14 Coli Putus Dua
Setelah jemu
mengemam buah kiat dan penat bergayut dari dahan ke dahan, Nia dan Imi pun
turun. Mereka mereka mematahkan beberapa ranting yang mempunyai bergugus-gugus
buah kiat masak untuk dibawa pulang. Kali ini giliran Nia pula yang mengayuh
basikal sementara Imi membonceng dibelakang dengan duduk membelakangi Nia.
Mereka bersama-sama menyanyi lagu ‘Berdua Lebih Baik’ nyanyian Irwan Syah dan
Aca Septriasa dengan riangnya.
Ketika
melalui sebuah rumah dalam pembinaan, Imi mengajak Nia berhenti. Dia tertarik
dengan setimbun pasir yang ada di tepi sebuah rumah dalam pembinaan. Pasir
halus dari sungai itu digunakan untuk membuat konkrit.
“Nia,
jom kita main pasir tu. Kita buat istana, nak?” ajak Imi.
“Jom,”
sahut Nia lalu memberhentikan basikal. Imi terus melompat turun lalu berlari memanjat
timbunan pasir itu.
“Eh,
kita cari dulu bekas-bekas plastik untuk dibuat acuan,” kata Nia selepas
menongkat basikal. Dia memungut beberapa bekas makanan dan minuman di satu
longgokkan sampah yang belum dibakar.
“Ha…
aku dapat sudip,” kata Imi sambil menunjukkan sudip pembancuh simen di
tangannya.
“Sudip
apa macam tu? Sudip nasikah?” tanya Nia hairan.
“Boleh
juga kalau nak guna buat sudip nasi. Nanti kau bawa pulang, beri pada Mak
Seri,” kata Imi lalu ketawa. Nia hanya mengetapkan bibir dan menghela nafas.
Dengan
menggunakan sebatang ranting kecil, Imi melukiskan satu petak di atas pasir.
Ianya adalah kawasan istana yang luasnya lebih kurang satu meter persegi.
Kawasan itu kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk tujuan yang
berbeza. Mereka mula membentuk istana.
“Kita
buat istana di tengah-tengah. Nanti di sekeliling istana kita buat taman
bunga,” kata Imi.
“Ok,”
sahut Nia seronok.
Mereka
meneruskan pembinaan istana pasir yang mempunyai satu kubah besar dan beberapa
kubah kecil disekelilingnya. Satu menara juga dibina di sudut kiri istana.
“Sekarang
kita buat taman bunga pula,” kata Nia. Dia mematahkan beberapa hujung ranting
pokok senduduk yang mempunyai bunga lalu mencucuknya di sekeliling istana.
Kemudian dia menaburkan bunga-bunga semarak yang dileraikan di taman itu.
“Wow!
Cantiknya,” kata Imi.
“Mestilah kena
cantik, barulah kita dapat tinggal di istana dengan gembira. Setiap hari kita
boleh bersiar-siar di taman bunga,” kata Nia gembira.
“Kat sini kita
buat reban ayam,” cadang Imi sambil menunjukkan sudut kanan kawasan istana.
“Eh, dalam
istana tak boleh ternak ayam. Nanti busuklah istana kita,”
“Habis,
macam mana nak dapatkan telur ayam?”
“Kita
beli sajalah. Kita kan dah kaya nanti,”
Hahahaha…
mereka sama-sama ketawa.
Imi membuat
tembok disekeliling Istana. Di luar tembok pula dia mengorek parit. Sebuah
pintu gerbang dibina dengan acuan pasir dan ranting-ranting kayu. Sebuah
jambatan pula dibina di hadapan pintu gerbang dan merentangi parit.
“Eh, bagus kalau
kita buat tempat kapal terbang mendarat di atas bumbung istana kita. Nanti
senang kalau kita nak naik kapal terbang,” cadang Imi
“Tak
cukup ruanglah. Kapal terbang nak mendarat kena ada lapangan terbang yang luas.
