Selasa, 15 Mei 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 13


13.      Geng Parang Kontot
            Nampaknya pertembungan dua kumpulan dalam Parti Parang di kawasan Parlimen Kangkung Jaya ini tidak dapat dielakkan lagi. Dato’ Kontot yang merupakan penyandang Pengerusi Parti di kawasan ini berasa tergugat. Dia yakin YB Sumbing tidak akan mampu mencabarnya kerana dia mempunyai sebuah pasukan yang kuat. Pasukan Dato’ Kontot ini digelar sebagai Geng Parang Kontot oleh YB Sumbing dan pasukannya.
            Geng Parang Kontot ini dianggotai oleh otai-otai parti yang setia pada Dato’ Kontot. Mereka ini dipilih daripada setiap cawangan dalam kawasan Kangkung Jaya ini sebagai penggerak kempen di cawangan masing masing. Kini Dato’ Kontot menerima dua anggota Geng Parang Kontot yang baru, iaitu Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Kedua-dua penyamun ini akan ditugaskan di Cawangan Kampung Kangkung Kering.
            Malam sudah larut, tetapi pejabat Dato’ Kontot masih terang benderang. Dato’ Kontot bersama dua pembantu barunya sedang rancak berbincang sambil minum kopi.
            “Walaupun sokongan pada saya masih kukuh di Kampung Kangkung Kering, saya mahu Penyamun Mata Cangkul dan Penyamun Kuali berdua bergerak di sana untuk menarik orang-orang atas pagar. Tarik semua supaya jadi pengikut kita, jangan tinggal walau seorang pun,” kata Dato’ Kontot.
            “Ya, tiada masalah. Kami akan culik mereka dan bawa ke rumah Dato’. Kami akan tolong Dato’ berunding dengan mereka. Kita tawarkan mereka duit. Kalau mereka menolak juga, kita ugut sahaja,” sambut Penyamun Mata Cangkul bersemangat.
            “Tidak boleh. Mana saya mahu letak mereka ramai-ramai? Kalau anak ayam, bolehlah isi dalam kotak biskut, tapi ini manusia. Untuk seorang dua bolehlah, tapi ini berpuluh orang. Idea kamu bagus, tetapi tidak praktikal,” tegah Dato’ Kontot.
            “Jadi apa yang perlu kami buat?” soal Penyamun Mata Cangkul.
            “Pergi jumpa mereka seorang demi seorang dan pujuk mereka. Berikan mereka sedikit ole-ole juga,” kata Dato’ Kontot.
            “Bukankah Pengerusi JKKK dan orang-orang kuat lain di kampung itu boleh lakukan sendiri? Mereka lagi dikenali oleh orang-orang kampung,” Penyamun Kuali mengeluarkan pendapatnya pula.
            “Mereka sudah lakukan, tetapi kurang berjaya. Ini kerana golongan di atas pagar ini terdiri daripada orang-orang yang tidak menyukai Pengerusi JKKK dan pemimpin-pemimpin cawangan yang lain,” jelas Dato’ Kontot.
            “Apa pasal pula mereka tidak sukakan Pengerusi JKKK?” soal Penyamun Kuali.
            “ Ada diantaranya yang pernah merajuk kerana tidak dapat bantuan. Contohnya… yalah, kalau setiap cawangan diberi peruntukan bantuan dua puluh kampit beras, mestilah hanya dua puluh keluarga sahaja yang dapat, sekampit beras satu kelurga. Kalau dalam cawangan itu ada seratus keluarga, pasti yang lapan puluh keluarga lagi tidak akan dapat. Takkanlah beras sebanyak itu hendak dibahagikan pada semua orang. Nanti setiap orang dapat segenggam sahaja,” kata Dato’ Kontot lalu tergelak kecil.
            “Takkanlah pasal beras pun nak merajuk. Bukankah orang-orang kaya boleh beli beras sendiri?” Penyamun Mata Cangkul kurang setuju.
            Dato’ Kontot menghirup kopinya. “Apa nak buat. Orang kita ini tidak kira kaya atau miskin, semuanya mahu bantuan. Tidak tahu malu langsung. Dulu ada seorang perempuan tua datang ke pejabat saya ini merayu minta diberikan wang insan. Yang peliknya, dia dihantar oleh anaknya dengan menaiki kereta Mercedes,” luahnya dengan kesal.
