Ahad, 10 Jun 2012

Madu Tiga Suku - Bab 14


14.  Ibu Ayam Dikejar Musang
            Lekanya Jamilkhir menghabiskan masa bersama isteri barunya, Rudjini di kampung sehingga dia tidak menghiraukan yang dia sudah terlajak cuti selama tiga hari. Pada hari ke empat, dia menerima SMS daripada Razi yang menyatakan jika dia tidak hadir lagi kerja pada hari itu tanpa sebab, Tuan Haji Razali akan memberhentikannya dengan serta merta.
            Maka kelam-kabutlah Jamilkhir kembali ke Bandar Marang. Rudjini tidak ikut bersama kerana tidak sempat bersiap. Lagi pun Jamilkhir belum mendapatkan rumah lagi untuk mereka suami isteri tinggal bersama di Bandar Marang. Jamilkhir tiba di pejabatnya ketika waktu kerja sebelah petang baru bermula. Bolehlah dia berkerja separuh hari pada hari itu.
            Sebaik melihat kelibat Jamilkhir, Razi terus memaklumkan yang Tuan Haji Razali mahu bersemuka dengannya dengan segera. Tanpa bertanya lebih lanjut pada Razi, Jamilkhir terus menuju ke pejabat ketuanya itu.
            Jamilkhir mengetuk pintu bilik Tuan Haji Razali tiga kali dan membuka pintu dengan hati-hati disertai dengan memberi salam. Selepas salamnya berjawab dan disuruh masuk, Jamilkhir mendekati meja tulis ketuanya itu.
            “Mangapa kamu datang liwat?” sepantas kilat soalan itu terpancul dari mulut Tuan Haji Razali.
            “Er… tuan. Bukan liwat, lewat,” tegur Jamilkhir.
            “Ops… silap pula. Hah, apa pasal kamu datang kerja lewat hari ini? Dan apa alasan kamu tidak datang kerja tiga lepas hari tanpa kebenaran?” tanya Tuan Haji Razali kembali.
            Jamilkhir meraup mukanya lalu menjawab, “er, saya minta maaf tuan. Saya tidak tersedar cuti saya sudah habis, tuan.”
            Tuan Haji Razali menyinga. “Itu alasan bodoh! Apakah kamu tiada kalendar?” herdiknya.
            “Ada tuan. Sebetulnya saya tidak cukup cuti tuan,” Jamilkhir berterus terang mengaku salah. Tiada guna baginya menciluk-ciluk jawapan bersimpang siur. Lagi jauh dia menciluk, lagi panjanglah cerita terpaksa direkanya.
            “Apa tidak cukupkah cuti tiga hari, ditambahlagi dengan cuti hujung minggu dua hari itu? Kamu tambah pula cuti selama tiga hari lagi tanpa kebenaran saya. Saya boleh pertimbangkan jika kamu pohon cuti mengikut prosedur. Saya juga akan benarkan jika kamu terpaksa cuti kerana kecemasan, tetapi beritahulah saya dahulu. Ini tidak, kamu hilang terus tanpa khabar berita. Saya ingat kamu sudah meninggal. Nasib baik kamu muncul hari ini. Kalau tidak, esok saya fikir mahu pergi ziarah di mana kubur kamu,” Tuan Haji Razali berleter panjang.
            “Bukan saya tidak mahu beritahu tuan terus, tetapi saya tangguhkan dulu untuk memaklumkan pada tuan sehingga saya datang semula ke pejabat. Sekarang saya hendak memohon pada tuan agar meluluskan cuti tambahan saya selama tiga hari itu,” kata Jamilkhir dengan beraninya. Tiada langsung rasa bersalah yang ditunjukkan oleh Jamilkhir. Ini membuatkan hati Tuan Haji Razali semakin berang.
            “Mengapa kamu tak minta cuti sebulan terus? Lagi bagus. Kamu jangan susah hati lagi saya sudah luluskan cuti kamu… uhuk! Huk! Huk! Kof-kof-khof…” Tuan Haji Razali tersedak kerana terlalu marah.
            “Tuan beri saya cuti sebulan? Terima kasih, tuan,” ucap Jamilkhir lalu berdiri. Dia mengambil tangan Tuan Haji Razali dari meja untuk berjabat salam.
            Kof-kof-khuf-khuf… Tuan Haji Razali terbatuk hingga terhangguk-hangguk. Jamilkhir tersilap anggap Tuan Haji Razali mengangguk tanda mengiakan pertanyaannya.
