Kebab kambing kebab bebiri,
Kebab unta dan burung unta,
Kebab Dimanosajo kebab dicari,
Sekali rasa terus jatuh cinta.
Seorang lelaki muda menyanyi-nyanyi rangkap itu tanpa henti. Itulah yang diulang-ulanginya dari awal pagi hingga lewat petang. Nyanyian itu diselang-selikan pula dengan picitan hon untuk memberitahu akan kedatangnnya. Dengan mengayuh basikal beroda tiganya masuk kota keluar kota, masuk ladang keluar ladang, lelaki itu menjaja kebabnya tidak kira panas atau hujan.
Basikal lama beroda tiga buatan England itu memang kukuh dan tahan lasak. Di ruang kotak kargonya, lelaki itu menempatkan sebiji dapur arang yang sentiasa berbara merah. Di sekeliling dapur itu pula, terdapat empat rod besi berdiri tegak di mana kepingan-kepingan daging dicucuk padanya. Sesekali rod-rod besi itu dipusing-pusing oleh lelaki itu untuk memastikan daging-daging kebabnya dipanggang sama rata.
Kebab kambing kebab bebiri,
Kebab unta dan burung unta,
Kebab Dimanosajo kebab dicari,
Sekali rasa terus jatuh cinta.
Lelaki yang berkulit sawo matang ini adalah pendatang tanpa izin dari negara Gajah Putih. Dia merantau ke kota Permaisuri ini kerana kesempitan hidup di tempat asalnya. Dia datang kira-kira tiga tahun dahulu dengan sehelai sepinggang berserta dengan duit hanya kira-kira seratus bath sahaja.
Entah mengapa, mungkin sudah nasibnya merantau secara tak sengaja di kota Permaisuri ini dulu. Dia tidak tahu ke arah mana yang patut ditujuinya. Dia hanya mengikut gerak hatinya sahaja. Ketika itu dia berhajat untuk ke kota Kuala Lumpur. Namun takdir telah menentukan dia terkandas di sini. Hajatnya tidak kesampaian untuk menceri pekerjaan di kota Kuala Lumpur yang selalu didengarinya menyediakankan banyak peluang pekerjaan yang baik-baik. Namun akhirnya dia pasrah, tuhan telah tentukan rezeki untuknya ada di situ.
Kebab kambing kebab bebiri,
Kebab unta dan burung unta,
Kebab Dimanosajo kebab dicari,
Sekali rasa terus jatuh cinta.
Kebabnya memang terkenal di kota Permaisuri sebagai kebab yang paling sedap. Aroma daging berempah kebabnya yang dipanggang merawang ke udara dan dapat dihidu sejauh beratus meter dari tempat yang dia lalui. Bau aroma ini sahaja sudah cukup mengiurkan dan memanggil-manggil orang ramai untuk datang membelinya.
“Dimanosajo! Kebab lima!” lelaki itu mendengar satu suara memanggilnya. Dia memberhentikan basikal roda tiganya lalu menoleh ke belakang. Didapati ada seorang perempuan separuh usia sedang berlari mengejarnya.
“Kakak mahu kebab apa? Kambing, bebiri, unta atau burung unta?” tanya pemuda Siam itu sebaik sahaja perempuan itu tiba.
“Dimanosajo, bagikan kakak kebab kambing satu, kebab bebiri satu, kebab unta satu dan kebab burung unta dua,” kata perempuan itu.
“Siap!” kata pemuda Siam itu. Dia terus menghiris bahagian daging yang sudah masak keperang-perangan itu. Kemudian hirisan-hirisan daging itu dicincangnya pula supaya menjadi lebih kecil. Selepas itu dia membelah lima biji roti panjang. Disapunya mentega pada celah roti itu sebelun dibakarnya. Sambil menantikan roti itu masak, pemuda Siam itu mengambil hirisan timun dan sayuran lain untuk digaul bersama daging tadi.
Selepas dibakar beberapa minit, roti-roti tadi diangkat dan diaturkan di atas kertas pembungkus. Daging bersama sayuran di letakkan di celah roti sebagai inti. Selepas menuangkan sos istimewa, kebab-kebab itu dikatup dan terus dibungkus kemas. Begitu lincah sekali tangan pemuda Siam itu menyiapkan kebab untuk pelanggannya.
“Kebab kambing satu, bebiri satu, unta satu dan burung unta dua, siap,” kata pemuda Siam itu sambil menghulurkan satu beg plastik kebab pada pelanggannya.
“Terima kasih,” kata perempuan itu sambil menghulurkan wang bayarannya.
