Sabtu, 30 Jun 2012

Madu Tiga Suku - Bab 15


15.  Sampel Eksperimen Makhluk Asing
            Daerah Marang baru sahaja ditinggalkan oleh Jamilkhir. Kini dia memasuki Daerah Hulu Terengganu dengan memandu kereta Proton Perdananya. Pemanduannya kini hanya sekitar kelajuan enam puluh kilometer sejam sahaja. Ini kerana dia terpaksa mengekori kenderaan berat lain di hadapan. Jalan empat lorong sudah bertukar kepada dua lorong. Tiada peluang baginya untuk memotong kerana lorong sebelah kanan pun sama juga keadaan sesaknya.
            Tiba di persimpangan di pekan Ajil, dia masuk ke simpang kiri, iaitu jalan ke arah Dungun dan Kuantan. Jalan ini mempunyai banyak selekoh dan melalui tanah beralun. Jadi, Jamilkhir tidak dapat juga memecut dengan lebih laju. Dia terus memandu sehingga ke Kampung Bukit Diman di mana terdapat satu simpang tiga di situ. Jamilkhir membelokkan keretanya ke kanan.
            Sekarang dia boleh menambah sedikit kelajuan keretanya walaupun jalan sempit, tetapi kenderaan sangat kurang melaluinya. Selepas melewati kawasan tanah pertanian, Jamilkhir melalui Kampung Macang, Kua, Pengkalan Ajal, Matang dan Bukit Mengawan. Tiba di simpang Kampung Menerong, Jamilkhir membelok ke kanan mengikut papan tanda yang menunjukkan itulah jalan menuju ke Kampung Betong yang sejauh lima kilometer, di mana satu kelompok masyarakat orang asli di tempatkan.
            Selepas melewati Sekolah Rendah Menerong, kereta Jamilkhir memasuki ladang kelapa sawit. Jalannya bengkang-bengkok yang tajam dengan mendaki dan menuruni bukit yang curam. Kesukaran ini ditambah lagi dengan ketiadaan papan tanda jalan penunjuk arah. Banyak simpang yang Jamilkhir temui. Dia terpaksa meneka sahaja lorong mana yang harus dilaluinya kerana tiada sesiapa pun yang dijumpainya untuk bertanya.
            Jamilkhir tidak menyedari yang dia telah memasuki lorong yang salah. Lorong yang dilaluinya kini menghala ke arah hutan belantara. Keadaan jalan ini amat teruk dengan banyak bahagian jalan yang pecah membentuk lopak-lopak air dan lubang-lubang dalam. Mungkin jalan ini digunakan oleh jentera berat dan lori-lori pengangkut kayu balak sahaja.
            Jamilkhir hilang pedoman. Dia bertawakal sahaja dan berdoa agar cepat-cepat tiba di Kampung Betong memandangkan senja sudah menjelang tiba. Tiada lagi pokok-pokok kelapa sawit di kiri dan kanan jalan yang dilaluinya kini. Semuanya sudah bertukar menjadi pokok-pokok kayu besar hutan dara.
            Akhirnya Jamilkhir memutuskan untuk berpatah balik sahaja. Dalam berkira-kira mencari tempat yang luas untuk membuat pusingan U, tiba-tiba Jamilkhir ternampak tembok batu yang merintangi jalan itu tidak jauh di depan. Dalam kesamaran senja itu dia tidak pasti apakah binaan itu sebenarnya, tetapi mengagak itulah penempatan orang asli yang ditujuinya.
            Sampai di depan binaan itu, Jamilkhir memberhentikan keretanya dan keluar. Setelah menggeliat seketika, dia mengamati binaan batu itu. Rupa-rupanya ia adalah sebuah pintu gerbang yang besar dan bersambung dengan tembok yang panjang di kiri dan kanannya. Tiada apa pun label atau tulisan yang menyatakan tempat apakah itu.
            “Hebat kampung orang asli ini, siap ada tembok batu yang tinggi di sekeliling kampung,” kata Jamilkhir sendirian. “Mungkin sebagai langkah keselamatan. Maklumlah tinggal di dalam hutan ini banyak bahayanya. Binatang buas banyak,” katanya lagi.
            “Tapi, macam mana aku nak masuk ke kampung ini?” Jamilkhir menggaru-garu kepalanya. Tiada sesiapa pun yang dilihatnya di situ.
            “Pukul berapa pula pintu gerbang ini akan di buka? Mungkin dibuka pada office hour sahaja tak?” Jamilkhir meneka.
            “Tapi, takkanlah aku kena tunggu di sini sampai pagi esok,” keluhnya lagi.
            “Assalamualaikum!” Jamilkhir melaung. Suaranya dituruti dengan gema pantulan daripada pokok-pokok hutan yang sahut-menyahut, semakin lama semakin perlahan.
            “Assalamualaikum! Ada sesiapakah di sini?” laung Jamilkhir lagi. Tiada sebarang sahutan balas yang didengarinya. Hanya bunyi cengkerik dan unggas-unggas hutan yang lain kedengaran.
            Nampaknya Jamilkhir tiada pilihan lain lagi. Dia terpaksa berpatah balik keluar dari hutan itu sebelum malam gelap pekat. Dia harus mencari tempat penginapan di pekan yang berhampiran malam ini. Dia bercadang akan datang semula ke sini esok pagi.
            Semasa Jamilkhir memulas kunci untuk menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba bumi terasa bergegar. Jamilkhir sungguh terperanjat. Cepat-cepat dia mematikan enjin kereta. Gegaran bumi berhenti serta-merta. Rasa pelik memenuhi fikiran Jamilkhir. Mengapa begitu dahsyat enjin kereta ini hinggakan mampu menggegarkan bumi? Jamilkhir meninjau-ninjau keadaan dalam kereta. Tiada apa-apa yang luar biasa dilihatnya. Begitu juga dengan keadaan luar sekeliling kereta. Juga sama seperti tadi. Hanya suasana semakin kelam.
            Tiba-tiba Jamilkhir berasa seram. Bulu tengkuknya meremang. Dia mengesyaki ada sesuatu yang sedang mengganggunya. Apa yang dia patut buat sekarang? Ya, keluar dari tempat itu secepat yang boleh.
            Jamilkhir membaca doa-doa yang terlintas di kepalanya. Kemudian dia menarik nafas panjang sebelum memulas kunci keretanya sekali lagi. Enjin kereta hidup serentak dengan gegaran bumi, seperti yang dijangkakan. Selepas memasukkan gear maju, Jamilkhir baru ternampak yang pintu gerbang batu besar itu bergerak. Rupa-rupanya pintu gerbang itulah yang membuatkan bumi bergegar, bukannya enjin kereta!
            Rasa takut Jamilkhir mengendur. Timbul pula rasa ingin tahunya. Pintu gerbang itu terbuka semakin lama semakin luas, sehingga Jamilkhir dapat melihat kawasan di dalamnya. Alang-alang enjin keretanya sudah hidup dan gear pun sudah di posisi ‘D’. Jamilkhir terus memandu keretanya memasuki pintu gerbang itu.
            Ruang dalam pintu gebang itu amat besar tetapi mempunyai bumbung, bagaikan sebuah hangar kapal terbang. Ditengah-tengah kawasan itu terdapat satu objek berbentuk cakera gergasi yang mempunyai kaki menongkat ke tanah untuk menstabilkan kedudukannya.
            “Kampung orang asli daripada suku kaum apa ini?” Jamilkhir bertanya sendirian.
            Jamilkhir memberhentikan keretanya berhampiran dengan cakera gergasi tersebut. Tiba-tiba satu sisi bahagian bawah cakera tersebut terbuka. Serentak itu cahaya yang menyilaukan mata terpancar dari dalamnya. Kemudian satu objek panjang menjulur keluar dari dalamnya membentuk tangga.
            Kelihatan tiga lembaga menyerupai manusia keluar dari lubang itu dan berjalan beriringan menuruni tangga. Mereka berjalan menuju ke arah kereta Jamilkhir. Jamilkhir menekan pedal minyak untuk melarikan diri. Keretanya menderam kuat, tetapi tidak bergerak. Lembaga-lembaga itu semakin hampir padanya.
            Bila ketiga tiga lembaga itu berdiri di tepi kereta, dapatlah Jamilkhir melihat dengan lebih jelas wajah mereka. Mereka mempunyai anggota tubuh yang lengkap seperti manusia. Ada tangan, kaki, telinga, mata, hidung dan lain-lain lagi. Namun saiz dan bentuk anggota-anggota mereka agak ganjil.
            Mata mereka terlalu besar bagaikan bola tenis dan hanya berwarna hitam, tiada warna putih. Telinga mereka capang dan menggelembir macam telinga gajah. Tiada bentuk hidung, tetapi terdapat dua lubang kecil di atas mulut. Mulut mereka juga lebih kecil berbanding saiz mulut manusia. Kepala mereka besar dengan leher yang kecil dan panjang. Begitu juga dengan tubuh, tangan, kaki dan jari mereka. Semuanya kecil-kecil dan panjang-panjang.
            “Ini bukannya orang asli spesis manusia. Ini makhluk asing punya orang asli!” jerit Jamilkhir cemas.
            Salah seorang daripada mereka menyentuh kereta Jamilkhir. Enjin kereta berhenti tiba-tiba. Kemudian dia menarik pemegang pintu, dan pintu itu terbuka. Aneh sungguh! Semua pintu kereta Jamilkhir menggunakan sistem central lock, di mana semua pintu tidak boleh dibuka dari luar mahupun dari dalam sekiranya pemandu mengunci central lock.
            Jamilkhir menggeletar bila pintu di tepinya terkuak luas. Dua lembaga itu memegang bahu dan tangan Jamilkhir. Jamilkhir rasa tubuhnya menjadi lemah lembik tiba-tiba. Mereka menarik Jamilkhir keluar dari kereta dan terus mengheretnya menaiki cakera gergasi itu. Jamilkhir terpaksa menurut kerana tidak berdaya langsung melawan.
            Dalam pada itu, Jamilkhir mendengar lembaga-lembaga tu bercakap sesama mereka dalam bahasa yang sungguh aneh. Macam-macam bunyi keluar. Ada bunyi macam kerbau dan ada bunyi macam ayam belanda. Bunyi macam hon penjaja ikan pun ada. Kombinasi bunyi-bunyi itu membentuk bunyi yang sungguh melucukan.
