Selasa, 5 Jun 2012

Nujum Pak Belukang - Bab 14


14.       Geng Parang Sumbing
            Disebabkan YB Sumbing memegang jawatan wakil rakyat untuk kawasan Parlimen Kangkung Jaya, dia merasakan dia jugalah yang patut memegang jawatan tertinggi dalam parti di Kangkung Jaya ini. Pada pendapatnya, satu kawasan parlimen harus mempunyai seorang sahaja pemimpin yang merangkumi kedua-dua jawatan tertinggi itu . Ini penting untuk melicinkan pentadbiran dan menyatukan rakyat.
            Sebagaimana yang berlaku kini, banyak masalah timbul akhibat daripada pertembungan bidang kuasa oleh dua pemimpin ini. Banyak kali berlaku percanggahan pendapat dan tindakan. Jika YB Sumbing mendakwa cop pengesahannya adalah penentu sesuatu permohonan bantuan berjaya atau tidak, Dato’ Kontot pula mendakwa surat sokongan yang mempunyai tanda tangannya lebih berkuasa dan laku.
            Jika Dato’ Kontot mahu membuat majlis rumah terbuka hari raya peringkat Parlimen Kangkung Jaya di rumahnya, YB Sumbing pula mahukan majlis itu  diadakan di pusat khidmatnya. Pernah YB Sumbing mengadakan program aktiviti sukan belia di satu tempat, Dato’ Kontot pula segera menganjurkan lawatan membeli-belah ke luar daerah untuk anak-anak muda di tempat yang sama. Setiap seorang anak muda itu  akan diberi sejumlah duit saku.
            Perbuatan sabotaj-mensabotaj ini berlarutan hingga ke hari ini. Satu-satunya sahaja cara untuk memulihkan keadaan yang sungguh tidak sihat ini adalah dengan menyingkirkan Dato’ Kontot daripada jawatan tertinggi parti yang dipegangnya. Jika Dato’ Kontot menang lagi dalam pemilihan pimpinan dalam sedikit masa nanti, perkara ini tidak akan selesai.  Untuk merealisasikan tujuan itu, YB Sumbing berkerjasama rapat dengan seorang menteri kanan kerajaan pusat. Menteri ini membekalkan bantuan kewangan dan sokongan teknikal terus kepada YB Sumbing.
            Hari ini YB Sumbing tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan pertemuan dengan menteri itu . Dia ditemani oleh isterinya dan Seri Ayu. Pak Belukang juga turut ikut serta sebagai pembantu khas. Keluar sahaja dari ‘arrival gate’ di KLIA, mereka disambut oleh seorang lelaki bercermin mata gelap dengan ceria. Nampaknya mereka berdua sudah saling mengenali rapat hinggakan boleh berpelukan. Kemudian lelaki bercermin mata hitam itu membawa mereka ke sebuah kereta limosin.
            Kereta limosin itu terus meluncur ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berempat diturunkan di depan Hotel Legend, tempat penginapan mereka yang sudah ditempah awal-awal lagi. Belum sempat turun dari kereta, YB Sumbing diberitahu oleh lelaki bercermin mata gelap itu yang dia diundang ke sebuah coffee house untuk bertemu seorang VIP. Maka YB Sumbing menyuruh isterinya dan Seri Ayu check in bilik hotel dahulu. Dia mahu Pak Belukang ikut bersama pada mulanya, tetapi ditegah pula oleh lelaki bercermin mata gelap itu.
            Pak Belukang akur. Dia menyertai isteri YB Sumbing dan Seri Ayu mendaftar di kaunter. Isteri YB Sumbing check in untuk bilik kelamin sementara Pak Belukang dan Seri Ayu masing-masing check in bilik single. Mereka meletakkan beg-beg masing-masing di atas troli untuk di hantar oleh bellboy.
            Seri Ayu sudah tidak boleh bersabar lagi. Sudah lama dia hanya buat tidak tahu sahaja pada gelagat Pak Belukang. Sejak dari dalam kapal terbang lagi Pak Belukang asyik berusaha menarik perhatiannya. Macam-macam cara Pak Belukang buat. Mengenyit mata, berdehem-dehem, buat-buat batuk dan termasuklah membuat-buat latah supaya Seri Ayu tertawa. Namun Seri Ayu berlagak biasa seperti tiada apa-apa.
