Selasa, 9 Ogos 2011

Madu Tiga Suku bab 1

(Nota: Novel Pirody ini sedang dalam proses akhir untuk diterbitkan.)

Poco Poco Bungkus

Suasana pagi itu nyaman dengan matahari masih lagi dilindungi pohon-pohon besar. Sebuah taman rekreasi yang terletak di tepi hutan kecil menjadi tumpuan orang-orang kota untuk beriadah. Walaupun kedudukannya agak terpencil di pinggir bandar, taman ini tidak pernah sunyi. Saban waktu ada sahaja warga kota yang bertandang.
Sebahagian besarnya datang untuk berjogging dan bersenam. Yang lain-lainnya datang untuk bersiar-siar atau melepak, terutamanya anak-anak muda. Ada juga yang berdua-duaan antara lelaki dan perempuan, yang mana sering menimbulkan pandangan kurang enak kepada pengunjung lain.
Seminggu dua kali, iaitu hari sabtu dan rabu, sekumpulan wanita daripada Persatuan Aksi Wanita Dewasa mengadakan aktiviti riadah tarian poco poco di sini. Tarian dengan gerakan ringan itu dilakukan seiring dengan muzik lagu Poco Poco Minahasa, yang juga lagu tema tarian ini.
Lagu yang berbahasa Menado itu bersama dengan tariannya berasal dari Indonesia. Lagu ini dicipta oleh Arie Sapulette dan dipopularkan pula oleh Jopie Latul. Ia dibawa masuk ke Malaysia dan telah diterima ramai. Entahlah, kenapa lagu dan tarian dari luar di sanjung-sanjung. Sedangkan di Malaysia juga ada banyak tarian yang menggunakan muzik yang sesuai dijadikan senaman riadah.
Tarian Kuda Kepang, Tarian Zapin, Tarian Lilin, Tarian Gamelan, Tarian Ulik Mayang, Tarian Cik Siti Wau Bulan, Tarian Sumazau dan Tarian Ngajat tiada pula diperluaskan aktivitinya kepada tarian riadah. Ia hanya terperap di dalam skop kebudayaan dan perayaan sahaja. Sedangkan tarian-tarian ini juga memerlukan gerakan yang mengeluarkan peluh.
Paling tidak pun, pasang sahaja lagu Lenggang Mak Limah nyanyian Halil Chik dan Trio Manja. Kemudian menarilah berlenggang-lenggang ke kiri, ke kanan, ke depan dan ke belakang. Memang bunyinya sungguh kelakar. Tetapi dipercayai ianya menyeronokkan setanding tarian poco poco juga. Sekurang-kurangnya usaha itu dapat mempopularkan identity bangsa Malaysia sendiri.
Apa lagi dengan tarian Pendet yang menjadi kontrovesi dua negara serumpun ini. Malaysia juga tidak kurang hebatnya, kaya dengan tarian-tarian tradisional yang setanding dengan tarian Pendet. Tidak perlulah di’usik’ tarian Pendet itu. Manafaatkanlah sepenuhnya tarian-tarian Malaysia sendiri yang sedia ada.
Lagu poco poco dimainkan. Gerakan dimulakan bersama-sama muzik intro lagu itu. Liafara mengangkat kaki kanan dan kiri sehingga sejengkal dari tanah berselang seli. Gerakkan ini di buat berulang-ulang dengan pantas, tetapi lembut. Selepas lapan saat, tubuhnya dipusing ke kiri dengan gerakan kaki diteruskan. Selepas lapan saat tubuh dipusingkan ke kiri lagi dan selepas lapan saat seterusnya tubuh dipusing sekali lagi ke kiri.
Sekarang Liafara kembali kepada kedudukan asal. Suara nyanyian Jopie Latul rangkap pertama lagu berkumandang.