            Ruang di dalam cakera gergasi itu kelihatan seperti kokpit pesawat, penuh dengan papan panel dan skrin monitor dengan pelbagai warna dan paparan. Jamilkhir dibawa ke sebuah bilik kaca. Dia dibaringkan di atas satu meja khas. Tangan, kaki, perut dan kepalanya segera dilingkari dengan pemegang besi dan dikunci.
            Tiba-tiba Jamilkhir berasa satu aliran elektrik mengalir dari pemegang-pemegang besi itu ke tubuhnya. Aliran arus elektrik itu cuma kira-kira dua saat, tetapi ia membuatkan tubuh Jamilkhir terenjat. Tenaga tubuh Jamilkhir datang semula seperti biasa. Namun dia sudah tidak boleh berbuat apa-apa kerana seluruh tubuhnya dibelenggu dengan pemegang besi yang sangat kukuh.
            “Woi! Lepaskan aku!” jerit Jamilkhir.
            “Lepaskan aku binatang! Lepaskan aku!” jerit Jamilkhir lagi.
            Jamilkhir terus menjerit sehingga serak suaranya, namun tidak langsung dihiraukan oleh lembaga-lembaga asing itu. Akhirnya Jamilkhir keletihan dan tertidur.
            Apabila terjaga semula, Jamilkhir mendapati dirinya sudah dibogelkan. Tiada satu pun pakaiannya yang tinggal, tetapi pemegang-pemegang besi tetap mengikat anggota tubuhnya. Ketiga-tiga lembaga asing itu berada di sekelilingnya. Mereka memotong beberapa helai rambut Jamilkhir dan memasukkannya ke dalam bekas kaca dan ditutup. Bekas kaca yang kelihatan seperti tabung uji itu di letakkan pada raknya bersama-sama tabung-tabung uji yang lain.
            Kuku pada jari tangan dan kaki Jamilkhir juga dipotong dan dimasukkan ke dalam tabung uji. Entah apa yang mereka hendak lakukan dengan cebisan kuku dan rambutnya itu. Mungkin mahu dibuat sampel ujikaji makmal agaknya, fikir Jamilkhir. Radas-radas yang mereka gunakan kelihatan sungguh hebat dan canggih.
            Selepas itu salah seorang lembaga membuka mulut Jamilkhir lalu seorang lagi menghulurkan hujung sebuah pipettes ke anak tekaknya. Badan pipette itu dipicit dan dilepaskan semula dengan air liur Jamilkhir disedut masuk ke dalamnya. Sampel air liur itu juga kemudiannya diisi ke dalam tabung uji juga.
            Dengan menggunakan sebatang spatula, salah seorang lembaga asing itu mengikis bahagian dalam lubang hidung Jamilkhir. Kemudian dia mengutip sampel tahi hidung itu dengan menggunakan forcep untuk dikumpulkan ke dalam tabung uji. Cara yang sama digunakan oleh lembaga asing itu untuk mendapatkan sampel tahi telinga Jamilkhir. Perit sungguh lubang telinganya apabila dirodok-rodok.
            Dengan suara yang serak, Jamilkhir merayu-rayu agar tidak diperlakukan begitu dan dia dilepaskan. Namun tidak diendahkan. Barangkali mereka tidak memahami bahasa percakapan manusia, detik hati Jamilkhir.
            Ajal mula terbayang di mata Jamilkhir apabila lembaga itu mencucuk lengannya dengan picagari untuk diambil sampel darah. Apalagi bila dia dipaksa mengangakan mulut dan sebatang gigi gerahamnya di cabut. Meraung-raunglah dia menahan kesakitan. Jamilkhir mula terfikir, nanti entah apa lagi yang akan dicabut dan entah di mana lagi bahagian badannya akan dicucuk oleh lembaga asing durjana itu untuk dibuat sampel. Kalau dicungkil matanya nanti, tidakkah naya? Jamilkhir hanya mampu berdoa dihalam hati.
            Di sebabkan Jamilkhir  tidak memakai apa-apa pun, angin dengan mudah memasuki perutnya. Tiba di satu ketika, Jamilkhir tidak dapat menahan beban tekanan dalam ‘ekzos’nya lagi. Dia pun melepaskan sebiji kentut dengan kuat. Ketiga-tiga lembaga itu terkejut dan terjerit kecil. Air muka mereka menggambarkan perasaan yang sungguh cemas. Kenapa pula mereka takut bila aku kentut? Jamilkhir bertanya dalam hati. Tiba-tiba Jamilkhir mendapat satu akal.
            “Tolonglah, aku nak buang air ni. Dari semalam lagi aku belum buang air. Tolonglah, aku sudah tak tahan ni….” Jamilkhir merayu.
            Yang menakjubkan Jamilkhir, lembaga-lembaga asing itu berhenti membuat kerja masing-masing dan berbincang sesama sendiri dengan serius. Sebentar kemudian mereka membuka pemegang-pemegang besi yang membelenggu tubuh Jamilkhir. Eh, mereka faham pula maksud aku, kata hati Jamilkhir.
            Sebaik sahaja Jamilkhir turun daripada tempatnya berbaring, salah seorang lembaga asing itu memberikannya dua buah bikar berisipadu lima ratus mililiter. Lembaga itu menjelaskan tujuan dua biji bikar berpenutup kedap udara itu diberikan dengan menggunakan isyarat tangan yang digerakkan di sekitar abdomennya. Fahamlah Jamilkhir bahawa lembaga itu mahukan dia memberi sampel najis dan air kencingnya pula.
            Jamilkhir pun dibawa keluar daripada cakera gergasi itu dan seterusnya keluar melepasi pintu gerbang batu. Jamilkhir dilepaskan dan dibiarkan menyelinap ke celah-celah semak hutan untuk melepaskan hajatnya. Apabila kedudukannya sudah terlindung daripada pengelihatan lembaga-lembaga asing itu, Jamilkhir melangkah semakin cepat. Akhirnya dia berlari sepantas yang terdaya menjauhi kawasan itu.
            Hajatnya untuk membuang air ditangguhkan dahulu walaupun perutnya semakin senak. Akhirnya dia tidak berdaya lagi menahan isi perutnya yang menyentap-nyentap mahu keluar itu lalu terbaraiah ia keluar dalam masa Jamilkhir berlari, bertaburan di sepanjang laluannya.
            Jamilkhir terus berlari sehingga tiba di satu tempat di mana dia tidak menyedari di depannya ada tebing sungai yang tinggi. Dia langsung terjatuh dari tebing itu dan terhempas ke atas sebiji batu besar, yang menyebabkan lengan kirinya patah. Dia akhirnya diselamatkan oleh seorang lelaki orang asli yang kebetulan ada menjala ikan di sungai itu.
            “Begitulah kisahnya bagaimana tangan abang ini patah, Nina. Sedihkan?” kata Jamilkhir pada Hasnina yang kelihatan tekun mendengar ceritanya.
            Hari ini Jamilkhir pulang ke rumah Hasnina dengan ditemani oleh Razi juga. . Kali ini seluruh tangan kirinya pula yang berbalut, bukan lagi kepalanya seperti di rumah Liafara semalam.
            “Sedih tak Razi?” Jamilkhir menghala pertanyaan pada Razi pula apabila melihat Hasnina hanya terpaku tanpa sebarang reaksi balas.
            “Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…” nyanyi Razi seperti biasa.
            “Ha, tengok. Razi pun kasihan pada abang,” kata Jamilkhir.
            “Tapi kalau abang berlari pulang dan diselamatkan oleh orang asli, bila masanya dan bagaimana abang pergi mengambil semula kereta abang di tempat makhluk asing tu?” tanya Hasnina.
            Jamilkhir terdiam buntu. Tidak disangkanya, cerita yang begitu rapi sekali direka olehnya bersama Razi itu ada juga lopong yang meragukan. Mereka sudah merancang bersungguh-sungguh setelah Jamilkhir kantoi juga dengan Liafara semalam.
            Cerdik sungguh si Hasnina ini menilai kebenaran cerita Jamilkhir. Walaupun dia amat sayang dan rindukan Jamilkhir, rasa simpatinya terhadap cerita kemalangan Jamilkhir itu tidaklah nampak ketara sangat.
            “Er… keesokannya, abang buat laporan ke balai polis dan ajak mereka pergi ke tempat makhluk asing itu untuk mengambil semula kereta abang,” jelas Jamilkhir.
            “Tidak apalah sayang. Sekarang sayang lupakan cerita itu. Abang nak pergi mandi ini. Razi, kamu boleh pulang sekarang,” kata Jamilkhir akhirnya.
            “Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…” nyanyi Razi lalu beredar pergi.
            Sewaktu Hasnina masuk ke bilik air selepas penat memasak maghrib itu, dia terjumpa sarung tangan simen yang digunakan oleh Jamilkhir membalut lengannya di atas meja sinki. Dia segera membawa sarung tangan simen itu untuk dipakaikan kepada suaminya.
            Namun Hasnina terkejut apabila dari belakang dia melihat tangan Jamilkhir elok sahaja, tiada kecederaan apa-apa. Malah Jamilkhir boleh menyarung baju dan kain pelikatnya sendiri tanpa masalah apabila diperhatikan oleh Hasnina secara tersembunyi di sebalik langsir. Jamilkhir juga menyikat rambutnya sambil menyanyi-nyanyi riang, bagaikan tiada langsung rasa sakit yang dialaminya.
            “Alamak, terlupa nak pakai sarung lengan,” kata Jamilkhir tiba-tiba dengan menepuk dahi. Dia terus bergegas ke bilik air untuk mendapatkan sarung lengan simennya.
            Namun dia terpernjat besar apabila langsir pintu bilik air di selak. Tidak termampu berkata apa-apa Jamilkhir apabila melihat Hasnina tercegat di situ sambil memegang sarung tangan simennya. Dia tidak dapat menyelamatkan diri lagi!
            “Abang jangan tipu Nina. Dari tadi lagi Nina meragui cerita abang ditangkap makhluk asing. Sekarang baik abang cakap, kemana abang menghilangkan diri,” tekan Hasnina. Matanya membulat-bulat berapi bagaikan mata naga.
            “Er… abang pergi rumah Kak Fara, Nina. Abang terpaksa berbohong pada Nina, di atas permintaan Kak Fara juga. Maafkanlah abang. Abang terpaksa buat begini sebab Kak Fara kamu tidak berapa sihat tiga empat hari lepas. Abang terpaksa berikan dia lebih perhatian sikit,” Jamilkhir tepaksa membuat pengakuan bohong dengan menjual nama Liafara untuk mengelakkan rahsia yang lebih besar terbongkar.

