Sebuah motosikal Honda Cup C70 buruk berdengung merayap di atas jalan raya. Keadaan motosikal itu amat daif. Hanya satu cermin sisi yang tinggal, itu pun sudah terkulai dan cerminnya menghala ke atas. Ia tidak boleh ditegakkan lagi kerana sendinya telah longgar. Kedua-dua mud guard asal untuk tayar depan dan belakang sudah tiada lagi. Sekeping papan diletakkan di bawah tempat duduk dan menjuntai ke belakang. Ia yang diikat dengan dawai besi bertindak menggantikan mud guard tayar belakang.
Sebiji bekas tin susu pekat manis digunakan untuk menudung lubang air intake yang mana penapis anginnya telah hilang sama sekali. Sekali pandang dari jauh, ianya menyerupai air filter berjenama mahal, yang cemerlang menapis angin untuk disalurkan pada karburetor, yang mana pastinya dapat meningkatkan prestasi injin. Namun fungsi tin itu berbeza sekali. Ianya ditambat di situ untuk menahan lumpur dan air daripada terpercik memasuki lubang air intake itu.
Penendang starternya pula sudah jarang berfungsi. Jika ditendang ke bawah untuk menghidupkan enjin, penendang itu akan terus terkulai ke bawah. Ia terus terseret ke tanah selepas motor bergerak. Oleh itu, seutas tali getah panjang yang dihiris daripada tiub motosikal lama telah digunakan untuk menambat penendang starter itu pada tiang raga motosikal. Dengan itu, penendang starter akan melantun ke atas untuk tegak semula selepas ditendang.
Seorang lelaki berumur separuh abad kelihatan tenang menunggang kenderaan yang tidak lagi layak dipanggil motosikal itu. Namun dia tidak kisah langsung akan keadaan motosikalnya itu. Asalkan boleh bergerak, itu sudah cukup bagus. Dia juga tidak pernah mempedulikan kutukan dan senyuman sinis orang kampung terhadap motosikalnya.
Lelaki yang dipanggil orang kampung sebagai Pak Kadir ini sebenarnya dalam perjalanan pulang, setelah sepagi penat ‘memeriksa perbarisan hormat pokok-pokok getahnya’ di kebun. Di situlah sumber mata pencariannya sejak sekian lama. Cairan susu dari batang pokok getah yang ditoreh dibiarkan membeku di dalam bekas. Selepas itu ia dinamakan pula sebagai getah sekerap, yang akan membebaskan aromanya yang sungguh mengusik kalbu. Namun baginya, aroma semacam pekung itu adalah bau duit sebenarnya.
Dan hari ini Pak Kadir dapat memungut seguni penuh getah sekerap. Guni getah sekerap itu diboncengkannya di belakang untuk dibawa pulang. Beban inilah yang membuatkan kapcainya tersemput-semput bagai nak putus nyawa. Namun inilah sahaja dayanya untuk membawa getah sekerap ini pulang. Jika dibiarkan melonggok di kebun, serupalah sahaja dengan memberi sedekah percuma kepada si pencuri.
Sebuah kereta peronda polis merapati dari belakang. Dua orang anggota polis di dalamnya memerhatikan motosikal Pak Kadir dengan penuh minat. Menyedari polis sedang menghambatnya, Pak kadir cuba memecut. Enjin kapcainya meraung dan meletup-letup bingit bagaikan mahu pecah. Namun kelajuannya tak juga bertambah. Kereta peronda polis bersaing dengan kapcai Pak Kadir dan akhirnya menghimpitnya ke tepi jalan.
“Berhenti! Berhenti!” bunyi pembesar suara kereta peronda polis memberi arahan.
Pak Kadir pun akur lalu beranjak ke tepi dan berkira-kira mahu berhenti.
“Menyusahkan betullah. Kalaulah aku dah pasang NOS kat motor aku ni, dah tentu kereta polis ni sudah makan asap,” mulutnya merungut-rungut.
Sekonyong-konyong sahaja Pak Kadir ternampak pula sebatang denai di celah-celah barisan pokok getah di tepi jalan. Dengan pantas dia memecut semula dan terus membelok masuk ke denai itu.
“Pasti kereta polis tak dapat masuk denai kecik ni. Selamat aku,” bisik hatinya girang.
Malang sekali Pak Kadir tidak berhati-hati mengemudi kapcainya melalui denai yang teruk itu. Dia hilang kawalan sewaktu tayar kapcainya melanggar akar pokok getah yang besar timbul merintangi denai. Nasib baik dia sempat menongkat dengan kakinya. Namun tayar belakang pula gagal melepasi akar pokok getah itu disebabkan beban getah sekerap di atas kapcainya sungguh berat.