Balenggang pata pata
Ngana pegoyang pica pica
Ngana pebody poco poco
Liafara melangkah ke sisi kanan sebanyak dua langkah dan melangkah semula ke sisi kiri sebanyak dua langkah juga ke tempat asal. Selepas itu dia melangkah ke belakang dua langkah dan melangkah ke depan juga dua langkah.
Cuma ngana yang kita cinta
Cuma ngana yang kita sayang
Cuma ngana suka bikin pusing
Kemudian Liafara memusingkan badan ke kiri. Dia melangkah ke sisi kanan sebanyak dua langkah dan melangkah semula ke sisi kiri sebanyak dua langkah juga. Selepas itu dia melangkah ke belakang dua langkah dan melangkah ke depan juga dua langkah. Gerakan yang sama dengan rangkap lagu pertama, cuma tubuh mengadap arah yang berbeza
Ngana bilang kita na sayang
Rasa hati ini malayang jauh dija dija
Biar ngana kita pebayang
Biar na bikin layang layang
Cuma ngana yang kita sayang
Begitu jugalah dengan rakan-rakan Liafara yang lain. Mereka menari serentak dalam kumpulan di mana jarak mereka di antara satu sama lain lebih kurang satu meter. Sesekali mereka bertepuk tangan, diselangi dengan ketawa riang.  
Nun, tidak jauh dari situ ada sekumpulan tupai bandar memerhatikan penari-penari poco-poco itu dengan penuh minat dari atas dahan pokok. Mereka juga menggoyang-goyangkan badan, mengangguk-angguk kepala dan menganga-nganga mulut yang konsisten dengan rentak muzik.
Di dahan yang paling rendah, ada dua tiga ekor tupai cuba menari dengan berdiri seperti Liafara dan kawan-kawan. Berkemungkinan tupai-tupai ini adalah yang paling bijak di antara mereka. Namun sudah fitrah tupai bila berdiri, tubuhnya sukar untuk diseimbangkan. Mereka terkial-kial dan terhoyong-hayang. Hinggakan ada yang tersembam dan tertonggeng.  Akhirnya untuk lebih stabil, maka menarilah tupai-tupai itu dalam keadaan duduk atau merangkak
Sungguh asyik Liafara dan rakan-rakan menari sehinggakan tidak puas walaupun lagu poco poco tamat. Maka lagu ini dimainkan sebanyak tujuh lapan kali lagi sehinggalah mereka terasa penat. Namun masing-masing menampakkan wajah ceria dan gembira..
Malam itu Jamilkhir berehat sambil membaca majalah Solusi. Dia duduk berlunjur di katil dengan bersilang kaki. Penatnya kerja seharian di pejabat ditambah lagi dengan kerja lebih masa sehingga pukul tujuh petang membuatkannya malas untuk ke mana-mana, walaupun ke surau yang biasa dikunjunginya.
Jamilkhir adalah seorang pegawai agama yang bertugas di Pejabat Agama Daerah Marang, di bahagian undang-undang keluarga. Dia sudah 10 tahun berkahwin dengan Liafara, seorang anak tunggal orang kaya. Namun belum lagi dikurniakan anak walaupun seorang.
Walaupun matanya menumpu pada majalah dan otaknya cuba mengikuti persoalan yang dibincangkan di dalam artikelnya, mamun perhatian Jamilkhir terarah pada Liafara yang sedang ligat menari di depannya.
Jalannya berlenggang-lenggang
Goyangannya selincah-lincah
Tubuhmu montok-montok
Jamilkhir mengangkat kening.  Fikirannya terganggu dengan lirik lagu poco-poco yang telah di melayukan oleh isterinya itu.
“Hai, takkan nak pikat abang malam ni sampai menari-nari pula,” tegur Jamilkhir. Liafara hanya membalas dengan senyuman. Dia terus menari sambil menyanyi.