Isnin, 25 Jun 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 15


15.      Pertandingan Teka-teki Perdana
            Keadaan Parti Parang di Parlimen Kangkung Jaya sudah menjadi tidak terkawal lagi. Bermula dengan persaingan peribadi Dato’ Kontot dan YB Sumbing dalam merebut jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya, merebak pula kepada penyokong-penyokong masing-masing. Pertarungan di antara Geng Parang Kontot dan Geng Parang Sumbing lebih hebat dan dahsyat. Mereka saling sabotaj mensabotaj antara satu sama lain sehingga ada tindakan yang dilakukan di luar jangka fikiran.
            Walaupun berada di bawah naungan parti yang sama, mereka bagaikan sudah putus saudara. Geng Parang Sumbing bersembahyang jemaah di masjid, manakala Geng Parang Kontot bersembahyang di surau persendirian. Perkahwinan anak-anak muda, hatta orang tua sekali pun di antara dua puak ini dilarang keras. Jika berdegil juga, maka putuslah hubungan anak dan ayah. Ada kes bapa enggan menjadi wali anaknya gara-gara perbezaan puak ini.
            Inilah gaya permusuhan politik bagi orang-orang kampung yang cetek pemikiran, tetapi tinggi pula egonya. Sikap ketaksuban melampau pada pemimpin ini bagaikan barah yang tidak dapat dirawat lagi. Tahi lembu kering pun, jika dikatakan oleh pemimpin mereka itu adalah pizza keju, akan terus dimakan tanpa dakwa-dakwi lagi. Padahal daripada warna sahaja mereka sudah boleh bezakan, satu hitam dan yang satu lagi kuning.
            Sentimen antara penyokong cukup teruk. Pantang berselisih sahaja, jikalau berlainan puak, menjeling pun tidak. Apa lagi hendak tegur dan bertanya khabar. Sedangkan pemimpin mereka tidaklah seteruk itu. Dalam keghairahan bersaing pun, YB Sumbing dan Dato’ Kontot boleh lagi duduk makan semeja sambil bersembang. Seperti pada suatu petang, di sebuah Coffee House di pusat bandar, dua tokoh setempat itu enak menikmati capucino Colombia.
                “Kita berkempen ini biarlah ibarat menarik rambut dari dalam tempurung, Dato’,” kata YB Sumbing dengan tenang.
            “Dalam tepung, YB,” Dato’ Kontot memperbetulkan.
            “Ah, ya... Tarik rambut dari dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung pun tidak berselerak. Sama-sama selamat, sama-sama dapat untung,” sahut YB Sumbing mengakui kesilapan membuat kata bidalan.
            “Situasi menang menang, maksud YB?” soal Dato’ Kontot.
            YB Sumbing mengangguk.
            Dato’ Kontot tersenyum tawar. “Mana ada sitiuasi menang menang, YB. Yang perlu menangnya hanya seorang sahaja. Kalau dua-dua menang, itu bukan menang namannya. Itu seri. Kalau seri, takkan kedua-dua kita boleh jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya bersama-sama,” ujarnya.
            “Bukan dua-dua jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya. Maksud saya, Dato’ beri laluan pada saya. Selepas itu Dato’ boleh menjadi mentor pada saya untuk memimpin bahagian ini,” terang YB Sumbing.
            Dato’ Kontot tertawa pula bila mendengar saranan itu. “Saya ada cadangan yang lagi bagus,” katanya beberapa ketika kemudian.
            “Apa cadangan Dato’?” soal YB Sumbing segera.    
            “Nampaknya YB macam berminat. Baiklah, pembantu saya akan menerangkan dengan terperinci tawaran saya ini,” kata Dato’ Kontot lalu memanggil Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul datang ke meja mereka.
            “YB berundinglah dengan mereka dulu. Saya mahu ke bilik air sekejap,” ujar Dato’ Kontot lalu bangun dan melangkah pergi.
            “Hmm… apa cadangannya?” tanya YB Sumbing pada penyamun-penyamun itu.
            “Begini… YB tidak perlu susah-susah lagi turun ke segenap ceruk kampung berkempen siang malam. Kami ada cara lagi senang. Tawaran istimewa ini khas untuk YB saja. Sekarang mari kita mulakan rundingan untuk tawaran istimewa ini,” kata Penyamun Kuali.
            YB Sumbing memperbetulkan sandarnya. “Tak perlu. Kalau setakat kamu nak sogok aku dua tiga ringgit supaya tidak bertanding nanti, tak payahlah. Aku tak kebulur duit kamu. Kalau kamu sudah ada banyak sangat duit sampai tidak tahu nak buat apa, beri kepada orang-orang kampung seorang sedikit untuk dibuat modal usaha niaga ataupun belanja anak sekolah,” katanya yang awal-awal lagi menolak untuk menerima umpan berbau rasuah itu.
            “Eh, YB sudah salah faham. Tawaran kami tiada kaitan dengan wang. Itu semua rasuah. Kami mahu tawarkan pada YB untuk berlawan dengan Dato’ Kontot dalam pertandingan teka-teki perdana. Di tempat-tempat lain, mereka mengadakan debat perdana. Tetapi kami fikir cara itu tidak berfaedah dan buang masa. Lebih baik dibuat pertandingan teka-teki yang lebih mudah dan seronok,” terang Penyamun Mata Cangkul pula.
            YB Sumbing mendengar tawaran itu dengan penuh teliti dan waspada. Pasti ada perangkap yang menantinya dipasang di mana-mana.
            “Pertandingan teka-teki macam mana itu?” YB Sumbing terus bertanya.
            “Kalau YB bersama Geng Parang Sumbing dapat menjawab soalan teka-teki yang akan kami kemukakan nanti, jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan Dato’ Kontot serahkah pada YB serta-merta tanpa syarat. Pemilihan Parti pun tidak perlu dibuat nanti,” giliran Penyamun Kuali pula menerangkan.
            “Wah! Benarkah begitu?” tanya YB Sumbing yang nampaknya teruja.
            “Benar. Jika YB bersetuju, kita akan buat MOU. YB dan Dato’ Kontot perlu turunkan tandatangan,” kata Penyamun Mata Cangkul.
            “Nanti dulu. Itu kalau saya menang. Jikalau saya kalah, macam mana pula?” YB Sumbing menahan.
            “Kalau Dato’ Kontot yang menang, beliau akan terus menyandang jawatan ini untuk penggal depan tanpa perlu bertanding juga,” jelas Penyamun Kuali.
            YB Sumbing mengerutkan dahinya. Wajahnya berubah serius kembali. Dia merenung Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul di depannya itu bersilih ganti.
            “Jangan bimbang, Bila YB pulang nanti, YB fikirlah dulu. Berikan keputusan sama ada YB setuju atau tidak pada esok hari,” kata Penyamun Mata Cangkul akhirnya.
            Malam itu YB Sumbing memikirkan kembali tawaran Dato’ Kontot. Setakat berteka-teki apalah sangat susahnya berbanding berkempen ke sana sini. Masa dan tenaga tidak terbuang dan duit dapat dijimatkan dengan banyak. Lebih baik duit itu dibuat melancong nanti daripada ditabur kepada orang kampung yang belum tentu akan menyokongnya. Lagipun dia tidak berseorangan dalam pertandingan teka-teki ini. Anggota-anggota Geng Parang Sumbing yang bijak pandai pasti akan membantunya.
