Sepoi Sepoi Spa, sebuah pusat rawatan kecantikan yang
terletak dipinggir Bandar Marang dan menghadap Laut China Selatan. Spa ini
terkenal kerana banyak wanita dari golongan elit membuat penjagaan badan dan
rawatan kecantikan di sini. Spa besar ini menawarkan hampir semua perkhidmatan
penjagaan badan. Di sini, bahagian untuk rambut, kulit dan urutan badan
mempunyai bahagian sendiri setiap satunya.
Mandi sauna, mandi susu, urutan aroma terapi dan suntikan
botox adalah di antara perkhidmatan yang paling popular. Layanan dan
perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja-pekerja mahir di sini bagaikan layanan
dayang-dayang istana pada puteri raja di zaman melayu lama. Spa eksklusif ini
hanya menerima pelanggan yang telah berdaftar sebagai ahlinya sahaja.
Liafara sudah menjadi ahli Sepoi Sepoi Spa ini semenjak
lima tahun dahulu lagi. Saban minggu Liafara tidak ketinggalan mengunjungi Spa
ini. Kecantikan seluruh tubuhnya dijaga dan dipantau oleh program penjagaan
kecantikan yang telah direka khas oleh Sepoi Sepoi Spa. Rutin kehadirannya juga
adalah mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh spa.
Minggu ini, dengan ketiadaan Jamilkhir di rumah kerana
outstation, yang mana sebenarnya pergi bernikah dengan bini ke tiga di ceruk
sebuah kampung, Liafara mempunyai amat banyak masa terluang. Bosan duduk di
rumah dengan tiada apa yang perlu dibuat, Liafara mengunjungi Sepoi Sepoi Spa,
walaupun jadual rawatan badannya untuk minggu ini sudah pun dibuatnya dua hari
yang lalu.
Hari ini dia mahu membuat rawatan tambahan pada mukanya
pula. Biarlah apabila suaminya pulang ke rumah hujung minggu nanti wajahnya
berseri-seri sedikit. Semenjak mendapat madu, Liafara berasa tercabar dek
kecantikan rupa paras si Hasnina ini. Dia harus melakukan sesuatu untuk
menaikkan kembali seri wajahnya sendiri agar suaminya tidak tertumpu pada
Hasnina sahaja.
Selepas mendaftarkan diri di kaunter, Liafara pun
berjalan menuju ke bilik rawatan muka. Sewaktu dia melintasi bahagian
pendandanan rambut, dia terlihat akan seorang wanita yang amat dikenalinya,
iaitu Hasnina madunya. Hasnina nampaknya sedang membuat hair steaming.
Kehadiran Liafara ke situ tidak disedarinya kerana dia sedang begitu asyik
menatap sebuah majalah. Liafara pun segera merapatinya.
“Eh-eh… Cik Nina pun ada di sini. Cik Nina buat rambut
ya?” tegur Liafara dengan mesra. Maklumlah, spa itu adalah tempat orang ramai.
Jadi, tidak eloklah dia berkasar dengan madunya ini walaupun dalam hatinya ada
rasa benci yang amat sangat. Perangkap kayu berpaku tajam yang dibuat oleh
Hasnina dulu akan diingatinya sampai bila-bila.
Mulanya air muka Hasnina nampak terkejut dengan munculnya
Liafara secara tiba-tiba di situ. Sangkaannya mungkin Liafara akan menyerangnya
untuk membalas dendam. Namun senyuman manis yang ditunjukkan Liafara meredakan
debaran hatinya.
“Eh… Cik Fara ya. Saya buat rawatan rambut sikit.
Maklumlah sudah seminggu suami saya lihat fesyen yang sama saja. Bila dia
pulang minggu depan ini, tentu dia gembira melihat gaya rambut baru saya ini. Nanti
suami saya akan bertambah sayanglah pada saya,” jawab Hasnina dengan nada
mengada-ngada. Sengaja dia membuat provokasi untuk menyakitkan hati Liafara.
Liafara buat-buat ketawa mesra. “Oh, begitu. Sudah
lamakah Cik Nina membuat rawatan rambut di spa ini? Tidak pernah pun kita bertembung
sebelum ini,” katanya.
“Oh, saya baru sahaja mendaftar sebagai ahli minggu ini.
Menurut kata orang, Sepoi Sepoi Spa ini sangat bagus. Eh, Cik Fara mahu buat
rawatan rambut jugakah?” tanya Hasnina.
