Rabu, 30 Mei 2012

Cintan Si Cilik - Bab 14


14        Coli Putus Dua

Setelah jemu mengemam buah kiat dan penat bergayut dari dahan ke dahan, Nia dan Imi pun turun. Mereka mereka mematahkan beberapa ranting yang mempunyai bergugus-gugus buah kiat masak untuk dibawa pulang. Kali ini giliran Nia pula yang mengayuh basikal sementara Imi membonceng dibelakang dengan duduk membelakangi Nia. Mereka bersama-sama menyanyi lagu ‘Berdua Lebih Baik’ nyanyian Irwan Syah dan Aca Septriasa dengan riangnya.
            Ketika melalui sebuah rumah dalam pembinaan, Imi mengajak Nia berhenti. Dia tertarik dengan setimbun pasir yang ada di tepi sebuah rumah dalam pembinaan. Pasir halus dari sungai itu digunakan untuk membuat konkrit.
            “Nia, jom kita main pasir tu. Kita buat istana, nak?” ajak Imi.
            “Jom,” sahut Nia lalu memberhentikan basikal. Imi terus melompat turun lalu berlari memanjat timbunan pasir itu.
            “Eh, kita cari dulu bekas-bekas plastik untuk dibuat acuan,” kata Nia selepas menongkat basikal. Dia memungut beberapa bekas makanan dan minuman di satu longgokkan sampah yang belum dibakar.
            “Ha… aku dapat sudip,” kata Imi sambil menunjukkan sudip pembancuh simen di tangannya.
            “Sudip apa macam tu? Sudip nasikah?” tanya Nia hairan.
            “Boleh juga kalau nak guna buat sudip nasi. Nanti kau bawa pulang, beri pada Mak Seri,” kata Imi lalu ketawa. Nia hanya mengetapkan bibir dan menghela nafas.
            Dengan menggunakan sebatang ranting kecil, Imi melukiskan satu petak di atas pasir. Ianya adalah kawasan istana yang luasnya lebih kurang satu meter persegi. Kawasan itu kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk tujuan yang berbeza. Mereka mula membentuk istana.
            “Kita buat istana di tengah-tengah. Nanti di sekeliling istana kita buat taman bunga,” kata Imi.
            “Ok,” sahut Nia seronok.
            Mereka meneruskan pembinaan istana pasir yang mempunyai satu kubah besar dan beberapa kubah kecil disekelilingnya. Satu menara juga dibina di sudut kiri istana.
            “Sekarang kita buat taman bunga pula,” kata Nia. Dia mematahkan beberapa hujung ranting pokok senduduk yang mempunyai bunga lalu mencucuknya di sekeliling istana. Kemudian dia menaburkan bunga-bunga semarak yang dileraikan di taman itu.
“Wow! Cantiknya,” kata Imi.
“Mestilah kena cantik, barulah kita dapat tinggal di istana dengan gembira. Setiap hari kita boleh bersiar-siar di taman bunga,” kata Nia gembira.
“Kat sini kita buat reban ayam,” cadang Imi sambil menunjukkan sudut kanan kawasan istana.
“Eh, dalam istana tak boleh ternak ayam. Nanti busuklah istana kita,”
            “Habis, macam mana nak dapatkan telur ayam?”
            “Kita beli sajalah. Kita kan dah kaya nanti,”
            Hahahaha… mereka sama-sama ketawa.
Imi membuat tembok disekeliling Istana. Di luar tembok pula dia mengorek parit. Sebuah pintu gerbang dibina dengan acuan pasir dan ranting-ranting kayu. Sebuah jambatan pula dibina di hadapan pintu gerbang dan merentangi parit.
“Eh, bagus kalau kita buat tempat kapal terbang mendarat di atas bumbung istana kita. Nanti senang kalau kita nak naik kapal terbang,” cadang Imi
            “Tak cukup ruanglah. Kapal terbang nak mendarat kena ada lapangan terbang yang luas. Apa kata kita buat tempat helikopter mendarat?” Nia mengemukakan pendapatnya pula.
            “Helikopter tak bestlah. Tak laju. Aku suka jet atau roket. Kalau ada roket, nanti hari-hari kita dapat pergi ke bulan,” bantah Imi pula.
            “Pergi ke bulan? Seronoknya! Bulan kalau tengok dari bumi pun sudah cantik. Kalau kita pergi ke sana, entah bagaimana pula cantiknya. Tak dapat dibayangkanlah,” kata Nia riang.
            “Lepas tu kita bawa balik bulan tu. Kemudian kita gantung bulan pada siling dalam bilik. Nanti setiap masa kita boleh tengok bulan. Tak perlu keluar rumah pun,” tambah Imi.
            “Yelah, bulan kalau kat langit bukan selalu dapat tengok. Kalau hari mendung atau hujan, bulan hilang. Kalau gantung dalam bilik, masa hujan ribut pun kita dapat tengok lagi,” Nia menyokong.
            Dengan tak semena-mena hujan turun berderu. Rupa-rupanya mereka terlalu leka membina istana pasir sehingga tidak menyedari awan telah menebal di langit sejak sekian lama.
