15. Pertandingan
Teka-teki Perdana
Keadaan
Parti Parang di Parlimen Kangkung Jaya sudah menjadi tidak terkawal lagi.
Bermula dengan persaingan peribadi Dato’ Kontot dan YB Sumbing dalam merebut
jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya, merebak pula kepada penyokong-penyokong
masing-masing. Pertarungan di antara Geng Parang Kontot dan Geng Parang Sumbing
lebih hebat dan dahsyat. Mereka saling sabotaj mensabotaj antara satu sama lain
sehingga ada tindakan yang dilakukan di luar jangka fikiran.
Walaupun
berada di bawah naungan parti yang sama, mereka bagaikan sudah putus saudara. Geng
Parang Sumbing bersembahyang jemaah di masjid, manakala Geng Parang Kontot
bersembahyang di surau persendirian. Perkahwinan anak-anak muda, hatta orang
tua sekali pun di antara dua puak ini dilarang keras. Jika berdegil juga, maka
putuslah hubungan anak dan ayah. Ada kes bapa enggan menjadi wali anaknya
gara-gara perbezaan puak ini.
Inilah
gaya permusuhan politik bagi orang-orang kampung yang cetek pemikiran, tetapi
tinggi pula egonya. Sikap ketaksuban melampau pada pemimpin ini bagaikan barah
yang tidak dapat dirawat lagi. Tahi lembu kering pun, jika dikatakan oleh
pemimpin mereka itu adalah pizza keju, akan terus dimakan tanpa dakwa-dakwi
lagi. Padahal daripada warna sahaja mereka sudah boleh bezakan, satu hitam dan
yang satu lagi kuning.
Sentimen
antara penyokong cukup teruk. Pantang berselisih sahaja, jikalau berlainan
puak, menjeling pun tidak. Apa lagi hendak tegur dan bertanya khabar. Sedangkan
pemimpin mereka tidaklah seteruk itu. Dalam keghairahan bersaing pun, YB
Sumbing dan Dato’ Kontot boleh lagi duduk makan semeja sambil bersembang.
Seperti pada suatu petang, di sebuah Coffee House di pusat bandar, dua tokoh
setempat itu enak menikmati capucino Colombia.
“Kita berkempen ini
biarlah ibarat menarik rambut dari dalam tempurung, Dato’,” kata YB Sumbing
dengan tenang.
“Dalam
tepung, YB,” Dato’ Kontot memperbetulkan.
“Ah,
ya... Tarik rambut dari dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung pun tidak
berselerak. Sama-sama selamat, sama-sama dapat untung,” sahut YB Sumbing
mengakui kesilapan membuat kata bidalan.
“Situasi
menang menang, maksud YB?” soal Dato’ Kontot.
YB
Sumbing mengangguk.
Dato’
Kontot tersenyum tawar. “Mana ada sitiuasi menang menang, YB. Yang perlu
menangnya hanya seorang sahaja. Kalau dua-dua menang, itu bukan menang
namannya. Itu seri. Kalau seri, takkan kedua-dua kita boleh jadi Pengetua
Parang Kangkung Jaya bersama-sama,” ujarnya.
“Bukan
dua-dua jadi Pengetua Parang Kangkung Jaya. Maksud saya, Dato’ beri laluan pada
saya. Selepas itu Dato’ boleh menjadi mentor pada saya untuk memimpin bahagian
ini,” terang YB Sumbing.
Dato’
Kontot tertawa pula bila mendengar saranan itu. “Saya ada cadangan yang lagi
bagus,” katanya beberapa ketika kemudian.
“Apa
cadangan Dato’?” soal YB Sumbing segera.
“Nampaknya
YB macam berminat. Baiklah, pembantu saya akan menerangkan dengan terperinci
tawaran saya ini,” kata Dato’ Kontot lalu memanggil Penyamun Kuali dan Penyamun
Mata Cangkul datang ke meja mereka.
“YB
berundinglah dengan mereka dulu. Saya mahu ke bilik air sekejap,” ujar Dato’
Kontot lalu bangun dan melangkah pergi.