“Tidak. Saya mahu buat rawatan muka hari ini. Saya pun
nak sambut kepulangan suami dengan rupa yang cantik dan anggun juga. Kalau
kulit saya sudah licin dan gebu nanti, suami saya juga akan bertambah sayang
pada saya,” balas Liafara memulangkan paku buah keras.
“A-a’lah Cik Fara. Muka Cik Fara pun nampaknya sudah
kusam dan berkedut itu. Baik Cik Fara buat rawatan cepat-cepat. Nanti kalau
bertambah teruk, bimbang nanti suami Cik Fara lari tidak pulang-pulang pula,”
kata Hasnina dengan selamba.
Terbakar hati Liafara mendengarnya. Namun dikawal riak
mukanya sebaik mungkin. ‘Kurang ajarnya betina bermulut longkang ini. Sekejap
lagi kau rasalah balasannya,’ ujar Liafara dalam hati. Tangan Liafara mencapai
tombol regulator hair steamer yang sedang digunakan mengewap rambut Hasnina.
Dia memulas tombol itu ke tahap maksimum tanpa disedari oleh Hasnina.
“Baiklah kalau begitu. Saya masuk ke dalam dululah ya,
Cik Nina,” kata Liafara lalu beredar dengan segera.
“Jangan lupa buat rawatan rambut juga nanti. Rambut Cik
Fara itu dah macam besi kawat sental periuk!” provok Hasnina lagi. Namun
Liafara tidak menoleh pun.
“Tengoklah nanti, rambut siapa yang jadi macam besi kawat
sental periuk,” kata Liafara sendirian dengan tersenyum mengejek.
Pekerja spa yang akan merawat Liafara sudah bersiap sedia
menunggu dengan segala bahan dan alatan yang diperlukan. Liafara dipakaikan
kain penutup kepala untuk melindungi rambutnya mengurai ke muka sewaktu proses
rawatan nanti. Cleanser pati buah, susu pembersih, ampoule kolagen, toner, krim
pencerah dengan SPF 15, krim serum, scrub dan bahan-bahan untuk masker disusun
teratur di atas troli. Begitulah juga dengan span, berus, black head remover
tools, kapas dan kertas tisu.
Liafara berbaring di atas katil yang dikhaskan untuk
rawatan badan dan muka. Dia merehatkan semua anggota tubuhnya dalam keadaan
relaks, memejamkan mata dan meletakkan fikiran dalam keadaan tenang. Muzik
sentimental yang dimainkan sekadar hawa-hawa telinga sungguh mendamaikan jiwa.
Lilin wangi yang dinyalakan menghasilkan aroma lavender semerbak membawa minda
Liafara terbang melayang di taman bunga yang luas terbentang.
Pekerja spa mulai membasahkan muka Liafara dengan span
basah lembut. Cecair cleanser pati buah titikkan ke muka Liafara dan dioleskan
untuk mencuci kekotoran, sisa-sisa solekan, debu, keringat, minyak dan mungkin
juga bakteria ataupun virus. Buih-buih pencuci itu diratakan ke seluruh muka
kecuali sekitar mata dan mulut. Kemudian buih-buih pencuci itu dilapkan semula
dengan span basah.
Langkah ke dua ialah exfoliate iaitu proses untuk
menanggalkan sel-sel kulit mati dan juga kotoran degil yang menempel dalam
pori-pori pada kulit wajah Liafara. Ianya tidak dapat ditanggalkan secara
sempurna sewaktu menggunakan buih pembersih tadi. Salah satu bahan popular yang
biasa digunakan untuk proses exfoliate ialah pembersih ber-scrub. Bahagian
hidung dan kening diberikan lebih tumpuan kerana di sini terdapat lebih banyak
kotoran. Setelah itu muka Liafara bilas dengan air bersih, menggunakan span
basah.
Setelah muka Liafara dilap kering, pekerja spa memasang
alat stim dan menghalakan semburan stim ke mukanya. Proses ini adalah penting
untuk menenangkan otot-otot muka dan menyediakan kulit muka menjadi lebih mudah
untuk menyerap bahan-bahan rawatan pada langkah-langkah seterusnya nanti.