            Pada kali ini, sebaik sahaja Pak Belukang mengenyitkan mata padanya, Seri Ayu membalasnya dengan jegilan mata membulat. Namun Pak Belukang mengenyit mata sekali lagi sambil tersengih. Seri Ayu menjelirkan lidah pula membuatkan Pak Belukang membalas dengan memuncungkan bibirnya. Seri Ayu terkejut lalu berpaling pada isteri YB Sumbing dan berbisik sesuatu ke telinganya.
            Berderau darah Pak Belukang. Dia sedar tindakannya tadi agak melampau. Pasti Seri Ayu mengadu pada Isteri YB Sumbing yang Pak Belukang membuat gangguan seksual padanya. Dengan cemas, Pak Belukang segera meninggalkan mereka untuk naik ke biliknya.
            Di depan lif Pak Belukang bertemu dengan Bellboy bersama troli yang memuatkan beg-beg mereka. Matanya tertumpu pada beg pakaian Seri Ayu di celah-celah susunan beg yang banyak itu. Maka terlintaslah satu idea nakal di kepalanya.
            “Biar saya bawa sendiri beg ini,” kata Pak Belukang pada bellboy itu sambil mengangkat beg pakaian Seri Ayu. Budak bellboy itu hanya mengangguk hormat.
            Mereka pun memasuki lif sebaik pintunya terbuka. Pak Belukang berasa lega kerana Isteri YB Sumbing dan Seri Ayu belum lagi datang ke lif itu . Pak Belukang terus membawa beg pakaian Seri Ayu itu ke biliknya.
            Pak Belukang mencampakkan beg pakaian ke atas katil lalu mencari tuala dalam bilik air. Dia berasa perlu melepaskan hajat besarnya yang mana ‘wisel’ amarannya sudah pun berkali-kali bertiup sejak dari dalam pesawat tadi lagi. Alang-alang sudah di bilik air, Pak Belukang terus mandi untuk menyegarkan badan. Lagipun tubuhnya sudah melekit dengan peluh.
            Selepas keluar dari bilik air, Pak Belukang tergerak hati untuk melihat apa yang ada dalam beg pakaian Seri Ayu. Sebenarnya dia tidak bermaksud untuk mencurinya, tetapi ini hanyalah sebagai taktik supaya Seri Ayu datang padanya untuk meminta tolong. Ya, Pak Belukang akan menyembunyikan beg itu di satu tempat dan akan berlakon menilik mencarinya selepas itu.
            Beberapa helai pakaian serta pelbagai alat solek dan aksesori wanita ada dalam beg pakaian Seri Ayu. Pak Belukang tertarik pada sepasang baju tidur Seri Ayu. Dia membelek-beleknya sambil tersenyum.
            “Baik aku cuba pakai baju tidur ini,” kata Pak Belukang sendirian sambil tersenyum nakal.
            Selepas menyarung baju dan seluar tidur perempuan itu, Pak Belukang bergaya berpusing-pusing di depan cermin.
            “Kih kih kih kih…” Pak Belukang gelak sendiri.
            “Cantik amat baju tidur Seri Ayu ini. Lembut dan harum sungguh. Pasti inilah bau badan Seri Ayu, hmm…” kata Pak Belukang yang berfikiran nakal itu.
            Ketika dia berkira-kira mahu menukar pakaiannya, barulah Pak Belukang sedar yang beg pakaiannya sendiri belum lagi tiba ke biliknya. Pelik, desis hati Pak Belukang lalu menelefon receptionist hotel. Namun dia dimaklumkan yang begnya sudah pun dihantar.
            Dalam termanggu-manggu itu, telefonnya berdering. Seri Ayu yang membuat panggilan itu rupanya.
            “Beg pakaian Pak Belukang ada di bilik Seri. Bellboy tadi tersilap hantar,” kata Seri Ayu.