Apa kata kita buat tempat helikopter mendarat?” Nia mengemukakan pendapatnya
pula.
“Helikopter
tak bestlah. Tak laju. Aku suka jet
atau roket. Kalau ada roket, nanti hari-hari kita dapat pergi ke bulan,” bantah
Imi pula.
“Pergi
ke bulan? Seronoknya! Bulan kalau tengok dari bumi pun sudah cantik. Kalau kita
pergi ke sana, entah bagaimana pula cantiknya. Tak dapat dibayangkanlah,” kata
Nia riang.
“Lepas
tu kita bawa balik bulan tu. Kemudian kita gantung bulan pada siling dalam
bilik. Nanti setiap masa kita boleh tengok bulan. Tak perlu keluar rumah pun,”
tambah Imi.
“Yelah,
bulan kalau kat langit bukan selalu dapat tengok. Kalau hari mendung atau
hujan, bulan hilang. Kalau gantung dalam bilik, masa hujan ribut pun kita dapat
tengok lagi,” Nia menyokong.
Dengan
tak semena-mena hujan turun berderu. Rupa-rupanya mereka terlalu leka membina
istana pasir sehingga tidak menyedari awan telah menebal di langit sejak sekian
lama.
“Hujan!”
jerit Imi. Kelam-kabut dia bangun mahu berlari untuk mendapatkan teduhan di
rumah dalam pembinaan itu. Namun dia terbabas apabila tangannya disambar Nia
yang juga cuba untuk bangun. Kedua-dua mereka rebah di atas istana pasir yang
mereka bina. Mereka terus ditimpa hujan lebat.
“Itulah
kau, sebut pasal hujan sangat. Kan hujan dah turun,” ujar Imi. Mereka basah
kuyup, dan tiada guna lagi mencari tempat teduh.
Hujan
yang lebat itu juga telah meranapkan kesemua bahagian istana pasir mereka.
“Ha,
dah roboh pula istana kita. Kaulah punya pasal ni,” kata Imi lalu mencekup
segenggam pasir lalu menabur pada Nia. Nia pun membalas dengan menabur pasir
pada Imi juga. Dan seterusnya mereka berbalas baling membaling pasir dalam
hujan.
“Nia,
kau sambut pinggan ni,” kata Imi lalu membaling sebiji pinggan polisterin pada
Nia. Nia pun mengejar dan menangkap pinggan itu. Kemudian Nia membalingnya untuk
ditangkap oleh Imi pula. Pinggan itu melayang dan berpusing-pusing di udara
sebelum ditangkap Imi dengan membuat aksi terbang seperti penjaga gol menangkap
bola. Sungguh seronok mereka bermain piring terbang dalam hujan itu.
Satu
ketika, Nia sudah terketar-ketar kesejukan. Dia pun berlari ke dalam rumah
separuh siap itu. Tiba-tiba meluru ke luar semula. Mukanya cemas sahaja.
“Kenapa?”
tanya Imi.
“Abang
Riduan ada di dalam,” kata Nia ketakutan.
“Abang
Riduan kau ada di dalam? Dia buat apa?”
“Tak
tahu. Dia dengan dua orang kawan dia lagi,”
Kedua-dua
orang budak itu berjalan menjengket-jengket ke bilik yang dimaksudkan Nia.
Memang benar Riduan ada di situ bersama dua orang rakannya. Nampaknya mereka
semua sedang khayal.
Riduan
berjalan berlenggang-lenggok seperti orang perempuan. Sesekali dia
melentok-lentok kepalanya sambil gelak menggelekek sendirian. Sementara dua
orang kawannya lagi terbaring di atas kepingan kertas kotak.
“Eh
itukan coli Cik Tun yang kita tengok itu hari?” bisik Nia pada Imi. Mereka
segera mengamati coli yang sedang dipakai Riduan.