“Hmm…
apa cadangannya?” tanya YB Sumbing pada penyamun-penyamun itu.
“Begini…
YB tidak perlu susah-susah lagi turun ke segenap ceruk kampung berkempen siang
malam. Kami ada cara lagi senang. Tawaran istimewa ini khas untuk YB saja. Sekarang
mari kita mulakan rundingan untuk tawaran istimewa ini,” kata Penyamun Kuali.
YB
Sumbing memperbetulkan sandarnya. “Tak perlu. Kalau setakat kamu nak sogok aku
dua tiga ringgit supaya tidak bertanding nanti, tak payahlah. Aku tak kebulur
duit kamu. Kalau kamu sudah ada banyak sangat duit sampai tidak tahu nak buat
apa, beri kepada orang-orang kampung seorang sedikit untuk dibuat modal usaha
niaga ataupun belanja anak sekolah,” katanya yang awal-awal lagi menolak untuk
menerima umpan berbau rasuah itu.
“Eh,
YB sudah salah faham. Tawaran kami tiada kaitan dengan wang. Itu semua rasuah.
Kami mahu tawarkan pada YB untuk berlawan dengan Dato’ Kontot dalam
pertandingan teka-teki perdana. Di tempat-tempat lain, mereka mengadakan debat
perdana. Tetapi kami fikir cara itu tidak berfaedah dan buang masa. Lebih baik
dibuat pertandingan teka-teki yang lebih mudah dan seronok,” terang Penyamun
Mata Cangkul pula.
YB
Sumbing mendengar tawaran itu dengan penuh teliti dan waspada. Pasti ada
perangkap yang menantinya dipasang di mana-mana.
“Pertandingan
teka-teki macam mana itu?” YB Sumbing terus bertanya.
“Kalau
YB bersama Geng Parang Sumbing dapat menjawab soalan teka-teki yang akan kami
kemukakan nanti, jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan Dato’ Kontot
serahkah pada YB serta-merta tanpa syarat. Pemilihan Parti pun tidak perlu dibuat
nanti,” giliran Penyamun Kuali pula menerangkan.
“Wah!
Benarkah begitu?” tanya YB Sumbing yang nampaknya teruja.
“Benar.
Jika YB bersetuju, kita akan buat MOU. YB dan Dato’ Kontot perlu turunkan
tandatangan,” kata Penyamun Mata Cangkul.
“Nanti
dulu. Itu kalau saya menang. Jikalau saya kalah, macam mana pula?” YB Sumbing
menahan.
“Kalau
Dato’ Kontot yang menang, beliau akan terus menyandang jawatan ini untuk
penggal depan tanpa perlu bertanding juga,” jelas Penyamun Kuali.
YB
Sumbing mengerutkan dahinya. Wajahnya berubah serius kembali. Dia merenung Penyamun
Kuali dan Penyamun Mata Cangkul di depannya itu bersilih ganti.
“Jangan
bimbang, Bila YB pulang nanti, YB fikirlah dulu. Berikan keputusan sama ada YB
setuju atau tidak pada esok hari,” kata Penyamun Mata Cangkul akhirnya.
Malam
itu YB Sumbing memikirkan kembali tawaran Dato’ Kontot. Setakat berteka-teki
apalah sangat susahnya berbanding berkempen ke sana sini. Masa dan tenaga tidak
terbuang dan duit dapat dijimatkan dengan banyak. Lebih baik duit itu dibuat
melancong nanti daripada ditabur kepada orang kampung yang belum tentu akan
menyokongnya. Lagipun dia tidak berseorangan dalam pertandingan teka-teki ini.
Anggota-anggota Geng Parang Sumbing yang bijak pandai pasti akan membantunya.
Tiba-tiba
YB Sumbing teringat akan Pak Belukang. Ya, Pak Belukang adalah seorang ahli
nujum yang hebat. Dengan kuasa hipnosisnya, Seri Ayu yang hilang dapat ditemui.
