15 Bisu Punya
Screwdriver
Matahari sudah
hilang di sebalik barisan bukit-bukau. Hanya cahaya merahnya sahaja membias
pada gumpalan-gumpalan awan. Ini menandakan Imi dan Nia perlu segera pulang.
Untuk mengelakkan emak masing-masing bising, mereka terpaksa berada di rumah
sebelum maghrib. Mereka perlu mandi dan mempersiapkan diri. Selepas makan dan
solat maghrib, mereka perlu segera ke rumah To’ki Wahid untuk mengaji al-Quran.
Pada
masa cuti sekolah ini, Imi dan Nia turut belajar mengaji al-Quran waktu malam.
Mereka bersama-sama hampir dua puluh orang budak-budak lain di kampung itu
berguru dengan To’ki Wahid. To’ki Wahid adalah seorang guru agama tradisional
lepasan sekolah pondok di Pattani, Thailand.
To’ki
Wahid bersama isterinya, Nenek Ramlah sudah mengajar mengaji al-Quran sejak
sekian lama. Hampir tiga generasi To’ki Wahid dan Nenek Ramlah sinonim dengan
guru al-Quran bagi penduduk di Kampung Batu Hampar. Boleh dikatakan kebanyakan
ibu bapa kepada anak-anak muridnya sekarang ini pun pernah berguru dengan
mereka sewaktu kecil dahulu.
Walaupun usia
suami isteri guru al-Quran ini sudah pun melewati tujuh puluh tahun, mereka
masih berupaya dan tidak jemu mengajar anak-anak bangsa kampungnya mengaji.
Malah To’ki Wahid masih lagi garang dan tegas ketika mengajar seperti mana dia
masih muda dahulu.
Sewaktu
menunjukkan anak-anak muridnya mengaji, To’ki Wahid menggunakan penunjuk lebih
besar daripada ibu jarinya. Penunjuk yang panjangnya kira-kira sekaki itu sudah
kehitam-hitaman menunjukkan sudah sekian lama ianya digunakan. Penunjuk yang
diperbuat daripada buluh itu jugalah yang digunakan oleh To’ki Wahid untuk
memukul tangan anak-anak muridnya apabila tersilap atau terlalai di dalam
bacaan.
“Tengok
betul-betul huruf apa, baris di mana. To’ki cucuk mata dengan penunjuk ini
nanti.” Ayat ugutan yang biasa digunakan oleh To’ki Wahid apabila menegur
kesalahan bacaan anak muridnya. Mata Imi sendiri pun sudah beberapa kali
diacukan hujung penunjuk buluh yang agak runcing itu oleh To’ki Wahid.
Bimbangnya Imi usah dikata. Tak sanggup dibayangkannya jika buluh penunjuk itu
terpacak di lubang matanya. Ngeri!
Sifat
garang dan tegas To’ki Wahid membuatkan anak-anak muridnya sentiasa kecut
perut. Oleh itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki mutu
bacaan. Dan sudah tentulah ada di kalangan anak-anak muridnya yang berusaha
bukannya untuk menjadi pandai sangat, tetapi kerana takutkan To’ki Wahid.
Satu
lagi masalah yang biasa dihadapi oleh anak-anak murid To’ki Wahid ialah untuk
menyebut bunyi perkataan atau ayat seperti yang dikehendaki oleh guru mereka
itu. Ini kerana To’ki Wahid yang sudah bergigi jarang itu akan mengeluarkan
bunyi yang polos apabila menyebut perkataan tertentu. Akhibatnya, anak muridnya
turut mengikut bunyi yang polos itu. Sedangkan To’ki Wahid mahukan bunyi mulut
yang kedap udara.
Maka
berulang-ulang kalilah To’ki Wahid cuba memperbetulkan bunyi perkataan anak
muridnya. Namun anak muridnya tetap menyebut perkataan itu dengan bunyi yang
salah. Naik bersembur juga air liur To’ki Wahid jadinya. Begitu juga dengan
anak-anak muridnya, ada yang sampai kebas-kebas lidah atau pun kejang-kejang
rahang dibuatnya. Malah ada yang menjadi sebak hendak menangis akhibat dijerkah
berulang kali.
