-warkan sebagai penentang kerajaan.
Kekuatan pengaruh Tok Parang Panjang membawa partinya Ini menguasai sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Negeri ini adalah satu-satunya negeri yang diperintah oleh pembangkang. Disebabkan berlainan parti dengan kerajaan pusat, bantuan daripada kerajaan pusat yang diterima sangat terhad. Ini menyebabkan perkembangan ekonomi negeri ini lembab dan rakyat hidup dalam serba kekurangan.
Selepas kematian Tok Parang Panjang, penggantinya yang menerajui Parti Parang Panjang mula menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan. Akhirnya Parti Parang Panjang menyertai Pakatan Parti Pemerintah sebagai parti komponen. Nama Parti Parang Panjang pun ditukar kepada Parti Parang sahaja. Dalam perjanjian parti-parti komponen, Parlimen Kangkung Jaya dikhaskan untuk Parti Parang bertanding. Semenjak dari itu, negeri itu mula mengalami perubahan. Ekonomi semakin rancak, pembangunan boleh dilihat di sana-sini dan kebajikan rakyat semakin baik.
Dek kerana kemewahan yang datang mencurah-curah, sebilangan pemimpin-peminpin generasi baru Parti Parang menjadi tamak. Mereka gila kuasa dan sudah lupa akan tujuan asal perjuangan pengasas Parti Parang ini. Ada suara-suara sinis mengatakan parang para pendekar parti ini sudah tumpul, sudah sumbing ataupun sudah kontot. Tidak kurang juga yang telah kehilangan terus parangnya ataupun sudah digadai dengan wang ringgit.