            “Dato’ berikah?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Terpaksa berilah. Kalau tidak perempuan itu tidak mahu menyokong saya lagi,” jawab Dato’ Kontot pantas.
            “Jadi, macam mana kami hendak menarik orang-orang atas pagar yang kaya-raya? Berapa banyak bantuan yang Dato’ nak beri pada mereka?” tanya Penyamun Kuali pula.
            Dato’ Kontot menarik nafas panjang. Dia menyandarkan belakangnya ke sofa. “Kita tumpukan sasaran kita pada orang-orang yang miskin dulu. Orang-orang yang kaya ini biasanya ada pelajaran tinggi dan susah untuk ditarik. Kalau orang-orang miskin, apa lagi yang bodoh dan lemah, amat senang. Macam budak-budak yang ditaburkan dengan gula-gula, tidak perlu dipanggil pun mereka akan serbu. Mana mereka nak tolak, malah sanggup berebut-rebut pula,” kata Dato’ Kontot.
            “Apa yang Dato’ hendak beri pada mereka?” soal Penyamun Kuali.
            “Apa cadangan kamu berdua?” Dato’ Kontot menyoal kembali.
            “Hmm… apa kata kalau kita beri mereka buah tangan yang lebih eksklusif. Benda yang mereka tidak pernah terima sebelum ini,” cadang Penyamun Kuali bersungguh-sungguh.
            “Apa bendanya?” Dato’ Kontot semakin berminat.
            “Kita beri kuali pada mereka,” kata Penyamun Kuali.
            “Bagus itu, tetapi kuali hanya sesuai diberikan pada orang perempuan. Bagaimana pula dengan orang lelaki?” Dato’ Kontot mengurut-ngurut misainya.
            “Kita berikanlah orang lelaki dengan hadiah mata cangkul. Pasti mereka suka,” celah Penyamun Mata Cangkul.
            “Ha, bagus… itu cadangan yang bagus,” kata Dato’ Kontot lalu ketawa. “Kamu berdua memang berotak geliga. Tidak sia-sia saya mengambil kamu berdua jadi pembantu.”
            Kedua-dua penyamun itu tersenyum bangga.
            “Tapi sayang sedikit, Nujum Pak Belukang sudah berpaling tadah pada YB Sumbing. Jika tidak, kamu sudah bertiga sekarang. Lagi kuatlah geng kita di Cawangan Kampung Kangkung Kering,” ujar Dato’ Kontot sedikit kesal.
            “Apa yang Dato’ hendak hairankan sangat dengan Nujum Pak Belukang itu? Kami berdua ini lebih handal daripadanya,” kata Panyamun Kuali.
            “Ya, benar tu Dato’. Nujum Pak Belukang itu ilmunya hanya sejengkal panjangnya. Ibarat macam budak-budak belum bersunat sahaja. Kami lagi banyak ilmu dari Nujum Pak Belukang,” tambah Penyamun Mata Cangkul pula.
            “Ya, betul, betul. Kita lupakan sahaja dia. Mari kita fikirkan pasal gerak kerja kita. Kita tidak perlu buang masa lagi. Besok saya akan dapatkan barang-barang itu dan akan beri terus kepada kamu berdua untuk diagihkan,” ujar Dato’ Kontot.
            “Ya, dapat sahaja barang-barang itu besok, besok juga kami akan agihkan terus,” kata Penyamun Kuali.
            “Bagus, tapi jangan hanya beri hadiah sahaja. Ajaklah mereka berbual dengan mesra. Tanya apa masalah mereka. Bila nampak mereka sudah senang dengan kita, mulalah masukkan jarum. Beritahu mereka, saya akan terus berikan apa sahaja bantuan selepas menang pemilihan nanti. Minta mereka sedikit pertolongan yang sungguh mudah, iaitu sokonglah saya. Itu sahaja,” ujar Dato’ Kontot.
            “Beres!” ujar kedua-dua penyamun itu.