Dalam
kelam-kelam senja itu, dari jauh Nia sudah dapat melihat Din Bisu berada di
tepi laman rumah To’ki Wahid. Dia yang duduk di atas basikalnya dengan
bertongkatkan sebelah kaki, kelihatan tersenyum memandang Nia yang hampir tiba.
Nia dapat mengagak, pasti Din Bisu sedang menunggunya. Tentunya tiada tujuan
lain lagi Din Bisu datang ke situ selain untuk mengganggunya.
Sebenarnya
sewaktu Nia datang mengaji pada tengah hari tadi pun Din Bisu telah sedia
menunggunya di tempat yang sama. Din Bisu datang untuk menunjukkan pada Nia
aksesori baru pada basikalnya. Dia telah mengikat sebiji kerusi plastik pada
boncengan basikalnya bagi menjadikannya nampak lebih esklusif daripada
boncengan basikal-basikal biasa. Dengan ini, dapatlah penumpang basikal Din
Bisu duduk bersandar dengan selesanya di belakang. Tapi kerusi plastik itu
nampaknya serupa sahaja dengan kerusi di warung kopi Pak Yunus. Hm, bolehlah…
Din
Bisu menawarkan Nia untuk membonceng basikalnya. Dengan bahasa isyarat, dia
menyatakan yang dia sanggup menghantar Nia pergi mengaji serta menjemputnya
pulang. Din Bisu juga sedia membawa Nia meronda-ronda kampung dengan
basikalnya. Wow, sepekak-pekak Din Bisu pun, jiwa romeonya tetap ada! Dan dia juga
akan belanja Nia makan air batu campur semasa meronda-ronda itu…
Namun Nia
menolaknya mentah-mentah. Tak sanggup dia naik basikal dengan Din Bisu. Apalagi
kalau membonceng di kerusi plastik yang nampak sungguh kelakar itu. Nia sendiri
ketawa berdekah-dekah bila melihat modfikasi canggih pada basikal Din Bisu tersebut.
Unik dan belum pernah dibuat orang. Entah dari manalah Din Bisu mendapat idea.
Kemungkinan dia telah mendapat inspirasi daripada motosikal Harley Davidson
yang dilihatnya di televisyen.
Oh, ya. Mungkin
juga Din Bisu terpengaruh dengan motosikal Honda Goldwing milik Pak Zain,
Pengerusi JKKK. Selalulah petang-petang penduduk Kampung Pulau Bahagia akan
dapat melihat Pak Zain bersiar-siar dengan motosikal besarnya itu. Biasanya
isteri atau anak-anaknya akan membonceng di tempat duduk bersandar mewah di
belakangnya. Bayangkan ketika bersiar-siar itu, Din Bisu datang mengayuh
basikal berstereng lori dan berkerusi plastiknya menyaingi di sebelah motosikal
Honda Goldwing Pak Zain. Pasti Pak Zain dan Isterinya merasa tercabar! Dan
kalaulah Nia pula yang membonceng basikal Din Bisu itu…
Din
Bisu berkecil hati apabila basikalnya dipersenda-sendakan oleh Nia. Dia
menganggap gadis pujaannya itu sombong. Hasil penat lelah usahanya itu tidak
dihargai langsung. Nia perlu diajar. Din Bisu mendapat satu akal untuk memaksa
Nia menurut permintaannya. Sememangnya otak Din Bisu sungguh kreatif mencari
jalan penyelesaian.
Apabila
Nia naik ke atas rumah To’ki Wahid untuk memulakan pengajiannya, Din Bisu
bertindak mengambil selipar Nia. Dia menyelitkan selipar itu pada kerusi
plastik basikalnya. Dia bertekad untuk tidak memulangkan selipar itu selagi Nia
tidak sudi membonceng basikalnya. Dia mahu Nia datang merayu dan melutut
padanya.
Setelah
satu jam lebih Din Bisu menunggu dengan sabar, akhirnya Nia dan rakan-rakannya
habis mengaji. Din Bisu hanya tersenyum-senyum bila melihat Nia tercari-cari
akan seliparnya di sekitar dan di bawah tangga. Din Bisu melambai-lambai pada
Nia lalu menunjukkan sepasang selipar berwarna merah jambu padanya.