“A’alah.
Mengapa pula abang kau yang pakai?” tanya Imi dengan mengawal suaranya agar
tidak didengari oleh tiga orang penagih itu.
Nia
menggelang kepala sambil menjuih bibir.
“Jomlah
balik. Nanti kalau mereka sedar kita ada di sini, teruk kita,” ajak Nia yang
sejak mula lagi rasa tidak senang. Imi tidak memberikan jawapan. Namun setelah
Nia menarik tangannya, dia terpaksa menurut.
Belum pun berapa
jauh mereka meninggalkan rumah dalam pembinaan itu, kelihatan sebuah kereta
peronda polis dari jauh menghala ke arah mereka. Apabila berselisih, Nia dan
Imi dapat melihat dua orang anggota polis di tempat duduk hadapan. Mana kala di
tempat duduk belakang ada seorang wanita separuh umur, yang mana mereka amat kenali.
“Eh,
itu Cik Tun,” kata Nia lalu memberhentikan basikal.
“Yalah. Kenapa
Cik Tun naik kereta polis? Dia kena tangkapkah?” tanya Imi pula.
Mata mereka
terus mengekori kereta peronda polis itu dari belakang. Akhirnya kerata peronda
polis itu membelok masuk ke kawasan rumah separuh siap tempat mereka bermain
istana pasir tadi.
“Eh, jom kita
pergi tengok?” ajak Imi.
“Jom,”
Mereka pun
berpatah balik ke rumah separa siap itu. Apabila mereka tiba, pegawai-pegawai
polis dan Cik Tun telah pun masuk ke dalam rumah. Tanpa membuang masa, mereka
pun menyelinap masuk. Dari sebalik timbunan beg-beg simen mereka mengintai apa
yang berlaku.
“Assalamualaikum.
Boleh kami masuk?” tanya salah seorang pegawai polis dengan tegas.
“Oh…
silakan…” kata Riduan sambil membongkok sedikit tubuhnya dan ke dua-dua
tangannya menghala ke dalam, bagaikan penyambut tetamu di restoren Jepun.
Kemudian
Riduan berjalan bergaya ‘catwalk’
mengelilingi pegawai-pegawai polis dan Cik Tun. Dia menggayakan coli yang
dipakainya bagaikan model pertunjukkan fesyen di pentas peragaan. Cik Tun
merenung tajam Riduan bagaikan mahu menelannya.
“Hoi,
ini coli aku! Mengapa kau curi coli aku hah?” jerit Cik Tun sambil
menonyoh-nonyoh jari telunjuknya ke dada Riduan.
“Ini
coli aku. Kau siapa?” Riduan membantah.
“Kurang
ajar! Kau curi coli aku, mengaku kau punya hah?” marah Cik Tun sambil menarik
colinya yang dipakai Riduan.
“Tuan,
ini coli saya,” kata Cik Tun pada pegawai polis.
“Bukan.
Ini coli saya tuan,” kata Riduan pula, mengajuk lenggok suara Cik Tun.
Cik
Tun bertambah geram. Dia merentap colinya yang dipakai Riduan menyebabkan
cangkuk di belakang coli terlucut. Riduan segera menyambar dan menarik kembali
coli itu. Mereka berlawan tarik menarik.
Krak…
Akhirnya coli itu putus dua kerana jahitan di tengah-tengah dadanya terbetas.
Melihatkan coli kesayangannya putus, Cik Tun terus mengamuk bagaikan hilang
akal. Dia menolak jatuh Riduan dan melompat ke atas dadanya. Cik Tun terus
menumbuk muka Riduan bertubi-tubi sambil mencarut-carut bagaikan tak ingat
dunia.
Suarana
riuh rendah itu menyebabkan dua orang kawan Riduan yang tengah lalok tersedar.
Mereka kelam-kabut melompat keluar menerusi tingkap dan terus susup-sasap
hilang ke dalam semak.