                                                                        *****
            Satu petang seminggu selepas itu, di atas bumbung balairaya, dua orang penyamun sedang terjengket-jengket meniti di atas atap genting.
            “Engkau kena langkah baik-baik. Silap langkah karang, boleh runtuh bumbung ini,” pesan Penyamun Kuali.
            “Aku bukan berat sangat pun. Tidaklah sampai boleh runtuh bumbung balairaya ini. Engkau ni mengarutlah,” sanggah Penyamun Mata Cangkul.
            Penyamun Kuali berhenti melangkah lalu berpaling pada rakan karibnya itu.
            “Mengarut apanya? Engkau tidak tengok ke bumbung stadium bola yang berpuluh kali besar lagi daripada balairaya ini yang runtuh itu? Tidak ada sesiapa pun yang panjat bumbung itu, tapi runtuh juga,” ujar Penyamun Kuali.
            “Mereka silap buat bumbung stadium itu pakai besi. Bumbung itu jadi sangat berat, sebab itulah ia runtuh. Cuba pakai bumbung daun nipah, pasti tidak runtuh,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Apa kau ingat stadium itu macam bangsal dalam dusun duriankah mahu pakai atap daun nipah? Low class…” Penyamun Kuali mencengihkan mukanya.
            “Tidak guna high class pun kalau sudah runtuh. Kontraktor yang bina stadium itu dulu kurang cerdik,” Penyamun Mata Cangkul menempelak pula.
            Penyamun Kuali bercekak pinggang. “Habis tu, kalau engkau cerdik, kenapa tidak engkau sahaja yang bina? Tidak pun, sekurang-kurangnya engkau ambil subkontrak bahagian bumbungnya sahaja sudah cukup,” ujarnya.
            “JKR tidak mahu bagi aku tender projek stadium itu sebab aku belum ada lesen kelas A,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Habis tu, lesen apa yang engkau ada?” soal Penyamun Kuali dengan mengangkat keningnya.
            “Lesen P motosikal aku adalah…” jawab Penyamun Mata Cangkul lalu tergelak kecil.
            “Aku dengar orang kata lesen P ini Lesen Pinjam. Betulkah?” Penyamun Kuali menyoal lagi.
            “Entahlah. Takkan nak buat stadium pun pakai lesen pinjam. Tapi, kalaulah aku yang buat, aku buat dengan atap nipah sahaja sebab dapat jimat lagi banyak kos. Aku akan dapat lagi banyak untung daripada kontraktor yang buat bumbung itu. Kontraktor itu tidak cerdik pasal dia hendak jimat kos, tapi guna besi murah. Besi murah ini sudahlah berat, lembut pula. Manalah bumbung itu tidak mahu runtuh,” terang Penyamun Mata Cangkul dengan loyar buruknya.
            Penyamun Kuali menggaru-garu belakang tengkuknya yang tidak gatal. Hendak disokong kata-kata kawannya itu, nampak sangatlah bangangnya. Kalau hendak dibangkang pula, lagi panjanglah perdebatan itu jadinya.
            “Hmm… bumbung stadium, bumbung stadium juga. Kerja kita ini bila nak bergerak kalau asyik sembang sahaja?” tanya Penyamun Kuali akhirnya mengalih tajuk.
            Sebenarnya tujuan mereka memanjat bumbung balairaya pada petang itu adalah untuk menggantungkan satu banner besar. Banner ini dibuat khas untuk memberi tahu pada orang ramai tentang sumbangan yang dijalankan oleh mereka pada orang-orang kampung sepanjang minggu yang lalu. Banner itu dapat dilihat dengan jelas dari jauh oleh pengguna-pengguna jalan raya.
            Paparan gambar muka Dato’ Kontot yang tersenyum mesra pada banner bagaikan mengalu-alukan orang kampung melihatnya. Di sebelah kiri banner itu, turut dipaparkan ialah gambar Penyamun Kuali sedang menyampaikan sebiji kuali besar kepada seorang nenek tua. Manakala di sebelah kanan pula terdapat gambar Penyamun Mata Cangkul sedang menyumbangkan sebilah mata cangkul pada seorang lelaki tua. Barangkali nenek dan lelaki tua ini adalah pasangan suami isteri. Kedua-dua gambar penyamun itu juga turut tersenyum lebar.