Sudah tentu Pak Belukang juga boleh membuat hipnosis mencari jawapan teka-teki
nanti. Dia sudah berkira-kira untuk menggunakan Pak Belukang untuk menghadapi
Dato’ Kontot dan dua orang penyamun itu dalam pertandingan teka-teki itu nanti.
Keesokannya,
YB Sumbing terus menyatakan persetujuannya untuk menyahut cabaran bertanding
teka-teki pada Dato’ Kontot. Bagaimanapun YB Sumbing tidak memaklumkan terlebih
dahulu kepada Pak Belukang. Sepatutnya mereka berdua perlu berbincang dahulu
tentang kemampuan mereka sebelum persetujuan diberikan.
Dato’
Kontot pula tersenyum lebar mendengar kesediaan timbalannya itu. Perangkap yang
dipasangnya mula menghidu mangsa. Masing-masing menurunkan tandatangan pada
sekeping kertas perjanjian. Penyamun Kuali dan Penyamun Mata Cangkul bertindak
menjadi saksi.
“Bagus
YB, bagus... Terima kasih kerana sudi menyahut cabaran saya,” puji Dato’
Kontot.
“Bila
mahu dibuat pertandingan teka teki itu dan di mana?” tanya YB Sumbing.
“Kami
akan memberi soalan teka-teki itu sekarang. YB ada masa tiga hari untuk mencari
jawapannya. Selepas tiga hari nanti, YB perlu menjawab teka-teki ini di balairaya
Kampung Kangkung Kering dengan disaksikan oleh orang ramai,” kata Penyamun
Kuali.
Dato’
Kontot hanya tersengih. Tunggulah, engkau akan dimalukan di hadapan orang ramai
itu, ujarnya dalam hati.
“Baiklah,
apakah soalan teka-teki itu?” tanya YB Sumbing dengan penuh yakin. Dia tidak
mahu membuang banyak masa lagi.
“Soalan
pertama. Dalam kelam malam jumaat lagi sunyi, kalau YB terlihat sebungkus
lembaga yang melompat-lompat, itulah pocong. Kalau terjumpa lembaga yang
setinggi pokok kelapa, itulah hantu galah. Kalau benda berpakaian putih
melintas laju di depan mata tanpa kakinya jejak ke tanah, itu apa dia?” tanya Penyamun
Mata Cangkul.
YB
Sumbing hanya mengangguk sambil tersenyum. “Soalan ke dua?” tanyanya.
“Soalan
ke dua... Matanya di dinding, mulutnya di dinding dan hidungnya di dinding. Apa itu?” tanya Penyamun
Kuali pula.
“Baiklah.
Soalan ke tiga?” tanya YB Sumbing dengan tersenyum lagi.
“Soalan
ke tiga… Ada sebuah keretapi yang panjang berhenti. Kedua-dua hujungnya tidak
nampak. Hujung yang sebelah mana kepalanya? Dan hujung yang sebelah mana
ekornya pula?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
“Hmm…
Soalan ke empat?” tanya YB Sumbing bagaikan mengejek pula.
“Soalan
ke empat... Satu, panjang. Dua, pendek-pendek. Tiga, ketot-ketot. Empat,
kecut-kecut. Apakah itu?” tanya Penyamun Kuali.
“Beres…
Soalan ke lima?” tanya YB Sumbing lagi yang nampaknya yakin sungguh.
“Itulah
sahaja empat soalan teka-teki yang perlu YB jawab. Pastikan semua jawapan YB
betul untuk memenangi kerusi Pengetua Parang Kangkung Jaya ini,” ujar Dato’
Kontot yang sejak tadi membatu. Dia jelik dengan lagak wakil rakyat yang
seperti memperkecil-kecilkan cabaran teka-tekinya. Sekarang engkau bolehlah
tunjuk sombong, tiga hari lagi aku hendak tengok rupa muka engkau macam mana,
cemuh Dato’ Kontot dalam hati.