            “Oh, Pak Belukang dah tau beg Pak Belukang ada di bilik Seri Ayu. Pak Belukang baru sahaja buat hipnosis meniliknya. Belum sempat Pak Belukang menelefon Seri Ayu, Seri Ayu sudah telefon Pak Belukang dulu,” kata Pak Belukang berbohong. Ini sudah menjadi alasan yang kuat untuk dia pergi ke bilik Seri Ayu. Pasti dia dapat menyatakan hasrat hatinya pada Seri Ayu nanti tanpa gangguan sesiapa. Hati Pak Belukang menjerit gembira.
            “Pak Belukang datanglah ambil,” kata Seri Ayu tanpa perlu Pak Belukang memintanya dahulu.
            “Baiklah, sekarang juga Pak Belukang akan datang,” sahut Pak Belukang dengan gembira.
            “Tapi, beg pakaian Seri pula hilang,” kata Seri Ayu dengan nada sedih.
            “Apa? Beg pakaian Seri Ayu hilang?” Pak Belukang buat-buat terkejut.
            “Ahah.. Beg baju Seri hilang. Apa… Bellboy tidak ada hantar ke sanakah?” tanya Seri Ayu lagi. Suaranya seperti mahu menangis.
            “Seri Ayu bertenanglah dulu. Jangan bimbang, ya. Pak Belukang akan datang ke sana sekarang juga. Nanti Pak Belukang akan tolong buat hipnosis untuk mengesan di mana beg Seri Ayu,” pujuk Pak Belukang berlagak simpati.
            Sebelum bergerak ke bilik Seri Ayu, Pak Belukang tercari-cari akan tempat yang sesuai untuk menyorokkan beg pakaian Seri Ayu itu. Untuk diletakkan jauh-jauh, bimbang akan hilang terus pula. Akhirnya Pak Belukang menemui tempat yang sesuai, iaitu di belakang pasu bunga besar di koridor. Bilik Seri Ayu juga berada di tingkat yang sama, jadi mudahlah dia berlakon membuat hipnosis nanti.
            Pak Belukang menyanyi-nyanyi gembira. Inilah masanya untuk dia berbuat jasa pada Seri Ayu, yang seterusnya akan dijadikan batu loncatan bagi memikat hatinya pula. Sebelum menekan buzzer pintu bilik Seri Ayu, dia sempat memanjatkan doa penerang hati serta berdehem-dehem tiga empat kali supaya tutur katanya nanti lancar dan manis didengar.
            Seri Ayu menuggu kedatangan Pak Belukang dengan penuh harapan. Dia berdiri dibelakang pintu sambil membimbit beg pakaian Pak Belukang. Sebaik buzzer berbunyi, Seri Ayu segera membuka pintu. Hatinya lega bila melihat Pak Belukang berdiri di depan pintu dengan tersenyum manis. Namun tiba-tiba Seri Ayu terbeliak.
            “Ini baju tidur saya!” jerit Seri Ayu dengan kuat.
            Pak Belukang pula terperanjat. Serta-merta dia melihat baju yang dipakainya. Baju tidur Seri Ayu masih di badannya! Oh, dia terlupa sungguh hendak menukarnya tadi. Muka Pak Belukang merah padam. Dia kehilangan kata-kata. Darahnya dirasakan sejuk-panas-sejuk-panas berulangkali dengan cepatnya. Pak Belukang terlupa untuk menukar semula baju tidur itu setelah dicuba sarungnya tadi.
            Nampaknya perbuatan Pak Belukang sudah terbongkar sebelum sempat dia membuat apa-apa tilikan! Pak Belukang mati akal. Apa yang dia sempat terfikir ialah melarikan diri!
            Pak Belukang berpusing ke belakang lalu berlari ke arah tangga. Dia turun ke ruang lobi dengan dikejar oleh Seri Ayu. Mereka berkejaran mengelilingi ketiga-tiga kaunter receptionist dan sofa-sofa tempat menunggu. Sambil mengejar, Seri Ayu menghempuk-hempuk belakang Pak Belukang dengan beg pakaian Pak Belukang yang dibawanya. Mulutnya tidak henti-henti memarahi Pak Belukang. Staf-staf hotel serta orang ramai terpinga-pinga melihat kejadian itu.
            “Bagi balik baju tidur saya! Bagi balik beg pakaian saya!” teriak Seri Ayu.