Hanya kamu yang ku cinta
Hanya kamu yang ku sayang
Hanya kamu suka buat aku pening
“Oh, iyakah? Bahagianya rasa hati,” keluh Jamilkhir. Jamilkhir pun meletakkan majalah solusi ke atas tilam lalu bangun berdiri di depan Liafara. Dengan ghirahnya, dia pun mula menyanyi.
Berjalan terkangkang-kangkang
Bergoyang berpintal-pintal
Tubuhmu kontot-kontot
Jamilkhir melangkah-langkah laju. Ternyata gerakannya itu berterabur dan tidak mengikut tempo. Akhirnya dia terbabas melanggar dinding akhibat terpijak kain pelekatnya sendiri. Liafara tertawa lalu terduduk di katil melihat aksi kelakar suaminya itu.
“Sumbanglah poco poco abang buat. Itulah, Fara ajak pergi buat latihan, abang tak nak ikut,” kata Liafara.
Jamilkhir duduk di bangku meja solek isterinya. “Tak payahlah pergi menari poco-poco lagi. Tak lama lagi mungkin tarian poco poco akan di haramkam?” kata Jamilkhir.
“Kenapa pula nak di haramkan?” tanya Liafara.
“Entahlah, tapi sekarang isu tarian poco-poco ni hangat diperdebatkan sebab ada seorang mufti tu kata boleh membawa syirik,” kata Jamilkhir.
“Takkanlah syirik pula. Menari bersenam sambil dengar lagu saja, bukannya memuja atau menyembah apa-apa,” gerutu Liafara.
Jamilkhir memimikkan muka sebelum membalas, “mungkin tarian poco poco yang dimaksudkan mufti itu, tarian poco poco yang lain. Tarian poco poco yang Fara buat ini tak salah, abang rasa.”
“Alah, mufti tu yang jealous. Abang pun jealous sama,” Liafara menuduh-nuduh pula.
“Tidak ada pasallah mufti tu nak jealous, tapi abang memang rasa jealous,” kata Jamilkhil.
“Jealous apa pula? Fara pergi menari poco poco dengan kawan-kawan perempuan, bukannya lelaki,” bantah Liafara.
“Memanglah semua kawan-kawan Fara perempuan, tapi abang bukan jealous pasal itu. Abang jealous pasal Fara yang selalu tidak lekat di rumah. Asyik sangat berpesatuan. Abang pun selalu terabai,” luah Jamilkhir. Memang perasaan ini sudah lama dipendamkan di hatinya.
“Habis tu, abang nak Fara duduk di rumah sepanjang masa? Bosanlah duduk jadi tunggul di rumah. Abang pun pergi kerja. Kalau Fara ke luar, boleh jumpa kawan-kawan, lebih seronok,” kata Liafara.
“Itulah, kalau ada anak, bolehlah awak duduk di rumah. Abang suruh ambil anak angkat tak mahu,” kata Jamilkhir.
“Oh, abang perli saya ya?” tekan Liafara.
“Memang, dah lama kita ada anak kalau Fara tak man… ops…” kata-kata Jamilkhir terhenti. Nyaris-nyaris benar terlajak kata.
“Ha… abang jangan sebut perkataan itu kalau abang nak selamat,” Liafara memberi amaran.
“Eh, sorry, sorry…” kata Jamilkhir. “Tadi kita cakap pasal apa ya? Oh, ya. Tarian poco poco,” kata Jamilkhir mengalih topik.
Liafara cuma berdehem. Dia sungguh sensitif dengan satu perkataan itu, walaupun ianya adalah kenyataan.
“Fara nak belajar satu tarian poco poco baru tak? Abang tahu satu jenis tarian poco poco yang sangat bagus,” kata Jamilkhir.
Liafara memandang Jamilkhir sambil mengerutkan dahi, tetapi masih belum sepatah pun bersuara. Namun dari air mukanya, dia nampaknya berminat.
Jamilkhir menyuruh Liafara berbaring di atas katil. Liafara menurutnya dengan teragak-agak.