Ketika itulah, kedamaian Sepoi Sepoi Spa itu dipecahkan
oleh satu jeritan wanita yang nyaring. Sudah tentu itu suara jeritan Hasnina! Ia
dituruti pula oleh bunyi kelam-kabut pembantu-pembantu spa berkejar
mendapatkannya. Kepala Hasnina berasap-asap disebabkan oleh stim yang terlampau
panas. Suasana menjadi kecoh. Masing-masing tertanya-tanya bagaimana ia boleh
berlaku. Dalam adegan saling salah-menyalahi antara satu sama lain itu, suara
Hasninalah yang paling lantang memarahi pembantu-pembantu spa. Manakala Liafara
hanya tersenyum puas di bilik rawatan muka.
Hasnina menyerbu bilik rawatan Liafara. Dia tahu,
perempuan itulah yang mensabotaj proses dandanan rambutnya tadi. Ya, Liafara
juga sedang menggunakan stim yang dihembuskan ke mukanya. Cepat-cepat dia
memulas regulator alat stim itu ke aras maksimum. Namun ianya disedari oleh
pembantu spa dan aras kepanasan stim itu diturunkan kembali. Pekerja spa itu
menjegilkan mata kepada Hasnina. Hasnina terpaksa keluar dengan menahan geram.
“Tidak apa. Akan ada peluang untuk engkau terima
balasannya,” kata Hasnina sendirian. Dia tidak lagi berminat untuk meneruskan
dandanan rambutnya lagi. Sebaliknya dia mencari-cari jalan bagaimana hendak
membalas dendam pada madu tuanya itu.
Selepas kira-kira sepuluh minit, stim dimatikan. Muka
Liafara dilapkan sehingga kering. Pekerja spa mengambil sebiji ampoule yang
mengandungi kolagen. Kepala ampoule itu dipatahkan menggunakan tisu dengan
berhati-hati. Cecair ampoule itu dititiskan ke muka Liafara dan diratakan ke
seluruh bahagian muka dengan urutan hujung jari. Urutan ini dijalankan selama
lima minit untuknya benar-benar meresap. Ampoule ini bertujuan untuk
meneutralkan kulit.
Pekerja spa mengambil hirisan timun dan menutup kedua-dua
mata Liafara. Hirisan timun itu pula dilitupi dengan kepingan kapas. Selepas itu,
pekerja spa menuangkan beberapa bahan ke dalam satu mangkuk khas dan dikacau
untuk sebatikannya. Bahan yang berbentuk pes putih ini disapu pada muka Liafara
dengan menggunakan berus lembut, dipanggil masker. Seluruh muka Liafara
diratakan dengan ketebalan yang sama kecuali bahagian mata dan mulut.
Masker ini akan dibiarkan selama setengah jam untuknya
bertindak balas memulihkan dan memperbaiki kerosakan kulit muka Liafara.
Sementara itu, pekerja spa yang menguruskan Liafara keluar dari bilik rawatan
untuk berehat seketika. Maka tinggallah Liafara seorang. Dia mengambil masa ini
untuk melelapkan mata.
Di kala inilah Hasnina mengambil peluang masuk ke bilik
rawatan Liafara. Baguslah mata Liafara sedang ditutup, makin mudahlah kerjanya.
Matanya melilau-lilau ke segenap penjuru bilik mencari kalau-kalau ada benda
yang berguna untuk tujuannya itu. Maka ternampaklah dia akan sebotol cecair
pencuci mangkuk tandas berjenama ‘Hapic’ di atas satu rak di tepi pintu masuk
bilik air.
Hasnina mengambil botol Hapic itu lalu memicit isinya ke
dalam mangkuk bancuhan masker Liafara. Dia mengacau cecair Hapic itu dengan
lebihan masker yang ada. Masker asal dimuka Liafara dikautnya dengan
menggunakan span. Kemudian Hasnina menyapu semula masker yang bercampur cecair
Hapic yang dibancuhnya ke muka Liafara. Liafara tidak mengesyaki apa-apa. Dia
hanya menyangka pekerja spa yang melakukannya. Dia terus melayan mimpi separa
lenanya…
Sebaik licin mangkuk bancuhan masker diceduk, Hasnina
meninggalkan bilik itu dengan segera. Namun dia tidak pergi jauh, hanya duduk
di sofa berhampiran dan buat-buat membaca majalah. Dia mahu menyaksikan sendiri
bagaimana reaksi madu tuanya itu merasa penangan ramuan masker ajaib ciptaannya
tadi.
