Khamis, 10 Mei 2012

Cintan Si Cilik - Bab 13


13        Cik Tun Gerudi

Riuh dan sibuk. Itulah gambaran keadaan Pasar Pekan Manir pada suatu pagi Sabtu. Tidak berbeza dengan kelazimannya pada pagi-pagi sabtu lain sebelumnya. Segala jenis orang datang dari segenap ceruk mukim Manir dan mukim-mukim berhampiran memeriahkan acara jual beli di pasar yang wujud sejak awal zaman merdeka lagi itu.
Maimun dan Rahman menyertai orang ramai berpusu-pusu menjenguk dari gerai ke gerai. Di pasar ini mereka mudah mendapatkan barang-barang basah yang segar pada harga yang murah, di samping barang-barang keperluan lain. Itulah rutin mingguan keluarga Maimun untuk mendapatkan bekalan keperluan dapur, bagi stok yang boleh bertahan antara tiga hari hingga seminggu.
Cik Tun juga turut mengikut mereka pada pagi itu. Kebiasaanya Cik Tun hanya pergi ke pasar menaiki bas, namun kerap kali juga dia menumpang Maimun dan Rahman. Rahman bukannya gemar sangat membawa Cik Tun bersama kerana Cik Tun gemar membeli terlalu banyak barang sehinggakan penuh but keretanya. Malah ruang tempat duduk pun sendat dengan barang-barangnya juga.
Lagipun Cik Tun tidak mempedulikan sangat untuk membungkus barang-barang basahnya elok-elok. Akhibatnya, ruang barang kereta Rahman sering dikotori dengan cecair lelehan dari ikan dan daging, yang mana turut memberikan aroma yang kurang menyenangkan juga. Namun untuk mengatakan tidak bila Cik Tun datang merengek untuk menumpang keretanya, juga kurang bijak. Nanti tak pasal-pasal percuma sahaja mereka jadi bahan umpatan Cik Tun pada jiran-jiran yang lain.
Cik Tun berjalan laju mendahului Maimun dan Rahman. Tiba di sebuah gerai menjual pakaian, dia berhenti dan membelek-belek baju-baju yang tergantung. Pelbagai jenis dan ukuran baju dipamerkan termasuklah pakaian-pakaian dalam wanita. Cik Tun nampaknya begitu berminat dengan sehelai coli yang berwarna coklat. Ianya diperbuat daripada fabric yang agak jarang dan ada hiasan renda-renda pula.
“Cantik kan, Maimun?” Cik Tun meminta pendapat Maimun.
“Cantik,” kata Maimun mengangguk. Dia berasa kurang selesa berdiri lama-lama di situ. Cik Tun pula belum puas-puas membelek coli itu. Segenap bucu ditiliknya. Sekejap-sekejap ditariknya bahagian coli itu di sana sini. Setiap orang yang melintas pasti memandang Cik Tun dengan perasaan jengkel. Rahman pula sudah menghilang entah ke mana.
“Boleh cuba ke dik?” tanya Cik Tun pada penjual. Mata Maimun terbeliak, sementara mulutnya melopong. Lidahnya menjadi kelu.
“Boleh kak. Apa salahnya,” jawab si penjual dengan tersenyum. Pada fikirannya Cik Tun hanya bergurau.
Namun tanpa diduga, Cik Tun menyarung coli itu dan mengenakan cangkuknya.
“Cik Tun!” jerit Maimun. Dia terkejut sakan dengan tindakan jirannya itu.
“Buka balik! Buka balik,” gesa Maimun.
“Kenapa?”
“Buka balik cepat,”
“Tak cantik ke?”
“Eeee!…” Maimun melepaskan geramnya. Kemudian dia menyusup ke celah-celah gantungan pakaian lalu menjauhkan diri daripada Cik Tun. Dia rela mengaku tak kenal akan Cik Tun daripada menjatuhkan air mukanya pada orang ramai yang lalu di situ. Cik Tun masih berpusing-pusing menggayakan coli yang diminatinya itu.
“Kalau dah berkenan tu, beli sajalah. Ini dicubanya pula,” Maimun menggerutu sendirian. Menyesal pula mengajak Cik Tun bersama tadi. Tak apa, masa balik nanti aku akan sound dia cukup-cukup, tekad hati Maimun.
“Maimun, nampak mantap tak body aku dengan coli ni? Eh, mana kau?” tanya Cik Tun dengan meninjau-ninjau sekeliling.
 “Mantap! Mantap! Akak sungguh cantik. Nampak seksi sekali. Hahaha…” sampuk tauke gerai. Rupa-rupanya dia memerhatikan gelagat Cik Tun sejak tadi lagi.
“Cubalah seluar dalam itu juga. Manalah tahu ada yang padan,” celah satu suara garau. Cik Tun berpaling. Seorang lelaki separuh umur tersengih padanya.
“Tak hingin!” Cik Tun mencebik bibir. Lantas dia membuka coli yang dicubanya.
“Dik, Akak mahu yang ini. Berapa harganya?” tanya Cik Tun.
“Barang baik mestilah mahal,” lelaki bersuara garau tadi menyampuk lagi.
“Lima belas ringgit saja kak, tapi boleh kurang lagi,” kata si penjual.
“Tak perlu kurang. Akak bayar lima belas ringgit terus,” tegas Cik Tun lalu membuka tas tangannya. Rupa-rupanya di dalam tas itu hanya ada tiga ringgit. Dia baru teringat sesuatu. Berderau darahnya. Macam mana ni? getus hatinya. Takkan nak batalkan pula pembelian itu. Lagipun lelaki bersuara garau tadi masih ada lagi di situ.
“Kenapa cik adik? Tak cukup duit ke? Saya boleh tolong belanja,” kata lelaki bersuara garau itu sinis.
Cik Tun rasa sungguh tercabar. Dia tiada pilihan lagi. Lantas dia menyeluk ke dalam baju kebayanya melalui lubang kolar, lalu menarik segumpal duit kertas.
“Wow! Simpan duit dalam baju kecik juga. Hehehe…” lelaki bersuara garau itu ketawa. Cik Tun tidak menghiraukannya. Dia menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit pada si penjual.
“Wangi duit akak. Akak bubuh bedak Johnson & Johnson ya?” tanya si penjual.
“Cepatlah,” gesa Cik Tun dengan menyerigaikan giginya.
“Eh, jangan marah kak, saya minta maaf,” kata si penjual dengan tergesa-gesa memulangkan wang baki bersama bungkusan coli tadi.
Selepas itu Cik Tun cepat-cepat meninggalkan gerai itu.