            Di bahagian bawah banner itu pula dicetak dengan ayat ‘Sokonglah Dato’ Kontot, Pemimpin Yang Pemurah”. Banyak lagi banner dan poster sebegini dipaparkan di simpang-simpang jalan, di pasar, di perhentian bas dan di masjid. Namun banner yang digantung pada balairaya inilah yang paling besar sekali.
            Namun disebalik banner yang nampak amat perihatin itu, ada suatu perkara yang telah dilakukan oleh kedua-dua penyamun ini tidak diketahui oleh orang lain, waima Dato’ Kontot sendiri pun. Sebenarnya, lebih daripada separuh kuali dan mata cangkul yang dibekalkan tidak sampai kepada penerima-penerima sasaran. Hanya belasan unit sahaja disampaikan oleh penyamun-penyamun itu. Selebihnya dibawa ke kedai besi buruk untuk dijual.
            Penyamun-penyamun ini tidak mempedulikan sangat sama ada penerima sumbangannya itu berubah sokongan kepada Dato’ Kontot atau tidak. Apa mereka hendak kisahkan, bukan mereka pun yang akan bertanding nanti. Yang penting, habuan upah untuk mereka mesti lumayan. Dan hasil jualan kuali dan mata cangkul ini berjaya meningkatkan lagi aras katung duit mereka. Penyamun semestinya licik bertindak, walaupun pada bos sendiri.
            Sebaik selesai memasang banner, mereka memaklumkannya pada Dato’ Kontot. Dalam masa tidak sampai setengah jam kemudian, Dato’ Kontot pun tiba untuk melihatnya. Kembang hidung Dato’ Kontot dengan hasil kerja dua orang pembantunya itu.
            “Bagus! Bagus! Biar penyokong-penyokong YB Sumbing tengok. Lepas ini mereka tentu akan menyokong saya pula kerana cemburu pada yang dapat kuali dan mata cangkul itu,” puji Dato’ Kontot dengan megahnya.
            “Jikalau mereka cemburu, pasti lebih ramai lagi nanti orang kampung datang minta kuali dan mata cangkul. Bagaimana kami hendak beri lagi? Semuanya sudah habis,” kata Penyamun Kuali.
            “Jangan bimbang. Sebut sahaja berapa biji kuali dan mata cangkul yang diperlukan lagi. Saya akan hantar walaupun seratus biji. Itu masalah kecil,” kata Dato’ Kontot sambil menepuk-nepuk bahu kedua-dua orang penyamun itu.
            Maka semakin lebarlah senyuman Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Di depan mata mereka sudah terbayang berapa banyak habuan yang akan mereka gelapkan nanti…
                                                                        *****
.           Petang esoknya ketika melintasi balairaya, Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul terperanjat. Mereka mendapati banner yang mereka pasang semalam telah diconteng. Perkataan ‘Sokonglah’ dan ‘Pemurah’ telah disembur dengan cat putih. Perkataan lain pula ditulis di atasnya menjadikan ayat asal berubah kepada ‘Tumbanglah Dato’ Kontot, Pemimpin Yang Rasuah’.
            Mereka menangguhkan tujuan mereka untuk berjumpa dengan prospek-prospek kempen. Mereka terpaksa mengikis semula cat pada banner itu sebelum dilihat oleh Dato’ Kontot. Nasib baiklah tidak banyak bahagian yang diconteng kerana bahagian bawah banner itu sahajalah yang mampu dicapai oleh orang dari atas tanah. Mereka mengikisnya bersungguh-sungguh sehinggalah banner itu langsung tembus.
            Tidak semena-mena Dato’ Kontot terpancul di situ dengan kereta Babusnya. “Apa sudah jadi dengan banner kita?” tanyanya.
            “Entahlah Dato’. Ada orang rosakkan banner ini,” kata Penyamun Kuali. Nasib baiklah perkataan yang tidak elok tadi telah ditanggalkan walaupun masih belum sempurna. Bagaimanapun Dato’ Kontot tiba-tiba melenting selepas membelek banner itu.