            “Seri pakailah baju tidur abang, bukankah kita sudah berjanji nak berkongsi apa saja?” kata Pak Belukang untuk mengelirukan orang ramai supaya menganggap mereka adalah pasangan suami isteri yang sedang bergaduh. Kalaulah orang lain tahu hubungan sebenar mereka berdua, pasti haru-biru jadinya.
            “Hai, tengah-tengah hari lagi sudah pakai baju tidur. Siap main kejar-kejar sampai ke lobi lagi. Dahsyat..” bisik seorang receptionist pada rakannya. Rakannya itu hanya mampu menjuihkan bibir.
            Pak Belukang memanjat naik tangga semula sehingga ke tingkat lima, di mana bilik-bilik mereka berada. Pak Belukang berlari masuk ke dalam bilik Seri Ayu yang pintunya masih ternganga itu. Dia akhirnya terkepung di sudut dinding, tiada ruang lagi untuk melarikan diri.
            “Berkongsi apa saja? Pergi matilah engkau!” marah Seri Ayu dengan termengah-mengah.
            “Baiklah, saya menyerah kalah. Kalau Seri Ayu hendak semula baju ini, nah, datanglah ambil sendiri,” kata Pak Belukang sambil mendepangkan tangan.
            “Nak suruh saya buka baju itu dari badan awak? Please… Eee… jijik I,” bantah Seri Ayu.
            “Baiklah, saya akan pulangkan baju ini dengan beg pakaian awak. Tapi awak kena setuju dua syarat,” kata Pak Belukang.
            “Tak sedar diri! Awak yang curi, saya pula kena ikut syarat awak? Pergi matilah dengan syarat awak. Sekarang pulangkan barang-barang saya!” seranah Seri Ayu. Walaupun ayatnya kasar, tetapi suaranya yang halus itu tidak menggentarkan Pak Belukang. Malah Pak Belukang terasa asyik pula mendengarnya.
            Namun mata Seri Ayu yang merenung tajam membuatkan Pak Belukang tidak sanggup menatapnya. Tanpa berkata apa-apa, dia cuma ulangi tindakan merenggangkan tangan lalu mengangguk pada Seri Ayu sebagai isyarat supaya Seri Ayu datang mengambilnya sendiri. Lama Pak Belukang menunggu, namun Seri Ayu hanya kaku di situ.
            “Ok, apa syaratnya?” Seri Ayu bersuara akhirnya. Dia terpaksa mengalah kerana tidak mungkin dia sanggup membuka baju tidurnya daripada badan Pak Belukang itu.
            “Hmm… syarat pertama, jangan beritahu sesiapa perkara ini, lebih-lebih lagi YB. Syarat yang ke dua, awak kena jadi buah hati saya sebab saya sukakan awak,” kata Pak Belukang dengan menggerak-gerakkan keningnya.
            “Ok,” jawab Seri Ayu pendek. Maknanya dia bersetuju walaupun mukanya dibuat-buat serius seperti menyembunyikan sesuatu.
            Sungguh mengejutkan! Pak Belukang sendiri pun tidak menyangka ianya semudah itu. Dan akhirnya Pak Belukang kembali ke biliknya untuk menanggalkan baju tidur Seri Ayu, yang kemudiannya dipulangkan kembali bersama-sama dengan beg pakaian kepada Seri Ayu. Sebagai balasan, Seri Ayu menyerahkan semula beg pakaian Pak Belukang.
            Malam itu Seri Ayu memakai baju tidurnya yang telah dipakai oleh Pak Belukang sekejap petang tadi. Dia dapat merasakan kelainan pada baju itu, bagaikan mempunyai aura yang amat mengasyikkan. Aura itu sungguh halus menyelubungi tubuh dan ada yang menyelinap ke dalam jantungnya. Secara tiba-tiba timbul perasaan rindunya pada Pak Belukang. Semalam-malaman Seri Ayu tidak lena tidur. Fikirannya asyik terkenankan wajah Pak Belukang yang comot itu, tetapi sangat kacak pula pada pandangannya.
            Begitulah juga halnya dengan Pak Belukang. Kelopak matanya tetap terasa keras walaupun sudah dicubanya bersungguh-sungguh untuk tidur. Dipusingnya badan ke kiri, dia rasa berasa resah. Dipusingnya pula badan ke kanan, dia makin gelisah. Serba tidak kena jadinya, keadaannya bagaikan kucing betina mahu beranak. Diambilnya sebiji bantal lalu dipeluknya pula. Gundah gulana hatinya dapat mereda sedikit. Semua ini adalah bahana Seri Ayu yang tidak mahu keluar-keluar daripada fikirannya!