            Tiba-tiba YB Sumbing teringat akan Pak Belukang. Ya, Pak Belukang adalah seorang ahli nujum yang hebat. Dengan kuasa hipnosisnya, Seri Ayu yang hilang dapat ditemui. Sudah tentu Pak Belukang juga boleh membuat hipnosis mencari jawapan teka-teki nanti. Dia sudah berkira-kira untuk menggunakan Pak Belukang untuk menghadapi Dato’ Kontot dan dua orang penyamun itu dalam pertandingan teka-teki itu nanti.
            Keesokannya, YB Sumbing terus menyatakan persetujuannya untuk menyahut cabaran bertanding teka-teki pada Dato’ Kontot. Bagaimanapun YB Sumbing tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada Pak Belukang. Sepatutnya mereka berdua perlu berbincang dahulu tentang kemampuan mereka sebelum persetujuan diberikan.
            Dato’ Kontot pula tersenyum lebar mendengar kesediaan timbalannya itu. Perangkap yang dipasangnya mula menghidu mangsa. Masing-masing menurunkan tandatangan pada sekeping kertas perjanjian. Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul bertindak menjadi saksi.
            “Bagus YB, bagus... Terima kasih kerana sudi menyahut cabaran saya,” puji Dato’ Kontot.
            “Bila mahu dibuat pertandingan teka teki itu dan di mana?” tanya YB Sumbing.
            “Kami akan memberi soalan teka-teki itu sekarang. YB ada masa tiga hari untuk mencari jawapannya. Selepas tiga hari nanti, YB perlu menjawab teka-teki ini di balairaya Kampung Kangkung Kering dengan disaksikan oleh orang ramai,” kata Penyamun Kuali.
            Dato’ Kontot hanya tersengih. Tunggulah, engkau akan dimalukan di hadapan orang ramai itu, ujarnya dalam hati.
            “Baiklah, apakah soalan teka-teki itu?” tanya YB Sumbing dengan penuh yakin. Dia tidak mahu membuang banyak masa lagi.
            “Soalan pertama. Dalam kelam malam jumaat lagi sunyi, kalau YB terlihat sebungkus lembaga yang melompat-lompat, itulah pocong. Kalau terjumpa lembaga yang setinggi pokok kelapa, itulah hantu galah. Kalau benda berpakaian putih melintas laju di depan mata tanpa kakinya jejak ke tanah, itu apa dia?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            YB Sumbing hanya mengangguk sambil tersenyum. “Soalan ke dua?” tanyanya.
            “Soalan ke dua... Matanya di dinding, mulutnya di dinding  dan hidungnya di dinding. Apa itu?” tanya Penyamun Kuali pula.
            “Baiklah. Soalan ke tiga?” tanya YB Sumbing dengan tersenyum lagi.
            “Soalan ke tiga… Ada sebuah keretapi yang panjang berhenti. Kedua-dua hujungnya tidak nampak. Hujung yang sebelah mana kepalanya? Dan hujung yang sebelah mana ekornya pula?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Hmm… Soalan ke empat?” tanya YB Sumbing bagaikan mengejek pula.
            “Soalan ke empat... Satu, panjang. Dua, pendek-pendek. Tiga, ketot-ketot. Empat, kecut-kecut. Apakah itu?” tanya Penyamun Kuali.
            “Beres… Soalan ke lima?” tanya YB Sumbing lagi yang nampaknya yakin sungguh.
            “Itulah sahaja empat soalan teka-teki yang perlu YB jawab. Pastikan semua jawapan YB betul untuk memenangi kerusi Pengetua Parang Kangkung Jaya ini,” ujar Dato’ Kontot yang sejak tadi membatu. Dia jelik dengan lagak wakil rakyat yang seperti memperkecil-kecilkan cabaran teka-tekinya. Sekarang engkau bolehlah tunjuk sombong, tiga hari lagi aku hendak tengok rupa muka engkau macam mana, cemuh Dato’ Kontot dalam hati.
            “Baiklah, saya akan berikan jawapan yang tepat tiga hari lagi. Dan pada hari itu juga nanti jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan jatuh ke tangan saya,” kata YB Sumbing sebelum pergi.
                                                                        *****
            Pak Belukang terkejut beruk bila YB Sumbing memberitahunya perihal pertandingan teka-teki perdana itu. Dia sungguh kesal kerana YB Sumbing bertidak menyetujuinya tanpa berbincang dengan Geng Parang Sumbing terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi padanya, yang mana telah ditugaskan untuk mencari jawapan pada teka-teki mengarut itu. Parah!
            Begitulah kebanyakan sikap ahli-ahli politik yang berotak sengal. Sengaja mencari masalah yang tidak patut. Selepas itu dikerahkan pula orang-orang bawahan menyelesaikan masalah itu untuk kepentingan dirinya sendiri. Akhirnya dia yang dapat nama.
            “Kita ada masa tiga hari lagi. Saya harap itu sudah cukup untuk Pak Belukang buat hipnosis mencari jawapannya,” kata YB Sumbing.
            “Tiga hari…” kata-kata Pak Belukang terputus. Dia serba salah.
            “Kenapa Pak Belukang? Ada apa-apa masalah?” tanya YB Sumbing.
            “Eh, Err… tiada. Tiada masalah,” kata Pak Belukang tergagap-gagap.
            Apa hendak dibuat ini? keluh hati Pak Belukang. Fikrannya buntu. Kalau dia berterus-terang, sudah tentu nahas menanti. Kalau diusahakan mencari jawapannya, dia tidak yakin. Siapa yang tahu jawapan itu selain daripada Dato’ Kontot dan dua penyamunnya? Sempatkah dia mencarinya dalam masa tiga hari? Hendak ditanya pada siapa? Pergi bertanya pada orang kampung seorang demi seorangkah? Mustahil. Haprak sangat nampaknya kalau Ahli Nujum tersohor berbuat begitu.
            “Kalau begitu, saya serahkan sepenuhnya pada Pak Belukang. Kalau kita menang pertandingan teka-teki ini, saya terus dapat jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya secara automatik. Pak Belukang juga saya akan lantik menjadi timbalan saya kalau Pak Belukang mahu,” kata YB Sumbing sambil menepuk-nepuk bahu Pak Belukang.
            Pak Belukang meneguk liur. “Er… Saya tidak mahu jawatan parti sebab saya tidak pandai politik. Kalau boleh…” dia teragak-agak meneruskan kata-katanya.
            “Kalau boleh apa?” potong YB Sumbing.
            “Kalau boleh saya ingin sekali berkawin dengan Seri Ayu,” kata Pak Belukang tersipu-sipu malu.
            YB Sumbing nampaknya terperanjat. Namun dia segera tersenyum. “Boleh… Boleh. Saya akan kawinkan Pak Belukang dengan Seri Ayu dengan majlis besar-besaran. Semuanya percuma, saya tanggung semua belanja,” kata YB Sumbing. Seperti biasa janji-janji manis yang dilafazkannya laju sahaja bagaikan budak-budak pintar menghafal sifir.
            Sebelum pulang, Pak Belukang menyatakan yang dia tidak mahu diganggu dalam masa tiga hari itu. Mahu bersuluk dalam bilik khas di rumah, katanya. Dia berjanji akan mendapatkan jawapan yang paling tepat untuk teka-teki itu . Jawapan-jawapan itu pula akan disemak lagi berulang kali nanti bagi memastikan kesahihannya.
            Di rumah, sehari-harian Pak Belukang termenung dan memerah otak memikirkan jawapannya. Macam-macam cara dia lakukan. Berguling di lantai, bergayut di kayu alang, bertenggek di jendela, waima buat senamrobik sekalipun, tiada klu atau ilham yang datang. Yang sipi-sipi pun tiada. Tiada pilihan A, B, C, dan D macam soalan objektif peperiksaan. Tiada nota ‘toyol’ untuk ditiru. Juga tiada talian hayat untuk diminta tolong.