            “Hujan!” jerit Imi. Kelam-kabut dia bangun mahu berlari untuk mendapatkan teduhan di rumah dalam pembinaan itu. Namun dia terbabas apabila tangannya disambar Nia yang juga cuba untuk bangun. Kedua-dua mereka rebah di atas istana pasir yang mereka bina. Mereka terus ditimpa hujan lebat.
            “Itulah kau, sebut pasal hujan sangat. Kan hujan dah turun,” ujar Imi. Mereka basah kuyup, dan tiada guna lagi mencari tempat teduh.
            Hujan yang lebat itu juga telah meranapkan kesemua bahagian istana pasir mereka.
            “Ha, dah roboh pula istana kita. Kaulah punya pasal ni,” kata Imi lalu mencekup segenggam pasir lalu menabur pada Nia. Nia pun membalas dengan menabur pasir pada Imi juga. Dan seterusnya mereka berbalas baling membaling pasir dalam hujan.
            “Nia, kau sambut pinggan ni,” kata Imi lalu membaling sebiji pinggan polisterin pada Nia. Nia pun mengejar dan menangkap pinggan itu. Kemudian Nia membalingnya untuk ditangkap oleh Imi pula. Pinggan itu melayang dan berpusing-pusing di udara sebelum ditangkap Imi dengan membuat aksi terbang seperti penjaga gol menangkap bola. Sungguh seronok mereka bermain piring terbang dalam hujan itu.
            Satu ketika, Nia sudah terketar-ketar kesejukan. Dia pun berlari ke dalam rumah separuh siap itu. Tiba-tiba meluru ke luar semula. Mukanya cemas sahaja.
            “Kenapa?” tanya Imi.
            “Abang Riduan ada di dalam,” kata Nia ketakutan.
            “Abang Riduan kau ada di dalam? Dia buat apa?”
            “Tak tahu. Dia dengan dua orang kawan dia lagi,”
            Kedua-dua orang budak itu berjalan menjengket-jengket ke bilik yang dimaksudkan Nia. Memang benar Riduan ada di situ bersama dua orang rakannya. Nampaknya mereka semua sedang khayal.
            Riduan berjalan berlenggang-lenggok seperti orang perempuan. Sesekali dia melentok-lentok kepalanya sambil gelak menggelekek sendirian. Sementara dua orang kawannya lagi terbaring di atas kepingan kertas kotak.
            “Eh itukan coli Cik Tun yang kita tengok itu hari?” bisik Nia pada Imi. Mereka segera mengamati coli yang sedang dipakai Riduan.
            “A’alah. Mengapa pula abang kau yang pakai?” tanya Imi dengan mengawal suaranya agar tidak didengari oleh tiga orang penagih itu.
            Nia menggelang kepala sambil menjuih bibir.
            “Jomlah balik. Nanti kalau mereka sedar kita ada di sini, teruk kita,” ajak Nia yang sejak mula lagi rasa tidak senang. Imi tidak memberikan jawapan. Namun setelah Nia menarik tangannya, dia terpaksa menurut.
Belum pun berapa jauh mereka meninggalkan rumah dalam pembinaan itu, kelihatan sebuah kereta peronda polis dari jauh menghala ke arah mereka. Apabila berselisih, Nia dan Imi dapat melihat dua orang anggota polis di tempat duduk hadapan. Mana kala di tempat duduk belakang ada seorang wanita separuh umur, yang mana mereka amat kenali.
            “Eh, itu Cik Tun,” kata Nia lalu memberhentikan basikal.
“Yalah. Kenapa Cik Tun naik kereta polis? Dia kena tangkapkah?” tanya Imi pula.
Mata mereka terus mengekori kereta peronda polis itu dari belakang. Akhirnya kerata peronda polis itu membelok masuk ke kawasan rumah separuh siap tempat mereka bermain istana pasir tadi.
“Eh, jom kita pergi tengok?” ajak Imi.
“Jom,”
Mereka pun berpatah balik ke rumah separa siap itu. Apabila mereka tiba, pegawai-pegawai polis dan Cik Tun telah pun masuk ke dalam rumah. Tanpa membuang masa, mereka pun menyelinap masuk. Dari sebalik timbunan beg-beg simen mereka mengintai apa yang berlaku.
            “Assalamualaikum. Boleh kami masuk?” tanya salah seorang pegawai polis dengan tegas.
            “Oh… silakan…” kata Riduan sambil membongkok sedikit tubuhnya dan ke dua-dua tangannya menghala ke dalam, bagaikan penyambut tetamu di restoren Jepun.
            Kemudian Riduan berjalan bergaya ‘catwalk’ mengelilingi pegawai-pegawai polis dan Cik Tun. Dia menggayakan coli yang dipakainya bagaikan model pertunjukkan fesyen di pentas peragaan. Cik Tun merenung tajam Riduan bagaikan mahu menelannya.
            “Hoi, ini coli aku! Mengapa kau curi coli aku hah?” jerit Cik Tun sambil menonyoh-nonyoh jari telunjuknya ke dada Riduan.