                                                                        *****
            Gerak kerja kempen Geng Parang Sumbing di seluruh cawangan diperhebatkan. Pebagai program diatur untuk mendekatkan YB Sumbing dengan rakyat di Parlimen Kangkung Jaya ini. Ada cawangan mengadakan malam kesenian, ada pula yang membuat pesta menumbuk emping, ada yang membuat majlis kenduri kawin perdana dan ada juga cawangan yang membuat bazar tani.
            Sudah tentu dalam setiap program yang dijalankan itu ada slot ceramah atau penerangan oleh YB Sumbing dan orang-orang kanannya. Dalam ceramah ini, jasa-jasa dan kejayaan YB Sumbing dicanang-canangkan setinggi-tingginya, manakala dosa-dosa dan kegagalan-kegagalan yang dilakukan oleh Dato’ Kontot selama ini digembar-gemburkan. Di sini jugalah pebagai janji manis ditabur pada rakyat kawasan Parlimen Kangkung Jaya.
            Hinggakan ada sesetengah janji sukar dipercayai kerana bagi penduduk-penduduk yang berfikir, mereka dapat menilai dan menimbang janji mana mampu dilaksanakan. Namun tidak kepada penyokong totok yang sudah berkarat fikirannya. Walau apa jua yang dikatakan oleh pemimpin mereka sama logik atau pun auta, mereka akan menelan bulat-bulat. Mereka ini sudah berikrar, walau apa puan yang berlaku mereka tetap setia dan bertekad untuk mati dalam Parti Parang.
            Hari ini YB Sumbing bersama Geng Parang Sumbingnya membuat buat program mesra rakyat dengan menjemput seorang menteri dari kerajan pusat. Menteri itulah yang ditemuinya di Kuala Lumpur tempoh hari. Menteri ini akan tiba untuk merasmikan majlis ini pada pukul sembilan setegah pagi nanti. Acara utama yang akan diadakan ialah pertandingan memancing, pertandingan wau dan cabutan bertuah.
            Namun awal-awal pagi lagi kegemparan berlaku di kolam ikan yang bakal dijadikan tempat pertandingan memancing. Pak Belukang yang ditugaskan untuk menguruskan pertandingan memancing itu menelefon YB Sumbing dengan cemas.
            “YB, kolam ikan kita diracun! Habis semua ikan mati!” Pak Belukang berteriak pada telefon bimbitnya.
            “Semua ikan sudah timbul mati. Habislah kita, YB. Macam mana orang hendak memancing nanti!” teriak Pak Belukang lagi.
            Sebentar kemudian talian diputuskan. Pak Belukang jadi resah tidak terkira. Dia mengesyaki ada orang berbuat khianat mencurah racun ke dalam kolam itu malam tadi. Tidak sampai lima belas minit selepas itu, YB Sumbing tiba di kolam ikan. Dia terus terpana sebaik melihat permukaan kolam itu dilitupi oleh bangkai-bangkai ikan yang timbul.
            “Apa cadangan kamu?” tanya YB Sumbing.
            “YB tanya cadangan saya? Saya sudah mati akal ini, YB. Pertandingan memancing dijadualkan tidak sampai tiga jam lagi. Apa kita nak buat sekarang ini, YB. Takkan kita hendak tukar kepada pertandingan menyauk ikan-ikan mati pula,” kata Pak Belukang dengan cemas.
            “Hmm… siapa yang paling banyak dapat sauk ikan-ikan itu, dia menanglah ya?” kata YB Sumbing. Pak Belukang tidak pasti sama ada itu adalah soalan yang ditanyakan padanya ataupun YB Sumbing bercakap seorang diri.
            “Baiklah, kita buat di kolam lain. Tidak jauh di sana ada satu lagi kolam ikan bukan?” cadang YB Sumbing.
            “Kolam itu tidak punya banyak ikan, YB. Jika ada pun, hanya ikan-ikan kecil sahaja. Belum sesuai dituai hasil,” kata Pak Belukang.