            “Dato’ Kontot Pemimpin Murai? Kurang ajar siapa yang buat khianat ini,” marah Dato’ Kontot. Sungguh kedua-dua penyamun itu tidak menyangka, ayat yang belum siap dibaiki itu sudah pun membentuk ayat baru. Ayat baru itu tidak kurang juga tajam maknanya.
            “Dato’ jangan bimbang. Kami akan menampal tempat yang rosak ini,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Baiklah, saya serahkan pada kamu berdua sahaja untuk selesaikan,” ujar Dato’ Kontot sebelum berlalu pergi.
            “Fuh, nasib baik dia tidak mengamuk. Selamat periuk nasi kita,” Penyamun Mata Cangkul mengeluh lega.
            Mereka berhenti seketika untuk melepaskan penat. Bunyi ketawa kedengaran mengganggu lamunan mereka. Rupa-rupanya ada sekumpulan budak-budak sekolah yang berhenti di tepi balairaya.
            “Apa yang kamu semua buat di sini? Pergi! Pergi!” Penyamun Kuali menjerkah. Bagaimanapun budak-budak itu nampaknya tidak takut. Mereka hanya tersengih-sengih.
            “Pergi! Pergi!” jerit Penyamun Kuali lagi sambil meluru dengan sebatang kayu. Barulah budak-budak itu kelam-kabut mengayuh pergi basikal masing-masing.
            “Dato’ Kontot Pemimpin Murai!” jerit salah seorang daripadanya setelah agak jauh. Penyamun Kuali membaling kayunya dengan geram, tetapi balingannya menyimpang daripada sasaran. Dia cepat-cepat lari bersembunyi apabila melihat kayu itu  melayang berputar-putar masuk ke dalam sebuah kedai runcit.
                                                                        *****
            Hari berikutnya, penyamun-penyamun datang lagi ke balairaya untuk memeriksa banner. Mereka lega kerana banner yang baru mereka perbaiki semalam itu tidak disabotaj lagi. Mereka pun terus berlalu untuk meneruskan tugas mengempen orang-orang kampung.
            Dek kerana sibuk, mereka tidak sempat datang memeriksa pada hari yang seterusnya. Mereka mengandaikan banner itu tidak akan diconteng lagi. Bagaimanapun, tengah hari itu mereka menerima panggilan mengejut daripada Dato’ Kontot. Dato’ Kontot meminta mereka datang segera ke balairaya dengan nada yang sangat marah.
            Sebaik tiba, kedua-dua penyamun itu tergamam bila melihat banner yang tergantung di dinding balairaya. Banner itu jika dilihat sekali imbas memang nampak serupa macam banner yang dibuat oleh mereka dulu. Setelah diperiksa, sahlah itu adalah banner lain yang baru diletakkan menggantikan banner mereka.
            Tanda tanya tentang kemarahan mendadak Dato’ Kontot terjawab bila mereka melihat wajah Dato’ Kontot itu telah diedit. Kedua-dua matanya ditukar kepada mata anaconda. Telinganya pula diubah menjadi bentuk kuali. Manakala giginya ditukar dengan mata cangkul. Patutlah ramai orang kampung yang berkerumun menjadi riuh rendah! Banner itu pun diturunkan dengan segera dan terus dibakar.
            Beberapa hari kemudian, sewaktu Dato’ Kontot singgah di gerai pisang goreng Kak Ramlah, darahnya tiba-tiba menyirap. Banner asal kempen sumbangan kuali dan mata cangkulnya dulu sudah dibuat kanopi gerai itu. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Dato’ Kontot mengamuk. Namun bila mengenangkan Kak Ramlah itu  seorang janda beranak empat, hati Dato’ Kontot melembut pula.
            Setelah diselidiki, rupa-rupanya Kak Ramlah telah memungut banner itu  di tempat pembuangan sampah. Daripada terbuang begitu sahaja, lebih baik dia ambil buat kanopi warung, katanya. Nyatalah Kak Ramlah tidak bersalah dalam hal ini. Dan tidak rasionallah pula jika Dato’ Kontot memarahinya.
            Apabila Dato’ Kontot meminta kembali banner itu , Kak Ramlah dengan relanya bersetuju, tetapi dengan syarat dia mesti diberikan kanopi yang baru!