Pemuda Siam itu mengayuh semula basikal roda tiganya perlahan-lahan. Sambil meneruskan nyanyian lagu unik jualan kebabnya.
Kebab kambing kebab bebiri,
Kebab unta dan burung unta,
Kebab Dimanosajo kebab dicari,
Sekali rasa terus jatuh cinta.
Pemuda Siam itu masih teringat bagaimana keadaan dirinya ketika mula-mula sampai di kota Permaisuri ini dahulu. Dia curi menumpang dengan menyelinap ke dalam sebuah lori yang membawa beras eksport ke Kuala Lumpur, Malaysia. Namun di separuh perjalanan, dia telah di tendang keluar oleh pemandu dan kelindan lori tersebut setelah ditemui tertidur di celah-celah karung beras. Dia ditinggalkan terkulat-kulat di kota kecil itu dengan perut yang yang sedang menyanyi lagu keroncong.
Di kala itu, hidungnya mengesan bau aroma makanan yang sungguh enak. Matahari beransur petang yang membahang itu turut menambah seksa tekaknya. Pemuda Siam itu mencari-cari dari mana datangnya aroma itu. Dia meninjau dari lorong ke lorong dan akhirnya ternampak satu gerai yang penjaja yang berasap-asap putih tipis berhampiran sebatang pokok angsana. Memang sah, makanan di gerai itulah yang menyebarkan aroma yang enak itu.
Setelah hampir, pemuda Siam itu mendapati gerai itu menjual kebab. Nasib baiklah dia dapat bertutur dalam bahasa melayu serba sedikit. Ini kerana di kampungnya dahulu, dia belajar bahasa melayu daripada budak-budak muda dari Malaysia yang datang belajar agama di sekolah pondok. Daripada mereka jugalah pemuda Siam itu dapat mengetahui tentang Malaysia dan juga ibu kota Kuala Lumpur yang pesat membangun dan menyediakan banyak peluang pekerjaan.
Tanpa membuang masa, pemuda Siam itu memesan sebiji kebab burung unta daripada tuan gerai, seorang lelaki berserban dan berjambang liar berserabai. Tidak sampai lima minit, kebab itu pun siap dibungkus terus dihulurkan pada pemuda Siam. Dengan segera pemuda Siam itu menyambutnya lalu dihulurkan pula duit bayarannya.
“Duit apa ini?” tanya tauke kebab apabila melihat duit itu bukan berupa duit Malaysia yang biasa diurus-niagakannya.
“Ini duit Bath, tuan. Ana tidak ada duit Malaysia,” kata pemuda Siam itu.
“Maaf ya, duit Siam aku tidak terima. Ringgit Malaysia sahaja yang aku mahu. Kalau tiada, aku tidak mahu jual kebab ini pada kamu,” tegas tauke kebab itu.
Mahu tidak mahu, pemuda Siam itu terpaksa merayu, “tuan, tolonglah, ana sangat lapar, berilah saya kebab itu,”
“Kalau percuma, tidak boleh. Kalau kamu mahu beli, bayar wang Malaysia sahaja,” ulang tauke kebab.
“Ana tiada wang Malaysia. Nanti tuan boleh tukar duit ini di pengurup wang. Ana sanggup bayar lebih,” kata pemuda Siam itu.
“Maaf, kamu pergi tukar dulu duit kamu atau kamu boleh pergi kebab kebab di gerai lain,” ujar tauke kebab.
“Tolonglah tuan, ana boleh kerja apa saja yang tuan suruh sebagai bayaran,” pemuda Siam itu terus merayu.
“Hmm.. Baiklah, kamu boleh cuci barang-barang?” tanya tauke kebab semacam bersetuju.
“Boleh,” jawab pemuda Siam dengan cepat.
Maka pada hari itu pemuda Siam itu dapat menikmati sebiji kebab yang enak selepas mencuci dapur arang dan perkakas-perkakas lain penjaja Benggali itu. Sambil bekerja, pemuda Siam itu menceritakan perihal dirinya yang sedang merantau dan mencari pekerjaan untuk menyara diri.
Apabila tauke Benggali itu melihat kesungguhan pemuda Siam itu berkerja, dia tertarik dengan kerajinannya. Tanpa berfikir panjang lagi, dia menawarkan budak itu bekerja menjadi pembantu tetapnya di gerai. Pemuda Siam itu pun apalagi, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantallah. Dia menerima tawaran pekerjaan itu dengan penuh gembira.
Pemuda Siam itu terus mengayuh basikalnya sambil menyanyi lagi..
Kebab kambing kebab bebiri,
Kebab unta dan burung unta,
Kebab Dimanosajo kebab dicari,
Sekali rasa terus jatuh cinta.