Dengan
marahnya Nia menerpa ke arah Din Bisu, tetapi Din Bisu mengelak. Din Bisu lari
berpusing-pusing sambil dikejar Nia. Sekali lagi Din Bisu memberi isyarat
meminta supaya Nia bersetuju membonceng basikalnya. Nia menggelengkan kepala.
Din Bisu mengacah-ngacah untuk membaling selipar Nia ke atas bumbung rumah
To’ki Wahid pula.
Akhirnya
Nia terpaksa menyatakan dia bersetuju membonceng basikal Din Bisu dengan syarat
seliparnya dipulangkan terlebih dahulu. Nia menghulurkan tangannya sambil
merayu. Din Bisu tahu, itu hanya helah Nia untuk mendapatkan kembali
seliparnya. Dia tidak percaya lagi Nia mahu memboncengnya.
Din Bisu
memegang tangan Nia itu lalu melekapkannya di belakang punggungnya. Dengan
segera meneran lalu terlepaslah sebiji kentut yang besar. Kemudian Din Bisu
berlari mendapatkan basikalnya sambil ketawa besar. Nia menjerit marah.
Cepat-cepat dia berlari ke pili air untuk membasuh tangannya. Dia merasa begitu
jijik walaupun hanya angin kentut sahaja yang terkena pada tangannya.
Imi terpaksa
membantu dengan mengejar Din Bisu dan merebut selipar Nia daripadanya. Nasib
baik dapat. Hampir putus juga selipar itu ditarik Din Bisu. Nia berterima kasih
pada Imi. Dalam pada itu dia menyumpah-nyumpah geram pada Din Bisu biarpun
budak nakal itu sudah jauh berlalu.
Dan
kini Din Bisu muncul lagi. Memang dia suka merayau tidak kira siang atau malam.
Seperti diduga, Din Bisu terus memujuk Nia untuk membonceng basikalnya. Ini
sudah satu perbuatan gila. Mahu dibawa berbasikal ke mana malam-malam buta
begini?
. Nia
nampaknya tidak mahu melayan langsung akan Din Bisu. Menoleh pun tidak. Hatinya
masih bengang dengan kejadian tengah hari tadi. Kali ini Nia mengisi seliparnya
ke dalam sebiji beg plastik dan dibawa naik bersama untuk mengelakkan daripada
diambil oleh Din Bisu lagi.
Akhibatnya Din
Bisu menjadi geram. Din Bisu bertekad mahu membalas dendam. Dia mahu mengajar
Nia cukup-cukup. Kali ini Nia pasti akan menyesal. Din Bisu mengayuh basikal
pulang. Tak sampai sepuluh minit kemudian dia muncul kembali di depan rumah
To’ki Wahid dengan sebatang screwdriver
ditangannya.
Setelah
menyandarkan basikalnya di pagar kawat duri, Din Bisu berjalan terhendap-hendap
di dalam gelap menuju ke bawah rumah To’ki Wahid. Keadaan di bawah beranda itu
agak gelap. Ini kerana tiada cahaya dapat menembusi lantai kerana telah dialas
dengan tikar getah. Melalui sebiji lubang pada pagar beranda, Din Bisu
mendapati Nia duduk di dalam kelompok besar budak-budak yang sedang mengaji.
Sukar baginya menentukan kedudukan Nia secara tepat dari bawah beranda.
Akal Din Bisu
mencongak-congak lagi. Satu-satunya peluang untuk menjalankan misinya itu tanpa
gagal ialah apabila Nia datang mengadap To’ki Wahid ataupun Nenek Ramlah untuk
memperdengarkan bacaan al-Qurannya. Setiap anak murid akan mengadap salah
seorang daripada pasangan guru mereka itu mengikut giliran di satu sudut
beranda sebelum menamatkan pengajian hari itu.
Din
Bisu terpaksa bersabar lagi menunggu sehingga giliran Nia datang mengadap To’ki
Wahid. Dan apabila waktu itu tiba, Din Bisu pun masuk ke bawah beranda dan
cepat-cepat menuju ke arah sudut tersebut. Setelah betul-betul yakin dengan
kedudukan Nia, Din Bisu pun bersedia dengan hujung screwdrivernya di tujukan pada lubang di celah lantai.
Sementara
itu di atas beranda, bacaan Nia terhenti apabila ditegur oleh To’ki Wahid.