            Ayat Tuan Haji Razali yang tidak habis itu telah disalah tafsir. Sebenarnya Tuan Haji Razali berhajat mahu berkata ‘kamu jangan susah hati lagi, saya sudah luluskan cuti kamu seumur hidup, jika kamu suka’, yang membawa maksud dia tidak akan teragak-agak memberhentikan Jamilkhir sekiranya Jamilkhir tidak menganggap perkara itu serius.
            “Kalau begitu, saya mahu pulang sekaranglah tuan,” Jamilkhir memohon diri.
            Kof-kof-khuf-khuf…Tuan Haji Razali terhangguk-hangguk lagi. Maka keluarlah Jamilkhir dari bilik ketuanya itu dengan girangnya.
            “Razi! Aku dapat cuti sebulan!” jerit Jamilkhir dari jauh. Beberapa staf lain tercangak-cangak hairan.
            “Tuan Jamil dapat cuti sebulan? Biar betul!” balas Razi dengan penuh hairan. “Tadi Tuan Haji Razali nak marah bukan main lagi pada Tuan Jamil, alih-alih Tuan Haji Razali beri cuti sebulan pula pada Tuan Jamil. Tidak faham saya,” Razi menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
            “Memang awal-awal tadi Tuan Haji Razali marah, tapi lepas Tuan Haji tengok sahaja wajah aku, dia terus jadi lembut hati. Itulah rahmat yang dikurniakan tuhan kepada orang-orang yang kawin tiga macam aku ni, kalau kamu nak tahu. Mungkin Tuan Haji ada nampak nur terpancar pada dahi aku ini,” kata Jamilkhir berseloroh.
            Razi mengangguk-angguk kagum.
            “Razi, petang nanti kau ikut aku balik rumah. Aku mahu kamu berlakon bersama aku supaya Fara tidak marahkan aku sebab pulang lewat tiga hari,” ajak Jamilkhir.
            “Saya kena berlakon macam mana tuan?” soal Razi.
            “Itu perkara rahsia. Sekarang mari masuk ke bilik aku, aku akan beritahu dan kita buat sama-sama,” ajak Jamilkhir.
                                                                        *****
            “Razi kau jangan lupa, kalau Kak Fara tanyakan engkau pasal aku, kau jangan cakap apa-apa. Kau nyanyi hanya nyanyi lagu Anak Ayam Dan Ibu Ayam saja, faham?” pesan Jamilkhir ketika keretanya yang dipandu oleh Razi membelok masuk ke pintu pagar rumah Liafara.
            “Faham, tuan,” balas Razi bersungguh-sungguh.
            Dari tempat duduk belakang, Jamilkhir menekan nombor kod keselamatan pada kotak panel yang terletak di laluan masuk, kira-kira dua meter dari pintu pagar. Pintu pagar besi besar itu pun terkuak dengan sendirinya. Razi memandu masuk kereta sebelum pintu pagar ditutup rapat semula.
            Liafara terpancul di muka pintu dengan muka masam. Namun dia terperanjat apabila melihat keadaan Jamilkhir setelah dipimpin keluar dari kereta oleh Razi.
            “Abang! Kenapa ni?” jerit Liafara seraya menerpa ke arah suaminya itu. Dia membelek-belek kepala Jamilkhir yang hampir keseluruhannya dibalut kain putih.
            “Inilah fesyen baru abang. Fesyen ini dinamakan fesyen tahi cicak,” kata Jamilkhir berlawak. Dia yang memakai suit coat dan kasut kulit hitam, manakala kepala pula dibalut putih, memang serupalah dengan tahi cicak.
            “Abang jangan cakap main-main. Ni, kenapa kepala abang berbalut? Abang dari mana?” tanya Liafara bertubi-tubi.
            “Kalau ya pun, bawalah abang masuk dulu,” kata Jamilkhir. Butir suaranya kurang jelas kerana mulutnya juga dililit kain putih.
            Jamilkhir pun dipimpin masuk oleh Razi dan Liafara lalu didudukkan ke atas sofa dengan hati-hati.
            “Apa yang terjadi, abang,” desak Liafara.
            “Hmmm…” balas Jamilkhir. Sengaja dia tidak menjawabnya untuk membiarkan Liafara terus dalam keadaan bimbang. Dengan ini, Liafara tidak akan tergamak memarahinya kerana terlewat pulang tiga hari.
            “Apa yang berlaku pada Tuan Jamil kamu ni, Razi?” Liafara bertanya Razi pula.