             Pada hari ke dua Pak Belukang masih lagi tidak mendapat jawapannya. Dia yakin dia tidak akan bertemu jawapannya meskipun dia menunggu sehingga hari terakhir, besoknya. Lebih baik dia bertindak sesuatu sekarang. Lantas Pak Belukang mengemaskan pakaian dan bekalan makanan ke dalam beg besar. Belukang terpinga-pinga dengan tindakan ayahnya yang tergesa-gesa itu.
            “Abah mahu pergi ke mana?” tanya Belukang.
            “Belukang, kamu dengar sini. YB Sumbing itu sudah gila. Dia mahu bertanding teka-teki dengan Dato’ Kontot, tetapi dia mahu abah carikan jawapannya. Matilah abah kali ini, Belukang. Manalah abah tahu jawapannya. Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik abah pergi bersembunyi dulu. Abah akan turun dari rumah waktu malam nanti,” kata Pak Belukang.
            “Abah mahu bersembunyi di mana?” soal Belukang lagi.
            “Abah mahu bersembunyi dalam gua di tepi sungai itulah. Sementara itu, besok kamu pergi cari sampan dan bawa ke situ. Malam besok kita lari dengan sampan ke kuala. Selepas itu kita pergi lapangan terbang. Kita naik kapal terbang dan pergi melancong ke luar negara,” jelas Pak Belukang.
            “Baiklah, abah,” kata Belukang bersetuju.
            Maka Pak Belukang pun turun dari rumahnya menuju ke hutan secara senyap-senyap pada malam itu, meninggalkan Belukang seorang diri di rumah. Keesokkannya, seperti yang diminta ayahnya, Belukang pergi mencari sampan untuk mereka berangkat pergi dari kampung bila malam nanti. Belukang bernasib baik. Dia menemui dua biji sampan yang tertambat pada kayu pancang di tepi sungai. Dia berkira-kira akan mengambil salah satu daripadanya selepas senja nanti.
            Pada malam terakhir sebelum hari pertandingan, Belukang sudah bersedia dengan begnya tersandang di bahu. Dia menuju ke tempat sampan yang tertambat itu dengan berhati-hati supaya tiada sesiapa pun yang melihatnya. Dari jauh dia melihat cahaya api seperti lilin ada dalam sebuah daripada sampan itu . Terdapat dua lembaga manusia yang menghadap lilin itu. Belukang merapatinya perlahan-lahan.
            Setelah hampir kira-kira tiga meter, belukang berselindung di sebalik rimbunan pohon senduduk. Apabila diamatinya betul-betul, kenallah Belukang itu adalah Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Mereka sedang asyik bermain daun terup dalam sampan itu. Sambil itu mereka rancak berbual dan sesekali ketawa besar sehingga sampan itu  teroleng-oleng.
            Belukang mengeluh dalam hati. Bagaimana dia mahu mengambil sebuah lagi sampan itu? Kalau dibuat helah hendak pergi memancing, dia tidak membawa joran pula. Lagipun mereka tentu mengesyaki sesuatu bila melihat beg besar yang disandangnya. Belukang terus termanggu-manggu sambil mengharapkan penyamun-penyamun itu pergi.
            Bagaimana pula kalau Belukang menakut-nakutkan mereka? Balingkan mereka dengan anak batu atau batang kayu contohnya. Tentu mereka akan lari ketakutan. Tetapi bagaimana pula jika mereka tidak takut dan datang mengejar lalu menangkapnya. Nahas! Lagipun mereka dua orang, orang dewasa pula tu. Manalah Belukang terlawan.
            Tiba-tiba telinga Belukang menangkap tutur kata perbualan mereka. Dia tertarik bila mendengar salah seorangnya menyebut perkataan ‘teka teki’.
            “Teka teki semudah itu tidak mudah bagi mereka. Sampai mati pun mereka tidak akan dapat cari jawapannya,” ujar Penyamun Kuali.
            “Kau tahu semua jawapannya?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
            “Mestilah tahu. Engkau mahu aku jawab?” balas Penyamun Mata Cangkul.
            “Eh, jangan! Nanti bocor rahsia,” Penyamun Kuali menahan.
            “Apa yang nak ditakutkan? Tiada siapa dalam belukar dan sungai ini melainkan cengkerik dan burung hantu. Kalau mereka bocorkan rahsia, kita bunuh mereka seekor demi seekor,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
            “Kalau begitu, engkau laungkan kuat-kuat jawapannya,” cabar Penyamun Kuali selamba.
            Penyamun Mata Cangkul pun menjerit sekuat hati teka teki itu  berserta jawapannya sekali. Sangkaan mereka tiada orang lain mendengarnya meleset sama sekali. Di sebalik semak berhampiran, Belukang mendengar dengan amat jelas dan terus menghafalnya. Bodoh sekali mereka ini, hanya sebab tidak mahu mengalah dalam cabar-mencabar, rahsia sulit sudah terbongkar.
            Belukang terjerit kuat dan melompat ke belakang apabila melihat seekor ular senduk merayap di tepinya. Berderau darahnya bagaikan guruh merudum. Tubuhnya serta-merta berasa seram sejuk. Bagaimanapun, ular itu terus menjalar pergi tanpa menghiraukan Belukang. Aneh, takkan ia tidak nampak Belukang di situ. Namun apa yang lagi aneh, kedua-dua penyamun itu juga langsung tidak menghiraukan jeritan Belukang tadi. Sungguh mustahil jika mereka tidak mendengarnya. Mereka terus bermain daun terup tanpa merasa terganggu.
            Ular senduk itu memanjat naik sampan lalu melingkar pada tin yang menempatkan lilin di tengah-tengah ke dua-dua penyamun itu. Bagaimanapun, kedua-dua penyamun itu terus bermain daun terup bagaikan tidak nampak akan ular itu . Boleh jadi penyamun-penyamun itu dalam keadaan khayal atau mabuk. Sebab itulah mereka tidak menghiraukan benda apa pun di sekeliling mereka, walaupun ular senduk!
            Belukang mula terfikir, jikalau ular senduk itu pun mereka tidak hiraukan, pasti mereka juga tidak akan menghiraukan Belukang jika dia keluar dari sebalik rimbunan senduduk itu. Maka dengan penuh yakin Belukang pun keluar lalu menghampiri sebuah lagi sampan di sebelah sampan yang diduduki oleh penyamun-penyamun itu.
            Belukang berasa pelik, penyamun-penyamun itu bersembang elok sahaja, tidak pula merepek-repek seperti orang mabuk pun. Lagi menghairankan Belukang, kedua-dua penyamun itu berbual dengan mata masing-masing tertutup rapat. Setelah memerhati sejenak, barulah Belukang tahu yang mereka berdua sebenarnya sedang mengigau. Patutlah mereka tidak nampak ular di hadapan mereka, mahupun kehadiran Belukang di situ.
            Belukang sengaja melepaskan ikatan kedua-dua buah sampan itu  daripada kayu pancangnya. Dia melompat naik ke atas sampan yang kosong dan terus mendayung menuju ke gua tempat ayahnya sedang menunggu. Dia mahu menghalang niat ayahnya untuk melarikan diri. Ayahnya mesti hadir ke balairaya esok bersama jawapan teka teki yang baru dipeolehinya itu.
            Sampan yang diduduki oleh penyamun-penyamun mulai hanyut ke tengah mengikut arus sungai. Bersama-sama penyamun-penyamun itu, ada satu lagi penumpang, iaitu seekor ular senduk!