                                                                        *****

Petang itu Imi bersama Nia merayau-rayau di pinggir semak sekitar kawasan rumahnya. Dia meninjau-ninjau jikalau ada pokok kiat yang berbuah di situ. Kalau ada tak perlulah mereka pergi jauh-jauh ke kaki Bukit Pipit lagi. Namun mereka hampa. Usahkan nak jumpa buah kiat yang masak ranum, pokoknya pun tiada walau sebatang di situ.
            “Nanti kalau aku dah dewasa, aku nak tanam pokok kiat banyak-banyak. Barulah senang nak makan buah kiat,” Imi merungut. Dia menghempaskan belakangnya pada sebatang pokok melepaskan penat. Sedar tak sedar mereka telah berada hampir dengan kawasan belakang rumah Cik Tun.
            “Ada ke orang tanam pokok kiat? Pokok durian dengan rambutan adalah,” balas Nia.
            “Habis tu, macam mana ni? Nak kena pergi kaki Bukit Pipit juga ni. Tempat lain mana ada pokok kiat lagi,”
            “Aku tak kisah,”
            “Jomlah,” ajak Imi.
            “Nanti,”
            “Kenapa?”
            “Cuba dengar tu,”
            “Dengar apa?”
            “Tu, suara Cik Tun nyanyi, hehehe…” Nia tergelak kecil.
            “Eh, yelah. Jom kita pergi tengok,” Imi mengiakan. Suara Cik Tun yang unik itu mendayu-dayu dari jauh.
            “Jom. Mungkin Cik Tun tengah berkaraoke,” sambut Nia.
            Kedua-dua budak itu berjalan terhendap-hendap menghampiri dapur rumah Cik Tun. Suara nyanyian Cik Tun semakin jelas kedengaran. Bunyinya sungguh riang dan gembira.
            Dari celah tingkap naco, mereka dapat melihat Cik Tun menari-nari sambil menyanyi dengan hanya memakai coli dan kain batik sarung. Memang benar Cik Tun sedang berkaraoke, tetapi bukannya dengan mikrofon. Cik Tun menggunakan senduk sebagai ganti, yang mana bahagian pencedok yang dihalakan ke mulutnya jauh lebih besar daripada kepala mikrofon!