Pak Kadir menoleh ke belakang, didapati kereta polis tadi telah berhenti di tepi jalan dan dua anggota polis keluar. Pak Kadir turun dari kapcainya dan menolaknya sekuat hati. Dalam kelam-kabut itu Pak Kadir rebah bersama kapcainya akhibat dari tersilap langkah. Pak Kadir tidak berfikir panjang lagi, dia terus bangun dan lari susup-sasap di celah-celah pokok getah.
Setelah beberapa ketika, Pak Kadir teringat sesuatu. Lantas dia berpatah baik sekuat tenaga. Memang betul jangkaannya. Dua orang anggota polis itu sedang mengangkat guni yang berisi getah sekerapnya. Ini tak boleh dibiarkan. Sia-sialah sahaja penat lelahnya menoreh seminggu itu jika seguni getah sekerap itu diambil polis.
“Woi! Getah sekerap aku! Jangan ambil getah sekerap aku!” laung Pak Kadir. Dia menyambar guni getah sekerapnya dan cuba merebut daripada anggota polis. Adegan tarik menarik pun berlaku. Nampaknya Pak Kadir lebih sayangkan getah sekerap daripada kapcainya. Kapcai buruknya itu dibiarkan rebah tergolek ke dalam parit kecil.
“Kalau encik nak rampas motor saya ambillah. Tapi getah sekerap saya ni tinggalkanlah. Tolonglah encik,” rayu Pak Kadir. Akhirnya anggota polis pun melepaskan guni getah sekerap Pak Kadir.
“Ingatkan tadi dah nak tinggalkan saja pada kami,” sindir salah seorang anggota polis. Pak Kadir hanya diam terkebil-kebil.
“Pak cik naik motor itu atas jalan raya, ada cukup lengkap ke?” tanya anggota polis seorang lagi.
Pak Kadir terjun ke dalam parit kecil tempat kapcainya tergolek. Dia membelek-belek motornya seketika. Kemudian dia menjenguk-jenguk setiap sudut motornya dengan berjalan mengelilinginya dua tiga kali. Diusiknya juga di sana sini. Selepas berpuas hati, dia memandang pegawai polis itu sambil tersenyum.
“Rasanya cukup encik. Tayarnya ada, sebiji depan dan sebiji di belakang. Handlenya pun ada walaupun bengkok sikit. Eh, alamak. Batang penendang starter dah patah pulak,” kata Pak Kadir sambil menggaru-garukan belakang tengkuknya. Batang penendang starter itu patah akhibat daripada motosikal terbalik sebentar tadi.
“Tapi tak apa, kalau nak start senang aje. Pak Kadir biasa sangat tolak motor ni dan lari laju-laju, lepas tu Pak Kadir lompat ke atas motor dan terus masukkan gear satu. Hiduplah injinya,” terang Pak Kadir lagi sambil membuat demonstrasi melompat ke atas motor lalu memulas throttle dan memasukan gearnya sekali.
“Tapi kalau tuan sudah ada atas bukit lagi senang. Tak payah tolak. Duduk aje atas motor dan tuan biarkan motor bergerak turun bukit. Bila dah laju barulah tuan boleh masukkan gearnya,” tambah Pak Kadir dengan panjang lebar.
“Encik nak cuba tunggang ke? Boleh saya tolong tolakkan, tak perlulah encik berlari tolak sendiri,” pelawa Pak Kadir apabila mendapati pegawai-pegawai polis itu hanya tegak berdiam diri sepanjang penerangannya. Mengia tidak, mengangguk pun tidak.
“Boleh tunjukkan lesen pak cik?” tanya salah seorang anggota polis itu tanpa menghiraukan pelawaan Pak Kadir.
“Pak Kadir tak bawa lesen. Kalau encik nak tengok, marilah ikut ke rumah,” kata Pak Kadir sambil menggaru-garu belakang tengkuknya.
“Mengapa tinggal di rumah? Memandu tanpa membawa lesen adalah melanggar undang-undang,” kata anggota polis itu.
“Takkan nak pergi menoreh pun saya nak bawa lesen, encik. Tercicir karang, susahlah saya,” Pak Kadir mempertahankan diri.
“Huh, kad pengenalan?”
“Tak bawa juga,”
“Mana perginya nombor plat motor ni?”
“Pak Kadir tak tahu,”
“Road tax?”
“Entahlah, tak pasti Pak Kadir,”
“Baiklah, saya malas nak cakap banyak lagi. Apa nama pak cik?”
“Pak Kadir,”
“Nama penuh? Kadir bin apa?”
“Em… Kalau tak silap, Long,” jawab Pak Kadir ragu-ragu.
“Kadir bin Long?”
“Eh… ya, ya,”
“Nombor kad pengenalan ingat?”
“Tidak,”
“Apa nombor pendaftaran motor ni?”
“Er… TC 85… Pak Kadir dah terlupa,”
“Macam mana ni? cuba ingat kembali,”
“Er… TC 8572 rasanya…”
“TC 8572 ha…”
“Ok, sekarang pak cik sain di sini,” kata pegawai polis itu sambil menunjukkan tempat untuk ditanda tangan pada resit saman itu dengan pennya.