Rabu, 20 Jun 2012

Cintan Si Cilik - Bab 15


15        Bisu Punya Screwdriver

Matahari sudah hilang di sebalik barisan bukit-bukau. Hanya cahaya merahnya sahaja membias pada gumpalan-gumpalan awan. Ini menandakan Imi dan Nia perlu segera pulang. Untuk mengelakkan emak masing-masing bising, mereka terpaksa berada di rumah sebelum maghrib. Mereka perlu mandi dan mempersiapkan diri. Selepas makan dan solat maghrib, mereka perlu segera ke rumah To’ki Wahid untuk mengaji al-Quran.
            Pada masa cuti sekolah ini, Imi dan Nia turut belajar mengaji al-Quran waktu malam. Mereka bersama-sama hampir dua puluh orang budak-budak lain di kampung itu berguru dengan To’ki Wahid. To’ki Wahid adalah seorang guru agama tradisional lepasan sekolah pondok di Pattani, Thailand.
            To’ki Wahid bersama isterinya, Nenek Ramlah sudah mengajar mengaji al-Quran sejak sekian lama. Hampir tiga generasi To’ki Wahid dan Nenek Ramlah sinonim dengan guru al-Quran bagi penduduk di Kampung Batu Hampar. Boleh dikatakan kebanyakan ibu bapa kepada anak-anak muridnya sekarang ini pun pernah berguru dengan mereka sewaktu kecil dahulu.
Walaupun usia suami isteri guru al-Quran ini sudah pun melewati tujuh puluh tahun, mereka masih berupaya dan tidak jemu mengajar anak-anak bangsa kampungnya mengaji. Malah To’ki Wahid masih lagi garang dan tegas ketika mengajar seperti mana dia masih muda dahulu.
            Sewaktu menunjukkan anak-anak muridnya mengaji, To’ki Wahid menggunakan penunjuk lebih besar daripada ibu jarinya. Penunjuk yang panjangnya kira-kira sekaki itu sudah kehitam-hitaman menunjukkan sudah sekian lama ianya digunakan. Penunjuk yang diperbuat daripada buluh itu jugalah yang digunakan oleh To’ki Wahid untuk memukul tangan anak-anak muridnya apabila tersilap atau terlalai di dalam bacaan.
“Tengok betul-betul huruf apa, baris di mana. To’ki cucuk mata dengan penunjuk ini nanti.” Ayat ugutan yang biasa digunakan oleh To’ki Wahid apabila menegur kesalahan bacaan anak muridnya. Mata Imi sendiri pun sudah beberapa kali diacukan hujung penunjuk buluh yang agak runcing itu oleh To’ki Wahid. Bimbangnya Imi usah dikata. Tak sanggup dibayangkannya jika buluh penunjuk itu terpacak di lubang matanya. Ngeri!
            Sifat garang dan tegas To’ki Wahid membuatkan anak-anak muridnya sentiasa kecut perut. Oleh itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki mutu bacaan. Dan sudah tentulah ada di kalangan anak-anak muridnya yang berusaha bukannya untuk menjadi pandai sangat, tetapi kerana takutkan To’ki Wahid.
            Satu lagi masalah yang biasa dihadapi oleh anak-anak murid To’ki Wahid ialah untuk menyebut bunyi perkataan atau ayat seperti yang dikehendaki oleh guru mereka itu. Ini kerana To’ki Wahid yang sudah bergigi jarang itu akan mengeluarkan bunyi yang polos apabila menyebut perkataan tertentu. Akhibatnya, anak muridnya turut mengikut bunyi yang polos itu. Sedangkan To’ki Wahid mahukan bunyi mulut yang kedap udara.
            Maka berulang-ulang kalilah To’ki Wahid cuba memperbetulkan bunyi perkataan anak muridnya. Namun anak muridnya tetap menyebut perkataan itu dengan bunyi yang salah. Naik bersembur juga air liur To’ki Wahid jadinya. Begitu juga dengan anak-anak muridnya, ada yang sampai kebas-kebas lidah atau pun kejang-kejang rahang dibuatnya. Malah ada yang menjadi sebak hendak menangis akhibat dijerkah berulang kali.
            Dalam kelam-kelam senja itu, dari jauh Nia sudah dapat melihat Din Bisu berada di tepi laman rumah To’ki Wahid. Dia yang duduk di atas basikalnya dengan bertongkatkan sebelah kaki, kelihatan tersenyum memandang Nia yang hampir tiba. Nia dapat mengagak, pasti Din Bisu sedang menunggunya. Tentunya tiada tujuan lain lagi Din Bisu datang ke situ selain untuk mengganggunya.
            Sebenarnya sewaktu Nia datang mengaji pada tengah hari tadi pun Din Bisu telah sedia menunggunya di tempat yang sama. Din Bisu datang untuk menunjukkan pada Nia aksesori baru pada basikalnya. Dia telah mengikat sebiji kerusi plastik pada boncengan basikalnya bagi menjadikannya nampak lebih esklusif daripada boncengan basikal-basikal biasa. Dengan ini, dapatlah penumpang basikal Din Bisu duduk bersandar dengan selesanya di belakang. Tapi kerusi plastik itu nampaknya serupa sahaja dengan kerusi di warung kopi Pak Yunus. Hm, bolehlah…
            Din Bisu menawarkan Nia untuk membonceng basikalnya. Dengan bahasa isyarat, dia menyatakan yang dia sanggup menghantar Nia pergi mengaji serta menjemputnya pulang. Din Bisu juga sedia membawa Nia meronda-ronda kampung dengan basikalnya. Wow, sepekak-pekak Din Bisu pun, jiwa romeonya tetap ada! Dan dia juga akan belanja Nia makan air batu campur semasa meronda-ronda itu…
Namun Nia menolaknya mentah-mentah. Tak sanggup dia naik basikal dengan Din Bisu. Apalagi kalau membonceng di kerusi plastik yang nampak sungguh kelakar itu. Nia sendiri ketawa berdekah-dekah bila melihat modfikasi canggih pada basikal Din Bisu tersebut. Unik dan belum pernah dibuat orang. Entah dari manalah Din Bisu mendapat idea. Kemungkinan dia telah mendapat inspirasi daripada motosikal Harley Davidson yang dilihatnya di televisyen.
Oh, ya. Mungkin juga Din Bisu terpengaruh dengan motosikal Honda Goldwing milik Pak Zain, Pengerusi JKKK. Selalulah petang-petang penduduk Kampung Pulau Bahagia akan dapat melihat Pak Zain bersiar-siar dengan motosikal besarnya itu. Biasanya isteri atau anak-anaknya akan membonceng di tempat duduk bersandar mewah di belakangnya. Bayangkan ketika bersiar-siar itu, Din Bisu datang mengayuh basikal berstereng lori dan berkerusi plastiknya menyaingi di sebelah motosikal Honda Goldwing Pak Zain. Pasti Pak Zain dan Isterinya merasa tercabar! Dan kalaulah Nia pula yang membonceng basikal Din Bisu itu…
            Din Bisu berkecil hati apabila basikalnya dipersenda-sendakan oleh Nia. Dia menganggap gadis pujaannya itu sombong. Hasil penat lelah usahanya itu tidak dihargai langsung. Nia perlu diajar. Din Bisu mendapat satu akal untuk memaksa Nia menurut permintaannya. Sememangnya otak Din Bisu sungguh kreatif mencari jalan penyelesaian.
            Apabila Nia naik ke atas rumah To’ki Wahid untuk memulakan pengajiannya, Din Bisu bertindak mengambil selipar Nia. Dia menyelitkan selipar itu pada kerusi plastik basikalnya. Dia bertekad untuk tidak memulangkan selipar itu selagi Nia tidak sudi membonceng basikalnya. Dia mahu Nia datang merayu dan melutut padanya.
            Setelah satu jam lebih Din Bisu menunggu dengan sabar, akhirnya Nia dan rakan-rakannya habis mengaji. Din Bisu hanya tersenyum-senyum bila melihat Nia tercari-cari akan seliparnya di sekitar dan di bawah tangga. Din Bisu melambai-lambai pada Nia lalu menunjukkan sepasang selipar berwarna merah jambu padanya.