“Baiklah,
saya akan berikan jawapan yang tepat tiga hari lagi. Dan pada hari itu juga
nanti jawatan Pengetua Parang Kangkung Jaya akan jatuh ke tangan saya,” kata YB
Sumbing sebelum pergi.
*****
Pak
Belukang terkejut beruk bila YB Sumbing memberitahunya perihal pertandingan
teka-teki perdana itu. Dia sungguh kesal kerana YB Sumbing bertidak
menyetujuinya tanpa berbincang dengan Geng Parang Sumbing terlebih dahulu.
Lebih-lebih lagi padanya, yang mana telah ditugaskan untuk mencari jawapan pada
teka-teki mengarut itu. Parah!
Begitulah
kebanyakan sikap ahli-ahli politik yang berotak sengal. Sengaja mencari masalah
yang tidak patut. Selepas itu dikerahkan pula orang-orang bawahan menyelesaikan
masalah itu untuk kepentingan dirinya sendiri. Akhirnya dia yang dapat nama.
“Kita
ada masa tiga hari lagi. Saya harap itu sudah cukup untuk Pak Belukang buat
hipnosis mencari jawapannya,” kata YB Sumbing.
“Tiga
hari…” kata-kata Pak Belukang terputus. Dia serba salah.
“Kenapa
Pak Belukang? Ada apa-apa masalah?” tanya YB Sumbing.
“Eh,
Err… tiada. Tiada masalah,” kata Pak Belukang tergagap-gagap.
Apa
hendak dibuat ini? keluh hati Pak Belukang. Fikrannya buntu. Kalau dia
berterus-terang, sudah tentu nahas menanti. Kalau diusahakan mencari
jawapannya, dia tidak yakin. Siapa yang tahu jawapan itu selain daripada Dato’
Kontot dan dua penyamunnya? Sempatkah dia mencarinya dalam masa tiga hari?
Hendak ditanya pada siapa? Pergi bertanya pada orang kampung seorang demi
seorangkah? Mustahil. Haprak sangat nampaknya kalau Ahli Nujum tersohor berbuat
begitu.
“Kalau
begitu, saya serahkan sepenuhnya pada Pak Belukang. Kalau kita menang
pertandingan teka-teki ini, saya terus dapat jawatan Pengetua Parang Kangkung
Jaya secara automatik. Pak Belukang juga saya akan lantik menjadi timbalan saya
kalau Pak Belukang mahu,” kata YB Sumbing sambil menepuk-nepuk bahu Pak
Belukang.
Pak
Belukang meneguk liur. “Er… Saya tidak mahu jawatan parti sebab saya tidak
pandai politik. Kalau boleh…” dia teragak-agak meneruskan kata-katanya.
“Kalau
boleh apa?” potong YB Sumbing.
“Kalau
boleh saya ingin sekali berkawin dengan Seri Ayu,” kata Pak Belukang
tersipu-sipu malu.
YB
Sumbing nampaknya terperanjat. Namun dia segera tersenyum. “Boleh… Boleh. Saya
akan kawinkan Pak Belukang dengan Seri Ayu dengan majlis besar-besaran.
Semuanya percuma, saya tanggung semua belanja,” kata YB Sumbing. Seperti biasa
janji-janji manis yang dilafazkannya laju sahaja bagaikan budak-budak pintar
menghafal sifir.
Sebelum
pulang, Pak Belukang menyatakan yang dia tidak mahu diganggu dalam masa tiga
hari itu. Mahu bersuluk dalam bilik khas di rumah, katanya. Dia berjanji akan
mendapatkan jawapan yang paling tepat untuk teka-teki itu . Jawapan-jawapan itu
pula akan disemak lagi berulang kali nanti bagi memastikan kesahihannya.
Di
rumah, sehari-harian Pak Belukang termenung dan memerah otak memikirkan
jawapannya. Macam-macam cara dia lakukan. Berguling di lantai, bergayut di kayu
alang, bertenggek di jendela, waima buat senamrobik sekalipun, tiada klu atau
ilham yang datang. Yang sipi-sipi pun tiada. Tiada pilihan A, B, C, dan D macam
soalan objektif peperiksaan. Tiada nota ‘toyol’ untuk ditiru. Juga tiada talian
hayat untuk diminta tolong.