…Hangat-hangatnya mentari
Tak sehangatnya cintaku ini
Kepadamu yang aku kasihi
Sampai ke akhir hayat ku nanti
Bunga-bunga bunganya asmara
Harumnya mekar di dalam dada…

Begitulah lagu Amelina ‘Semakin Rindu Semakin Asyik’ yang didendangkan semula dengan sumbangnya oleh Cik Tun. Sambil melenggang dengan lemah gemalai, dia mengacau gulai dalam periuknya di atas dapur. Kemudian dia menghala semula kepala senduk itu ke mulutnya dan digoyang-goyangkan bagaikan mikrofon, sambil dia menyanyi. Selepas itu dia mengacau gulainya semula dan seterusnya dimikrofonkannya semula. Dia melakukannya berulang-ulang kali.
Dengan tak semena-mena Cik Tun melangkah setapak ke belakang dan membuat satu gelek gerudi. Wow, gaya maut!
Imi dan Nia tidak dapat lagi menahan geli di hati. Lantas mereka berlari meninggalkan dapur Cik Tun sambil menekup mulut. Setelah agak jauh, mereka berhenti di bawah sepohon jambu mawar. Dalam termengah-mengah, mereka melepaskan ketawa semahu-mahunya di situ. Imi cuba meniru gaya Cik Tun buat gelek gerudi. Namun dia jatuh terjelepok ke tanah. Mereka ketawa lagi.
            “Jom kita intai Cik Tun lagi,” ajak Nia selepas puas ketawa.
“Jom,” sahut Imi.
Sekali lagi kelihatan dua budak terhendap-hendap menghampiri tingkap dapur Cik Tun. Cik Tun tidak lagi menari riang seperti tadi. Sebaliknya dia duduk bersimpuh di lantai sambil memotong timun. Sambil itu Cik Tun mendendangkan irama sayu. Bunyinya seperti muzik latar dalam adegan sedih sebuah drama melayu di televisyen.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…” begitu asyik Cik Tun mengalunkan dengan sepenuh hati. Dia sebenarnya sedang membayangkan seorang lelaki kacak sebagai suaminya pulang ke rumah. Suaminya datang menghampirinya senyap-senyap dari belakang untuk membuat surprise. Pastinya suaminya akan terpesona bila melihat dia bergaya dengan coli baru itu.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…”
Sesekali kepala Cik Tun melentok-lentok perlahan, mengikut panjangnya alunan bait-bait melodi lagu sendunya. Dia merasakan suaminya sedang memeluk pinggangnya. Dan selepas ini sudah tentulah suaminya akan membelai rambut dan mencium pipinya pula.
“Mmm…mmmmm…mmm…mmmmmm…”
Sementara itu, Imi dan Nia tiba-tiba tergamam bila nampak seekor anak lembu memasuki pintu dapur Cik Tun yang terbuka. Entah anak lembu siapa yang tersesat itu. Anak lembu itu perlahan-lahan menghampiri Cik Tun dari belakang.
Nia mahu menjerit memberitahu pada Cik Tun. Tetapi Imi segera menekup mulut Nia. Imi berbisik pada Nia, “Biar saja. Kita tengok macam mana Cik Tun melatah nanti. Tak mungkin seekor anak lembu boleh mengapa-apakan Cik Tun. Tanduknya pun belum tumbuh”.
Nia pun membatalkan hasratnya. Kelihatan anak lembu itu menghidu-hidu kepala Cik Tun. Kemudian ia menjelirkan lidah dengan panjangnya lalu menjilat pipi Cik Tun.
Cik Tun yang masih lagi berkhayal, merasa sungguh gembira. Tak sangka angan-angannya menjadi nyata. Dia pun berpaling dengan riangnya untuk membalas ciuman ‘suaminya’ itu. Namun sedetik kemudian Cik Tun terjerit-jerit bagaikan terkena histeria! Tunggang-langgang habis besen yang berisi timun di depannya.
            Serentak itu Imi dan Nia menghambur ketawa dengan kuatnya. Sudah sekian lama perut mereka senak menahan tawa. Keadaan yang tiba-tiba riuh rendah itu menyebabkan anak lembu sungguh terkejut lalu menghambur lari keluar.
            Sebaik sahaja melihat Imi dan Nia ketawa berdekah-dekah di luar tingkap dapurnya, Cik Tun beralih menjerit dan memaki hamun mereka pula. Tanpa membuang masa, Imi dan Nia juga menghambur lari seperti anak lembu tadi. Walaupun Cik Tun tak mungkin akan mengejar mereka, bimbang juga jikalau Cik Tun membaling dengan pisau ataupun batu lesung!
            Belum sempat mereka naik ke atas jalan tar, mereka melihat Riduan sedang berjalan pantas ke arah mereka. Cepat-cepat Nia menarik tangan Imi. Mereka berselindung di sebalik perdu pokok-pokok pisang. Berdebar-debar mereka melihat Riduan melewati mereka dengan berjalan tergesa-gesa. Nampaknya Riduan tidak menghiraukan langsung akan kehadiran dua orang budak itu. Mungkin dia ada urusan lain yang lebih penting.