“Luruskan kaki. Tangan itu letak bersilang di perut, macam orang sembahyang,” suruh Jamilkhir.
“Abang nak buat apa ni?” Liafara mula bersuara
“Tengok sajalah. Abang nak ajar Liafara tarian poco poco barulah ini, lagi bagus dari tarian poco poco yang Fara selalu buat,” kata Jamilkhir dengan tersenyum. Liafara faham sangat, dengan senyuman sebegitu, mesti ada sesuatu.
Walaupun berpuluh soalan bersarang di otaknya, Liafara hanya mendiamkan diri. Dia memutuskan untuk tunggu dan lihat sahaja.
Jamilkhir menarik keluar cadar di sebelah kanan Liafara dan di bawa ke kiri melitupi tubuh Liafara. Begitu juga dengan cadar di sebalah kiri Liafara, ditariknya ke kanan sehingga melitupi juga tubuh Liafara. Nampaknya kini sekujur tubuh Liafara sudah dibaluti dengan cadar, kecuali bahagian muka sahaja yang tinggal.
“Kenapa abang bungkus Liafara dengan cadar ini?” tanya Liafara yang mula cemas. Kenapa dia diperlakukan sebegitu? Pelbagai igauan buruk datang ke kepalanya. Mungkinkah suaminya itu akan bertindak luar batasan perikemanusiaan?
“Adalah tujuannya. Surprise untuk Fara. Sekejap lagi Liafara akan tahu juga. Janganlah bimbang, Fara tak akan apa-apa,” kata Jamilkhir. Dia menyimpul bunjut lebihan kain di atas kepala dan di hujung kaki Liafara. Sekarang keadaan Liafara serupa seperti mayat yang telah dikapankan.
“Ha, sekarang mari abang bantu Fara berdiri,” kata Jamilkhir. Dia mencepung tubuh isterinya lalu mendirikannya di atas lantai. Liafara semakin hairan.
Jamilkhir mengambil telefon bimbit Liafara dan mencari-cari sesuatu pada menunya. “Ok, sekarang Fara bersedia,” katanya.
Jamilkhir meletakkan telefon bimbit Liafara di meja solek. Sebentar kemudian kedengaran lagu poco poco berkumandang daripada telefon bimbit itu.
“Ha, apa lagi? Menarilah sekarang,” kata Jamilkhir.
“Macam mana nak menari kalau berbungkus macam ini? Nak buka langkah pun tak dapat, kaki terikat ini,” kata Liafara.
“Geraklah badan tu mana yang boleh. Lenggang-lenggangkan pinggang dan gedik-gedikkan bahu macam ini,” kata Jamilkhir dengan mendemostrasikannya.
Liafara menurutnya. Tubuhnya terliuk-lentok mengikut rentak muzik poco poco itu.
“Ha… macam itulah,” kata Jamilkhir lalu tersenyum. “Teruskan jangan berhenti,” tambahnya lagi.
“Apa abang suruh Liafara buat benda bodoh ini?” tanya Liafara agak marah.
“Inilah namanya tarian poco poco bungkus ataupun juga dikenali sebagai TARIAN POCONG POCONG, hahahaha...” kata Jamilkhir lalu ketawa berdekah-dekah. Ya, gerakan Liafara di dalam bungkusan cadar putih itu tak ubah seperti hantu pocong sedang terkial-kial hendak menyakat manusia!
“Abang ciptakan khas untuk Fara seorang saja. Ia lagi bagus daripada tarian poco poco yang biasa Fara buat. Nanti ajaklah kawan-kawan buat sama-sama, hahahaha…” Jamilkhir ketawa lagi.
“Abang! Jahatnya abang! Buka balik kain cadar ni!” marah Liafara geram. Hidup-hidup dia sudah terkena dengan tindakan bodoh-bodoh suaminya itu.
Jamilkhir tidak menghiraukannya. Dia terus ketawa dengan bergolek-golek di atas tilam.
Hahahaha…