            Dengan marahnya Nia menerpa ke arah Din Bisu, tetapi Din Bisu mengelak. Din Bisu lari berpusing-pusing sambil dikejar Nia. Sekali lagi Din Bisu memberi isyarat meminta supaya Nia bersetuju membonceng basikalnya. Nia menggelengkan kepala. Din Bisu mengacah-ngacah untuk membaling selipar Nia ke atas bumbung rumah To’ki Wahid pula.
            Akhirnya Nia terpaksa menyatakan dia bersetuju membonceng basikal Din Bisu dengan syarat seliparnya dipulangkan terlebih dahulu. Nia menghulurkan tangannya sambil merayu. Din Bisu tahu, itu hanya helah Nia untuk mendapatkan kembali seliparnya. Dia tidak percaya lagi Nia mahu memboncengnya.
Din Bisu memegang tangan Nia itu lalu melekapkannya di belakang punggungnya. Dengan segera meneran lalu terlepaslah sebiji kentut yang besar. Kemudian Din Bisu berlari mendapatkan basikalnya sambil ketawa besar. Nia menjerit marah. Cepat-cepat dia berlari ke pili air untuk membasuh tangannya. Dia merasa begitu jijik walaupun hanya angin kentut sahaja yang terkena pada tangannya.
Imi terpaksa membantu dengan mengejar Din Bisu dan merebut selipar Nia daripadanya. Nasib baik dapat. Hampir putus juga selipar itu ditarik Din Bisu. Nia berterima kasih pada Imi. Dalam pada itu dia menyumpah-nyumpah geram pada Din Bisu biarpun budak nakal itu sudah jauh berlalu.
            Dan kini Din Bisu muncul lagi. Memang dia suka merayau tidak kira siang atau malam. Seperti diduga, Din Bisu terus memujuk Nia untuk membonceng basikalnya. Ini sudah satu perbuatan gila. Mahu dibawa berbasikal ke mana malam-malam buta begini?
.           Nia nampaknya tidak mahu melayan langsung akan Din Bisu. Menoleh pun tidak. Hatinya masih bengang dengan kejadian tengah hari tadi. Kali ini Nia mengisi seliparnya ke dalam sebiji beg plastik dan dibawa naik bersama untuk mengelakkan daripada diambil oleh Din Bisu lagi.
Akhibatnya Din Bisu menjadi geram. Din Bisu bertekad mahu membalas dendam. Dia mahu mengajar Nia cukup-cukup. Kali ini Nia pasti akan menyesal. Din Bisu mengayuh basikal pulang. Tak sampai sepuluh minit kemudian dia muncul kembali di depan rumah To’ki Wahid dengan sebatang screwdriver ditangannya.
Setelah menyandarkan basikalnya di pagar kawat duri, Din Bisu berjalan terhendap-hendap di dalam gelap menuju ke bawah rumah To’ki Wahid. Keadaan di bawah beranda itu agak gelap. Ini kerana tiada cahaya dapat menembusi lantai kerana telah dialas dengan tikar getah. Melalui sebiji lubang pada pagar beranda, Din Bisu mendapati Nia duduk di dalam kelompok besar budak-budak yang sedang mengaji. Sukar baginya menentukan kedudukan Nia secara tepat dari bawah beranda.
Akal Din Bisu mencongak-congak lagi. Satu-satunya peluang untuk menjalankan misinya itu tanpa gagal ialah apabila Nia datang mengadap To’ki Wahid ataupun Nenek Ramlah untuk memperdengarkan bacaan al-Qurannya. Setiap anak murid akan mengadap salah seorang daripada pasangan guru mereka itu mengikut giliran di satu sudut beranda sebelum menamatkan pengajian hari itu.
            Din Bisu terpaksa bersabar lagi menunggu sehingga giliran Nia datang mengadap To’ki Wahid. Dan apabila waktu itu tiba, Din Bisu pun masuk ke bawah beranda dan cepat-cepat menuju ke arah sudut tersebut. Setelah betul-betul yakin dengan kedudukan Nia, Din Bisu pun bersedia dengan hujung screwdrivernya di tujukan pada lubang di celah lantai.
            Sementara itu di atas beranda, bacaan Nia terhenti apabila ditegur oleh To’ki Wahid.
            “Macam ni panjang bunyinya, walaaaaaa…” kata To’ki Wahid.
            “Walaaa…” sebut Nia cuba mengikutnya.
“Walaaaaaa…” tegur To’ki Wahid lagi. Di kala itu juga dia merasa sesuatu benda keras di bawah punggungnya. Dia terdiam sambil merenung muka Nia.
“Walaaa…” Nia cuba meperbaiki sebutannya.
“Tak kena tu, walaaaaaa… ahhhh… ahhh…” pembetulan dari To’ki Wahid lagi dengan menambah bunyi berlagu seperti mengerang di hujungnya. Ini kerana di kala itu jugalah punggung To’ki Wahid diterjah oleh hujung screwdriver Din Bisu buat kali ke dua. Hujung screwdriver yang tajam itu telah pun menembusi tikar getah.
“Walaaa… ahhhh… ahhh…” Nia pun mengikut bunyi berlagu seperti mengerang itu juga.
“Ahhh… ahhh… aduh… aduh…” kata To’ki Wahid lagi tersangkut-sangkut, tapi masih berlagu.
“Ahhh… ahhh… aduh… aduh…” Nia mengikutnya dengan rasa hairan. Apa To’ki ni? Takkanlah dah nak jadi macam lagu dangdut pula, desis hatinya. Dia memandang muka To’ki Wahid pula yang berkeriut menahan sakit itu.
            Akhirnya To’ki Wahid rebah mengiring ke riba nenek Ramlah di sebelah. Tangan kanannya menekup punggung sambil mengerang-ngerang kesakitan. Nia yang duduk di depannya terkejut dan tergamam. Apa lagi setelah dia melihat ada sebatang besi yang tirus di hujungnya timbul dari bawah tikar getah di tempat duduk To’ki Wahid tadi. Batang besi itu ditujah ke atas dan ditarik ke bawah semula berulang kali. Terdapat kesan darah pada hujung screwdriver itu.
            “Ada orang jolok To’ki Wahid!” Nia menjerit. Rakan-rakan lain segera menerpa dan mengerumuni To’ki Wahid. Ramai juga yang sempat melihat batang besi itu timbul melalui lubang pada tikar getah sebelum ia hilang tidak muncul-muncul lagi.
            Imi dan beberapa budak lelaki lain segera berkejar turun ke bawah. Mereka sempat melihat kelibat Din Bisu lari susup-sasap dalam gelap itu.
            “Kejar dia! Kejar dia!” jerit Imi.
Walaupun mereka cuba mengejarnya, tetapi untuk hanya beberapa puluh meter sahaja sebelum jejak Din Bisu hilang dan gagal dikesan lagi.
            Darah mula membasahi kain pelikat To’ki Wahid. Ada cecair likat yang berbau masam juga turut keluar bersama-sama darah. Rupa-rupanya selepas jolokan kali ke tiga tadi, screwdriver Din Bisu telah mencucuk buasir To’ki Wahid. Din Bisu sendiri tidak menyedari yang dia sudah tersilap sasaran. Mati-mati dia fikirkan Nia sudah terkena jolokan screwdrivernya, pada hal orang lain pula yang menjadi mangsa. Din Bisu berasa sungguh riang kerana pada anggapannya, dendamnya pada Nia sudah dilangsaikan.
To’ki Wahid telah mengalami buasir sejak berbelas tahun dahulu dan sehingga kini ia semakin kronik. Sekarang apa yang dibimbangi To’ki Wahid sudah berlaku, buasirnya sudah pecah! Kerap kali juga To’ki Wahid memakai lampin dewasa untuk melindungi buasirnya, tetapi hari itu berkebetulan sungguh dia terlupa memakainya.
            Nenek Ramlah meminta salah seorang anak muridnya pergi memanggil anaknya, Pak Rashid yang hanya tinggal bersebelahan. Pak Rashid kemudiannya segera membawa To’ki Wahid ke klinik. Dengan itu juga, kelas mengaji al-Quran ditamatkan lebih awal daripada biasa. Dan sudah tentulah ini mengembirakan Imi dan rakan-rakannya!