Pada hari ke dua Pak Belukang masih lagi tidak
mendapat jawapannya. Dia yakin dia tidak akan bertemu jawapannya meskipun dia
menunggu sehingga hari terakhir, besoknya. Lebih baik dia bertindak sesuatu
sekarang. Lantas Pak Belukang mengemaskan pakaian dan bekalan makanan ke dalam
beg besar. Belukang terpinga-pinga dengan tindakan ayahnya yang tergesa-gesa
itu.
“Abah
mahu pergi ke mana?” tanya Belukang.
“Belukang,
kamu dengar sini. YB Sumbing itu sudah gila. Dia mahu bertanding teka-teki
dengan Dato’ Kontot, tetapi dia mahu abah carikan jawapannya. Matilah abah kali
ini, Belukang. Manalah abah tahu jawapannya. Sebelum apa-apa berlaku, lebih
baik abah pergi bersembunyi dulu. Abah akan turun dari rumah waktu malam nanti,”
kata Pak Belukang.
“Abah
mahu bersembunyi di mana?” soal Belukang lagi.
“Abah
mahu bersembunyi dalam gua di tepi sungai itulah. Sementara itu, besok kamu
pergi cari sampan dan bawa ke situ. Malam besok kita lari dengan sampan ke
kuala. Selepas itu kita pergi lapangan terbang. Kita naik kapal terbang dan
pergi melancong ke luar negara,” jelas Pak Belukang.
“Baiklah,
abah,” kata Belukang bersetuju.
Maka
Pak Belukang pun turun dari rumahnya menuju ke hutan secara senyap-senyap pada
malam itu, meninggalkan Belukang seorang diri di rumah. Keesokkannya, seperti
yang diminta ayahnya, Belukang pergi mencari sampan untuk mereka berangkat
pergi dari kampung bila malam nanti. Belukang bernasib baik. Dia menemui dua
biji sampan yang tertambat pada kayu pancang di tepi sungai. Dia berkira-kira
akan mengambil salah satu daripadanya selepas senja nanti.
Pada
malam terakhir sebelum hari pertandingan, Belukang sudah bersedia dengan begnya
tersandang di bahu. Dia menuju ke tempat sampan yang tertambat itu dengan
berhati-hati supaya tiada sesiapa pun yang melihatnya. Dari jauh dia melihat
cahaya api seperti lilin ada dalam sebuah daripada sampan itu . Terdapat dua
lembaga manusia yang menghadap lilin itu. Belukang merapatinya perlahan-lahan.
Setelah
hampir kira-kira tiga meter, belukang berselindung di sebalik rimbunan pohon
senduduk. Apabila diamatinya betul-betul, kenallah Belukang itu adalah Penyamun
Kuali dan Penyamun Mata Cangkul. Mereka sedang asyik bermain daun terup dalam
sampan itu. Sambil itu mereka rancak berbual dan sesekali ketawa besar sehingga
sampan itu teroleng-oleng.
Belukang
mengeluh dalam hati. Bagaimana dia mahu mengambil sebuah lagi sampan itu? Kalau
dibuat helah hendak pergi memancing, dia tidak membawa joran pula. Lagipun
mereka tentu mengesyaki sesuatu bila melihat beg besar yang disandangnya.
Belukang terus termanggu-manggu sambil mengharapkan penyamun-penyamun itu
pergi.
Bagaimana
pula kalau Belukang menakut-nakutkan mereka? Balingkan mereka dengan anak batu
atau batang kayu contohnya. Tentu mereka akan lari ketakutan. Tetapi bagaimana
pula jika mereka tidak takut dan datang mengejar lalu menangkapnya. Nahas!
Lagipun mereka dua orang, orang dewasa pula tu. Manalah Belukang terlawan.
Tiba-tiba telinga Belukang menangkap
tutur kata perbualan mereka. Dia tertarik bila mendengar salah seorangnya
menyebut perkataan ‘teka teki’.