            Razi berdehem dua tiga kali sebelum menyanyikan sebuah lagu popular kanak-kanak, dengan penuh perasaan menggunakan melodi akustika lagi.
                        Ibu ayam dikejar musang, anak ayam cari ibunya,                                                        Ibu ayam berlari terus lari, dan ditangkap musang,                                                 Anak ayam mencari terus cari, ibunya yang hilang…                                                           Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…
            Terpegun Liafara. “Eh, saya tanya apa yang telah berlaku pada Abang Jamil, mengapa kamu menyanyi?” tanyanya.
            “Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…” Razi mengulang baris terakhir lagu Anak Ayam Dan Ibu Ayam itu.
            “Saya tanya ini, bukan suruh kamu nyanyi,” segah Liafara.
            “Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…” Razi menyanyi lagi.
            “Kamu ini betulkah? Atau sudah mereng?” desak Liafara.
            Razi membalasnya dengan hanya menyanyi, “ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…”
            “Aduh, pening kepala aku. Macam-macam jenis penyakit pelik aku jumpa. Hai, ya Allah! Dugaan apalah yang tengah aku hadapi ini?” Liafara mengeluh geram. Dia menghempaskan punggungnya di sebelah Jamilkhir.
            “Abang, baik abang cakap apa yang berlaku pada abang. Kalau tidak, Fara akan buka balutan kain di kepala abang ni,” ujar Liafara sambil menarik-narik kain balutan itu. Jamilkhir terpaksa menahan kain balutan itu daripada terburai.
            “Ok, ok, abang akan beritahu. Sebenarnya telinga abang telah digigit musang. Masa abang mengunjungi sebuah rumah orang asli dalam hutan dulu, abang diserang oleh musang yang dipelihara oleh orang asli itu,” kata Jamilkhir.
            “Orang asli bela musang? Mana ada orang bela musang, abang? Orang itu hendak buat apa dengan musang tu? Abang jangan nak tipu,” desak Liafara lagi.
            “Eh, bukan. Bukan orang asli itu bela musang, tersasul pula abang. Orang asli itu bela ayam sebenarnya. Musang itu datang untuk baham ayam orang asli itulah,” kata Jamilkhir tergagap-gagap.
            “Habis tu, buat apa musang itu gigit abang? Kenapa ia tidak gigit ayam saja?” tekan Liafara. Dia menggigit-gigit bibirnya sendiri.
            “Masa Musang itu hendak terkam seekor ibu ayam, abang sempat selamatkan ayam itu. Jadi, musang itu pun marahlah pada abang. Ia lompat ke atas bahu abang dan gigit telinga abang. Telinga abang rabak teruk hinggakan terpaksa dijahit di hospital,” Jamilkhir bercerita dengan bersungguh-sungguh.
            Disebabkan ragu-ragu dengan cerita yang kurang dapat diterima akal itu, Liafara hanya membuat bibir gaya muncung itik.
            “Sudahlah tu, malam nanti kita makan di luar ya? Kita pergi ke restoren favourite Fara, makan ikan steamboat, nak?” pujuk Jamilkhir. Sempat juga dia menjeling pada Razi sambil mengenyitkan mata. Razi membalas dengan menjuihkan bibirnya.
            “Er… Razi, kamu boleh pulang sekarang. Terima kasih banyak kerana tolong hantar saya balik ke rumah, ya,” kata Jamilkhir.
            “Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…” balas Razi lalu beredar.
            “Lepas makan steamboat, kita tengok wayang, ya sayang,” pujuk Jamilkhir lagi.
            “Abang nak pergi tengok wayang dengan kepala berbalut begini?” tanya Liafara acuh tak acuh.
            “Demi Fara, abang tidak akan rasa malu jika orang lain tengok. Abang tidak kisah jika mereka kata apa sekalipun,” balas Jamilkhir.
            Liafara mendiamkan diri dengan memandang ke arah lain. Jamilkhir faham, isterinya bersetujulah itu. Cuma perlu terus dipujuk dan dirayu sedikit sahaja lagi…
                                                            *****
            Jamilkhir tiba-tiba menyedari yang dirinya berupa seekor ibu ayam. Bila dan bagaimana dia menjadi seperti itu, dia tidak tahu. Dia berketok-ketok sambil kakinya mencakar-cakar tanah. Apabila ternampak cacing ataupun telur cacing, dia segera mematuknya.