             Setelah kelibat Riduan hilang ke kawasan rumah Cik Tun, Imi dan Nia keluar dari tempat persembunyian. Imi berlari mendapatkan basikalnya di rumah. Setelah Imi datang semula, Nia terus mengejar dan melompat ke atas karia. Imi mengayuh basikal dengan diboncengi oleh Nia ke arah Bukit Pipit.
.           Sebaik tiba, tanpa membuang masa mereka terus memanjat dan memetik buah-buah kiat yang masak ranum itu.
            “Eh, kau jangan telan biji kiat tu Nia. Lepas pulun isi, luah balik bijinya,” kata Imi.
            “Kenapa?” tanya Nia. Dia tersenyum.
            “Nanti kamu tak boleh buang air besar,”
            “Hehehe… tak usah nak tipu. Aku tak percaya,”
            “Betul. Nanti kau tak boleh buang air besar sebab biji-biji kiat yang kau telan akan buat dubur kau tersumbat,”
            “Mana kau tahu?”
            “Aku…” Imi terhenti. Dia memandang Nia. Nia tersenyum kerepot.
            “Ooo… sebab kau dah kena ya. Hahaha…” Nia tergelak.
            “Tak adalah,” kata Imi. Dia buat-buat tak tahu dengan memilih-milih buah kiat.
            “Eleh, nak soroklah tu,” kata Nia lalu gelak mengekek. “Macam mana kamu buang air semalam?” tanya Nia lagi.
            “Abah tolong korekkan,” kata Imi perlahan.
            “Abah kau yang tolong korekkan? Hahahaha…” Nia tertawa besar sehingga menyebabkan dahan yang didudukinya terhingguk-hingguk.
            “Eleh, gelakkan orang lebih-lebih. Habis tu kau pula macam mana? Mesti Pak Kadir tolong korek juga kan?” Imi teresa disenda-sendakan.
            “Mana ada. Aku buang air macam biasalah. Mana ada tersumbat-sumbat macam kau,” kata Nia.
            “Tak usah nak tipu. Kau pun telan juga biji kiat hari tu,”
            “Memang aku telan biji kiat. Tapi buang air ok je, tak ada masalah pun…”
            “Eh, ye ke kau buang air tak ada masalah? Luasnya kau punya lu…”
            Belum sempat Imi menghabiskan ayatnya, Nia telah menampar bahunya.
            “Jahatnya mulut kau. Eee… tak nak kawan dengan kau lagi,” Nia memuncungkan mulutnya.
            “Dah tu, biji kiat tu kau kunyah sampai hancur ke?”
            “Ayah bawa aku pergi kliniklah. Doktor beri minum air ubat. Selepas pulang ke rumah, aku pun boleh buang airlah,” jelas Nia.
            “Oh, kau pergi klinik. Kalaulah abah bawa aku pergi klinik juga kan bagus. Ini tak, disuruhnya aku berendam dalam besen dari subuh hingga nak tengah hari. Akhirnya kena korek juga. Sakitnya tak usah cakaplah,” Imi merungut-rungut.
            “Aku pun kena berendam juga pada malam tu, tapi tak lama macam kau. Ayah bercadang nak membawa berubat dengan Bomoh Pak Mail Kubur, tetapi mak bantah. Mak kata lebih elok kalau pergi ke klinik,”
            “Kau mesti nangis kan?” teka Imi.
            “Nangislah. Sakit tau,”
            “Masa di klinik, doktor cakap jangan telan biji kiat lagi. Kalau tak, doktor nak sedut pakai mesin vakum jika tak boleh buang air besar sekali lagi,” kata Nia.
            “Sedut pakai mesin vakum? Hahaha…” Imi ketawa.
            “Lagi baik dari kena korek, hahaha…” Nia pula yang ketawa.
            “Eh, macam mana pula dengan Fadli?” tanya Imi.
            “Petang semalam aku ada pergi ke rumah Fadli, tapi Fadli tak nak keluar dari bilik. Dia malu sebab ayah dia cakap, duburnya berdarah,”
            “Sampai berdarah?”
            “Iye. Dia teran juga walaupun keras. Dia malu nak cakap pada ayah dan emaknya. Akhirnya dia dapat keluarkan juga biji-biji kiat yang dia telan. Itupun selepas berjam meneran, sampai duburnya koyak,”
            “Dubur Fadli koyak? Hahaha…”
            “Pada mulanya Fadli nak merahsiaknnya, tapi bila emaknya nampak ada tompokan-tompokan darah pada kain tualanya, Fadli terpaksa beritahu juga,”
.           “Ayah Fadli kata, itulah akhibat menyorak dan mentertawakan Din Bisu yang sedang buang air,” kata Nia lagi.
Mungkin juga... Balasan yang tuhan berikan sungguh aib sekali. Bahana sekodeng Din Bisu berak, budak-budak bertiga itu tidak boleh berak pula. Wallahualam. Hahaha…