“Teka
teki semudah itu tidak mudah bagi mereka. Sampai mati pun mereka tidak akan
dapat cari jawapannya,” ujar Penyamun Kuali.
“Kau
tahu semua jawapannya?” tanya Penyamun Mata Cangkul.
“Mestilah
tahu. Engkau mahu aku jawab?” balas Penyamun Mata Cangkul.
“Eh,
jangan! Nanti bocor rahsia,” Penyamun Kuali menahan.
“Apa
yang nak ditakutkan? Tiada siapa dalam belukar dan sungai ini melainkan
cengkerik dan burung hantu. Kalau mereka bocorkan rahsia, kita bunuh mereka seekor
demi seekor,” ujar Penyamun Mata Cangkul.
“Kalau
begitu, engkau laungkan kuat-kuat jawapannya,” cabar Penyamun Kuali selamba.
Penyamun
Mata Cangkul pun menjerit sekuat hati teka teki itu berserta jawapannya sekali. Sangkaan mereka
tiada orang lain mendengarnya meleset sama sekali. Di sebalik semak
berhampiran, Belukang mendengar dengan amat jelas dan terus menghafalnya. Bodoh
sekali mereka ini, hanya sebab tidak mahu mengalah dalam cabar-mencabar, rahsia
sulit sudah terbongkar.
Belukang
terjerit kuat dan melompat ke belakang apabila melihat seekor ular senduk merayap
di tepinya. Berderau darahnya bagaikan guruh merudum. Tubuhnya serta-merta
berasa seram sejuk. Bagaimanapun, ular itu terus menjalar pergi tanpa menghiraukan
Belukang. Aneh, takkan ia tidak nampak Belukang di situ. Namun apa yang lagi aneh,
kedua-dua penyamun itu juga langsung tidak menghiraukan jeritan Belukang tadi. Sungguh
mustahil jika mereka tidak mendengarnya. Mereka terus bermain daun terup tanpa
merasa terganggu.
Ular
senduk itu memanjat naik sampan lalu melingkar pada tin yang menempatkan lilin di
tengah-tengah ke dua-dua penyamun itu. Bagaimanapun, kedua-dua penyamun itu
terus bermain daun terup bagaikan tidak nampak akan ular itu . Boleh jadi
penyamun-penyamun itu dalam keadaan khayal atau mabuk. Sebab itulah mereka
tidak menghiraukan benda apa pun di sekeliling mereka, walaupun ular senduk!
Belukang
mula terfikir, jikalau ular senduk itu pun mereka tidak hiraukan, pasti mereka
juga tidak akan menghiraukan Belukang jika dia keluar dari sebalik rimbunan
senduduk itu. Maka dengan penuh yakin Belukang pun keluar lalu menghampiri sebuah
lagi sampan di sebelah sampan yang diduduki oleh penyamun-penyamun itu.
Belukang
berasa pelik, penyamun-penyamun itu bersembang elok sahaja, tidak pula
merepek-repek seperti orang mabuk pun. Lagi menghairankan Belukang, kedua-dua
penyamun itu berbual dengan mata masing-masing tertutup rapat. Setelah
memerhati sejenak, barulah Belukang tahu yang mereka berdua sebenarnya sedang
mengigau. Patutlah mereka tidak nampak ular di hadapan mereka, mahupun kehadiran
Belukang di situ.
Belukang
sengaja melepaskan ikatan kedua-dua buah sampan itu daripada kayu pancangnya. Dia melompat naik ke
atas sampan yang kosong dan terus mendayung menuju ke gua tempat ayahnya sedang
menunggu. Dia mahu menghalang niat ayahnya untuk melarikan diri. Ayahnya mesti
hadir ke balairaya esok bersama jawapan teka teki yang baru dipeolehinya itu.
Sampan yang diduduki oleh
penyamun-penyamun mulai hanyut ke tengah mengikut arus sungai. Bersama-sama
penyamun-penyamun itu, ada satu lagi penumpang, iaitu seekor ular senduk!