Jumaat, 15 Jun 2012

Ahmad Alkebab - Bab 14


Bab 14

Hari sudah lewat petang, Sediakawal baru sahaja tiba di rumah. Dia membawa pulang sedikit makanan yang baru dibelinya di pasar.
“Mergastura, umi, ini ana ada bawa kebablah, kita boleh makanlah,” teriak Sediakawal. Dia memberikan bungkusan makanan itu kepada ibunya.
“Buat apalah kau beli banyak-banyak ni, buat habis duit sajalah Sediakawal oi,” kata ibu Sediakawal.
“Tidak apalah umi. Ana tahu umi sama Mergastura suka makan ini kebab. Ini satu tahun satu kalilah umi. Ini hari ana dapat gajilah,” kata Sediakawal. “Umi, pergilah simpan dulu, nanti kita makan bersamalah,” tambahnya lagi.
“Baiklah, baiklah umi simpan,” kata ibu Sediakawal lalu mengambil bungkusan kebab itu untuk dibawa ke dapur.
Sediakawal berpindah ke tempat duduk di sebelah Mergastura.
“Mergastura, ana tengok enta selalu sayang amat sama ana. Enta sayang sama anakah?” tanya Sediakawal.
“Sayang,” balas Mergastura.
“Hmm… bagus. Ana ada baikkah?” usul Sediakawal.
“Baik, tampan lagi kacak. Tapi satu saja ana tak sanggup,” kata Mergastura.
“Apalalah yang enta tak sanggup?” tanya Sediakawal segera.
“Enta ini terlalu telor,” kata Mergastura.
“Telur? Telur apa? Mana ana ada bawa telur?” tanya Sediakawal dengan hairan.
“Bukan telur, telor,” Mergastura cuba memperbetulkan.
“Ooo… ana memang suka makan telur. Ana makan telur ayam, telur itik, telur burung unta dan telur penyu. Telur ular sama telur biawak ana tidak boleh …” kata-kata Sediakawal terhenti bila Mergastura memotong.
“Telor, bukan telur,” tegas Mergastura lagi. Sediakawal kelihatan berfikir seketika. Kemudian mukanya tiba-tiba menjadi merah pula.
“Telur… oh, ana tahu, ana tahu itu telur. Apalah enta ini cakap pasal itu di sini.  MasyaAllah.. malulah ana. Enta jangan cakap kuat-kuatlah Mergastura, nanti umi dengar,” kata Sediakawal separuh berbisik. Mergastura tergelak besar pula.
“Bukan yang itu… Telor tu maknanya orang yang selalu bercakap pelat,” terang Mergastura. Geli sungguh hatinya dengan telatah suami yang ala-ala Mr. Bean ini.
“Oh, itu macamkah. Telur itu pelatlah, Ana tahulah. Ana punya bapak dulu kalau bercakap, masyaAllah, lagi telur dari ana,” kata Sediakawal.
“Telor,” Mergastura tidak putus-putus memperbetulkan suaminya itu.
“Telor,” Sediakawal mengikutnya. Berjaya juga akhirnya dia menyebut dengan betul.
“Tidak apalah Mergastura. Nanti lama-lama ana akan belajarlah sama enta. Lama-lama nanti ana tiada telur lagilah bila cakap,” Sediakawal tersasul lagi.
“Telor,” Mergastura memperbetulkan lagi.
“Telor,” sahut Sediakawal.
“Umi, sudah siapkah umi?” tanya Sediakawal apabila dia teringat akan kebab yang dibelinya tadi.
“Telor, telor. Ya, Telor,” kata Sediakawal berulangkali untuk memperbetulkan sebutannya. “Ana mesti sebut telor, bukan telur. Telor, bukan telur,”
Mergastura hanya mampu tersenyum besar melihat telatah suaminya yang sungguh menggeli-hatikan itu.

Di sebuah kedai kopi di Kampung Kepala Hanyut…
“Murrahan, bini aku punya barang semua sudah habislah,” Sifar membuka cerita.
“Bini aku punya barang pun semua sudah habis,” kata Murrahan pula.
“Habis, apa yang perlu kita buat?” tanya Sifar.
“Macam mana nak dapat duit lagi ya? Aku sudah janji dengan buah hati aku nak pergi bercuti ke Danok hujung minggu ni,” keluh Murrahan pula.
“Aku pun dah janji dengan ‘jambu’ aku nak shopping lagi malam ini,” kata Sifar.
“Apa kata kalau engkau balik rumah bapa engkau dan minta duit. Aku pun balik rumah bapa aku dan minta duit,” cadang Murrahan.
“Ha… betul! Bagus idea engkau. Otak kau memang kelas,” puji Sifar. Mereka pun melagakan penumbuk tanda bersetuju.

“Satu sen pun aku tak akan beri pada kamu. Kamu anak yang tak boleh harap,” herdik Pengerusi JKKK Kepala Hanyut. Murrahan hanya tunduk memandang lantai. Ibunya di sebelah cuba untuk mententeramkannya.
“Tiga bulan aku beri engkau masa untuk bolot semua harta Sheikh Majnun dan serahkan pada aku. Apakah kamu sudah buat? Mana dia harta-harta itu?” tempik Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Ayah, kami tinggal di rumah berasingan, sebab itulah susah Murrahan nak bolot hartanya itu,” kata Murrahan.
“Oh, tinggal berasingan. Kalau aku, bukan tiga bulan. Dalam masa satu bulan pun aku boleh ambil. Semua hartanya aku boleh tarik. Bukan macam engkau, bodoh!” Pengerusi JKKK Kepala Hanyut mengherdik lagi.
“Ayah, tolonglah ayah. Kasilah sedikit duit. Kami nak makan pun tak ada duit sekarang,” rayu Murrahan.
“Betul tu bang. Bagilah dia sedikit duit. Sampai nak makan pun mereka tidak ada duit,” celah ibu Murrahan.
“Ah, kau diam! Kau jangan campur,” bentak Pengerusi JKKK Kepala Hanyut.
“Oo… nak makan pun engkau tak ada duit. Baik, aku boleh beri duit pada engkau. Tapi dengan syarat, engkau balik rumah jumpa isteri kamu. Ambil dia punya barang kemas dan beri pada aku. Nanti aku akan beri duit pada kamu,” Pengerusi JKKK Kepala Hanyut mengemukakan cadangan baru.
“Yalah Murrahan, pergilah balik rumah kamu. Ambil semua barang kemas isteri kamu dan beri pada ayah,” tambah ibu Murrahan.
“Barang kemas isteri Murrahan sudah habis, semuanya Murrahan jual mak,” kata Murrahan.
“Hah? Itupun engkau jual juga? Untuk engkau sendiri?” tanya Pengerusi JKKK Kepala Hanyut yang sungguh terkejut. Murrahan tunduk. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya. Terlajak cakap tidak boleh diundur lagi.
“Aku harapkan kamu, kamu mempermainkan aku balik hah?” jerkah Pengerusi JKKK Kepala Hanyut. Dia sudah betul-betul sudah marah sekarang.
“Murrahan, mulai dari hari ini aku mahu beri tahu sama kamu. Kamu jangan harap aku akan beri satu sen pun pada kamu. Dan kamu mesti keluar hidup dengan bersendirian. Jangan harap bantuan apa-apa,” Pengerusi JKKK Kepala Hanyut memberikan kata putus.
“Keluar dari aku punya rumah. Pergi mampus sama kamu,” herdiknya lagi.

Di rumah orang tua Sifar pula…
Bam! Meja ditumbuk dengan kuat.
“Aku tidak akan beri satu sen pun pada kamu. Kamu anak yang tidak mahu bekerjasama,” jerit Imam Besar Kepala Hanyut.
“Aku suruh kamu bolot dia punya harta. Aku sudah beri kamu masa tiga bulan. Dia punya harta kamu tak bolot. Aku punya harta pula kamu nak bolot?” marahnya lagi.
“Bodoh punya anak,” Imam Besar Kepala Hanyut menyumpah.
“Sepatutnya kamu datang hari ini kamu bawakan aku sebiji trak Hummer. Ini tidak, alih-alih kamu datang berlenggang dan buat lembik tengkuk minta duit dengan aku. Dasar anak tak boleh diharap,”
“Kami benar-benar terdesak sekarang, ayah. Duit seringgit pun kami tidak ada. Macam mana kami nak hidup,” rayu Sifar.
“Ke mana semua duit kamu berdua? Bukankah kamu berdua dapat banyak hadiah semasa kamu berkawin dulu?” tanya Imam Besar Kepala Hanyut.
“Duit-duit itu sudah habis saya belanja buat berhibur. Masa saya belum kawin dulu, ayah selalu beri duit. Sekarang selepas kawin ini, sekali pun ayah belum pernah beri lagi,” kata Sifar.
“Kamu sudah kawin. Kamu mesti kerja mencari duit sendiri. Buat apa aku tanggung kamu lagi?” bentak Imam Besar Kepala Hanyut.
“Sifar, ambillah barang-barang kemas isteri kau tu. Beri kepada ayah kamu,” kata ibu Sifar.
“Barang-barang kemas isteri Sifar, habis sudah Sifar jual, umi,” kata Sifar.
Imam Besar Kepala Hanyut bertambah menyingga. “Hah? Ooo… kamu sudah bolot dia punya harta rupa-rupanya. Aku suruh bolot untuk aku, bukan untuk kamu. Jadi sekarang harta dia sudah habislah? Kamu ini lebih tolol dari unta,” jeritnya.
“Sifar, mulai hari ini kamu punya pasal aku tidak mahu ambil peduli. Aku tidak akan tolong sama kamu. Kamu boleh pergi jahanam,” tegas Imam Besar Kepala Hanyut. Dia tidak berfikir panjang lagi untuk menghalau anak lelakinya itu.
Sifar terduduk terlentang. Dia kehilangan kata-kata.