“Macam
ni panjang bunyinya, walaaaaaa…” kata To’ki Wahid.
“Walaaa…”
sebut Nia cuba mengikutnya.
“Walaaaaaa…”
tegur To’ki Wahid lagi. Di kala itu juga dia merasa sesuatu benda keras di
bawah punggungnya. Dia terdiam sambil merenung muka Nia.
“Walaaa…” Nia
cuba meperbaiki sebutannya.
“Tak kena tu,
walaaaaaa… ahhhh… ahhh…” pembetulan dari To’ki Wahid lagi dengan menambah bunyi
berlagu seperti mengerang di hujungnya. Ini kerana di kala itu jugalah punggung
To’ki Wahid diterjah oleh hujung screwdriver
Din Bisu buat kali ke dua. Hujung screwdriver
yang tajam itu telah pun menembusi tikar getah.
“Walaaa… ahhhh…
ahhh…” Nia pun mengikut bunyi berlagu seperti mengerang itu juga.
“Ahhh… ahhh…
aduh… aduh…” kata To’ki Wahid lagi tersangkut-sangkut, tapi masih berlagu.
“Ahhh… ahhh…
aduh… aduh…” Nia mengikutnya dengan rasa hairan. Apa To’ki ni? Takkanlah dah
nak jadi macam lagu dangdut pula, desis hatinya. Dia memandang muka To’ki Wahid
pula yang berkeriut menahan sakit itu.
Akhirnya
To’ki Wahid rebah mengiring ke riba nenek Ramlah di sebelah. Tangan kanannya
menekup punggung sambil mengerang-ngerang kesakitan. Nia yang duduk di depannya
terkejut dan tergamam. Apa lagi setelah dia melihat ada sebatang besi yang tirus
di hujungnya timbul dari bawah tikar getah di tempat duduk To’ki Wahid tadi.
Batang besi itu ditujah ke atas dan ditarik ke bawah semula berulang kali.
Terdapat kesan darah pada hujung screwdriver itu.
“Ada
orang jolok To’ki Wahid!” Nia menjerit. Rakan-rakan lain segera menerpa dan
mengerumuni To’ki Wahid. Ramai juga yang sempat melihat batang besi itu timbul
melalui lubang pada tikar getah sebelum ia hilang tidak muncul-muncul lagi.
Imi
dan beberapa budak lelaki lain segera berkejar turun ke bawah. Mereka sempat
melihat kelibat Din Bisu lari susup-sasap dalam gelap itu.
“Kejar
dia! Kejar dia!” jerit Imi.
Walaupun mereka
cuba mengejarnya, tetapi untuk hanya beberapa puluh meter sahaja sebelum jejak
Din Bisu hilang dan gagal dikesan lagi.
Darah
mula membasahi kain pelikat To’ki Wahid. Ada cecair likat yang berbau masam
juga turut keluar bersama-sama darah. Rupa-rupanya selepas jolokan kali ke tiga
tadi, screwdriver Din Bisu telah
mencucuk buasir To’ki Wahid. Din Bisu sendiri tidak menyedari yang dia sudah
tersilap sasaran. Mati-mati dia fikirkan Nia sudah terkena jolokan screwdrivernya, pada hal orang lain pula
yang menjadi mangsa. Din Bisu berasa sungguh riang kerana pada anggapannya,
dendamnya pada Nia sudah dilangsaikan.
To’ki Wahid
telah mengalami buasir sejak berbelas tahun dahulu dan sehingga kini ia semakin
kronik. Sekarang apa yang dibimbangi To’ki Wahid sudah berlaku, buasirnya sudah
pecah! Kerap kali juga To’ki Wahid memakai lampin dewasa untuk melindungi
buasirnya, tetapi hari itu berkebetulan sungguh dia terlupa memakainya.
Nenek
Ramlah meminta salah seorang anak muridnya pergi memanggil anaknya, Pak Rashid
yang hanya tinggal bersebelahan. Pak Rashid kemudiannya segera membawa To’ki
Wahid ke klinik. Dengan itu juga, kelas mengaji al-Quran ditamatkan lebih awal
daripada biasa. Dan sudah tentulah ini mengembirakan Imi dan rakan-rakannya!