            Secara tiba-tiba juga Jamilkhir berasa kehilangan anak. Bagaimana dan sejak bila pula dia beroleh anak, dia sendiri pun tidak tahu. Jamilkhir mula berketok-ketok kuat memanggil anaknya. Yang pastinya, anaknya juga adalah seekor anak ayam. Serasanya, baru sekejap tadi anaknya itu ada mematuk tanah bersamanya. Jamilkhir pun berkejar ke sana dan ke mari mencari anaknya.
            Tiba di satu tempat, Jamilkhir mendengar suara menyanyikan lagu sayup-sayup dari kejauhan. Ya, dia kenal dengan lagu itu.
                        Ibu ayam dikejar musang, anak ayam cari ibunya,                                                        Ibu ayam berlari terus lari, dan ditangkap musang,                                                 Anak ayam mencari terus cari, ibunya yang hilang…                                                           Ohh kasihan, ohh kasihan, aduh kasihan…
            Dan apa yang lebih menakjubkannya lagi, suara nyanyian itu mirip seperti suara Razi!
            Tiba-tiba Jamilkhir mendengar satu bunyi lagi. Sesekali macam bunyi kucing, sesekali macam bunyi suara perempuan pula. Apa yang dia tahu, sebaik sahaja mendengar bunyi itu, dia menjadi takut. Bunyi itu datangnya daripada sesuatu yang menggerunkan.
            Jamilkhir melihat seekor musang besar muncul di tengah-tengah jalan di depannya. Namun dia seakaan-akan biasa pula melihat wajah musang yang garang menyerigai itu. Ya, muka musang itu mirip wajah Tuan Haji Razali apabila dia sedang marah. Bagaimana pula Tuan Haji Razali boleh menjadi seekor musang sekarang ini, lagilah Jamilkhir tidak tahu-menahu. Musang jadian agaknya, fikir Jamilkhir.
            Musang berwajah Tuan Haji Razali itu melompat tinggi dan menerkam ke arah Jamilkhir. Jamilkhir berketok semakin riuh kerana ketakutan. Dan sepantas kilat Jamilkhir berpusing ke belakang dan melarikan diri.
            Namun Jamilkhir terlanggar pokok lalu tercampak jatuh. Musang berwajah Tuan Haji Razali itu menerjah perutnya dan mencengkam dengan kuku. Jamilkhir sempat melihat gigi-gigi musang yang panjang dan tajam sebelum kepalanya dibaham rakus.
            Jamilkhir merasa sakit yang amat perit. Tetapi yang anehnya, hanya telinga kirinya sahaja yang sakit. Bahagian kepalanya yang lain tiada pula rasa sakit. Dek kerana tidak tertahan lagi, Jamilkhir terjaga. Sedikit demi sedikit dia mendapati dirinya berada di atas katil. Sah, dia bermimpi tadi. Dia berpaling ke kiri dan nampak muka Liafara. Rupa-rupanya Liafara yang telah menggigit telinganya!
            Liafara mendapati telinga Jamilkhir tidak cedera sedikit pun apabila balutan kepala suaminya itu tercabut semasa berkalih tidur. Dia merasa sungguh geram di tipu hidup-hidup lalu dia menggigit telinga Jamilkhir. Dan sekarang terbongkarlah temberang si Jamilkhir.
            Jamilkhir menekup telinga kirinya yang berbirat digigit itu. Liafara menghempaskan kepala Jamilkhir dengan bantal.
            “Dari siang tadi lagi Fara dah rasa abang tipu Fara, ha… aaa… aaa… aaa…” kata Liafara mula menangis.
            “Abang tipu Fara… aaa… aaa… aaa…” tangis Fara lagi. Jamilkhir tergamam, tidak tahu apa yang perlu dibuatnya.
            “Abang pergi rumah betina papan kayu berpaku itu kan? Sampai hati abang, tiga hari abang duduk di sana. Abang tidak adil, aaa… aaa… aaa…” Liafara terus menangis. Namun dia cuma menyangkakan yang Jamilkhir hanya pergi ke rumah madunya, Hasnina sahaja. Dia belum tahu yang suaminya telah berkawin tiga. Fuh… selamat aku, jerit hati Jamilkhir.
            “Tak apalah. Nina baru saja kawin. Biarlah abang duduk dengan dia lama sikit. Lagipun Nina kurang sihat dua tiga hari ini. Fara kan sudah lama kawin dengan abang, jadi tidak ada apa sangatlah yang nak dicemburukan. Abang harap Fara boleh bertimbang rasa sedikit, ya,” kata Jamilkhir.
            Dan malam itu berterus-terusanlah pujukan Jamilkhir hingga ke awal pagi. Maka dengan itu juga, terselamatlah rahsia besarnya untuk sementara waktu.