Dan dalam selang masa setengah jam, pengunjung-pengunjung
spa yang lain bersama pekerja-pekerja spa dapat mendengar satu lagi jeritan
yang nyaring. Tetapi kali ini tunenya berbeza kerana dialunkan oleh orang yang
berlainan. Maka berkejaranlah pekerja-pekerja spa ke bilik rawatan di mana
Liafara berada pula. Hasnina sempat menjenguknya sebentar. Suasana menjadi
kecoh dan kelam-kabut serupalah dengan apa yang dialaminya sebentar tadi.
“Rasakan!” kata Hasnina. Dia pun bergegas meninggalkan
salun itu dengan hati yang puas.
*****
Sementara itu pada waktu yang sama, nun jauh di Kampung
Pengkalan Berangan, suasananya berbeza sama sekali. Jamilkhir sedang membawa
isteri barunya, Rudjini bersiar-siar keliling kampung dengan kereta dengan aman
dan bahagia sekali. Mereka bergurau senda dan bergelak ketawa dengan penuh
mesra.
“Abang, apa khabar dengan isteri-isteri abang yang lain?”
Rudjini mengalih perbualan kepada tajuk baru.
“Kenapa Jini tanya?” soal Jamilkhir kembali. Dia agak
terganggu dengan soalan itu.
“Ye lah, nak juga Jini bertanya khabar. Bukan orang lain
pun, madu-madu Jini juga,” kata Rudjini.
“Biarkanlah mereka. Buatlah apa yang mereka nak buat.
Sekarang adalah masa untuk kita berdua, usah fikirkan pasal mereka,” kata
Jamilkhir acuh tak acuh.
Rudjini perasan yang suaminya kelihatan tidak selesa bercakap
soal itu. “Tentu kedua-dua mereka baik amat baik hati, ya bang. Kalau orang
lain, belum tentu benarkan suami berkawin kali ke tiga,” katanya lagi.
“Itulah pentingnya berlaku adil dan saksama. Semua isteri
abang hidup gembira kerana abang layan sama rata. Kak Faridah dan Kak Halimah
kamu memang baik sekali orangnya,” balas Jamilkhir. Dia mengharapkan agar Rudjini
tidak memperpanjangkan bercakap pasal isteri-isterinya yang lain itu lagi.
“Untunglah abang dapat isteri-isteri macam mereka. Jini
pun rasa bertuah sebab bermadu dengan mereka. Bilalah dapat Jini bertemu
mereka. Terigin sungguh nak kenal-kenal,” luah Rudjini.
Jamilkhir terbatuk tanpa sebab dengan tiba-tiba. “Jom,
kita dengar lagu,” katanya. Dia menekan butang on pada pemain radio keretanya. Untuk
memulihkan suasana romantik yang telah menjadi tawar itu, Jamilkhir membuat
tuning mencari siaran radio Kasik Nasional.
“Lagu ini ditujukan khas untuk lelaki-lelaki yang
berpoligami. Terimalah lagu Madu Tiga Suku yang dinyanyikan oleh seorang artis serba
boleh, Bee Lam Lee…” umum seorang deejay lelaki di siaran Klasik Nasional itu
lalu dituruti oleh muzik intro lagu tersebut.
Tepat benar tujunya lagu itu. Jamilkhir pun turut serta
menyanyi, tetapi dengan liriknya yang tersendiri.
Susahnya dalam hati
Kalau berbini dua
Neraka dunia ini
Akulah yang naya
Ganasnya bini tua
Letupkan senapangmu
Samsengnya bini muda
Pacak paku pada kayu
Bini tua mengamuk
Tembak ke rumah bini muda
Bila dua-dua mengamuk
Aku berbini tiga
Dua-dua kena kelentong
Dua-duanya akal kurang
Tetapi kalau kantoi
Mampus aku tak pulang
Kalau berbini dua
Neraka dunia ini
Akulah yang naya
Ganasnya bini tua
Letupkan senapangmu
Samsengnya bini muda
Pacak paku pada kayu
Bini tua mengamuk
Tembak ke rumah bini muda
Bila dua-dua mengamuk
Aku berbini tiga
Dua-dua kena kelentong
Dua-duanya akal kurang
Tetapi kalau kantoi
Mampus aku tak pulang
Jamilkhir juga mengetuk-ngetuk jarinya pada stereng
mengikut irama lagi itu…