“Saya tak pandai sain, Encik. Menulis pun saya tak reti sangat. Saya biasa cap jari aja,” kata Pak Kadir.
“Saya tak ada alat untuk cap jari. Pak cik contenglah sikit di situ,” kata pegawai polis itu lagi sambil memberikan Pak Kadir pen.
“Saya mana pandai pegang pen, encik. Pengang pisau toreh getah bolehlah,” kata Pak Kadir sambil tangannya terketar-ketar membuat sain pada resit saman. Selepas itu cepat-cepat dia menyerahkannya kembali kepada pegawai polis.
“Nah, ambil resit saman ni, pergi bayar sebelum tarikh yang saya tulis tu. Kalau pak cik gagal, pak cik akan dikenakan waran tangkap,” pegawai polis itu memberikan Pak Kadir salinan resit selepas menceraikannya daripada buku saman.
Pegawai-pegawai polis itu pun meninggalkan Pak Kadir yang hanya mampu terkebil-kebil. Pak Kadir pun melipat resit saman itu ke dalam poket bajunya. Selepas mengangkat kapcainya daripada parit kecil dan menambat semula guni getah sekerap di belakang, dia pun pulang dengan menunggang motornya perlahan-lahan. Kepalanya masih memikirkan saman yang baru diterimanya sebentar tadi. Duit terbang lagi…
Sebenarnya dia tidak pasti akan nombor pendaftaran kapcainya itu. Sewaktu dia membeli daripada kawan, nombor platnya memang sudah tertanggal. Kawannya ada memberitahu akan nombor pendaftarannya, tetapi manalah dia ingat. Lagipun urusan jual beli itu berlaku pada lapan tahun yang lepas.
Tiba-tiba Pak Kadir teringat sesuatu. Dia menepuk dahinya. Ya, nama sebenarnya bukanlah Kadir. Kadir adalah nama gelaran yang telah diberikan oleh orang-orang kampung padanya. Nama sebenarnya adalah Kamaruddin. Begitu juga nama bapanya. Long adalah nama gelaran kerana bapanya anak sulung. Nama sebenar bapanya ialah Jaafar. Dan namanya pula sudah semestinya Kamaruddin bin Jaafar! Pak Kadir tergelak sendirian mengenangkan kedunguannya dalam panik semasa ditahan polis tadi. Bukan sengaja!
Sampai di rumah, Pak Kadir menyorong kapcainya ke bawah rumah. Setelah menongkat kapcainya dan memindahkan guni getah sekerap ke dalam bangsal, Pak Kadir menyeluk poket baju. Ah, baru dia sedar yang poket itu bocor besar! Seluruh benang jahitan di bahagian bawahnya sudah terbentas. Diraba-rabanya pula dalam poket seluar, manalah tahu kalau-kalau tersilap simpan di situ. Tiada juga. Sah, resit samannya tadi sudah tercicir.
Pak Kadir berjalan ke depan sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kelihatan Riduan, anak sulungnya duduk mencangkung di atas tangga. Rupanya kusut masai menandakan dia baru bangun tidur dan belum mandi. Begitulah rutin harian Riduan, bangun tidur sewaktu matahari sudah tegak di atas kepala. Puncanya, dia hanya akan pulang ke rumah untuk tidur sekitar pukul lima pagi pada setiap hari.
“Assalamualaikum,” tegur Pak Kadir.
“Encik ni cari siapa?” tanya Riduan. Wajahnya sembab dengan mata kuyu merah menunjukkan dia dalam keadaan khayal.
“Hah?” rengus Pak Kadir dengan menjengilkan mata.
“Lu cari rumah sapa ni brother?” tanya Riduan lagi.
“Tepi, tepi, aku nak naik ni!” marah Pak Kadir.
“Lu jangan rapat, nanti gua panggil polis,” kata Riduan.
“Aku kata ke tepi, ke tepilah. Jangan nak merepek,” ujar Pak Kadir lagi.
“Lu jual karpet? Gua tak mahu beli karpet, gua mahu lu punya dompet,” kata Riduan lagi.
Pak Kadir sudah hilang sabar. Pang! muka Riduan dikompangkannya sekali. Riduan jatuh tertonggeng ke depan tangga. Puas hatinya. Kerap juga tapak tangannya mencium pipi Riduan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Tidak seperti sekitar dua puluh tahun dahulu, pipi Riduan itulah yang sentiasa dicium dan dibelai Pak Kadir dengan penuh kasih sayang.
Panas hati Pak Kadir akhibat insiden ditahan polis tadi belum pun lagi mereda. Sekarang ditambah pula dengan gelagat bodoh anak lelaki bertuahnya ini. Anaknya yang sulung ini langsung tidak boleh diharap. Dah jadi macam sampah. Pagi petang tak kira masa, hisap ganja sahaja dia tahu.