            “Pergi cari ikan dari kolam di daerah lain dan beli banyak-banyak. Kemudian lepaskan ke dalam kolam itu,” suruh Pak Belukang.
            Akhirnya selori ikan hidup terpaksa dibeli untuk menyelamatkan acara pertandingan memancing itu dan seterusnya menyelamatkan air muka YB Sumbing. Maka pertandingan memancing itu dapatlah dijalankan dengan jayanya walaupun berhadapan dengan pelbagai kesulitan yang tidak dijangka.
            Rupa-rupanya masalah tidak habis di situ. Sejam sebelum berlangsungnya pertandingan wau pada petangnya, kebakaran berlaku di kawasan padang yang terletak bersebelahan dengan padang tempat pertandingan wau. Padang itu  dipenuhi dengan pokok-pokok renek seperti senduduk dan kemunting. Cuaca panas menyebabkan api merebak dengan cepat dan sukar di kawal. Orang ramai yang datang untuk melihat pertandingan wau terpaksa bertungkus lumus memadamkan kebakaran pula.
            Kebakaran itu menyebabkan padang pertandingan wau dipenuhi oleh asap. Walaupun begitu, pertandingan wau tetap dimulakan tepat pada masa seperti yang dijadualkan. Kehadiran asap  menyukarkan peserta bernafas dan mengendalikan wau masing-masing. Kepulan asap yang tebal menutup pandangan mereka ke udara, jadi banyak peserta sukar hendak memantau kedudukan wau masing-masing.
            Ada wau yang berlaga sesama sendiri. Ada tali wau yang bersilang dan bersimpang siur. Ada peserta yang kehilangan wau tanpa dapat dikesan, yang dipercayai putus dan melayan jatuh ke tempat yang jauh. Tali yang tegang tiba-tiba kendur dan jatuh ke tanah. Apabila tali habis digulung, di hujung tali hanya kosong, tiada lagi wau yang mereka ikat sebelumnya.
            Keadaan ini menyebabkan pertandingan menjadi tidak seronok. Orang ramai yang datang untuk menonton memilih untuk pulang awal dengan perasaan kecewa. Sebilangan daripada mereka pula sibuk membantu memadamkan kebakaran. Jadi, tiada siapa lagi yang menghiraukan siapa pemenangnya.
            Acara terakhir pada hari itu iaitu cabutan bertuah juga dilanda masalah pelik. Banyak perbalahan berlaku apabila satu nombor cabutan mempunyai dua atau tiga orang pemiliknya. Bila diperiksa, tiket-tiket nombor yang dipegang mereka memang mempunyai cop pengesahan. Bermakna, orang-orang dalam juga yang membuat tiket-tiket nombor palsu itu.
            Masalah itu menjadi parah kerana kertas senarai pendaftaran nama untuk cabutan bertuah itu telah hilang. Masing-masing yang terlibat dengan urusan pendaftaran pada pagi tadi mendakwa tidak menyimpannya. Boleh jadi juga kertas senarai nama itu telah dicuri tanpa disedari dari meja urusetia. Sudahnya, hadiah cabutan bertuah tidak dapat diagihkan kepada pemenangnya yang sebenar.
            Pendaftaran peserta untuk acara itu dilakukan sebelum pukul 10 pagi, manakala cabutan pula dibuat pada jam 6 petang. Jadi, ada terlalu panjang senggang masa membuatkan pencuri kertas senarai nama itu dapat menunggu masa yang terbaik dan mengambilnya tanpa terburu-buru. Kertas senarai nama itu pula hanya disedari hilang pada jam 6 petang sebaik sahaja acara cabutan bertuah mahu bermula.
            Maka hari ini menjadi hari yang amat menyedihkan pada YB Sumbing. Ketiga-tiga acara yang dirancangkannya untuk menarik sokongan rakyat telah disabotaj. Tidak syak lagi, perbuatan-perbuatan sabotaj ini dilakukan oleh orang-orang Geng Parang Kontot. Mereka menyamar dan berjaya menyelinap masuk menyertai urusetia program. Mereka telah melakukannya satu persatu dengan teratur. Pasti mereka telah membuat perancangan yang rapi sebelum ini.