            “Ini coli aku. Kau siapa?” Riduan membantah.
            “Kurang ajar! Kau curi coli aku, mengaku kau punya hah?” marah Cik Tun sambil menarik colinya yang dipakai Riduan.
            “Tuan, ini coli saya,” kata Cik Tun pada pegawai polis.
            “Bukan. Ini coli saya tuan,” kata Riduan pula, mengajuk lenggok suara Cik Tun.
            Cik Tun bertambah geram. Dia merentap colinya yang dipakai Riduan menyebabkan cangkuk di belakang coli terlucut. Riduan segera menyambar dan menarik kembali coli itu. Mereka berlawan tarik menarik.
            Krak… Akhirnya coli itu putus dua kerana jahitan di tengah-tengah dadanya terbetas. Melihatkan coli kesayangannya putus, Cik Tun terus mengamuk bagaikan hilang akal. Dia menolak jatuh Riduan dan melompat ke atas dadanya. Cik Tun terus menumbuk muka Riduan bertubi-tubi sambil mencarut-carut bagaikan tak ingat dunia.
            Suarana riuh rendah itu menyebabkan dua orang kawan Riduan yang tengah lalok tersedar. Mereka kelam-kabut melompat keluar menerusi tingkap dan terus susup-sasap hilang ke dalam semak.
“Sudah, sudah, kakak bawa bertenang!” jerit seorang pegawai polis. Dia menarik Cik Tun untuk meleraikannya dari Riduan. Sementara seorang pegawai polis lagi menangkap dan menggari tangan Riduan.
Riduan nampaknya langsung tidak melawan. Mungkin kesan dadah yang ada di dalam badannya membuatkannya tidak berdaya. Dia hanya mampu merayu kepada pegawai polis yang memegangnya.
“Tolonglah tuan, saya orang miskin. Saya tak ada harta benda, tak ada wang ringgit. Hidup saya ibarat kais padi makan padi, kais ketam makan ketam. Susahnya hidup saya tuan,” kata Riduan sayu. Dalam keadaan begitu pun dia masih mampu melawak.
“Makan padi ke, makan ketam ke, nanti kita cerita di balai. Sekarang kamu kena ikut kami,” kata pegawai polis yang memegangnya sambil menarik Riduan ke luar dari bilik itu.
            “Habis tu, coli aku macam mana?” tanya Cik Tun tiba-tiba.
“Nah kakak ambil ni,” kata seorang pegawai polis dengan menghulurkan sebahagian lagi coli Cik Tun. “Nanti kakak balik boleh jahit untuk sambung semula,” tambahnya lagi.
Kedua-dua pegawai polis itu terus mengheret Riduan ke dalam kereta peronda. Cin Tun kelu tak terkata. Wajahnya kelihatan hampa, walaupun orang yang diburunya kini telah pun ditangkap polis.
            Setelah pegawai-pegawai polis dengan Riduan berlalu, Imi dan Nia tiba-tiba muncul dari sebalik dinding.
            “Opocot!” Cik Tun terperanjat. “Apa kamu budak-budak buat di sini? Berderau darah aku, huh. Ingatkan hantu tadi,” marah Cik Tun. Nia dan Imi ketawa kelucuan melihat Cik Tun menggelabah.
            “Basah kuyup ni, kamu main hujankah?” gerutu Cik Tun.
            “Itu coli Cik Tunkah?” Imi buat-buat tanya pula tanpa menjawab soalan Cik Tun tadi.
            “Yalah coli aku. Abang kamulah yang curi, sampai putus dua ni ha,” kata Cik Tun pada Nia sambil mengangkat kedua-dua tangan yang setiap satunya memegang sebelah daripada coli itu.
Nia hanya diam terkebil-kebil. Dia langsung tidak terkejut atau pun hairan dengan perlakuan buruk Riduan itu. Dia juga langsung tiada rasa marah atau pun sedih bila melihat abangnya itu ditangkap polis. Ini kerana dia sudah kerap sangat melihat abangnya ditangkap polis untuk dibawa ke balai. Malah abang sulungnya itu seperti tidak kisah jika dibawa menginap di ‘homestay’ besi di balai polis. Sudah seperti pergi bercuti makan angin pula.
Tanpa diminta, Cik Tun menceritakan pada mereka berdua apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya Cik Tun telah membuat laporan pada polis selepas mendapati colinya telah hilang daripada tempat yang disangkutnya sebelum dia pergi mandi.
Sebelum Cik Tun menyedari yang colinya hilang, dia terlebih dahulu melihat kelibat Riduan dalam keadaan mencurigakan sedang tergesa-gesa meninggalkan laman rumahnya. Sebab itulah dia kuat mengesyaki Riduanlah yang mencurinya.
Rupa-rupanya anak lembu yang tersesat ke rumah Cik Tun itu adalah angkara Riduan juga. Riduanlah yang menghambat anak lembu milik Jusoh itu untuk ditangkap. Namun dia menukar rancangannya selepas mendapat habuan lain, iaitu coli Cik Tun yang disangka berisi duit di dalam poketnya!