“Sudah, sudah,
kakak bawa bertenang!” jerit seorang pegawai polis. Dia menarik Cik Tun untuk
meleraikannya dari Riduan. Sementara seorang pegawai polis lagi menangkap dan
menggari tangan Riduan.
Riduan nampaknya
langsung tidak melawan. Mungkin kesan dadah yang ada di dalam badannya
membuatkannya tidak berdaya. Dia hanya mampu merayu kepada pegawai polis yang
memegangnya.
“Tolonglah tuan,
saya orang miskin. Saya tak ada harta benda, tak ada wang ringgit. Hidup saya
ibarat kais padi makan padi, kais ketam makan ketam. Susahnya hidup saya tuan,”
kata Riduan sayu. Dalam keadaan begitu pun dia masih mampu melawak.
“Makan padi ke,
makan ketam ke, nanti kita cerita di balai. Sekarang kamu kena ikut kami,” kata
pegawai polis yang memegangnya sambil menarik Riduan ke luar dari bilik itu.
“Habis
tu, coli aku macam mana?” tanya Cik Tun tiba-tiba.
“Nah kakak ambil
ni,” kata seorang pegawai polis dengan menghulurkan sebahagian lagi coli Cik
Tun. “Nanti kakak balik boleh jahit untuk sambung semula,” tambahnya lagi.
Kedua-dua
pegawai polis itu terus mengheret Riduan ke dalam kereta peronda. Cin Tun kelu
tak terkata. Wajahnya kelihatan hampa, walaupun orang yang diburunya kini telah
pun ditangkap polis.
Setelah
pegawai-pegawai polis dengan Riduan berlalu, Imi dan Nia tiba-tiba muncul dari
sebalik dinding.
“Opocot!”
Cik Tun terperanjat. “Apa kamu budak-budak buat di sini? Berderau darah aku,
huh. Ingatkan hantu tadi,” marah Cik Tun. Nia dan Imi ketawa kelucuan melihat
Cik Tun menggelabah.
“Basah
kuyup ni, kamu main hujankah?” gerutu Cik Tun.
“Itu
coli Cik Tunkah?” Imi buat-buat tanya pula tanpa menjawab soalan Cik Tun tadi.
“Yalah
coli aku. Abang kamulah yang curi, sampai putus dua ni ha,” kata Cik Tun pada
Nia sambil mengangkat kedua-dua tangan yang setiap satunya memegang sebelah
daripada coli itu.
Nia hanya diam
terkebil-kebil. Dia langsung tidak terkejut atau pun hairan dengan perlakuan
buruk Riduan itu. Dia juga langsung tiada rasa marah atau pun sedih bila
melihat abangnya itu ditangkap polis. Ini kerana dia sudah kerap sangat melihat
abangnya ditangkap polis untuk dibawa ke balai. Malah abang sulungnya itu
seperti tidak kisah jika dibawa menginap di ‘homestay’ besi di balai polis. Sudah seperti pergi bercuti makan
angin pula.
Tanpa diminta,
Cik Tun menceritakan pada mereka berdua apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya
Cik Tun telah membuat laporan pada polis selepas mendapati colinya telah hilang
daripada tempat yang disangkutnya sebelum dia pergi mandi.
Sebelum Cik Tun
menyedari yang colinya hilang, dia terlebih dahulu melihat kelibat Riduan dalam
keadaan mencurigakan sedang tergesa-gesa meninggalkan laman rumahnya. Sebab
itulah dia kuat mengesyaki Riduanlah yang mencurinya.
Rupa-rupanya
anak lembu yang tersesat ke rumah Cik Tun itu adalah angkara Riduan juga.
Riduanlah yang menghambat anak lembu milik Jusoh itu untuk ditangkap. Namun dia
menukar rancangannya selepas mendapat habuan lain, iaitu coli Cik Tun yang
disangka berisi duit di dalam poketnya!